Tuesday, 28 February 2017

Inilah Padahnya Mendengar Fitnah Pembangkang!




Seperti yang diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, tugas pembangkang di Malaysia adalah menyebarkan propaganda dan fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan. Mereka akan lakukan apa sahaja asalkan dakyah fitnah mereka dipercayai rakyat dan seterusnya meraih undi pada sesuatu pilihan raya.

Inilah yang telah pun berlaku di Malaysia dalam penggal ini. Hampir setiap hari, minggu, bulan dan tahun, ada sahaja fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin Pakatan Harapan. Mereka seolah-olah langsung tidak memikirkan dosa pahala dan kerosakan yang mereka lakukan. Apa yang mereka pedulikan adalah kuasa kekal milik mereka dan menumbangkan kerajaan yang sedia ada.

Menerajui carta kaki penipu, putar belit dan fitnah ini tidak lain dan tidak bukan, Rafizi Ramli sendiri. Siapa dapat melupakan bagaimana beliau memfitnah Lembaga Tabung Haji yang kononnya menjadi tempat kerajaan mengambil duit mudah bagi menampung kerugian di dalam 1MDB.

Hasilnya, kira-kira lebih 3,000 orang bertindak menutup akaun mereka di Tabung Haji. Hari ini, kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menimbangkan kemungkinan menambah koata jemaah haji Malaysia pada tahun hadapan. Bagaimana pula nasib lebih 3,000 pendeposit yang telah termakan dakyah dan fitnah Rafizi? Sudah pasti mereka akan mengalami kerugian yang besar.

Bagi Rafizi pula, simpanan beliau di dalam Tabung Haji sudah mencecah lebih setengah juta Ringgit dan beliau langsung tidak mengusik simpanan berkenaan. Begitu juga halnya fitnah yang direka untuk menjahanamkan NFZ. Akibat dari fitnah Rafizi, negara terpaksa mengimport semula daging halal dari luar negara dan ianya menambah beban kewangan negara.

Tidak terhenti setakat itu, Nurul Izzah Anwar pula baru-baru ini telah menghasut penduduk di Kampung Kerinchi untuk menolak pemberian rumah bernilai hampir RM 500 ribu bagi penduduk yang mendiami flat di Kampung Kerinchi. Hasilnya, seramai 34 orang penduduk telah menolak peluang berkenaan di mana rumah berkenaan jauh lebih selesa dan dilengkapi perkakas rumah.

Apa nasib 34 orang penduduk berkenaan? Tiada siapa yang tahu dan Nurul Izzah juga turut enggan mengambil peduli nasib mereka. Adakah ini yang dinamakan wakil rakyat di Lembah Pantai? Adakah rakyat di Parlimen ini akan terus diperbodohkan oleh pemimpin seperti Nurul Izzah ini?

Perkara yang sama turut dilakukan oleh Nga Kor Meng dan Tony Pua. Kedua-dua individu ini cukup gemar menimbulkan kontroversinya sendiri dengan Kor Meng dilihat amat gemar menimbulkan kemarahan umat Islam. Sebelum ini, Kor Meng pernah menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan komen bodohnya di laman sosial Facebook miliknya.

Sehingga hari ini, Kor Meng masih belum lagi meminta maaf. Seperti tidak serik, kunjungan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia juga turut dipersendakan oleh Kor Meng. Beliau memuat naik kapsyen dialog kononnya Datuk Seri Mohd Najib merayu Raja Salman membersihkan nama beliau di sebalik isu derma RM 2.6 bilion.

Seperti biasa, Kor Meng tetap enggan bertanggungjawab dan menyalahkan pihak lain berhubung posting berkenaan. Bagi Tony Pua pula, "sumbangan" beliau dalam menghancurkan syarikat pelaburan berasaskan kerajaan, 1MDB, cukup diingati. Beliau dilihat menolak semua hasil siasatan keatas syarikat berkenaan dan kekal dengan pendirian bahawa pendapatnya sahajalah yang betul.

Inilah corak pembangkang yang menjadi sanjungan buat para penyokongnya. Fitnah yang mereka taburkan bukan sahaja menyebabkan ramai pihak yang rugi, sebaliknya, mereka turut menginaya rakyat dengan sikap jahat mereka. Mereka tidak peduli akan nasib rakyat yang termakan dengan hasutan mereka.

Apa yang mereka tahu adalah, hasutan mereka berjaya menimbulkan bibit kebencian rakyat terhadap kerajaan. Kini, nama-nama di atas turut sama disertai oleh Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan beberapa nama lagi yang dahulunya melaungkan kebenaran tetapi kini bertuhankan penipuan dan fitnah!

Selepas Ini Apa Pula Fitnah Pembangkang Dan Mahathir



Sepanjang Datuk Seri Mohd Najib mentadbir kerajaan sejak 3 April 2009, pentadbiran beliau tidak pernah sunyi daripada menerima pelbagai tuduhan dan fitnah. Sebut sahaja apa yang tidak pernah difitnah pembangkang, semua telah dilakukan sehingga ada yang tergamak menuduh Datuk Seri Mohd Najib dan isteri menjadi pembunuh.

Lebih menyedihkan, sejak 2013, serangan pembangkang ini turut disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Seolah-olah "tape recorder" beliau mengulang semula semua tuduhan dan fitnah pembangkang terhadap Datuk Seri Najib sehinggalah beliau akhirnya bertindak meninggalkan UMNO buat kali ketiga pada 29 Februari 2017.

Bagi pihak Datuk Seri Mohd Najib, serangan demi serangan ini diambil beliau sebagai salah satu mainan politik. Memang agak menghairankan, bagaimana Datuk Seri Mohd Najib mampu menyerlahkan kesabarannya disaat beliau dan ahli keluarganya teruk difitnah pembangkang. Sebagai seorang manusia, bagi orang lain, mungkin sudah menzahirkan kemarahan, namun tidak bagi beliau.

Selama lebih 18 bulan, antara fitnah yang diharungi Datuk Seri Mohd Najib dan isteri adalah mencuri wang rakyat sebanyak RM 2.6 bilion. Mereka mendakwa, Datuk Seri Mohd Najib dan isteri membelanjakan wang rakyat yang diperolehi menerusi 1MDB untuk kepentingan peribadi. Walaupun sudah berulang kali diberi penjelasan, namun bagi Mahathir dan pembangkang, ia adalah modal mereka dalam memburukkan imej Datuk Seri Mohd Najib dan isteri.

Hari ini, pada kunjungan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia, baginda memperkenankan pelaburan besar berjumlah USD $7 bilion (RM 30.66 juta) keatas projek Rapid Penggerang. Tidak cukup dengan itu, baginda turut menambah koata haji untuk Malaysia daripada 22,750 orang  kepada 30,000 orang pada musim haji tahun hadapan.

Melihat kepada angka yang cukup besar ini, pasti dikalangan para penyokong kerajaan, ianya disambut dengan penuh syukur. Namun tidak bagi penyokong pembangkang terutamanya pentaksub Mahathir. Jika penjelasan mengenai RM 2.6 bilion pun mereka tolak, apatah lagi dengan pelaburan terbesar dalam sejarah negara dari Arab Saudi kali ini.

Apa yang pasti, sebelum keberangkatan rombongan Baginda ke Jakarta dan Bali pada 1 Mac ini, mereka kini begitu giat untuk mereka satu lagi fitnah untuk menggoyahkan pentadbiran negara walaupun pelaburan ini diumumkan sendiri oleh Baginda Raja Salman.

Jika hati sudah hitam, maka hitamlah jadinya walaupun betapa teruk kita cuba memutihkannya. Inilah gambaran awal apa yang akan mereka lakukan selepas ini. Tidak dapat dipastikan, apakah fitnah terbaru yang mereka cipta, namun jika dinilai dari sudut kerja jahat mereka sebelum ini, pastinya akan muncul idea-idea jahat untuk menjahanamkan kerajaan Malaysia hari ini.

Sekolah SK Long Sobeng Tenggelam

 Beginilah keadaan banjir di SK Long Sobeng, Hulu Tinjar.

Seramai 29 murid asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sobeng, Hulu Tinjar bersama 13 guru dan enam kakitangan sekolah (bukan guru) dipindahkan ke rumah panjang Long Sobeng kelmarin. Ini berikutan paras air mendadak naik sehingga mencecah bumbung sekolah tersebut pada pagi semalam.

Pengurusan sekolah memberitahu, mereka terpaksa memindahkan semua murid dan kakitangan sekolah termasuk guru ke rumah panjang terletak di kawasan lebih tinggi demi keselamatan memandangkan paras air semakin naik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengakui banjir melanda kawasan Telang Usan awal tahun ini adalah antara terburuk dan pada masa ini dianggarkan lebih 10,000 orang penduduk terjejas akibat banjir.

Ia menenggelamkan sebahagian besar rumah panjang mereka yang kebanyakannya di kawasan rendah dan pinggir Sungai Baram serta Tinjar. “Selain masalah banjir semakin buruk melanda kawasan Telang Usan awal tahun ini, aspek keselamatan murid dan guru menjadi taruhan apabila berdepan situasi sukar dan berbahaya,” katanya di sini semalam.

Selain banjir menenggelamkan bangunan sekolah sehingga mencecah bumbung, jambatan kayu menghubungkan rumah panjang dengan SK Long Kevok di Apoh turut runtuh dan dihanyutkan arus deras menyebabkan murid dan guru tidak dapat turun ke sekolah.

“Terdapat dua jambatan di Long Kevok dan saya sudah menyuarakan bahawa penduduk memerlukan jambatan besi kukuh dan jambatan gantung lebih bagus di SK Long Luteng bagi memudahkan rakyat khususnya anak-anak ke sekolah.

“Sehubungan itu, saya minta Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg campur tangan dan terlibat dalam usaha membantu rakyat di Telang Usan,” katanya.

Antara kampung dilanda banjir berdasarkan laporan ketua kaum masing-masing ialah Long Bedian, Long Atip, Long Tujang, Long Buang, Long Bemang, Long Loyang, Long Batan, Long Aton, Long Sobeng, Long Anyat, Long Luteng, Long Puak dan Long Lama.

Dennis yang melawat sekitar kawasan di Telang Usan semalam berkata perjalanan beliau agak lambat kerana kebanyakan jalan menghubungkan rumah panjang ditenggelami air menyebabkan pihaknya terpaksa bergantung kepada bot-bot sahaja.

Pasukan pemantau diketuai beliau sendiri turut melibatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan tentera membawa bekalan makanan ke kampung-kampung di Long Wat dan sekitar Apoh serta di Long Anyat, Patah.

Dennis memberitahu, beliau sentiasa berhubung dengan Bilik Operasi Banjir di Pejabat Daerah Telang Usan, Long Lama bagi menerima laporan dari semasa ke semasa daripada ketua-ketua kaum. 

Sambil menyeru pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan keselamatan dan sentiasa bersiap sedia, Dennis turut mengingatkan penduduk berwaspada terutama paras air semakin naik dengan arus deras.

“Dengan keadaan hujan masih turun lebat di seluruh Telang Usan kita menjangkakan situasi kali ini menjadi lebih teruk tetapi kita berdoa agar dihindarkan daripada bencana dan perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Sehingga kini, belum ada pusat pemindahan banjir dibuka bagi kawasan Telang Usan kerana penduduk kampung memilih tinggal di bahagian atas atau tingkat atas bangunan rumah panjang mereka yang majoriti dibina dua tingkat. Mengenai bantuan makanan oleh kerajaan, beliau berkata ia hanya untuk mangsa banjir yang tinggal di rumah panjang.

“Walaupun rumah kamu dilanda banjir tetapi jika kamu tidak berada di rumah tersebut maka kamu tidak dapat membuat tuntutan kerosakan harta benda atau makanan kerana keutamaan diberikan kepada penduduk tinggal di rumah panjang atau kampung sahaja.

“Kita harus maklum bantuan bukan hanya untuk orang di bandar dan dengan ini saya memohon maaf kepada mereka kerana bantuan makanan ini untuk golongan benar-benar memerlukan dan mereka memerlukan pertolongan kerana ditimpa bencana,” tambah beliau mengulas tuntutan bantuan makanan oleh penghuni rumah panjang yang berada di bandar.

Dennis turut menasihati penduduk terjejas serta musnah tanaman dan huma mereka akibat banjir boleh membuat laporan segera kepada ketua kaum supaya membuat laporan kepada Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Telang Usan.

Kongsi Ilmu Dengan Remaja



Golongan remaja yang sering terdedah kepada penggunaan Internet membuatkan mereka lebih terbuka kepada sumber maklumat yang luas termasuk sukar menilai perkara sahih ataupun tidak. Penggunaan laman sosial yang sering menyebarkan maklumat tidak sahih membuatkan mereka memerlukan bimbingan dalam memilih maklumat tepat. 

Menyedari hal itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Siswazah Sabah (PSS) mengambil peranan memberi motivasi, kerohanian, kepemimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi khususnya dalam kalangan pelajar.

Persatuan yang mempunyai visi ingin menjadi sebuah organisasi terunggul dalam membentuk masyarakat yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek melalui pembudayaan ilmu itu kini mempunyai ahli lebih 500 orang sejak ia ditubuhkan pada 27 Ogos 2004.

Setiausaha Agung PSS, Hasmadi Hasbi, 28, berkata, pembabitannya dalam PSS sejak tujuh tahun lalu memberi pengalaman berharga kepada dirinya, selain berkongsi ilmu dengan remaja. Katanya, remaja kini adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan negara yang perlu dijaga, selain dididik agar tidak terjebak dengan perkara yang berunsur negatif.

“Mereka (remaja) mempunyai potensi yang boleh digilap untuk dimanfaatkan masyarakat setempat selain mudah dibentuk. Selain itu, mereka juga antara golongan yang mudah terpengaruh dengan apa juga yang dilalui dan di sini kami mengambil kesempatan untuk mengisi kehidupan mereka dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Menurutnya, aktiviti berfaedah itu berupaya memberi nilai tambah kepada mereka, selain menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Hasmadi yang bekerja sebagai Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah mengakui banyak memerlukan wang dalam menggerakkan aktiviti yang dirancang persatuan itu.

Katanya, sumbangan dan pengorbanan yang diberikan amat sedikit nilainya berbanding pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada program dianjurkan untuk remaja yang menyertainya. “Nilai yang berharga bukanlah pada wang ringgit, tetapi pada kepuasan selepas melaksanakan program.

“Saya gembira apabila suatu perkara dapat dikongsi khususnya dengan generasi muda yang sudah pasti akan dapat mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.

Mengamuk Hilang Telefon Bimbit





Seorang lelaki mengamuk dengan memegang pisau pemotong daging di sebuah restoran dekat Simpang Kuala di sini selepas menyedari telefon bimbit miliknya hilang ketika berada di restoran tersebut semalam. 

Lelaki berusia 37 tahun itu juga mengugut untuk membakar restoran tersebut dengan memotong saluran getah gas memasak dan membakarnya menggunakan pemetik api. Pisau pemotong daging itu dipercayai diambil lelaki itu dari dalam restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari kelmarin. “Lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, namun ujian air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

Sementara itu, beberapa klip video berdurasi pendek yang tersebar di media sosial memaparkan aksi lelaki itu mengamuk dengan dia dilihat menghayunkan pisau pemotong daging seolah-olah mengancam pihak berkuasa terdiri daripada anggota polis dan bomba yang cuba menenangkannya. 

Kebanyakan klip video tersebut disertakan kapsyen mengatakan kononnya individu tersebut sebagai gila atau kurang siuman. Mohd. Rozi memberitahu, lelaki itu direman selama tiga hari bermula semalam.

Abu Sayyaf Penggal Tebusan Warga Jerman


Militan Abu Sayyaf menyiarkan satu rakaman video yang memaparkan anggota kumpulan itu memenggal kepala tebusan warga Jerman, Jurgen Gustav Kantner yang diculik di selatan Filipina. 

Video pendek yang disiarkan SITE Intelligence Group, yang memantau laman sesawang militan, adalah petunjuk pertama Abu Sayyaf melaksanakan ancaman untuk membunuh Kantner selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat kelmarin. Dalam video berkenaan Kantner dilihat duduk di atas rumput dan berkata, ”Kini mereka akan membunuh saya.”

Seorang anggota militan yang memakai topeng kemudian memenggal kepala Kantner dengan menggunakan pisau bengkok. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman Martin Schaefer berkata, pakar meneliti video itu bagi memastikan ia asli atau tidak. “Sekiranya video ini asli, ia sangat mengejutkan,” katanya.

Abu Sayyaf menculik Kantner dan membunuh isterinya selepas memintas kapal layar yang dinaiki pasangan berkenaan berhampiran perairan Sabah di Malaysia pada November lalu.

Kumpulan itu meminta wang tebusan berjumlah 30 juta peso (RM2.7 juta) sebagai syarat untuk membebaskan Kantner. Abu Sayyaf juga masih menahan beberapa tebusan warga asing termasuk dari Indonesia dan Malaysia.

Magis Mourinho Julang United




JOSE Mourinho memulakan langkah kanan di Old Trafford apabila menghadiahkan trofi pertama buat Manchester United pada musim ini sejak membimbing The Red Devils Jun tahun lalu. Trofi itu diraih menerusi kejayaan United menewaskan Southampton 3-2 untuk menjulang Piala Liga England (EFL) di Stadium Wembley, London awal pagi semalam. 

Kejayaan itu juga menyaksikan Mourinho sebaris pengurus legenda Alex Ferguson dan Brian Clough yang berjaya memenangi empat trofi EFL sepanjang karier sebagai pengurus, namun beliau mencipta sejarah menjadi pengurus pertama yang memenangi trofi berkenaan pada musim pertamanya bersama kelab itu.

“Saya percaya kemenangan kami adalah kekecewaan yang sangat besar buat Claude Puel dan Southampton. Mereka mempunyai alasan untuk berasa sangat sedih. Mereka beraksi dengan cukup menakjubkan dan layak mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun mereka tewas kepada gol yang dijaringkan pada minit ke-87 menyebabkan rasa kecewa itu sangat menebal,” katanya.

Zlatan Ibrahimovic muncul wira apabila menghasilkan jaringan kemenangan United (m-87) selepas membuka tirai gol pada minit ke-19. Jesse Lingard turut mencatat nama selaku penjaring, manakala dua gol Southampton adalah hasil jaringan Manolo Gabbiadini.

Oscar : Mimpi Ngeri La La Land, Kemenangan Moonlight


Berlangsung dengan sempurna pada awal majlis, Oscar ke-89 berakhir dengan kejutan. Adakah ia hanya satu gimik atau kesalahan sebenar apabila anugerah terakhir dan utama iaitu Filem Terbaik salah diumumkan oleh Warren Beatty dan Faye Dunaway? 

Anugerah keramat tersebut sepatutnya milik naskhah Moonlight karya Berry Jenkins, bukannya hak La La Land, filem yang telah melakar sejarah apabila menjadi filem muzikal paling banyak memenangi anugerah dalam Golden Globe ke-74 baru-baru ini, dengan tujuh kemenangan.

Aktor veteran berusia 79 itu menjelaskan, insiden berkenaan berlaku secara tidak sengaja apabila beliau diberikan kad kemenangan Aktres Terbaik, (yang dimenangi Emma Stone) sekali gus menyangka La La Land adalah pemenang Filem Terbaik Oscar ke-89.

Ironinya, selepas penerbit filem La La Land iaitu Fred Berger, Jodan Horowitz dan Marc Platt menerima trofi yang menjadi rebutan tersebut dan hampir mengakhiri ucapan mereka, Beatty baru menyedari kesilapannya.

“Sejujurnya ia bukan satu lawak jenaka. Saya melihat nama Emma Stone tertera pada kad, jadi saya sangka La La Land adalah pemenangnya. Ia sebenarnya satu kesalahan teknikal daripada pihak Oscar,” ujar Beatty.

Perkara tersebut telah menimbulkan kekecohan di atas pentas dan ia kelihatan bagai pengulangan insiden pertandingan Miss Universe 2015 apabila kesilapan sama dilakukan oleh hosnya, Steve Harvey.

Biarpun ada yang berpendapat, insiden tersebut seperti satu konspirasi ciptaan Oscar untuk meraih perhatian, namun peminat dan pemerhati filem tetap berpuas hati apabila La La Land berjaya membawa pulang lima trofi utama iaitu Aktres Terbaik menerusi Emma Stone, Pengarah Terbaik (Damien Chazelle), Skor Muzik Asal Terbaik (Justin Hurwitz), Sinematografi Terbaik (Linus Sandgren) dan Rekaan Set Terbaik oleh David Wasco.

Penghormatan pertama

Di sebalik insiden yang menjadi mimpi ngeri dan memalukan seluruh produksi La La Land, hampir semua kemenangan yang diperoleh disifatkan diberi kepada pemenang yang tepat. Nama Emma Stone memang sudah dijangka akan merangkul trofi Aktres Terbaik, manakala Casey Affleck pula sudah diintai sebagai Aktor Terbaik.

Hadir dengan penuh harapan untuk membawa pulang trofi Aktres Terbaik, Stone yang pertama kali dicalonkan bagi kategori tersebut tidak menduga tuah berpihak kepadanya. “Terima kasih kepada pihak produksi yang banyak memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam filem ini, sekali gus mencatat kejayaan.

“Terima kasih juga kerana membuka peluang untuk saya mencapai impian (kemenangan),” jelasnya usai menerima trofi Oscar pertamanya. Sama seperti Stone, Affleck yang juga pertama kali membawa pulang trofi Oscar, mendedikasikan kemenangannya kepada produksi filem lakonannya itu, Manchester by the Sea.

“Kemenangan ini disebabkan usaha keras banyak pihak yang memberi peluang serta mendidik saya untuk menjadi terbaik dan mempercayai akan kebolehan diri sendiri,” tutur Affleck.

Kemenangan Affleck itu secara tidak langsung telah melenyapkan harapan empat pesaingnya yang tidak kurang hebat iaitu Andrew Garfield (Hacksaw Ridge), Ryan Gosling (La La Land), Viggo Mortensen (Captain Fantastic) dan Denzel Washington (Fences) untuk memiliki gelaran aktor terbaik dalam anugerah berprestij tersebut.

Ideologi Trump

Satu hal yang menjadikan Oscar ke-89 ‘mahal’ dan mencipta sejarahnya tersendiri adalah apabila naskhah dari Iran memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Kemenangan filem arahan Asghar Farhadi yang bertajuk The Salesman itu secara tidak langsung menjadi ‘cermin’ bantahan menentang propaganda Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bersikap rasis terhadap agama Islam apabila menghalang kemasukan rakyat daripada tujuh negara Islam dan salah satunya adalah Iran.

Oleh kerana itu, Asghar Farhadi enggan menghadiri anugerah tersebut kerana memboikot Trump. “Filem ini diharapkan dapat memberi gambaran tentang kehidupan imigran dari negara Islam yang datang ke AS atau fahaman pengganas seperti yang dinyatakan oleh Presiden AS yang baharu,” kata wakil Asghar Farhadi, Anouahwn Ansari saat menerima anugerah tersebut.

Kemenangan itu turut mendorong hos anugerah tersebut, Jimmy Kimmel memuat naik status di Twitter miliknya khusus buat Trump dengan harapan Presiden AS ke-45 itu memberi maklum balas terhadap kemenangan filem The Salesman.

Islam pertama

Belum cukup dengan pemilihan The Salesman, kemenangan aktor Mahershala Ali turut memperkuat Oscar ke-89 tidak membataskan seni menerusi agama. Hal ini kerana, Mahershala yang membawa watak seorang pengedar dadah bernama Juan dalam filem Moonlight, merupakan seorang Muslim.

Lelaki berusia 43 tahun itu juga merupakan aktor pertama yang memenangi Oscar sepanjang 89 kali anugerah tersebut diadakan. Dalam temu bual bersama media antarabangsa, Mahershala secara terbuka mengakui, berbangga menjadi pelakon Islam pertama yang memenangi Oscar, sementelah Presiden AS bersikap rasis terhadap masyarakat beragama Islam.

“Saya berasa bangga menjadi seorang Muslim dan tidak malu untuk mengakui hal itu kepada umum. Dalam pada itu saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mencatat kemenangan seperti hari ini.

“Kerjaya sebagai artis juga merupakan ibadah kepada Tuhan dan menjadi sebahagian daripada tugas kami untuk menyampaikan perkara benar berdasarkan pembawakan karakter secara jujur,” jelas Mahershala.

Tiada batasan

Selain insiden salah umum, kemenangan The Salesman serta Mahershala, ucapan kemenangan Aktres Pembantu Terbaik, Viola Davis turut menggamit perhatian. Ucapan Davis yang membawa watak sebagai Rose Masson dalam filem Fences mengundang air mata dalam kalangan penonton.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan peluang memiliki kerjaya sebagai seorang pelakon kerana ia dapat memberi lebih makna dalam menghargai kehidupan,” ujarnya. Oscar ke-89 ditutup dengan sebuah catatan kurang molek terhadap insiden salah umum, namun seburuk manapun sesuatu perkara, ia tetap telah berlangsung dengan berjaya dan memberi kemenangan kepada karyawan yang berhak.

Green Tech Sasar 300 Stesen Pengecas EV



Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech) menyasarkan untuk melihat lebih daripada 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini, didorong oleh pengenalan stesen pengecasan cepat, Terra 53. 

Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech, Ahmad Hadri Haris berkata, sehingga kini, terdapat hanya 150 stesen berkenaan dan pihaknya masih dalam perbincangan dengan beberapa rakan strategik termasuk BMW dan Petronas untuk meningkatkan lagi bilangan stesen berkenaan.

“Sejak enam bulan lalu, industri ini memperlihatkan pertumbuhan yang ketara dalam penggunaan EV. Seiring dengan penambahan itu, ABB Malaysia Sdn Bhd (ABB) melancarkan stesen Terra 53, satu-satunya penyelesaian bagi EV di pasaran tempatan, berfungsi untuk mengurangkan masa pengecasan kepada 15 minit.

“Pengangkutan darat mewakili satu daripada punca pengeluaran karbon terbesar di negara ini. Justeru, mobiliti mampan perlu menjadi penyelesaiannya.

"Pelancaran oleh ABB ini dilihat sebagai inisiatif yang saling melengkapi usaha GreenTech untuk mengukuhkan lagi ekosistem segmen EV Malaysia seiring dengan jumlah pengguna yang kian meningkat,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Terra 53, baru-baru ini.

Sushi Suami Isteri


Sushi antara makanan popular Jepun yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita tanpa mengira bangsa hingga boleh dikatakan di negara ini sajian itu begitu mudah didapati. Melihat peluang terbuka luas di depan mata, pasangan suami isteri muda ini tidak teragak-agak menjadikan sushi sebagai mata pencarian memandangkan sambutan terhadap makanan itu tidak kurang hebatnya. 

Apatah lagi melihat penyediaan sushi oleh orang Islam agak terhad malah isu keraguan status halal membuatkan mereka terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab fardu kifayah kepada masyarakat Islam yang menggemari hidangan itu.

Nyata percaturan yang dibuat Atiqah Sulaiman dan suami, Mohd Firdaus Ayub membuahkan hasil apabila perniagaan sushi buatan mereka, Sushika semakin mendapat tempat di hati pelanggan setia. Menariknya, sushi buatan suami isteri masing-masing berusia 27 tahun itu dibuat mengikut cita rasa tempatan dan ada antaranya diberi sentuhan Melayu dengan menambah sambal dan serunding.

Menurut Atiqah, ramai pelanggannya yang sebelum ini tidak menggemari sushi dan tidak pernah merasainya, tertarik dengan resipi yang dihasilkan mereka dan sudah dapat menerima hidangan itu. “Tidak sangka pula, ramai pelanggan saya sebelum ini tidak suka makan sushi kini sering membuat tempahan dengan kami kerana bagi mereka rasa sushi ini dapat diterima tekak.

“Lagipun, sushi kami dimasak sepenuhnya kerana tidak semua orang suka makan sushi dengan ikan atau makanan laut mentah. Selain itu, kami juga membuat sushi daripada daging dan ayam untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang tidak boleh makan makanan laut,” katanya. 

Selera jadi inspirasi 

Diusahakan sepenuhnya di rumah mereka di Selayang dan dipasarkan menerusi media sosial, Atiqah berkata, perniagaan makanan bukanlah asing buat keluarganya dan suami. Bapa dan kakak Firdaus, masing-masing mengusahakan perniagaan ayam goreng, jeli kelapa dan murtabak.

Menurut Atiqah, Sushika diusahakan mereka sejak lebih setahun lalu. Sebelum itu kedua-duanya terbabit dalam pemasaran pelbagai tingkat produk kesihatan sejak masing-masing mengikuti pengajian di universiti lebih tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia terpaksa memperlahankan pembabitan dalam perniagaan itu kerana kerjaya berkenaan memerlukannya bergerak aktif ke merata-rata tempat, pada masa sama dia perlu menguruskan dua anaknya dan mengandungkan anak ketiganya ketika itu. 

“Saya lebih gemar menjaga dan melihat anak saya membesar depan mata. Kekangan masa ketika menjual produk kesihatan dulu membuatkan saya nekad untuk menambah pendapatan dari rumah. 

“Saya dan suami membuat kajian mengenai produk yang mungkin menjadi permintaan di pasaran. Masa itulah tercetus idea untuk kami mulakan pembuatan sushi, kebetulan pula saya adalah penggemar makanan itu,” katanya.

Atiqah tidak menunggu lama untuk memulakan langkah dan rezeki memihak kepadanya apabila rakan kakak iparnya yang sudah 10 tahun menetap di Jepun sudi mengajarnya membuat sushi. Apabila sudah mahir membuat hidangan itu, Atiqah dan Firdaus cuba menjualnya di pasar malam di sekitar Lembah Klang, namun tiga bulan pertama perniagaan mereka tidak begitu memberangsangkan.

“Dalam sehari, kurang 10 gulung sushi dapat dijual di pasar malam. Masa itu, memang sukar buat kami kerana ia tidak seperti yang diharapkan. Tidak ramai orang yang datang mahu membeli sushi dan ia juga agak asing kerana tidak pernah ada orang menjual makanan itu di pasar malam.

“Tapi kami tidak berputus asa dan yakin pasti ada jalan untuk memajukan perniagaan kami. Kami menghadiri kelas pemasaran dan mula pasarkan melalui media sosial,” katanya. Atiqah berkata, percubaan mereka memasarkan melalui Facebook ketika itu membuahkan hasil dan kami membuat penghantaran melalui tempahan yang dibuat pelanggan.

Modal RM100

Dengan bermodalkan RM100 dan hanya mampu menjual lapan gulung sushi ketika memulakan Sushika, kini jualan mereka meningkat 10 kali ganda dan menerima tempahan tidak kurang 80 gulung sehari hingga mereka tidak menang tangan.

Atiqah berkata, mereka kini memiliki tiga kakitangan yang mengambil tempahan secara dalam talian, penghantar dan penggulung sushi selain dia dan suami yang menguruskan sepenuhnya pembuatan sushi. Katanya, jika dulu perniagaan itu dibuat semata-mata untuk menyara hidup sekeluarga, kini mereka berhasrat untuk membantu orang lain menambah pendapatan sebagai ejen Sushika. 

Sementara itu, Firdaus berkata, minat terhadap perniagaan bercambah ketika menuntut di universiti hingga selepas tamat pengajian mereka mengambil keputusan untuk berkahwin ketika masing-masing berusia 20 tahun.

Katanya, meskipun berkahwin pada usia muda, mereka mampu menyara diri dengan berniaga malah kedua-duanya tidak pernah meminta kerja kerana tidak berminat untuk makan gaji. “Mengusahakan Sushika juga pada mulanya tidak mudah kerana tidak semua orang menggemari sushi apatah lagi ia bukan makanan ruji orang Melayu.

“Tapi kami yakin dengan resipi yang diolah mengikut selera orang kita dan sesuai dimakan semua orang, Sushika mungkin diterima ramai. Alhamdulillah, penerimaannya luar biasa,” katanya.

Selain mahu mendapatkan lebih ramai ejen, mereka mengumpul modal untuk membuka restoran sushi pertama malah Sushika kini dalam proses menghasilkan produk sushi sejuk beku menerusi kerjasama dengan MARDI.

Katanya, Sushika kini menawarkan tujuh jenis sushi iaitu merecik hawau (sambal), maharaja udang, maharani salmon, serunding, tuna mayonis, inari lembu eksotik dan inari bbq salmon manakala produk itu mampu tahan selama dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

Selain itu, mereka turut menerima tempahan kek sushi untuk sebarang majlis seperti hari jadi dan hantaran yang turut mencipta kelainan dalam perkhidmatan usahawan muda ini. Menurutnya, penghantaran dibuat di sekitar Lembah Kelang, Shah Alam, Klang, Bangi dan Putrajaya menerusi pratempahan di laman sosial seperti Facebook Sushika dan atiqah sulaiman serta Instagram atiqah_sushika.

Monday, 27 February 2017

Korea Utara Berpesta Dua Hari Setelah Kematian Jong-nam


Tidak ada sesiapa akan menduga, sebuah negara yang dilabelkan sebagai paksi kejahatan oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan kuasa besar dunia, hari ini sedang berhadapan dengan sebuah negara kecil yang begitu patuh dan menitik beratkan undang-undang. Benar, hari ini, hubungan Malaysia dan Korea Utara telah berada dalam keadaan yang agak rumit.

Semuanya disebabkan oleh kematian abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam yang dipercayai dibunuh dengan menggunakan ejen gas VX yang dikenali sebagai gas pembunuh paling efisyen. Siapa sangka, pembunuhan Jong-nam ini telah menarik perhatian dunia kepada Malaysia yang majoritinya menyokong apa yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Disebalik kemelut ini, pada 16 Februari yang lalu, kerajaan Korea Utara telah menganjurkan sambutan ulang tahun kelahiran bapa Kim Jong-un, Kim Jong-il secara besar-besaran. Seperti biasa, walaupun Jong-il sudah meninggal dunia pada 17 Disember 2011, sambutannya tetap dibuat seperti beliau masih hidup.

Seluruh Pyongyang dipenuhi oleh rakyatnya yang boleh dianggap langsung tidak tahu akan pembunuhan Jong-nam yang diarahkan sendiri oleh adik tirinya. Manakan tidak, untuk melihat satu unit televisyen di Korea Utara, samalah ertinya seperti mencari sebutir berlian di tengan padang pasir. Itulah situasinya di Korea Utara.

Bermula dengan kata-kata aluan Jong-un yang lebih mendewakan datuk dan bapanya, beliau menekankan rakyat Korea Utara supaya mengekalkan prinsip "juche" atau memerlukan semua individu dan rakyat Korea Utara tunduk dan menyerah diri sepenuhnya kepada seorang pemimpin unggul dan penggantinya atau lebih tepat lagi menganggap pemimpinnya adalah kurniaan "dewa".

Ia diikuti dengan perarakan pelbagai senjata yang ada di Korea Utara sambil disambut dengan sorakan setiap orang rakyat Korea Utara. Jong-un atau semua pemimpin tenteranya langsung tidak menghebahkan kematian Jong-nam pada hari berkenaan dan mungkin, seluruh rakyat Korea Utara langsung tidak mengetahui kematian Jong-nam sehingga hari ini.

Lihatlah betapa kepimpinan Korea Utara mengekalkan sikap antagonisnya yang tersendiri. Mereka langsung tidak memperdulikan dunia luar dan lebih menyedihkan, pemimpinnya sendiri langsung tidak memperdulikan kehidupan seharian rakyatnya.

Apa yang diberi keutamaan adalah, pasukan ketenteraannya yang sentiasa diperkukuhkan disamping membina dan menguji peluru berpandu dan nuklearnya tanpa sedikit pun mengambil peduli kecaman antarabangsa terhadap mereka. Bagi Jong-un, semua perkara harus berpaksikan kepada kepada beliau dan undang-undang ini tidak akan dapat diubah selagi keluarga Kim menguasai Korea Utara.

Mahathir Lebih Rela Menyembah Bush Dari Raja Arab Saudi


Ketibaan Penjaga Dua Masjid Suci Umat Islam ke Malaysia semalam nyata disambut dengan penuh adat istiadat negara. Ini adalah kunjungan julung-julung kalinya Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia sejak ditabalkan menjadi Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015. 

Namun, disebalik kunjungan DiRaja ini, bagi pihak pembangkang terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutamanya Tun Dr Mahathir selaku Pengerusinya, mereka melihat kunjungan ini bukanlah satu kunjungan negara sahabat, sebaliknya ia adalah kunjungan penuh muslihat seperti yang dinyatakan Mahathir pada ceramah di Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Lebih melucukan, ada dakwaan yang tersebar sejak Sabtu lalu mendakwa, kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai wang yang cukup sehingga terpaksa menggadaikan Aramco, sebuah syarikat cari gali minyak Arab Saudi kepada pihak Petronas. Tidak cukup dengan itu, pelbagai tohmahan turut dilemparkan terhadap kunjungan bersejarah ini.

Apa yang menarik untuk diperkatakan adalah, bagaimana Mahathir, pihak pembangkang dan PPBM cukup iri hati dengan kunjungan ini. Sebelum ini, mereka langsung tidak mempercayai sumbangan RM 2.6 bilion itu datangnya dari kerajaan Arab Saudi. Namun sehingga kini, langsung tiada sebarang usaha dari mana-mana pihak di pembangkang untuk bertemu sendiri dengan Raja Salman bagi mendapatkan penjelasan.

Bagi Mahathir, kunjungan ini ternyata menambah perasaan dendamnya terhadap Datuk Seri Mohd Najib. Manakan tidak, sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, tidak pernah walau seorangpun Raja Arab Saudi singgah ke Malaysia. Sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, hanya beliau sahaja yang mengadakan kunjungan ke Arab Saudi namun kunjungan ini tidak pernah berbalas.

Apa yang melucukan, Mahathir sanggup mengeluarkan belanja puluhan juta hanya untuk bertemu dengan Presiden Amerika, George W Bush di White House. Namun, untuk mengeluarkan belanja bagi mengunjungi Raja Arab Saudi, amat sukar sekali untuk beliau lakukan.

Hari ini, peluang telah terbuka untuk Mahathir bertanya sendiri dengan Raja Arab Saudi berhubung derma berkenaan. Namun, apa yang beliau lakukan hanyalah berterusan menabur fitnah terhadap Baginda dan Datuk Seri Mohd Najib dan langsung tiada sebarang usaha dari beliau untuk mendapatkan kebenaran disebalik dakwaan beliau.

Kepada pentaksub Mahathir, sukalah diingatkan bahawa pihak Petronas amat berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Aramco dan perkara ini sudah diperkenankan oleh Baginda Raja Salman. Tidak timbul dakwaan Raja Salman mahu menjual Aramco kerana kerajaan Arab Saudi tidak pernah berada pada tahap kesukaran untuk mendapatkan wang sehingga kini.

Berhentilah memperbodohkan diri dengan melemparkan pelbagai dakwaan yang karut. Apa yang pasti, Mahathir sudah luput dari imej negarawan kerana imej dan kredibiliti seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi nyata telah menenggelamkan imej Mahathir. Tun Abdullah sendiri turut hadir sewaktu menyambut ketibaan Raja Salman semalam. Di mana Mahathir?

Banjir Semakin Teruk


Sebanyak 100 pintu di blok bangunan lama Rumah Panjang Long Bemang di kawasan Apoh dinaiki air yang masuk hari keempat sejak Khamis lalu dan keadaan air dipercayai semakin meningkat sehingga empat kaki pada petang semalam. 

Keadaan paras air semakin meningkat selepas hujan turun di hulu Apoh, turut menyebabkan paras air sungai naik menenggelamkan kawasan Long Bemang, kawasan rumah panjang suku kaum Kayan di tebing Sungai Apoh yang banjir setiap kali musim tengkujuh.

Manakala di Kampung Melinau , Mulu dalam kawasan Taman Negara Mulu, terutama rumah di kawasan rendah turut dilanda banjir pagi semalam termasuk rumah panjang suku kaum Penan di Batu Bungan dan rumah Ketua Kaum Long Terawan/Mulu Edmund Abang yang sudah dinaiki air sehingga paras dua kaki.

Sementara itu, keadaan banjir Klinik Long Bemang masih dalam keadaan terkawal, dengan keenam-enam kakitangan kini dalam keadaan bersiap sedia dan berjaga-jaga manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang , keadaan air semakin meningkat kerana hujan turun di hulu. 

Manakala di Kampung Long Panai, antara terjejas ialah 59 pintu dengan 295 mangsa banjir termasuk kakitangan Klinik Long Panai yang terdiri daripada lima keluarga dengan 10 orang, Kampung Melinau Mulu sebanyak 43 keluarga dengan 285 mangsa banjir dan Klinik Mulu/

Tujuh keluarga dengan 14 mangsa, SK Batu Bungan terdiri daripada 14 keluarga (kakitangan serta guru sekolah) dengan 40 mangsa banjir, SK Long Panai (lapan keluarga dengan 15 mangsa) serta SMK Tutoh Apoh terdiri daripada 24 keluarga (kakitangan dan guru) dengan 26 mangsa banjir.

Menurut Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, pegawai pejabatnya diketuai Pegawai Tadbir (SAO) Ping Anyie memantau situasi banjir sejak 23 Februari lalu hingga semalam di Long Bemang.

“Selain pasukan saya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di Long Bemang termasuk anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut sama membantu mangsa banjir di sana,” katanya.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dimaklum dan menurut sumber penduduk kampung, bantuan makanan dalam tin dan sebagainya, yang memang disimpan di rumah panjang tersebut telah diagih kepada mangsa banjir.

Bagaimanapun penduduk bimbang ada kemungkinan sebahagian daripada barangan tersebut sudah sampai tarikh luput dan tidak selamat untuk dimakan. Sehubungan itu, penduduk rumah panj ang memohon pihak berkaitan menghantar bantuan makanan baharu ke kampung berkenaan.

Manakala Pegawai Tadbir Daerah Kecil Mulu Rebbeta Janggi yang dihubungi petang semalam mengesahkan mengenai tiga kampung di kawasan berkenaan turut dilanda banjir. Menurut Rebetta lagi, rumah panjang Penan di Batu Bungan turut terjejas dan melibatkan 73 keluarga dengan 293 mangsa banjir.

Polis Mahu Jumpa Waris Remaja Maut



Polis bercadang untuk mengadakan satu pertemuan dengan waris lapan remaja berbasikal yang terkorban dirempuh kereta Nissan Almera dipandu seorang gadis di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada Sabtu lepas bagi memaklumkan status terkini siasatan kes tersebut. 

Pertemuan itu diadakan bagi membolehkan waris-waris mendapatkan perkembangan terkini mengenai status kes berkenaan selain waris-waris juga boleh bertanyakan pelbagai soalan kepada pihak polis berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya telus dalam menjalankan siasatan kes tersebut dan tidak melin­dungi sesiapa termasuk pemandu gadis yang melanggar remaja berbasikal berkenaan.

Indonesia Balas Balik


Tindakan Indonesia melarang pesawat membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memasuki ruang udara negara itu adalah sebagai balasan kerana Tel Aviv pernah menghalang Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi masuk ke Palestin pada tahun lalu. 

Kementerian Luar Indonesia dilaporkan mengesahkan pesawat yang membawa Netanyahu dari Singapura menuju ke Australia memasuki ruang udara negara itu pada 22 Februari lalu. Katanya, larangan itu dibuat sebagai balasan kepada layanan Israel terhadap Retno sebelum ini.

Menurut laporan media, akibat larangan itu pesawat yang membawa Netanyahu terpaksa mengambil laluan pelik yang lebih jauh. Netanyahu dilaporkan tiba di Sydney selepas melalui penerbangan selama 11 jam dari Singapura.

Sekiranya terbang melintas ruang udara Indonesia, penerbangan itu hanya mengambil masa selama 8 jam 30 minit. Seperti kebanyakan negara Islam lain, Indonesia yang mempunyai 250 juta penduduk beragama Islam turut tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kebanyakan negara Islam tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai membantah kekejaman rejim itu di Palestin. “Kejadian ini adalah biasa dan tiada yang perlu dikhuatiri kerana Indonesia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik.

“Perkara yang sama pernah dilakukan Israel terhadap Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Luar, Armanatha Nasir. Armanatha dipercayai merujuk kejadian pada Mac tahun lalu apabila Israel menghalang pesawat Jordan yang membawa Retno melawat Ramallah di Palestin.

Dalam lawatan itu, Retno dijadual bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan merasmikan konsulat Indonesia di Amman, Jordan.

Gibbons Menang Peringkat Kelima LTdL 2017



Pelumba Dimension Data, Ryan Gibbons memenangi peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 dari Meru Raya, Perak ke Kuala Kubu Bharu sejauh 151.5km, semalam.

Penyarung jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan itu mencatatkan masa tiga jam 27 minit 20 saat. Kejayaan menjuarai peringkat kelima turut membolehkan Gibbons merampas jersi Raja Pecut.

Tempat kedua pada peringkat kelima adalah Jakub Mareczko dari Team Wilier Triestina manakala Travis McCabe dari UnitedHealthcare Pro Cycling dinobatkan tempat ketiga.

John Kronborg Ebsen dari Infinite AIS Cycling Team mengekalkan jersi Raja Bukit manakala Yevgeniy Gidich dari Vino Astana Motors kekla jersi pelumba terbaik Asia.

Bill Paxton Meninggal Dunia



Pelakon Bill Paxton, 61, yang terkenal dengan watak angkasawan dalam filem 'Apollo 13' dan pemburu harta karun dalam 'Titanic' meninggal dunia, Sabtu lalu akibat komplikasi pembedahan. Wakil keluarga mengeluarkan kenyataan pada Ahad namun tidak memberi maklumat lebih lanjut. 

"Semangat Bill bagi industri seni jelas diketahui oleh mereka yang mengenalinya dan kemesraan serta kesungguhannya tidak dapat dinafikan," kata kenyataan itu.

Keluarganya turut meminta supaya tidak diganggu buat masa ini. Paxton yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat mula bekerja dalam jabatan seni pada filem Roger Corman pada zaman 70-an sebelum mendapat peluang berlakon.

Beliau kerap kali menjadi pilihan pengarah, James Cameron pada zaman 80-an dan 90-an dan berlakon dalam filem seperti 'The Terminator,' 'Aliens' dan 'Titanic.' Paxton meninggalkan isteri keduanya, Louise Newbury serta dua anak. Perkahwinan pertamanya kepada pelakon Kelly Rowan berakhir dengah penceraian.

Citibank Lancar Citi Simplicity+


Citibank Malaysia melancarkan kad kredit terbaharunya iaitu Citi Simplicity+ yang menawarkan ganjaran kepada pemegang kad yang membuat pembayaran bulanan tepat pada masanya. Ia juga menawarkan 10 peratus pulangan atas caj faedah, serta tiada yuran tahunan, tiada caj pembayaran lewat, dan tiada yuran lebih had. 

Ketua Kad dan Pinjaman Konsumer Citi Malaysia, Federico Grigera berkata, Citi Simplicity+ ialah kad kredit inovatif yang dicipta untuk menangani keperluan pengguna dengan menawarkan manfaat yang mudah dan penjimatan untuk mempermudahkan pengalaman perbankan bagi pemegang kad. 

“Kad ini adalah satu-satunya kad kredit di pasaran yang memberi ganjaran kepada pelanggannnya yang membayar sekurang-kurangnya amaun minimum bulanan tepat pada masanya.

“Kad ini telah diperkenalkan di Amerika Syarikat, Australia, Emiriyah Arab Bersatu, Poland, Rusia dan Indonesia. Malaysia ialah negara kedua untuk memperkenalkan produk versi Plus, yang memberikan 10 peratus pulangan faedah untuk bayaran tepat masa,” katanya.

Menurutnya, Citi Simplicity+ memberi manfaat kepada mereka yang ingin mendapatkan kad kredit pertama, serta pemegang kad sedia ada yang mahukan kad kredit yang lebih ringkas.

“Ia melengkapkan rangkaian produk kad kami yang sedia ada, dan membantu memperkukuh displin tertentu berkaitan pembayaran. Pemegang kad boleh menguruskan pembayaran semula kad kredit mereka dengan lebih baik dan terkawal.

“Kami berasa amat teruja dengan pelancaran tawaran baharu ini di Malaysia dan berharap pengguna juga akan turut teruja,” katanya.

Citi kekal sebagai antara peneraju pasaran dalam industri kad kredit dari segi penggunaan kad kredit, dengan tawaran rangkaian produk kad kredit yang memanfaatkan keperluan gaya hidup yang berbeza-beza.

Beberapa kebaikan kad kredit Citi yang turut ditawarkan dalam Citi Simplicity+, termasuk promosi beli-belah yang menarik, perjalanan dan makanan di lebih daripada 2,000 kedai di seluruh negara. 

Untuk maklumat lanjut mengenai kad Citi Simplicity+, termasuk manfaat, terma, kelayakan dan bagaimana untuk memohon kad, sila lawati www.citibank.com.my/simplicity, atau kunjungi cawangan terdekat.

Rawatan Murah Diabetes





Rakyat Malaysia dinyatakan sebagai pesakit diabetes tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan anggaran 3.5 juta orang dan bilangan pesakit meningkat dengan pesat mencecah 4.5 juta menjelang 2020. Lebih membimbangkan, bilangan pesakit muda menghidap diabetes berusia 18 hingga 35 tahun meningkat 300 peratus sejak 15 tahun lalu. 

Malangnya, diabetes adalah penyakit ditanggung sepanjang hayat, malah kos rawatannya juga amat membebankan. Pada 2010, beban penjagaan kesihatan berkaitan diabetes menelan kira-kira 16 peratus daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan kebangsaan yang berjumlah RM2.4 bilion sekali gus mengancam pengurusan keseluruhan penyakit ini.

Oleh itu, bagi memastikan akses kepada ubat-ubatan berkualiti tinggi mampu dimiliki dan pada masa sama berkesan untuk menguruskan beban rawatan diabetes, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) memperkenalkan terapi insulin glargin biosimilar yang pertama di negara ini dikenali sebagai Basalog.

Hormon buatan itu yang dihasilkan dalam badan berfungsi mengurangkan tahap glukosa (gula) dalam darah dibangunkan bersama Biocon Ltd dari India mempunyai analog insulin manusia dengan jangka hayat lama yang mampu bertindak beberapa jam selepas suntikan sehingga 24 jam.

Terapi insulin berkenaan dikatakan mampu milik apabila menawarkan rawatan yang murah dan berbaloi dari segi kos serta sudah melalui ujian antarabangsa dan memperoleh kelulusan dalam pasaran yang mempunyai peraturan sangat ketat seperti di Jepun.

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan, Hospital Peringatan MS Ramaiah di Bangalore, India, Profesor Dr Mala Dharmalingam, terapi insulin biosimilar menawarkan pematuhan kawalan glukosa yang lebih baik dengan satu suntikan.

Ia menggantikan insulin lain yang tidak bertindak untuk 24 jam, malah mengurangkan ketidakselesaan pelbagai suntikan insulin dan mengelakkan kemungkinan mendapat gula darah rendah atau hipoglisemia.

“Satu kajian selama 24 minggu bagi menilai keselamatan, toleransi dan kecekapan ubat ini dijalankan terhadap 119 pesakit diabetes di Malaysia menunjukkan insulin biosimilar memiliki setara daripada segi biologi daripada ubat asal.

“Insulin biosimilar bertoleransi dengan baik malah cekap dalam rawatan pesakit. Ini berpotensi me­ngurangkan kos rawatan dan meningkatkan had mampu milik terhadap insulin,” katanya. 

Menurutnya, terdapat keperluan besar dalam perubatan yang belum dipenuhi bagi mendapatkan ubat biosimilar yang berkualiti tinggi dan harga berpatutan. “Kami menjalankan percubaan klinikal penggunaan insulin glargin biosimilar di Jepun dan hasilnya pihak berkuasa perubatan di sana meluluskan pengedaran ubat ini untuk kegunaan pesakit diabetes di negara terbabit.

“Kelulusan penggunaan insulin glargin ini diperoleh selepas melengkapkan kajian klinikal Fasa III membabitkan 250 pesakit diabetes Jenis 1. Percubaan klinikal menunjukkan insulin glargin biosimilar cekap mengawal gula darah sama seperti inovasi glargin sebelumnya.

“Malah, penggunaan dos harian insulin tidak ada beza dengan yang lain dan kesan sampingan penggunaan ubat berkenaan juga tidak dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Zanariah Hussein berkata terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk insulin biosimilar berikutan ubat biosimilar adalah susulan pada versi ubat biologi asal.

“Selain kosnya lebih efektif dari ubat inovasi asal, ia juga sama daripada segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan dalam merawat penyakit,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, dengan anggaran 3.5 juta pesakit diabetes di negara in, pihaknya berharap dapat menambah baik pengurusan penyakit terbabit. 

“Syarikat komited bekerjasama dengan pihak berkuasa dan komuniti penjagaan kesihatan profesional dalam membantu rakyat Malaysia serta kerajaan mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan menerusi penggunaan insulin biosimilar berkualiti tinggi.

“Basalog disyorkan kepada pesakit diabetes Jenis 1 dan 2, malah ia juga diluluskan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK),” katanya.

Sunday, 26 February 2017

Sejarah Panjang Hubungan Dua Hala Malaysia - Arab Saudi



Kunjungan "King of the King" dan Penjaga Dua Buah Masjid Suci Umat Islam, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia hari ini menandakan betapa eratnya hubungan dua hala Putrajaya -Riyadh yang telah terjalin sejak sekian lama. Smeemangnya, kunjungan ini menjadikan persahabatan antara dua buah negara Islam ini akan menjadi lebih erat yang telah terjalin sejak lebih 617 tahun lalu.

Sebenarnya, hubungan erat antara kerajaan Arab ini dengan Malaysia telah terjalin sejak 1,400 tahun yang lalu sewaktu Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika ini, antara pedagang luar yang mula-mula sekali menjejakkan kaki ke Tanah Melayu ini adalah pedagang dari Arab yang singgah di Pelabuhan Melaka dalam perjalanan mereka ke Tanah Besar China.

Melalui Kesultanan Melayu Melaka, para pedagang dan alim ulama dari Tanah Arab ini menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam di Nusantara selain menjalankan perdagangan. Menurut sejarah, kebanyakan pedagang Arab yang datang ke Melaka adalah dari Tanah Arab, Oman dan Aden.

Selama beberapa dekad, hubungan dua hala ini terlalu erat selain daripada hubungan diplomatik antara Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan China. Namun, hubungan ini terjejas dan seterusnya terputus sewaktu Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511. Hubungan Diplomatik ini kembali terjalin selepas Malaya (Malaysia) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sebaik Malaysia mengecapi kemerdekaan, antara negara pertama yang menghantar wakilnya ke Malaysia adalah Arab Saudi dan ini telah membuka lembaran baru dalam hubungan diplomatik pada era moden.

Kemuncaknya adalah pada 1970 apabila Almarhum Raja Al Malik Faisal berkenan mengunjungi Kuala Lumpur dan sekaligus mempertingkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. Kunjungan ini dianggap berjaya kerana menerusi kunjungan ini, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi memperkukuhkan hubungan diplomatik, ekonomi, dan usahasama serantau.

Malah pada ketika itu, Kerajaan Arab Saudi memberikan bantuan kewangan kepada Malaysia menerusi dua bentuk. Bantuan berkenaan merangkumi Dana Pembangunan Arab Saudi dan bantuan untuk mengukuhkan pembangunan Malaysia.

Hubungan antara Kuala Lumpur -Riyadh ini terus berjalan seiring dengan waktu di mana kerajaan Arab Saudi menyokong usaha Malaysia untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini. Untuk ini, pada tahun 1983, kerajaan Arab Saudi menyumbang bantuan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa.

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa kerajaan Arab Saudi pernah menyumbangkan USD $ 200 juta dalam bentuk kewangan bermula menerusi Pelan Ekonomi Ketiga Negara (1976-1980). Pada 1976 hingga 1983, Malaysia terus menerima bantuan berbentuk pinjaman menerusi tiga projek mega utama negara.

Projek-projek berkenaan adalah penempatan Lepar Utara, pembinaan lima buah Maktab Rendah Sains Mara dan pembinaan empat hospital daerah. Kesemua sumbangan ini disalurkan terus dari Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia dan sejak 1970, tiada seorangpun Raja Arab Saudi singgah ke Malaysia walaupun menurut rekod, Raja Arab Saudi pernah mengunjungi Singapura dan Indonesia.

Hari ini, hubungan kerjasama Riyadh - Putrajaya terus berkembang menerusi pembabitan Malaysia dalam ASEAN dan kerjasama dengan Arab Saudi samada menerusi OIC mahupun membabitkan pertahanan.

Pada Disember 2015, Malaysia telah menyertai ahli gabungan tentera Islam 34 buah negara yang akan bertindak menjadi benteng utama ketenteraan dalam memerangi keganasan terutamanya sebarang ancaman terhadap dua buah Masjid Suci Umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Justeru tidak hairanlah kenapa Arab Saudi amat menyanjungi hubungan akrab antara Malaysia yang di pimpin oleh Datuk Seri Mohd Najib dan Arab Saudi yang diketuai oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud.