Monday, 29 February 2016

Mahathir Keluar UMNO, Bagaimana Nasib Muhyiddin Dan Lain-Lain?



Pada tanggal 29 Februari 2016, secara kebetulan tahun lompat pada tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamed, individu yang pernah mentadbir Malaysia dan UMNO selama 22 tahun, akhirnya mengumumkan, telah keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta merta.

Antara alasan yang beliau berikan adalah, beliau sudah hilang keyakinan terhadap UMNO hari ini yang beliau sifatkan sebagai satu parti hak milik sepenuhnya Datuk Seri Mohd Najib, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Nyata disini, beliau cuba menolak semua perlakuan yang telah beliau lakukan dahulu, iaitu menggariskan setiap ahli UMNO harus hormat dan taat kepada Presiden parti. Inilah gagasan yang beliau bentuk dahulu dan hari ini, beliau sendiri memilih untuk menjadi pengkhianat parti demi mahu melihat Datuk Seri Mohd Najib dijatuhkan.
 
Dalam perkembangan yang sama, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana nasib dan arah haluan Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz, Datuk Seri Shafie dan lain-lain lagi yang masih memegang kad keahlian UMNO sejak mereka mula berkecimpung dalam arena politik. Adakah mereka masih mahu kekal didalam UMNO atau mereka memilih untuk "sehidup semati" dengan Tun M.

Tan Sri Muhyiddin, bekas Timbalan Presiden UMNO, dalam banyak kenyataan beliau menegaskan, beliau tidak akan sesekali meninggalkan UMNO. Ungkapan ini beliau lafazkan lebih daripada tiga kali. Beliau yang secara nyata memperjuangkan apa yang diperkatakan oleh Tun M ini nampaknya bakal kehilangan arah.

Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Adakah beliau masih mahu bersama UMNO setelah ayahnya yang juga pengasas UMNO baru bertindak meninggalkan parti? Adakah beliau masih mahu berketuakan Datuk Seri Mohd Najib atau memilih untuk menyokong perjuangan ayahnya, diluar daripada UMNO?

Apa yang pasti, kedua-dua mereka sehingga kini masih belum menyatakan pendirian mereka. Namun, jika diambil dari tingkah laku mereka sebelum ini, dijangkakan, mereka akan kekal didalam UMNO dan hanya menunggu Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Disiplin UMNO membuang mereka dari UMNO.

Justeru, kelibat mereka pastinya ditagih Tun M untuk menjadi mata-mata beliau didalam UMNO dan seterusnya memberi peluang untuk beliau melancarkan serangan terhadap Datuk Seri Mohd Najib dari luar UMNO.

Nyata, para pengikutnya kini berbelah bahagi samada ingin bersama-sama Tun M untuk berjuang dari luar, atau terus kekal dalam UMNO. Apa yang pasti, untuk mereka-mereka ini, keluarlah secara baik dari UMNO. Kerana walaupun Tun M keluar dari UMNO mahupun masih ahli UMNO, UMNO terus dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib, individu yang paling dibenci Tun M sekarang.

Adakah mereka-mereka ini masih mempunyai maruah untuk kekal dalam UMNO walaupun setiap hari zikirnya adalah menghentam Datuk Seri Mohd Najib? terpulang bagi mereka-mereka ini, samada masih ingin bersama atau keluar bersama-sama dengan Tun M, idola mereka-mereka ini sepanjang hayat.

Nafsu Politik Mahathir Tidak Akan Padam Selagi Masih Bernyawa





Apabila menyebut sahaja nama Tun Dr Mahathir Mohamed sewaktu beliau masih berkuasa dahulu, pastinya ramai dikalangan rakyat Malaysia yang gerun. Malah nama beliau turut menjadi sebutan dan bualan bagi ramai pemimpin dunia pada waktu itu.

Sememangnya diakui, kelantangan beliau dalam menyuarakan sesuatu perkara begitu digeruni oleh ramai pemimpin barat sehingga ada diantaranya menggelarkan beliau dengan pelbagai gelaran, antaranya pemimpin gila dan sebagainya.

Itulah antara kenangan manis yang ditinggalkan oleh Tun M sewaktu beliau meminpin negara ini dari tahun 1981 sehingga 2003. Pada waktu itu, namanya bukan kecil, cukup untuk membuatkan ramai peminpin antarabangsa berfikir, bagaimana untuk mendiamkan beliau dari menyuarakan pandangan kritis beliau di peringkat antarabangsa.

Namun kini, setelah beliau melepaskan semua jawatannya dalam parti mahupun negara, individu yang menjadi sanjungan rakyat Malaysia sebelum ini, bertukar menjadi suara pengkhianat didalam UMNO mahupun suara perosak kepada kepimpinan selepas beliau.

Agak menghairankan, apa yang beliau cari disebalik semua gangguan yang beliau sendiri wujudkan. Jika mahu mengatakan beliau memang mahu kembali ke kerusi Perdana Menteri, adalah sesuatu yang amat tidak masuk akal kerana usia beliau sendiri sudah mencecah 90 tahun. Alasan dengan mengatakan semua tindakan beliau kerana sayangkan negara juga menimbulkan tanda tanya.

Adakah dengan menyerang dan memburukkan kepimpinan hari ini mampu untuk mengembalikan negara pada landasan yang betul? Beliau pernah mendakwa, beliau tidak mempunyai ruang untuk bersekemuka dengan Datuk Seri Mohd Najib, malah beliau mendakwa Perdana Menteri enggan berjumpa dengan beliau.

Adakah beliau terlalu naif untuk menilai sendiri ajakan Perdana Menteri untuk bertemu dengannya bila-bila masa yang Tun M mahu? Kenapa beliau memilih untuk terus menabur fitnah? Adakah beliau rasa tindakan beliau sekarang baik untuk UMNO dan negara?

Memetik kenyataan bekas Menteri Sumber Manusia dan bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek, beliau begitu hairan dengan tindakan bekas bos beliau yang tidak sudah-sudah mencampuri urusan orang lain. Beliau hairan, kenapa Tun M masih berminat mencampuri urusan negara sedangkan zamannya sudah lama berlalu.

Mengambil contoh bekas Presiden Amerika Syarikat seperti George H. W. Bush, Bill Clinton, Richard Nixon dan ramai lagi yang masih hidup, mereka jelas terlalu profesional dengan langsung tidak mencampuri urusan pentadbiran Amerika hari ini yang dipimpin oleh Barrack Obama.

Mereka juga langsung tidak menulis blog atau apa sahaja demi mahu memastikan Presiden Amerika sekarang ditumbangkan. Begitu juga negara-negara maju yang lain dimana Presiden atau Perdana Menterinya lebih senang untuk menikmati hari pencen mereka berbanding masuk campur dan sibuk mengumpulkan pengikut untuk menjatuhkan kepimpinan hari ini.

Mungkin Tun M boleh melihat bagaimana kehidupan seorang lagi Perdana Menteri yang pernah menjadi "mangsa" kepada kerakusan politik beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kini dilihat begitu tenang menikmati hari-hari selepas beliau meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri.

Malah beliau sendiri pernah berkata, beliau sudah terlalu tua untuk mencampuri urusan politik negara. Adakah Tun M merasakan dirinya semakin muda dan masih lagi menuntut kerusi Perdana Menteri? Paling utama, adakah beliau mahu menikmati "hari kematiannya" diatas kerusi Perdana Menteri yang tidak ada sesiapa lagi yang layak untuk mendudukinya?

Tahap Keselamatan Di Sabah Terkawal

LAWATAN: Nur Jazlan (tengah) melawat Pangkalan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am semalam. — Gambar Bernama

Tahap keselamatan di negeri ini khususnya di pantai timur terkawal biarpun terdapat nasihat perjalanan kerajaan Australia dan United Kingdom kepada rakyatnya yang ingin melancong ke Sabah. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, rakyat Sabah tidak perlu takut biarpun amaran perjalanan dikeluarkan oleh dua negara itu yang menyebut keselamatan di negeri ini kurang baik.

“Saya mahu nyatakan bahawa dalam lawatan saya ke sini (Sabah) kalau keselamatan tidak baik sudah tentu saya tidak datang untuk membuat lawatan kerja.

“Rakyat Sabah tidak perlu takut. Tiga tahun dahulu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak wujud dan kini ESSCom sudah wujud yang sentiasa mempertingkatkan keupayaan di laut dan darat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pejabat Pasukan Gerakan Am Batalion 15 di sini, semalam.

Beliau dalam rangka lawatan kerja di negeri ini sejak tiga hari lepas bermula di Kota Kinabalu dan Kudat, manakala semalam di sini dan hari ini di Lahad Datuk bagi meninjau kawalan keselamatan agensi keselamatan di bawah ESSCom.

Beliau berkata pewujudan ESSCom memberi satu kawalan keselamatan di Sabah dalam memastikan kedaulatan negeri ini tidak mudah dicabul seperti yang berlaku tiga tahun lepas menerusi pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.

Katanya kerja secara bersepadu oleh ESSCom ada pelbagai, bukan sahaja untuk menangkis serangan yang dirancang oleh pengganas tetapi lebih luas mengawal sempadan perairan di pantai timur Sabah.

Menurutnya sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang panjang boleh dibolosi pelbagai anasir tidak diingini khususnya dalam aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan penyeludupan manusia. Nur Jazlan berkata sebab itu usaha dibuat sekarang adalah memperketatkan peraturan dan kawalan terhadap dua aktiviti iaitu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya ini termasuklah untuk meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhati-hati mengeluarkan apa-apa lesen kepada pengeksport dan pengedar yang boleh disalah guna untuk penyeludupan.

Selain itu, beliau berkata isu mengenai pendaftaran kapal Kumpit dari selatan Filipina yang didakwa menyumbang kepada aktiviti penyeludupan turut diberi perhatian. Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) perlu diambil kira.

Katanya menerusi lawatan kerjanya itu, beliau mendapati anggota keselamatan di bawah ESSCom gigih melaksanakan tugas dan bersemangat. “Kebajikan anggota ESSCom dalam pelbagai agensi perlu diambil kira untuk memastikan bahawa moral mereka sentiasa tinggi,” katanya.

Beliau berharap lawatan kerjanya dapat memberi suntikan moral kepada anggota ESSCom sebelum penyediaan peruntukan disediakan bagi menaik taraf hal-hal kebajikan anggota agensi itu.

Tiada Sebarang Potongan Menerusi Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia




Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip menegaskan bahawa tidak ada sebarang pemotongan menerusi Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia (BKP1M) sebanyak RM100 oleh mana-mana sekolah di negeri ini.

Katanya, bantuan berkenaan sudah diagihkan secara berperingkat-peringkat bermula 20 Jan lepas bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan awal tahun. “Kita mahu semua pihak sekolah memainkan peranan penting dengan memastikan tidak ada seorang pun murid yang berhak menerima bantuan tercicir daripada bantuan itu.

“Sekiranya ada sekolah yang tidak melaksanakan agihan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, maka, kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit,” katanya di Kota Kinabalu, kelmarin.

Selain itu Jame berkata, meskipun bantuan itu masih diteruskan sehingga kini, syarat baharu telah dikenakan iaitu kelayakan adalah dari keluarga (isi rumah) ibu bapa atau penjaga haruslah berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah sahaja layak menerima bantuan berkenaan.

Tambah beliau, murid atau pelajar yang terpilih juga haruslah berstatus Warganegara Malaysia bersekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan bagi murid tahun satu hingga tingkatan lima. Beliau juga mengingatkan pihak sekolah agar meletakkan cop ‘telah bayar’ pada borang perpindahan murid yang ingin berpindah sekolah bagi mengelak berlakunya pertindihan agihan di sekolah baharu.

Terdahulu, bantuan berkenaan dijangka dapat dimanfaatkan kepada kira-kira 3.5 juta pelajar di seluruh Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM350 juta.

Adenan Mohon Kerajaan Pusat Bantu Selesai Masalah Perparitan




Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memohon jasa baik kerajaan persekutuan membantu kerajaan negeri ini menyelesaikan masalah perparitan. Menurutnya, saliran tidak mencukupi antara penyebab banjir di Kuching yang berkedudukan rendah. 

Beliau berkata banjir di Kuching tahun ini adalah lebih serius berbanding tahun-tahun lalu. “Seperti Sibu yang terletak di kawasan tanah rendah adalah sukar mencari tanah berbukit.

“Apabila banjir datang, Sibu akan terjejas teruk.

“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri dan membuahkan hasil tetapi banjir tetap berlaku.

“Oleh itu, kita perlu meminta bantuan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah perparitan di Sarawak,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2016 di Dataran Bandar Sibu Fasa I di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan isteri, Datin Sri Pauline Leong, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta menteri-menteri persekutuan dan kabinet negeri.

Adenan memberitahu, Sarawak adalah sebuah negeri yang luas di mana bahagian selatannya mengalami masalah banjir manakala bahagian utaranya mengalami masalah kemarau. “Kami berada dalam kesusahan sekarang. Hujan berterusan di Kuching manakala di Miri dan Hulu Baram mengalami kemarau,” ujarnya.

Beliau berkata kehadiran Najib ke Sarawak pada malam ini (kelmarin) adalah sangat tepat bagi menyaksikan sendiri masalah banjir di bahagian Kuching. Sementara itu, Adenan menggesa semua pihak memberi masa kepada Najib menunaikan janjinya kepada Sarawak.

Beliau berkata Najib memiliki jiwa yang besar dan sememangnya komited membawa pembangunan untuk negeri dan rakyat Sarawak. “Beliaulah yang selalu bersama-sama kita. Dengan adanya Najib yang simpati dengan kita dapatlah kita mencapai cita-cita kelak,” jelasnya.

Katanya antara projek penting dilaksanakan Najib di negeri ini ialah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang lebih 1,000 kilometer dari Lawas hingga Sematan.

Banjir di Kuching Mulai Pulih




Keadaan banjir di bahagian ini semakin pulih namun masih terdapat tiga lagi pusat pemindahan dibuka di Serian dekat Samarahan semalam berikutan masih terdapat kawasan rendah digenangi air. 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, seramai 107 mangsa daripada 26 buah keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan tersebut setakat pukul 6 petang.

Menurutnya, antara pusat pemindahan yang masih aktif dibuka ialah di Dewan Gereja Scared Heart, Balai Raya Kampung Koran dan Dewan Slabi Engtungkuh, Serian. “Dewan Gereja Scared Heart di Serian masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 57 orang daripada 15 buah keluarga.

“Ini diikuti di Dewan Slabi Engtungkuh dengan 40 mangsa daripada sembilan keluarga, manakala selebihnya di Balai Raya Kampung Koran iaitu 10 orang daripada dua keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bahasa Melayu Gagal, Bahasa Inggeris Pula Lemah



Sejak berabad lalu, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa utama di Nusantara dan sebahagian dunia, sekaligus menjadikannya sebagai bahasa sejagat. Sama ada dari segi penggunaan untuk urusan komoditi dan perdagangan, pengembaraan mahupun komunikasi masyarakat, bahasa Melayu mempunyai nilai tersendiri setanding bahasa utama lain. 

Kini, bahasa Melayu berkembang meluas melangkaui batas sosiobudaya, ekonomi dan geografi, seterusnya kekal sebagai antara bahasa popular di dunia. Situasi ini memberi impak besar terhadap usaha dilakukan pelbagai pihak untuk meningkatkan kualiti penguasaaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di negara ini terutama generasi muda.


Usaha kerajaan melalui program Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat usaha proaktif untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Jabatan Bahasa Melayu dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norazlina Mohd Kiram berkata, usaha itu menjadi kesinambungan khusus bagi memastikan bahasa Melayu terus dimantapkan dalam pendidikan. Katanya, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi memerlukan usaha pengembangan dan pengukuhan bagi memastikan ia terus selari dan relevan.

“Penggunaan bahasa Melayu mekanisme paling penting dalam sistem pendidikan negara terutama dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P).

“Asas penggunaan itu perlu kukuh kerana ia berkait rapat dengan permulaan sistem P&P yang menjadi teras kepada semua pelajar.

“Jika asas menguasai bahasa Melayu mantap, yang lainnya juga akan menjadi mudah,” katanya.

Dr Norazlina berkata, walaupun bahasa Melayu tampak mudah untuk dituturkan atau dikuasai, hakikatnya masih ramai gagal menggunakannya mengikuti standard sebenar.

“Masalah utama bahasa Melayu ialah ramai penuturnya masih belum mampu menggunakan bahasa yang betul ketika menuturkannya walaupun kebanyakan daripada mereka penutur tempatan termasuk siswa di institusi pengajian tinggi.

“Justeru, pengukuhan bahasa Melayu di peringkat tempatan perlu dipertingkatkan dan ini sesuatu yang sangat menyedihkan.

“Kita tidak menghalang atau menolak penggunaan bahasa lain, tapi perlu mengimbanginya supaya semua golongan mampu menguasai bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara, selain menjadi identiti masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya, idea atau stereotaip yang mengatakan individu bertutur dalam bahasa Melayu mempunyai tahap pendidikan rendah juga perlu dihakis kerana ia tidak benar sama sekali. “Tahap pendidikan tidak bersandarkan kepada bahasa pertuturan kerana bahasa hanyalah medium perantara, bukan melambangkan pendidikan.

“Mereka yang lancar bertutur dalam bahasa Inggeris misalnya, tidak semestinya bijak dan boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

“Tetapi kita tidak boleh menolak hakikat bahawa kebanyakan mereka lebih suka berbahasa asing, sekali gus menenggelamkan keupayaan untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Dr Norazlina berpendapat, penguasaan bahasa Melayu masih di tahap membimbangkan dan agak goyah dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang. “Implimentasi dan penguasaan bahasa masih kurang walaupun dalam kalangan siswa. Dengan wujudnya teknologi terkini, sepatutnya ia membantu mereka menguasai bahasa Melayu dengan lebih mudah.

“Tapi menyedihkan apabila mereka tidak memanfaatkan kemudahan teknologi dengan baik, malah mengeruhkan lagi dengan pengunaan bahasa singkatan yang salah,” katanya.

Menurutnya, situasi semasa agak membimbangkan kerana penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan siswa tempatan sendiri masih lemah. Berdasarkan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKOM) yang dijalankan terhadap pelajar semester tiga dari FBMK, 2.7 daripada mereka gagal apabila hanya memperoleh keputusan Band 2 dan 3.

“Menerusi ujian UKOM itu membuktikan masih ada siswa gagal menguasai bahasa Melayu. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka mempelajari bahasa Melayu sejak darjah satu lagi.

“Walaupun peratusan yang gagal itu sedikit, ia sepatutnya tidak berlaku langsung kerana jumlah kegagalan seharusnya sifar,” katanya. Meskipun ramai berpendapat penggunaan bahasa Inggeris lebih penting dan bertaraf antarabangsa, bahasa Melayu perlu disanjung kerana ia mencerminkan identiti bangsa.

“Sepatutnya kita menguasai bahasa Melayu terlebih dulu, kemudian barulah bahasa lain supaya tidak terumbang-ambing dan akhirnya kedua-dua bahasa tidak dapat dikuasai.

“Sebagai contoh, ada siswa tidak mahir berbahasa Inggeris tapi penguasaan bahasa Melayu mereka juga lemah.

“Sebagai rakyat Malaysia yang belajar bahasa Melayu sejak dari darjah satu lagi, seharusnya bahasa itu dikuasai, tambahan pula ia melambangkan jati diri,” katanya.

Pro Presiden Sapu Bersih Parlimen Teheran




Sekutu-sekutu Presiden Iran, Hassan Rouhani telah memenangi kesemua 30 kerusi Parlimen Teheran selepas lebih 90 peratus undi dikira daripada pilihan raya minggu lalu, lapor rangkaian televisyen rasmi negara ini semalam. 

Parti Senarai Harapan diketuai pemimpin pembaharuan, Mohammad Reza Aref yang juga seorang bekas Naib Presiden telah berjaya menewaskan calon pilihan konservatif, Gholam-Ali Hadad Adel ke tempat-31 bagi memastikan kemenangan mutlak, jelas laporan awal pemilihan tersebut.

Kiraan semasa menunjukkan Gholam-Ali ketinggalan lebih 6,000 undi di belakang calon di tempat ke-30 dengan baki hanya 10 peratus kertas undi belum dikira. Keputusan itu adalah berasaskan sekitar 2.6 juta undi daripada keseluruhan 2.9 juta pengundi di Teheran yang menjadi satu tapak pertandingan penting.

Jika keputusan itu disahkan, kesemua lapan calon wanita dari Parti Senarai Harapan akan dilantik ke Parlimen. Sebanyak 290 kerusi Parlimen dipertandingkan dalam pilihan raya Jumaat lalu. Bagaimanapun, sekutu Presiden Iran mempunyai nasib kurang baik dalam pemilihan untuk 260 kerusi di peringkat wilayah.

Daripada 56 kawasan pemilihan di luar ibu negara, 19 dimenangi senarai utama calon-calon konservatif, sembilan daripada sekutu Presiden sementara 14 lagi terdiri daripada calon-calon bebas. Enam daripada calon bebas terbabit mempunyai hubungan rapat kepada kumpulan konservatif, lima kepada gerakan pembaharuan dan tiga lagi tidak menyatakan kecenderungan politik mereka.

Baki 14 kerusi masih belum mempunyai pemenang yang jelas dan mungkin memerlukan pengundian kali kedua sekitar bulan April atau Mei ini.

Trump Adalah Jelmaan Hitler - Bekas Presiden Mexico


Bekas Presiden Mexico Felipe Calderon menyelar calon parti Republikan untuk pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan menyamakannya dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler. Calderon yang turut menggelar Trump sebagai rasis juga memberi amaran, kebangkitan Trump dalam pemilihan parti Republikan hanya menyemarakkan perasaan anti-Amerika di seluruh dunia. 

Calderon, yang menjadi Presiden Mexico dari 2006 hingga 2012, berkata, retorik antipendatang Trump bukan disasarkan kepada pendatang, sebaliknya kepada semua yang mempunyai ‘warna kulit yang berbeza dengannya.

“Trump mengeksploitasi kebimbangan sosial, sama dengan yang dilakukan Hitler sebelum ini,” kata bekas presiden itu kepada wartawan selepas satu majlis di Mexico City.

Menurutnya, Trump hanya menjadikan Amerika Syarikat negara yang dibencikan jirannya. Calon parti Repulikan itu mencetuskan kemarahan Mexico sebelum ini dengan mendakwa negara itu menghantar perogol dan pembunuh ke Amerika Syarikat dan memaksa Mexico membayar kos pembinaan tembok bagi menghalang pendatang.

Seorang lagi bekas presiden Mexico, Vicente Foz (2000-2005) menyifatkan Trump sebagai tidak waras. Katanya, tiada sebab untuk Mexico membiayai tembok yang dicadangkan Trump. Malah beliau turut membayangkan bahawa Trump saling tidak tumpah seperti Benjamin Netanyahu yang bertanggungjawab membina tembok besar di Israel dan Palestin.

MAS, Emirates Kongsi Kod Penerbangan


Pelanggan Malaysia Airlines (MAS) kini berpeluang membeli tiket penerbangan perkongsian kod bagi Emirates Airlines (Emirates) bermula hari ini dengan ahli Enrich akan menikmati 25 peratus mata bonus untuk mana-mana penerbangan perkongsian kod MH400-MH4999 yang dijalankan Emirates antara 22 Februari dan 19 April ini. 

MAS memulakan perjanjian perkongsian kod dengan Emirates minggu lalu dengan kedua-dua syarikat meletakkan kod terbabit di laluan Kuala Lumpur-Dubai dan laluan lain di bawah perjanjian terbabit dengan perkhidmatan ke Dubai akan beroperasi tiga kali sehari melalui penggunaan Boeing 777 dan sekali sehari (Airbus 380).

Perjanjian itu diumumkan pada Disember tahun lalu di mana ia adalah perjanjian perkongsian kod terbesar MAS, sekali gus membuka laluan baru kepada pelanggan MAS melalui penyediaan capaian unik kepada rangkaian dan akses Emirates ke lebih 30 negara termasuk destinasi Amerika Selatan dan Eropah seperti Rome, Paris, Madrid dan Barcelona yang bakal diperkenalkan dalam beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Komersial MAS Paul Simmons berkata, perkongsian kod antara kedua-dua pihak itu adalah aspek penting dalam pelan perluasan rangkaian syarikat pada masa depan yang memberi fokus menghubungkan pelanggan secara global.

“Kami amat berbesar hati untuk melancarkan kerjasama ini dan kami yakin pelanggan kami bakal mendapat manfaat daripada perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Emirates Thierry Antinori berkata, perjanjian perkongsian kod penerbangan dengan Malaysia Airlines akan menyediakan lebih banyak pilihan bagi pelanggan dan hubungan meluas ke 39 destinasi di Eropah.

“Pada masa yang sama, perjanjian ini akan menawarkan kepada pelanggan daripada seluruh rangkaian global Emirates akses ke Malaysia dan pelbagai destinasi dalam rangkaian menyeluruh Asia Pasifik Malaysia Airlines,” katanya.

Angkasa Rancang Beli Saham Pasar Raya


Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merancang membeli saham ekuiti beberapa pasar raya terkemuka bagi memudahkan penjualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera di premis berkenaan. 

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pemilik pasar raya, termasuk Aeon Big dan PETRONAS Dagangan Berhad serta tiga syarikat lain dan menjangkakan usaha itu dapat dimuktamadkan menjelang 2020.

Beliau berkata, apabila direalisasikan, ia mampu melonjakkan keupayaan lebih 5,000 rangkaian koperasi di bawah Angkasa yang terbabit dalam pengeluaran dan penjualan produk IKS. “Ini antara strategi jangka panjang Angkasa membantu usahawan Bumiputera, khususnya IKS. Bayangkan (impaknya) jika PETRONAS Dagangan Berhad yang memiliki lebih 1,000 rangkaian Kedai Mesra dapat memasarkan produk-produk ini.

“Selain Angkasa, pembelian ekuiti itu juga akan membabitkan usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya ketika merasmikan program MyMarket-Malaysia Hypermarket di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi MyMarket Resources, Datuk Ramli Simbok menyuarakan komitmen tinggi syarikat itu membantu usahawan dan pengilang IKS mengembangkan perniagaan mereka, termasuk membuka sebuah pasar raya besar dalam masa setahun. Perkara itu kini dalam peringkat akhir perancangan dan Lembah Klang dipilih sebagai lokasi awal penubuhannya.

Junjungan Kasih Raja Dan Rakyat



Gilang-gemilang, meriah dan penuh dengan warna-warni. Itulah yang boleh diungkap saat berpeluang menonton Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu. Konsert khas tersebut diadakan julung kali sempena memuliakan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-85. 

Menariknya, konsert tersebut mencatat rekod tersendiri apabila Sultan Ahmad Shah turut diraikan oleh rakyat jelata pada penghujung majlis dengan menyanyikan lagu Allah Selamatkan Tuanku secara beramai-ramai sambil baginda memotong kek hari keputeraan.

Momen istimewa yang disaksikan secara langsung oleh rakyat itu bukan sahaja menggembirakan Sultan Ahmad Shah, tetapi juga semua penonton yang hadir. Walaupun ia sebuah acara hiburan, namun impaknya cukup besar kerana bukan selalu rakyat dapat duduk bersama dengan baginda dalam sesebuah majlis.


Wajah Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada boleh disifatkan sempurna. Berdurasi dua jam 15 minit, konsert tersebut diserikan dengan persembahan tujuh penyanyi terkenal tanah air.

Kesemua mereka pernah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Rossa, Datuk Yusni Hamid, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam dan Datuk Leonard Tan.

Paling tidak boleh dilupakan adalah persembahan pembukaan oleh anak jati Pahang, Siti Nurhaliza dengan lagunya Tari Tualang Tiga dan Joget Pahang. Siti lengkap bersongket busana tradisional. Sebaik sahaja pasukan Orkestra Simfoni Kebangsaan memulakan muzik, kelibat Siti bersama segerombolan penari mula menguasai pentas.

Selain Siti Nurhaliza, kemunculan penyanyi yang diterbangkan khas dari Jakarta, Indonesia, Rossa membuatkan penonton terbuai oleh melodi mendayu-dayu daripada rantaian lagu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Itulah Sayang. Tidak ketinggalan, Rossa turut menghangatkan pentas dengan lagu rancak seperti Hey Ladies dan Pudar.

Menariknya, persembahan lagu Pudar oleh Rossa diserikan dengan kehadiran penyanyi serta penari cilik daripada Permata Seni Koir dan Tari. Menurut Rossa, beliau berbesar hati kerana turut diundang untuk menjayakan persembahan di pentas penuh berprestij itu bersama dengan barisan penyanyi terbaik Malaysia.

Meskipun bukan kali pertama beraksi di pentas Istana Budaya dan mengadakan persembahan di hadapan Sultan Ahmad Shah, debaran tetap dirasainya. “Saya bersyukur atas penghormatan dan jemputan ke konsert ini. Sebelum ini saya selalu juga diundang untuk menyanyi di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada majlis rasmi negeri, cuma kali ini persembahannya sangat berbeza.

“Apa yang boleh dikatakan, saya memang berdebar sebelum naik ke pentas kerana saya sempat berlatih satu malam sahaja. Namun, saya telah beri yang terbaik dan cuba menggembirakan Tuanku serta semua tetamu yang hadir sebaik mungkin,” katanya yang berada di Malaysia sehari sebelum konsert berlangsung.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan tagline ‘terima kasih’, David Arumugam pula dilihat bijak membeli jiwa penonton. Mendendangkan tiga buah lagu iaitu Hingga Akhir Nanti, Puisi Sang Puteri dan Sekuntum Mawar Merah, beliau menjadikan konsert penuh protokol tersebut lebih santai dengan mengajak penonton menyanyi bersama-sama.

Tidak ketinggalan, penghibur yang terkenal dengan jolokan penyanyi diraja iaitu Yusni Hamid juga memukau penonton dengan suaranya yang lemak merdu. Meskipun telah berusia 65 tahun, staminanya setanding dengan penyanyi muda.

Tanpa penari latar, kehadiran Yusni Hamid seorang diri di Panggung Sari bertemankan vokal lunak merdunya sudah cukup untuk memastikan mata penonton tertumpu kepadanya. “Saya memang sudah biasa menyanyi untuk konsert diraja. Alhamdulillah pada usia emas begini, tawaran tidak pernah putus. Sebenarnya saya cukup berbesar hati kerana terlibat dalam sebuah persembahan yang dianggap cukup berprestij.

“Biasanya konsert diraja dibuat secara tertutup tetapi kali ini dengan kehadiran penonton, ia lebih bermakna. Saya selalunya menyanyikan lagu Melayu asli, tetapi hari ini diminta untuk mendendangkan lagu bersifat popular,” ujarnya yang menghiburkan dengan barisan lagu Kau Yang Ku Nanti, Di Wajahmu Ku Lihat Bulan dan Kasih.

Dalam pada itu, Hattan dan Jamal Abdillah turut mendapat tepukan gemuruh penonton apabila mereka berduet lagu Kepadamu Kekasih. Segak memakai tuksedo, Jamal turut menyanyikan lagu popularnya seperti Aku Penghibur, Sepi Seorang Perindu dan Keluhan Perantau. Hattan pula memikat penonton dengan lagu Kau Yang Satu dan Dari Kekasih Kepada Kekasih.

Seorang lagi penyanyi yang membikin penonton ingin bergoyang sudah tentu Leonard Tan yang terkenal dengan kebolehannya meniru vokal penyanyi lain. Malam itu, beliau menghiburkan tetamu diraja dengan barisan lagu malar segar seperti What A Wonderful World, Fly Me To The Moon dan Sway.

Tidak hanya dihiburkan dengan nyanyian, semangat patriotik penonton seolah-olah terbakar apabila Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin berdiri mendeklamasikan sajak berjudul Benarlah Bagai Dikata: Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Segmen deklamasi sajak itu dibantu teknologi pentas blackgauze. Usai tepukan gemuruh lontaran semangat puisi tersebut, tiga penyanyi iaitu Siti, Rossa dan Yusni Hamid muncul beradu vokal menerusi lagu Mencintaimu sebagai penutup konsert.

Istimewanya sepanjang konsert berlangsung penonton turut dihidangkan dengan foto-foto serta video Sultan Ahmad Shah serta Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom yang tidak pernah dipertontonkan kepada umum sejak dari zaman muda sehingga terkini.

Gambar dan video yang dipertontonkan dalam konsert tersebut secara tidak langsung membuatkan rakyat lebih mengenali baginda. Apa yang lebih membahagiakan, sebahagian hasil kutipan tiket dan penajaan konsert akan disalurkan ke badan amal tertentu untuk membantu golongan kurang berkemampuan di luar bandar dan pedalaman termasuk anak yatim.

Hadir sama dalam konsert tersebut ialah Penaung Diraja konsert, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Luhur Nurani, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani. Tidak ketinggalan, kehadiran Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pameran dan Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir turut memeriahkan majlis.

Konsert turut dijayakan dengan penglibatan Bank Rakyat, Agrobank, Genting Malaysia Bhd., Suruhanjaya Syarikat Malaysia, UEM Group Bhd., Persatuan Siswazah Warisan, Pertubuhan Strategis Bersatu, Yayasan Almas, Permata Seni serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Majlis Resepsi Akim - Stacy, Adat Melayu Di Pilih





Tema tradisional Melayu menjadi pilihan pasangan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Akim, 25, dan Stacy, 26, pada majlis resepsi mereka di Dewan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Sabtu lalu. Majlis yang berlangsung dalam suasana romantis itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga, sanak-saudara, kenalan, rakan artis dan tetamu kehormat. 

Pasangan mempelai yang selamat diijabkabulkan pada 5 Februari lalu itu kelihatan bagaikan pinang dibelah dua menerusi busana songket berwarna coklat rekaan Raffiey Nasir. Mereka tiba di pekarangan dewan pada jam 8.45 malam diringi motosikal berkuasa tinggi.

Ketibaan pasangan sejoli yang mula bercinta sejak 2012 itu disambut dengan bacaan selawat, paluan kompang dan persempahan zapin daripada Kumpulan Seri Permas. Sambil menjamu selera, Akim dan Stacy serta hadirin dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh bekas peserta Miss World 2008 , Soo Wincci yang menyampaikan lagu, Musim Asmara.

Tetamu dihiburkan dengan nyanyian dua anak didik Akim dalam Program Mentor Millenia iaitu Han dengan lagu I’m Yours diikuti I Will Always Love You oleh Ebba. Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video di layar gergasi yang memaparkan luahan Akim dan Stacy terhadap satu sama lain dan perkongsian kisah menarik sepanjang perkenalan mereka sehingga disatukan di jenjang pelamin.

Sebagai selingan, tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian zapin lagu Kurik Kundi dan joget lambak daripada kumpulan penari sebelum kedua-dua mempelai dibawa ke pentas untuk bersanding. Penyanyi rock tersohor, Amy Search yang hadir bersama isterinya, Nourish Hassan turut membuat kejutan apabila tampil berduet dengan bapa Akim, Ahmad yang juga rakan baiknya ketika di bangku sekolah.

Nyanyian duet mereka menerusi lagu Isabella ternyata menggamatkan suasana dewan yang indah dengan sentuhan dekorasi berwarna putih. Pengacara majlis, Farish Aziz mengundang kedua-dua mempelai menyempurnakan acara memotong kek.

Meskipun diraikan sebagai raja sehari, Akim tetap membuat persembahan menerusi lagu Potret yang baru saja merangkul gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30. Pasangan mempelai berduet menerusi lagu Mohon Kasih.

Meskipun tidak menghafal lirik dan sinonim dengan irama rancak, Stacy tetap menyahut cabaran Akim menyanyikan lagu nyanyian asal Tan Sri SM Salim itu. Sebagai kemuncak acara, Akim dan Stacy selaku tuan rumah menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja yang hadir sebagai tanda penghargaan serta mengabadikan kenangan hari bahagia mereka dengan bergambar bersama keluarga dan tetamu.

Antara rakan artis yang hadir, Tomok, Black, Amy Search, Datin Alyah, Dafi, Ika Nabila, Lufya, Anita Baharom, Atu Zero dan ahli kumpulan Akim & The Majistret. Tetamu kehormat yang hadir pula adalah Ketua Polis Johor, Datuk Wan Najmuddin.

Mohd. Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad sah menjadi suami kepada Ummu Syaikhah Stacy Anam di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari lalu dengan dua kali lafaz. Pasangan itu dinikahkan Jurunikah Jabatan Agama Negeri Sabah (JAIS), Tuan Haji Matlin Dimin berwakilwali abang Stacy, Mohd Adam Hakimi Anam. Majlis persandingan mereka diadakan pada sebelah malamnya mengikut adat Sabah.

LTdL : Guardini Juara Lagi Buat Kali Ke 20


PAKAR pecut pasukan Astana Pro Team, Andrea Guardini membuktikan kejaguhannya pada kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi 2016 (LTdL) apabila menjuarai saingan peringkat kelima, sekali gus melebarkan rekod kemenangannya buat kali yang ke-20 pada perlumbaan peringkat semalam.

Guardini yang terkenal dengan jolokan ‘Mr Langkawi’ membuktikan kepantasannya apabila menamatkan perlumbaan sejauh 148.8 kilometer (km) yang bermula dari Tapah, Perak dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan catatan tiga jam 18 minit 50 saat.

Walaupun disajikan dengan bahang panas mencecah 38 darjah Celsius, ia tidak menghalang pelumba berusia 26 tahun itu untuk menjuarai saingan peringkat kelima tersebut. Tempat kedua disambar Andrea Palini (Skydive Dubai Pro Cycling Team) dan Reinardt JV Rensburg daripada Dimension Data menduduki tempat ketiga selepas mencatat masa sama bersama kelompok besar yang mencecah garisan penamat.

Bagi pelumba negara pula, Muhamad Adiq Husainie Othman daripada Terengganu Cycling Team (TSG) kekal sebagai Pelumba Terbaik Asia manakala pelumba veteran Malaysia, Loh Sea Keong yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai Pelumba Paling Agresif buat kali ketiga berturut-turut.

Berikut merupakan keputusan penuh peringkat kelima semalam

Kedudukan Semalam

1. Andrea Guardini (Itali) - Astana Pro Team - 3 : 18' 50 saat
2. Andrea Palini (Itali) - Skydrive Dubai Cycling Team - 3 : 18' 50 saat
3. Reinardt J V Rensburg (Afrika Selatan) - Dimension Data - 3 : 18' 50 saat

Jersi Kuning (Juara Keseluruhan)

1. Miguel Angel Lopez (Columbia) - Astana Pro Team - 17 : 26' 53 saat
2. Reinardt J V Rensburg (Afrika Selatan) - Dimension Data - 17 : 27' 16 saat
3. Daniel Diez (Columbia) - UnitedHealthCare - 17 : 27' 27 saat

Jersi Teal (Raja Pecut)

1. Andrea Guardini (Itali) - Astan Pro Team - 58 mata
2. Andrea Palini (Itali) - Skydrive Dubai Cycling Team - 37 mata
3. Wang Meiyin (China) - Hengxiang - 31 mata

Jersi Polka Dot (Raja Bukit)


1. Wang Meiyin (China) - Hengxiang - 49 mata
2. Loh Sea Keong (Malaysia) - Malaysia National Team - 28 mata
3. Miguel Angel Lopez (Columbia) - Astana Pro Team - 25 mata

Jersi Putih (Terbaik Asia)

1. Adiq Husaini Othman (Malaysia) - Terengganu Cycling Team - 17 : 28' 15 saat
2. Masakazu Ito (Jepun) - Aisan Racing Team - 17 : 28' 21 saat
3. Zhao Jingbiao (China) - Henxiang - 17 : 28'22 saat

Perlumbaan peringkat keenam sejauh 147.6km akan bermula dari Putrajaya dan berakhir di Rembau, Negeri Sembilan hari ini.

Video : Caballero Buat Liverpool Pulang Hampa



Willy Caballero menyelamatkan tiga penalti untuk membantu Manchester City menjuarai Piala Liga Inggeris, di Stadium Wembley, awal pagi ini. 

Kecermelangan Caballero ini membolehkan City menang 3-1 ke atas Liverpool menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1. Gol City dijaringkan oleh Fernandinho manakala Liverpool pula dijaringkan oleh Pjilippe Coutinho.

Biarpun penjaga gol kelahiran Argentina itu pilihan kedua selepas Joe Hart pada saingan Liga Perdana dan Piala Juara-Juara, dia sering berada dalam kesebelasan utama bagi siri Piala Liga. Penjaga gol 34 tahun itu menafikan sepakan penalti Lucas Leiva, Philippe Coutinho dan Adam Lallana.

Yaya Toure kemudian menjaringkan gol kemenangan untuk City bagi membolehkan bekas Juara England ini memperolehi piala pertama untuk musim ini.


Mayat Guru Dijumpai Di Sungai Golok



Seorang guru sekolah rendah ditemui mati dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala di Sungai Golok berdekatanPengkalan Jambu, Narathiwat, Thailand semalam. Mayat Azami Mohamed, 38, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Mengkebang, Kuala Krai ditemui terapung dan berpakaian lengkap oleh pihak berkuasa negara itu pada pukul 9 pagi. 

Difahamkan, sebelum ditemui mati, Azami yang merupakan guru pendidikan khas itu sudah beberapa hari tidak hadir bertugas kerana didakwa mempunyai masalah peribadi. Bapa mangsa, Mohamed Ibrahim, 78, seorang penoreh getah berkata, dia tidak mengetahui tujuan anaknya yang masih bujang ke negara jiran kerana mangsa sudah lama tidak pulang ke rumah sebelum itu.

“Saya mengetahui anak saya ditemui sudah meninggal dunia setelah dimaklumkan oleh pihak polis semalam (hari ini). “Saya dan isteri, Zaharah Mohamad, 70, tidak menyangka anak saya ditemui dalam keadaan sedemikan rupa,” kata warga emas itu di sini semalam.

Mohamed yang terkilan dengan kejadian itu berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca anaknya disyaki dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke sungai.

Lans Koperal Parah Dibelasah 10 Lelaki


Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah dibelasah sekumpulan 10 lelaki selepas mangsa dikatakan menegur perbuatan mereka di persimpangan lampu isyarat Sri Taming, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun bersama seorang lagi rakan dikatakan mengarahkan dua kereta iaitu Proton Waja dan Nissan Sentra dinaiki 10 lelaki berhenti di tepi jalan dipercayai untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, kumpulan suspek bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengarahkan kereta mereka berhenti di tepi jalan. Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, anggota polis terbabit turut disamun sebelum suspek melarikan diri.

“Dompet mangsa bersama telefon bimbit dilarikan suspek manakala rakan mangsa sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan semalam. Difahamkan anggota polis terbabit bertugas di Istana Melawati, Putrajaya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sunday, 28 February 2016

Mahathir Menghancurkan Karier Ramai Orang



Apa yang berlaku terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin baru-baru ini, adalah salah satu daripada kehancuran karier orang yang pernah rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamed. Sejak dari penyertaannya didalam UMNO, beliau tidak lekang daripada menimbulkan kontroversi yang ada diantaranya cukup menjelikkan. 

Beliau adalah individu pertama yang dipecat daripada UMNO berikutan tindakan biadabnya yang menyelar cara Tunku Abdul Rahman dalam menangani insiden 13 Mei 1969. Malah jika tidak kerana bantuan Tun Abdul Razak Hussien, beliau sehingga kini pastinya akan kekal sebagai suara pembangkang didalam Malaysia.

Seolah-olah ingin membalas dendam apa yang berlaku kepada beliau pada tahun 1970, langkah pertama yang beliau lakukan adalah menjatuhkan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn. Atas propaganda beliau lah akhirnya berjaya mempengaruhi Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu untuk menasihatkan Tun Hussien meletakkan jawatan dan sekaligus menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri ke empat.

Masih tidak berhenti setakat itu, nafsu amarah beliau terhadap Almarhum Tunku dilampias pula sepanjang 7 tahun pentadbirannya. Sepanjang tujuh tahun berkenaan, beliau berperang hebat dengan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Almmarhum Tunku mengeluarkan kenyataan untuk menentang beliau didalam UMNO – Istilah yang dimain dan dimanipulasikan pembangkang selama ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga adalah individu yang menyebabkan nama seorang anak kelahiran Johor, Tun Musa Hitam dikenang sebagai petualang sepanjang pentadbiran beliau. Nama Tun Musa Hitam begitu teruk dicemari Tun M hanya semata-mata mahu melihat Tun Musa meletakkan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri bagi memberi peluang kepada Tun Ghaffar Baba.

Insiden yang sama sekali lagi berulang apabila beliau mahu menggantikan Tun Ghaffar Baba dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menjaja cerita tentang keburukan dan kelembapan Tun Ghaffar Baba yang dikatakan beliau, langsung tidak membantu beliau selaku Presiden UMNO dan gagal bekerjasama dengan beliau.

Siapa dapat melupakan persengketaan beliau dengan Tan Sri Razaliegh Hamzah sehingga membawa kepada pengharaman UMNO pada tahun 1988. Bermula dari situlah perseteruan ini berpanjangan sehingga tahun 1993 yang memperlihatkan Ku Li menubuhkan sebuah parti baru, iaitu Semangat 46. 

Sepanjang perseteruan ini, Tun M begitu giat menjaja keburukan Ku Li melalui surat layang dan membeli undi perwakilan yang akan mengadakan pengundian bagi memilih Presiden UMNO pada ketika itu. Pada ketika inilah, hasil daripada campur tangan Datuk Seri Mohd Najib, beliau masih mampu untuk terus berkuasa sehingga tahun 2003.

Bagaimana pula dengan penyingkiran Anwar? Kira-kira seminggu sebelum Anwar dipecat, beliau dilaporkan tidak akan memecat Datuk Seri Anwar selagi beliau belum disabitkan sebarang kesalahan. Nada yang sama turut diulang beliau sewaktu ditanya pemberita tentang kemungkinan memecat Anwar dari parti.

Namun bila tiba masanya, tanpa perlu mendapat persetujuan MT dan Badan Disiplin UMNO, beliau memecat Anwar dari UMNO dan beliau langsung tidak menjaga aib Anwar. Malah, sepanjang pentadbirannya, lebih 40 orang ahli politik telah menemui titik nokhtah karier mereka menerusi I. S.A, sehinggakan beliau dilihat begitu sempurna oleh para pentaksubnya hari ini.

Jadi jelas disini, penggantungan Tan Sri Muhyiddin bukan kali pertama berlaku. Ketua beliau sendiri, Tun M sanggup mengorbankan sesiapa sahaja termasuk anaknya sendiri demi mahu mendapatkan keputusan yang memihak kepadanya.

Adakah ini maksud demokrasi yang diamalkan Tun M sepanjang hayat beliau? Jawapannya cukup mudah. Ini bukan demokrasi. Ianya hanyalah retorik politik. Paling mengecewakan, Tun M sangat jelas menjadi petualang yang mahu melihat UMNO yang beliau asaskan semula pada tahun 1980, berkubur begitu sahaj atas kemahuan beliau sendiri.

Hutan Berhantu Menjadi Lokasi Pilihan Untuk Membunuh Diri



Kejadian membunuh diri adalah suatu perkara yang paling ditegah di sisi agama Islam. Malah difahamkan, hampir kesemua agama di dunia ini menegah umatnya dari mengambil nyawa mereka sendiri walau apa pun sebabnya sekalipun. 

Namun lain yang berlaku bagi penduduk Negara Jepun. Bagi penduduk yang kecewa dalam kehidupan mereka, mereka menjadikan sebuah hutan tebal di lereng pergunungan Fuji di sini sebagai lokasi paling diminati oleh mereka untuk mengakhiri riwayat mereka.

Setiap tahun, pihak Polis Jepun pasti akan menemui berpuluh-puluh mayat si Hutan Aokigahara yang pada kebiasaannya menjadi pusat tumpuan pelancong yang ingin menikmati cabaran berbeza di sekitar pergunungan berkenaan.

 Menariknya, kebanyakan mayat dijumpai oleh pejalan kaki atau pelancong yang berkunjung di kawasan hutan ini. Malah pihak polis juga percaya, terdapat beratus-ratus lagi mayat yang tidak di jumpai, terkubur dikawasan berkenaan.

Menyelusuri kawasan hutan ini, Aokigahara dalam bahasa Jepun bermaksud Lautan Pokok. Sejak dari zaman Samurai lagi, lokasi ini dipilih oleh para Samurai untuk melakukan harakiri dimana mereka percaya, dewi di hutan berkenaan akan menebus semula kesilapan mereka sebaik sahaja selesai melakukan harakiri.

Tradisi ini diteruskan sehingga hari ini apabila, banyak rakyat Jepun memilih hutan ini sebagai lokasi “paling suci” untuk mereka membunuh diri. Difahamkan, pada tahun 1990, purata seramai 30 orang didapati menemui ajal di hutan ini setiap hari.

Dari tahun ke tahun, jumlah ini meningkat sehingga mencecah 108 orang pada tahun 2004. Jadi tidak hairanlah, hutan ini disifatkan paling berhantu didunia kerana banyak kes gangguan mistik dilaporkan berlaku di kawasan ini.

Melucukan, di hutan ini juga dipilih sebagai lokasi penggambaran filem seram samada dari Jepun mahupun Hollywood.Beberapa buah filem telahpun dihasilkan di hutan ini seperti Suicide Forest, Sea of Trees dan banyak lagi.

 Menurut pihak berkuasa Jepun, mereka tidak mempunyai akta khusus bagi menyekat aktiviti ini hanya dengan alasan, itu adalah kehendak mereka dan pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menghalang tindakan mereka. Ingin merasai “kegelapan” yang ada disini? Berkunjung lah ke hutan ini dan anda akan merasai sendiri kehadiran “mereka” yang mendiami kawasan hutan ini.