Thursday, 31 March 2016

Apabila Ibu Bapa Lebih Berminat Jual Anak Dari Membahagiakan



Insiden pergaduhan di Masjid Khadijah, Kampung Pantai Dalam, minggu lalu, cukup memalukan umat Islam dan kaum Melayu di negara ini. Manakan tidak, pergaduhan berkenaan dikatakan berpunca akibat kegagalan pihak pengantin lelaki menyediakan wang hantaran sebanyak RM 15,000 seperti yang diminta.

Akibat daripada itu, terjadilah pergaduhan di dalam masjid sehingga merebak ke perkarangan masjid, hanya semata-mata disebabkan DUIT! Inilah perkara yang cukup disesalkan dan cukup malu untuk diperkatakan.

Kejadian berkenaan sekali lagi membuka mata ramai pihak, bagaimana wang hantaran kini seolah-olah menjadi trend dikalangan orang Melayu dan Islam di negara ini. Semakin tinggi hantaran, semakin gahlah majlis yang ingin dianjurkan. Persoalannya disini, adakah tujuan perkahwinan itu kini sudah dikomersialkan?

Istilah komersial sebenarnya merujuk kepada kecenderongan ibu bapa pengantin wanita hari ini menetapkan kadar wang hantaran yang cukup tinggi. Malah, menurut satu kajian yang dilakukan oleh sebuah akhbar tempatan, kadar wang hantaran untuk pengantin perempuan tertakluk kepada kelulusan dan ketinggian ilmu yang dituntut.

Ini menampakkan seolah-olah mereka yang mempunyai anak perempuan hari ini hanya perlu membesarkan anak mereka dengan elok dan sempurna sebelum mereka boleh "dijual" pada harga mengikut pasaran semasa. Adakah ini yang mahu didengari oleh kita apabila tiba masanya?

Bukan menentang isu wang hantaran. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya tidak lebih daripada menggalakkan penzinaan daripada perkahwinan. Bayangkan jika terdapat satu pasangan yang saling suka sama suka namun dihalang akibat wang hantaran yang diletakkan cukup tinggi. Jadi apa yang mungkin difikirkan ialah samada kahwin lari atau melakukan perkara yang dilarang dalam agama.


Disaat kos sara hidup yang kini meningkat, sewajarnya kita harus faham bahawa semua perkara bukan boleh mengikut hanya kepada kehendak kita sendiri. Konsep wang hantaran sebenarnya adalah untuk meringankan beban keluarga pengantin perempuan dalam mengurus belanja kenduri kendara.

Namun begitu, peredaran zaman telah menyaksikan bagaimana wang hantaran kini diletakkan sesuka hati dan bersandarkan kepada dua perkara. Pertama, status keluarga perempuan dan kedua, status pembelajaran anak. Jadi tidak hairanlah andai ada dakwaan mengatakan, kedua ibu bapa belah perempuan hari ini lebih berminat "menjual baka" mereka kepada orang lain dari memikirkan kebahagiaan anak-anak mereka.

Dalam Islam, tidak ada nas yang melarang pihak keluarga suami untuk menyediakan hantaran. Hantaran berkenaan samada dalam bentuk material seperti Al Quran mahupun dalam bentuk wang tunai. Apa yang diwajibkan adalah mahar perkahwinan dimana di Malaysia hari ini, mahar berkenaan ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Oleh kerana itulah, wang hantaran diletakkan sesuka hati sahaja. Jika ada yang memberikan alasan, harga barangan kini mahal, adakah pihak lelaki juga tidak mengalami perkara yang sama? Disaat semuanya kini mahal, mengumpul wang untuk menyunting wanita yang diidamkan pastinya memakan masa yang lama. Ada yang sanggup tunggu, alhamdullillah, jika tidak, meranalah diri.

Mungkin ini harus difikirkan oleh mereka yang bercadang untuk "menjual baka" anda kepada pihak luar. Tidak mustahil anak-anak perempuan anda menjadi anak dara tua kerana lelaki Malaysia kini tidak semampu seperti yang dijangka dalam menyediakan apa yang diminta. Usah terperanjat andai ada anak perempuan kita memberitahu, mereka sudah diijab kabulkan di Thailand atau Indonesia.

Dan usah terkejut andai kaum lelaki di Malaysia mengalihkan "selera" mereka kepada "baka-baka import" setelah "baka-baka tempatan" terlalu tinggi nilainya untuk dimiliki. Paling utama, berhenti menjadi binatang yang merosakkan kesucian masjid hanya kerana kurang wang hantaran dan sebagainya.


Wednesday, 30 March 2016

Siapa Yang Lebih Degil, Mahathir Atau Najib





Tun Dr Mahathir Mohamed dan kesemua kuncu-kuncu beliau termasuk pembangkang, sedang sedaya upaya untuk mendesak Datuk Seri Mohd Najib meletakkan jawatan. Dengan hujah yang sentiasa diulang semula agar menampakkan perjuangan mereka itu masih relevan, sehingga artikel ini diterbitkan, Datuk Seri Mohd Najib masih Perdana Menteri Malaysia. 

Adakah Datuk Seri Mohd Najib seorang yang degil dan enggan tunduk kepada desakan berkenaan? Mungkin ada benar dakwaan beliau degil dan enggan meletakkan jawatan kerana beliau tahu, semua dakwaan dan desakan keatas beliau hanyalah bersikap poltik dan langsung tidak bertanggungjawab.

Menyebut tentang kedegilan Datuk Seri Mohd Najib, sebenarnya, Tun M sendiri jauh lebih degil dan enggan meletakkan jawatan walaupun sepanjang pentadbirannya, sekurang-kurangnya tiga kali beliau dipaksa berundur oleh rakyat.

Kali pertama, beliau terpaksa berhadapan dengan desakan yang cukup kuat untuk beliau meletakkan jawatan pada tahun 1988. Ketika itu, beliau berhadapan dengan desakan dari Ahli UMNO sendiri meletakkan jawatan. Semua ini berpunca daripada langkah Tun M yang menjatuhkan karier Timbalan beliau sendiri, Tun Musa Hitam untuk digantikan dengan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Kali kedua pula, beliau terpaksa berhadapan dengan kebangkitan ahli UMNO pada tahun 1993. Semuanya berpunca daripada penentangan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Tengku Razaliegh pada pemilihan Agung UMNO pada tahun berkenaan. Andai tidak ada campur tangan daripada Datuk Seri Mohd Najib pada ketika itu, Tun M mungkin sudah menjadi sejarah.

Kali ketiga adalah semasa gelombang Reformasi yang menyebabkan rakyat bangkit menentang beliau. Ketiga-tiga contoh diatas adalah bukti nyata bagaimana Tun M begitu liat untuk berundur walaupun beliau mendapat desakan daripada rakyat sebanyak lebih daripada tiga kali.

Sekarang, tanya kepada diri sendiri, siapakah yang jauh lebih degil. Adakah Tun M atau Datuk Seri Mohd Najib? Adakah Tun M dan para pengikutnya sedar bahawa Tun M sendiri menghadapi perkara yang sama, malah jauh lebih teruk daripada apa yang dialami oleh Perdana Menteri sekarang?

Jika mahu mengaitkan sebarang isu dengan kepimpinan hari ini, Tun M sepanjang 22 tahun pemerintahannya, jauh lebih banyak skandal melesapkan wang negara sehingga mencecah RM 100 bilion ringgit. Kesemua wang berkenaan lebur akibat pelaburan terlebih bijak beliau menerusi BBMB, Perwaja Steel, Tukaran Matawang, MAS dan lain-lain lagi.

Adakah Tun M masih mahu mendakwa dirinya jauh lebih telus? Adakah dipenghujung usia ini, beliau berusaha "mencari keredhaan" diatas semua yang beliau lakukan sepanjang mempunyai kuasa selama 22 tahun?

Tuesday, 29 March 2016

Apabila Mahathir Berlagak Seperti Polis, AG, SPRM Dan Tuhan



Dipentas Majlis Muafakat Selamatkan Malaysia malam semalam menjadi saksi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, individu yang pernah mendapat jolokan Negarawan, kini sudah bertukar menjadi seorang anggota Polis, seorang peguam Negara, seorang Ketua SPRM dan lebih hebat lagi, beliau juga sudah berlagak melebihi Tuhan itu sendiri.

Manakan tidak, dalam ucapan beliau, beliau berkata, polis di negara ini sudah tidak boleh dipercayai. Malah ketelusan polis dalam menguruskan sesuatu perkara juga kini boleh dipersoal. Ini berikutan daripada pihak polis menahan orang-orang beliau sendiri termasuk dengan dirinya berikutan penentangan yang beliau dan kuncu-kuncunya lakukan terhadap pentadbiran negara.

Dalam hal ini, Tun M sebenarnya telah melakukan kesilapan besar. Apa yang pihak polis lakukan adalah tangkapan keatas mereka yang jelas melanggar peraturan yang sudah sedia ada. Menggambarkan pihak polis hanya bekerja untuk menangkap mereka yang melawan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib atas arahan Perdana Menteri, jelas satu pembohongan besar.

Sebagai contoh, Khairuddin dan Mathias Chang ditahan kerana mahu mengheret masalah kewangan negara ke negara luar. Tun M sendiri di tahan kerana mengeluarkan pertuduhan tanpa bukti jelas. Andai ketiga-tiga mereka mengemukakan bukti yang mereka ada kepada pihak polis, sudah tentu mereka tidak akan ditahan.

Jadi untuk menghasut orang ramai untuk membenci dan tidak mempercayai pihak polis merupakan satu tindakan yang jelas tidak wajar dan amat bertentangan dengan undang-undang. Adakah beliau dan kuncu-kuncunya tidak boleh disentuh dan tidak boleh disabitkan dengan undang-undang negara ini?

Menyentuh mengenai Peguam Negara dan SPRM, beliau secara tebuka mendakwa, semua 134 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional menerima sogokan yang banyak daripada Datuk Seri Mohd Najib untuk menggagalkan usul undi tidak percaya. Malah, beliau turut mendakwa, Peguam Negara sendiri telah menerima sogokan yang banyak untuk menutupi sebarang siasatan keatas Datuk Seri Mohd Najib.

Ini satu lagi kesalahan jenayah apabila menuduh tanpa sebarang bukti jelas. Usul berkenaan gagal kerana semua Ahli Parlimen Barisan Nasional, termasuk Tan Sri Tengku Razaliegh, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri mengangkat tangan sebagai tanda menolak usul berkenaan.

Adakah mereka juga dituduh oleh Tun M menerima sogokan atau dalam istilah Tun M menerima "dedak"? Jika demikian, kenapa Tun M sendiri tidak membawa bukti yang beliau ada ke pihak SPRM bagi menyabitkan kesalahan keatas Perdana Menteri dan kesemua 133 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional? Kenapa memilih tempat terbuka sedemikian untuk menyebarkan cerita palsu?

Paguam Negara hanya menjalankan tugas beliau, bukan tertakluk dibawah perintah Datuk Seri Mohd Najib. Beliau lupa barangkali bagaimana seorang peguam Negara dilantik sendiri oleh Yang Di Pertuan Agong. Tan Sri Abdul Ghani Patail memang benar mengalami keuzuran. Hal ini sudah dibuktikan menerusi laporan perubatan yang disahkan sendiri oleh beliau. Adakah ini juga satu bentuk penipuan oleh Tun M?

Tan Sri Apandi Ali, yang dilantik sebagai Peguam Negara selepas Tan Sri Abdul Ghani Patail, hanya membaca laporan siasatan yang sudah disediakan oleh pihak SPRM, Peguam Negara dan pihak Polis. Andai laporan ini tidak diperakui oleh Tun M, adakan beliau hanya memperakui laporan yang kesemuanya harus memihak kepada pertuduhan yang beliau lemparkan? Kenapa tidak mengemukakan bukti yang beliau ada semasa siasatan berkenaan masih berlangsung?

Paling mendukacitakan, bagaimana Tun M akhirnya memilih untuk menjadi Tuhan dalam menghakimi halal haram ibadah seseorang. Ibadah haji kira-kira hampir 10,000 orang yang sudah ditaja oleh 1MDB dipertikaikan sah atau sebaliknya. Siapa beliau untuk mempertikaikan halal haram, sah atau tidak ibadah haji jemaah ini?

Adakah dengan berlandaskan hujah kononnya 1MDB memperolehi wang haram yang beritanya diperolehi daripada Sarawak Report, The Wall Street Journal dan portal-portal tempatan seperti Malaysia Kini dan The Malaysian Insider, sudah mencukupi untuk Tun M berlagak seperti Tuhan mempertikaikan ibadah yang dilakukan oleh Jemaah haji Malaysia?

Malah, ibadah Umrah yang dilakukan oleh ramai pihak di Putrajaya juga turut dipertikaikan, seolah-olah semua hasil wang berkenaan adalah haram. Andai demikian, rumah, bil elekterik, bil air, bil telefon, skuad peronda, perubatan dan lain-lain lagi juga adalah haram untuk Tun M kerana wang berkenaan adalah dari kerajaan, bukan dari poket beliau sendiri.

Tidak diketahui, sehingga bila Tun M mahu bertindak menjadi PDRM, SPRM, Peguam Negara, Perdana Menteri dan Tuhan. Apakah beliau puas menjadi kesemuanya hanya semata-mata mahu mengikut telunjuk mereka yang jelas memusuhi umat Islam di negara ini? Adakah Tun M puas dengan mengada-adakan cerita seperti ini, ucapan beliau akan disambut dengan sorak sorai penyokongnya? Paling utama, dimana kewarasan Tun M hari ini?

Taman Pulau-Pulau Penyu Selamat Dikunjungi Pelancong

SELAMAT: Nazri berbual mesra dengan pelancong yang berkunjung ke Pulau Selingan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keadaan di Taman Pulau-Pulau Penyu terutamanya Selingan adalah selamat untuk dikunjungi pelancong. 

“Pasukan keselamatan sentiasa membuat kawalan 24 jam di Taman Pulau-Pulau Penyu ini dan kita dapat lihat sendiri anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan di Pulau Selingan ini sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab mengawal keselamatan di sini,” katanya yang kepada pemberita ketika melakukan lawatan di Pulau Selingan, di sini pagi kelmarin.

“Kita juga mempunyai hubungai baik dengan penduduk di pulau milik negara Filipina yang berhampiran.

“Penduduk negara jiran iaitu Pulau Bakungan Besar dan Pulau Laheman amat memberi kerjasama yang baik kepada pasukan keselamatan kita,” katanya.

Nazri berkata anggota keselamatan juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau yakin keselamatan akan sentiasa terjamin dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan terutamanya PGA dan tentera darat yang sentiasa komited dalam menjaga keselamatan di kawasan pulau penyu berkenaan.

Nazri berkata pelancong tidak perlu bimbang dari aspek keselamatan untuk berkunjung ke Taman Pulau-Pulau Penyu terutamanya Pulau Selingan ini. “Sebagai rakyat Malaysia juga, kita perlu bersyukur dan berterima kasih dengan anggota pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Nazri memberitahu Pulau Selingan merupakan salah satu pulau yang terletak dalam Taman Pulau-Pulau Penyu. “Terdapat tiga jenis penyu yang mendarat di Taman Pulau-Pulau Penyu iaitu penyu hijau, penyu sisik dan penyu lipas.

“Kita mempunyai pengurusan pemuliharaan di Taman Pulau-Pulau Penyu dalam kawasan tiga segi pulau penyu yang diiktiraf dunia,” katanya. Nazri berkata usaha pemuliharaan penyu akan diteruskan walaupun masih lagi mengehadkan kehadiran 50 orang pelancong ke situ setiap hari bagi memastikan habitat semula jadi di pulau itu terus terpelihara.

Menurutnya, pelancong juga menyokong usaha itu menerusi perbualannya dengan beberapa pelancong yang datang ke pulau itu, yang mana merupakan satu langkah yang baik. Beliau berkata Taman Pulau-Pulau Penyu merupakan satu produk pelancongan yang terbaik dan apa juga mereka perlukan akan diluluskan oleh pihaknya demi kepentingan pemuliharaan penyu sekaligus peningkatan industri pelancongan.

Sebelum itu, Nazri bersama rombongan dan pelancong melepaskan 50 ekor anak penyu sebagai penghormatan kepada sambutan 50 tahun Taman-Taman Sabah. Sejak 1979 hingga tahun lepas, lebih 22 juta telur penyu dikutip di Taman Pulau-Pulau Penyu. Daripada jumlah berkenaan, lebih 16 juta anak penyu dilepaskan ke laut.

Budak Diculik: Polis Giat Cari Mangsa

Abang Ahmad menunjukkan foto wajah mangsa culik Mohd Haiqal pada sidang media hari ini.

Polis kini sedang berusaha mencari seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang dilarikan individu tidak dikenali di Jalan Astana, di sini semalam. Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata mangsa, Mohd Haiqal Hakimi Suhini dilaporkan hilang sejak jam 1.30 petang semalam. 

Beliau memberitahu sebelum kejadian mangsa dihantar oleh ibu bapanya ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari tempat mangsa dilarikan. “Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi, mangsa dilihat sedang bermain seorang diri apabila dia didatangi seorang wanita dipercayai suspek utama yang kemudian cuba menahan beberapa buah kenderaan.

“Bagaimanapun, tiada kenderaan yang berhenti sehingga datang seorang lelaki menunggang motosikal yang kemudian dilihat membawa mangsa pergi dari tempat kejadian,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Difahamkan wanita berkenaan kemudian turut beredar dari tempat kejadian dengan berjalan kaki. 

Sementara itu, Abang Ahmad turut menafikan dakwaan mengatakan pihaknya ada mengeluarkan kenyataan mengatakan mangsa telah dijumpai. Kes disiasat di bawah Seksyen 363, Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang di bawah jagaan yang sah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat ASP Abdul Razak ditalian 010-5023289 atau Inspektor Azmei Ahmad (019-7192529).

Video Pengantin Bergaduh Jadi Viral



Kisah dua keluarga pengantin bergaduh di Masjid Jamek Al-Khadijiah di Pantai Dalam pada Sabtu lalu dan dimuat naik ke laman Facebook Kosmo! Online telah menarik minat kira-kira 2.5 juta pengguna laman sosial ini.

Sejak ia dimuat naik kira-kira pukul 10.30 pagi semalam hingga pukul 10 malam tadi, video berdurasi tiga minit itu telah dikongsi lebih 23,000 pengguna, 61,000 ‘Like’ manakala lebih 40,000 pengguna telah meninggalkan pelbagai komen mengenai kejadian tersebut.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Nick Mohd. Hafeez berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian itu tetapi merasakan ibu bapa pihak perempuan yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

“Bagi saya, ini bukan salah perempuan bukan salah lelaki tapi salah ibu bapa perempuan,” katanya dalam komen itu.

Srikandi Feeza Rasa pula dalam komennya menyatakan, dia sedih dengan pergaduhan tersebut kerana kejadian berlaku dalam kawasan masjid.

AS Mungkin Boikot Minyak Arab Saudi



Pendahulu calon Presiden dari Parti Republikan, Donald Trump berkata beliau akan mempertimbangkan supaya Amerika Syarikat (AS) menghentikan pembelian minyak daripada Arab Saudi melainkan negara itu menyediakan tentera untuk menentang kumpulan Islamic State (IS). 

Trump membuat kenyataan tersebut kepada akhbar New York Times ketika ditemu ramah mengenai dasar luar AS sekiranya dipilih sebagai presiden. “Jawapannya ialah kemungkinannya ya,” katanya. 

Trump berkata, AS perlu mendapat pulangan daripada negara-negara yang dilindunginya termasuk melalui sumber asli seperti Arab Saudi yang merupakan pengeluar minyak utama dunia.

“Malah, tanpa kita, Arab Saudi tidak akan wujud lebih lama lagi. Kita tidak mendapat pulangan untuk perkhidmatan yang besar iaitu memberi perlindungan kepada pelbagai negara. Kini, Arab Saudi merupakan salah satu daripadanya,” jelas Trump.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan mengenai siapa yang memberi nasihat untuk menghentikan pembelian minyak itu.

Malaysia Bakal Jadi Hub Global

Malaysia dijangka menjadi hab global bagi industri aeroangkasa selain sektor baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan dengan sasaran sumbangan perolehan bernilai RM55.2 bilion menjelang 2030.

Antara segmen yang berpotensi menjadi penyumbang utama perolehan berkenaan meliputi bahagian penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan jumlah RM20.4 bilion serta RM21.2 bilion untuk pembuatan pengeluaran produk aeroangkasa manakala RM13.6 bilion bagi perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor aeroangkasa adalah sektor bernilai tinggi dalam ekonomi pelbagai negara yang berkembang pesat dengan perolehan pada 1998 sebanyak RM0.9 bilion kepada RM11.8 bilion pada 2014.

“Bagi memastikan pertumbuhan konsisten industri ini, kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa 2030 tahun lalu yang berperanan menjadikan ia sebagai sektor berteknologi tinggi bagi menyokong kitaran industri aeroangkasa seiring industri pengangkutan udara yang semakin meningkat naik.

“Pelan tindakan ini juga berperanan menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa bagi rantau Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negara sebagai pemain utama global pada 2030 serta berpotensi menyediakan lebih 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud, Pengerusi MATRADE Datuk Noraini Ahmad dan Presiden Sementara MAIA Naguib Mohd Noor.

Tahun lalu, industri aeroangkasa tempatan merekodkan jumlah dagangan keseluruhan berjumlah RM14.2 bilion dengan peningkatan memberangsangkan sebanyak 44.7 peratus bagi segmen eksport komponen dan bahagian komposit, sistem komunikasi aeroangkasa, kipas pesawat dan rotor (RM4.2 bilion) berbanding RM2.9 bilion pada 2014.

Sementara itu, bagi segmen import sedikit menurun iaitu 33.5 peratus daripada RM15.1 bilion kepada RM10 bilion bagi tempoh yang sama dan antara import yang terbabit adalah pesawat, bahagian pesawat serta helikopter.

Mustapa berkata, walaupun terdapat peningkatan menggalakkan dalam eksport, namun jumlah import masih lebih besar berbanding eksport negara dan ia memerlukan tumpuan pelbagai pihak kepada membina kapasiti pengeluaran pembekal tempatan dan seterusnya membantu meningkatkan eksport dan merapatkan jurang dagangan.

Arsenal Perlu Berbelanja Besar



Bintang Arsenal, Mesut Ozil mendesak pengurus pasukan itu, Arsene Wenger supaya berbelanja besar bagi mengelak kan apa yang berlaku ketika ini pada musim depan. The Gunners hanya membeli Petr Cech dan Mohamed Elneny sebagai pemain baharu dalam tempoh 12 bulan, itu pun melalui dua jendela perpindahan berbeza iaitu Ogos dan Januari. 

Ketiadaan pemain-pemain berkualiti termasuk krisis kecederaan yang sering membelenggu Arsenal menyebabkan pe­luang mereka muncul juara pada musim ini amat tipis. Sehubungan itu, Ozil percaya The Gunners mampu mencabar kejua­raan jika Wenger sudi berbelanja mewah untuk mendapatkan pemain-pemain baharu yang berkelas dunia selepas ini.

“Kami perlu melakukan sedikit pembaikan jika mahu berada di puncak pada musim depan.

“Memang menarik untuk melihat pemain baharu yang bakal dibeli dan berapa jumlah harga perpindahannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain tengah antarabangsa Jerman itu mengakui kehadiran Pep Guardiola dalam kancah Liga Perdana England musim depan akan menjadikan sai­ngan tersebut lebih sukar berbanding sekarang.

“Semakin ramai jurulatih berkaliber menyer­tai saingan liga ini. Guardiola ialah contoh terbaik kerana beliau sentiasa mengecapi ke­jayaan biar di mana sekalipun beliau berada.

“Saya tertanya-tanya apakah yang akan dilakukannya bersama Manchester City sele­pas ini tetapi paling penting, bola sepak di England akan menjadi lebih menarik,” jelasnya.

Filem Melayu Cetus Fenomena


Sejak dulu, genre cinta cukup rapat dengan filem Melayu. Dari era Studio Jalan Ampas hinggalah hari ini, sudah tidak terhitung filem genre cinta diterbitkan. Namun, di tahun 2016 ini adakah filem cinta masih lagi relevan? 

Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali dan lakonan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani pada 2011 adalah filem cinta ‘terakhir’ paling laris apabila mencatat kutipan RM10.9 juta.

Malah, dalam senarai 30 filem tempatan paling laris yang dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), selain Ombak Rindu, hanya tiga filem genre cinta yang tersenarai iaitu Sembilu 2, Nur Kasih The Movie dan Maria Mariana.

Sembilu 2 yang diterbitkan Skop Production Sdn Bhd pada 1995 mencatat kutipan RM6. 1 juta dan Nur Kasih The Movie terbitan Primeworks Studios pada 2011 sebanyak RM4.9 juta. Maria Mariana terbitan Skop Production Sdn Bhd pada 1996 pula mengutip RM4.7 juta.

Berdasarkan senarai filem yang ditayangkan tahun ini, lima filem paling laris bukan bertemakan cinta. Nampaknya perhatian penonton tempatan sudah beralih bukan kepada hanya satu aliran, tetapi beberapa genre berbeza.

Ola Bola

Filem yang mengangkat sukan bola sepak dan semangat perpaduan di antara masyarakat majmuk Malaysia ini juga mencatat jumlah kutipan tinggi RM16 juta. Siapa sangka, filem arahan Chiu Keng Guan itu berjaya mencuri perhatian dan mengajak penonton datang ke pawagam walaupun menampilkan pelakon baru sebagai teraju utama.

Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit

Filem arahan Pekin Ibrahim ini turut mengejutkan industri perfileman tanah air apabila berjaya mencatat kutipan RM1.2 juta pada hari pertama tayangan. Walaupun gagal mencapai sasaran RM5 juta, Mat Moto tetap membanggakan apabila mencatat kutipan keseluruhan RM4.39 juta.

Selain Pekin yang turut berlakon, Mat Moto membariskan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Syamsul Yusof, Shaheizy Sam, Cat Farish dan ramai lagi.

Polis Evo

Filem lakonan hebat Shaheizy Sam dan Zizan Razak ternyata mencipta kelainan, sekali gus menjadi fenomena dalam industri perfileman tanah air apabila berjaya mencatat jumlah kutipan RM17.3 juta.

Filem aksi arahan Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh produksi Astro Shaw iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf itu berjaya mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah perfileman negara. Ia berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini disandang filem The Journey, juga terbitan syarikat sama yang meraih RM17.28 juta pada 2014.

Munafik

Buah tangan terbaru daripada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof ini turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM17 juta dan masih lagi ditayangkan. Filem ini dijangka dapat mengatasi kutipan Polis Evo, sekali gus menjadi filem tempatan paling laris sebaik ia selesai tayangan dalam tempoh dua minggu lagi.

Syamsul yang turut berlakon dalam filem ini berjaya membuktikan dia antara pengarah generasi baru paling berkaliber. Rata-rata penonton menggambarkan Munafik sebagai filem yang menjadi penanda aras untuk filem seram tempatan.

Selain Syamsul, filem ini turut menampilkan lakonan Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, Fizz Fairuz dan ramai lagi.

Boboiboy The Movie

Filem animasi kanak-kanak ini tanpa disangka turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM14 juta setakat ini. Filem yang menampilkan watak kegemaran kanak-kanak ini masih ditayangkan untuk tempoh dua minggu lagi.

Fenomena Boboiboy The Movie terbukti apabila hampir seisi keluarga di negara ini mahu menontonnya, malah ada kanak-kanak yang menangis kerana tidak dapat menonton filem ini apabila tiketnya habis dijual.

Filem terbitan Animonsta Studios dan edaran Primeworks Studios ini adalah adaptasi daripada siri animasi TV yang bukan sahaja menarik minat lebih satu juta penonton Malaysia, tetapi juga dari Indonesia.

Monday, 28 March 2016

ADUN DAP Melaka Jadi ADUN Bebas



DAP hari ini menerima satu lagi tamparan apabila seorang ADUN untuk DUN Duyong merangkap Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas berkuatkuasa hari ini. Ini berikutan daripada ketidak puasan hatinya berhubung banyak perkara yang melanda DAP sejak akhir-akhir ini.

Menariknya, menurut satu sumber, beliau sebenarnya telah dipecat daripada partinya kelmarin berikutan kritikan pedasnya berhubung skandal penyalahguanaan kuasa yang dilakukan oleh Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang kini sedang hangat diperkatakan oleh ramai pihak.

Menurut sumber ini lagi, DAP pusat dan Melaka jelas tidak dapat menerima ahlinya terutama mereka yang kini menjadi ADUN hasil daripada tiket DAP, mengkritik pemimpin mereka walau apa jua alasan yang diberi.

Justeru itu, Goh Leong San hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas dan menurut beliau, tindakan ini akan membuatkan beliau lebih bebas dalam mengkritik kepimpinan DAP pusat dan negeri yang pada pemerhatiannya, telalu banyak kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan.

Namun begitu, tidak dapat dipastikan samada beliau akan kekal sebagai ADUN Pembangkang di Melaka atau lebih condong kepada kerajaan negeri yang sedia ada. Apa yang pasti, setidak-tidaknya, tindakan Goh Leong San ini pastinya memberi tamparan terbaru kepada DAP dalam usaha mereka membetulkan semula keadaan yang agak bercelaru sejak akhir-akhir ini.

Undang Luak Johol Di Pecat



Kelmarin mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol dipecat berkuat kuasa serta-merta semalam menerusi keputusan sebulat suara semua pembesar adat Luak Johol.

Orang Besar Balai, Datuk Jenang Zakaria Mohammad berkata, pemecatan dibuat selepas Orang Besar Balai Berlima, Lembaga Berempat dan Buapak Berenam bagi Luak Johol bersepakat dalam kerapatan (mesyuarat) untuk memecat Mohd Jan.

“Pembesar adat Johol bersepakat untuk memecat Mohd Jan sebagai Undang dan menggantikannya dengan Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah sebagai Undang Luak Johol ke-15 ,” katanya semalam.

Datuk Muhammad merupakan Timbalan Undang Luak Johol, dan menurut Zakaria, pemecatan itu dibuat mengikut adat luak. Difahamkan, pemecatan Mohd Jan mula disebut dalam kalangan penduduk negeri ini selepas isu pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan oleh Balai Undang Luak Johol pada 10 Ogos tahun lalu, adalah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Penganugerahan berkenaan pantas mendapat reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan yang menegaskan, kerajaan negeri tidak mengiktiraf sebarang penganugerahan yang dilakukan oleh Undang Luak Johol berkenaan kerana hanya mengiktiraf anugerah yang disampaikan menerusi Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Justeru, pemecatan ini tidak harus dijadikan modal politik sesetengah individu yang amat taksub berpolitik. Ini adalah hukum adat Negeri Sembilan yang jelas berbeza dengan negeri-negeri yang lain di seluruh Malaysia. Tidak kira siapa sahaja melakukan kesalahan, individu berkenaan boleh saja dilucutkan jawatan asal mendapat persetujuan dari semua pembesar negeri ini.

Puteri UMNO Ikrar Sokong, Pertahan Kepimpinan Najib



Pergerakan Puteri UMNO Sabah berikrar untuk menyokong penuh dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri. 

Ketua Puteri UMNO Sabah Normala Rasik berkata ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat pergerakan puteri itu di sini, yang dipengerusikan beliau.

“Dalam mesyuarat ini, Puteri UMNO Sabah juga membantah serta menolak sekeras-kerasnya gerakan yang didalangi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang termasuk DAP dan PKR dalam ‘Deklarasi Mahathir’ yang bertujuan untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Ia (Deklarasi Mahathir) jelas bertentangan dengan amalan demokrasi negara,” tegasnya. 

Sehubungan itu, Normala berkata Puteri UMNO Sabah mengesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap dalang gerakan ‘Deklarasi Mahathir’ yang mengancam sistem demokrasi berparlimen serta boleh mengakibatkan implikasi negetif terhadap keharmonian negara.

Impian Penduduk Miliki Jalan Akhirnya Tercapai

TA02700

Impian dan usaha keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang yang mahu melihat kawasan terpencil Nanga Jagau dihubungkan dengan dunia luar tercapai setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pembinaan jalan dari Nanga Ngungun ke Nanga Jagau sepanjang 22 kilometer. 

Najib membuat pengumuman mengenai perkara tersebut ketika melakukan tinjauan mesra ke Rumah Taboh Rimau di Skim Penempatan Semula Rascom Nanga Ngungun dekat sini, semalam. Pembinaan jalan itu kelak akan membolehkan penduduk Ulu Ngemah yang dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun kembali ke kampung asal mereka untuk mengerjakan tanah yang lama mereka tinggalkan.

“Kerajaan amat komited dalam menyediakan pembangunan untuk rakyat khasnya di luar bandar,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk setempat.

Turut mengiringi Najib pada tinjauan di Rumah Taboh itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berserta isteri Susan Clement, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang serta para kenamaan yang lain.

Menurut Najib, sebagai Perdana Menteri beliau berazam memajukan kawasan yang masih mundur di negara ini dan mahu rakyat merasakan bahawa kerajaan sedia ada pada masa ini amat prihatin dengan keperluan mereka.

“Kedatangan saya ke sini hari ini untuk melihat apa yang kita boleh lakukan sebagai kerajaan,” katanya.

Beliau meminta agar penduduk di skim penempatan itu tidak mendengar hasutan pembangkang yang hanya tahu memainkan sesetengah isu dan menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan. Katanya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berbentuk inklusif dan hanya kerajaan yang ada pada masa ini mampu mengubah nasib penduduk di luar bandar.

Pembinaan jalan itu nanti akan membolehkan penduduk Ulu Ngemah dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun, kembali ke kampung asal mereka untuk mengerjakan tanah-tanah yang telah lama mereka tinggalkan. Jalan itu akan memberikan akses pembangunan kepada tidak kurang 5,000 penduduk di Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun dan Nanga Jagau.

Penubuhan Rascom atau Rajang Area Security Command dilaksanakan oleh Tun Razak pada 25 Mac 1972 untuk memerangi pengganas komunis. Kawasan penempatan semula ditubuhkan melibatkan Nanga Sekuau, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau, di samping di kawasan lebih kecil iaitu Nanga Dap dan Rantau Panjang.

Penghuni rumah panjang terletak di kawasan pedalaman dikumpulkan dan dipindahkan ke penempatan baharu yang dilengkapi pos keselamatan, rumah panjang baharu, klinik kesihatan dan sekolah. Program yang dihentikan secara rasminya pada 9 November 1994 itu, bagaimanapun tidak memberi peluang pembangunan ekonomi kepada penduduk yang dipindahkan itu kerana tiada tanah untuk bertani.

Mereka sebelum ini merayu agar kerajaan menyedia jalan perhubungan bagi membolehkan mereka berulang-alik ke tempat asal dari Nanga Ngungun yang memakan masa tujuh hingga 12 jam menggunakan perahu.

Terdahulu, Alexander Vincent dalam ucapannya memohon agar pembinaan jalan tersebut mendapat perhatian Najib kerana beliau sendiri dan Aaron telah banyak kali mengajukan permohonan tersebut kepada Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, permintaan beliau itu terus mendapat kelulusan serta-merta daripada Najib pada majlis tersebut yang melegakan penduduk yang lama menunggu ia menjadi nyata. Sementara itu, Najib turut memberi peruntukan sebanyak RM600,000 untuk naik taraf asrama lelaki dan perempuan di SK Nanga Ngungun.

Tak Jumpa Jalan Keluar


“Kubur tempat persemadian dan bukannya mampu memberi apa-apa kelebihan. Oleh itu, niat harus betul sekiranya menziarahi kubur terutama makam berkaitan tokoh agama. 

"Menziarah kubur tidak salah, malah ia satu amalan yang baik kerana mampu mengingatkan mengenai kematian, namun apabila dicampur dengan perbuatan khurafat, ia boleh merosakkan akidah,” kata Pengerusi Masjid Kampung Serada-Pulai Manis Ismail Embong, 71, ketika ditemui di Makam Tok Pulau Manis, di sini.

Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Malik Abdullah adalah pendakwah Islam dan ulama tersohor di Terengganu yang meninggal dunia pada 1730 ketika berusia 80 tahun.

Menceritakan kejadian dua tahun lalu, Ismail berkata, pernah dua individu tidak dapat keluar dari pekarangan makam itu sehingga disedari imam masjid kampung berkenaan, Kori Endut, 71, yang datang untuk membaca al-Quran di makam terbabit.

“Kedua-dua lelaki itu ke kubur berkenaan dengan motosikal, tetapi ketika ditemui, kedua-dua mereka mencari pintu untuk keluar dari makam berkenaan, namun gagal menemuinya. “Imam berkenaan yang menyedari kedua-dua lelaki itu terperangkap dalam kawasan makam terbabit terus membuka pintu sebelum kedua-duanya ke arah motosikal dan meninggalkan lokasi itu,” katanya.

“Kita tidak tahu niat sebenar lelaki berkenaan, tetapi pihak pengurusan masjid percaya ia ada kaitan dengan kegiatan melanggar ajaran agama kerana kubur tidak mampu memberi sebarang kelebihan pada manusia,” katanya.

Menurut Ismail, boleh dikatakan setiap hujung minggu, makam Tok Pulau Manis dipenuhi pengunjung. “Sekiranya terdapat pengunjung mencurigakan, pihak pengurusan kampung akan bertanya hajat mereka ke makam itu selain memberi nasihat tertentu bagi mengelakkan mereka daripada melakukan perbuatan mungkar di atas kubur berkenaan,” katanya.

Bersenam Ala Bollywood


Muzik rancak alunan irama bhangra kedengaran agak kuat mengisi ruang pusat kecergasan Nurwin di Bandar Baru Bangi, Selangor. Kelihatan 11 wanita berada dalam barisan bersedia melakukan senaman pergerakan Masala Bhangra. 

Sekali imbas ia seakan-akan tarian rancak Bollywood namun pergerakannya lebih pantas menggunakan keseluruhan anggota badan bermula kepala hingga kaki. Hampir 30 minit berlangsung mereka kelihatan masih bertenaga mengikut alunan irama sambil mulut menguntum senyum.

Menurut jurulatih Masala Bhangra, Shah Bariah Hussain, Masala Bhangra berasal daripada dua perkataan India iaitu masala bermaksud pedas manakala bhangra ialah tarian rakyat tradisional Punjab di India. Senaman ini membabitkan latihan kardiovaskular lengkap dengan langkah tari bhangra yang agak maskulin serta gerak tari Bollywood yang lebih feminin.

“Bagi yang pernah melakukannya senaman ini satu perjalanan bagi melontarkan ekspresi dengan membiarkan jantung bergerak laju pada masa sama langkah tari dipadukan penuh teratur. Senaman ini memberikan kelainan emosi dan inspirasi berbeza,” katanya.

Diasaskan oleh Sarina Jain, Masala Bhangra memberikan pembentukan keluruhan tubuh badan selain dapat membangunkan stamina. Pergerakan rancak dan tepat ini mampu membakar kalori sehingga 500 bagi setiap kelas bergantung kepada individu.

Tambahnya, Masala Bhangra berkesan untuk kecergasan minda sehingga kepada kelegaan otot kaki. Ini kerana setiap pergerakan memerlukan kaki dihentak kuat ke lantai. Secara tidak langsung ia mencabar keupayaan individu dalam bentuk berbeza.

Oleh kerana ia berasal daripada tarian tradisi masyarakat India, senaman ini memberikan rasa berbeza menerusi langkah tarian lantas menjadikan seseorang itu berperasaan gembira. Sehinggakan ada kalanya mereka berasakan menarilah sepenuh hati kerana tiada orang melihatnya.

Rumizah Kamis yang turut mempunyai sijil lengkap sebagai jurulatih Masala Bhangra mengakui, keistimewaan Masala Bhangra adalah pada muzik rancak Bollywood Bhangra yang diolah oleh Sarina Jain agar mudah dilaksanakan.

Terdapat pergerakan tertentu yang mendokong kepada tarian itu sendiri iaitu Gidda, Natraj Kick, Hot Tamale, Bhangra Groove, Balle Balle Knees dan Bhangra Kick. Setiap satunya diajar kepada peserta supaya mereka dapat melakukannya dengan baik.

“Walaupun setiap pergerakan nampak laju dan pantas, jika dilakukan dengan betul, ia tidak meninggalkan keletihan melampau. Bagi mereka yang ingin mencuba, jurulatih akan mengajar pergerakan secara teratur dan lengkap sebelum mereka boleh melakukannya sendiri,” katanya yang juga jurulatih zumba.

Tambahnya, jika dilihat Masala Bhangra mirip seakan-akan aerobik kerana ia mengajak individu menggerakkan semua anggota tubuh. Sepanjang sesi latihan, kepala, tubuh, kaki, bahkan jari tangan bergerak mengikuti irama muzik India yang penuh semangat. Tidak menghairankan jika keringat membasahi tubuh selepas mengikuti latihan Masala Bhangra selama satu jam.

Menurut Rumizah, selain membakar kalori dan meningkatkan stamina tubuh, jika dilakukan secara konsisten ia mampu menurunkan berat badan. Walaupun ia masih terlalu baru di Malaysia, senaman ini semakin mendapat tempat di hati peserta yang inginkan pergerakan senaman berbeza.

Apa kata peserta 

Shuja Menon

“Saya mengenali Masala Bhangra sejak dua tahun lalu selepas mengikuti kelas anjuran pengasas Masala Bhangra Sarina Jain. Sebelum ini saya juga mengikuti zumba. Menariknya, Masala Bhangra pada muzik latar Bollywood rancak yang memberikan perasaan gembira. Tambahan pula saya sendiri penggemar filem Bollywood.

“Biasanya saya melakukan Masala Bhangra selepas pulang dari kerja selama satu jam. Saya menjadi lebih cergas kerana badan mengeluarkan peluh dengan banyak. Saya mencadangkan mereka yang rajin bersenam mencuba dan rasai keseronokannya.”

Fariza Mafuzah Johor

“Saya menjadi pengikut Masala Bhangra sejak 2014 dan mempunyai lesen jurulatih kecergasan pada 2015. Saya tertarik mengikuti tarian ini kerana pergerakannya yang pantas bersama alunan muzik Bollywood. Menariknya setiap kali memulakan pergerakan perasaan menjadi cukup berbeza, gembira dan berasakan kita berada dalam dunia sendiri.

“Selain memberikan kecergasan, latihan senaman ini menyebabkan berat badan saya menurun daripada 110 kilogram kepada 78 kilogram. Ia cukup menggembirakan saya. Pada mereka yang ingin mencuba jangan bimbang kerana mereka akan diajar untuk mendalami setiap pergerakan sehingga mampu menari bersama peserta yang lain.”

Hillary Tewas Di Tangan Sanders


Hillary Clinton kalah teruk kepada Bernie Sanders di Hawaii yang menyapu bersih persaingan untuk menjadi calon Demokrat di tiga kawasan, kelmarin. Media Amerika Syarikat (AS) meramalkan sokongan 71 peratus untuk Sanders di Hawaii, yang akan memberinya 25 perwakilan berbanding 29 untuk Hillary. 

Senator dari Vermont itu turut mencapai kemenangan besar sebelum itu di Alaska dan Washington.

Rangkaian AS meramalkan kemenangan besar Sanders di Washington yang mempunyai 101 perwakilan dan Alaska (16). Walaupun gagal menang sepanjang hujung minggu ini, Hillary yang juga bekas setiausaha negara antara yang paling mendapat sokongan selain dilihat sebagai pilihan untuk memenangi pencalonan presiden bagi partinya.

Pihak Republikan mengadakan undian di Hawaii pada 8 Mac lalu, apabila bilionair Donald Trump meraih 42 peratus sokongan mengalahkan Senator Ted Cruz (33 peratus).

Pameran "Muscle Car" Terbesar


Syarikat penjual kereta import milik Bumiputera sepenuhnya, 23 Motors Sdn Bhd melancarkan pusat pameran dan jualan ‘muscle car’ yang terbesar dan pertama seumpamanya di Malaysia. 

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Kaathir Mustaffa berkata, pusat itu terletak di kawasan dinamakan ‘District 23’ yang turut menempatkan kemudahan lain seperti kafe bertaraf lima bintang, pelbagai kedai, tempat cuci kereta dan pusat riadah.

Beliau berkata, premis itu mempamerkan satu kombinasi inovatif pihaknya bagi mencetuskan kelainan kepada bakal pembeli dan antara muscle car yang ditawarkan itu sering dipaparkan melalui filem Hollywood seperti Transformer dan Fast and Furious.

“Perniagaan kami bermula sejak Januari lalu dan mendapat sambutan dalam kalangan penggemar kereta berikutan kepelbagaian model kereta yang ditawarkan,” katanya pada majlis perasmian pusat pameran dan jualan itu oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini, semalam.

Pada majlis itu, turut menyaksikan 12 kereta muscle car dari Amerika Syarikat ditawarkan untuk bidaan bermula daripada harga RM100,000 bagi mendapatkan kereta yang harga sebenarnya antara RM700,000 hingga RM1.6 juta.

Katanya, semua 12 kereta itu berjaya dijual dengan harga RM11 juta selepas dibida oleh 200 orang membabitkan bidaan terendah berjumlah RM290,000 untuk kereta Chevrolet Camaro manakala bidaan tertinggi bernilai RM1.15 juta bagi kereta jenis McLaren.

“Persaingan hebat berlaku antara 200 pembida dari Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang. Bidaan bermula dengan harga serendah RM100,000 bagi kereta berharga RM500,000,” katanya.

Katanya, sebahagian daripada hasil jualan itu akan turut disalurkan kepada mereka yang kurang berkemampuan iaitu Rumah Anak Yatim, Mersing dan Rumah Kebajikan Johor Bahru.

Sementara itu, pusat pameran dan jualan yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam itu turut menawarkan khidmat bengkel bagi kenderaan import bagi memudahkan pembeli mendapatkan alat ganti serta perkhidmatan mekanik profesional.