Monday, 31 October 2016

PAN Sokong Aktiviti Bunuh Diri?



Sehingga hari ini, masih ramai yang memperkatakan tentang tindakan Mohd Shukri Saad yang bertindak membunuh diri minggu lalu. Walaupun ianya tidak mendapat liputan meluas media, namun tindakan nekadnya ini telah mengundang kecaman ramai pihak yang sama sekali tidak boleh menerima tindakan bodohnya ini.

Menariknya, disaat kecaman ramai pihak terhadap Shukri, Parti Amanah Negara (PAN) secara tiba-tiba menyatakan pendirian menyokong apa yang dilakukan oleh Shukri ini. Ujar mereka, Shukri adalah contoh mangsa penindasan terhadap sistem pemerintahan negara dan apa yang dilakukannya hanyalah ekspresi diri terhadap kekecewaannya.

Orang yang mengeluarkan kenyataan ini adalah Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa. Memetik laporan daripada MalaysiaKini, 30 Oktober lalu, beliau dilaporkan berkata, apa yang dilakukan Shukri adalah mangsa kepada sistem, walaupun ia bukan cara terbaik untuk melahirkan kekecewaan tetapi melambangkan sistem yang menghukum rakyat marhaen demi sesuap nasi dan membiarkan yang berkuasa dan kroninya terus merompak.

Sambil memberi contoh kematian Sami Buddha, Thick Quang Duck yang membakar dirinya pada tahun 1963 di Vietnam akibat menentang rejim zalim. Selain itu, katanya, Tariq Mohamed Bouzizi membakar diri di Tunisa kerana membantah penguatkuasa mendenda dan merampas buah-buahan yang dijaja di tepi jalan sehingga menjadi ikon kebangkitan Arab, bermula di Tunisia.

Persoalannya, adakah Mujahid sudah tidak lagi mengenal apa itu Aqidah umat Islam? Islam telah menggariskan bahawa membunuh diri ini samalah ertinya dengan menolak hukum dan syariat Allah S.W.T. Jika Mujahid masih ingat akan hukum dosa dan pahala, perilaku membunuh diri ini boleh dianggap sebagai dosa besar yang tidak terampun oleh Allah walau apa jua alasannya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, marhumnya :
"Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.”

Kenapa sampai begini sekali pemikiran Mujahid Rawa yang satu ketika dahulu pernah menganggotai PAS? Sudah jelas dan nyata, tindakan membunuh diri ini bukan satu perkara yang digalakkan oleh Islam. Namun atas sebab politik, Mujahid sanggup melacurkan agama anutannya sendiri hanya untuk kepuasan peribadi politik dan partinya sahaja.

Adakah Mujahid fikir bahawa dirinya jauh lebih baik daripada Nabi Muhammad itu sendiri? Adakah Mujahid rasa dirinya terlalu agung dan hebat sehingga berani melanggar apa yang paling ditentang keras oleh Allah?

Jika Mujahid merasakan ulasannya ini mampu membangkitkan puak penentang kepada kerajaan hanya bersandarkan kepada kematian seorang Sami Budha, Thick Quang Duck dan Tariq Mohamed Bouzizi, nyata telahannya silap. Walaupun berbeza fahaman politik namun umat Islam di negara ini masih tahu apa itu dosa dan apa itu pahala.

Malah mereka tidak akan sanggup menentang apa yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T dalam kes bunuh diri ini.

Sukalah untuk mengingatkan Mujahid bahawa hukum bunuh diri ini adalah satu dosa besar yang tidak terampun. Malah, dia juga mati dalam keadaan kufur serta syirik kepada Allah walau apa jua alasan yang diberi. Adakah Mujahid kini sudah tergelincir syahadahnya sehingga dikelabui dengan nafsu politik sehingga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah?

Jika BERSIH Kurang Ajar, Kita Akan 10 Kali Kurang Ajar - Jamal



Semalam bertempat di Bangunan Umno Sungai Besar, Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus menghadiri perhimpunan Baju Merah V2 Peringkat Parlimen Sungai Besar. Kehadiran ramai pihak yang menyokong perjuangan beliau nyata memberikan semangat untuk gerakan ini bagi menghalang perhimpunan BERSIH 5 mengambil tempat di Ibu Negara, November ini.

Dalam sidang medianya, beliau dilaporkan berkata, pihaknya akan mengikut apa jua syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa pada hari berkenaan. Namun, pada masa yang sama, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas jika peserta himpunan BERSIH 5 bertindak melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh pihak polis.

Beliau juga turut mengulangi pendirian bahawa peserta Baju Merah akan sentiasa berada di mana sahaja peserta BERSIH dijadualkan mengadakan perhimpunan. Namun pada masa yang sama, beliau mengingatkan para peserta Baju Merah untuk tidak bertindak melangkaui undang-undang selagi peserta BERSIH mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga turut menzahirkan kehairanan, bagaimana sebuah NGO mampu menjana pendapatan cukup tinggi sehingga mampu menganjurkan perhimpunan yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 800 juta setiap kali perhimpunan BERSIH ini diadakan. Ujar beliau, sesuatu harus dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menyiasat, siapa dalang disebalik penganjuran demo jahat seumpama ini.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Jamal juga mengesahkan, pihaknya telah memohon permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada minggu lalu.

Ujar beliau, permit berkenaan adalah untuk mengadakan perhimpunan gerakan tersebut di Dataran Merdeka, Padang Merbok dan kawasan sekitarnya, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 kerana tempat-tempat itulah yang akan menjadi tempat perhimpunan Bersih 5.

Selain itu, pihaknya juga dalam proses untuk mencari pihak insurans yang boleh memberikan perlindungan insurans kepada peserta Baju Merah yang dijangka akan dihadiri kira-kira 300 ribu orang.

Dalam satu perkembangan yang berkaitan, Maria Chin memberi amaran kepada para peserta BERSIH 5 yang akan berhimpun di Kuala Lumpur 19 November ini, agar berhati-hati andai bertembung dengan Gerakan Baju Merah. Katanya, ada kemungkinan akan berlaku provokasi melampau dan pihaknya cukup bimbang dengan amaran Datuk Seri Jamal yang mengatakan, sanggup bermandi darah untuk menyekat BERSIH.

Katanya lagi, pihaknya akan memastikan semua peserta akan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Sambil itu, beliau turut memberi amaran tegas kepada peserta Baju Merah agar gerakan ini jangan membawa keganasan fizikal dan memainkan politik perkauman seperti mengugut dengan peristiwa 13 Mei.

Apa yang pasti, pertembungan antara Gerakan Baju Merah dan BERSIH pada 19 November ini sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Dengan komitmen yang diberikan oleh Gerakan Baju Merah serta kedegilan BERSIH, diharapkan pihak berkuasa dapat mengawal keadaan setelah hanya membiarkan Maria Chin bebas tanpa sebarang tindakan menghasut sebelum ini.


Hanya Tiga Keluarga Masih Di Pusat Pemindahan Banjir




Hanya sembilan daripada 54 orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Mini Pejabat Daerah Kecil Membakut kelmarin, masih berada di pusat pemindahan berkenaan. 

Pegawai Daerah Beaufort, Said Othman berkata seramai 45 orang daripada 14 keluarga telah dibenarkan kembali ke rumah masing-masing kira-kira jam 10 pagi semalam manakala tiga keluarga lagi masih kekal di sana.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau keadaan memandangkan keadaan cuaca di sini masih mendung. Pusat pemindahan sentiasa bersedia menerima mangsa pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin 54 orang daripada 17 keluarga dari beberapa kampung di sekitar Daerah Kecil Membakut dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan berikutan limpahan air dari Sungai Membakut akibat hujan berterusan di kawasan itu sejak dua hari lalu.

Kehilangan Warga Australia Timbul Tandatanya


Polis tidak menolak kemungkinan ada unsur jenayah dalam misteri kehilangan warga Australia, Gaskell Andrew James, 26 di Taman Negara Mulu, sejak 20 Oktober lalu. Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, selain terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) polis turut menyiasat sekiranya ada elemen jenayah dalam kehilangan mangsa. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mendaftar di Taman Negara Mulu pada jam 8.30 pagi, 19 Oktober, tetapi tiada bukti jelas bahawa dia masuk ke taman negara pada tarikh itu. “Sekiranya dia masuk ke Taman Negara Mulu, mengapa barang keperluan perkhemahan seperti khemah, beg tidur dan makanan kering ditinggalkan di rumah rakannya?” katanya.

Beliau berkata, mesej dihantar ke telefon bimbit rakannya turut meragukan kerana tidak seperti Bahasa Inggeris Australia. “Dalam tempoh lima jam antara jam 6.30 petang hingga 10.59 pagi, masih ada liputan talian telefon, sekiranya benar dia masuk ke taman negara, mengapa tidak boleh dihubungi?

“Beberapa persoalan itu perlu dijawab. Sekiranya dia membawa wang yang banyak, berkemungkinan dia dirompak atau dibunuh individu dikenali,” katanya yang polis akan menghantar Unit Anjing Pengesan K9 esok dan Platun Harimau dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri untuk membantu operasi SAR.

Bagaimanapun, Gabriel berkata, kumpulan SAR tetap menjalankan operasi dengan pergi ke kawasan yang mengambil masa tiga hari dua malam perjalanan. Katanya, mangsa pernah menulis dalam blog mengenai hasratnya ke kawasan paling mencabar di taman negara.

“Kumpulan terbabit sudah bergerak sejak pagi kelmarin dan dijangka tiba hari ini (esok). Setakat hari ini (semalam), kumpulan terbabit sudah sampai ke kem tiga untuk ke kawasan berkenaan. Namun, sepanjang perjalanan mereka tidak menemui sebarang penemuan dan petunjuk kehilangan mangsa,” katanya.

Setakat ini, seramai 40 individu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), kakitangan Taman Negara Mulu dan penduduk kampung terbabit dalam operasi SAR. Andrew Gaskell dikatakan hilang dan gagal dihubungi sejak memasuki Taman Negara Mulu pada 20 Oktober lalu. Laporan kehilangan mangsa hanya dibuat rakannya di Balai Polis Pusat Miri pada 26 Oktober lalu.

Misteri Bau Busuk Terungkai, 4 Mayat Ditemui


Ditekup dengan plastik, ditikam di dada dan perut dengan kejam sebelum dicampak di tepi semak. Itu yang berlaku ke atas empat lelaki dipercayai diperlakukan kejam dan tiada berperikemanusiaan sebelum ditemui dalam kawasan semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, di sini, semalam. 

Mayat keempat-empatnya berusia antara 20 dan 30-an ditemui dalam keadaan berulat dengan ada yang hampir putus dan perut terburai akibat ditetak dengan senjata tajam. Mangsa ditemui orang awam kira-kira jam 6.35 petang semalam sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail ketika ditemui mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya ke tempat kejadian dan menemui empat mayat dalam keadaan mengerikan.

“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya semua mangsa sudah mati lebih tiga hari. Siasatan awal kita percaya semua mereka dibunuh tempat lain sebelum dibuang di lokasi kejadian Berdasarkan kecederaan mangsa semua mangsa dibunuh dengan menggunakan modus operandi yang sama ditekup muka dengan plastik sebelum ditetak di dada, perut dan beberapa bahagian badan.

“Berdasarkan kesan calar di bahagian badan mangsa kita percaya berlaku pergaduhan sebelum mangsa dibunuh oleh lebih dari seorang suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Menurutnya, setakat ini, identiti, warganegara jantina dan bangsa masih belum dikenal pasti. “Bagaimanapun, salah seorang mangsa mempunyai tatu di lengan kanan. Kita percaya kejadian ini dipercayai salah faham, dendam lama yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini,” katanya.

Turki Pecat 10,000 Lagi Kakitangan Kerajaan




Pihak berkuasa Turki memecat lebih 10,000 lagi kakita­ngan awam ketika kerajaan meningkatkan operasi pembersihan cubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai lalu, kata pihak berkuasa.

Seramai 10,132 kakitangan kerajaan telah dipecat, kebanyakannya daripada kementerian undang-undang, pendidikan dan kesihatan, demikian menurut pengumuman yang disiarkan lewat kelmarin. Kerajaan Turki juga mengumumkan penutupan 15 media pro-Kurdis dan beberapa stesen media lain. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ankara memansuhkan pilihan raya bagi memilih rektor universiti dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dijadualkan memilih para pemenang daripada sebilangan calon yang ditentukan oleh pihak berkuasa pendidikan negara itu.

Langkah tersebut dibuat tiga bulan selepas kerajaan mengisytiharkan perintah darurat susulan cubaan rampasan kuasa oleh kumpulan serpihan dalam tentera bagi me­numbangkan Erdogan.

 Ankara menangkap lebih 35,000 orang sejak kudeta tersebut dengan ramai guru, anggota polis dan hakim telah digantung kerja ataupun dipecat.

Kedah Juara Di Laman Lawan




DENDAM Kedah akhirnya terbalas selepas berjaya menjulang Piala Malaysia 2016 apabila menewaskan Selangor 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sepanjang 120 minit dalam aksi mendebarkan final edisi ke-90 di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Kedah muncul sebagai pasukan Liga Malaysia keempat paling berjaya dengan menjulang lima kali trofi tertua di Asia Tenggara itu apabila Selangor muncul juara sebanyak 33 kali, Singapura (24) dan Perak menang tujuh kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1921.

Beraksi di depan 75,000 penonton, skuad Gergasi Merah mempamerkan rentak agresif dengan menguji benteng pertahanan Helang Merah menerusi kapten, Andik Vermansyah tetapi percubaan tepat itu berjaya didakap kemas penjaga gol Kedah, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-13.

Berselang lima minit kemudian, Kedah hampir berjaya membuka tirai jaringan hasil percubaan Mohd. Rizal Mohd. Ghazali tetapi tendangan pemain pertahanan kanan itu tersasar dari gawang Selangor.

Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe dilihat menguasai sebahagian besar permainan dengan mempamerkan corak hantaran pendek, diberikan sepakan penalti apabila Shane Smeltz dikasari penjaga gol, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-28.

Bagaimanapun, pengadil final Piala Malaysia 2016, Mohd. Amirul Izwan Yacob membatalkan keputusan memberikan sepakan penalti kepada Kedah itu selepas penolong pengadil mengesahkan penyerang import Kedah itu telah berada di dalam kedudukan ofsaid sebelum dia dikasari dengan Khairul Azhan.

Kedua-dua pasukan masing-masing mengasak benteng pertahanan tetapi keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama. Bersambung babak kedua perlawanan, saat-saat yang dinantikan penyokong-penyokong Kedah akhirnya tiba apabila Rizal memastikan skuad Helang Merah berada di depan mengatasi Selangor.

Pemain pertahanan Harimau Malaysia itu akhirnya memecah gawang Selangor hasil tendangan jarak jauh pada minit ke-52 yang terkena bahagian belakang badan pemain Selangor, S. Veenod menyebabkan bola tersebut melam–bung tinggi dan mengelirukan Khairul Azhan yang akhirnya tertewas.

Bagaimanapun, kelebihan Kedah itu hanya bertahan selama tujuh minit apabila penyerang muda, Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan hantaran Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-59.

Kedua-dua pasukan terdesak memburu gol kemenangan dengan melancarkan beberapa percubaan tepat tetapi keputusan 1-1 sepanjang 90 minit memaksa pertemuan aksi final Piala Malaysia Kedah menentang Selangor bersambung 30 minit untuk masa tambahan.

Baddrol Bakhtiar hampir berjaya meledak gol kemenangan tetapi Khairul Azhan sekali lagi menjadi wira Selangor dengan menggagalkan percubaan tepat kapten skuad Helang Merah pada minit ke-93 namun kedua-dua pasukan tetap gagal untuk mencari gol kedua sepanjang 120 minit sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Rizal nyata berada pada kelas tersendiri apabila dia yang mengambil tendangan terakhir mudah menewaskan Khairul Azhan untuk menghadiahkan piala keramat itu kepada seluruh rakyat Kedah sekali gus melunaskan dendam kekalahan pada aksi final musim lalu.

Pelan 5 Tahun Lada Berkesan


Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dalam proses membangunkan Pelan Strategik Pelancongan Langkawi siri kedua bagi tempoh 2016 hingga 2020 selepas berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pelan strategik pertamanya antara 2011 dan 2015. 

Dalam pencapaian pertama pelan strategik berkenaan, Lada berjaya mencapai lebihan sasaran dalam segmen utama pembangunan pelancongan di pulau berkenaan iaitu dari segi kemasukan pelancong, perolehan perbelanjaan pelancong, pelaburan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Khalid Ramli berkata, pada pelan strategik pertama, pihaknya berjaya mencatatkan 3.62 juta pelancong pada tahun lalu dan melepasi sasaran tiga juta pelancong pada awal pelan strategik itu dilancarkan pada 2011.

Beliau berkata, dari segi perbelanjaan pelancong juga melepasi sasaran iaitu daripada RM3.8 bilion kepada RM3.9 bilion pada tahun lalu dan ia disokong aktiviti pelancongan yang dirangka Lada. 

“Pelan strategik lima tahun kedua, kami dalam proses akhir menyiapkan rangka kerja secara terperinci dengan menyentuh kepada empat aspek utama iaitu pembangunan pelancongan berasaskan eko dan geopelancongan secara lestari, penyertaan pelaburan sektor swasta, pembangunan merangkumi masyarakat setempat dan meningkatkan pembangunan produk dan khidmat pelancongan.

“Malah pada tahun depan, Lada merancang untuk menyediakan 13 aktiviti untuk menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing antaranya menjadikan Langkawi sebagai lokasi aktiviti sukan bertaraf antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran Siri AkTION, di sini.

Siri AkTION adalah acara perlumbaan tiga aktiviti sukan lasak merangkumi renang (Tanjung Rhu SwimFest), memanjat (Mt.Mat Chincang Skybridge Climb) dan larian denai (Tuba Trail Run) yang mana masing-masing berlangsung pada 10 Disember 2016, 18 Februari 2017 dan 8 April 2017.

Pikap Jiwa Amerika


Bercerita mengenai pikap, ramai yang masih skeptikal mengenai fungsi pacuan empat roda (4X4) dalam kegunaan harian di bandar berikutan tiada laluan lasak ekstrem yang perlu ditempuhi sama ada untuk ke pejabat atau pulang ke rumah. 

Bergerak seiring dengan arus kemodenan, pikap bukan lagi digunakan di laluan balak atau menerokai hutan belantara, tetapi sifatnya kini seakan kepada kenderaan sedan yang maskulin.

Pelancaran trak pikap Chevrolet Colorado oleh Naza Quest Sdn Bhd, selaku pengimport dan pengedar kenderaan jenama berkenaan di negara ini membuktikan segmen pikap tetap menjadi pilihan terutama penduduk di Sabah dan Sarawak.

Seisi pandu uji selama dua hari bermula dari Shah Alam ke Pekan dengan mengharungi semua keadaan jalan raya sama ada laluan lasak, lebuh raya dan jalan biasa membuktikan pikap yang dikeluarkan hari ini bukan sama seperti 20 tahun lalu.

Permulaan seisi pandu uji memerlukan penulis menempuh kesesakan di Lebuhraya Persekutuan sehingga ke Subang memberi gambaran awal enjin 2.8L Duramax turbo diesel VGT memang tidak mengecewakan.

Ditambah pula dengan gabungan kuasa turbo diesel, kesesakan diharungi dengan mudah apabila Chevrolet Colorado bergerak lancar tanpa sebarang rasa tersenggut atau terpaksa mengerah pedal secara kasar untuk menggerakkan jentera seberat lebih tiga tan ini. Sebaik memasuki lebuh raya, kuasa pecutan terus dirasai.

Ternyata 193 kuasa kuda (hp) dengan daya kilas sehingga 500Nm beraksi cemerlang terutama ketika menempuh laluan berbukit di sepanjang Lebuhraya Karak. Walaupun fizikal Colorado yang besar dan tinggi, namun tiada rasa terbuai manakala pengendalian stereng juga jitu. Inilah pengalaman hampir 100 tahun Chevrolet dalam teknologi pikap.

Teknologi Amaran Perlanggaran Hadapan (FCA) yang mengeluarkan bunyi bip dan lampu amaran sekiranya jarak kenderaan hadapan terlalu dekat memastikan pemandu lebih berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

Malah, ciri keselamatan seperti ‘Lane Departure Warning’ (LDW) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) yang kebiasaannya hanya ada pada kereta premium adalah ciri standard bagi varian High Country. Ciri keselamatan termaju ini membolehkan Chevrolet Colorado menerima penarafan lima bintang ASEAN-NCAP.

Tidak hanya melalui pemanduan, Chevrolet Colorado yang hadir dengan reka bentuk dan beberapa ciri teknologi dipertingkatkan, membawa perubahan baru dan tidak mustahil menjadi penanda aras terhadap segmen pikap di negara ini. Rekaan luarannya yang ‘sado’ menampilkan gaya warisan trak pikap Amerika sejati berbanding jenama lain yang turut gah di benua Eropah.

Paling ketara, Chevrolet Colorado boleh dilihat melalui bentuk hadapan yang sporty dengan gabungan jeriji serta perumah lampu baru bersama jalur lampu siang LED. Chevrolet Colorado juga terbukti lasak apabila wakil media sempat menyusuri laluan lasak di Jerangkang yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Maran, Pahang.

Walaupun bergaya premium, namun Chevrolet Colorado masih kekal sebagai jentera lasak ketika menempuh laluan tanah merah dan anak sungai. Terdahulu, menurut Ketua Syarikat Naza Quest Sdn Bhd, Mohd Farid Rosli berkata, pihaknya menyasarkan 1,700 unit jualan pada tahun depan bagi model berkenaan.

Katanya, dua kapasiti enjin berbeza ditawarkan dan yakin bakal menggugat pasaran pikap di negara ini. “Sebelum ini, Chevrolet hanya mempunyai Colorado dengan kapasiti enjin 2.8 liter dengan penguasaan pasaran bagi segmen itu antara lapan sehingga 15 peratus.

“Pengenalan model baharu ini termasuk enjin 2.5L membolehkan kami menguasai pasaran segmen pikap 2.5L ke bawah antara 75 sehingga 80 peratus,” katanya.

Dengan tanda harga atas jalan sekitar RM133,127.48 termasuk insurans, Chevrolet Colorado memungkinkan kehadiran lebih ramai penggemar jentera lasak berjiwa Amerika di atas jalan raya di negara ini.

Sunday, 30 October 2016

Bunga Raya Makin Layu, Diracun Atau Terlupa Baja?






Dua bulan lalu, sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan pendaftaran parti barunya yang diberi nama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM), beliau melaungkan parti barunya ini mampu menarik keahlian sebanyak 6 juta orang. Menariknya, beliau turut menyasarkan keahlian daripada ahli UMNO sendiri.

Sebulan yang lalu, sewaktu R.O.S meluluskan penubuhan parti ini, mereka begitu giat mencari ahli baru, tidak sampai 24 jam selepas ianya diluluskan. Pelbagai program diatur oleh Muhyiddin bersama-sama sekutunya untuk mencari ahli baru dan seterusnya menghidupkan parti ini. Hampir seluruh Malaysia mereka jelajah hanya untuk menjadikan parti ini diterima ramai.

Tidak lama kemudian, PPBM mula melancarkan perang saraf mereka kononnya merek amampu menarik keahlian baru sehingga mencecah 500 ribu orang. Namun begitu, tidak ada satupun fakta atau bukti yang menyokong dakwaan mereka.

Paling memalukan Syed Saddiq yang kononnya hanya memerlukan seminggu untuk mendedahkan jumlah sebenar ahli PPBM, sehingga hari ini masih gagal mengemukakan jumlah sebenar ahli parti mahupun mengemukakan bukti yang menyokong dakwaannya, PPBM telah berjaya menarik keahlian seramai 100 ribu dibawahnya.

Menariknya, beberapa hari ini, ramai yang telah mengumumkan bertindak keluar dari parti bunga ini. Antara yang menjadi bualan hangat pemerhati politik adalah, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dikenali sebagai orang kuat Tun Dr Mahathir, bertindak meninggalkan PPBM walaupun beliau langsung tidak pernah mengumumkan penyertaannya dalam parti ini.

Apa sebenarnya telah berlaku? Adakah PPBM mempunyai masalah dalaman sendiri sehingga menyaksikan, kemegahan Mahathir dan Muhyiddin ini dilihat bakal menemui penghujungnya? Inikah parti yang kononnya mampu menggantikan UMNO?

Tidak sukar untuk mengetahui bahawa nasib parti bunga ini akan menemui kegagalan. Sejak awal penubuhannya lagi, sudah ada cakap-cakap yang enggan mengiktiraf Muhyiddin selaku presiden parti memandangkan ada segelintir ahli menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang lembab dan tidak ada pendirian tetap.

Penyertaan mereka dalam parti ini pun hanya bersandarkan kepada kekaguman dan ketaksuban mereka terhadap Mahathir yang bertindak menyokong usaha jahat Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib. Malah, ayat untuk menyelamatkan UMNO dari luar parti juga langsung tidak menampakkan arah tuju perjuangan PPBM ini.

Lebih memburukkan keadaan, Muhyiddin langsung tidak pernah difikirkan Mahathir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Penubuhan parti ini sebenarnya tidak lebih dari sekadar platform untuk Datuk Seri Mukhriz atau Datuk Seri Azmin selaku anak angkat Mahathir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.

Sama seperti PKR yang ditubuhkan bertujuan untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, PPBM juga tidak ada bezanya dengan PKR. Betapa kemaruknya mereka dengan kuasa sehinggakan agenda untuk rakyat pun mereka tidak pernah sebutkan.

Jadi tidak hairanlah apabila parti bunga yang baru sahaja ditubuhkan, semakin hari semakin layu kembangnya. Samada ianya diracun oleh ahlinya sendiri atau Mahathir dan Muhyiddin terlupa untuk menyiram dan meletakkan baja pada parti ini, hanya mereka sahaja yang mampu menjawabnya. Namun jika ditanya kepada penulis, Bunga Raya ini tumbuh pada tempat yang salah dan ditanam oleh mereka yang terlalu dungu kepada faktor kewujudannya.

Bukti BERSIH Semakin Ditolak



Nampaknya, gerakan menghasut yang dilakukan oleh Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, semakin hari semakin merebak. Tidak cukup sekadar mengadakan konvoi di serata Semenanjung Malaysia, Maria cuba mengembangkan gerakan haramnya ini ke Sabah pula.

Kelmarin, Polis Kota Marudu mengesahkan telah menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kerana disyaki mengedarkan risalah kepada orang ramai di Pekan Langkon, kira-kira 131 kilometer dari Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, Maria ditahan kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu untuk soal siasat.

Tidak sukar untuk mengagak, risalah apa yang sedang diedarkan oleh Maria. Bukan satu rahsia lagi bagaimana Maria dan Ambiga sendiri tidak pernah menafikan bahawa mereka sememangnya menjalinkan hubungan baik dengan pengasas Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), Doris Jones yang kini hidup merempat di London.

Kerjasama BERSIH dengan beberapa pengkhianat seperti Jones, Clare Rewcastle Brown dan Georges Soros sudahpun didedahkan dalam kesemua media. Justeru, langkah Maria yang dilihat cukup biadab menyebarkan risalah menghasut rakyat menentang kerajaan, bukanlah satu perkara yang mengejutkan.

Ini menjadikan, apa yang diperkatakan oleh ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus yang mendakwa Maria dan BERSIH sebagai pengkhianat, cukup tepat sekali.

Jika di Semenanjung, gerakan menghasutnya seolah-olah dibiarkan sahaja, namun, di Sabah, gerakan seumpama ini pantas diberi perhatian oleh Polis Sabah yang bertindak menahannya semasa dia sedang begitu sibuk menghasut penduduk Sabah.

Sesungguhnya, gerakan biadab Maria ini perlu diibendung lebih awal. Langkah Polis negeri Sabah yang menahan Maria ini patut dicontohi oleh semua pihak. Paling utama, pihak berkuasa Sabah dan Sarawak seharusnya menggunakan hak kuasa eksekutif yang mereka ada dalam imigresen negeri untuk menyekat kemasukan manusia pengkhianat seperti Maria dan Ambiga.

Ini penting supaya gerakan seumpama ini tidak mudah merebak dan tersebar dan sekaligus merosakkan perpaduan dan kesepakatan rakyat Malaysia. Nyata sekali, gerakan BERSIH dan Maria semakin ditolak oleh rakyat Malaysia yang berakal dan mempunyai semangat cintakan negara.

Ranap 100 Peratus

b16103039

Lebih RM1 juta kerugian dianggarkan dalam insiden kebakaran yang melibatkan bangunan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Teresa di sini, lewat petang semalam. Kenyataan itu didedahkan Pengetuanya, Mary John ketika ditemui selepas kejadian malang yang meranapkan 100 peratus bangunan berusia 45 tahun itu. 

Menurutnya, pelbagai barangan disimpan dalam dewan tersebut termasuk perabot dan buku teks. Beliau terkejut selepas dimaklumkan berhubung kejadian sebelum bergegas ke lokasi. “Terdapat perabot yang baharu kita terima, disimpan dalam dewan tersebut, selain buku teks dan sebagainya. 

“Dewan ini digunakan sebagai tempat peperiksaan dan tempat perhimpunan. Nasib baik tidak ada aktiviti dilakukan di dewan ini ketika kejadian,” katanya.

Menurut saksi kejadian, Sister Patricia Chan, dia berada di bilik mesyuarat beberapa blok dari dewan tersebut sebelum dimaklumkan rakan setugas. “Rakan saya memberitahu, sekolah sedang terbakar ketika dia pergi ke tingkat bawah untuk menyemak bacaan pada meter elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon 1 Kuching Tiong Ling Hii ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 petang. Kebakaran itu berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan berhampiran dalam tempoh 15 minit sebelum dipadamkan sepenuhnya. 

Operasi pemadaman melibatkan anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Kuching, Batu Lintang dan Petra Jaya. Menurut Tiong, tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan dan punca kebakaran masih disiasat.

Turut berada di lokasi, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, dan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian. Untuk rekod, sebanyak lapan kes kebakaran membabitkan sekolah dicatatkan setakat Oktober tahun ini bagi negeri Sarawak.

Polis Periksa 30 Penduduk Kampung Pantai Bahagia Kudat

JAGA KETENTERAMAN: Anggota polis membuat pemeriksaan kepada penduduk di Kampung Pantai Bahagia pada Rabu.

Polis melakukan pemeriksaan ke atas 30 penduduk di Kampung Pantai Bahagia dalam Operasi Bersepadu cegah jenayah, dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini pada Rabu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata operasi melibatkan dua pegawai dan 17 anggota polis lain. 

Katanya, operasi bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam selain mengenal pasti dan mendokumentasi maklumat pendatang yang masuk secara sah dan tidak sah berada di daerah ini.

“Langkah-langkah pencegahan bagi mengenal pasti ancaman dan keadaan keselamatan daerah daripada PATI ke atas masyarakat tempatan yang tinggal di daerah ini,” katanya.

Douglas berkata sepanjang operasi dijalankan, 30 lelaki dan wanita diperiksa di mana 15 orang termasuk lapan wanita adalah pendatang asing sementara selebihnya warganegara.

Katanya, hasil pemeriksaan lima orang dibawa balik untuk pemeriksaan lanjut dan empat orang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki lagi didapati positif dadah melalui saringan ujian air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Douglas berkata operasi dilaksana dengan lancar dan mendapat respons sangat baik daripada masyarakat dan memuji tindakan berterusan yang dilaksanakan oleh polis.

Pegawai SPRM Direman Empat Hari




Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan malam kelmarin kerana didakwa membelasah dan mengaibkan isterinya pada September lalu diperintahkan menjalani tahanan reman selama empat hari bermula semalam oleh Mahkamah Sesyen di sini. 

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Segamat, Rasidah Roslee setelah membenarkan permohonan polis bagi menjalankan siatan terhadap pegawai SPRM berusia 37 tahun itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan dengan sengaja.

Pegawai SPRM itu juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Dia yang berpakaian lokap berwarna jingga diiringi ke mahkamah oleh beberapa anggota polis dengan menaiki sebuah kereta pegawai penyiasat pada pukul 10.30 pagi dan keluar dua jam kemudian untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Parkir Kereta Berharga RM2.6 Juta





Sebuah lot tempat letak kereta di kompleks pangsapuri mewah di Hong Kong dijual pada harga HK$4.8 juta (RM2.6 juta) kelmarin, lapor portal South China Morning Post. Lot parkir seluas 12.5 meter persegi di 55 Conduit Road itu mencatat rekod jualan parkir termahal di bandar raya Hong Kong setakat ini. 

Pemilik asalnya yang berasal dari tanah besar China telah membeli unit pangsapuri bersama lot parkir itu pada harga HK$56 juta (RM30.3 juta) bulan lalu. Dia kemudiannya dilaporkan menjual semula lot parkir itu kepada seorang penghuni lain yang sudah memiliki lot parkir sendiri pada minggu lalu. 

Pada Mei 2014, sebuah lot parkir di 39 Conduit Road dijual pada harga HK$4.24 juta (RM2.2 juta). Jualan itu melonjakkan reputasi Conduit Road sebagai tempat paling mahal untuk meletakkan kenderaan di Hong Kong.

Firma hartanah Phoenix Property Investor mengumumkan tawaran jualan sebanyak 54 lot parkir di pangsapuri The Morgan di 31 Conduit Road pada harga antara HK$3.28 juta (RM1.7 juta) hingga HK$4.38 juta (RM2.3 juta) setiap satu pada Sabtu lalu.

“Minat pelabur dalam sektor ini semakin meningkat disebabkan kekurangan tempat letak kenderaan khususnya di Mid-Levels,” kata Pengarah Urusan Centaline Property Agency, Louis Chan.

Menurut laporan portal itu, kos untuk meletak kenderaan di Mid-Levels adalah jauh lebih mahal berbanding harga seunit kediaman di daerah Sha Tin, utara pulau itu, yang mana sebuah flat seluas 30.38 meter persegi dijual pada harga HK$4.3 juta (RM2.3 juta).

Lot parkir mengalami kenaikan harga mendadak di Hong Kong kerana pulau itu tidak mempunyai ruang secukupnya bagi menampung keperluan isi rumah kaya yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan. “Penduduk di hartanah mewah mempunyai lebih daripada satu kereta. Mereka terpaksa membeli lot parkir tambahan pada harga lebih tinggi,” kata Chan.

Detik Penentuan, Kedah Atau Selangor?



SAINGAN Liga Malaysia 2016 menutup tirai malam ini dengan aksi final Piala Malaysia yang menemukan juara bertahan, Selangor dan jagoan utara, Kedah. Berlangsung di Stadium Shah Alam dengan sepak mula pada pukul 9 malam sudah pasti enggan dilepaskan oleh puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan yang dahagakan kejayaan. 

Skuad Gergasi Merah bimbingan K. Gunalan tekad mempertahankan kejuaraan sekali gus bergelar juara buat kali ke-34, manakala Helang Merah yang mendapat sentuhan Tan Cheng Hoe dalam misi membalas dendam apabila tewas pada final sama musim lalu.

“Saya pernah memenangi piala ini sebanyak tiga kali sebagai pemain dan sekali sebagai jurulatih, namun saya akui saya akan lebih puas sekiranya dapat memenangi trofi ini sekali lagi ketika bergelar jurulatih,” ujar Gunalan.

Cheng Hoe pula seolah-olah memberikan bayangan bahawa skuad kendaliannya tidak rela lagi dikecewakan oleh Selangor seperti edisi lalu.

“Tahun lepas (pada aksi final Piala Malaysia) hujan lebat dan mungkin banyak menjejaskan corak permainan kita tetapi itu bukan alasan. Sepanjang seminggu (sesi) latihan, saya nampak para pemain menikmati motivasi tinggi dan diharapkan mereka dapat memberikan 100 peratus pada final nanti,” ujar Cheng Hoe.

Perang Dingin Kajol - Karan Johar




PERSELISIHAN faham antara bekas dua rakan karib, Kajol dan Karan Johar bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat Bollywood. Baru-baru ini, aktres dan pengarah tersohor itu juga dilaporkan mula melancarkan perang dingin antara satu sama lain apabila tidak menyebut nama masing-masing di laman sosial. 

Menurut laporan Times of India, perang dingin itu bermula apabila Karan tidak menyebut nama Kajol ketika mengucapkan tahniah di atas ulang tahun ke-18 filem Kuch Kuch Hota Hai baru-baru ini apabila sekadar menyebut nama Aditya Chopra dan Datuk Shah Rukh Khan.

Ia kemudiannya dibalas Kajol apabila tidak memberikan kredit kepada Karan ketika mengucapkan selamat ulang tahun ke-21 buat filem Dilwale Dulhania Le Jayenge beberapa hari kemudian. 

Sebelum ini, kedua-dua figura itu pernah bersahabat baik sebelum segala-galanya berubah terutamanya selepas Kajol mendirikan rumah tangga bersama Ajay Devgan pada tahun 1999.

Semarak Muhibah Deepavali


GELAK tawa ketiga-tiga wanita itu pecah berderai tika mereka sedang asyik berbual-bual mesra sambil menjamah juadah kuih-muih dan manisan yang sedia terhidang. Bertemu setahun sekali sempena sambutan Deepavali, Shantini Theva, 32, tidak melepaskan peluang tersebut untuk saling bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita bersama teman-temannya. 

Baginya, itulah masa yang tepat untuk dia kembali merapatkan hubungan tali persaudaraan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Tatkala meraikan sambutan yang disulami dengan rasa kesyukuran, pesta penuh warna-warni itu bagai memberikan cahaya kegembiraan kepada bukan sahaja penganut agama Hindu, malah kaum-kaum lain yang turut merasakan keseronokannya.

“Tidak lengkap sambutan Deepavali tanpa tradisi kunjung-mengunjungi saudara-mara serta sahabat handai. Ia juga pasti jadi lebih bermakna apabila masyarakat daripada pelbagai kaum datang dan turut sama meraikan perayaan ini,” katanya yang menyambut Pesta Cahaya itu bersama keluarga di Banting, Selangor.

Fasih berbahasa Melayu, Shantini memberitahu, seperti kebanyakan keluarga Hindu lain, dia akan melumurkan seluruh badan dengan minyak bijan dan serbuk shikakai atau sejenis tumbuhan herba sebelum menukar kepada pakaian baharu.

“Meskipun menjalani kehidupan serba moden, saya amat mementingkan tradisi dan masih meneruskan amalan mandi minyak bijan yang dipraktikkan sejak zaman-berzaman pada pagi Deepavali.

“Ia sebagai lambang penyucian badan dan semangat yang dipercayai mampu memberi ketenangan dan kesihatan yang baik selain membawa tuah serta kemakmuran. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan pergi bersembahyang di kuil sebelum makan bersama keluarga dan menziarahi saudara-mara,” katanya yang turut memastikan pelita minyak tanah dan lampu kelip-kelip menjadi hiasan rumah.

Selain itu, anak sulung daripada lima orang adik-beradik itu berkata, dia juga membuat hiasan ‘kolam’ menggunakan beras dalam pelbagai bentuk dan warna menarik. “Ia merupakan lambang penyembahan Dewa Lakshimi iaitu Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi kediaman sesiapa yang mempunyai hiasan ‘kolam’ di pintu masuk rumah mereka,” ujarnya.

Manisan tradisi

Shantini yang dilantik sebagai duta pelancongan Malaysia ke selatan India oleh Kementerian Pelancongan sejak 1 Julai lalu berkata, pakaian tradisional sari dan lengha daripada rona-rona terang menjadi pilihannya untuk ke kuil pada pagi Deepavali.

“Di rumah, saya lebih selesa mengenakan pakaian punjabi yang lebih kasual dan selesa untuk menyambut serta melayan para tetamu sehingga petang hari,” katanya sambil memberitahu juadah seperti tose, idli, kari ayam dan kuah dal melengkapi sambutan Deepavali.

Mengenali Shantini kira-kira dua tahun dahulu ketika sama-sama terlibat dalam bidang modeling, Aishah Bibi Mohd. Ibrahim, 36, memberitahu, perayaan Deepavali antara sambutan paling ditunggu-tunggu kerana pada hari itulah dia berpeluang merasai keenakan manisan tradisional India seperti nei urundai (ladu minyak sapi), kallu urundai (ladu kacang hijau) dan pelbagai juadah lain.

Bahkan dia juga tidak kekok mengenakan sari dan sut punjabi jika pergi beraya ke rumah rakan-rakannya yang beragama Hindu. “Sejak zaman remaja lagi saya sudah didedahkan dengan budaya mengunjungi rumah rakan-rakan berlainan agama untuk sama-sama meraikan perayaan mereka. 

“Saya berpendapat, sambutan pelbagai perayaan seperti Deepavali dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. Wanita Melayu berketurunan Malabar itu menjelaskan, biarpun asal usul keluarganya dari Kerala, India, mereka tidak menyambut Deepavali sebaliknya meraikan Aidilfitri sebagai perayaan utama.

“Datuk dan nenek kedua-dua belah ibu bapa berasal dari Kerala. Mereka berketurunan Malabar, beragama Islam dan datang ke Tanah Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Kami mengamalkan budaya Melayu, namun hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini mengajar kita untuk meraikan kepelbagaian perayaan dalam perbezaan kaum,” katanya.

Kuasa cahaya

Bagi Linda Ho May Ling, dia berpendapat perayaan Deepavali tidak banyak berbeza dengan festival Kathina yang disambut oleh penganut agama Buddha pada bulan Oktober atau November. Menurutnya, kedua-dua sambutan itu ada bersangkut paut dengan penghayatan terhadap kuasa cahaya dalam menerangi kegelapan dan membawa kepada kesedaran atau kebaikan.

Berketurunan Cina Peranakan, wanita 40-an dari Alor Setar, Kedah itu menyifatkan perayaan seperti Deepavali dapat mengu­kuhkan lagi perasaan muhibah dan harmoni dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Perayaan seperti ini memberi peluang kepada kami beramah mesra dengan rakan-rakan yang beragama Hindu sekali gus menguatkan ikatan persahabatan dan menjalin kasih sayang sesama manusia,” katanya yang juga fasih berbahasa Melayu.

Linda juga teruja menyambut Deepavali kerana begitu menggemari juadah seperti nasi daun pisang, nasi beriani, kari kambing dan tose. “Saya mungkin berbangsa Cina tetapi selera saya 1Malaysia sebab saya juga suka masakan India dan Melayu seperti nasi kerabu, ulam-ulaman, sambal belacan, tempoyak serta budu,” selorohnya.

Bekas pramugari di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa itu juga memberitahu, dia tidak berasa janggal untuk menggayakan sari dan berkebaya. “Sebagai masyarakat Baba dan Nyonya, saya biasanya menyambut Tahun Baru Cina dengan berkain batik dan berkebaya nyonya. Saya juga ada beberapa koleksi sari dan memakainya pada hari Deepavali,” ujarnya.

Friday, 28 October 2016

Sebenarnya, Mahathir Tidaklah Sehebat Dan Segah Mana...



Bagi pengagum bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka akan mengiktiraf beliau sebagai seorang yang hebat serta paling berkarisma dalam Malaysia. Semua ini berasaskan kepada apa yang telah dilakukan olehnya sepanjang menjadi Perdana Menteri ke 4 dengan membawa Malaysia keluar dari imej negara pertanian kepada negara perindustrian.

Benar, itu adalah jasa beliau yang telah ditaburkan kepada Malaysia. Seharusnya, sebagai seorang Perdana Menteri, beliau wajib melakukan sesuatu transformasi sesuai dengan peredaran zaman. Ianya tidak harus dinafikan dengan begitu mudah.

Namun, jika ada yang mengatakan, pemimpin berusia 92 tahun ini seorang yang hebat dalam segenap segi, sebaiknya, ubahlah persepsi itu. Mudah untuk disimpulkan bahawa, Mahathir bukanlah individu luar biasa yang dikelilingi kehebatan yang tiada taranya sehinggakan setiap apa yang dilakukannya adalah yang terbaik dan tiada siapa dapat menafikannya.

Sebenarnya, Mahathir belum mencapai tahap hebat apabila beliau memerlukan sokongan daripada orang dalam UMNO sendiri untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Setiap hari, semasa beliau berada dalam UMNO, beliau cuba menghasut ahli UMNO untuk menentang Datuk Seri Mohd Najib dari segenap sudut.

Dari satu sudut, beliau berjaya menghasut Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyebelahinya. Namun, gabungan mereka gagal menumbangkan Datuk Seri Mohd Najib.

Kemudian, beliau mencuba pula helah lamanya dengan keluar dari UMNO dengan harapan tindakannya akan menyebabkan keadaan UMNO lemah kerana langkahnya diikuti oleh sebilangan besar ahli UMNO. Helah ini juga gagal kerana sebaik sahaj beliau keluar dari UMNO, hanya beberapa orang sahaja yang mengikut jejak langkahnya.

Beliau kemudiannya cuba menghasut media barat untuk menyerang Datuk Seri Mohd Najib dengan pelbagai cerita fitnah yang melibatkan sumbangan derma daripada keluarga DiRaja Arab Saudi yang bernilai RM 2.6 bilion. Setiap hari, inilah sahaja berita yang dijaja olehnya dan pada satu ketika, ianya ada menampakkan sedikit hasil.

Namun, sebaik sahaja ramai pihak mendesak beliau untuk mengemukakan tarikh transaksi di Ambank, tempat wang berkenaan dimasukkan, beliau dan para pentaksubnya, gagal untuk mengemukakan tarikh yang tepat. Malah sehingga hari ini, beliau masih gagal memberikan tarikh dan masa wang berkenaan dimasukkan.

Ini adalah asas kepada pendakwaan yang menyokong cerita Mahathir untuk mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib dengan penyalahgunaan wang. Jika inipun gagal dikemukakan, bagaimana Mahathir mahu menuduh Perdana Menteri menyalahgunakan wang ini?

Terkini, sebaik sahaja menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau cuba menjalinkan kerjasama dengan Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mat Sabu yang kesemua mereka ini adalah bekas musuh politik yang begitu hebat dikecam dan dihina Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Tujuannya hanya satu, mahu memastikan Datuk Seri Mohd Najib ditumbangkan menerusi satu pakatan Mahathir-Mat Sabu-Kit Siang-Anwar. Persoalannya, jika benar Mahathir berpengaruh, kenapa semasa beliau keluar dari UMNO, langkahnya hanya diikuti oleh segelintir sahaja ahli UMNO?

Kenapa beliau perlu mewujudkan satu pakatan baru untuk menumbangkan Datuk Seri Mohd Najib jika benar beliau hebat dan berpengaruh? Jika beliau berpengaruh, sudah pasti beliau tidak memerlukan apa jua gabungan kerana beliau hanya perlu mengarahkan sahaja sesiapa untuk menggerakkan gerakan menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib.

Jelas disini, Mahathir sebenarnya tidaklah sehebat mana. Malah, Mahathir terpaksa merayu dan melutut kepada bekas musuh politiknya sendiri untuk bersama-sama dengannya dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib. Masih mahu mengatakan Mahathir hebat dan bijak dalam merencanakan politik?