Tuesday, 31 January 2017

BMF Dan Forex Permulaan Buat Semua Skandal Membabitkan Mahathir





Sejak pendedahan laporan penuh siasatan CIA berhubung penyelewengan yang berlaku keatas Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan skandal Forex, ramai yang tertanya-tanya, masih adakah skandal yang masih belum terdedah sepanjang Tun Dr Mahathir berkuasa untuk 22 tahun di Malaysia?

Mungkin ada yang beranggapan, dua skandal ini sudah cukup untuk melemaskan Mahathir menjawab dengan bukti, beliau tidak terlibat dalam sebarang skandal seperti yang didedahkan oleh CIA ini. Setakat ini, beliau hanya mampu menjawab menerusi blog yang bolehlah disifatkan sebagai penafian semata-mata tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Dalam kedua-dua kes ini, Mahathir sendiri telah terperangkap dalam laporan siasatan CIA ini. Manakan tidak, jika Mahathir hanya mampu menafikan, laporan CIA berkenaan mendapati, kedua-dua skandal kewangan terbesar negara ini, memang mempunyai hubung kait dengan Mahathir. Bagaimana pula Mahathir mahu menafikan sumber dan bukti yang ada pada CIA ini?

Melihat kepada pendedahan dua skandal ini, pasti kita akan terfikir, bagaimana pula dengan skandal membabitkan MAS, Perwaja Steel, Proton dan beberapa kes pengambil alihan IPP tenaga oleh syarikat kroni sehingga menyaksikan Pengerusi TNB, Allahyarham Tan Sri Arni Arope meletakkan jawatan? Tidakkah skandal-skandal ini akan turut sama terbongkar?

Jika kita melihat kepada situasi yang sedang dihadapi oleh Mahathir ini, bukan satu perkara mustahil, kesemua skandal ini bakal terbongkar sedikit masa lagi. Manakan tidak, selama 22 tahun beliau berkuasa, terlalu banyak kes yang beliau mahupun rakan rapatnya diamkan begitu sahaja tanpa sebarang siasatan yang benar-benar serius dilakukan.

Dahulu, kebanyakan media sudah mula memainkan skandal-skandal Mahathir ini menerusi laporan eksklusif mereka. Namun, pada ketika itu, tidak ramai yang mempercayainya sehinggalah CIA sendiri mendedahkan dua daripada mungkin puluhan skandal yang membabitkan Mahathir. Itupun beliau sudah terkial-kial untuk menjawabnya.

Hanya masa sahaja yang menentukan kesemua skandal-skandal kewangan ini akan terdedah dengan sendirinya. Balasan Tuhan tidak ada penangguhan. Semakin hebat beliau berusaha memecah belahkan kaum Melayu beragama Islam dan kerajaan yang dipilih secara sah, semakin tersingkap segala skandal dan kesalahan besar yang beliau lakukan sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun.

Kesemua skandal-skandal ini bolehlah dianggap seperti sebiji bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa. Tidak perlu terlalu mencari segala skandal ini. Ia akan datang dengan sendirinya tanpa ada mana-mana pihak menarik picunya.

Tragedi 911 Kekal Menghantui Amerika



Seluruh dunia kini sedang memerhati dengan penuh minat, apa lagi yang mahu dilakukan Donald Trump setelah meraih kuasa tertinggi di Amerika Syarikat. Jika sebelum ini, beliau telah membatalkan penyertaan Amerika dalam TPPA, komited dalam pembinaan tembok sempadan Amerika - Mexico, kini, warga asing terutamanya beragama Islam pula di larang memasuki Amerika.

Mungkin, apa yang dilakukan Trump ini hanya melibatkan beberapa buah negara yang dikenal pasti oleh pasukan pentadbirannya sebagai mendatangkan mudarat kepada Amerika. Namun, paling jelas adalah, tindakan Trump ini melambangkan, dasar Amerika pada era pentadbiran Bush, masih mahu dilaksanakan oleh Trump walaupun keputusannya ini hebat ditentang oleh jutaan warga Amerika.

Umum sedia maklum, di era pentadbiran George W Bush, Amerika buat pertama kalinya diserang oleh sekumpulan pengganas Islam yang bertindak menyerang World Trade Center (WTC) dan Pentagon. Bertitik tolak dari sinilah, munculnya istilah Islamofobia yang mana bagi kebanyakan warga Amerika, mereka mempunyai pandangan yang agak sinis tentang umat Islam.

Ditambah pula dengan ketegangan yang berlarutan di Asia Barat terutamanya kewujudan kumpulan pengganas "gila" Daesh, ketakutan mereka semakin bertambah apabila melihat beberapa buah negara Eropah telah diserang oleh kumpulan gila ini. Atas sebab inilah, Trump mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan rakyat dari 7 negara yang majoritinya penduduk Islam dari memasuki Amerika.

Namun begitu, terdapat beberapa berita yang kurang enak hasil daripada perlaksanaan perintah eksekutif ini. Semalam, media melaporkan, pasukan pilihan raya Trump sebenarnya sudah merangka pelan pengharaman kemasukan umat Islam ke Amerika, beberapa bulan sebelum Trump sah menjadi Presiden Amerika ke 45.

Diberitakan, draf pengharaman ini sememangnya sudah dirangka Trump dan hanya akan diguna pakai sebaik sahaja beliau sah dilantik sebagai Presiden. Kelmarin menjadi saksi bahawa Trump akhirnya benar-benar nekad menghalang kemasukan warga 7 negara dari memasuki Amerika. Persoalannya, mampukah Amerika dan dirinya sendiri selamat dari sebarang unsur serangan pengganas?

Jawapan mudah, sudah tentu tidak. Walaupun diakui, Amerika mempunyai kelengkapan canggih termasuk badan perisikan yang terbaik di dunia, namun mereka juga harus mengakui bahawa pengganas kini akan bertindak selangkah di hadapan untuk melaksanakan impian jahat mereka.

Dengan dunia kini mudah dihubungi dengan capaian internet, pengganas hanya perlu mendoktrin bakal-bakal pembunuh diri untuk melakukan sesuatu tindakan nekad hanya melalui komputer riba dan telefon canggih. Trump mungkin dapat mengeluarkan arahan eksekutif namun beliau lupa bahawa pengganas hari ini sudah tidak mengenal erti takut dan persempadanan negara.

Jika sebelum ini dunia sudah mampu menghela nafas lega selama 8 tahun di bawah pentadbiran Obama, kini seluruh dunia harus bersiap sedia dengan tindak balas Amerika andai mereka sekali lagi terpaksa berhadapan dengan serangan ala 911 atau mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan gila Trump untuk sekurang-kurangnya, 4 tahun lagi.

Jentera BN Sedia Menghadapi PRK Tanjong Datu




Jentera Barisan Nasional (BN) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu. Pengarah Operasinya Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi semalam berkata jenteranya kini hanya menunggu saat tibanya hari penamaan calon pada 4 Februari depan. 

“Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding tetapi jentera operasi kami tetap membuat persiapan yang komprehensif. Ini kerana kami mahu pastikan BN akan menang besar di kerusi yang merupakan kubu kuat kepada BN ini sejak kedatangan Allahyarham penyandang Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Sebab itu, tidak kira sama ada PKR atau parti-parti lain bertanding atau tidak, persiapan tetap kami lakukan pada tahap yang terbaik,” katanya.

Bagi menguatkan lagi jentera operasi PRK BN, ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) katanya juga telah menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi untuk membantu jenteranya di peringkat lapangan.

Malah menurut Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Ahli Parlimen Santubong, jenteranya turut dibantu oleh parti-parti komponen BN yang lain iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Kami jawatankuasa bahagian PBB akan bermesyuarat pada pagi 1 Februari ini sebelum bermesyuarat bersama Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada sebelah petang.

“Saya juga menjangkakan Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Negeri dan presiden PBB akan membuat pengumuman calon pada hari kami bermesyuarat itu nanti,” tambahnya.

Ditanya mengenai calon yang akan dipilih, Wan Junaidi berkata sesiapa jua pilihan Ketua Menteri nanti individu itu adalah calon bagi BN dan PBB khasnya.

“Tidak kira nama siapa yang diumumkan sebagai calon nanti individu itu akan mendapat sokongan penuh daripada kami semua,” katanya. Selain bilik operasi utama di pekan Lundu, jentera operasi PRK BN juga akan menubuhkan bilik operasi di setiap daerah mengundi di Tanjong Datu.

Terpaksa Lepaskan Mayat Rakan




Sekumpulan 27 pelancong China yang terapung selama hampir 32 jam di laut Sabah selepas bot catamaran mereka pecah dan karam Sabtu lalu terpaksa mengambil tindakan me­nyayat hati apabila melepaskan rakan-rakan yang sudah mati atau nyawa-nyawa ikan daripada tali yang diikat antara mereka. 

Berkongsi detik hitam itu, mangsa, Fan Li Xia, 40, bersama tujuh rakan lain yang dijumpai bot nelayan di perairan Semarang di sini memberitahu, sebelum bot yang dinaikinya pecah dan karam, kru bot telah me­ngikat semua penumpang menggunakan tali khas dan dibahagikan dalam tiga kumpulan.

Ia bagi memastikan mangsa tidak berpecah ketika dipukul gelombang ombak kuat. Namun, luah Li Xia, apa yang menyedihkan tatkala berjuang bersama-sama di tengah lautan mereka terpaksa mengambil pendekatan mementingkan diri dengan melepaskan satu per­satu mangsa yang dilihat semakin lemah dan tidak bernyawa.

“Kami perlu meleraikan tali rakan yang tidak lagi bermaya dan sudah mati bagi mengurangkan beban dan memudahkan pergerakan. Perasaan pada waktu itu bercampur-baur tetapi apakan daya kami perlu terus kekal berada di permukaan air.

“Hakikatnya, bukan mudah untuk bertahan selama 32 jam di laut dalam keadaan sejuk dan kelaparan,” jelasnya ketika di­temui di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini semalam.

PDT Klang, MPK Beri Tempoh Sehingga Esok



Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi tempoh sehingga esok untuk kerja pemindahan atau membuka binaan sebuah tokong kecil yang menyerupai kubah masjid di Bukit Raja, di sini. 

Tinjauan media semalam mendapati tokong kecil itu masih berada di kawasan lapang premis perniagaan berkenaan walaupun terdapat notis ditampal kedua-dua pihak berkuasa berkenaan. 

Kewujudan tokong kuning dan hijau itu tular di media sosial baru-baru ini, sehingga mendapat perhatian netizen yang keliru kerana ia memiliki binaan umpama kubah masjid.

Berikutan itu, netizen termasuk penduduk setempat mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pemiliknya. PDT Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya sudah menampal notis mengarahkan pemilik tokong itu memindah atau membuka struktur berkenaan pada 24 Januari lalu.

Trump Pecat Pemangku Peguam Negara



Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) sejak zaman pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dipecat semalam selepas ingkar dengan arahan Presiden AS Donald Trump. 

Trump memecat Sally Yates selepas wanita itu mengarahkan peguam Jabatan Kehakiman tidak mengikuti perintah eksekutif mengenai pendatang.

Menerusi kenyataan Rumah Putih, Yates digantikan dengan Peguam bagi Virginia, Dana Boente, sehingga pelantikan Senator Jeff Sessions, disahkan Senat. Katanya, Yates mengkhianati Jabatan Kehakiman apabila enggan menguat kuasa arahan perundangan mengenai pendatang.

JDT Tak Rela Wakil Thailand Lolos




KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bertekad mahu melakar sejarah baharu pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini. Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan, namun skuad kendalian Benjamin Mora berazam untuk melepasi saingan peringkat kelayakan. 

Malam ini, JDT akan turun membuat perhitungan dengan Bangkok United pada pusingan kelayakan kedua ACL 2017 di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand. Sasaran mereka adalah untuk melepasi kelayakan kedua ini selepas terkandas pada pusingan yang sama dua tahun berturut-turut iaitu musim 2015 dan 2016.

Pada dua edisi tersebut, hajat JDT disekat oleh kelab Thailand iaitu Bangkok Glass pada musim 2015 dan Muangthung United (2016). Tahun ini mereka turut berdepan kelab Thailand (Bangkok United) dan sudah pasti mereka tidak rela episod lalu berulang.

Kini, juara Piala AFC 2015 itu memiliki peluang ketiga untuk menebus kembali maruah mereka di negara Gajah Perang itu malam ini, dan berdasarkan prestasi semasa, peluang kedua-dua pasukan nampak seimbang.

“Perubahan taktikal pasti akan membantu JDT pada perlawanan di tempat lawan nanti. Benjamin Mora tentu mempunyai ramuannya tersendiri untuk menjinakkan pasukan lawan.

"Barisan pemain juga telah melakukan persediaan mental dan fizikal selain sokongan padu para penyokong Harimau Selatan yang akan membantu memberi semangat tambahan dalam misi melangkah jauh pada saingan peringkat tertinggi Asia ini,” jelas satu kenyataan Johor Southern Tigers semalam.

Kemenangan sulung (3-1) pada kempen Liga Super ke atas Felda United di Larkin, Jumaat lalu pastinya memberi keyakinan kepada JDT untuk menyekat kemaraan Bangkok United. Andai berjaya melepasi pusingan kelayakan kedua ini, menanti pasukan yang menang pada pusingan ketiga kelak adalah kelab Jepun, Gamba Osaka.

Wolverine Terakhir



Keputusan Hugh Jackman bersara sebagai Wolverine kerana masalah kesihatan dan faktor usia membuatkan peminat X-Men sukar membayangkan pelakon terbaik menggantikan watak mutan itu. 

Selepas 17 tahun membintangi watak terbabit, Jackman bakal beraksi sebagai Wolverine yang juga dikenali sebagai Logan buat kali terakhir dalam filem berjudul ringkas, Logan di pawagam seluruh negara pada 2 Mac ini.

Bagaimanapun, pengakuan pelakon berusia 48 tahun itu berdepan kesukaran membawa watak Wolverine dalam filem pertama X-Men pada 2000 mengejutkan penonton pada Anugerah Producers Guild, baru-baru ini.

“Secara jujurnya, saya melalui saat sukar. Itu kali pertama saya berlakon di Amerika Syarikat. Ketika itu, saya gementar dan berasakan tahap lakonan sederhana. Tiada orang memberi apa-apa komen, jadi saya ingat kekurangan itu tidak disedari sesiapa. Namun, saya silap,” katanya.

Selepas sebulan penggambaran X-Men, Jackman berkata, eksekutif studio, Tom Rothman mengadakan pertemuan untuk memberitahu dia mempunyai potensi besar berlakon sebagai Wolverine.

“Rothman meletakkan kepercayaan terhadap bakat lakonan saya selepas menyaksikan pita rakaman. Cuma dia berasakan persembahan harian saya kurang menyerlah,” katanya.

Lebih sedekad selepas itu, pelakon kelahiran Australia ini beraksi sebagai Wolverine dalam lapan filem dengan Logan menjadi yang terakhir buat pelakon tampan itu. Bercerita terperinci mengenai lakonannya dalam Logan, Jackman mendedahkan menggunakan pengalaman keracunan makanan sebagai inspirasi dalam karya arahan James Mangold itu.

“Saya pernah keracunan makanan selepas makan beberapa tin ikan tuna. Doktor mendapati tahap mekuri dalam badan sangat tinggi iaitu 37,” katanya.

Menutut Jackman, pengalaman itu berkait dengan keadaan Wolverine yang nazak berikutan badannya sudah tidak mampu sembuh seperti dulu akibat keracunan Adamantium dalam tulangnya. “Lambat-laun, bahan itu pasti membunuhnya. Kesan sampingan besi racun dalam badannya menyebabkan Logan menjadi tertekan, letih lesu dan mengalami kesakitan tulang melampau.

"Saya suka idea senjata Logan yang menjadi pembunuhnya,” katanya. Pelakon itu turut memberitahu dia pengsan seketika ketika berlari di atas tempat berbukit sewaktu penggambaran di gurun yang ketinggian 9,000 kaki atas aras laut.

“Pada mulanya, unit kedua pengarah mahu memberhentikan penggambaran itu, namun saya nekad meneruskan rakaman dengan memberi alasan terjatuh,” katanya. Filem Logan berlatarkan 2029 dan pada era itu, kelahiran bayi mutan teramat jarang.

Pejuang mutan X-Men sudah pun tidak wujud dan hanya Logan serta Charles Xavier saja yang tinggal. Keupayaan badan Logan untuk sembuh segera daripada kecederaan kini semakin perlahan, malah, ada kalanya keistimewaan itu didapati tidak berkesan.

Bagaimanapun, Logan terpaksa berjuang semula apabila seorang mutan muda memerlukan pertolongannya. Barisan pelakon membintangi filem Logan adalah Boyd Holbrook, Patrick Stewart, Dafne Keen, Doris Morgado, Stephen Merchant, Elizabeth Rodriguez and Richard E. Grant.

Tumpu Dagangan Negara ASEAN




Malaysia akan meningkatkan perdagangan dengan negara ASEAN dan Asia terutama China susulan pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 23 Januari lalu. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara anggota ASEAN akan menjadi tumpuan utama perdagangan Malaysia diikuti negara Asia lain khususnya China, Korea Selatan, Jepun dan India.

Beliau berkata, 10 negara ASEAN tetap menjadi keutamaan Malaysia manakala China dan negara di kawasan timur laut Asia seperti Jepun dan Korea Selatan serta India juga sama penting. “Setakat ini, China masih menjadi rakan dagangan kita yang terbesar. Ini bukan perkara baharu kerana kita selalu menjalinkan kerjasama dengan negara itu.

“Selain itu, kita juga akan memberikan tumpuan kepada negara Asia lain iaitu Jepun, Korea Selatan dan India sebagai rakan dagangan kerana turut mempunyai potensi sama dalam pembangunan ekonomi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan dan melawat masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina, di sini, kelmarin.

Menurutnya, walaupun AS menarik diri daripada TPPA, ia tidak bermakna kerjasama dengan negara lain yang menandatangani perjanjian itu tamat.

Isnin lalu, Presiden baru AS, Donald Trump secara rasmi menandatangani arahan eksekutif penarikan diri negara itu daripada TPPA dengan alasan perjanjian itu boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS serta pengaliran keluar dana ke negara anggota TPPA lain.

Yaya Gadis Kuih Bakul



Kuih bakul atau ‘nian gao’ pastinya menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina, namun tentu tidak ramai menyangka ada juga gadis Melayu yang mampu menghasilkannya. 

Kuih bakul hasil air tangan Haziqah Nurul Huda Harun, 20, yang juga insan kurang upaya (OKU), lebih istimewa kerana beliau mempelajari pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lalu.

Ternyata, kuih bakul yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, air dan gula hasil resipi gadis berkerusi roda ini lebih enak, apabila menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baru Cina ini dan tahun lalu dia turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar. 

Kuih bakul Haziqah atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, sentiasa ‘menjadi’ walaupun ada yang menyatakan penghasilan kuih bakul mempunyai banyak pantang larangnya.

Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu berkata, beliau mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kuih bakul bermula daripada proses mengadun, mengukus sehinggalah proses pembungkusan.

“Proses untuk sediakan adunan memakan masa empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan itu dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.

“Selepas siap proses mengukus, kuih berkenaan akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan,” kata Yaya ketika ditemui di kediamannya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, pelanggan Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara. Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz,” katanya.

Yaya berkata, pada mulanya dia hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.

"Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain...tetapi apabila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya”, katanya.

Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata, suatu ketika dia pernah menganggap masa depannya hancur apabila tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun. “Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah.

Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar...hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.

“Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak,” katanya.

Gadis cekal ini berkata, beliau berhasrat membuka bengkel dan menggaji pekerja untuk memenuhi permintaan pelanggannya. “Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.

“Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu,” katanya.

Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.

“Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang...Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Friday, 27 January 2017

‘Lubuk’ Mercun Diserbu



Polis Sibu merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang tidak dapat dipastikan nilainya di sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Salim 1, dekat sini pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Siful Bahri Abdullah berkata, tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan ke atas rumah kayu terbabit pada jam 10.30 pagi. Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui sejumlah mercun dan bunga api disorok dalam beberapa kotak di rumah berkenaan.

“Kita percaya rumah tidak berpenghuni itu telah dijadikan tempat menyorok mercun yang dijual kepada pelanggan sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pasukan polis mendapati tiada individu berada di rumah kayu ketika serbuan dilakukan. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita juga masih mengesan individu bertanggungjawab memiliki bekalan mercun tersebut,” katanya. Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

PPM, Polis Maritim Filipina Bincang Usaha Atasi Jenayah Rentas Sempadan



Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Maritim Filipina akan membincangkan usaha menangani kegiatan jenayah rentas sempadan terutama membabitkan pergerakan keluar masuk kumpulan pengganas Daesh melalui mesyuarat dua hala bermula kelmarin. 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata pertemuan yang akan diadakan selama tiga hari itu juga akan ditumpukan kepada beberapa aspek kerjasama dan operasi termasuk rondaan serta penyelarasan bersama di sepanjang sempadan perairan kedua-dua negara.

Katanya mesyuarat dua hala itu juga diadakan susulan daripada lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Filipina pada Disember tahun lalu.

“Antara isu yang akan diambil kira sepanjang mesyuarat selama tiga hari ini ialah untuk merancang, melaksana dan menyelaraskan operasi rondaan bersama selain mewujudkan persefahaman di antara kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

“Kita juga akan saling berkongsi maklumat risikan dan unit pasukan antara kedua-dua belah pihak dalam usaha mengatasi isu jenayah rentas sempadan, pencerobohan serta penculikan,” katanya pada Majlis Perasmian 1st Bilateral PPM Wilayah 4, di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Operasi Polis Maritim Filipina Edmund Gonzales, Komander PPM Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain.

Ramli berkata penubuhan kumpulan kerja penguatkuasaan bersama, masa tindak balas segera juga akan dibincangkan bagi membantu bot dan kapal semasa kecemasan. Bagaimanapun, katanya, tarikh rondaan yang akan diadakan secara serentak masih belum ditentukan dan perkara itu akan ditentukan sepanjang mesyuarat dilaksanakan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil balik dan menunda kapal nelayan dalam insiden 19 Januari lalu balik ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, kita sudah berhubung dengan pasukan polis Filipina. Bagaimanapun, kita terpaksa menunda tindakan membawa balik kapal itu berikutan dihalang oleh keadaan laut yang bergelora pada masa itu,” katanya.

Terdesak Ganti Wang Disonglap



Seorang pesara tentera mengambil keputusan nekad merompak sebuah bank di sini kelmarin bagi memperoleh wang untuk menggantikan duit syarikat tempatnya be­kerja berjumlah lebih RM120,000 yang diselewengkan sebelum ini. 

Suspek yang bertindak bersendirian tidak merancang rompakan itu dengan teliti selain tidak mengetahui kedudukan bilik simpanan wang bank itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat kawalan keselamatan di sini mengalami tekanan selepas menyalahgunakan wang syarikatnya yang berjumlah lebih RM120,000.

Menurutnya, perbuatan pesara tentera itu terbongkar selepas pegawai audit mengeluarkan satu laporan sehari sebelum kejadian dengan mendakwa lelaki berkenaan telah menghilangkan wang hasil kutipan yang dilakukannya bagi pihak syarikat.

“Suspek dikatakan berusaha mencari ganti wang syarikat yang diselewengkan itu dan tanpa berfikir panjang sanggup melakukan tindakan hingga membahayakan keselamatan orang lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini semalam.

Demam Balik Kampung Di China



Beribu-ribu orang memakai kot tebal dan membawa beg pakaian beratur dalam cuaca sejuk di Stesen Kereta Api Beijing untuk membeli tiket balik kampung bagi meraikan Tahun Baru Cina. 

Mereka merupakan an­tara ratusan juta pekerja yang melakukan perjalanan jauh menuju ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan perayaan paling penting dalam kalendar Cina itu. Tahun Baru Cina kali ini disambut pada 28 Januari.

Permintaan untuk tiket pula teramat tinggi sehingga sebilangan orang sanggup beratur selama beberapa hari untuk mendapat tempat duduk dalam pengangkutan awam supaya dapat pulang dan meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga. Kesesakan serupa dilihat di stesen kereta api di bandar raya-bandar raya utama di China termasuk Shanghai.

Seorang lelaki, Qi Xi merupakan antara segelintir mereka yang bernasib baik. Walaupun dia gagal mendapatkan tiket kereta api laju menuju ke bandar kelahirannya di Wilayah Heilongjiang, perjalanan yang akan mengambil cuma beberapa jam sahaja, Xi akhirnya dapat membeli tiket kereta api biasa.

Dia terpaksa duduk di kerusi keras selama seharian untuk pulang ke kampung tetapi Xi tidak merungut. “Rakan sekerja saya dari Harbin gagal membeli tiket kereta api dan tidak tahu bagaimana dia akan pulang ke kampung. Dia mungkin tidak balik kampung tahun ini,” kata Xi di stesen kereta api tersebut.

Musim cuti Tahun Baru Cina yang juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga merupakan waktu ahli keluarga berkumpul untuk makan besar dan bermain bunga api. Mereka yang menyam­but Tahun Baru Cina perlu pulang ke kampung halaman menjelang hari ini untuk meraikan pe­rayaan itu esok. 

Pihak berkuasa meramalkan bahawa orang ramai akan melakukan hampir tiga bilion perjalanan sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina selama 40 hari termasuk 2.5 bilion perjalanan jalan raya, demikian lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Khairy Minat Tanding


Bayangan untuk melihat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengisi kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat cerah apabila beliau bersedia memohon persetujuan Jemaah Menteri untuk memansuhkan peraturan melarang mana-mana menteri memegang jawatan dalam persatuan sukan. 

Tegas Khairy, sekiranya memutuskan untuk bertanding pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53 itu nanti, beliau tidak teragak-agak meminta pelepasan, namun mengakui agak sukar untuk membahagikan masa antara tugas sebagai menteri dan menguruskan persatuan.

“Itu (kebenaran menteri memegang jawatan dalam persatuan) hanya boleh dibuat Kabinet yang saya kira tiada masalah jika saya nak bertanding,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Parlimen Belia Malaysia, di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.

“Saya difahamkan ada dua minggu untuk mengesahkan sama ada mahu bertanding atau tidak, jadi saya akan bincang dulu dengan semua pemegang taruh terutama persatuan negeri (FA) dan sebagainya.

“Selepas perbincangan itu, saya mungkin mendapat gambaran lebih jelas berkenaan dengan apa tujuan saya dicalonkan pada pemilihan berkenaan,” katanya.

Selepas pencalonan jawatan ditutup Isnin lalu, perebutan kerusi Presiden FAM menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan beberapa tokoh terkenal yang cukup berpengalaman dalam arena bola sepak tempatan.

Selain Khairy yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM sebelum ini, tiga calon lain turut menghangatkan suasana itu termasuk pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun, Khairy dikatakan menjadi calon pilihan paling hangat terutama selepas Tunku Ismail sebelum ini mengumumkan tidak berminat mencabar jawatan itu. “Masing-masing ada kekuatan. Semua komuniti bola sepak termasuk saya, mahu melihat calon yang mampu menyatukan semua pihak (FA dan penyokong).

Walau siapa dipilih nanti, individu itu mesti mendapat kerjasama semua pihak. “Mesti ada pengaruh untuk membawa semua pemegang taruh duduk bersama dan tidak menunjukkan perpecahan dalam FAM,” katanya.

Kisah Cinta Merentasi Dua Zaman


SELEPAS hampir 10 tahun mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan, tahun ini membuka lembaran baharu buat aktres jelita Lee Young-ae apabila kembali dengan drama bersiri terbaharu berjudul Saimdang: Light’s Diary (Herstory).

Drama bersiri tersebut diinspirasikan daripada kisah hidup Shin Saimdang, seorang pelukis wanita Korea terkenal dan pengasas Yayasan Korean Confucian pada era 1,500 masihi. Ia berkisar seorang wanita moden, Seo Ji-yoon yang bekerja sebagai pensyarah dalam bidang sejarah seni.

Ketaksubannya mengkaji sejarah telah menemukan dirinya dengan sebuah rahsia berhubung diari hidup Saimdang dan potret wanita misteri mirip sepertinya. Di sebalik misteri tersebut, dia terperangkap dalam kisah cinta Saimdang dengan seorang lelaki, Lee-gyeum lakonan Song Seung-hun sehingga terungkai rahsia di sebalik diari Saimdang.

Sejak pengumuman penglibatan Young-ae dalam drama tersebut, rata-rata peminat memberikan respons positif kerana ironinya, Saimdang menjadi saksi kemunculan semula Young-ae dalam industri selepas pernah mencipta populariti menerusi drama Jewel In The Palace pada 2003. 

“Saya kembali bertemu peminat pada tahun ini selepas berehat sekian lama dan menumpukan perhatian kepada keluarga. Menerusi drama ini, saya berharap peminat dapat melihat aspek lain dalam lakonan saya kerana ia berbeza dengan apa yang pernah saya bawa dalam drama Jewel In The Palace,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang drama tersebut, aktres berusia 45 tahun itu berkata, dia melakukan persiapan yang rapi sebelum turun ke set penggambaran memandangkan ia merupakan naskhah sejarah. 

“Setahun sebelum kami memulakan penggambaran, penulis skrip dan pengarah datang berjumpa dengan saya untuk berbincang lanjut mengenai projek berkenaan. “Banyak perkara diperincikan antaranya bagaimana terjemahan watak Saimdang seperti yang mereka mahu. Saya boleh katakan, kami melakukan perbincangan yang sangat teliti untuk projek ini berbanding drama lain,” ceritanya. 

Tambah Young-ae, perkara pertama yang membuatkan dia tidak teragak-agak menerima tawaran Saimdang adalah disebabkan tarikan konsep, jalan cerita dan karakter utamanya yang mempunyai jiwa besar terhadap seni lukisan.

“Apa yang penting, drama ini berkisar kehidupan seorang wanita. Saya mahu menonjolkan sikap dan perasaan wanita pada zaman dahulu dengan zaman sekarang yang tidak pernah berubah. Kami sangat mementingkan keluarga walaupun sedang mengejar cita-cita. Jika sesuatu karakter itu memberi ruang kepada saya untuk menonjolkan sisi berbeza, jadi ia akan menjadi lebih menarik,” ujarnya.

Begitu juga dengan heronya, Seung-hun yang turut membuat kemunculan semula selepas beberapa tahun berehat. Aktor yang terkenal menerusi drama Autumn In My Heart itu menyifatkan Saimdang sebagai naskhah yang cukup istimewa untuk dijadikan hadiah buat peminat.

“Tidak ada permintaan lain kecuali anda semua terhibur dan teruslah menyokong perjalanan seni saya pada masa hadapan. Ini adalah hadiah daripada seluruh tenaga kerja produksi Saimdang kepada semua.

“Dalam drama ini, watak yang saya bawakan ialah seorang pelukis handalan yang sangat mencintai seni. Ia sangat mencabar kerana saya langsung tidak pandai melukis,” ujarnya.

Rakan Strategik Proton Diumum April



Proton Holdings Berhad (Proton) berharap dapat mengumumkan rakan strategik asingnya pada April ini atau selewat-lewatnya akhir Jun depan. Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, setakat ini, tiga syarikat sudah disenarai pendek dan sedang menjalankan proses sewajarnya membabitkan Proton. 

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan atau memberi sebarang petunjuk berhubung identiti ketiga-tiga syarikat automotif berkenaan atau negara asal masing-masing. “Ini adalah satu transaksi sukar bagi sebuah industri kompleks yang sudah semestinya akan mengambil masa sebelum perjanjian tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Proton menerima akreditasi sebagai pusat sehenti program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi tujuan latihan kemahiran dalam bidang automotif.

Majlis itu disempurnakan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Md Radzaif Mohamed. Ahmad Fuaad berkata, Proton dijangka menerima cadangan lengkap daripada pihak berkenaan mulai Februari ini dan akan membuat pengumuman selepas pemilihan akhir dilakukan.

“Mungkin juga kami perlu mengadakan rundingan lanjut sebelum membuat keputusan muktamad. Namun, diharapkan majlis menandatangani (persetujuan) itu dapat dilakukan sebelum akhir separuh pertama tahun ini,” katanya.

Bengkel Berkonsep Bebas


Memiliki kerjaya dalam bidang diminati pastinya menjadi kelebihan kepada sesiapa saja kerana tugas dilakukan tidak perlu dipaksa dan segalanya dilakukan seikhlas hati. Atas faktor itu, pentingnya pemilihan bidang kerjaya yang tepat bagi menjamin mutu kerja selain kurangnya tekanan kerana dapat melakukan perkara diminati. 

Begitu juga bagi Mohd Muzzhafar Mustapah, 26, yang juga pemilik bengkel kereta Eurowerks di Subang Jaya yang berjaya membuktikan usia muda tidak menjadi penghalang untuknya mengecapi kejayaan.

Memasuki bengkel Eurowerks, ruang bengkel itu dipenuhi pelbagai jenis kereta daripada kereta sedan keluaran tempatan hinggalah kereta mewah dan berkuasa tinggi seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Mercedes, Audi dan BMW.

Eurowerks Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera berdaftar dan Mohd Muzzhafar sudah memulakan bengkel itu sejak 2010 dengan menyediakan kepakaran dalam penyelenggaraan, membaiki dan menaik taraf prestasi semua jenis kereta.

Mempunyai latar belakang dalam bidang permotoran, pernah memasuki pertandingan Petronas Driving Experience dan aktif bermain go-kart membuahkan minat kepada anak muda ini berjinak-jinak membuka bengkel kereta. Menurut Mohd Muzzhafar, pada mulanya pelbagai cabaran perlu ditempuh terutama untuk mendapatkan keyakinan pelanggan mengenai kepakaran bengkelnya. 

“Syukur, lama-kelamaan kami semakin mendapat kepercayaan pelanggan yang banyak memberikan komen positif selain turut membantu mempromosikan bengkel ini kepada kenalan mereka. Saya percaya dengan kuasa pengiklanan seperti itu kerana ia lebih telus dan pelanggan boleh menceritakan pengalaman mereka sendiri tanpa sebarang paksaan,” katanya.

Menurutnya, Eurowerks berbeza daripada bengkel lain kerana dari luar, pelanggan mungkin tidak sedar lokasi itu sebuah bengkel. “Dari depan bangunan ini kelihatan seperti sebuah kafe dan inilah pendekatan yang saya lakukan untuk tampil berbeza.

“Car’s Kitchen bagaikan menyambut pelanggan yang datang dengan menyediakan pelbagai menu lazat sementara menunggu kereta mereka siap di bengkel,” ujarnya.

Menurut Mohd Muzzhafar, Car’s Kitchen itu diusahakan oleh kakaknya dan pihaknya sentiasa memastikan pelanggan selesa terutama kepada wanita yang datang untuk menemani suami atau teman. Teknologi penalaan cip Berbeza dengan bengkel persendirian lain yang khusus pada satu jenis kereta, bengkel terbabit berkonsep bebas yang dibuka untuk semua jenis kereta di pasaran.

“Namun kepakaran kami adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama kepada kereta kontinental atau dari negara Eropah. Antara perkhidmatan yang disediakan sebagai pusat sehenti kereta termasuk penyelenggaraan, pembaikan, penalaan enjin, khidmat cuci kereta, perincian auto dan mengecat badan kereta,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menawarkan pengoptimuman perisian yang inovatif dan generasi terbaru penalaan cip untuk kereta penumpang, kereta lumba, lori, kenderaan perdagangan, van, kenderaan pertanian dan camper van pada harga berpatutan. “Kualiti tertinggi teknologi penalaan cip adalah hasil daripada penyelidikan kami sendiri.

“Pengoptimuman perisian dan penalaan cip membolehkan peningkatan sehingga 30 peratus dalam prestasi, kuasa sesebuah kenderaan,” ujarnya.

Tambahnya, kenderaan akan meluncur lebih laju dan ia akan menjadi lebih tangkas. Penggunaan minyak petrol atau diesel juga mungkin akan menjadi lebih rendah dan pada masa sama, ia meningkatkan keseronokan memandu.

“Perisian eco-version di Eurowerks mengutamakan pengurangan secara semula jadi penggunaan minyak petrol atau diesel sesebuah kenderaan sehingga 15 peratus dengan gaya pemanduan tidak berubah. Saya mempunyai 18 kakitangan termasuk pencuci kereta dan mekanik pula dihantar menghadiri kursus kemahiran dan perisian terbaru,” katanya.

Mohd Muzzhafar berkata, bagi memastikan segala urusan kerja berjalan lancar dia mengadakan mesyuarat dan pertemuan setiap pagi untuk mengetahui perkembangan terbaru bengkel. “Dengan cara bekerja begini, kami dapat memantau perkembangan kerja, memantau kemajuan pekerja dan mengawal kualiti perkhidmatan.

“Di samping itu saya sering mengingatkan antara satu sama lain supaya bekerja sebagai satu kumpulan. Dengan cara ini, kami sentiasa memperbaiki diri, menolong satu sama lain dan sentiasa kompetitif dalam bidang ini agar sentiasa relevan dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Thursday, 26 January 2017

Tiada Sebab Untuk Kami Bekerjasama Semula Dengan DAP - PAS



Setiap kali tibanya musim Pilihan Raya Umum, antara langkah awal yang cuba dilakukan DAP adalah untuk memujuk PAS bekerjasama dengan mereka dalam gabungan parti pembangkang. Sebagai contoh, pada 2004, DAP berjaya memujuk PAS untuk membentuk Barisan Alternatif dan kerjasama ini diteruskan pada 2008 dalam pembentukan Pakatan Rakyat.

Namun, segala-galanya berakhir pada 2015 apabila akhirnya, Muktamar PAS mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka dengan DAP dan sekaligus meleburkan Pakatan Rakyat yang dibina sejak 2008.

Kini, DAP tampil lagi untuk memujuk PAS bergabung semula dengan mereka menghadapi PRU ke 14. Menariknya, kali ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terang-terangan telah menolak sebarang kerjasama dengan PAS namun pendapat ini disanggah Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang yang merasakan, kehadiran PAS masih relevan dalam Pakatan Harapan.

Mengulas tentang situasi ini, seorang wakil Dewan Pemuda PAS yang enggan namanya di siarkan memberitahu, tiada sebab untuk PAS kembali bekerjasama dengan DAP setelah dua kali mereka di permainkan oleh DAP. Paling melukakan PAS apabila Lim Guan Eng sendiri menempelak PAS sebagai parti penyebuk dalam urusan pentadbiran negeri Pulau Pinang.

Beliau juga setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang dilaporkan berkata, DAP hanya mahu melemahkan PAS dari dalam jika PAS bersetuju bergabung semula dengan DAP. Apa yang telah dilakukan DAP semasa mereka menaja PAN sudah cukup mengajar PAS supaya lebih berhati-hati pada kali ini.

Lagipun, katanya, DAP hanya mahukan undi ahli PAS untuk kekal berkuasa di dalam Pakatan Harapan dan seterusnya menumbangkan Barisan Nasional. DAP juga bimbang, mungkin akan wujud pertandingan 3 penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan DAP dalam mana-mana kerusi Pilihan Raya. Atas sebab itulah, DAP dilihat cukup kemaruk untuk menjalinkan kerjasama semula dengan PAS.

Mungkin ada benarnya dakwaan beliau. Namun harus diingat, masih ada lagi puak-puak yang lebih cenderung kepada Pakatan Harapan di dalam PAS yang ingin melihat PAS hancur dari dalam. Puak-puak inilah yang mungkin akan mempengaruhi sebarang keputusan pucuk pimpinan PAS dalam menentukan hala tuju PAS pada PRU ke 14 kelak.

Jika Laporan CIA Itu Fitnah, Samanlah!



Boleh dikatakan, sepanjang Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan 1MDB, antara ayat yang selalu diulangi oleh Mahathir adalah mencabar Datuk Seri Mohd Najib menyaman dirinya. Malah, beliau juga mencabar Datuk Seri Mohd Najib menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang didakwa menyebarkan berita palsu terhadap diri Perdana Menteri.

Walaupun berulang kali diberi penjelasan, kenapa Datuk Seri Mohd Najib tidak menyaman WSJ, namun hal ini kerap diputar belitkan oleh Mahathir dan pembangkang yang mendakwa Datuk Seri Mohd Najib takut untuk bertindak.

Untuk rekod, tindakan Datuk Seri Mohd Najib tidak menyaman WSJ adalah kerana, WSJ sendiri tidak mempunyai pejabat operasinya di Malaysia. Malah, untuk menyaman WSJ di Amerika bakal berhadapan dengan kerumitan kerana dasar media Amerika sendiri menghalang tindakan seumpama ini berlaku.

Namun, sebaik sahaja CIA mendedahkan laporan lengkap hasil siasatan mereka keatas skandal BMF dan pembunuhan tragis Allahyarham Abdul Jalil Ibrahim, Mahathir bertindak mengeluarkan kenyataan ianya bersifat politik dan mahu mengancam kedudukannya. Atas dasar apa Mahathir mendakwa demikian?

Sebenarnya, CIA akan mula mendedahkan laporan siasatan mereka kepada umum setelah sesuatu kes berkenaan tidak diambil tindakan susulan oleh sesebuah negara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun. Setelah sesuatu laporan berkenaan tidak diambil tindakan susulan, maka CIA akan mendedahkan hasil laporan mereka kepada umum dan ianya adalah proses biasa yang dijalankan oleh agensi berkenaan.

Tidak timbul soal mempolitikkan sesuatu isu kerana jika kita selidiki, CIA sendiri pernah mengeluarkan laporan siasatan mereka terhadap ramai pemimpin dunia yang lain termasuklah hasil siasatan keatas Amerika sendiri kepada umum. Jadi, di mana asasnya dakwaan Mahathir yang mendakwa CIA hanya menyasarkannya dan ianya bersifat politik?

Tiada siapa pun dalam negara ini mengarahkan CIA mengeluarkan hasil laporan siasatan mereka kepada umum. Malah, selama lebih 34 tahun siasatan berkenaan dijalankan, kerajaan Malaysia langsung tidak pernah membuka kes berkenaan sebaik sahaja ianya disahkan sebagai tiada kes semasa Suruhanjaya Siasatan DiRaja membentangkan di Parlimen pada tahun 1985.

Jika Mahathir merasakan ianya mengancam kedudukannya sebagai Pengerusi PPBM dan ahli Pakatan Harapan serta menyifatkan sebagai satu pendedahan berunsur politik, kenapa Mahathir tidak mengambil tindakan keatas CIA seperti yang pernah beliau suarakan terhadap Datuk Seri Mohd Najib sebelum ini?

Mahathir sendiri mempunyai akses luas di peringkat antarabangsa di mana hubungan akrabnya dengan George Soros, mungkin boleh membantu. Jadi, saman sahajalah CIA jika beliau merasakan dirinya terancam. Rakyat mahu juga melihat, adakah beliau berani membersihkan namanya sebelum ajalnya datang menjemput.

Jel 60 Tahun, 30 Sebatan

PADAH: Tertuduh diiringi keluar dari kamar mahkamah oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan, semalam.

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol anak tirinya. 

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, 54, yang juga penjawat awam, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen (1) 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Tertuduh dikehendaki menjalani hukuman itu secara berasingan iaitu masing-masing 20 tahun penjara dan 10 tahun sebatan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan. Tertuduh kelihatan tenang ketika keputusan disampaikan.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata beliau menimbang keseriusan kesalahan serta kepentingan awam. Beliau berkata, perbuatan keji itu menjejaskan mangsa dan menyebabkannya mengalami trauma.

“Tertuduh juga tidak menunjukkan rasa kesal kerana melakukan kesalahan itu berulang kali,” katanya sambil menyatakan gadis itu juga mengandung.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum mengambil kira keseriusan kesalahan. Beliau berkata, hukuman itu dijatuhkan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatannya adalah lebih teruk daripada haiwan, memandangkan tertuduh sepatutnya melindungi mangsa dan bukan sebaliknya. 

Bagaimanapun, tertuduh hanya merayu agar hukumannya diringankan. Kesalahan tersebut dilakukan antara Januari dan Disember 2015 serta 4 dan 5 Januari tahun ini di sebuah rumah di Batu Lintang. 

Tertuduh turut menghadapi empat tuduhan rogol sumbang mahram di dua Mahkamah Sesyen lain di sini. Dia mengaku bersalah atas semua tuduhan melakukan kesalahan tersebut ke atas mangsa yang sama, tetapi hukuman akan diputuskan pada Jumaat ini dan bulan depan.

Banjir: Tiga Jalan Terputus Akibat Mendap Dan Hakisan

MUSIBAH: Jalan utama menuju ke Kg Tanjung Nipis Paitan turut terhakis oleh arus banjir yang deras dan kini sukar dilalui kenderaan.

Banjir yang melanda beberapa perkampungan di kawasan Paitan sejak Rabu minggu lepas kini beransur surut sehingga petang kelmarin. Pegawai Daerah Kecil Paitan Joe Joloning Majambu berkata keadaan cuaca yang agak baik kelmarin membolehkan banjir beransur surut dan jumlah kampung terjejas banjir kian berkurangan. 

“Bagaimanapun, dua Pusat Pemindahan Mangsa Banjir (PPMB) di Dewan Kampung Binsulung dan Dewan Kubambangan Paitan masih dibuka,” katanya ketika dihubungi media kelmarin. Katanya jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan ialah seramai 83 orang, 45 orang dari 11 keluarga di Dewan Kg Binsulung dan 38 orang dari lapan keluarga di Dewan Kubambangan.

“Jika hujan tidak turun malam ini dan esok (hari ini), beberapa jalan kampung yang sebelum ini ditenggelami banjir dijangka sudah boleh dilalui,” katanya.

Joe berkata mangsa banjir yang masih berada di dua pusat pemindahan itu juga sebahagiannya dijangka boleh balik ke rumah masing-masing, tertakluk kepada pengesahan pihak pasukan keselamatan, sekiranya keadaan rumah mereka selamat dan banjir pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, pihaknya turut menerima aduan dan laporan bahawa kini sekurang-kurangnya tiga jalan utama ke beberapa kampung terjejas perhubungan akibat jalan runtuh (mendap) atau terhakis oleh air banjir yang deras. Antaranya ialah jalan ke Kg Pantai Boring, Kg Tanjung Nipis dan Kg Binanjar Baru yang mana jalan berkenaan kini terputus dan sukar dilalui kenderaan.

Beliau menjelaskan terdapat juga beberapa kampung yang masih terputus hubungan kerana jalan utama masih ditenggelami air iaitu Jalan Kg Sungai-sungai dan juga Kg Golong. Menurutnya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan sejak Rabu minggu lepas di Pejabat Daerah Kecil Paitan masih dibuka dan masih bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan dan banjir kembali melanda Paitan.

Katanya petugas agensi/jabatan yang terlibat dalam bantuan operasi banjir masih ‘berkampung’ dan bersiap sedia memberikan bantuan serta perkhidmatan yang diperlukan penduduk terjejas banjir, khasnya mereka yang berada di pusat pemindahan.

Agensi yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Pitas, Paitan dan Lahad Datu dengan keanggotaan seramai 26 orang, bomba (Sandakan dan Kinabatangan) lapan orang, manakala anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, 10 orang.

Selain itu, kakitangan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beluran yang berada di dua pusat pemindahan untuk menyelaras bantuan makanan dan keperluan mangsa, selain memberi perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan kesihatan kepada para mangsa. 

Dalam pada itu, banjir di Paitan kali ini turut menjelaskan sesi pembelajaran di beberapa sekolah yang ditenggelami banjir, manakala sebahagian sekolah pula tidak dapat beroperasi akibat laluan jalan utama ke sekolah ditenggelami banjir.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (KPPD) Beluran Soje Abd Hassan bersama tiga pegawai dari PPD Beluran turut berada di Paitan untuk memantau keadaan di beberapa sekolah yang terjejas banjir seperti SK Binsulung, SK Sungai-sungai, SK Bawang, SK Simpangan dan sebagainya.

Rombangan PPD Beluran terdiri daripada Zainal Abidin Mahmud (Ketua Unit Pembangunan), Abd Raman Osman (Ketua Unit Pengurusan Sekolah) dan Ramli Idtol (Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan).

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman telah mengadakan lawatan ke Paitan kelmarin untuk meninjau keadaan banjir dan melawat mangsa yang berada di pusat penempatan di Dewan Kubambangan Paitan.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman turut menyempurnakan penyerahan 500 bungkusan makanan sumbangan Pejabat DUN Sugut kepada mangsa dan penduduk terjejas banjir. Sukarti dan rombongan telah diberi taklimat terkini mengenai status banjir dan operasi pengurusan banjir oleh Joe.

Turut hadir pada majlis itu ialah ADUB Sugut Datuk James Ratib, Pegawai Daerah Beluran Suhaili Riman dan para pegawai agensi/jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi banjir serta para pemimpin setempat di kawasan Paitan.