Tuesday, 30 August 2016

Muhyiddin Kini Seperti Orang Yang Terdesak - SUA PM



Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mengatakan terdapat keraguan yang cukup besar terhadap siasatan yang dilakukan keatas Datuk Seri Mohd Najib berhubung beberapa isu yang membelenggu kerajaan, pantas ditempelak oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin.

Sambil menyifatkan kenyataan Muhyiddin ini menggambarkan beliau seperti orang terdesak, Datuk Seri Tengku Sarifuddin juga mendakwa, Muhyiddin cuba untuk mengalih perhatian masyarakat berhubung skandalnya dengan isteri orang.

Menerusi kenyataan beliau sebentar tadi, beliau turut menyelar sikap tamak Muhyiddin yang dilihat telah memakan dan memusnahkan dirinya sendiri sehingga sanggup menimbulkan semula isu yang telah selesai disiasat serta diperakui sebagai satu fitnah terhadap Perdana Menteri. Berikut merupakan kenyataan penuh beliau.

1. Mungkin dakwaan terbaru daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada Akuan Berkanun Nika Gee. Beliau adalah seorang lelaki yang membina kerjaya politiknya berlandaskan platform ketaatan kepada agama. 

Timbul satu persoalan, bagaimana beliau boleh menjadi seorang Presiden parti baru Tun Dr Mahathir Mohamad yang boleh dipercayai, apabila dia mempunyai rekod mahkamah, di mana selama bertahun-tahun beliau berlaku curang dengan isteri orang lain? 

2. Kredibiliti dan kekuatan dalaman Tan Sri Muhyiddin telah dimusnahkan oleh dirinya sendiri. Ianya jelas bahawa beliau memperjuangkan sesuatu perkara untuk kepentingan politik, tetapi melakukan perkara sebaliknya secara peribadi. Sama seperti beliau secara palsu menyerang Perdana Menteri kerana rasuah, apabila orang dalam semua tahu sejarahnya yang sebenar sebagai Menteri Besar Johor.  
3. Kebenarannya adalah bahawa, dana di dalam akaun Perdana Menteri telah disiasat secara komprehensif dan beberapa pihak berkuasa telah memutuskan bahawa, tiada undang-undang yang telah dilanggar. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah pergi ke Arab Saudi dan memeriksa semua dokumen-dokumen undang-undang dan menemuramah wakil penderma. Menteri Luar Arab Saudi juga telah mengesahkan bahawa dana dalam akaun Perdana Menteri adalah sumbangan daripada Keluarga DiRaja Arab Saudi. 

4. Tan Sri Muhyiddin kecewa selepas dijadikan sebagai boneka oleh Tun Mahathir; kecewa kerana dia tidak akan menjadi Perdana Menteri seperti yang dijanjikan, kerana usaha mereka untuk menggulingkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi gagal dan marah kerana dia akan jatuh dengan cara yang sama yang dia gunakan untuk cuba menjatuhkan lawannya. 

5. Ketidaksetiaan Tan Sri Muhyiddin, dan kesalahan perhitungannya yang didorong oleh cita-citanya semata-mata, telah membawa kepada kerjayanya yang berakhir dengan kehinaan. Dia kini terdesak – mengapa mesti orang mempercayai kata-katanya? 

DATUK SERI TENGKU SARIFFUDDIN 
SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA PERDANA MENTERI


Kabinet Sedia Kaji Semula Had Kuasa YDP Agong?



Sewaktu era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, antara perkara yang sentiasa diingati oleh kaum Melayu di Malaysia hari ini adalah melakukan pindaan terhadap kuasa dan keperluan Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agong dimana ianya telah melemahkan kuasa Baginda serta Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu.

Menerusi pindaan ini, kuasa Yang DiPertuan Agong serta Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu hanya terhad kepada urusan hal ehwal istiadat negeri dimana kuasa mereka selaku Ketua Agama Islam, masih dikekalkan. Ini menjadikan kuasa Yang DiPertuan Agong terhadap negara menjadi terlalu terhad dimana sebarang keputusan dibuat melalui kabinet dan Perdana Menteri sahaja.

Namun hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, kabinet sentiasa terbuka kepada perbincangan untuk mengkaji semula had kuasa Yang di-Pertuan Agong sebelum sesuatu akta baharu berkuatkuasa

Beliau yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang itu berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat semula pindaan ini dimana beliau enggan melihat, kerajaan dipersalahkan dalam banyak perkara serta dituduh tidak kosisten.

Ujar beliau lagi, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa kelulusan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengikut perlembagaan apabila ia adalah mengikut keadaan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Baru-baru ini, Tun M secara terbuka meminta maaf di atas tindakannya pada tahun 1993 dengan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya perkenan raja-raja tidak lagi diperlukan dalam mewartakan sesebuah undang-undang yang diluluskan Parlimen.

Akibat daripada pindaan yang dilakukan oleh Tun M ini, Akta MKN telah diwartakan dan menjadi undang-undang mulai 1 Ogos lalu walaupun tanpa mendapat persetujuan Yang DiPertuan Agong. Justeru, dengan ulasan yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina ini, besar kemungkinan, pindaan yang dilakukan oleh Tun M pada tahun 1993 ini, besar kemungkinan akan dikaji semula.

Sepuluh IPT Disasar Untuk Dirosakkan Oleh Anis Syafiqah



Kegagalan himpunan #tangkap MO1 yang dianjurkan oleh kumpulan Mahasiswa di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, nyata langsung tidak memberi pengajaran kepada ketua demo berkenaan, Anis Syafiqah. Dengan kehadiran tidak sampai 1,000 orang Sabtu lalu, ianya jelas jauh daripada sasaran awal yang menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 ke 2,000 orang pelajar.

Sebaliknya, demo berkenaan, jika tidak dicampur dengan aktivis politik, hanya kira-kira 50 orang pelajar IPT sahaja yang hadir dimana kesemua mereka adalah terdiri daripada pelajar Melayu. Bagi pelajar kaum lain, mereka lebih memikirkan masa depan dan pelajaran daripada mengikut demo yang jelas menggambarkan, kebodohan pelajar Melayu dalam mengurus masa depan mereka.

Dalam satu perkembangan, Anis memberitahu, kegagalan demo berkenaan tidak membuatkan pihaknya mengalah, sebaliknya, mereka menyasarkan untuk mengadakan roadtour di sepuluh lagi IPT termasuk di Sarawak dan Sabah. Dia dilaporkan berkata, roadtour berkenaan perlu untuk menerangkan duduk sebenar perkara yang melibatkan Malaysia Official 1, agar ianya diberiperhatian oleh pelajar-pelajar yang lain.

Menariknya, dia turut mendesak supaya pihak pengurusan kesemua universiti berkenaan membenarkan pihaknya untuk masuk dan menerangkan hal yang mereka perjuangkan. Namun begitu, andai tidak mendapat kebenaran dari universiti-universiti berkenaan, dia akur namun tidak akan mengalah semudah itu.

Andai gagal mendapat kebenaran dari pihak unversiti yang dirancang, dia akan cuba mendekati para pelajar berkenaan diluar kampus. Apa yang dia sasarkan adalah, kebangkitan pelajar universiti dalam usaha meneruskan perjuangan mereka menangkap individu yang dikaitkan dengan Malaysia Official 1 atau MO1.

Tidak dapat dipastikan, adakah Anis Syafiqah masih mempunyai mentaliti seorang pelajar ataupun tidak. Ini kerena, dia lebih berminat untuk menjadi penguatkuasa undang-undang bagi pihak Amerika dari meneruskan pembelajarannya. Mungkin pihak Universiti Malaya sudah boleh berkira-kira untuk membuang terus "parasit" ini dari terus bercambah biak di semua kampus UM.

Mungkin benar dakwaan sesetengah pihak bahawa maruah Anis Syafiqah kini sudah dibeli oleh pihak berkepentingan sehingga dia sudah gelap mata dengan limpahan wang berkenaan. Bagi dia, dia lebih rela untuk "ditunggangi" oleh sesiapa sahaja asalkan dia mampu bermewah dengan upah yang tidak seberapa.

Mata hati Anis juga sebenarnya sudah dibutakan untuk melihat nasib yang menimpa Khalid Ismath, Adam Adli, Fahmi Zainol dan ramai lagi aktivis yang termakan hasutan pembangkang untuk menjadi pendemo namun hari ini, nasib mereka tidak lagi dapat dipastikan.

Apa Reaksi PAS Dan Pribumi Terhadap Pemansuhan Diskaun Bumiputera?



Seperti yang diviralkan sejak semalam, kerajaan PKR Selangor sebulat suara telah bersetuju untuk memansuhkan diskaun sebanyak 10 peratus terhadap pembeli premis perniagaan dan pangsapuri perniagaan kepada Bumiputera. Langkah ini dipercayai sebagai salah satu jalan untuk menyeragamkan pemilikan hartanah di negeri Selangor.

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor juga sejak beberapa tahun lalu, telah mengenakan caj pembangunan sebanyak 30% kepada pemaju perumahan. Sejak itu, harga rumah di Selangor terus semakin naik sehinggakan tidak semua kaum Bumiputera terutamanya kaum Melayu mampu untuk memiliki atau membeli hartanah di Selangor.

Timbul satu persoalan, apa reaksi PAS dan Pribumi tentang hal ini kerana memandangkan PAS merupakan Exco kerajaan negeri yang sedikit sebanyak dijadikan sandaran bagi orang Melayu memperjuangkan hak mereka di dalam kerajaan negeri. Bagaimana pula reaksi Pribumi yang kononnya mengwar-warkan, merekalah pejuang orang Melayu tulen?

Tidak seperti kerajaan yang lain, diskaun Bumiputera berkenaan sememangnya hak milik kekal kaum Melayu di negara ini. Alasan utamanya adalah, kaum Melayu dan bumiputera merupakan penduduk majoriti di negara ini. Justeru, apa rasionalnya diskaun ini dimansuhkan?

Secara sinisnya, kerajaan Pakatan Harapan di Selangor menunjukkan kepada orang Melayu dan bumiputera di Selangor bahawa mereka kini perlu bersaing dengan kaum lain andai mahu memiliki hartanah di Selangor.

Namun, jika direnung sedalam-dalamnya, ianya merupakan salah satu langkah kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha mereka menjadikan kesaksamaan kaum adalah agenda utama mereka. Malah, tidak keterlaluan andai kita mengatakan bahawa, mereka mahu menghapuskan terus Ketuanan Melayu di Selangor, seperti yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.

Di Selangor hari ini,  orang Melayu di Selangor begitu sibuk membicarakan hal 1MDB, derma RM 2.6 bilion wang siapa dan kenapa Rosmah begitu dan begini. Mereka tidak lagi memperdulikan, hak milik hartanah mereka yang semakin mengecil, rumah mampu milik kini sudah bertukar menjadi rumah mampu lihat, setinggan dan banyak lagi.

Bagi mereka, isu-isu yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan jauh lebih besar berbanding berjuang untuk diri sendiri serta pemilikan harta sendiri. Jadi, tidak hairanlah andai Pakatan Harapan di Selangor hari ini, sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja asalkan ianya dipersetujui dan menyenangkan hati DAP, parti tunggak di Selangor.

Tidak keterlaluan andai mengatakan, di Selangor hari ini, hanya Menteri Besar dan Barisan Exconya sahaja yang masih tinggal Melayu. Namun dari segi pentadbiran dan urus tadbir, kesemuanya kini dilakukan oleh DAP disebalik tabir.

Maksud Di Sebalik Tema Sehati Sejiwa



Untuk kali ke 59, seluruh negara kini sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Kebangsaan yang diraikan pada setiap tanggal 31 Ogos. Pada tahun ini, kerajaan telah bersetuju untuk menggunakan tema "Sehati Sejiwa" sebagai lambang, kesepakatan seluruh rakyat Malaysia terhadap ibu pertiwi, Malaysia.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui maksud disebalik logo Hari Kebangsaan pada kali ini. Logo berbentuk hati ini dusulami dengan lambang bulan sabit, bintang berbucu 14, peta Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta disulami dengan warna biru, merah, kuning dan putih. Mari kita menyelami maksud disebalik setiap warna dan bentuk logo Hari Kebangsaan pada kali ini.

1. Bentuk Hati

Lambang kesatuan rakyat Malaysia yang sekian lama hidup dalam keadaan aman, toleransi dan harmoni. Ini merupakan identiti negara sejak negara mencapai kemerdekaan penuh dari penjajah British pada 31 Ogos 1957

2. Bulan

Secara amnya, bulan adalah sebagai metafora keluhuran Islam sebagai agama rasmi negara. Bulan juga tersemat di bendera Jalur Gemilang yang turut membawa maksud yang sama.

3. Bintang bucu 14

Lambang bintang ini diguna pakai sebagai lambang perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bucu ke 14 pula merupakan lambang Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

4. Garis Merah

Ianya secara simbolik melambangkan imej rakyat Malaysia yang berjiwa besar dan berani menempuh apa jua aral yang mendatang.

5. Peta Malaysia

Seperti sedia maklum, Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan. Justeru, peta Malaysia ini ditambah sebagai lambang keakraban semu negeri di bawah payung negara.

6, Warna Biru, Merah, Kuning dan Putih

Jika kita lihat kepada bendera Jalur Gemilang, warna-warna yang terdapat pada logo Sehati Sejiwa ini merupakan kombinasi warna Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kuning membawa maksud warna DiRaja yang secara amnya melambangkan Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua kepada Agama Islam.

Bagi warna Putih pula, ianya membawa maksud jiwa dan hari rakyat negara ini yang suci murni dan Merah pula membawa maksud gagah berani. Bagi biru pula, ianya melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang agama, etnik, suku kaum dan bangsa demi Malaysia.

PERKEP Kontinjen Sabah Terima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang



Selepas 14 tahun, Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) Kontinjen Sabah sekali lagi menerima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2016. 

Pengerusinya Datin Ainalmarhanim Abg Ghani yang ditemui pada majlis itu melahirkan rasa syukur dan berharap pengiktirafan itu menjadi suntikan semangat kepada ahli PERKEP supaya lebih komited dan terus memberi sokongan kepada persatuan.

“Kami amat bersyukur dan gembira kerana sekali lagi sumbangan bakti PERKEP mendapat pengiktirafan di peringkat negeri. Ini adalah kali kedua selepas tahun 2002 dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas komitmen tinggi yang ditunjukkan ahli PERKEP.

“Walau siapa pun yang menerajui persatuan ini, saya berharap para ahli PERKEP akan terus komited dan memberi sokongan padu kepada PERKEP,” katanya yang bakal melepaskan jawatan itu pada 3 Januari 2017.

PERKEP didaftarkan pada 10 Jun 1969 dan lahir atas dasar inginkan kaum wanita maju dengan keahlian lebih kurang 80,000 orang di seluruh Malaysia, termasuk 7,000 ahli di Sabah. Menurut Ainalmarhanim, PERKEP memainkan peranan yang cukup besar daripada aspek keluarga dan peranan wanita dalam masyarakat.

“PERKEP aktif dalam aktiviti kemasyarakatan untuk membela nasib serta kebajikan kalangan ahli dan keluarga polis. Sumbangan bakti ini kami curahkan kepada para balu, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga warga polis yang ditimpa musibah.

“Selain ahli, PERKEP juga menyalurkan sumbangan kepada masyarakat umum seperti golongan anak-anak orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan warga emas. Walaupun sumbangan kami tidak mampu mengubah apa-apa yang berlaku pada ahli mahupun masyarakat, kami tetap yakin kesan psikologi yang kami bawa dalam penglibatan dan kehadiran kami di kala orang lain ditimpa masalah mampu mengurangkan beban emosi yang ditanggung mereka,” katanya.

Ainalmarhanim berkata demikian selepas menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman, di sini pada Sabtu. Selain PERKEP Kontinjen Sabah, turut disampaikan Musa ialah Anugerah Khas kepada Nancy @Mary Angian, Anugerah Wanita Cemerlang kepada Dr Ananglangkah Mad Kassim, Anugerah Wanita Terbilang kepada Datuk Alexandera Chin @Fui Lin dan Anugerah Tokoh Wanita kepada Ahli Lembaga Pelancongan Sabah Puan Sri Zainab Aman.

Gagal Seludup Pelbagai Barang Dapur



Maritim Malaysia (APMM) daerah ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barang keperluan bernilai RM80,000 selepas menahan dua bot nelayan asing di sekitar perairan Sematan dekat sini kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia DM11, Kepten Maritim Hariani Mahmod berkata, kejayaan itu hasil serbuan bersama antara Maritim Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) antara pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam.

Menurutnya, menerusi Op Cegah itu, dua tekong dan enam kru bot warga Indonesia berusia antara 33 hingga 61 tahun telah ditahan.

Bunuh Dalam Kebun Sawit



Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh seorang warga emas berusia 61 tahun yang juga pemilik syarikat ejen pengedar kereta dalam kejadian akhir bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tan Kim Poh, 33, dan Ong Wai Cheong, 34, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhamad Hidayat Wahab. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas dan lima individu yang sudah dituduh, didakwa membunuh Kong Peng Huat dalam kebun kelapa sawit, Jalan Kahang Timur, Kampung Gajah di sini, antara jam 5.30 petang dan 7 malam, 31 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Tan yang berpakaian lokap berwarna jingga dan Ong yang berpakaian lokap berwarna ungu turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada teman wanita ahli perniagaan terbabit.

Mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dan seorang yang sudah dituduh, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Ong Choon Ngah, 50, dengan cara mencederakan menggunakan kayu rotan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Tan dan Ong mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap kedua-dua pertuduhan itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Natalie Chew dan Tan diwakili peguam Sia Chau Eng, manakala Ong diwakili Abraham Mathew.

Berhenti Mengkritik Indonesia


Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Dr. Siti Nurbaya semalam berkata, negaranya bekerja tanpa henti untuk menangani kebakaran hutan dan meminta ‘pihak luar’ supaya fokus kepada usaha Indonesia dan bukan mengkritiknya, lapor portal berita CNA semalam. 

“Kami akan terus menghormati aduan oleh negara-negara jiran tetapi kami tidak bekerja memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut disebabkan tekanan dari luar,” kata menteri itu dalam satu kenyataan. Siti juga berkata, pemerintah turut berusaha untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat di Indonesia.

“Semua orang luar harus menghentikan komen yang tidak diperlukan dan melihat kepada usaha serius dan sistematik yang dilakukan pemerintah Indonesia,” kata kenyataan itu.

Menurut menteri berkenaan, kementeriannya telah mengambil pelbagai pendekatan untuk menangani kebakaran hutan termasuk melaksanakan sekatan pentadbiran dan undang-undang sivil. Katanya lagi, kira-kira 30 syarikat boleh dikenakan sekatan pentadbiran berhubung kebakaran hutan pada tahun lalu.

Mereka yang didapati bersalah akan diberi amaran keras, manakala lesen perniagaan mereka juga ditarik balik untuk sementara waktu. Kes saman sivil terhadap hampir 10 syarikat masih berjalan, tambahnya, tanpa mendedahkan nama-nama syarikat berkenaan. Siti berkata, pasukan bersepadu kini bekerja keras untuk memadamkan api tanpa mengenal erti penat lelah.

“Pada masa ini, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan telah menggantung sementara permit bagi pengurusan hutan, ladang kelapa sawit dan tanah gambut. Langkah ini akan dinilai dari semasa ke semasa,” kata Siti dalam kenyataan sama.

Keberkesanan usaha Indonesia itu, ujarnya, terbukti berdasarkan penurunan kadar asap jerebu dan kebakaran hutan pada tahun ini berbanding 2015. Pemerhatian satelit menunjukkan bilangan titik panas akibat kebakaran hutan telah berkurangan daripada 8,247 dari Januari hingga Ogos 2015 kepada 2,356 untuk tempoh sama tahun ini sekali gus penurunan hampir 75 peratus.

Penurunan terbesar titik panas adalah di wilayah Riau (daripada 1,292 kepada 317) dan Kalimantan Tengah (daripada 1,137 kepada 56) tahun ini, katanya.

Pendrive TMJ Miliki 279 Muka Surat




Ada 279 muka surat. Itu jumlah halaman dalam pendrive milik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu diteliti sepenuhnya Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Pendrive yang didakwa mengandungi maklumat salah urus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, diserahkan Tunku Ismail kepada Khairy, Jumaat lalu. 

“Saya baru mula membaca malam semalam (kelmarin). Saya tidak boleh habiskan semua 279 muka surat itu. Ia bukannya dokumen 20 muka surat. Beri saya masa untuk menghabiskan membaca dokumen itu. Kemudian saya akan maklumkan kepada anda apakah langkah seterusnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Sukan Negara (HSN) 21KM semalam. 

Menerusi laporan Akhbar semalam, Khairy berjanji akan bertindak secara telus dalam menangani isu membabitkan FAM itu. Jumaat lalu, laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers menyatakan Tunku Ismail sudah menyerahkan pendrive itu kepada Khairy kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM.

Tunku Ismail pada 18 Julai lalu menerusi facebook rasmi JOHOR Southern Tigers mendedahkan memiliki pendrive yang menyimpan salah urus FAM, antaranya ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia selain aktiviti rasuah FAM yang didakwa berlarutan sehingga 30 tahun.

Visual Sebenar Tombiruo



SAAT menerima khabar bahawa novel thriller popular Tombiruo: Penunggu Rimba hasil nukilan Ramlee Awang Murshid bakal diadaptasi ke layar perak, perasaan gembira dan teruja menyelubungi penulis. Masakan tidak, selama ini watak-watak seperti Tombiruo atau Ejim, Amiruddin dan Wan Suraya hanya berlegar dalam imaginasi pembaca sejak novel itu mula berada di pasaran 18 tahun lalu. 

Kini, dengan penerbitan dalam versi filem peminat dapat menyaksikan watak-watak berkenaan hidup apabila ia diterjemahkan oleh barisan pelakon popular seperti Zul Ariffin yang memegang watak Tombiruo, Farid Kami (Amiruddin) dan juga Nabila Huda (Wan Suraya).

Biarpun memiliki pengalaman lakonan, jelas ketiga-tiga pelakon itu, bebanan berat ditanggung mereka selepas menyedari pengaruh novel tersebut cukup besar dalam kalangan peminat. Malah, ada peminat yang memberi amaran kepada mereka agar tidak merosakkan naskhah berkenaan.

Bagaimanapun, dengan arahan bersama Nasir Jani dan Seth Larney yang banyak terlibat dalam pembikinan filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded serta Xmen Origins: Wolverine, ketiga-tiga pelakon berkenaan yakin filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu bakal dihasilkan dengan sempurna, merangkumi jalan cerita dan juga aspek teknikal.

Zul Ariffin tayang badan

Berbicara dengan pelakon utamanya, Zul Ariffin pada majlis sidang akhbar filem berkenaan baru-baru ini, jelas kelihatan perasaan gusar di hatinya sementelah menerima tawaran sebagai Tombiruo hanya empat minggu sebelum menjalani penggambaran.

Dalam tempoh empat minggu itu juga Zul diminta untuk mengecilkan saiz badannya oleh pihak produksi. Oleh itu, dia terpaksa menjalani diet dan rutin senaman yang ketat selama sebulan sehingga mampu menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram daripada berat asal iaitu 92 kilogram serta membina otot.

Meskipun terpaksa mengambil jalan yang singkat dan berbahaya bagi kesihatannya, namun Zul nekad melakukannya demi memiliki tubuh badan yang sesuai dengan watak Tombiruo. Katanya, dia tidak dipaksa tetapi atas kesedaran sendiri pengorbanan harus dilakukan. Apatah lagi, Zul terpaksa keluar daripada zon selesanya dengan ‘menjual’ tubuh sasa apabila muncul tanpa baju serta memakai topeng dalam filem tersebut.

“Memang rasa agak kekok kerana buat pertama kalinya saya tampil tanpa baju dan memakai topeng sepanjang filem. Mahu atau tidak, saya harus berusaha untuk kekalkan tubuh badan berotot selama dua bulan kerana watak Tombiruo adalah orang yang tinggal dalam hutan,” ujarnya yang mahu dilihat sempurna di layar perak.

Selain tubuh badan yang sasa, aset paling mahal Zul sudah pasti wajahnya yang tampan. Bagaimanapun dalam filem ini, wajahnya tidak akan kelihatan langsung kerana dia dikehendaki memakai topeng muka. Tidak kecewa kerana terpaksa berlakon di sebalik topeng, jelas Zul inilah cabaran yang diinginkan sebagai seorang pelakon.

“Saya akui bukan mudah berlakon dengan memakai topeng, sebabnya orang tidak nampak reaksi wajah. Namun, watak seperti inilah yang setiap pelakon idamkan kerana ia sungguh mencabar. Saya terpaksa berlakon tanpa banyak dialog dan hanya menggunakan bahasa tubuh untuk penonton merasai emosi yang ingin disampaikan,” kata Zul yang telah mula menjalani penggambaran filem berkenaan tiga minggu lalu.

Farid tertekan

Beralih bicara dengan aktor Farid Kamil, tanpa berselindung dia mengaku agak tertekan untuk menterjemahkan watak Amiruddin dengan sempurna. Selain terpaksa mempelajari bahasa Kadazan Dusun, dia juga harus menuntut ilmu silat sendeng sebelum penggambaran bermula.

Ujarnya, harapan peminat yang ingin melihat watak Amiruddin serupa dengan imaginasi ketika membaca novel berkenaan memberi tekanan yang besar buatnya.

“Belum mula penggambaran sudah ada peminat yang memberi amaran supaya jangan merosakkan naskhah ini. Sejujurnya, saya memang takut dan bimbang sebab harapan penonton terlalu tinggi bukan sahaja untuk watak Amiruddin tetapi keseluruhan filem ini.

“Namun, ingin diingatkan mungkin cara saya menjadi Amiruddin tidak seratus peratus sama seperti dalam novel kerana imaginasi setiap pembaca berbeza-beza,” ujar Farid.

Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, kata Farid, sebagai pelakon dia melihat filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu sebagai naskhah ‘emas’ kerana memiliki pasaran sedia ada yang terdiri daripada pembaca novel berkenaan. Justeru, Farid terpaksa bersaing dengan ramai pelakon popular ketika sesi uji bakat demi mendapatkan watak Amiruddin.

“Bukan mudah untuk dapatkan watak Amiruddin, saya terpaksa bersaing dengan semua hero filem di Malaysia. Saat diberitahu terpilih sekitar empat bulan lalu, saya cukup gembira dan bersyukur kerana terlibat dalam sebuah naskhah yang diminati ramai,” katanya yang tidak membaca novel berkenaan. 

Nabila jadi wartawan

Aktres Nabila Huda yang memegang watak Wan Suraya seorang wartawan dari Kuala Lumpur menjelaskan, dia menerima tawaran untuk terlibat dalam filem tersebut kerana naskhahnya yang cukup berbeza daripada filem adaptasi tempatan sebelum ini. Kebiasaannya naskhah adaptasi adalah daripada novel cinta, namun Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan sebuah novel thriller.

Selain itu, sepanjang bergelar pelakon inilah kali pertama Nabila membawakan watak wartawan di layar perak. “Sebenarnya saya sangat sukakan skrip filem ini. Ia sangat berbeza daripada filem adaptasi novel yang pernah diterbitkan. Saya juga tertarik kerana diberi peluang memegang watak wartawan buat pertama kali.

“Walaupun sudah biasa ditemu bual pihak media, namun melakonkan watak seorang wartawan yang menyiasat isu berat cukup mencabar. Saya perlu ambil masa untuk mendalami watak Wan Suraya dengan baik,” katanya jujur.

Sebagai persediaan, Nabila yang tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Munafik itu turut menghadiri kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar selama tiga minggu.

“Sepanjang filem ini kami lebih banyak melakukan penggambaran dalam hutan. Secara fizikal ia amat mencabar tetapi dari segi emosi saya terpaksa berdepan dengan watak Tombiruo, seorang lelaki yang tiada agama dan tinggal di hutan.

“Mungkin peminat ada gambaran tersendiri tetapi sebagai pelakon saya berusaha sehabis baik untuk menjadi Wan Suraya seperti dalam novel,” katanya yang akan memasuki set penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah bermula Oktober depan.

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal ditayangkan pada 2017 itu turut dibintangi beberapa nama besar lain seperti Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Dynas Mokhtar, Artu dan R. Azmi Ismail.

Hanya 400 Masih Miskin Tegar


Pendapatan isi rumah di Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan pendapatan purata sebulan sebanyak RM6,141 di samping paras median meningkat kepada RM4,585 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal setiap rakyat berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.4 peratus. 

Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), dalam tempoh berkenaan mendapati purata dan median pendapatan isi rumah mengalami pertumbuhan lebih cepat daripada KDNK pada paras 10.8 peratus dan 12.4 peratus masing-masing dalam tempoh sama yang direkodkan.

Selain itu, purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat sebanyak RM1,141 manakala pendapatan median menunjukkan peningkatan RM959 sebulan yang dilihat begitu efektif dalam mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.6 peratus pada 2014 berbanding 1.7 peratus pada 2012.

“Akses kepada infrastruktur terus berkembang baik khususnya kepada penduduk di Kedah, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu dengan kemudahan paip air yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah menengah dan fasiliti kesihatan.

“Lebih penting lagi, golongan miskin tegar juga semakin hampir untuk dihapuskan di mana hanya 400 isi rumah sahaja yang masih berada dalam kumpulan ini,” kata Laporan Keadaan Isi Rumah edisi kedua yang dilancarkan di sini, semalam.

Pelancaran buku itu disempurnakan Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sambil disaksikan Pengarah Urusannya, Datuk Charon Mokhzani. Laporan itu dibahagikan kepada tiga tema merangkumi isi rumah dan pendapatan isi rumah, tenaga kerja oleh golongan wanita serta populasi golongan tua.

Meskipun Malaysia diduga dengan ketidaktentuan ekonomi pada 2014 dan 2015 seperti kejatuhan harga komoditi, persekitaran dagangan global yang perlahan dan kedudukan rendah ringgit, namun ia bukan penghalang kepada pertumbuhan cemerlang ekonomi negara.

Sejak 1980 hingga 2015, KDNK nominal meningkat sehingga 22 kali ganda iaitu daripada RM53.5 bilion kepada RM1.2 trilion. KDNK nominal setiap rakyat berkembang 9.9 kali dalam tempoh sama. Selain itu, prestasi yang dicapai negara adalah lebih tinggi berbanding purata negara berpendapatan sederhana tinggi seperti Brazil, Mexico dan Turki.

Noorashima Gadis 'Pomen'


Kotor minyak hitam yang meliputi jari halusnya tidak diendahkan. Bahkan ia menjadi ‘penyeri’ dan bukti yang menunjukkan kesungguhannya untuk bergelar ‘pomen’ di bengkel ayahnya. Sejak tiga tahun lalu sebaik menamatkan persekolahan, dia bermain dengan ‘aksesori kasar’ dan berat yang jarang mendapat perhatian wanita muda sepertinya. 

Malah pandangan sinis orang kampung yang menyatakan gadis tidak sesuai bekerja membaiki motosikal tidak pernah menjejaskan minatnya malah ia seolah-olah membangkitkan lagi kesungguhannya untuk membuktikan perempuan juga boleh berjaya sama seperti lelaki.

Ini diakui gadis kelahiran Taman Lechar, Raub, Pahang, Noorashima Harun, 21, yang sebelum ini bekerja sepenuh masa di bengkel membaiki motosikal milik ayahnya Harun Mat Sah, 50, di Pekan Dong, Raub.

Selepas tiga tahun bermain dengan minyak hitam, sepana, palam pencucuh dan karburetor motosikal milik penduduk kampung, kini dia mengorak langkah dengan membuka kedai alat ganti motosikal di Pekan Dong.

“Sejak kecil lagi memang saya suka dengan kerja membaiki motosikal. Saya rasa kagum melihat ayah yang setiap hari membaiki motosikal pelanggan di bengkelnya. Selama 20 tahun saya melihat ayah mengusahakan bengkelnya untuk menanggung kami sekeluarga dan dari situlah tumbuh minat untuk menjadi mekanik.

“Minyak hitam, sepana, palam pencucuh dan karburetor sudah tidak asing bagi saya. Setiap hari, saya memegang dan membeleknya tanpa rasa jijik malah bangga dapat membantu membaiki motosikal penduduk kampung.

“Gandingan tunjuk ajar ayah dan ilmu yang di peroleh ketika belajar di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis menambahkan lagi kemahiran saya membaiki pelbagai jenis motosikal,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Adik.

Noorashima berkata, selepas menamatkan persekolahan tiga tahun lalu, dia terus membantu ayahnya mengusahakan bengkel motosikal tanpa sekelumit perasaan malu dan menyesal digelar gadis ‘pomen’.

Walaupun setiap hari tangannya kotor terkena minyak, dia berasa puas dan berbangga dapat membantu ayah dan menjadi antara segelintir wanita di Pahang mempunyai kemahiran membaiki pelbagai jenis motosikal. Beliau berkata, ilmu dan kemahiran belajar dalam jurusan teknologi automotif selama dua tahun di SMV Sultan Haji Ahmad Shah digunakan sepenuhnya untuk membaiki apa juga kerosakan enjin motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki. 

Menurutnya, selain membaiki kerosakan, dia juga turut memiliki kemahiran menukar dan memasang pelbagai alat ganti motosikal yang kini banyak di pasaran. Pada peringkat awal dia membantu ayah membaiki motosikal, ramai tidak mempercayai kebolehannya kerana berpendapat perempuan tidak sesuai menjadi mekanik.

Walaupun kata-kata itu agak pahit tetapi dia menerimanya dengan senyuman. Namun disebabkan terlalu minat dengan kerja berkenaan, cakap-cakap berunsur negatif itu tidak diendahkan kerana baginya apa yang penting hatinya puas dapat membantu ayah. Baginya cara terbaik untuk menolak pandangan sinis itu ialah dengan membuktikan kebolehannya khususnya kepada pemilik motosikal. 

“Membaiki motosikal empat lejang lebih mudah berbanding motosikal dua lejang terutama membabitkan skuter. Ketelitian, tumpuan dan kesabaran perlu ada ketika membaiki bagi memastikan punca rosak dapat dikesan.

“Selain membaiki kerosakan kecil dan menukar peralatan, saya juga melakukan kerja mencuci karburetor dan membaiki enjin beberapa jenis motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki. Saya akan merujuk kepada ayah sekiranya usaha membaiki motosikal tidak dapat dilakukan, caj yang dikenakan kepada pelanggan bergantung kepada jenis kerosakan dan alat ganti digunakan. 

“Saya biasa mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM500, bagi yang tidak cukup wang mereka diberi kemudahan membayar secara ansuran,” katanya yang turut mengusahakan warung burger berhampiran rumahnya.

Noorashima berkata, selain kagum dengan kebolehan ayahnya yang mahir membaiki motosikal, dia juga menghormati kemampuan ibunya, Khadijah Mat Ropi, 45, yang turut memiliki kemahiran menukar minyak hitam dan tayar.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, selepas bergelar pomen dia kini berpuas hati apabila berjaya membuka kedai alat ganti motosikal di pekan Dong dengan nama ‘Atan Motor Garage’ sebagai kesinambungan bengkel ayahnya yang terpaksa berpindah.

“Saya ingin buktikan kepada masyarakat bahawa sifat lembut pada wanita bukan penghalang untuk berjaya menjadi mekanik. Saya tidak melihat pembabitan wanita dalam dunia yang dikuasai lelaki sebagai satu perkara pelik kerana setiap orang bebas menentukan kerjayanya sendiri.

“Cita-cita saya selepas ini ialah untuk memperluaskan lagi perniagaan berkaitan motosikal seperti membuka bengkel dan menjual kenderaan pada masa akan datang,” katanya yang tidak pernah menyesal kerana tidak menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Friday, 26 August 2016

Adakah Mahathir Berani Ingkar Titah Paduka Sultan Johor?



Isu membabitkan teguran keras Paduka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung kritikkannya terhada Bangsa Johor dan tingkah laku Tun Dr Mahathir terhadap Almarhum Sultan Iskandar sehingga menyebabkan melemahnya kuasa Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu, terus hangat diperkatakan oleh ramai pihak.

Dalam teguran keras Paduka Tuanku, baginda ada menyebut tentang Tun M adalah individu yang menyebabkan perpecahan di kalangan orang melayu dan rakyat Malaysia sehingga Paduka Sultan memerintahkan Tun M untuk menutup mulut dan janga mencampuri urusan kerajaan kerana zaman beliau sudah berlalu.

Melihat kepada teguran keras Baginda Sultan ini, timbul satu persoalan, adakah Tun M kekal dengan pendirian untuk meneruskan gerakan bagi menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib dan kerajaan menerusi siri fitnahnya? Andai beliau memilih jalan demikian, ini bermakna Tun M dengan sengaja telah ingkar kepada perintah Sultan dan sekaligus boleh dianggap penderhaka.

Sebenarnya, kita begitu mengenali sikap dan keras kepala Tun M dalam berpolitik. Beliau pasti tidak akan memilih untuk duduk diam walaupun titah perintah datangnya daripada Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agong itu sendiri. Pasti akan ada satu lagi tindakan baru yang dilakukan olehnya memandangkan beliau merupakan Pengerusi Pribumi, parti yang dalam proses pendaftaran ini.

Selaku Pengerusi, beliau tidak akan boleh duduk diam dan pastinya akan terus bersuara bagi menjalankan semua gerakan yang beliau atur untuk menumbangkan kerajaan. Ini bukan kali pertama Tun M mendapat titah sedemikian dan pastinya, tidah Baginda Sultan Johor ini sekali lagi bakal dilanggar.

Sebelum ini, titah Tunku Abdul Rahman, yang juga keturunan Kesultanan Kedah juga berani ditentang sehingga berani mengutus 8 helai surat terbuka untuk menyuruh Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan. Bagi Tun M, apalah sangat titah Baginda Sultan Johor untuk menyuruhnya diam kerana pastinya, beliau sentiasa menganggap, politik Malaysia adalah berkisar pada dirinya.

Namun begitu, biarlah Tun M memikirkan apa yang patut beliau lakukan. Samada mahu memilih ingkar dan menderhaka  pada titah Sultan atau memilih untuk meneruskan segala fitnah yang beliau giat sebarkan selama hari ini. pilihan ditangan Tun M dan biarlah beliau sendiri menentukan hala tujunya.

Namewee Akhirnya Dibebas Tanpa Syarat



Sudah memasuki tahun ke 3, penyanyi rap kontroversi, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee lepas bebas walaupun dia dilihat kerap kali menimbulkan pelbagai kontroversi menerusi karya muzik yang dihasilkannya. Dia didapati dengan kerap cuba menimbulkan provokasi dengan umat Islam dan kepimpinan hari ini dengan lagu berunsur hasutan dan kebencian.

Baru-baru ini, mereka yang tidak senang dengan hasil kerja Namewee, boleh menarik nafas lega apabila penyanyi "gila" ini akhirnya ditahan oleh pihak PDRM atas lagu yang dihasilkannya pada awal bulan ini. Lagu berkenaan dilihat mempunyai unsur hasutan dan provokatif terhadap umat Islam sehingga banyak laporan polis dibuat keatas Namewee.

Dia akhirnya dihadapkan ke mahkamah untuk membolehkan pihak polis mendapat reman selama 4 hari atas kes ini. Dalam masa yang sama, ramai pihak mendesak pihak polis menyiasat dengan terperinci kesalahan yang dilakukan oleh Namewee dan mendakwa dia atas kesemua provokasi melampau yang telah dia lakukan.

Pada masa yang sama, Marina Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba tampil membela Namewee. Dalam laporan media ada menyebut, Marina hairan, kenapa Namewee mesti ditahan hanya bersandarkan sensitiviti dan perasaan kurang senang orang Islam terhadap karya yang dia hasilkan. Kenyataan ini pantas dibidas oleh ramai orang yang melihat Marina, sedikit pun tidak mempunyai perasaan sesntiviti umat Islam.

Namun, kelmarin, sangkaan ramai pihak yang menjangkakan Namewee akhirnya dibebaskan tanpa syarat, terbukti benar. Semalam, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Seksyen telah melepaskan Namewee dengan jaminan polis selepas menolak permohonan pihak PDRM untuk menyambung tahanan reman 4 hari ke atasnya.

Ini menjadikan Namewee kembali lepas dan bebas untuk melakukan apa yang beliau sukai termasuk menghina agama Islam dan menyentuh serta menyinggung sensitiviti Islam. Hebat manusia bernama Namewee ini. Andai ada umat Islam berkelakuan seperti Namewee, sudah tentu individu berkenaan akan disumbatkan kedalam penjara.

Tetapi, pemilik nama Namewee ini, sekali lagi dilihat terlalu kebal kepada undang-undang sehingga dia bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa sebarang pendakwaan dikenakan terhadapnya. Jadi tidak mustahil andai Namewe juga akhirnya akan menjadi Alvin Tan, yang kini sedang dalam proses permohonan suaka di California.

Siapa kita untuk menangkap Namewee atau mendakwanya? Selepas ini, pastinya umat Islam, kerajaan mahupun PDRM akan menjadi sasaran liarnya untuk menghina atau merendah-rendahkan martabat umat Islam, kerajaan mahupun PDRM. Usah tersinggung dengan penghinaannya kerana tiada apa yang dapat mengheretnya kedalam penjara atas kelakuan biadabnya selama ini.

Seramai 15,000 Layak Jawatan Tetap



Seramai 15,000 penjawat awam berstatus kontrak bakal diserap ke jawatan tetap selepas tempoh perkhidmatan mereka melebihi 15 tahun. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Arpah Abdul Razak berkata, ia selaras dengan dasar baru kerajaan yang menetapkan tempoh perkhidmatan 15 tahun saja yang akan diserap ke jawatan tetap di sektor kerajaan. 

“Selepas dikuat kuasa pada 1 Julai lalu, SPA meneliti semua rekod kakitangan berstatus kontrak dan mendapati 15,000 daripadanya layak mengikut dasar berkenaan. Bagaimanapun, ia perlu melalui proses penilaian yang ditetapkan sebelum diserap sepenuhnya menjadi kakitangan awam,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya SPA, di Kota Kinabalu, semalam.

Menurutnya, penilaian dilakukan menerusi laporan tahunan yang perlu melebihi 80 peratus menunjukkan komitmen dan prestasi mereka terhadap kerja. “Walaupun sudah berkhidmat lama, SPA tetap memberi keutamaan kepada kakitangan yang mempunyai prestasi kerja terbaik bagi membolehkan mereka layak diserap.

“Dalam masa sama, pemilihan juga dinilai menerusi tahap kesihatan pekerja kontrak itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Karnival Kerjaya SPA di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Anak Belaun. Joseph berkata, statistik menunjukkan seramai 1.6 juta permohonan diterima SPA pada 2015 dan 1.4 juta bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak dapat mengambil semua pemohon bekerja di sektor kerajaan berikutan kekosongan jawatan hanya dianggarkan kurang daripada 50,000 setiap tahun,” katanya.

Suspek Bunuh Bill Kayong Ada Senjata Api Berat


Senjata api milik suspek utama pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjong Lobang, di sini, pagi kelmarin. Senjata api milik Lee Chee Kiang, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Stephen Lee itu dirampas dalam sebuah bilik kebal di rumah itu pada jam 10.45 pagi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, senjata yang dirampas itu ialah lima senapang patah pelbagai jenis, sepucuk pistol jenis Glock dan senapang jenis Ruger Rance Rifle. Menurutnya, selain tujuh senjata api berkenaan, polis turut merampas dua kelopak pistol, 417 peluru pistol dan 206 peluru senapang patah.

“Semua senjata itu milik Stephen Lee namun rampasan itu tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan (Bill Kayong) ini, tetapi ia terpaksa dirampas atas faktor keselamatan. Suspek sudah melarikan diri ke Australia, jadi tiada sesiapa lagi yang bertanggungjawab terhadap senjata itu. Disebabkan itu, polis perlu merampas semua senjata berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Dev berkata, pistol Glock dan senapang Ruger Rance Rifle yang dirampas digunakan untuk kegunaan peribadi suspek manakala lima senapang patah digunakan polis bantuan di ladang kelapa sawit milik lelaki itu.

“Polis dalam proses menarik balik semula lesen senjata api suspek kecuali senapang patah yang akan dirujuk kepada Pejabat Daerah Miri untuk pembatalan lesen,” katanya.

Senapang patah yang digunakan untuk membunuh Bill pada 21 Jun lalu sudah pun dirampas dan dikenal pasti sebagai senjata buatan sendiri. Sebelum ini, dua lelaki sudah didakwa di Mahkamah Majistret Miri berhubung kes pembunuhan Bill Kayong iaitu Mohamad Fitri Pauzi, 29, dan Lie Chang Loon, 37, mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Penyamun Keparat



“Tolong ayah, tolong kami.” Itu teriakan anak perempuan Halim, 34, menerusi panggilan telefon apabila isteri dan dua anaknya disamun selepas kereta dinaiki tiga beranak itu terbabas ke dalam sawah di Jalan Kubang Semang, di sini, Selasa lalu. 

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, kereta Nissan Grand Livina yang dipandu isteri Halim, Asmalia Zanal, 34, bersama dua anak mereka dikejar dua lelaki bermotosikal sehingga menyebabkan mereka terbabas dan cedera sebelum disamun kedua-dua lelaki terbabit.

Halim berkata, ketika itu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja menggunakan kereta lain manakala Asmalia menaiki sebuah lagi kereta bersama dua anak mereka dalam perjalanan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Katanya, sebaik menerima panggilan itu, dia terdengar bunyi teriakan anak sulung perempuannya berusia lapan tahun sebelum panggilan itu terputus.

“Saya terkedu dan bingung ketika itu serta tidak dapat membayangkan kejadian sebenar menimpa mereka. “Perkara pertama yang saya bayangkan adalah mereka terbabit dalam kemalangan dan langsung tidak menyangka mereka turut disamun,” katanya di sini, semalam.

Halim berkata, sejurus kemudian, dia menerima satu lagi panggilan daripada seorang remaja perempuan yang memaklumkan kejadian menimpa isteri dan anaknya. Menurutnya, dia terkejut dan bergegas ke lokasi kejadian sambil berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini menimpa mereka. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya melihat isteri dan dua anak dalam keadaan trauma sebelum memeriksa kecederaan yang mereka alami dan bersyukur kerana mereka tidak cedera parah. Mereka hanya luka ringan akibat terbabas ke dalam sawah selepas dikejar penyamun itu,” katanya. 

Menceritakan kejadian itu, Halim berkata, ketika isterinya melalui jalan berkenaan, dua lelaki bermotosikal mengekori kereta mereka sebelum mengetuk cermin depan menggunakan batang besi sehingga retak. Beliau berkata, isterinya yang terkejut dan takut dengan tindakan itu memecut keretanya bagi melarikan diri daripada dua lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, ketika memecut, isteri gagal mengawal kereta sebelum terbabas ke dalam sawah. Sejurus terbabas, dua lelaki terbabit memecahkan cermin penumpang hadapan kereta dan meragut beg tangan serta gelang emas isteri.

“Isteri saya sempat merayu supaya mereka tidak mengambil telefon bimbit yang sedang digenggamnya sebelum dua lelaki itu pergi ke motosikal mereka. Dalam tempoh singkat itu, anak perempuan sulung saya sempat menghubungi saya untuk meminta tolong sebelum salah seorang daripada lelaki itu datang semula dan meragut telefon berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang dibuat di Balai Polis Perda. “Usaha memburu suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan,” katanya.

Kapal Tangki Malaysia Hilang Ditemui




Tentera laut Indonesia berjaya mengesan kapal tangki minyak milik syarikat di Malaysia yang membawa diesel bernilai AS$400,000 (RM1.6 juta) dan dilaporkan hilang sejak 16 Ogos lalu. 

Syarikat kapal MT Vier Harmoni itu pada mulanya menyangka kapal berkenaan telah dirampas selepas memulakan pelayaran dari Malaysia, bagaimanapun siasatan pihak berkuasa Indonesia mendapati kapal itu dilarikan oleh anak-anak kapal sendiri ekoran pertikaian pembayaran.

Beberapa kapal tentera laut dan sebuah helikopter dike­rahkan untuk mencari kapal tangki yang dilaporkan hilang pada 16 Ogos lalu selepas memulakan pelayaran dari selatan Malaysia sehari sebelum kejadian berlaku.

“Operasi mencari telah dilakukan sepanjang hari tanpa henti oleh pasukan tentera laut,” kata seorang jurucakap tentera laut, Edi Sucipto. Menurutnya, kapal tangki yang membawa 900,000 liter diesel itu ditemui kelmarin di wilayah barat Kalimantan yang terletak di pulau Borneo, Indonesia.

Kapal tangki itu kini diiringi ke Tanjung Pinang, ibu negeri Riau, Indonesia untuk siasatan lanjut. Beberapa pegawai tentera laut berkata, selepas kapal tangki itu hilang, kapten kapal telah menghubungi pemilik kapal berkenaan untuk menyatakan bahawa anak kapal akan membawanya ke Pulau Batam yang terletak di selatan Singapura.

Mereka berbuat demikian ekoran terdapat masalah pengurusan dalaman. Terma itu (pertikaian bayaran penghantaran barangan) lazimnya digunakan untuk merujuk pertikaian antara anak kapal, pemilik kapal atau pihak penyewa.

Cabaran Hebat 13 Muka Baru


Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mencabar barisan pemainnya khususnya 13 muka baru untuk membuktikan kemampuan merebut tempat dalam skuad utama bagi menghadapi kejohanan Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November ini. 

Ketiadaan empat tonggak yang bersara dari pentas antarabangsa membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal selain masalah kecederaan menyaksikan hanya 11 daripada 24 pemain skuad Jelajah Oceania 2016 pada Jun lalu, dikekalkan. 

Bagi Kim Swee, beliau menaruh harapan tinggi kepada pemain kali ini biarpun ada antara mereka tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa termasuk bekas kapten Harimau Muda A Irfan Fazail, Amer Saidin (Johor DT II) , S Veenod (Selangor), Hafizul Hakim Khairul Nizam (Perak), Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team).

“Rata-rata pemain dipanggil kali ini membabitkan pemain muda yang mempunyai pengalaman antarabangsa di peringkat remaja sebelum ini dan dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu.

“Sebagai contoh, Irfan sebelum ini mempunyai pengalaman luas beraksi bersama Harimau Muda di Sukan SEA dan Kelayakan Olimpik. Jadi pasti ini cabaran buat dirinya termasuk Amer Saidin dan Wan Zack Haikal yang dipanggil semula untuk membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain enam pemain itu, Kim Swee turut memanggil semula pemain seperti Khairulazhan Khalid (Selangor), Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Ronny Harun (Sarawak) dan Matthew Davies (Pahang) yang disisihkan sebelum ini.

Penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan antara yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan manakala penjaga gol Farhan Abu Bakar, S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran tiada dalam senarai atas alasan prestasi semasa.

Dengan saingan Piala AFF semakin hampir, Kim Swee mahu kesemua pemain segera mendapat rentak bermula dengan aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

“Sudah tentu tempoh masa singkat untuk kem latihan pusat kali ini dengan jadual yang padat dan tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan. Jadi apa yang perlu saya fikir sekarang ialah membentuk kombinasi tertentu selepas kesebelasan ketika bertemu Timor-Leste dan siri Jelajah Oceania tidak dapat bersama kali ini.

“Ini pemain terbaik yang saya lihat ketika ini dan mereka harus membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebelum saya memutuskan untuk persiapan yang akan datang.” 

Kesemua pemain yang disenaraikan itu perlu melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini kecuali tiga pemain - Adam Nor, Davies dan Safawi yang akan menyertai kem latihan pusat diri 31 Ogos ini selepas mereka selesai beraksi bersama skuad B-22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain B-22 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Nazim, Bella Nikah Bulan Depan




Pasangan pelakon Nazim Othman dan Bella Daly dijangka bernikah di Kota Kinabalu, Sabah, pada 10 September depan. Menurut sumber, majlis persandingan juga akan diadakan pada hari yang sama,manakala majlis bertandang akan diadakan di kediaman keluarga Nazim di Johor Bahru pada 17 September depan.

Majlis akan diadakan secara tertutup membabitkan keluarga kedua belah pihak dan rakan terdekat,€ katanya. Difahamkan, pasangan itu sudah mengikuti kursus perkahwinan pada awal tahun ini. Sementara itu, Nazim ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara itu dan mahu menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi cerita mengenai majlis mereka.

"Insya-Allah saya akan kongsikan perkara ini dalam masa terdekat. Jika ada pihak yang sudah menerima kad jemputan perkahwinan saya sudah tentu tahu perkara ini," katanya.

Selain itu, Nazim turut menafikan majlis perkahwinan mereka mendapat tajaan penuh daripada beberapa pihak. Nazim melamar Bella pada 26 Oktober lalu ketika mereka menjalani penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi sebelum bertunang pada 14 November tahun lalu.

12 Hektar Tak Cukup



Pengeluar air minuman terkemuka, Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd (Coca-Cola) merancang untuk membesarkan lagi kilangnya di Bandar Enstek di sini bagi meningkatkan pengeluaran dan menampung permintaan pasaran. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stephen James Lusk berkata, ketika ini kilang sedia ada beroperasi di kawasan seluas 12 hektar tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan yang semakin meningkat bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

Katanya, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi pembelian tapak pembesaran kilang seluas empat hektar di kawasan berhampiran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bagi membolehkan bangunan tambahan dapat dibina dalam tempoh terdekat.

“Permintaan terhadap produk Coca-Cola terutama di pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei ketika ini semakin meningkat, malah pengeluaran yang sedia ada tidak dapat menampung sepenuhnya permintaan berkenaan. “Justeru itu, kita merancang meningkatkan pengeluaran namun perlu membesarkan lagi kilang ini bagi membolehkan kuantiti pengeluaran produk dapat ditingkatkan. 

“Situasi ini menyebabkan kami begitu optimis terhadap masa depan perniagaan dan ekonomi Malaysia, biarpun turut menerima kesan daripada ketidaktentuan ekonomi yang dipengaruhi pasaran global,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perayaan UIang Tahun Ke-80 Cola-Cola di Malaysia di kilang syarikat itu di Nilai, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Coca-Cola Singapura, Malaysia, Brunei, Vietnam, Kemboja dan Myanmar, Antonio Del Rosario. James Lusk berkata, melalui inisiatif dan perkembangan syarikat itu, pihaknya yakin ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan rakyat tempatan.

Menurutnya, kilang sedia ada yang menggunakan peruntukan pelaburan berjumlah RM1 bilion pada 2010 itu adalah kilang pembotolan Coca-Cola yang tercanggih di ASEAN selain pusat pengeluaran produk halal untuk pasaran di negara ini.

Katanya, selepas 80 tahun bertapak di negara ini, produk Coca-Cola terus berkembang dan menjadi satu-satunya syarikat minuman di negara ini yang menawarkan minuman ringan sifar kalori serta gula. “Kami akan terus berusaha menjana inovasi bagi mempelbagaikan portfolio serta saiz minuman dalam pek yang lebih kecil untuk kehendak dan kepuasan pelanggan,” katanya.