Wednesday, 30 November 2016

Siapa Kata PAU 2016 Tidak Mendapat Sambutan


Dikalangan pembangkang terutamanya parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Perhimpunan Agung UMNO yang mula berlangsung semalam sehingga 3 Disember ini dikatakan tidak mendapat sambutan seperti tahun-tahun sebelumnya. Dakwaan mereka ini berdasarkan kepada beberapa keping gambar hari pertama persidangan berkenaan.

Dapat difahami bahawa dakwaan mereka ini sebenarnya adalah untuk memberikan gambaran buruk buat UMNO pada persidangan kali ini. Hakikat sebenar yang gagal mereka tunjuk dan akui, kehadiran hampir 6 ribu orang perwakilan dan hadirin telah menidakkan dakwaan sebelum ini yang mendakwa PAU 2016 tidak mendapat sambutan.

Jika tidak mendapat sambutan seperti di jangka, mana mungkin kesemua dewan yang digunakan oleh perwakilan UMNO kali ini dipenuhi oleh ahli-ahli UMNO yang cukup tegar menyokong parti? Jika tiada sambutan, bagaimana lebih 300 gerai dibuka untuk para peniaga mencari rezeki sempena PAU 2016?

Akuilah bahawa UMNO yang cukup kuat ditentang oleh pembangkang hari ini, masih kekal mendapat sambutan dan sokongan 3.6 juta ahli. Akuilah bahawa UMNO masih kekal relevan di hati rakyat dan masih mampu menjadi pemangkin dan pembela kaum Melayu di negara ini.

Walaupun UMNO begitu hebat di tentang, UMNO masih mampu membuktikan kepada semua pihak bahawa parti ini masih menerima sambutan dan masih mendapat sokongan dikalangan ahli. Kesetian ahli kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Semakin ditentang, semakin dihasut dan semakin difitnah, solidariti dan ahli UMNO masih kekal di landasan yang betul. Masih mahu mendakwa dan memfitnah UMNO semakin disisihkan oleh ahlinya? Lebih baik fikirkan semula dakwaan dan fitnah ini.

UMS Terima Freezailah Forest Sustainability Award



Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Freezailah Forest Sustainability Award daripada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Penyampaian anugerah itu adalah bersempena pelancaran anugerah berkenaan antara kedua pihak. 

Pelancaran itu adalah sebagai penghormatan kepada pengerusi asal Datuk Dr Freezailah Che Yeom yang telah menamatkan perkhidmatan beliau selepas meneraju organisasi berkenaan selama 17 tahun. Penganugerahan dijalankan di Dewan Canselor UMS selepas sidang kelima Majlis Konvokesyen UMS ke-18, kelmarin.

Anugerah itu adalah untuk menggalakkan kecemerlangan akademik melalui pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kursus-kursus berkaitan perhutanan di UMS. 

Chaw Vi Vian dari Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjadi penerima anugerah itu melalui tesis yang dijalankan oleh beliau iaitu ‘The use of Aquatic Insect Communities as Bioindicator at Ulu Kimanis, Crocker Range Park, Sabah’.

Kajian Chaw itu adalah di bawah program Pemulihan Biologi oleh fakultinya. Sementara itu, Chaw menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM2,000. Beliau berharap untuk melanjutkan pengajiannya dan menghabiskan Ijazah Sarjananya dalam program yang sama.

Turut hadir, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Yong Teng Koon.

Mayat Kru Kapal Karam Ditemui



Mayat lelaki, kru kapal yang karam di perairan Pulau Bruit, di sini malam Sabtu lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat tengah hari, semalam. Mayat Abang Kamal Abang Awi, 30, ditemui terapung oleh anggota Unit Udara Polis kira-kira lima batu nautika dari Kampung Penipah, Pulau Bruit, di sini, pada jam 12.20 tengah hari. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Matu/Daro, Inspektor Mohamad Fariz Ayub berkata, mayat itu kemudian dibawa menggunakan bot ke pusat operasi SAR di Kampung Betanak. “Bapa mangsa serta rakan sekerjanya yang menunggu di pusat operasi membuat pengecaman dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Abang Kamal Abang Awi berdasarkan beberapa tanda pada lengannya,” katanya. 

Beliau berkata, operasi kini diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu kapten kapal, Pawi Nyawan, 50 dan isteri Abang Kamal yang hanya dikenali sebagai Mira. Sementara itu, dua ahli keluarga warga Indonesia, Angga Wahyudi, 24, tiba di negeri ini dan dibawa ke Hospital Daro untuk membuat pengecaman mayat jam 3 petang, semalam.

Abang mangsa, Nyamin Fajar mengesahkan mayat yang ditemui, tengah hari kelmarin itu adalah Angga Wahyudi. Ketika ini, dia masih menunggu dokumen dari Konsulat Indonesia di Kuching untuk membawa balik jenazah ke kampung asalnya di Cilacap, Jawa Tengah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu, kapal Jin Fiat No.1 bersama enam anak kapal yang dalam perjalanan dari Sebuyau untuk menghantar batu kelikir ke Tanjung Manis, karam di Laut China Selatan, kira-kira tiga batu nautika dari Kampung Betanak, Pulau Bruit.

Dua daripada kru kapal berkenaan iaitu Melvin Francis, 20 dan Kenny Clement, 18, ditemui selamat selepas berpaut selama lapan jam di belakang kapal berkenaan yang terbalik.

Polis Siasat Klip Video Lelaki Dipukul



Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai warga asing yang dipukul menggunakan kayu oleh seorang lelaki dalam satu klip video yang tersebar di laman sosial sejak kelmarin. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti pelaku mahupun lelaki yang menjadi mangsa dalam klip video terbabit.

“Kita minta orang ramai yang mengenali pelaku tersebut atau seorang lagi lelaki yang dipercayai rakannya untuk tampil menyalurkan maklumat. Polis juga amat alu-alukan kerjasama dan maklumat daripada orang ramai dalam usaha mengenal pasti individu yang terlibat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Booth SPAD Di PWTC Mendapat Sambutan Ramai




Sempena Persidangan Agung UMNO kali ke 70, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah membuka booth di PWTC bermula semalam sehingga tamat PAU 2016. 

Apa yang menarik untuk disaksikan adalah, di booth berkenaan, pihak SPAD memaparkan perjalanan suruhanjaya berkenaan samada dari segi perkhidmatan, operasi, keselamatan orang ramai serta pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pihak SPAD sepanjang tahun ini.

Nyata, kewujudan booth berkenaan telah menarik perhatian orang ramai mahupun para perwakilan yang hadir semasa PAU 2016 kali ini. Dengan penerangan yang diberikan oleh para petugas di booth berkenaan, ianya nyata telah berjaya menarik perhatian ramai pihak serta memberi pemahaman yang lebih jelas tentang fungsi dan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak SPAD.

Orang ramai masih berpeluang untuk melawat sendiri booth yang disediakan oleh pihak SPAD bagi membolehkan orang ramai memahami peranan dan operasi yang disediakan oleh pihak SPAD disamping orang ramai boleh mendapatkan cenderahati dari para petugas yang berada di booth berkenaan.

Park Sedia Letak Jawatan




Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye semalam berkata, dia sanggup meletak jawatan dan membiarkan Parlimen menentukan nasibnya. Bagaimanapun, pengkritik menganggap tindakan itu cubaan untuk melengahkan pendakwaan terhadapnya yang dipercayai akan dilakukan bila-bila masa. 

Park berdepan tuduhan menyalahgunakan pengaruhnya, selain khabar angin yang mendakwa tindakan itu membabitkan puluhan juta dollar. Ia mencetuskan kemarahan rakyat Korea Selatan hingga mendorong ratusan ribu menunjuk perasaan mendesak dia disingkirkan.

“Saya akan menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat keputusan mengenai isu itu, termasuk kemungkinan memendekkan penggal perkhidmatan saya. Sebaik ahli Parlimen merangka langkah memindahkan kuasa dalam keadaan yang dapat meminimumkan kelompongan kuasa dan huru-hara dalam pentadbiran, saya akan meletak jawatan,” katanya.

Kepemimpinan Park dicemari tuduhan bahawa rakan baiknya, Choi Soon-Sil - yang digelar ‘Rasputin Korea’ - meraih bayaran lebih AS$268 juta (RM1.2 bilion) daripada beberapa firma utama negara itu, termasuk Samsung.

Park dinamakan suspek dalam siasatan kes itu, menjadikannya presiden pertama disiasat ketika masih memegang jawatan. Selagi dia menjadi presiden, Park tidak boleh didakwa atas tuduhan jenayah kecuali ia membabitkan pemberontakan atau derhaka, tetapi dia boleh didakwa sebaik melepaskan jawatan itu.

Sistem Mata Badminton Ditukar Lagi

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mahu memperkenalkan sistem kiraan 11 mata berbanding 21 mata ketika ini kerana yakin ia mampu menjadikan sukan badminton lebih tangkas serta corak permainan yang pantas. 

Bagaimanapun, BWF menyangkal dakwaan sistem itu akan memberi kelebihan kepada pemain-pemain yang sudah berusia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China kerana tempoh permainan menjadi lebih pendek selain memberi ruang untuk mereka mengekalkan tahap kecergasan.
Presidennya, Poul-Erik Hoyer Larsen memberitahu, belum ada sebarang kajian yang menyatakan kiraan mata itu mampu memberi kelebihan kepada pemain berusia dan berpengalaman.

“Sebenarnya, pemain perlu lebih cergas dan pantas di atas gelanggang sekiranya sistem ini dilaksanakan. Ia juga memerlukan kekuatan mental yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila beraksi (merebut) mata penentuan,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran SS Liga Purple 2016/17 di Kuala Lumpur semalam.

Sistem kiraan 11 mata pernah diuji oleh Persatuan Badminton Malaysia ketika menganjurkan Kejohanan Badminton Remaja Antarabangsa Bawah 19 Tahun di Terengganu pada September lalu dan di pentas Grand Prix Taiwan Masters yang diadakan di Taiwan pada Oktober lepas.

Sebelum ini, Chong Wei pernah menyatakan sistem itu bakal memberi kelebihan buat pemain-pemain yang memiliki kemahiran tinggi mengawal gelanggang seperti beliau dan Lin Dan.

Kate Bermain Dengan Emosi


Selepas kejayaan empat filem Underworld, Kate Beckinsale kembali lagi sebagai Selene menerusi francais terbaru berjudul Underworld: Blood Wars arahan Anna Foerster. Kali ini, Selene melarikan diri kerana diburu puak Vampire dan Lycan. 

Selena juga terpaksa menyembunyikan anaknya daripada menjadi mangsa kuasa jahat. Dalam usaha itu, Selene tidak bersendirian, sebaliknya dibantu David (Theo James) dan Thomas (Charles Dance) yang juga salah seorang ketua dalam majlis lembaga puak Vampire.

Diancam puak Lycan yang diketui Marius (Tobias Menzies), Selene terpaksa bertarung nyawa sehinggalah diminta kembali ke kubu puak Vampire oleh Semira (Lara Pulver) yang kini menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang ketua majlis lembaga.

Di luar pengetahuan Selena, Semira sebenarnya mempunyai niat jahat dan mahu mengukuhkan kedudukan sebagai pewaris kuasa puak itu. Selene berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan David dan mereka bergerak ke utara bagi mendpatkan bantuan puak Nordic Coven.

Dalam satu temu bual, Kate berkata, dia menyukai semua fiem Underworld, namun pilihan utama tetap siri pertama. “Filem pertama Underworld banyak mengubah hidup saya. Menerusi filem ini nama saya menjadi bualan ramai. Pun begitu, siri lain juga menarik dan tidak kurang hebatnya. 

“Pendek kata saya suka semuanya. Underworld memaparkan sisi berbeza lakonan saya dan membuka mata banyak pihak,” katanya. Menurutnya, Underworld: Blood Wars menyajikan banyak perkara baru yang pasti membuatkan penonton lebih teruja.

“Kali ini ada lebih banyak watak gelap, situasi baru, senjata hebat dan berbeza daripada karya terdahulu. “Saya percaya penonton akan rasa lebih puas menontonya,” katanya.

Tambah Kate, watak Selena kali ini dikembangkan dan lebih mencabar apabila ramai musuh mahukan darahnya yang dipercayai ada kuasa kebal. “Selena bukan sahaja menjadi buruan puak Lycan, malah didambakan puak Vampire yang dahagakan kuasa. “Ada babak dia diserang dan cedera parah.

Kejadian itu menyebabkan perang besar di antara puak Lycan dan Vampire. “Watak Selena menuntut saya banyak bermain dengan emosi dan banyak pakai tenaga. Memang meletihkan tetapi saya puas,” katanya.

Selain sarat babak aksi, filem ini turut menawarkan kehebatan grafik yang membuatkan penonton seolah-olah terperangkap dalam perang besar. Selain itu, ia turut menyelitkan elemen kekeluargaan malah naratifnya tidak meleret. Underworld: Blood Wars akan menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 1 Disember ini,” katanya.

Platform Ganjaran Rebat Mudah Ahli PlusOne


SENHENG Mobile melancarkan program PAYBACK dan pelan prabayar yang menawarkan rebat 10 peratus dalam bentuk EZ Kredit. Pengarah Urusan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd, Lim Kim Heng berkata, pelancaran PAYBACK ini, bertujuan menyediakan platform ganjaran berbentuk rebat yang mudah dan senang untuk ahli PlusOne. 

“2016 sememangnya tahun yang penuh cabaran bagi Senheng. Bagi meningkatkan pengalaman dan keutamaan pelanggan, kami melancarkan SENHENG Mobile dengan Rebat Pelan Mudah Alih Terbaik sebagai tanda penghargaan atas sokongan pelanggan.

“Kami menjangkakan Kredit EZ akan meningkatkan penjenamaan dan kesetiaan jenama kami, sekali gus memacu Senheng ke arah tahap pencapaian lebih tinggi,” katanya pada majlis pelancaran program PAYBACK di sini, semalam.

SENHENG Mobile kini menjadi cara baru yang membolehkan ahli PlusOne Senheng dan senQ berhubung serta berkomunikasi pada bila-bila masa dan di mana jua. Melalui kerjasama dengan redONE Network Sdn Bhd, pihaknya bersedia menawarkan rangkaian dan liputan paling luas serta pantas selain menyediakan pelbagai nilai tambahan hebat kepada pelanggan.

Satu daripada manfaat yang ketara daripada pelan prabayar SENHENG Mobile adalah Panggilan Dalam Rangkaian Sama tanpa had, yang mana pengguna boleh membuat panggilan sesama prabayar SENHENG Mobile dengan percuma.

Lim berkata, lebih menarik rebat 10 peratus akan diberikan ke atas tambah nilai dalam bentuk Kredit EZ, yang mana pengguna boleh menggunakan kredit EZ terkumpul untuk menebus produk elektrik di mana-mana cawangan Senheng atau senQ Digital Station di seluruh negara.

SENHENG Mobile yang dibuka untuk pendaftaran bermula dari 1 Disember ini turut menyediakan 200 keping kad prabayar bernilai RM30 untuk diberikan secara percuma di empat lokasi berbeza iaitu Grand Senheng Setia Alam, Grand Senheng Selayang, senQ Alamanda, Putrajaya dan senQ Leisure Mall.

Sementara itu, SENHENG Mobile turut meningkatkan tahap keselamatan siber dengan memberikan identiti BlackBox Mobile kepada pelanggan iaitu penyelesaian keselamatan gred perusahaan oleh MicroStrategy Amerika Syarikat yang mana pelanggan boleh membuat penebusan Kredit EZ di bawah standard keselamatan tertinggi tanpa perlu berulang kali memasukkan nama pengguna dan kata laluan.

Ledakan Gelombang Pemasaran Digital



SEBENARNYA, ramai antara kita terlibat dalam dunia pemasaran secara langsung atau sebaliknya. Ahli akademik dalam bidang itu menyatakan, ledakan Gelombang Baharu Pemasaran (New Wave Marketing) hanya penggantian penggunaan beberapa istilah pemasaran baharu bagi menggantikan istilah-istilah pemasaran lama yang terdapat dalam bidang pemasaran yang paling asas.

Ia kelihatan seperti ada kebenarannya apabila kita hanya melihat kemajuan dalam bidang ini daripada perspektif umum. Ramai ahli pemasaran termasuk ahli akademik di pusat pengajian tinggi yang menawarkan jurusan pemasaran beranggapan bahawa pengenalan istilah-istilah ini adalah berpunca daripada perkembangan dunia teknologi yang menjadi pemangkin perkembangan dunia pemasaran pada hari ini.

Memang tidak dapat dinafikan, wujudnya aplikasi-aplikasi atas talian baharu melalui kemajuan teknologi mendorong kepada pengenalan istilah-istilah tersebut.

Platform

Namun, mereka juga tidak dapat menyangkal, kehadiran Gelombang Baharu Pemasaran adalah satu perubahan ketara yang mengubah kaedah dan cara hidup individu seperti perkembangan internet sebagai platform media komunikasi yang mengubah cara-cara pemasaran, meninggalkan pengamal media tradisional serta menjadikan pasaran lebih rata dan luas.

Dunia perniagaan hari ini harus melihat bahawa kehadiran pembaharuan dalam bidang teknologi akan mewujudkan banyak model perniagaan dan kaedah pemasaran baharu. Satu masa dahulu, siapa yang terfikir akan wujudnya sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan hotel tanpa memiliki hotel, begitu juga sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan teksi tetapi tidak memiliki kenderaan.

Bagaimanapun, kini ia menjadi kenyataan. Kedua-dua model perniagaan ini hanya menyediakan platform yang menemukan penjual dengan pembeli dalam aplikasi digital dan ini menunjukkan mereka hanya memperdagangkan maklumat.

Dunia perniagaan yang melibatkan aktiviti pemasaran pada era ekonomi digital ini banyak memerlukan penyesuaian terhadap kehidupan para pelanggan. Ia perlu dilakukan agar sesuatu model perniagaan itu menepati cara kehidupan moden pengguna hari ini.

Jika diteliti, kebanyakan syarikat yang beroperasi secara global mula menerapkan konsep pemasaran baharu yang membawa gelombang atau trend baharu dunia pemasaran untuk menghadapi kemajuan dan perkembangan pasaran yang semakin dinamik.

Perkembangan ini merupakan satu keperluan agar sesebuah organisasi perniagaan itu dapat beroperasi pada aras terbaik dan memberikan impak yang nyata ke atas sesebuah masyarakat.

Bagi memastikan sesuatu produk itu dapat menembusi pasaran, tentu saja terdapat pelbagai macam cara dan model perniagaan baharu yang akan diperkenalkan melalui platform digital agar dapat mewujudkan hubungan pelanggan yang lebih rapat seterusnya memperoleh peluang perniagaan baharu.

Walaupun penggunaan strategi-strategi baharu melalui gelombang baharu pemasaran ini semakin mendapat sambutan, ia tidak bermakna strategi atau kaedah pemasaran secara offline perlu dilupakan. Jika kita teliti, kebanyakan strategi baharu pemasaran yang diperkenalkan hari ini masih disokong kukuh oleh teori pemasaran terdahulu. Hanya beberapa kaedah dan cara lama ini diberi nafas baharu dengan kehadiran platform digital.

Evolusi

Jika melihatkan pembaharuan dalam gelombang pemasaran ini, ia memerlukan penyediaan tenaga kerja bagi menyokong kemajuan ini. Sesetengah universiti dan institusi pendidikan tinggi yang menawarkan bidang pengajian pemasaran mula mengorak langkah agar mereka benar-benar dapat menyediakan bakal tenaga kerja yang berkebolehan dan berkualiti dalam bidang ini.

Antara langkah yang di lakukan ialah institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam bidang ini telah mengemas kini silibus dan pelan pengajian mereka agar menawarkan program yang seiring dengan perkembangan industri.

Di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan yang menawarkan jurusan pemasaran melalui Pusat Pengajian Pemasaran dan Keusahawanan telah memastikan pelan pengajian yang ditawarkan adalah seiring dengan beberapa institusi profesional dalam bidang tersebut.

Contohnya, Chartered Institute of Marketing di Britain untuk memastikan bakal tenaga kerja yang mereka tawarkan menepati standard industri. Ini membolehkan para pelajar daripada bidang ini dapat terus menduduki peperiksaan badan profesional itu pada akhir program pengajian mereka, sekali gus menjadi tenaga kerja profesional.

Dengan adanya langkah-langkah ke hadapan seperti ini, maka ledakan gelombang baharu dunia pemasaran yang menjadi teras ekonomi digital akan lebih mudah dijayakan.

Tuesday, 29 November 2016

Jika 700 Ribu, Berapa Kerap Pesawat Harus Digunakan?





Baru-baru ini, dalam satu majlis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Melaka, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir mendakwa, UMNO dan Barisan Nasional akan memberikan kad pengenalan Malaysia kepada 700 ribu orang dari China untuk mengundi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Sebenarnya, dakwaan seperti ini sudah dimainkan oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa, Barisan Nasional menggunakan 40 ribu orang Bangladesh untuk memberi undi kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu. Kini, giliran Mahathir pula cuba memainkan isu yang sama cuma yang membezakan dari segi angka dan kerakyatan sahaja.

Timbul juga persoalan, andai benar dakwaan Mahathir ini, berapa buah pesawat Boieng atau Jumbo diperlukan untuk mengangkut 700 ribu orang rakyat China ini untuk di seludup ke Malaysia? Adakah kesemua mereka ini akan diseludup menggunakan kapal melalui kontena-kontena yang kebanyakannya berlabuh di Perlabuhan Klang?

Dari segi kemanusiaan, tidak mungkin ada rakyat China yang sanggup memadatkan diri mereka dalam kontena hanya untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia. Paling boleh diterima akal, mungkin dengan menggunakan kapal terbang.

Mari kita buat pengiraan mudah. Andai benar 700 ribu orang mahu dibawa masuk, jika menggunakan pesawat terbesar dunia, Airbus A380 yang secara kapasitinya mampu memuatkan 853 orang penumpang secara keseluruhannya, ini bermakna, kerajaan Malaysia perlu menyewa 821 buah pesawat berkenaan untuk membawa masuk 700 ribu orang pengundi hantu dari China.

Masalahnya sekarang, sehingga 31 Oktober 2016, Airbus baru sahaja menyerahkan 198 buah pesawat yang telah ditempah oleh beberapa negara di seluruh dunia. Masalahnya, mana mahu cari lagi 623 buah pesawat? Atau logik Mahathir, kerajaan menyewa kesemua 198 buah pesawat dan akan beroperasi tanpa henti selama beberapa hari bagi mencukupkan jumlah yang didakwa Mahathir?

Adakah logik dakwaan demikian? Apa sebenarnya yang mahu dicetuskan oleh Mahathir ini? Kenapa beliau boleh merendahkan pemikiran waras orang ramai dengan dakwaan yang sama sekali tidak masuk akal? 700 ribu orang itu bukan sedikit. Terlalu ramai untuk diseludup masuk kedalam negara. Hanya dengan menggunakan lebih 100 buah kapal kontena kosong sahaja baru dapat membawa kesemua 700 ribu orang ini.

Agak melucukan apabila ada yang boleh mempercayai bulat-bulat apa yang didakwa oleh Mahathir ini. Jika Anwar dahulu menggunakan 40 ribu orang bangla dan secaraa matematiknya memerlukan lebih 100 penerbangan sehari, Mahathir pula menambah angka penerbangan berkenaan daripada 100 kepada 821 buah penerbangan. Adakah beliau semakin gila atau sudah terlalu nyanyuk?

#PAU 2016 : Selamat Bersidang Perwakilan UMNO



Bermula hari ini sehingga 3 Disember nanti, akan bermulalah Perhimpunan Agung UMNO kali ke 70. Perhimpunan tahunan ini pasti ditunggu-tunggu oleh semua ahli UMNO serta akan menjadi perhatian utama hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang ingin mengetahui hala tuju parti utama di negara ini.

Tidak dinafikan, sejak 11 Mei 1946, UMNO telah berhadapan pelbagai cabaran dan turun naik dalam arus politik semasa. Sebagai parti yang tunjang kaum Melayu di negara ini, UMNO masih mampu mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang dan masih kekal relevan sehingga hari ini.

Melalui UMNO, nasib kaum Melayu dan bumiputera di negara ini lebih diberi keutamaan setiap kali persidangan UMNO diadakan. belum pernah walau sekalipun, agenda memperkasakan Melayu dan bumiputera ditinggalkan oleh kesemua Presiden UMNO. Ianya sentiasa diberi keutamaan sebagai bukti wadah perjuangan sebenar parti yang menjunjung Agama, Bangsa dan Tanahair.

Disaat pengkhianatan demi pengkhianatan dilakukan oleh bekas orang kuat UMNO, inilah masa buat kesemua 3.6 juta orang ahli UMNO memperkukuhkan saf dan kembali ke landasan sebenar perjuangan parti. Untuk mengharungi Pilihan Raya Umum ke 14 nanti, UMNO tidak boleh lagi membiarkan sebarang jurang timbul yang boleh melemahkan parti secara keseluruhannya.

UMNO bukan seperti usia pesaingnya seperti PKR, PAN, PPBM mahupun DAP. Pada usia 70 tahun ini, sepatutnya, UMNO sudah menampakkan kematangan dan kekuatannya, sama seperti usianya kini. Ditangan 3.6 juta orang ahli UMNO terletaknya masa depan UMNO yang telah diwarisi sejak penubuhannya dahulu.

Mungkin hari ini ada yang menyatakan, UMNO berhadapan dengan cabaran yang cukup getir namun percayalah, cabaran yang ada hari ini tidak sehebat cabaran pada masa akan datang. Jika hari ini ahli UMNO sendiri memilih untuk berpecah belah, bagaimana UMNO masih mampu kekal bertahan untuk masa akan datang?

Justeru, setiap seorang pemimpin, perwakilan dan ahli-ahli UMNO harus merenung semula landasan perjuangan mereka sebenarnya. Adakah masih terdapat jurang-jurang pemisah antara ahli atau masih lagi terbawa-bawa dengan propaganda yang sedang cukup agresif mengasak UMNO dari segenap penjuru. Apa yang pasti, tradisi asal UMNO yang taat kepada parti dan ketua, harus sentiasa disemat di minda dan hati agar perjuangan tidak tersasar dari landasannya.

Kepada seluruh pemimpin dan perwakilan serta ahli UMNO, selamat bersidang.

Tiga Suspek Ditahan Kerana Memburu Tanpa Lesen Sah



Tiga individu ditahan selepas didapati memburu tanpa kebenaran lesen yang sah dari Jabatan Hidupan Liar. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Augustine Tuuga berkata kesemua suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi dalam satu sekatan jalan di kawasan ladang sawit Benta Wawasan Tawau, kelmarin. 

Menurutnya tangkapan terbabit dibuat hasil maklumat awam dan pemantauan oleh Tawau Anti Poaching Task Force. “Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek membawa bangkai seekor rusa dan dua ekor babi hutan.

“Bangkai berkenaan ditemui di tempat penyimpanan belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh salah seorang suspek. Turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan selaras senjata api bersama lapan butir peluru hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata kesemua suspek yang juga dipercayai warga tempatan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Augustine berkata bangkai haiwan terbabit dan kenderaan suspek turut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar. Selain itu jelasnya senjata api serta peluru hidup diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan kesemua suspek bakal berhadapan hukuman di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Enakmen berkenaan memperuntukkan denda tidak kurang dari RM30,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi lebih dari tiga tahun, atau kedua-duanya mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Penduduk Jumpa Jasad



Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kapal karam berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit, di sini, yang memasuki hari kedua membuahkan hasil apabila mayat seorang lelaki ditemui, semalam. Mayat yang masih belum diketahui identiti itu ditemui penduduk kampung yang turut membantu operasi SAR di kawasan perairan Kampung Salah Kechil, di sini, jam 12 tengah hari. 

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, mayat itu dihantar ke Kampung Betanak untuk pengecaman oleh keluarga sebelum dihantar ke Hospital Daro untuk bedah siasat. Menurutnya, operasi SAR diperluaskan ke radius 24 kilometer dari pesisir pantai untuk keempat-empat sektor pencarian.

“Kita meneruskan operasi SAR bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang dengan kerjasama bomba, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Matu-Daro Inspektor Mohamad Fariz Ayub berkata, ahli keluarga mangsa yang menunggu di Kampung Betanak di Pulau Bruit di sini, juga menjelaskan mayat itu bukan ahli keluarga mereka.

“Ketika melakukan pengecaman, keluarga menafikan mayat itu mangsa ahli keluarga mereka yang hilang. Berkemungkinan, mayat itu adalah warga Indonesia Angga Wahyudi, anak kapal yang berusia 24 tahun yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian malam Ahad lalu, sebuah kapal bermuatan batu dari Sebuyau, Samarahan karam ke Pulau Bruit, karam di perairan berhampiran Kampung Betanak, antara jam 9 hingga 10 malam. Lima warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 20 hingga 50 tahun terbabit dalam kejadian itu.

Dua anak kapal, Melvin Francis, 20, dan Kennyu Clement, 19, selamat, seorang lelaki baru ditemui dan tiga masih hilang. Mereka yang hilang Pawi Nyawan, Kamal, Mira, dan Angga Wahyudi.

Lelaki Hina Sultan Kelantan Ditahan


Polis Kelantan menahan seorang lelaki berusia 49 tahun jam 11.30 malam Sabtu lalu berhubung kes memuat naik status dan gambar menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam Facebook. Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, lelaki yang berasal dari Kerian, Perak itu ditangkap semula di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bharu. 

Katanya, setakat ini, terdapat tujuh laporan polis yang dibuat termasuk empat di Bachok dan masing-masing satu di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai berhubung status berkenaan.

“Lelaki itu (menggunakan nama Rosli Johol) direman empat hari bermula kelmarin hingga Rabu ini yang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan media massa.

“Siasatan lanjut dijalankan termasuk motif lelaki itu memuat naik status berkenaan di laman sosial Facebook miliknya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pondok Polis Jelawat, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman. Ab Rahman berkata, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai tiga anak itu turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan rumah ibadat pada 1993.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membuat pemeriksaan mental suspek di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung seorang lelaki dikenali sebagai Rosli Johol yang menimbulkan kemarahan orang ramai apabila memuat naik gambar dan status di laman Facebooknya yang menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Lelaki itu turut menghina Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selain beberapa pemimpin Islam lain.

Trump Dakwa Pilihan Raya Dicemari Pengundi Haram


Bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa beliau boleh memenangi undi popular jika tidak terdapat jutaan pengundi haram semasa pilihan raya Presiden 8, November lalu. Beliau pada masa yang sama membidas permohonan pengiraan semula undi di Wisconsin dengan menyatakan itu sebagai membuang masa.

Trump juga mengeluarkan kenyataan pedas di Twitter yang meminta calon Parti Demokrat, Hillary Clinton menghormati jumlah undi elek­toral yang dimenanginya. “Selain memenangi majoriti undi elektoral, saya juga boleh memenangi undi popular jika anda menolak jutaan orang yang mengundi secara haram,” ujar Trump.

Beliau pernah memberi amaran sebelum pilihan raya bahawa keputusan mungkin ‘telah dirancang’ tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenya­taan atau aduan selepas kemenangan mengejutnya 8 November lepas. Trump dalam kenyataan terbaru itu, bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut dan penjelasan tindakannya menentang pengiraan semula undian. 

Pegawai khas tertinggi Trump, Kellyanne Conway menyatakan kelmarin, jika pasu­kan Clinton terlalu mendesak dalam pengiraan semula undi di Wisconsin, bakal Presiden AS itu kemungkinan akan menarik balik janji pendakwaan isu penggunaan e-mel peribadi Clinton. Dalam pada itu, lawan Clinton dalam Parti Demokratik, Bernie Sanders menyokong pengiraan undi tersebut.

“Parti Hijau mempunyai hak undang-undang untuk melakukannya. Kita pernah mengira semula undi dalam hampir semua pilihan raya. Tiada siapa menjangkakan jika terdapat perubahan yang besar,” ujar­nya dalam satu temu bual bersama CNN.

Sebelum ini, calon Parti Hijau, Jill Stein meminta pengiraan semula diadakan bagi mengesahkan integriti sistem pilihan raya AS dan bukannya mahu mencabar kemenangan Trump. Pemerhati politik melihat peluang untuk mengubah keputusan pilihan raya itu tipis walaupun pengiraan semula undi diadakan di Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania.

'Pembangunan Akar Umbi Tidak Betul'


Bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni menegaskan kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF sebagai bukti jelas kegagalan pembangunan bola sepak tanah air. Bakri, bekas pemain skuad Olimpik 1980 berkata, kepincangan itu bukan perkara baharu namun harapan yang tinggi masih diletakkan di bahu skuad Harimau Malaysia. 

“Lupakan saja pasukan kebangsaan, lupakan saja pasukan peringkat umur yang lain jika kita tidak mahu membuat perubahan kepada sistem pembangunan kita. Jika pembangunan bola sepak yang kita jalankan sekarang, dengan mewujudkan pelbagai program termasuk sekolah sukan masih belum dapat melahirkan pemain bintang, itu bermaksud pembangunan kita itu dijalankan secara tidak betul.

“Kenapa gagal? Anda jangan tanya Datuk, Tan Sri kerana mereka tidak tahu, tanya bekas pemain yang masih aktif membangunkan pemain di peringkat bawahan. Jika pasukan muda kita tidak boleh ‘pukul’ Vietnam, Thailand, Myanmar, macam mana kita nak ada pemain bagus untuk senior selepas itu,” katanya semalam.

Arena bola sepak tanah air sekali lagi menerima tamparan hebat dengan pencapaian buruk Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF apabila tumpas 0-1 di tangan tuan rumah Myanmar dalam saingan Kumpulan B di Yangon Sabtu lalu. 

Menurut Bakri, 64, yang menjaringkan salah satu gol menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan kelayakan ke Olimpik Moscow, masalah di peringkat bawahan perlu ditangani.

“Kita tiada pilihan, skuad kebangsaan perlu meneruskan sasaran yang ada tapi masalah pembangunan kita perlu diatasi dengan baik. Saya pernah melihat jurulatih di sekolah sukan menaiki motosikal dan menyuruh anak buahnya berlari di jalan raya, nak buat apa?

“Umur 13-14 tahun pemain perlu lebih banyak bermain dengan bola. Tapi saya tidak menyalahkan jurulatih kerana mereka perlu dibekalkan dengan ilmu yang lengkap,” katanya yang pernah melatih skuad Perlis.

Giliran Nora Tersingkir Dari GV3



Saingan program realiti Gegar Vaganza 3 hampir ke kemuncak apabila enam penyanyi iaitu Azharina, Zarul, Siti Sarah, Intan Sarafina, Ameng, dan G-Mie diumumkan layak ke peringkat akhir, Ahad ini. 

Sekali gus, seorang lagi peserta iaitu Nora terhenti Ahad lalu selepas masing-masing bersaing sengit pada konsert separuh akhir ahad lalu. Tiada konspirasi, sebaliknya ia keputusan muktamad berdasarkan penilaian juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta juri jemputan, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Ramli bagaimanapun mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi beberapa peserta apabila nyanyian mereka lebih menyerlah pada sesi raptai. “Bukan Nora tidak bagus, bagi saya dia menyanyi dengan baik kali ini. Bagaimanapun, di peringkat separuh akhir semuanya bagus-bagus belaka malah mereka bersaing sengit.

“Jadi, selaku juri kami berdepan cabaran besar ketika memberikan markah kepada semua peserta. Pun begitu, saya kurang berpuas hati dengan persembahan beberapa peserta. Saya sempat meluangkan masa menjadi pengarah muzik sewaktu raptai dan mendapati mereka lebih bagus ketika itu berbanding persembahan sebenar,” katanya.

Pada malam itu, Azharina sekali lagi meraih markah tertinggi iaitu 80.80, diikuti Zarul (79.95), Siti Sarah (78.20), Intan Sarafina (76.90), Ameng (71.35), G-Mie (63.35) dan Nora (61.25). Begitu mantap dan bertenaga, Azharina mendendangkan lagu solo berjudul I Wanna Dance With Somebody (Whitney Houston) dan Fantasia Bulan Madu (Search) duet bersama Black.

Zarul mendendangkan Hanya Kau Yang Mampu (Aizat) dan Salahkah (Hafiz dan Rossa) bersama Marsha, Siti Sarah dengan Di Bawah Pohon Asmara (Jaclyn Victor) dan Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar) bersama Misha, Intan Sarafina dengan Siapa Sangka Siapa Menduga (Liza Hanim) dan Pulangkan (Misha Omar) bersama Ezad Lazim.

Manakala Ameng dengan Keasingan Dalam Luka (Jay Jay) dan Kepadamu Kekasih (Kembara) bersama Aris Ariwatan, G-mie dengan Andai Dapat Ku Undur Masa (AXL) dan Sejarah Mungkin Berulang (New Boyz) bersama Tomok, manakala Nora medley Sandiwara dan All I Ask (Adele) dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein) bersama Aizat Amdan.

Untuk pentas final, peserta diminta menyanyikan sebuah lagu medley yang diberikan pada akhir konsert separuh akhir kelmarin. Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pentas akhir pasti hangat dengan persembahan hebat enam penyanyi itu.

“Kami amat berpuas hati dengan pilihan juri kerana semua peserta ada kekuatan tersendiri. Lagipun, kami sudah menepatkan pengadilan dibuat juri sepenuhnya. Apa yang pasti, ada kejutan pada malam kemuncak nanti. Jadi, jangan lepaskan peluang menyaksikan pertarungan penentuan juara nanti,” katanya.

Sempat mengulas penyingkirannya, Nora reda dan mengakui sudah memberikan yang terbaik. Dia juga tidak mahu penyingkiran itu dikaitkan dengan kontroversi yang melandanya sebelum ini. “Apa yang berlaku pada malam ini sudah tertulis dan saya reda. Apapun, saya gembira dengan pengalaman ini kerana memang dari dulu teringin menyertai Gegar Vaganza,” katanya.

Pindah Teknologi


Kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada syarikat swasta yang mahu menjalin kerjasama dengan pihak luar khususnya yang menjanjikan kesan berganda terutama dari aspek peluang pekerjaan. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong berkata, kerajaan kini lebih bersifat terbuka dalam menyatakan sokongan dan ia tidak hanya terhad kepada syarikat berkaitan kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan syarikat antarabangsa dalam mewujudkan rangkaian bekalan selain menjanjikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Menurutnya, dalam industri kereta api, kerjasama seumpama ini adalah penting kerana ia akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dalam aspek pemindahan teknologi.

“Kita sedia maklum bahawa Malaysia kini lebih terarah kepada perkembangan teknologi kereta api dengan pelbagai projek mega dijalankan. Malah, liputan laluan kereta api juga dijangka mencapai 56 peratus dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Maka, kerjasama dengan pihak luar dianggap sebagai tepat pada masanya kerana pengangkutan ini dilihat lebih berkesan dan mampu menarik lebih ramai pengguna,” katanya selepas majlis menandatangani persetujuan rasmi antara Innorail Systems Technology Sdn Bhd dan O & C Electric Technique Co, Ltd (OCET) untuk pemindahan teknologi baru sistem kereta api, di sini, semalam. 

Menurutnya, dengan tiga projek mega membabitkan penggunaan kereta api, kerajaan menjangkakan lebih banyak syarikat tempatan muncul dan menjalin kerjasama dengan pihak luar.

“Kerajaan akan terus menggalakkan kerjasama seumpama ini dan mengharapkan ia tidak hanya terhenti di tahap itu saja sebaliknya turut membabitkan aspek pembuatan yang dijalankan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, perjanjian berkenaan membabitkan kerjasama strategik bagi pemindahan hak teknologi dan harta intelek untuk pembuatan komponen, sistem pemanduan elektrik dan teknologi berkaitan untuk pengangkutan jimat tenaga dengan anggaran pelaburan mencecah RM32.5 juta. 

Persetujuan itu juga merangkumi usaha membina keupayaan pengeluaran tempatan, pemindahan teknologi baru serta latihan dan pembangunan kemahiran jurutera dan juruteknik di Malaysia.

Buat Kajian Budaya Minum Kopi


Sebaik kaki melangkah memasuki Kafe Jigar di Bangi Sentral, serentak suara pelayan menyambut ketibaan pelanggan dengan kata-kata ‘selamat datang’ sambil bibir mengukir senyuman manis. Bagi peminat minuman berkafein mungkin suasana sebegini seakan-akan sama sekiranya mereka pernah mengunjungi kafe di sekitar Asia seperti Korea, Jepun, Indonesia atau Vietnam. 

Jelas pemilik Kafe Jigar, Basuki Yusof, pengalaman ketika berkunjung ke luar negara, dia melihat industri kafe membabitkan minuman berkafein sangat menggalakkan, terutama di Jepun dan Korea. Malah di negara jiran, seperti Acheh, Indonesia terdapat pelbagai jenis kedai kopi dengan jenama kopi mereka sendiri.

Ini menunjukkan industri ini berkembang pesat, di Malaysia walaupun masih baru namun menampakkan pertumbuhan positif apabila pada tahun ini saja banyak kafe hipster tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Apa yang membezakan adalah rasa kopi itu sendiri. Sebagai penggemar kopi, setiap kali bercuti ke luar negara dia akan cuba merasai keistimewaan kopi yang disajikan. Misalnya di Itali kopinya penuh dengan aroma, sedikit pekat dan pahit. Begitu juga di Jepun dan Korea. Namun Basuki mengakui dia adalah peminat kopi O kerana lebih asli dan rasa yang tersendiri.

“Sebelum memberanikan diri membuka kafe saya terlebih dulu membuat pelbagai kajian mengenai budaya minum kopi di Malaysia. Saya juga mencuba pelbagai jenis kopi di Malaysia sama ada yang sudah ada nama atau baru. Di Bangi sendiri banyak kafe menyajikan konsep unik dan pelbagai. Namun ia tidak menjadi masalah untuk saya mencuba.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang industri minuman dan makanan masih mampu bertahan berbanding bidang lain. Menyedari peluang yang cerah dalam industri makanan, saya terfikir untuk membuka kedai kecil dengan menyajikan minuman kopi saja. Namun selepas berbincang dengan anak, mereka memberikan cadangan agar membuka kafe berkonsep yang bukan saja menyajikan minuman tetapi makanan Barat dan Melayu,” katanya.

Disebabkan Basuki sendiri gemar menikmati pelbagai jenis makanan sementara isterinya berpengalaman dalam bidang masakan maka impian untuk membuka Kafe Jigar dapat direalisasikan dengan sokongan anak.

Keunikan nama Jigar

Mengandaikan ia seperti perniagaan keluarga, Basuki menyerahkan 100 peratus perancangan mengenai konsep dan pengurusan kepada anaknya, Noor Atikah, 26, dan menantu, Fazly Abd Rahim, 33, yang dilantik sebagai pengurus. Untuk itu Basuki memberi peluang anaknya mencipta konsep kafe yang lebih santai dan sesuai untuk keluarga.

Menu makanan pula adalah berasaskan makanan Barat dengan tambahan masakan Melayu yang enak berasaskan cita rasa pelanggan.

“Sebagai bapa saya sekadar menjadi penasihat untuk melihat kelancaran perniagaan. Usia kafe yang masih baru memerlukan kesabaran dan kesungguhan bagi memastikan ia benar-benar kukuh, tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun saya percaya industri makanan berpaksikan kepada layanan, kualiti dan rasa makanan serta keselesaan menjadi faktor utama,” katanya yang turut mempunyai perniagaan lain sebelum ini.

Menyedari namanya yang unik ramai bertanya asal usul perkataan Jigar. Katanya, perkataan Jigar diambil bersempena nama gelaran moyang yang berasal dari Indonesia. Dulu dia bertugas sebagai pemukul beduk dan orang kampung memanggilnya ‘Jigar’.

“Saya berasakan perkataan Jigar sangat unik dan ada nilai tersendiri. Selepas berbincang dengan keluarga akhirnya kami sepakat memilih nama Jigar untuk kafe ini,” katanya yang sebelum ini bekerja dalam industri makanan bersama Nestle.

Menurut Noor Atikah pula, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Teknologi MARA (UiTM), dia diberikan peluang untuk menguruskan Kafe Jigar. Peluang diberikan bapa digunakan sepenuhnya bagi mencari konsep sesuai yang mampu memberikan keselesaan kepada pelanggan.

“Saya mengandaikan diri adalah pelanggan yang sering minum di kafe dan membayangkan apa saya mahu. Sudah pasti layanan menjadi faktor utama selain keenakan hidangan dan keselesaan. 

“Menyedari hal ini saya mencetuskan konsep kafe untuk keluarga dengan suasana santai dan tenang. Alunan muzik perlahan mampu memberikan rasa segar kepada pengunjung. Malah susun atur perabot berunsurkan kayu adalah hasil rekaan kami sendiri,” katanya yang mempunyai enam staf termasuk tukang masak.

Hidang makanan pantas dan sedap

Tidak lengkap berkunjung ke sini tanpa merasai hidangan istimewa seperti chicken golden blue, lamb chop dan manisan istimewa puding roti manakala hidangan Melayu pula mi rebus, nasi berlauk dan churros bersama sos coklat. Ada lebih 30 menu utama dengan 20 jenis minuman sejuk dan panas disajikan. Setiap tiga bulan ada menu baru diperkenalkan bagi memberikan pilihan pelbagai kepada pelanggan.

“Ini antara strategi yang kami jalankan kerana pelanggan gemar mencuba sesuatu yang baru. Menu yang disukai pelanggan biasanya kami kekalkan, manakala yang kurang mendapat sambutan akan cuba diubah suai mengikut cita rasa pelanggan. Apa yang pasti semua hidangan menjanjikan keenakan tersendiri terutama masakan Barat serta minuman kopi yang enak,” kata Noor Atikah.

Pada masa akan datang Basuki berharap dapat membuka kafe di pasar raya bagi mengukuhkan nama sebaris dengan jenama kedai kopi sedia ada di Malaysia. Dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Jumaat, bagi mereka yang ingin merasai keenakan menu di Kafe Jigar atau merasai suasana santai boleh melayari Instagram @jigarcafe atau datang sendiri ke Bangi Sentral.

Monday, 28 November 2016

Apa Yang Disorokkan Azmin Dan Zuraida Dalam Kerajaan Selangor?


Jika sesuatu yang melibatkan kerajaan, antara parti yang paling kehadapan dahulu adalah PKR. Mereka tanpa memperdulikan fakta sebenar, terus membuat fitnah dan pelbagai andaian hanya semata-mata mahu menarik perhatian penyokong mereka dalam usaha menjatuhkan imej dan moral kerajaan.

Sebaliknya, jika ada desakan terhadap kerajaan Selangor yang kini dtadbir oleh PKR, mereka memilih senyap membisu tanpa mengeluarkan apa-apa komen terhadap desakan berkenaan.

Salah satu desakan kuat yang disuarakan oleh pelbagai pihak di Selangor adalah desakan supaya kerajaan Selangor mendedahkan laporan mengenai lebuhraya DASH , EKVE dan SUKE yang telah diluluskan oleh kerajaan Selangor pada tahun 2015. Malah, kerajaan Selangor juga didesak untuk mendedahkan jumlah sebenar kos membaik pulih pintu gerbang Darul Ehsan dan mendedahkan sumber dananya.

Tetapi malangnya, desakan ini dibantah keras oleh Daruk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Timbul persoalan, mengapa Azmin dan Zuraida menolak untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Gabungan Anak Selangor ini? Apa sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh kedua-dua orang kuat negeri Selangor ini?

Mengapa rakyat negeri Selangor harus terus ditipu dengan permainan "wayang" oleh Azmin dan Zuraida? Paling utama, kenapa tiada mana-mana pihak di pihak pembangkang seperti BERSIH yang kononnya tidak menyebelahi mana-mana parti politik, tidak mengadakan demostrasi atau bantahan besar besaran supaya Azmin bertindak lebih telus kepada rakyat Selangor?

Kalau projek yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, mereka pandai pula untuk menghasut rakyat untuk membuat pelbagai desakan supaya segala perbelanjaan dan maklumat didedahkan kepada umum. Di mana keadilan yang mereka kerap laungkan dalam banyak hal melibatkan kerajaan? Adakah mereka langsung tidak boleh ditanya dan disentuh?

Inilah demokrasi amalan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP yang kini menjadi acuan buat PKR di Selangor. Mereka akan melindungi dan menutup apa sahaja unsur-unsur penyalahgunaan kuasa walaupun individu yang mendedahkan perkara ini adalah ahli PKR itu sendiri.

Seperti ungkapan orang tua-tua dahulu, kuman di seberang lautan, jelas dilihat, badak mati dihadapan mata, lansung tidak nampak. Inilah yang diamalkan oleh kedua-dua kerajaan Pulau Pinang dan Selangor hari ini. Andai BN dan UMNO, merekalah jaguh utama yang mendedahkan apa sahaja yang mereka anggap penyelewengan. Namun bila kena pada pihak mereka, terus senyap membisu.