My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 30 May 2016

    Trivia Filem Money Monster : Studio Rancangan Kewangan "Diserang"



    Menjadikan kejatuhan wang saham sebagai subjek filem Money Monster arahan Jodie Foster mungkin kedengaran membosankan bagi sesetengah individu. Namun, dengan menyelitkan babak cemas, serangan serta dicampurkan sedikit komedi membuatkan jalan cerita filem lakonan George Clooney dan Julia Roberts itu menarik. 

    Ia turut menceritakan pelabur muda bernama Kyle Budwell lakonan Jack O’Connell kehilangan sejumlah besar wang tunai selepas mendengar nasihat pengacara sebuah program kewangan popular, Lee Gates. Walaupun Clooney dan Roberts dianggap pilihan tepat filem ini, Foster mendedahkan pada mulanya berasakan O’Connell kurang sesuai bagi watak Budwell.

    Menurut pengarah itu, O’Connell, 25, bukan pilihannya kerana membayangkan watak Budwell lelaki yang berusia 35 tahun ke atas. “Saya pernah melihat O’Connell berlakon dalam Starred Up, 71 and Skins dan juga Unbroken. Sejujurnya, dia orang terakhir yang saya mahu untuk berlakon dalam Money Monster,” katanya.

    Bagaimanapun, Foster kemudian berubah fikiran dan bersetuju O’Connell membawa watak Budwell selepas menyaksikan rakaman uji bakat pelakon Inggeris itu. “Saya amat tertarik dengan bakat lakonan O’Connell yang boleh berubah daripada individu mengancam dan bahaya kepada beremosi serta lemah,” katanya.

    Bahkan, Foster turut memuji O’Connell kerana komited terhadap kariernya dan bersungguh-sungguh memberi persembahan terbaik bagi filem berkenaan. “Dia pelakon paling komited yang saya pernah berkerjasama. Memang penat rasanya melihat O’Connell beraksi dan saya memang bangga terhadapnya.

    “Lakonannya sangat bagus sedangkan pada mulanya dia bukan pelakon pilihan,” katanya.

    Pernah bergandingan dalam tiga filem sebelum ini, Clooney dan Roberts tiada masalah kembali bekerjasama untuk Money Monster kerana sudah serasi. Menurut penerbit Lara Alameddine, gandingan dua bintang hebat Hollywood itu sememangnya dinanti-nantikan peminat selepas kali terakhir beraksi dalam filem Ocean’s Twelve pada 2004.

    “Keputusan mengandingkan Clooney dan Roberts dalam filem ini tepat sekali. Clooney pelakon hebat dan kami perlu mencari seorang yang setanding dengannya. Roberts pula wanita yang tabah dan berpendirian, jadi dia paling sesuai untuk digandingan dengan Clooney,” katanya.

    Dalam Money Monster, Budwell Kyle bertindak di luar kawalan dan menyerang studio rakaman program kewangan ketika bersiaran langsung untuk mendapatkan jawapan kejatuhan saham.

    Apabila keadaan semakin tegang, tanpa diduga, Gates dan Budwell bakal didedahkan dengan jawapan punca sebenar saham merudum. Money Monster kali pertama ditayangkan di Festival Filem Cannes pada 16 Mei lalu dan bakal menemui penonton di Malaysia, Khamis ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Trivia Filem Money Monster : Studio Rancangan Kewangan "Diserang" Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top