Friday, 29 July 2016

Mungkinkah BN Akan Menawan Pulau Pinang Andai Ada PRN?



Ketika hiruk pikuk dari Pulau Pinang yang mendakwa DAP tetap akan mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat, pembangkang di negeri tersebut sudah boleh membuat perkiraan berhubung peluang BN untuk merampas semula Pulau Pinang dari tangan DAP.

Walaupun sehingga kini masih belum ada kata pemutus samada berlaku ataupun tidak Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, namun jika dilihat dari segi komitmen dan kemahuan kuat DAP, kemungkinan itu tetap ada. Lim Guan Eng dilihat benar-benar serius memujuk PKR untuk bersetuju dengan mereka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri dan UMNO serta BN harus boleh bersedia sekarang.

Jika dilihat daripada keadaan semasa yang berlaku di Pulau Pinang, kepimpinan DAP dilaporkan sudah mula ditolak oleh rakyat Pulau Pinang. Ini kerana, sepanjang 8 tahun mereka berkuasa, terlalu banyak isu yang mereka gagal tangani termasuk kos sara hidup yang cukup tinggi di bahagian pulau di negeri ini.

Tambahan pula, sentimen kemarahan rakyat Pulau Pinang terutamanya kaum Melayu di sini yang berang dengan cara Guan Eng menguruskan negeri terutamanya kegagalannya membina walau sebuahpun rumah mampu milik, jelas memainkan peranan disini.

Namun begitu, usah dilupa kepada sentimen pengundi kaum Cina yang menjadi penghuni majoriti di Pulau Pinang. Disinilah ujian sebenar terhadap dua buah parti dari kaum Cina, MCA dan Gerakan dalam usaha mereka memujuk dan sekaligus merampas negeri Pulau Pinang dari tangan DAP.

Secara amnya, hari ini, DAP menguasai 19 buah kerusi, PKR dan BN masing-masing menguasai 10 buah kerus dan PAS dengan 1 kerusi. Daripada 40 buah kerusi ini, DAP dijangka bakal memperolehi sekurang-kurangnya 17 buah kerusi dimana peluang untuk BN menang pada pilihan raya ini terletak kepada 23 kerusi lagi.

Selain mahu mengekalkan 10 buah kerusi yang kini disandang oleh BN, pastinya kerusi-kerusi milik PKR dilihat sasaran utama dalam usaha mereka memenangi Pilihan Raya Negeri ini. Perkiraannya mudah, andai BN mampu memperolehi 21 kerusi, BN sudah boleh membentuk sebuah kerajaan di Pulau Pinang.

Mungkin ada yang mengatakan, ianya suatu yang mustahil buat BN merampas Pulau Pinang. Namun harus diingat, semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mei lalu, ramai pemerhati politik menjangkakan, BN akan memenangi 65 hingga 68 buah kerusi. Namun, hasil yang dipersembahkan pada 7 Mei yang lalu menyaksikan BN memenangi 72 buah kerusi, pencapaian terbaik BN sepanjang sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Begitu juga pada dua Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Di Kuala Kangsar, pemerhati politik menjangkakan BN mungkin memenangi majoriti 3,000 undi dan di Sungai Besar, BN dijangka mendapat 5,000 undi majoriti. Namun hakikatnya, di Kuala Kangsar, BN memperolehi 6,969 undi dan di Sungai Besar, majoritinya jauh lebih tinggi iaitu, 9191 undi.

Apapun mungkin berlaku dan DUN Pulau Pinang masih belum dibubarkan lagi. Politik sentiasa menyajikan sesuatu yang sukar untuk diduga dan adakalanya menyajikan sesuatu yang mengejutkan. Apa yang pasti, tunggulah pengisytiharan pembubaran DUN Pulau Pinang dan segala ramalan ini mungkin akan tersasar atau mungkin akan menepati ramalan.

Monyet Pun Tau Ketagih Dadah



Isu ketagihan dadah sememangnya sudah lama menjadi masalah global. Walaupun pada asalnya ia dicipta sebagai bahan ubat-ubatan, namun manusia telah menyalahgunakan dadah ini untuk mendapat "nikmat" yang palsu sehingga ada diantaranya menjadi masalah kepada masyarakat.

Kebiasaannya kita hanya mendengar manusia sahaja yang mengalami ketagihan melampau pada dadah. Namun lain pula halnya dengan seekor monyet berhadapan diusir keluar dari negara dan kediamannya kerana mengalami ketagihan dadah yang melampau.

Kes ini terbongkar apabila tuannya mengalami satu kemalangan. Semasa kejadian, tuan dan monyet berkenaan dilihat berada dalam keadaan khayal dan terhuyung hayang sehingga menyebabkan pihak berkuasa Kuwait City melakukan pemeriksaan terhadap mereka.

Sebaik pemeriksaan dilakukan, pihak polis di Kuwait City mendapati tuan dan monyet berkenaan berada didalam pengaruh dadah dimana tuannya sendiri mengakui, mengambil dadah berkenaan sebelum mereka keluar untuk bersiar-siar.

Katanya lagi, sukar untuk menahan ketagihan yang dialami oleh monyet berkenaan sehinggakan setiap dos yang dia ambil, sama seperti apa yang monyet berkenaan ambil.

Dalam pada itu, pihak polis Kuwait telah menyerahkan monyet berkenaan kepada sebuah zoo yang berhampiran sebelum tindakan mengusir monyet ini keluar dari Kuwait dilakukkan. Menurut laporan, monyet berkenaan berasal dari Indonesia dan pihak berkuasa Kuwait sedang menunggu kebenaran pihak Indonesia untuk mengusir "rakyatnya" keluar dari Kuwait.


Dua Geng Tumpas

BARANG CURI: Zailanni (dua kiri) menunjukkan barang-barang hasil pecah rumah sekitar Bintulu yang dirampas pada sidang media semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu berjaya menumpaskan dua kumpulan curi kenderaan dan pecah rumah serta menemui semula barang-barang curi termasuk kereta dalam Ops Lejang dan Ops Pintu, minggu lepas. 

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata, kumpulan pertama dikenal pasti sebagai ‘Geng Johnny’ dan dua ahlinya dicekup bersama sebuah kereta curi jenis Proton Wira dengan seorang lagi ahli masih diburu.

“Hasil penangkapan dua penjenayah tersebut, kami percaya kumpulan itu terlibat dalam kes curi kenderaan membabitkan pacuan empat roda jenis Hilux dan kereta Proton Wira. “Kumpulan penjenayah terbabit akan diambil tindakan di mahkamah atau di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Zailanni berkata, kumpulan kedua dikenal pasti sebagai ‘Geng Patrick Rio’ dianggotai lima ahli dengan empat daripadanya berjaya diberkas dan seorang lagi masih diburu.

“Patrick Rio sebagai ketua kumpulan yang diberkas dikesan positif dadah, mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah diambil tindakan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan serta pernah dipenjara selama dua tahun,” jelasnya.

Dengan penangkapan terbaharu itu, katanya, polis berjaya menyelesaikan 23 kes merangkumi enam kes pecah kereta, 14 kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tahun ini di sekitar Bintulu.

Pada 18 Julai lalu, katanya, anggota JSJ memberkas seorang lelaki yang dikesan positif dadah menggunakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya sehari sebelumnya. Berikutan itu, tambahnya, tangkapan susulan dibuat ke atas seorang lelaki yang dipercayai menunggang motosikal curi oleh pasukan Task Force dan sudah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zailanni berkata sebanyak 328 kes dicatatkan dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding 509 kes dalam tempoh sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 181 kes atau 35 peratus. Ia membabitkan kes pecah rumah sebanyak 76 kes (2016) menurun sebanyak 39 kes berbanding 115 kes tahun lalu.

Kes curi kereta direkodkan pula 84 kes berbanding 138 kes (2015), menurun sebanyak 54 kes atau 39 peratus, curi motosikal 90 kes (2016) berbanding 149 kes (2015), menurun sebanyak 59 kes atau 39 peratus. Justeru, Zailanni berkata pihaknya akan meneruskan usaha membanteras kegiatan jenayah di sini.

“Orang ramai diingat agar tidak membeli barang dijual murah tanpa mengetahui asal-usulnya atau tanpa dokumen kerana jika ditangkap atas kesalahan memiliki barang curi boleh dipenjara enam bulan atau tidak melebihi lima tahun,” jelasnya.

Katanya, kesalahan melupus, menyembunyi, memindah dan menyimpan barang curi boleh dikenakan penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. Beliau turut menasihati pemilik motosikal agar tidak cuai dengan meninggalkan kunci motosikal di pencucuh enjin sehingga memberi peluang kepada penjenayah mencurinya.

“Masyarakat harus peka dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka dengan menyalurkan maklumat jenayah termasuk berkaitan kes dadah dan sebagainya kepada polis supaya kes tersebut dapat ditangani segera,” katanya.

Ops Ikrar Imigresen Tahan Lima Orang, Termasuk Seorang Majikan

TIADA KOMPROMI: Antara premis yang diperiksa pasukan penguat kuasa imigresen Tawau.

Premis perniagaan seperti pasar raya, bengkel, kedai roti dan kedai perkakasan antara yang diserbu dalam dua operasi berasingan pada Isnin dan Selasa, melibatkan pemeriksaan dokumentasi 158 individu. Pemeriksaan turut dijalankan di kawasan tumpuan ramai seperti beberapa premis restoran, Terminal Bas Jalan Stephen Tan, Hill Top, Taman Semarak dan Batu-Batu Sabindo. 

Ketua Pejabat Imigresen Tawau Noraini Rasi berkata kedua-dua operasi itu menyaksikan lima orang ditahan termasuk seorang majikan selain empat pekerja warga asing. “Pada Isnin, kita menggerakkan Ops Ikrar (Ops Belanja/ Ops Mahir) di lima lokasi berasingan yang diketuai pegawai kita, Mohd Sharifuddin Salim,” katanya.

Beliau berkata operasi yang dijalankan di premis-premis sekitar Sin San Pasir Putih, Batu 2 dan 3 Jalan Apas terbabit dijalankan dari jam 4 petang sehingga 7 malam. Katanya operasi itu membawa kepada penahanan seorang majikan berusia 22 tahun dan seorang warga asing hasil pemeriksaan terhadap 48 individu.

“Dalam operasi kedua (Selasa), 10 agensi dan jabatan penguat kuasa menjalankan operasi bersepadu membabitkan pemeriksaan dokumentasi terhadap 110 individu,” katanya.

Antara yang terlibat, imigresen, polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah. 

Seramai tiga individu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 35-52 tahun. Katanya serbuan yang dijalankan dari jam 9 hingga jam 11.30 pagi berkenaan diketuai oleh Inspektor Madesah Maznan.

“Majikan tempatan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1969/ 63 kerana menggaji pekerja warga asing tanpa sebarang dokumen yang sah. “Manakala empat lagi warga asing yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) akta serupa kerana memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya.

Polis Giat Buru Pemilik Blog Suarakamibiru



Polis Johor akan bekerjasama dengan pasukan polis Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk mengesan pemilik blog suarakamibaru.blogspot yang mengaitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam entri bertajuk Terkini Ringgit Jatuh RM4.40.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, misi utama polis ialah mengesan individu yang berdaftar dan mengendalikan blog ber­kenaan sedang giat dijalankan. Katanya, proses mengenal pasti pengendali blog berkenaan memerlukan khidmat daripada pasukan polis Bukit Aman dan agensi berkaitan.

“Siasatan masih dijalankan dan tumpuan polis adalah bagi menge­nal pasti pemilik blog berkenaan berdasarkan maklumat yang telah didaftarkan. Sehingga kini kita telah merekodkan keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan,” katanya.

MH370 Di Utara Kawasan Pencarian



Sekumpulan penyelidik mencadangkan supaya operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 2014 diperluaskan ke kawasan 500 kilometer (km) ke utara di Lautan Hindi. 

Sekumpulan saintis Itali yang menggunakan teknologi komputer sedang cuba menentukan kemungkinan lokasi sebenar bangkai pesawat berkenaan berdasarkan data terkini keadaan arus lautan dan angin sejak dua tahun lalu.

Andaian tersebut juga berdasarkan maklumat lokasi penemuan lima keping serpihan yang telah disahkan setakat ini iaitu dua di Mozambique dan setiap satu di Reunion, Afrika Selatan dan Mauritius.

“Salah satu daripada penemuan paling penting ialah semua serpihan yang telah ditemui setakat ini memang serasi dengan kawasan di mana pihak berkuasa sedang melakukan pencarian,” kata Ketua Penyelidik, Eric Jansen daripada Pusat Euro-Mediterranean mengenai Perubahan Iklim di Itali kepada AFP.

“Kemungkinan kawasan pesawat itu terhempas yang kami temui dalam program stimulasi, bertindih dengan kawasan pencarian rasmi. Tetapi kawasan itu juga terbentang 500km ke utara. Jika tiada apa yang ditemui di kawasan pencarian ketika ini, mungkin kita boleh melanjutkan pencarian di kawasan ber­kenaan,” katanya.

Minggu lalu, Malaysia, Australia dan China berkata, harapan untuk mencari pesawat malang tersebut semakin pudar dan misi pencarian itu akan digantung jika tiada apa yang ditemui di zon carian semasa. Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Kejadian itu kekal menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Operasi mencari diketuai Australia telah mengimbas dasar laut di kawasan 120,000 kilometer persegi iaitu hampir menyamai saiz negara Greece.

"Saya tidak mengharapkan bahawa pihak berkuasa benar-benar akan menukar pendapat mereka berdasarkan data baharu ini. Proses pencarian menelan belanja yang sangat mahal dan telah dilakukan selama dua tahun. Sudah tentu melibatkan soal wang,” kata Jansen.

Dalam pada itu, Jansen menggambarkan kehilangan pesawat MH370 sebagai sesuatu yang pelik. “Adalah penting untuk memahami apa yang berlaku, bukan hanya buat mereka yang terlibat secara langsung, tetapi juga untuk keselamatan penerbangan secara umum,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Geosains Eropah dan disiarkan di dalam jurnal Natural Hazards & Earth System Science.

“Kami harap dapat menyumbang dalam pencarian ini walaupun jika kajian kami hanyalah sebahagian daripada sebuah teka-teki yang sangat rumit,” katanya.

Khairul Berpotensi Pecah Rekod 200m Jegathesan


Jurulatih pecut, Mohd. Poad Kassim tidak menolak kemungkinan Khairul Hafiz Jantan mampu memecahkan rekod acara 200 meter kebangsaan, 20.92 saat yang dicetak Tan Sri Dr. M. Jegathesan di Me­xico pada 15 Oktober 1968. 

Bagaimanapun, Mohd. Poad menjelaskan, kemungkinan itu hanya akan bertukar menjadi positif sekiranya situasi ketika acara itu berlangsung hari ini cukup sesuai untuk Khairul me­lakukan pecutan pada tahap terbaik.

“Selepas selesai acara 4x100m (petang semalam), Khairul perlu kembali fokus. Bermula petang ini dan malam ini (malam tadi), dia perlu jauh daripada sebarang tekanan supaya dapat melakukan yang terbaik pada acara 200m esok (hari ini).

“Memang jika dilihat pada keputusan saringan acara 200m (tengah hari semalam), Khairul ada peluang untuk pecahkan rekod tapi ia bergantung pada situa­si semasa pertandingan berlangsung,” katanya.

Pada aksi saingan 200m semalam, Khairul mencatat 21.14s, sekali gus me­madam catatan rekod Sukma, 21.33s yang dilakukan bekas jaguh pecut Terengganu, Nazmizan Muhammad pada temasya edisi 2002 di Sabah.

Mengulas kejayaan kuartet Asmawi Hashim, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Muhammad Azam Masri serta Khai­rul yang meraih emas selepas men­cetak rekod baharu Sukma menerusi ca­tatan 38.9s semalam, Mohd. Poad berkata: “Tumpuan selepas ini ialah membariskan mereka untuk saingan Sukan SEA tahun depan.

MSN (Majlis Sukan Negara) juga telah merancang untuk membenarkan mereka menjalani latihan seterusnya di luar negara.”

Segmen Filem : Jason Bourne Cari Jawapan Memori Silam


Selepas beberapa tahun menghilangkan diri, Jason Bourne menggemparkan Agensi Risikan Pusat (CIA) selepas didapati muncul kembali mencari jawapan terhadap masa silamnya. Kali ini, ingatan Bourne seolah-olah mula pulih apabila dia dapat mengingati beberapa memori hitam ketika menerima tugas sebagai pembunuh upahan CIA serta kejadian menimpa bapanya. 

Filem diberi judul ringkas Jason Bourne ini menyaksikan pelakon hebat Hollywood, Matt Damon dan pengarah, Paul Greengrass kembali menjayakan karya adaptasi novel itu. Turut membintangi sekuel kepada filem The Bourne Ultimatum (2007) itu ialah pelakon Alicia Vikander, Tommy Lee Jones, Vincent Cassel dan Julia Stiles.

 Berkongsi pengalaman membintangi filem kelima Jason Bourne itu, Vikander mengakui wataknya sebagai ejen CIA Heather Lee bukan mudah kerana perlu menghafal banyak istilah teknikal komputer.

“Terlalu banyak perkataan teknikal dalam dialog saya sehingga sukar mengingati semuanya. Malah, saya juga tidak memahami maksud perkataan itu,” katanya dalam temu bual di Sydney, Australia, baru-baru ini.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, dia bernasib baik kerana dibantu pakar komputer sebenar yang juga pelakon tambahan dalam filem berkenaan. “Peluang bekerjasama dengan pakar ini membolehkan saya mempelajari sedikit sebanyak bidang berkenaan,” katanya.

Biarpun Lee antara watak penting dalam filem ini, sebahagian besar babak Vikander di hadapan komputer menjejaki Bourne serta memberi arahan terhadap pegawainya. Seronok berpeluang beraksi di sisi Damon dan di bawah pengarah hebat, Vikander berkata, dua karyawan itu gemar membuat ‘prank’.

“Paling lucu, ketika penggambaran salah satu babak, semua pelakon dikehendaki memandang skrin ketika Jason Bourne muncul. Sebaliknya, orang yang muncul dalam skrin bukan Jason Bourne, tetapi pelakon James Bond, Daniel Craig,” katanya.

Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini, bekas ejen CIA, Nicky Parsons bertemu Jason Bourne pada rusuhan di Athens, Greece untuk mendedahkan maklumat penting mengenai latar belakang lelaki terbabit.

Tanpa diduga kehadiran mereka dihidu ejen CIA yang menghantar pembunuh upahan untuk menghapuskan mereka. Antara babak paling menarik dalam filem ini adalah adegan mengejar di Los Angeles yang membabitkan kemusnahan 170 kenderaan.

MAB Beli 50 Boeing 737 Max


Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini menandatangani transaksi pembelian bersama Boeing bagi membeli 50 pesawat jenis 737 MAX dianggarkan bernilai RM22.44 bilion (AS$5.5 bilion) mengikut harga semasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew berkata, 25 pesawat berkenaan sudah ditempah dan syarikat turut mempunyai hak pembelian bagi 25 pesawat lagi daripada Boeing. "Langkah ini adalah dilihat sebagai 'pengubah permainan' (game-changer) kepada MAB dengan pendekatan yang membabitkan kos lebih rendah dan berkesan.

"Pembelian pesawat 737 MAX ini membolehkan syarikat menyediakan lebih banyak destinasi kepada penumpang," katanya berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara MAB dan Boeing berhubung pembelian pesawat di sini hari ini. Beliau berkata, penghantaran pesawat berkenaan dijangka akan bermula pada 2019.

Thursday, 28 July 2016

Pilihan Raya Atau Usul Undi Tidak Percaya?



Mungkin ramai yang akan bersetuju andai ada yang mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini benar-benar dalam keadaan tersepit. Beliau sendiri tidak tahu, apa lagi yang harus dibuatnya untuk meraih simpati rakyat terutamanya membawa sentimen simpati dari rakan di dalam Pakatan Harapan.

Sebaik sahaja beliau ditahan dan didakwa di Mahkama Tinggi Pulau Pinang atas tuduhan penyalahgunaan kuasa yang dilakukannya, semua pemimpin dan parti dalam Pakatan Harapan menzahirkan sokongan dan simpati terhadapnya sehinggakan PKR, PAN dan DAP sepakat mewujudkan gerakan solidariti, simpati dan sokongan terhadap Guan Eng.

Namun, sebaik sahaja melihat sokongan yang diterimanya, secara tiba-tiba beliau mencadangkan Pilihan Raya Negeri diadakan bagi menunjukkan sokongan rakyat kekal berada dibelakangnya. Nyata cadangan ini mendapat bantahan keras PKR sehingga mengakibatkan berlaku ketegangan antara DAP dan PKR sejak akhir-akhir ini.

Jika dilihat kepada ketegangan ini, harapan untuk Guan Eng mengadakan Pilihan Raya lebih awal mungkin bakal terkubur walaupun DAP kini mempunyai kerusi majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Untuk rujukan, DAP memperolehi 19 kerusi, PKR 10, BN 10 dan PAS 1 kerusi.

Sebagai pemilik kerusi majoriti, beliau boleh mencadangkan pembubaran DUN jika beliau mahu. Namun, beliau mungkin lupa, keadaan sekarang membolehkan beliau "diundurkan" menerusi undi tidak percaya. Bagaimana ini boleh berlaku?

PKR sehingga hari ini masih membantah keras cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal. Cadangan ini juga turut dibantah oleh BN dan juga PAS. Jika dilihat kepada pemilikan kerusi di DUN Pulau Pinang, andai BN, PAS dan PKR bersatu hati untuk kekal dengan pendirian, enggan mengadakan pilihan raya lebih awal, ketiga-tiga parti ini bakal memperolehi majoriti 21 kerusi berbanding DAP yang hanya 19 kerusi.

Ini menjadikan kedudukan Lim Guan Eng dalam bahaya kerana jika ada diantara ADUN yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Guan Eng, beliau mungkin dipaksa keluar dari kerusi Ketua Menteri dengan mengambil kira, penolakan daripada BN, PAS dan PKR.

Guan Eng sedar akan hal ini dan oleh kerana itulah beliau mahu, PKR dan PAN bersama-sama beliau dalam usaha untuk mengelakkan sebarang usul undi tidak percaya terhadapnya di DUN Pulau Pinang. Tambahan pula, PKR Pulau Pinang masih tersinggung dengan cara Guan Eng memecat dua ADUN PKR dari mengetuai dua buah GLC.

Ini menjadikan kedudukan Guan Eng bakal tercabar dengan keengganan PKR bersetuju tanpa sebarang syarat terhadap kemahuan Guan Eng untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri secepat mungkin. Mungkinkah akan ada pilihan raya di Pulau Pinang? Atau Guan Eng bakal berhadapan dengan usul undi tidak percaya dari PKR, BN dan PAS?

Benarkah Dakwaan Malaysia Tidak Selamat Lagi?



Petang semalam, negara dikejutkan lagi dengan kejadian tembakan yang membunuh seorang ahli perniagaan, di Setapak. Pembunuhan ini meneruskan rentetan beberapa pembunuhan dengan menggunakan senjata api yang direkodkan didalam negara sepanjang tahun ini. 

Dikalangan penyokong pembangkang, mereka pasti akan mempergunakan alasan seumpama ini untuk mempertikaikan keberkesanan pihak berkuasa dalam menangani insiden ini dari terus berlarutan. Malah, sudah ada yang berani mempersoalkan, masih selamatkah untuk mendiami Malaysia hari ini?

Sebenarnya, menurut pengiraan rambang, sebanyak 15 kes kejadian tembakan telah berlaku sepanjang tahun ini. Antara yang terburuk dicatatkan pada bulan ini dimana 7 kejadian tembakan direkod dan disiarkan di kebanyakan akhbar di negara ini. Ini termasuklah cubaan merompak dan kes pembunuh upahan yang telah disiarkan.

Jika dilihat daripada senarai mangsa tembakan ini, kes pertikaian dan persaingan mengenai perniagaan merupakan penyebab utama kejadian seumpama ini berlaku. Ini diikuti dengan kes melibatkan perebutan kawasan melibatkan kumpulan kongsi gelap selain daripada rompakan.

Agak menyedihkan apabila ada sesetengah pihak menjadikan kejadian-kejadian ini sebagai salah satu hujah politik. Apa yang difahami oleh puak-puak ini, mereka mengandaikan, keselamatan rakyat dinegara ini terancam akibat kejadian tembak menembak yang kini bukan lagi dilakukan di tempat tertutup. Malah kini, mereka semakin berani melakukan ditempat yang terbuka.

Sebenarnya, jika dilihat kepada senarai kejadian yang berlaku sejak awal tahun ini, kebanyakan kes tembakan telah berjaya diselesaikan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia. Bagi PDRM, kejadian seumpama ini sentiasa dipandang serius dan sekaligus menyaksikan pihak PDRM sentiasa mempertingkatkan usaha dalam mengawal keselamatan rakyat Malaysia.

Bukan memperkecilkan kejadian tembak menembak seperti ini, namun hakikatnya, kes seumpama ini masih belum mencapai tahap membimbangkan. Namun, PDRM sentiasa memantau dan mengambil tindakan yang perlu untuk mencegah dan membasmi sebarang aktiviti penyeludupan dan kongsi gelap di negara ini.

Justeru, untuk mengatakan negara ini tidak selamat untuk diduduki, ia merupak satu dakwaan yang cukup bodoh. Lihat sahaja tragedi tembakan rambang yang berlaku di Selatan Thailand dan kebanyakan negara luar yang lain. Jumlahnya jauh lebih banyak daripada apa yang dicatatkan oleh negara sepanjang tahun ini.

Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Jika kita tidak terlibat dalam sebarang pertikaian mahupun kongsi-kongsi gelap, keselamatan kita masih terjamin dan yakinlah, pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah termasuk insiden tembak menembak yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Isteri Bunuh Suami Dengan Ramas Buah Zakar




Boleh dikatakan, setiap pasangan suami isteri akan mengalami masalah rumahtangga. Tanpa mengira apa jua puncanya, pasti akan terjadi pertelingkahan antara suami isteri dan ada diantaranya melibatkan keganasan. 

Inilah yang berlaku terhadap sepasang suami isteri di Tien Giang, Vietnam. Akibat terlalu berang apabila sisuami mengasari isteri hanya disebabkan oleh pintu rumah mereka dikunci si isteri sewaktu suami pulang daripada kerja, seorang isteri tergamak membunuh suaminya dengan meramas buah zakarnya sewaktu bergelut.

Pasangan Le Kim Khai dan Phan Thi Kim Chuong  pada mulanya hanya bergaduh apabila Phan enggan membenarkan suaminya masuk sebelum mangsa bertindak membuka pintu dengan gergaji. Sebaik sahaja memasuki rumahnya, Khai terus membelasah isterinya tanpa belas kasihan.

Dalam keadaan kelam kabut berkenaan, isterinya mencapai apa sahaja untuk melindungi dirinya sehinggalah tanpa dia sedari, dia telah meramas buah zakar suaminya dengan kuat selama lima minit. Keadaan itu menyebabkan suaminya jatuh terduduk dan isterinya terus memijak perut suaminya sebelum bertindak melarikan diri.

Semasa kejadian, terdapat beberapa jiran yang datang menjenguk rumah pasangan ini. Sebaik melihat Khai sedang mengerang kesakitan, beberapa jiran telah bertindak menghantar Khai ke Hospital bagi mendapatkan rawatan. Malangnya, sebaik tiba, Khai telahpun mati akibat tindakan Chuong ini.

Dalam perkembangan yang sama, Chuong telah ditahan oleh pihak polis Vietnam, dua jam selepas kejadian ini berlaku dan kes masih lagi disiasat. 

Suami Ugut Suruh Orang Lain Rogol Isteri Diberkas



Seorang isteri terpaksa melaporkan kapada pihak polis selepas suaminya mengugut menyuruh orang lain merogolnya kerana dia enggan memberikan wang. Insiden dilaporkan berlaku di sebuah kedai membuat kek di Tabuan Desa ketika mangsa yang berusia 22 tahun berasal dari Kampung Tabuan Hilir sedang bekerja sekitar jam 1 petang kelmarin. 

Difahamkan, suami mangsa yang berusia 23 tahun telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut dan terus meminta mangsa memberikan wang kepadanya. “Mangsa yang tidak mempunyai wang tidak dapat menuruti kehendak suaminya itu yang kemudian bertindak menampar mangsa beberapa kali selain turut merosakkan barang di dalam kedai berkenaan.

“Suspek sebelum beredar juga mengugut akan menyuruh orang merogol mangsa menyebabkan dia ketakutan dan terus membuat laporan berhubung kejadian,” kata sumber.

Menurut sumber juga, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di mana sebelum ini suspek juga pernah bertindak melastik mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan kecederaan. 

“Mangsa pernah dilastik suspek menyebabkan mangsa terpaksa mendapatkan rawatan. Selain itu, suspek dikatakan pernah mengamuk di rumah keluarga mangsa,” kata sumber.

Justeru bertindak kepada laporan polis yang dibuat mangsa, suspek berjaya ditangkap di rumahnya di Kampung Tabuan Lot sekitar jam 10 pagi semalam untuk siasatan lanjut. Suspek yang ditahan di bawah Seskyen 323 Kanun Keseksaan Akta Keganasan Rumahtangga turut disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

DBKK Bertindak Tegas Bawa Kes Kutu Sampah Ke Mahkamah

SANGAT KOTOR: Kerja mengutip sampah masih giat dijalankan oleh penduduk kampung di kawasan lapang berhampiran rumah mereka di Kampung Sembulan.

Buat pertama kali sejak Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu diperkenalkan pada 2005, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas dengan membawa lima kes ke mahkamah. 

Lima kes membabitkan lima pemilik kediaman Kampung Sembulan dibawa ke mahkamah selepas beberapa siri gotong-royong diadakan namun, tahap kebersihan di kawasan perkampungan atas air itu didapati masih kotor.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKK Abd Mukti Muchlish dalam satu kenyataan memberitahu bahawa kelmarin adalah kali pertama DBKK membawa ke mahkamah kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3(a), Undang-undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

Undang-undang itu, katanya, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan bagi kesalahan lanjutan boleh dikenakan denda sebanyak RM500 pada setiap hari kesalahan itu diteruskan, dan boleh dibayar di bawah peruntukan Undang-undang Kecil 8, Undang-undang Kecil yang sama.

Katanya semasa pemantauan dilakukan di kelima-lima rumah terbabit, yang mana pemiliknya dihadapkan ke mahkamah kelmarin, DBKK mendapati terdapat beberapa rumah lain kotor. Untuk itu, DBKK akan mengeluarkan lebih tiga notis saman baharu kepada pemilik rumah yang kawasannya didapati kotor.

“Kes di Sembulan ini dikategorikan sebagai kes yang tenat kerana setelah beberapa siri gorong-royong dijalankan, kawasan di perkampungan itu masih kotor. Malah, DBKK ada menganjurkan pertandingan kebersihan pada tahun lalu dan ia menelan belanja berpuluh ribu ringgit tetapi keadaan kebersihan masih lagi tidak memuaskan.

"Pada Sabtu lalu, kita mengambil pendekatan menganjurkan gotong-royong besar-besaran dan selepas itu, mana-mana kawasan rumah yang masih kotor, kita terus saman di mahkamah. Selepas dibawa ke mahkamah, ia terpulang kepada mahkamah menentukan jumlah denda yang perlu dibayar oleh pemilik rumah yang gagal pastikan kawasannya bersih,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan kompaun yang dikenakan selama ini, Abd Mukti berkata kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM500 setiap kesalahan dan setiap hari jika keadaan kebersihan masih tidak memuaskan.

Kali ini, pendekatan baharu diambil yang mana, kesalahan seperti itu akan terus dibawa ke mahkamah bagi memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan undang-undang. Ia kerana kompaun hanya berkesan kepada orang yang sayangkan wang ringgit, kesihatan dan alam sekitar sahaja.

Bezza Memang Berbeza


Perodua Bezza sememangnya berbeza berbanding model keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) lain apabila menjadi kereta kategori sedan pertama sejak 22 tahun terbabit dalam industri automotif tempatan. 

Idea untuk menghasilkan kereta sedan pertama itu bermula menerusi jentera konsep yang diperkenalkan pada 2010 sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun berkenaan. Bermodal peruntukan RM300 juta, sedan kompak itu mula dibangunkan pada 2014 sebelum dilancarkan Khamis lalu di mana ia mempunyai 95 peratus komponen tempatan.

Malah kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana Perodua Bezza dibina dan dibangunkan oleh hasil jurutera tempatan sepenuhnya. Perodua Bezza ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.0 liter (Standard G), 1.3 liter (Premium X) dan model tertinggi, 1.3 liter (Advance). Ketiga-tiga varian itu didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan serta manual lima kelajuan. 

Jentera berkenaan dipasang di Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang dilengkapi dengan kemudahan termoden menggunakan kadar automasi melebihi 75 peratus di mana kilang itu turut memasang Perodua Axia.

Ketika diberi peluang memandu uji jentera ini beberapa hari sebelum pelancarannya, penulis boleh katakan Perodua Bezza mempunyai tiga ciri utama yang sangat istimewa. Ciri pertama adalah teknologi termaju membabitkan rangkaian kuasa baharunya iaitu 1.3 liter Dual VVT-i dan 1.0 liter VVT-i.

Enjin baharu dengan padanan transmisi manual lima kelajuan ternyata menawarkan tahap penggunaan bahan api terbaik apabila mencapai 22.8 kilometer setiap liter bagi enjin 1.0 liter, manakala 1.3 liter mencatatkan 21.7km/l.

Ia juga dilengkapi dengan aksesori ciri terkini yang boleh dilihat pada varian tertinggi menerusi 1.3 liter Advance membabitkan sistem Henti Melahu di mana enjin akan mati sendiri apabila berhenti dan dihidupkan semula secara automatik sebaik kaki mula menekan pedal minyak.

Varian tertinggi itu turut menawarkan sistem multimedia skrin sesentuh yang mesra dengan pengguna telefon pintar Android. Sekiranya disambungkan menggunakan kabel USB, ia akan memaparkan visual yang sama pada sistem multimedia berkenaan.

Multimedia dengan teknologi ‘Smart Link’ itu memudahkan pemandu menggunakan navigasi, membuat atau menjawab panggilan dan mendengar muzik. Port USB turut disediakan pada konsul tengah bahagian belakang bagi memudahkan penumpang mengecas telefon pintar.

Ciri kedua adalah keluasannya yang boleh dinobatkan sebagai juara dalam kategori segmen A kompak di negara ini. Kapasiti ruang but belakang Perodua Bezza mencecah 508 liter. Malah, kapasiti berkenaan lebih besar daripada kereta segmen B membabitkan Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Saga.

Padanan ruang but yang besar itu sekali gus memenuhi keperluan dan gaya hidup masyarakat Malaysia terutama mahu mencari kenderaan balik kampung serta mampu mengisi pelbagai barangan. Untuk mendapat lebih ruang tempat duduk belakangnya juga boleh diubah pelbagai cara mengikut keperluan penggunanya.

Ciri terakhir adalah paling penting sebelum membeli kereta membabitkan harganya. Harga ditawarkan sangat mampu milik dan tidaklah terlalu mahal selain ditawarkan pelbagai varian. Bagi varian paling rendah, 1.0 liter Standard G (automatik) RM39,300 manakala spesifikasi tertinggi RM50,800.

Selain itu, ia sangat sesuai kepada golongan berpendapatan sederhana yang mahu memiliki kenderaan lebih luas berbanding membeli kereta kompak lain di mana harganya tidak banyak berbeza. Malah, Program Penilaian Kenderaan Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) memberi pengiktirafan lima bintang terhadap Perodua Bezza varian 1.3 liter Advance selepas ia dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan.

Sekiranya mahu Perodua Bezza kelihatan lebih garang, mereka boleh memilih aksesori GearUp membabitkan kit badan, sarung kerusi dan panel pintu eksklusif menerusi Pakej Dynamic serta Stylish yang dijual antara RM2,265 sehingga RM2,600.

Ketika menguji secara ringkas dengan mengelilingi litar ujian Perodua di Rawang, Selangor, penulis diberi peluang memandu dua varian berbeza iaitu 1.0 liter Standard G manual dan Advance 1.3 liter automatik.

Pemanduan 1.0 liter manual, enjinnya menawarkan 67hp dengan 91Nm tork di mana penulis rasa kenderaan ini memberi prestasi lancar antara kelajuan 0-100 kilometer sejam (km/j) biarpun dalam kenderaan mempunyai empat orang. Bagaimanapun sekiranya mahu mengerah tenaga melebihi 100km/j, jentera ini sedikit lambat untuk mencecah kelajuan melebihi 120km/j.

Bagi penulis, kuasa yang dibekalkan sudah cukup untuk kegunaan dalam bandar atau menyusuri lebuh raya secara santai kerana ia bukannya dibina untuk pemanduan agresif. Bersesuaian dengan harganya RM37,300, penulis rasakan ia sangat berbaloi untuk dimiliki.

Sementara itu, bagi Advance 1.3L automatik memiliki ciri yang terbaik dalam keluarga Perodua Bezza. Sudah pastinya, enjin 1.3L yang menghamburkan 94hp dengan tork 121Nm menawarkan prestasi mantap berbanding model pandu uji sebelumnya. Kuasa dibekalkan tiada tandingan dalam kelasnya apabila mampu memecut antara 0-100km/j dengan mudah.

Malah, pecutan untuk melebihi 120km/j tiada masalah dalam jarak singkat. Ketika berhenti sepenuhnya dalam gear ‘D’, sistem Henti Melahu berfungsi di mana enjin dimatikan, tetapi penyaman udara serta komponen elektrik lain masih lagi berfungsi. Ternyata sistem ini memberi penjimatan bahan api optimum bagi pemanduan di bandar dalam kesesakan jalan raya.

Maut Dihujani 16 Das Tembakan


Suasana sekitar pusat beli-belah Setapak Central di Danau Kota di sini semalam gempar apabila seorang ahli perniagaan yang memandu kereta berhenti di persimpa­ngan lampu isyarat dihujani 16 das tembakan.

Dalam kejadian bagaikan adegan filem koboi pukul 3.35 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kanthasamy, 43, mati dalam kereta Honda Accord dipandunya dengan 10 kesan tembakan pada badan manakala enam lagi terkena di kepala dan pahanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang ketika itu memandu seorang diri dan menunggu lampu bertukar hijau untuk membuat pu­singan U.

Dia dikatakan mahu berhenti di pusat beli-belah Setapak Central atau sebelum ini dikenali sebagai KL Festival untuk berjumpa de­ngan seorang saudaranya.

Hillary Clinton Cipta Sejarah


Hillary Clinton mencatat sejarah semalam apabila menjadi wanita pertama memenangi pencalonan untuk bertanding dalam pilihan presiden, mewakili sebuah parti politik utama Amerika Syarikat selepas dia mendapat sokongan majoriti perwakilan di konvensyen parti Demokrat di sini. 

Bekas wanita pertama, senator dan setiausaha negara itu mengorak langkah penting untuk menjadi panglima tentera wanita pertama Amerika Syarikat selepas mengalahkan pesaingnya Bernie Sanders. 

Selepas kekecohan ketika perasmian konvensyen itu yang menyaksikan penyokong Sanders dan Hillary saling ejek-mengejek, sorakan kemudian bergema apabila Hillary diumumkan melepasi angka 2,382 perwakilan, jumlah yang diperlukan untuk membolehkan dia dicalonkan.

Meskipun keputusan itu sudah diketahui beberapa minggu lalu, pengundian dari satu ke satu negeri menyaksikan kebingitan dan kekecohan di dewan konvensyen. Sekumpulan penyokong kuat Sanders marah kerana kekalahan calon itu, tetapi suara mereka ditenggelamkan oleh penyokong Hillary yang sebahagiannya menitiskan air mata sambil berpelukan selepas keputusan diumumkan.

Selepas perwakilannya dikira, Sanders berucap, cuba memujuk penyokongnya supaya memberi sokongan mereka kepada Hillary. “Pada pendapat saya, memang senang untuk mengejek, tetapi adalah sukar untuk melihat wajah anak anda yang akan hidup di bawah pemerintahan Donald Trump,” katanya. Kem Clinton kini berusaha untuk menyatukan parti itu semula.

Akhirnya Rekod 18 Tahun Malaysia Dipecahkan




Angka ‘18’ nampaknya membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan. Mana tidaknya, semalam, atlet berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang juga sudah berusia 18 tahun. 

Catatan yang dilakukan oleh Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s. Pencapaian yang dilakukan oleh Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlumbaan semalam, Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka. Jonathan dan Badrul yang melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat perak dan gangsa.

Dalam aksi saringan pada sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah cukup untuknya layak ke final. Lariannya pada perlumbaan akhir itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat dicabar sehingga ke garisan penamat.

“Saya langsung tak jangka dapat pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian ini memang tak pernah saya sangka. Gembira, memang gembira sebab rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan catatan rasmi bagi acara berkenaan.

Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat. “Solat adalah kekuatan. Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya tidak berasa tertekan.

“Badrul juga antara pendorong terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu lagi.

Pada bulan Jun lalu, Khairul turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di Vietnam. 

Dia juga merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa 10.58s.

'Hadiah Daripada Peminat'


"Saya tidak akan menjual kereta ini kerana menganggap ia hadiah daripada peminat," kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH 29), Neelofa, hari ini. 

Pelakon dan pengacara popular itu berkata, hadiah kereta Volkswagen Passat tajaan Volkswagen Group Malaysia itu juga kenangan manis malam kemuncak ABPBH29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 8 Mei lalu.

“Apabila memandang kereta itu, saya pasti teringat kembli saat ketika diumumkan sebagai pemenang," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah ABPBH 29, hari ini.

Neelofa menerima kereta itu daripada Pengarah Jualan Volkswagen Group Malaysia Roland Ooi sambil disaksikan Pengarang Bersekutu Berita Harian (BH) 2 dan Majalah Mingguan BH, Azhar Abu Samah dan Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 29, Shamshul Azree Samshir.

Neelofa yang turut memenangi kategori Anugerah Pengacara Wanita Popular berkata, Volkswagen Passat itu kini menjadi kereta keempat dimilikinya dan setiap kenderaan mempunyai kisah tersendiri. 

"Kereta pertama digunakan ketika masih belajar manakala yang kedua dibeli sewaktu memulakan karier seni. Alhamdulillah, rezeki bertambah dan saya membeli kereta ketiga bagi urusan perniagaan," katanya.

Pada majlis sama, hadiah kereta Volkswagen Vento turut diserahkan kepada pemenang utama kategori pembaca, Muhammad Zulhimi Yusof, 25, dari Kelantan. Muhammad Zulhimi yang menghantar empat penyertaan tidak pernah menjangka akan memenangi hadiah utama peraduan pembaca yang bertemakan Respek.

"Saya tahu mustahil dapat menang hadiah utama dan lebih menyimpan harapan untuk mendapat hadiah sampingan," katanya. Menurutnya, idea menulis slogan peraduan itu datang daripada nasihat ibunya yang sentiasa mengingatinya supaya menghormati orang sekeliling.

Pemilihan Rakan Strategik



Syarikat automotif terkemuka dari Eropah, China dan Jepun menunjukkan minat bagi menjalin kerjasama sebagai rakan strategik dengan Proton Holdings Berhad (PROTON) bagi membantu syarikat automotif negara itu lebih berdaya maju. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menyerahkan kepada pengeluar kereta nasional itu untuk membuat keputusan, namun meletakkan beberapa kriteria penting bagi pemilihan berkenaan.

Beliau berkata, bagi pihak kerajaan, PROTON perlu memastikan rakan strategik itu mampu untuk melonjakkan kembali PROTON dan menjadi lebih baik berbanding ketika ini.

“Rakan strategik itu perlu ada teknologi, modal dan jaringan eksport supaya usaha sama yang terjalin akan memberikan impak serta manfaat terbaik kepada PROTON,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Hari Raya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi bersama sektor swasta di sini, semalam.

Pada April lalu, kerajaan bersetuju meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion bagi memastikan PROTON kekal berdaya tahan sebagai pembuat kereta nasional yang memberikan pekerjaan kepada 12,000 warga PROTON dan 50,000 lagi dalam rantaian bekalan automotif tempatan.

Melalui pinjaman mudah berkenaan, peranan kerajaan bukan untuk memulihkan PROTON atau mengambil alih pengurusannya, tetapi membantunya dengan memastikan syarat dikenakan untuk bantuan kewangan dipatuhi sepenuhnya. PROTON diberikan tempoh setahun oleh kerajaan untuk mencari rakan strategik sebagai sebahagian syarat pinjaman mudah.

Mustapa berkata, hubungan strategik PROTON dengan syarikat luar penting untuk dilaksanakan kerana sebagai pemain industri yang kecil di peringkat antarabangsa, rakan strategik mampu membantu pengeluar kereta nasional itu mengembangkan perniagaannya.


Sementara itu, kerajaan akan terus merancakkan langkah berkesan dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus menjadikan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kebanyakan projek yang dilaksanakan adalah dalam segmen elektrikal dan elektronik, peralatan dan mesin, produk reka bentuk logam dan produk petroleum termasuk peralatan pengangkutan dan petrokimia.

Menurutnya, dalam suku pertama tahun ini, kerajaan juga meluluskan 170 projek dalam sektor pembuatan dengan pelaburan RM8.9 bilion di mana projek itu dijangka menjana 19,650 peluang pekerjaan tambahan.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri (Perdagangan) Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri (Industri) Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk J Jayasiri.

Wednesday, 27 July 2016

Tiada Kata Sepakat Berhubung PRN Pulau Pinang



Siapa yang tidak mengenali cara dan tingkah laku yang dibawa oleh DAP sejak dari awal penubuhannya dahulu. Selagi boleh, mereka mahu semua orang samada dipihak kerajaan mahupun sesama mereka, harus tunduk dan akur setiap pemintaan mereka tanpa memperdulikan samada apa yang mereka rancang itu betul ataupun tidak.

Inilah yang berlaku terhadap ura-ura kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal daripada sepatutnya. Secara tiba-tiba, Lim Guan Eng mahu memastikan semua pihak termasuk rakan pembangkangnya, PKR akur kepada kehendaknya untuk mengadakan pilihan raya.

Di pihak PKR, mereka sentiasa mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak diberikan gambaran jelas tujuan pilihan raya ini diadakan. Dikhabarkan, mereka mahu memastikan, tiada pihak yang akan rugi andai pilihan raya ini terpaksa diawalkan.

Bagi DAP pula, mereka mahu memastikan perancangan pengekalan kuasa mereka dapat diteruskan tanpa sebarang halangan, sama seperti setiap apa yang mereka rancangkan. Seperti biasa, "parti suruhan" mereka, PAN akan menurut sahaja setiap kemahuan DAP asalkan ianya baik untuk mereka.

PAS pula telah mengumumkan secara terbuka, akan bertanding disetiap kawasan yang majoritinya Melayu dan besar kemungkinan akan turut bertanding di kawasan yang bukan majoriti Melayu. Ini menjadikan persaingan diantara DAP, PAN dan PAS semakin terbuka.

Namun, hakikat sebenar yang cuba disembunyikan oleh PKR adalah, mereka enggan mempertaruhkan Selangor untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri, serentak dengan Pulau Pinang. Antara alasan yang diberikan oleh PKR adalah, mereka tidak nampak sebarang keperluan untuk mereka memperjudikan nasib kerajaan negeri kepada rakyat hanya semata-mata Lim Guan Eng.

DAP pula dilaporkan bertegas mahu kerajaan negeri Selangor dibubarkan serentak dengan alasan, biar rakyat menentukan kekuatan Pakatan Harapan dan DAP juga cukup yakin bahawa Pakatan Harapan yang diterajui mereka mampu menumbangkan BN di dua negeri berkenaan.

Inilah yang menjadi pertikaian hebat antara dua buah parti yang jelas tidak sehaluan dalam isu ini. Jika kita mempunyai akal dan fikiran, PKR dan DAP nyata tidak dapat mencapai sebarang kata sepakat walaupun mereka mendakwa, mereka bernaung dibawah Pakatan Harapan. Jika dua buah negeri ini sendiri cukup bercelaru, bayangkan apa nasib Malaysia andai mereka berkuasa penuh kelak.