My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 19 January 2018

    Lembaran Baru Pengangkutan Awam Di Terengganu


    Setelah sekian lama negeri Terengganu amat memerlukan satu sistem pengangkutan awam bas henti-henti yang kemas dan teratur, akhirnya penantian berkenaan berakhir.

    Ianya berlaku apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah memetrai kontrak perkhidmatan bas henti-henti dengan Mara Liner Sdn. Bhd. (Mara Liner) yang sekali gus menandakan ketibaan perkhidmatan Bas Awam Bersepadu Malaysia (myBAS) Kuala Terengganu yang bakal beroperasi April nanti.

    Kontrak itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah manakala Mara Liner diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Zahrail Affenday Mohamed dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

    Ianya adalah salah satu daripada perancangan besar SPAD yang mahu memastikan seluruh bandar besar di Malaysia menerima manfaat hasil daripada inisiatif MyBas ini. Sebelum ini, Kangar, Ipoh dan Seremban telah menikmati program ini. Bagi Terengganu pula, Kuala Terengganu akan menjadi bandar pertama yang menikmati sistem pengangkutan awam ini di seluruh negeri Pantai Timur.

    Untuk rekod, MyBas Kuala Terengganu yang merupakan inisiatif di bawah Program Transformasi Bas Henti-Henti (SBST) menawarkan perkhidmatan merangkumi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara dengan jumlah keseluruhan meliputi jarak 235.9 kilometer menerusi 30 buah bas baharu yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

    Apa yang mencuri tumpuan adalah, para penumpang akan dikenakan tambang serendah 90 sen untuk sekali perjalanan. Paling utama adalah, warga Kuala Terengganu bakal menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih kemas, teratur dan selesa dengan bercirikan moden serta mesra alam.

    Inilah hasil daripada perancangan rapi kerajaan menerusi SPAD yang mahu memastikan seluruh rakyat di negara ini terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pesisirnya, menikmati pengangkutan awam yang efisyen sesuai dengan taraf kehidupan semasa hari ini.


    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lembaran Baru Pengangkutan Awam Di Terengganu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top