Tuesday, 31 May 2016

Isu Hudud Tidak Halang MCA Terus Berkempen




Kebelakangan ini, isu membabitkan pembentangan Rang Undang-Undang Hukum Hudud begitu hangat diperkatakan. Manakan tidak, ianya secara tiba-tiba menjadi satu polemic yang sedikit sebanyak menimbulkan banyak tanda Tanya berhubung penerimaan parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain lagi.

Mungkin tidak mendapat penjelasan yang benar-benar jelas dari UMNO mahupun PAS, beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin parti komponen BN, begitu meresahkan ramai pihak. Apatah lagi, UMNO dan Barisan Nasional sedang bersiap sedia untuk menghadapi dua Pilihan Raya Kecil di Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar.

Disebalik kemelut yang diwar-warkan seolah-olah begitu serius, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kekal komited dengan Barisan Nasional bagi memenangkan calon yang diletakkan oleh UMNO di dua Pilihan Raya Kecil ini.

Secara kolektifnya, mereka kekal menyatakan komitmen parti mereka untuk kekal membantu jentera pilihan raya UMNO dan parti komponen yang lain dalam usaha mengekalkan dua kerusi Parlimen yang bakal ditandingi.

Menyentuh mengenai pertikaian berhubung isu Rang Undang-Undang Hudud, MCA dalam satu kenyataan, tidak mahu isu berkenaan dipanjangkan. Tegas MCA, selagi belum ada pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib, mereka menganggap ianya masih dalam peringkat perundingan dan semua pihak haruslah berhenti dari terus mempolemikkan isu ini.

Memang benar, MCA bimbang andai hukum berkenaan diluluskan kelak, pastinya aka nada pengundi kaum Cina akan terus meminggirkan MCA dan sekaligus melemahkan parti mereka. Walau bagaimanapun isu berkenaan masih diperingkat pembentangan, masih belum dibahaskan. Oleh yang demikian, ianya masih awal untuk dibincangkan.


Monday, 30 May 2016

Trivia Filem Money Monster : Studio Rancangan Kewangan "Diserang"



Menjadikan kejatuhan wang saham sebagai subjek filem Money Monster arahan Jodie Foster mungkin kedengaran membosankan bagi sesetengah individu. Namun, dengan menyelitkan babak cemas, serangan serta dicampurkan sedikit komedi membuatkan jalan cerita filem lakonan George Clooney dan Julia Roberts itu menarik. 

Ia turut menceritakan pelabur muda bernama Kyle Budwell lakonan Jack O’Connell kehilangan sejumlah besar wang tunai selepas mendengar nasihat pengacara sebuah program kewangan popular, Lee Gates. Walaupun Clooney dan Roberts dianggap pilihan tepat filem ini, Foster mendedahkan pada mulanya berasakan O’Connell kurang sesuai bagi watak Budwell.

Menurut pengarah itu, O’Connell, 25, bukan pilihannya kerana membayangkan watak Budwell lelaki yang berusia 35 tahun ke atas. “Saya pernah melihat O’Connell berlakon dalam Starred Up, 71 and Skins dan juga Unbroken. Sejujurnya, dia orang terakhir yang saya mahu untuk berlakon dalam Money Monster,” katanya.

Bagaimanapun, Foster kemudian berubah fikiran dan bersetuju O’Connell membawa watak Budwell selepas menyaksikan rakaman uji bakat pelakon Inggeris itu. “Saya amat tertarik dengan bakat lakonan O’Connell yang boleh berubah daripada individu mengancam dan bahaya kepada beremosi serta lemah,” katanya.

Bahkan, Foster turut memuji O’Connell kerana komited terhadap kariernya dan bersungguh-sungguh memberi persembahan terbaik bagi filem berkenaan. “Dia pelakon paling komited yang saya pernah berkerjasama. Memang penat rasanya melihat O’Connell beraksi dan saya memang bangga terhadapnya.

“Lakonannya sangat bagus sedangkan pada mulanya dia bukan pelakon pilihan,” katanya.

Pernah bergandingan dalam tiga filem sebelum ini, Clooney dan Roberts tiada masalah kembali bekerjasama untuk Money Monster kerana sudah serasi. Menurut penerbit Lara Alameddine, gandingan dua bintang hebat Hollywood itu sememangnya dinanti-nantikan peminat selepas kali terakhir beraksi dalam filem Ocean’s Twelve pada 2004.

“Keputusan mengandingkan Clooney dan Roberts dalam filem ini tepat sekali. Clooney pelakon hebat dan kami perlu mencari seorang yang setanding dengannya. Roberts pula wanita yang tabah dan berpendirian, jadi dia paling sesuai untuk digandingan dengan Clooney,” katanya.

Dalam Money Monster, Budwell Kyle bertindak di luar kawalan dan menyerang studio rakaman program kewangan ketika bersiaran langsung untuk mendapatkan jawapan kejatuhan saham.

Apabila keadaan semakin tegang, tanpa diduga, Gates dan Budwell bakal didedahkan dengan jawapan punca sebenar saham merudum. Money Monster kali pertama ditayangkan di Festival Filem Cannes pada 16 Mei lalu dan bakal menemui penonton di Malaysia, Khamis ini.

Thursday, 26 May 2016

Video : Sebijak-Bijak Mahathir, Boleh Ditipu Oleh Seorang Facebooker



Pendedahan berani beserta bukti-bukti sahih yang dilakukan oleh pengaturcara sambilan, Azharuddin Othman @ Abdullah sebentar tadi telah membongkar banyak perkara disebalik kejayaan Deklarasi Rakyat yang cukup dibanggakan oleh kem Tun Dr Mahathir sejak minggu lalu.

Hanya kerana RM 4,000 yang gagal dilunaskan oleh seorang Facebooker yang dikenali sebagai Ratu Naga, penipuan Tun M untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib melalui jalan belakang, dibongkar dengan penuh keaiban.

Dalam pendedahan Azharuddin sebentar tadi, dia mendakwa, dia bakal mendapat upah sebanyak RM 5,000 untuk membekalkan 1.2 juta nama bagi membolehkan mereka melengkapkan Deklarasi Rakyat. Dalam kenyataan medianya, Azharuddin mendedahkan, Ratu Naga ada memberitahu bahawa, T
un M enggan namanya dikaitkan dengan komplot keji ini.

Menariknya, disebalik keengganan Tun M dikaitkan dengan komplot ini, Tun M dilihat begitu bangga menayangkan berikat-ikat kertas deklarasi yang kononnya ditandatangani secara sah oleh rakyat Malaysia, walhal ianya dipercayai ditandatangi oleh mereka yang menerima upah untuk menyediakan deklarasi berkenaan.

Malah beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis pro pembangkang juga dilihat begitu bangga bergambar dengan jutaan kertas berkenaan sambil memprovok Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib meletakkan jawatan. Perkara ini memang cukup melucukan.

Umum mengetahui, Tun M mempunyai akal yang panjang dan pintar dalam menilai sesuatu. Namun, beliau gagal dalam menilai keberkesanan kerja orang bawahannya sehingga begitu mudah diperbodohkan dengan deklarasi yang ditandatangani oleh 200 ribu mayat, 300 ribu penduduk tetap warga Indonesia dan bakinya terdiri daripada anggota tentera dan orang awam.

Ada dakwaan mengatakan Ratu Naga dan 3 yang lain menerima RM 10,000 setiap seorang dimana RM 5,000 telah dijanjikan kepada Azharuddin untuk melaksanakan tugas haramnya. Namun begitu, tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan ini, cuma apa yang ingin diberitahu, Azharudddin jelas telah ditipu oleh Ratu Naga hanya untuk menyediakan 1.2 juta nama untuk menyokong deklarasi gila berkenaan.

Sekarang, semuanya telah terbuka dan terbukti, setiap satu niat jahat untuk menjatuhkan seseorang individu pastinya akan dibalas terus oleh Tuhan tanpa perlu menunggu hari pembalasan. Paling utama, sebijak-bijak Tun M dalam mengaut keuntungan untuk dirinya kini telahpun diperdaya oleh sindiket pemerasan wang VIP yang mengakibatkan, maruah dan reputasi Tun M kini hancur musnah pada mata masyarakat.


Jentera Media Pro Kerajaan Terus Ketinggalan Dengan Pembangkang



Dalam politik, pengaruh propaganda cukup memainkan peranan dalam setiap kempen mahupun untuk menyampaikan propaganda kepada rakyat bawahan. Mainan propaganda ini bukan perkara baru dalam dunia politik, sebaliknya ia memang dijadikan bahan mainan pengammal politik untuk melemahkan pihak lawan dan menunjukkan kekuatan masing-masing.

Tanyalah sesiapa sahaja yang menjadikan politik gelanggang mereka, kesemuanya mengakui pengaruh propaganda amat penting dalam menjayakan satu-satu misi samada berkeinginan mahu memenangi sesuatu pilihan raya mahupun untuk melemahkan kuasa pesaing mereka.

Jika dahulu, kebanyakan pengamal politik menggunakan medium media cetak, media elektronik dan surat layang sebagai cara mereka menyebarkan propaganda, namun disaat kepesatan pembangunan dunia hari ini, internet dan media-media sosial dijadikan tempat untuk mereka melampiaskan propaganda mereka.

Inilah yang berlaku di Malaysia hari ini dimana pengaruh propaganda politik di media sosial hari ini menyumbang 8 hingga 10 peratus terhadap kejayaan sesuatu propaganda. Dengan angka yang sedikit inilah kebanyakan pengikut parti politik yang ada di Malaysia berterusan tanpa henti, siang dan malam menyebarkan propaganda parti politik masing-masing hanya semata-mata mahu meraih lebih banyak sokongan.

Berbicara tentang hal ini, pengaruh propaganda yang dibuat pembangkang sebenarnya dilihat antara paling berjaya setakat hari ini. Sebagai contoh, isu membabitkan 1MDB dan isu derma politik RM 2.6 bilion, mereka sehingga kini masih terus mainkan dan lebih malang lagi, masih ada dikalangan pengamal media pro kerajaan menyambut isu berkenaan.

Mereka hanya mahu isu itu dipanjangkan melalui apa sahaja cara dan pengamal media pro kerajaan menjadi sukarelawan mereka memanjangkan propaganda mereka. Ini belum lagi mengira bagaimana mereka memecah belahkan pengamal media pro kerajaan dengan hanya isu dangkal yang tidak sepatutnya menyebabkan perpecahan itu terjadi.

Melihat kepada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar, disaat semua pemimpin dan akar umbi UMNO sedang sibuk mengetengahkan pelbagai nama untuk dijadikan calon di kerusi ini, Pakatan Harapan telah mengeluarkan video propaganda mereka sendiri dengan menceritakan apa sahaja kebaikan, walaupun terlalu kecil, kepada penduduk di Sungai Besar.

Video berkenaan dikhabarkan kini semakin tersebar dengan luas di Parlimen ini dan terlalu mendukacitakan apabila melihat, ahli UMNO samada dari Sungai Besar mahupun diluar Parlimen ini sibuk bertempur hanya semata-mata mahu meletakkan calon pilihan mereka. Mereka seolah-olah terlupa, UMNO mempunya Ahli Majlis Tertinggi dan Presidennya sendiri untuk memberi sebarang kata putus siapa yang layak.

Disaat mereka sedang berperang sesama sendiri, musuh menyelinap memasuki kawasan mereka dari pintu belakang. Inilah kelemahan orang-orang yang kononnya memperjuangkan nasib UMNO. Dunia hari ini tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada calon yang bakal diletak. Sebaliknya, propaganda yang banyak mempengaruhi sentimen pengundian, apatah lagi meraih kepercayaan rakyat.

Hal ini yang selalu dipandang remeh oleh kebanyakan pengamal media pro kerajaan. Kenapa kita terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal diletakakn sebagai calon? Kenapa tidak kita mengeluarkan propaganda awal apa yang telah berjaya dan akan dilakukan oleh BN semasa dan jika memenangi kerusi ini? Adakah kita tidak lagi mempercayai AMT dan Presiden parti?

Hal ehwal meletakkan calon biarlah mereka yang mempunyai kuasa untuk melakukannya. Apa yang penting untuk akar umbi UMNO dan BN di sini, terangkan secara khusus apa yang telah BN berjaya lakukan di kerusi ini. Kita adalah pemerintah, jadi gunakan segala kemudahan yang ada termasuk internet untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat.

Berhenti menjadi ejen pembangkang dalam kerajaan dan berhenti menjadi pak sibuk dalam urusan pemimpin sampai rumah sendiri dipecah masuk pembangkang pun langsung tidak disedari.

Bukukan Sejarah Tempat Dan Budaya Masyarakat

SIMBOLIK: Adenan menyempurnakan pelancaran buku ‘The Story Behind The Villages in Lundu District’. Turut kelihatan Azmi (dua kiri).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu setiap pegawai daerah di negeri ini membukukan sejarah tempat ditadbir serta budaya masyarakat setempat di situ. Beliau berkata Sarawak kaya dengan bahan-bahan sejarah era pemerintahan Rajah Putih (James Brooke) tetapi zaman sebelum itu kurang.

Beliau menambah, sejarah Sarawak penuh dengan peristiwa penting yang berlaku bertahun-tahun dahulu dan tidak hanya semasa kedatangan The White Rajah, James Brooke tetapi era sebelum itu. “Sarawak kaya dengan bahan-bahan sejarah era Brooke tetapi era sebelumnya kurang kerana ia hanya dibual tetapi tidak dibukukan.

“Oleh itu saya mahu menggalakkan setiap pegawai daerah melakukan kajian mengenai sejarah tempat mereka berkhidmat, sejarah asal nama tempat serta budaya masyarakat setempat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran buku ‘The Story Behind The Villages in Lundu District’ (Kisah di Sebalik Perkampungan di Daerah Lundu) di sebuah hotel di sini, semalam. Buku yang mempunyai 174 halaman itu hasil tulisan bekas pegawai daerah Lundu dan kini Setiausaha Sulit Ketua Menteri Azmi Bujang.

Adenan turut mencadangkan agar sejarah asal atau kemunculan daerah serta bahagian di negeri ini dikaji seterusnya dibukukan. “Apakah sejarah asal Kapit, Kanowit, Miri, Sibu, Bintulu dan sebagainya, ramai ingin tahu kerana bahan-bahan sejarah khasnya yang bertulis sukar diperoleh. 

"Misalnya Kuching, mungkin berasal daripada nama buah, buah mata kucing, yang menyerupai mata kucing dan Kuching nama yang unik kerana tidak banyak tempat dinamakan berdasarkan nama haiwan tetapi kajian mendalam masih perlu dilakukan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai buku itu, Adenan berkata penerbitannya pada masa sama mempromosikan daerah Lundu merangkumi daerah kecil Sematan sebagai destinasi pelancongan berpotensi di Sarawak. Menurutnya Lundu mempunyai pemandangan cantik dengan damparan pasir pantai yang memutih dan lautan membiru berbanding tempat lain di negeri ini.

“Kita mahu mempromosikan Lundu antara destinasi pelancongan terbaik di negeri ini dan usaha membangunkan kawasan-kawasan pelancongan di daerah ini akan diperhebatkan lagi.

“Buku ini sudah tentu memberi maklumat mengenai Lundu…tahniah kepada setiausaha sulit saya, Azmi kerana mengambil inisiatif menghasilkan buku ini dengan cemerlangnya walaupun sibuk dengan tugas rasmi,” katanya. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan beberapa menteri muda.

Kekal Cantik Dengan Tomato


Tomato yang berwarna merah sarat dengan vitamin A dan C, malah semakin matang buah tomato itu, kandungan vitaminnya juga semakin banyak. Tomato juga mengandungi likopena iaitu antioksidan yang sangat berguna untuk melawan radikal bebas akibat asap kenderaan, asap rokok dan bahan berbahaya yang masuk ke dalam tubuh. 

Likopena juga diketahui berperanan aktif mencegah kerosakan sel yang mengakibatkan kanser seperti kanser prostat, mulut dan rahim. Gel di luar biji tomato pula berkhasiat mencegah pembekuan darah yang menyebabkan penyakit jantung dan strok.

Selain dijadikan ramuan masakan, tomato juga digunakan secara meluas dalam bidang kecantikan. Khasiatnya dikatakan dapat membantu mengatasi pelbagai masalah kulit. Berikut 10 langkah mudah untuk mengekalkan kecantikan dengan menggunakan tomato:

1. Bagi yang berhadapan dengan masalah jerawat, cubalah petua ini. Lenyekkan tomato dan sapu pada seluruh wajah terutama di bahagian berjerawat, biarkan ia kering pada wajah selama 30 hingga 40 minit. Kemudian bilas dengan air suam, lakukan dua kali seminggu. Tomato dapat menyejukkan kulit dan menyerap lebihan minyak pada wajah, hasilnya jerawat mengecut dan kulit menjadi licin.

2. Tomato juga dapat membantu mengurang dan memudarkan bintik hitam pada wajah. Hanya potong tomato kepada dua bahagian dan ambil separuh daripadanya, sapukan pada wajah bermasalah. Jika dilakukan secara konsisten, bintik gelap semakin pudar dan kulit bertambah cerah.

3. Campurkan sedikit air perahan tomato di dalam putih telur dan sapu pada wajah, biarkan ia kering. Selepas itu, bilas wajah dengan jus lemon atau limau nipis. Akhir sekali bilas wajah dengan air suam. Kombinasi bahan ini dikatakan dapat mengecilkan liang pori kulit wajah.

4. Bagi mengatasi kulit kering, campurkan air perahan tomato dengan yogurt asli. Jadikan bahan ini sebagai pupur dan sapu pada seluruh wajah. Biarkan ia kering kira-kira 30 minit kemudian bilas dengan air suam. Ia membantu kulit lembap dan berseri.

5. Campuran jus tomato dan madu baik untuk mengatasi masalah ton kulit tidak sekata. Sapu bahan ini pada wajah, biarkan ia kering. Bilas dengan air suam yang dicampur dengan perahan limau nipis. Hasilnya, kulit cerah sekata.

6. Amalkan makan buah tomato pada waktu pagi. Ia dikatakan mampu membantu menyingkirkan lemak di dalam tubuh. Jus tomato juga disarankan sebagai minuman harian bagi golongan yang mahu menurunkan berat badan. Minum jus ini 15 minit sebelum makan, ia akan membuatkan anda berasa kenyang.

7. Bagi mereka yang mempunyai kulit kering dan bersisik, kembalikan kelembapan kulit dengan melenyek tomato dan lumur pada seluruh tubuh ketika mandi. Biarkan ia kering, kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan seminggu sekali untuk melihat hasilnya.

8. Bagi merawat rambut kering dan bercabang, lumur jus tomato pada rambut dan balut dengan tuala selama 15 hingga 20 minit. Ia membantu rambut sihat dan bersinar.

9. Lenyek tomato dan sapu pada kulit kepala untuk merawat masalah kelemumur. Lakukan selama 15 hingga 20 minit, kemudian bilas dengan air bersih.

10. Bagi menghilangkan lingkaran hitam di bawah mata, lekapkan hirisan tomato yang disalut dengan yogurt asli pada mata. Ia akan mengurangkan kesan gelap dan membuatkan kulit cerah.

Gagal 1kg, Cuba Pula 6kg Syabu


Tidak sampai 48 jam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah yang menggunakan taktik sama iaitu menyorokkan syabu di dalam peket teh Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini. 

Selepas gagal dalam percubaan meloloskan satu kilogram (kg) syabu pada 19 Mei lalu, kumpulan penyeludup dilihat lebih berani apabila cuba membawa masuk 6kg syabu bernilai RM3.5 juta pula dua hari kemudian.

Dalam kes terbaru itu, suspek berusia 34 tahun ditahan kira-kira pukul 3.40 petang pada 21 Mei lalu selepas proses imbasan ke atas kotak yang dibawanya disyaki mengandungi bahan mencurigakan.

Kesemua mereka kini sudah ditahan reman. Andai perbicaraan mendapati mereka bersalah, kesemua mereka berhadapan dengan Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

14 Remaja Berpesta Liar Di Kota Bharu


Niat asal menyambut hari jadi seorang rakan namun selepas selesai acara tersebut, sekumpulan 10 pemuda dan empat gadis mengambil kesempatan meneruskan keseronokan mereka dengan berpesta liar. 

Kegiatan tidak bermoral melibatkan 14 orang yang kesemuanya berketurunan Melayu dan berusia 17 hingga 25 tahun itu berlangsung bermula dari lewat malam kelmarin sehingga mereka ditangkap pada pukul 10.30 pagi semalam.

Kesungguhan untuk berparti secara tidak senonoh itu boleh dilihat apabila kumpulan terbabit sanggup menyewa apartmen satu bilik di tingkat 17 di Jalan Hamzah di sini untuk dua hari berturut-turut dengan harga RM360.

Difahamkan, semasa serbuan pukul 10.30 pagi, lelaki yang diraikan sempena hari jadinya sudah pulang. Bagaimanapun, baki 14 tetamu yang datang untuk sambut hari jadi terus berada di apartmen itu kerana dikatakan khayal teruk sehingga masing-masing tidak dapat pulang.

Pembantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Mat Jusoh Seman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan liar lelaki dan perempuan bukan muhrim memasuki sebuah apartmen mewah itu daripada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Semasa pihak penguat kuasa pergi ke apartmen itu, kita terpaksa mengetuk pintu apartmen terbabit kira-kira 30 minit sebelum ia dibuka. Pemeriksaan di apartmen satu bilik itu menemui 10 lelaki dan empat wanita dengan kebanyakan mereka dalam keadaan khayal,” kata beliau semasa ditemui selepas serbuan di sini semalam.

Utama Calon Disukai


Individu boleh menang dan disukai akan menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) untuk diletakkan sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor, yang ditetapkan pada 18 Jun ini. 

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini tujuh calon disenarai pendek. Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan calon wanita diketengahkan untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi berkenaan.

“Setakat ini kita belum memuktamadkan lagi calon akan dipilih, kami mengadakan perbincangan (tentukan calon) dengan pemimpin BN Selangor dan Sungai Besar sebelum keputusan diambil. 

“Ramai berharap wanita dipilih menjadi calon, tetapi kita juga ada pertimbangan lain...calon boleh menang dan disukai menjadi keutamaan utama parti (dalam membuat pilihan),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penganjuran Program Oleh Kerajaan Persekutuan di Parlimen Sungai Besar di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Kiong dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya Sungai Besar Datuk Noh Omar.

Mesyuarat berkenaan diadakan untuk memastikan tiada pertindihan dari segi pelaksanaan program dan aktiviti bakal diadakan sepanjang PRK berlangsung.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap strategi disusun bagi menghadapi PRK perlu dipastikan keberkesanannya kerana kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hanya tipis iaitu 399 undi saja.

Sehubungan itu, katanya, beliau dan Noh bersama presiden parti komponen BN akan memberi tumpuan dengan mengambil beberapa tindakan bersifat kos efektif bagi memastikan apa saja dilakukan memberi hasil lebih baik.

“Kita (BN) di Sungai Besar lebih ‘underdog’ kerana kemenangan (pada PRU lalu) hanya 399 undi dan kerajaan negeri juga dikuasai orang lain. Kita sedar (mengenainya) dan kita harus bekerja keras dan lebih bijaksana untuk menangani segala masalah bagi memastikan kemenangan di Sungai Besar,” katanya.

Sementara itu, Liow berkata, secara keseluruhannya masyarakat Cina di Parlimen Sungai Besar dapat menerima baik dasar kerajaan kerana kerajaan juga responsif dengan permintaan mereka. Malah, katanya, kaum Cina juga tahu mereka perlu berada dalam kerajaan dan bukan selamanya dengan pembangkang.

“Kami berharap mereka boleh memberikan kekuatan kepada MCA untuk memainkan peranan dalam kerajaan bagi membantu menyuarakan keluhan mereka. Apa yang penting bagi mereka adalah kerajaan stabil dan kukuh,” katanya.

Rakyat Britain Makin Ramai Ateis


Bilangan penduduk tanpa agama atau ateis meningkat dengan ketara dan mengatasi populasi penganut Kristian di England dan Wales, menurut satu analisis baharu seperti dalam laporan akhbar The Guardian kelmarin. 

Menurut kaji selidik itu, bilangan individu yang dikenal pasti tidak mempercayai kewujudan Tuhan itu mencecah 48.5 peratus pada 2014, meningkat hampir dua kali ganda berbanding 25 peratus sepanjang 2011. Penduduk yang mengaku menganuti ajaran Kristian Anglikan dan Katholik merangkumi 43.8 peratus populasi di England dan Wales pada 2014.

“Apa yang jelas adalah peningkatan ketara bilangan individu tanpa agama ini dalam populasi” kata Pensyarah Kanan Teologi dan Etika Universiti Katholik St Mary, Stephen Bullivant. Beliau menganalisis data yang dikumpulkan menerusi penyelidikan dikenali sebagai Sikap Sosial British sejak tiga dekad lalu.

“Faktor utama menyumbang kepada situasi ini adalah individu yang dibesarkan dalam keadaan beragama kini mengakui diri mereka ateis. Bilangan golongan ini yang bukan sahaja tidak mengamalkan ajaran Kristian, malah menolak agama meningkat dengan cepat,” kata Bullivant. 

Laporan itu bagaimanapun tidak meneliti data dari Scotland atau Ireland Utara. Kaji selidik Sikap Sosial Scotland pada bulan lalu mendapati 52 peratus populasinya me­ngakui tidak mengamalkan ajaran Kristian agama berbanding hanya 40 peratus pada 1999.

Analisis baharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Kristian berikutan meningkatnya sikap tidak ambil peduli pada agama. Pada tahun ini, Gereja England menyatakan, pihaknya menjangkakan jumlah kehadiran ke gereja akan terus menurun untuk tempoh 30 tahun akan datang ekoran mereka yang hadir ke gereja kini semakin berusia, manakala generasi baharu pula menolak institusi agama.

KWSP Berhadapan Situasi Mencabar


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM6.78 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2016, penurunan 36.21 peratus berbanding RM10.63 bilion pada suku sama tahun lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, keadaan pelaburan pada suku tahun ini amat berbeza dengan suku tahun yang sama pada tahun lalu di mana KWSP berupaya meraih pulangan lebih baik dari pelaburan luar negara terutamanya dari pasaran ekuiti membangun yang menampung pasaran ekuiti domestik yang lemah.

Menurutnya, suku pertama tahun ini menyaksikan hampir semua pasaran ekuiti global, termasuk Bursa KLCI mencatat kejatuhan seterusnya mengakibatkan pengurangan daripada segi sumbangan pendapatan dari jumlah portfolio ekuitinya menjadikan sumbangan aset global kepada jumlah pendapatan menurun 22 peratus berbanding 47 peratus tahun lalu berikutan modal dan kadar pertukaran asing yang rendah.

“Di dalam suku tahun yang dikaji, Ekuiti merangkumi 41.43 peratus jumlah aset pelaburan KWSP menyumbang RM2.55 bilion, mewakili 37.56 peratus daripada jumlah pendapatan. Pendapatan yang dijana adalah 59.98 peratus lebih rendah berbanding RM6.36 bilion yang dicatat pada suku tahun sama pada 2015.

“Walaupun pendapatan dari pembayaran dividen adalah konsisten dengan suku pertama tahun lalu, kejatuhan pasaran saham global dan domestik mengehadkan peluang KWSP merealisasikan pendapatan dagangan untuk suku pertama 2016,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Shahril Ridza berkata, pulangan rendah dari pelaburan ekuiti ditampung pulangan dari pendapatan tetap dan aset inflasi yang kekal teguh serta stabil sepanjang suku tahun berkenaan di mana peruntukan lebih separuh dari aset pelaburan pendapatan tetap, memainkan peranan dalam menyumbang pulangan pelaburan jangka panjang yang mapan.

Berakhir Mac 2016, instrumen pendapatan tetap, mewakili 51.72 peratus dari jumlah saiz pelaburan KWSP yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan bagi suku pertama 2016 dan kelas aset ini menyumbang RM3.74 bilion kepada pendapatan pelaburan bersamaan 55.15 peratus pendapatan suku tahun.

Sekuriti Kerajaan Malaysia menjana pendapatan RM1.87 bilion dalam suku tahun yang dikaji, naik 9.80 peratus atau RM166.74 juta berbanding RM1.70 bilion dalam suku sama pada 2015, manakala pinjaman dan bon merekodkan pendapatan pelaburan RM1.87 bilion berbanding RM2.03 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Malam Gemilang JDT Baham Kaya FC




PASUKAN Johor Darul Takzim (Johor DT) membuktikan status mereka selaku juara bertahan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) 2016 apabila membelasah wakil Filipina, Kaya FC 7-2 pada pusingan kalah mati di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi. 

Ia malam gemilang buat skuad kendalian Mario Gomez itu yang ternyata sukar disekat untuk membolosi gawang pasukan lawan sepanjang perlawanan tersebut. Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan tempat skuad Harimau Selatan ke pusingan suku akhir kejohanan berprestij di Asia itu. 

Pesta gol Johor DT bermula seawal minit ke-15 menerusi jaringan Lucero dan selepas itu mereka terus garang membaham gawang lawan yang menyaksikan juara Piala Asia 2015 itu menambah tiga lagi gol menerusi Juan Pereyra Diaz (m-23) serta Azamuddin Akil (m-33, m-40), sekali gus membolehkan mereka selesa mendahului 4-0 pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Kaya FC berjaya mencuri tumpuan apabila memperoleh gol pembukaan pada minit ke-53 menerusi jaringan Porteria namun ia tidak menghalang Johor DT untuk menambah jaringan menerusi Lucero (m-54).

Pemain gantian, Mahalli Jasuli menjadikan kedudukan 6-1 menerusi jaringan pada minit ke-68 sebelum Lucero melengkapkan jaringan hatrik (m-69) untuk gol ketujuh pasukannya. Pada minit-minit terakhir perlawanan, Johor DT mula memperlahankan permainan dan ia dipergunakan sepenuhnya oleh Kaya FC untuk menjaringkan gol kedua menerusi Antonio Ugarte pada minit ke-89.
Bagi Kaya FC, ia merupakan pengalaman berguna buat mereka kerana ini adalah penampilan pertama mereka pada Piala AFC dan kejayaan melangkah ke peringkat kalah mati sudah dianggap satu kejayaan.

Johor DT yang turun tanpa kapten, Safiq Rahim pada perlawanan tersebut gara-gara kecederaan, satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran pada Piala AFC selepas Selangor tersingkir pada saingan peringkat kumpulan. Pusingan suku akhir dijadualkan berlangsung pada September depan.

Wings Kumpul Dana Untuk Yazit



Kumpulan rock popular Wings meluahkan hasrat untuk membantu pemain dram Search, Yazit Ahmad, 54, yang ketika ini menderita sakit buah pinggang. Penyanyinya, Awie, 48, berkata, dia bersama anggota Wings seperti Joe, Eddie dan Black kini dalam proses perbincangan untuk menganjurkan persembahan amal bagi mengumpul dana untuk membantu Yazit. 

"Sebagai rakan yang sudah lama mengenali Yazit, kami terpanggil untuk membantunya. Apatah lagi, sekarang timbul konflik membabitkan dia dengan anggota Search. Bukan saja Wings, ada beberapa pelawak dan pelakon lain juga akan turut serta dalam program amal ini nanti. Mereka juga meluahkan rasa simpati dengan keadaan Yazit sekarang," katanya semalam.

Awie berkata, persembahan amal itu masih dalam proses perbincangan kerana mereka memerlukan pendapat daripada banyak pihak.

"Idea ini sudah lama difikirkan cuma masih belum dapat direalisasikan. Bukan apa, kami perlu memikirkan mekanisma dan idea terbaik bagi menjayakannya. Kami tidak mahu ia dilihat sebagai program syok sendiri. Sebab itu, ia memerlukan perbincangan rapi ditambah pula ia membabitkan banyak pihak," katanya.

Wednesday, 25 May 2016

Kenyataan Akhbar Terkini SPRM Berhubung Kes Guan Eng



Ketika ramai mula mempersoalkan hasil siasatan SPRM terhadap isu yang mengaitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini, SPRM telah mengeluarkan satu kenyataan media berhubung status siasatan berkenaan.

Kenyataan 3 perenggan berkenaan dihantar sebentar tadi bagi menjawab persoalan orang ramai berhubung status siasatan yang dilakukan. Berikut merupakan kenyataan akhbar berkenaan.

KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM SPRM LENGKAPKAN SIASATAN TERHADAP LIM GUAN ENG 

BERHUBUNG siasatan SPRM terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, SPRM telah melengkapkan siasatan tersebut dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk membuat keputusan ke atas kertas siasatan yang dikemukakan kepadanya.

Sekiranya Tan Sri Mohamed Apandi berpuas hati terhadap keterangan kertas siasatan yang dikemukakan, maka tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil.

Sebaliknya, sekiranya siasatan SPRM didapati tidak mempunyai keterangan yang mencukupi, maka tiada tindakan undang-undang diambil. Perkara tersebut adalah selaras dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa mendakwa adalah di tangan Peguam Negara. 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA
25 Mei 2016

Diharap, dengan kenyataan ini, dapat meredakan sedikit tanda tanya berhubung status siasatan berkenaan.

MCA Komited Bersama Komponen BN Untuk 2 PRK



Seperti sedia maklum, dua Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal diadakan pada bulan hadapan. Kesemua parti politik yang dikatakan akan bertanding sedang menyiapkan jentera pilihan raya mereka ketahap maksima bagi memastikan kemenangan calon yang akan di letakkan nanti.

Dalam hal ini, Barisan Nasional pastinya akan meletakkan calon-calon mereka di kedua-dua kerusi Parlimen ini. Dengan ditunjangi oleh UMNO selaku parti tunggak didalam Barisan Nasional, pastinya bantuan dari rakan komponen yang lain amat ditagih untuk memastikan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum yang ke 13 lalu kekal milik UMNO dan BN.
Senator Chong Sin Woon

Dalam hal ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam sidang akhbarnya sebentar tadi, telah menyatakan komitmen parti itu bagi membantu UMNO memenangi pilihan raya kecil berkenaan. Untuk itu, beliau telah melantik Senator Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan peringkat kebangsaan.

Bagi Parlimen Kuala Kangsar pula, beliau telah melantik ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar.

Mereka berdua dipertanggungjawabkan oleh MCA pusat untuk mengatur langkah-langkah dan program-program komuniti pusat bagi MCA bagi memastikan calon yang bakal dipertaruhkan oleh BN di kerusi ini mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil ini.

Disamping itu, kedua-dua pemimpin MCA ini juga akan turun padang bagi mendekati semua pengundi dari akar umbi bagi membolehkan Bn menyampaikan agenda pembangunan dan iltizam mereka kepada rakyat. Ini penting kerana di kedua-dua kerusi ini turut sama didiami oleh kaum Cina.

Datuk Mah Hang Soon
Untuk rekod, di Parlimen Sungai Besar sebanyak 36 pera\atus daripadanya adalah dari pengundi Cina dan Parlimen Kuala Kangsar pula mencatatkan 31 peratus pengundi Cina.

Dalam sidang akhbar yang sama, Datuk Seri Liow juga turut memberitahu, semua jentera MCA dari seluruh negara akan turun membantu jentera pilihan raya BN dan UMNO di kedua-dua kerusi Parlimen ini. Ini adalah bukti dimana komitmen yang tinggi sentiasa menjadi keutamaan MCA dalam memastikan UMNO dan BN meraih kemenangan mutlak kelak.

Kesemua jentera ini akan dikoordinasikan oleh kedua-dua pemimpin MCA pusat yang telah dilantik bagi mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil itu nanti.

Beliau juga turut mendedahkan bahawa MCA negeri Selangor dan Perak telah melakukan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil ini. Jentera Pilihan Raya MCA, menurut Datuk Seri Liow telah memulakan gerak kerja mendekati pengundi-pengundi Cina di kedua-dua Parlimen ini dan akan diteruskan sehingga hari terakhir kempen kelak.

Mudahnya Cytro UMNO Menjadi Ejen DAP



Apabila berbicara tentang strategi perang cyber didalam politik, pastinya semua mata akan melihat sendiri bagaimana para penggiat politik melalui medium elektronik ini bertempur hampir setiap hari tanpa mengira waktu. Masing-masing akan menegakkan idealogi sendiri walaupun ada ketikanya, ia melibatkan sampai perseteruan peribadi dengan menghina peribadi antara satu sama lain.

Bercerita tentang "pertarungan Cywar" ini, pastinya tidak dapat tidak memperkatakan bagaimana sesuatu bahan itu di viralkan dilaman-laman sosial hari ini. Kebanyakan pahlawan perang cywar ini menggunakan pelbagai medium media sosial samada menerusi Facebook, Whatsapp dan sebagainya. Disinilah segala bahan seperti blog, gambar dan poster disebarkan kepada masyarakat di luar sana.

Menariknya, ada diantara pejuang maya ini mencedok secara membuta tuli gambar-gambar, poster-poster dan penulisan blog yang mereka sendiri tidak pasti kesahihannya. Masing-masing bersaing untuk menjadi antara yang terawal menyebarkan sesuatu berita sedangkan hakikat sebenar, ada diantaranya hanyalah propaganda dan mainan psikologi pihak lawan untuk mempopularkan bahan mereka.

Gambar Hiasan
Hal inilah yang berlaku didalam pejuang maya UMNO hari ini. Andai ada sahaja yang mereka lihat sebagai bahan untuk melemahkan lawan, pastinya mereka akan mengambilnya sebagai hak milik mereka sendiri dan menyebarkan secara menyeluruh kedalam media sosial. Menariknya, mereka sendiri tidak mengetahui dari mana bahan-bahan berkenaan muncul atau dari sumber mana.

Kesempatan menemui seorang penggiat politik media sosial dari parti pembangkang mendedahkan hakikat yang terselindung selama ini. Dia yang namanya enggan disiarkan mengakui, gerak kerja pembangkang sebenarnya cukup tersusun. Apa yang mereka perlukan adalah sekeping gambar dimana dari gambar berkenaan, segalanya boleh dilakukan.

Mengambil kira pepatah Inggeris "A picture have a thousand meaning", mereka hanya perlu memasukkan gambar berkenaan melalui akaun Facebook hantu milik mereka tanpa meletakkan sebarang caption. Dia yang juga penyokong tegar DAP memberitahu, mereka hanya perlu menunggu sejam selepas dimuat naik untuk melihat hasilnya.

Dia mengakui, ada diantara gambar mahupun poster diedit terlebih dahulu supaya ia mudah diambil oleh pejuang maya yang lain untuk disebarkan. Tanpa meletakkan watermark, gambar berkenaan pasti diambil oleh penyokong pembangkang untuk dijadikan modal menghentam kerajaan, walaupun pada hakikatnya, mereka melakukan secara suka-suka.

Sejam kemudian, tibalah masa pejuang maya UMNO mengambil gambar berkenaan dan disebarkan secara menyeluruh. Disinilah, segala gambar, poster dan fitnah akan berkembang biak dan seterusnya mempengaruhi mereka yang berada diatas pagar. Walaupun kebanyakan mereka yang berkongsi gambar ini memaki hamun gambar berkenaan, apa yang penting, menurutnya, gambar berkenaan tersebar dengan luas.

Dia memberi contoh bagaiman cytro UMNO ini terlalu naif dengan sesuatu isu. Lihat sahaja gambar Dyana Sofea yang dikatakan berbikini, walhal ianya diambil dari gambar akaun Facebook artis dari Filipina yang kebetulan mempunyai iras muka yang sama. Dengan hanya meletakkan sekeping gambar tanpa watermark, gambar berkenaan tersebar dengan luasnya.

Tujuannya? Adalah untuk memperkenalkan Dyana Sofea kepada penduduk Teluk Intan dimana Dyana pada ketika itu adalah orang baru dalam dunia politik. Daripada orang tidak mengenalinya, cytro UMNO secara sukarelanya memperhambakan diri untuk mempromosikan Dyana di Teluk Intan. Ini secara tidak langsung menjimatkan wang dan masa DAP untuk memperkenalkan Dyana.

Hal begini, menurutnya masih berterusan sehingga hari ini dan masih ramai lagi cytro UMNO pro kerajaan sanggup menjadi hamba tanpa bayaran dari DAP menyebarkan gambar-gambar, poster-poster dan blog-blog hantu tulisan penyokong pembangkang tanpa sedikitpun mahu mengenal pasti dari mana punca asal sesuatu bahan berkenaan.

Mengakhiri perbualan panjang dengan penyokong tegar DAP berkenaan, sekali lagi dia memberitahu, jika UMNO mahu menjuarai media sosial, para penyokongnya terutama mereka yang menjadi cytro UMNO, berhenti menyebarkan dakyah palsu yang direka oleh mereka. Cipta suasana baru, terangkan kebenaran dari sibuk berkongsi bahan yang mereka cipta hanya dari Cyber Cafe.

Lebih melucukan, kadang kala mereka hanya menyebarkan gambar, poster dan blog palsu berkenaan dari Cyber Cafe, dirumah malah ada diantaranya melakukan di tandas. Hasilnya, seluruh negara terutamanya cytro UMNO berperang dengan gambar yang tidak tentu sahihnya. Paling utama, gambar, poster mahupun blog mereka cepat tersebar berbanding gambar, poster dan blog pro kerajaan itu sendiri.

Sebelum beredar, dia bertanyakan satu soalan yang menyebabkan ramai yang terdiam. Siapa yang bodoh sebenarnya, cytro pembangkan atau cytro pro kerajaan?


Insiden ‘Tembak-Menembak’ Kejutkan Warga Sibu

B16052528

Orang ramai di bandar ini terutama yang berada di hadapan Pusat Tranformasi Bandar UTC di Pasar Sentral Sini dikejutkan insiden ‘tembak-menembak’ sekitar jam 10.30 pagi semalam. Malah, ada kalangan orang awam tidak mahu ketinggalan merakam gambar menggunakan telefon pintar mereka. 

Dalam simulasi itu, dua kereta peronda MPV berhenti menyekat laluan di tengah jalan raya di hadapan UTC dan tiba-tiba dua lelaki bersenjata pistol keluar dan melepaskan beberapa das tembakan selepas keluar dari kereta Proton Waja.

Beberapa anggota polis turut membalas tembakan ke arah dua suspek tersebut. Aksi tersebut berakhir selepas kedua-dua lelaki itu tumpas di tangan polis. Orang awam yang berada di sekeliling cuba menjauhkan diri kerana takut sesuatu tidak dingini berlaku terhadap keselamatan mereka.

Carian rambang di laman media sosial mendapati aksi ‘tembak-menembak’ pagi semalam menerima pelbagai komen dan reaksi daripada warga netizen. Ada juga memikirkan penggambaran drama Gerak Khas diadakan di situ dan ada yang meluahkan perasaan takut sehingga mahu pengsan melihat polis melepaskan tembakan di tempat awam.

“Lain kali buat notis atau pemberitahuan terlebih dahulu,” kata komen dalam Facebook. Bagaimanapun, adegan tersebut hanya latihan pasukan polis sebagai persediaan Majlis Pelancaran Ops Selamat sempena Hari Gawai tahun ini. Majlis itu dirasmikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor di hadapan UTC di sini, semalam.

Mamagun Bantah Himpunan Rakyat NGO Pada 31 Mei Ini




Pertubuhan Mamagun Sabah (PMS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah Himpunan Rakyat yang dikatakan akan diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 31 Mei ini. 

“Saya bimbang terhadap kehadiran Himpunan Rakyat yang dianjurkan oleh gabungan NGO bagi membantah penarikan MyKad di Sabah jika diteruskan kemungkinan mengeruhkan lagi suasana ketenteraman di negeri ini,” kata Presiden PMS Rudy Sulaiman Mairi.

Katanya, poster yang mengiklankan perhimpunan itu bakal diadakan pada 31 Mei bersamaan dengan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Penampang. Rudy menyifatkan tindakan gabungan NGO yang melakukan bantahan seolah-olah mereka tidak menghormati perayaan terbesar masyarakat orang asal negeri ini.

“Perhimpunan itu akan dianjurkan beberapa gabungan NGO telah tersebar luas di laman sosial Facebook sebelum ini, namun banyak pihak mempertikai bagaimana ia diluluskan oleh pihak berkuasa berhubung perhimpunan itu,” katanya.

Rudy berkata, Mamagun berpendirian bahawa mereka tetap memberi keyakinan sepenuhnya terhadap kewibawaan kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal RCI Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam menangani isu status kerakyatan tulen di negeri ini.

“Kepada mereka yang berhajat mengadakan perhimpunan, tidak perlu bimbang atau menggelabah sekiranya dokumen diri atau MyKad mereka tulen, maka statusnya akan tetap tidak berubah,” katanya.

Rudy berkata, Mamagun tidak ragu-ragu menyatakan sokongan padu terhadap kenyataan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili di Kota Marudu 12 April lalu.

Dalam kenyataannya, Dr Maximus mengulangi gesaannya kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempercepatkan penarikan balik kad pengenalan yang telah dikeluarkan secara haram kepada rakyat asing dan melaksanakan pengeluaran dokumen dan kad pengenalan baharu kepada rakyat tulen Sabah.

Semua Dengan Hanya Suara Anda


Tanpa sedar, masa depan manusia kini bergantung kepada penggunaan teknologi yang memasuki fasa penggunaan Internet untuk segalanya (IoT) menjadi nadi kepada kehidupan. Dalam persidangan Google I/O di Amerika Syarikat, baru-baru ini, beberapa ciri baru teknologi mula dipertontonkan bukan saja merangkumi hiburan tetapi merangkumi perkakasan rumah dan aksesori peribadi.

Bermula dengan projek Google Cardboard dua tahun lalu, kini Google mahukan industri realiti maya (VR) berkembang lebih pesat. Oleh itu, mereka mempamerkan Daydream, direka untuk kegunaan VR yang diperkenalkan sebagai set kepala dan alat kawalan jauh untuk memberi pengalaman lebih canggih.

Google menyediakan rekaan rujukan set kepala dan alat kawalan jauh Daydream yang boleh digunakan pembangun dan bukan itu saja, ia boleh dikembangkan melalui telefon pintar. Antara pengeluar telefon pintar yang bakal mesra Daydream termasuk Samsung, Huawei, ZTE, ASUS, Alcatel, Xiaomi dan HTC.

Semuanya dijangka mula disaksikan pada penghujung tahun ini. Alat kawalan jauh Daydream menjadikannya ciri baru pada VR. Ia bukan saja digunakan untuk kawalan butang tetapi turut dilengkapi sensor giroskop dan pergerakan yang penting dalam permainan video.

Tidak lengkap Daydream tanpa aplikasi khas. Oleh itu, Google bekerjasama dengan beberapa pembangun kandungan seperti The New York Times, The Wall Street Journal, HBO dan IMAX. 

Malah, Google juga merapatkan hubungan dengan pembangun game seperti Ubisoft, EA dan CCP bagi menghasilkan permainan VR. Setakat ini, Google sudah menyediakan fungsi VR pada produknya seperti YouTube.

Google Home Ia inovasi baru menyamai Amazon Echo, peranti yang kelihatan seperti penapis udara dan memiliki pembesar suara disambungkan terus ke Internet menerusi WiFi. Pastinya ia dikawal penuh menggunakan suara saja termasuk dengan memulakannya hanya menyebut ‘OK Google’. 

Google Home boleh digunakan sebagai kaunter pertanyaan dan apabila berhubung dengan Google Cast, ia mampu mengawal perkakasan elektronik lain seperti televisyen atau pembesar suara. Contohnya, ia boleh memainkan video YouTube ke televisyen menerusi arahan suara dan mampu mengawal lampu dengan hanya bercakap dengan alat kawalan.

Hanya dengan suara juga, ia membantu menetapkan penggera di telefon, membuat temu janji dan banyak lagi.

Android Wear 2.0

Sejak setahun dua, jam pintar menjadi gajet terbaru kepada pengguna, tidak hairan fungsinya perlu diperluaskan dan manfaatnya lebih jelas. Berbanding sebelum ini, Android Wear 2.0 membenarkan pilihan fungsi yang terpapar di skrin jam, boleh ditetapkan sendiri pengguna seperti kalendar, senarai lagu, temu janji, kiraan langkah dan kadar degupan jantung.

Seperti pengalaman penulis, antara yang sukar dilakukan jam termasuk membalas mesej kerana papan kekunci sangat kecil meskipun boleh dilakukan dengan suara tetapi ia belum cukup mantap. Sebab itu, Android Wear 2.0 mempunyai set pramesej sedia ada atau dengan melakar di atas skrin yang membolehkan Google mengesan tulisan di atas skrin dan menterjemahnya ke dalam huruf.

Suami Bakar Isteri Dihukum Mati


Seorang bekas ceti haram atau ah long dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membakar dan membunuh isteri­nya dengan menggunakan minyak petrol di kediaman me­reka dekat sini tiga tahun lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang muna­sabah terhadap pendakwaan kes tersebut. 

Mengikut pertuduhan, Chiam Nguang Huat, 42, didakwa membunuh isterinya, Lai Siew Fong, 36, di kediaman mereka di Taman Bayu Mutiara, Seberang Perai Tengah dekat sini pada pukul 4 petang, 24 Jun 2013.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata, terdapat percanggahan keterangan yang diberikan tertuduh berbanding dengan dua anak lelakinya serta nenek mereka.

'Jangan Pandang Mudah Cabaran Parti Lawan'


Barisan Nasional (BN) Perak tidak memandang rendah cabaran daripada parti lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, bulan depan. 

Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya menganggap sesiapa saja yang bertanding pada PRK itu sebagai cabaran yang harus dihadapi, jadi semua pihak diseru berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan pada PRK itu. 

“Tidak kira siapa saja yang bertanding, itu lawan yang perlu kita hadapi. Bagi pembangkang, mereka tidak ada masalah meletakkan calon luar atau bukan anak tempatan. BN pula meletakkan tiga kriteria bagi pemilihan calon iaitu boleh diterima penduduk, disukai pengundi dan boleh menang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri, semalam.

Beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN akan memilih calon untuk PRK Kuala Kangsar berasaskan tiga kriteria itu.

Mengenai ‘acuan tetap’ PRK Teluk Intan yang akan digunakan pada PRK Kuala Kangsar seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Ahad lalu, Zambry mengakui pihaknya akan menggunakan gerak kerja sama namun mungkin pendekatan yang berbeza sedikit.

Katanya, semua pihak disaran menggunakan pendekatan lebih berhemah bagi menghormati Ramadan dengan rakyat sendiri tidak suka perkara berunsur fitnah, cercaan, maki-hamun dan kata nista dilemparkan sepanjang bulan mulia itu.