My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 4 March 2017

    10 Artis Wanita Popular


    Dunia hiburan tidak pernah tidur. Ia suatu dunia yang memperlihatkan keunggulan selebriti baru dan lama dalam menebarkan bakat serta cinta mereka terhadap seni. Tidak dinafikan, kemunculan artis baru sentiasa lebih mendapat perhatian manakala yang lama andai masih berkualiti, akan terus bertahan dan diminati ramai. 

    Siapakah artis wanita yang dianggap popular masa kini?

    1. AYDA JEBAT

    Mula menapak dalam industri hiburan tanah air melalui program Akademi Fantasia 9 (AF9) Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat kini sudah cukup popular.

    Sangat komited dan berdedikasi bintang Rindu Awak 200% ini juga membuktikan kemampuannya dalam bidang nyanyian apabila single Pencuri Hati dan Nakal membawa tuah berganda buatnya. Dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2016, Pencuri Hati karya Kevin Chin itu berjaya melonjakkan namanya di Indinesia.


    2. JANNA NICK 

    Kehadirannya mula disedari selepas membintangi drama bersiri Syurga Nur menerusi slot Akasia. Dengan gaya lakonan bersahaja, kredibiliti Janna Nick berjaya mencuri perhatian ramai. Siapa sangka, selama lima tahun menjadi anak seni, Janna hari ini mula dipilih memegang peranan heroin. Gadis ini terus cemerlang membina nama meskipun terpalit beberapa kontroversi. 

    3. SCHA AL-YAHYA

    Meskipun sudah berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lara Alana, 3, populariti Scha Al-Yahya, 34, dilihat masih hebat. Dia masih ditawarkan watak utama bagi beberapa drama bersiri. Antaranya Isteri vs Tunang dan Urusan Hati Cik Drama Queen. Pada masa sama, Scha juga laris sebagai duta bagi beberapa produk antarabangsa.

    4. NEELOFA 

    Kejayaan demi kejayaan diraih pelakon serta pengacara ini tahun lalu dan justifikasi terbabit bukan kenyataan berat buat populariti Neelofa. Wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mampu tersenyum dengan beberapa anugerah dan pencapaian yang dirangkulnya.

    Bermula dengan gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH29), Neelofa terus mencanai gemintang populariti menerusi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot dengan Fattah Amin, sehingga berjaya mencetuskan fenomena luar biasa. Bisnes kencang tudung hijabnya juga bukti dia cukup popular

    5. MIRA FILZAH 

    Nama wanita berwajah keanak-anakan, Mira Filzah mula menjadi bualan dalam laman sosial apabila gambarnya yang beruniform lengkap pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diviralkan dek kecomelan empunya diri.

    Pada waktu itu, tidak ramai yang tahu Mira sebenarnya bukan petugas JPJ, tetapi seorang pendatang baharu dalam industri hiburan yang bertatih untuk bergelar pelakon. Siapa sangka, populariti Mira naik mendadak gara-gara drama Cinta Si Wedding Planner yang bersiaran di TV3. Sejak itu, wanita berimej bertudung itu dibanjiri tawaran demi tawaran sebagai pelakon dan pengacara.

    6. AMYRA ROSLI 

    Lakonan Amyra Rosli sebagai Seroja Irdina dalam drama bersiri Isteri Tuan Ihsan yang ditayangkan di Astro Ria penghujung tahun lalu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai aktres berkualiti. Ramai pihak yang memuji bakat lakonannya yang bersahaja dan penuh karisma.

    Meskipun sudah mendirikan rumah tangga dengan Amar Baharin, rezeki Amyra dalam industri seni tempatan masih deras seperti masih bujang.

    7. NORA DANISH

    Status ibu tunggal tidak sedikit pun menghanyutkan namanya dalam industri seni tempatan. Dia masih menjadi sebutan ramai dengan eksplorasi bakat luar biasa yang dimilikinya. Bagaimanapun, dengan status yang dibawa dan berada dalam dunia hiburan, Nora tidak mungkin dapat lari jauh dari kontroversi.

    Namun terbaharu wanita berusia 36 tahun itu mengesahkan bakal berkahwin dengan kekasihnya, Nedim Nazri pada tahun ini, namun belum bersedia berkongsi lebih lanjut tarikh dan butiran majlis perkahwinannya.

    8. YUNA 

    Sudah enam tahun berlalu buat insan hebat dan popular kelahiran Alor Setar, Kedah ini mencipta nama di luar negara. Yuna mula mengorak langkah ke laman antarabangsa apabila disunting menyertai syarikat rakaman Verve Music Group yang juga antara syarikat rakaman terunggul di Amerika Syarikat dipengerusikan David Foster.

    Malah kemunculan Yuna menerusi kerjasama dengan penyanyi antarabangsa, Usher dalam single Crush melonjakkan lagi namanya sehingga menjadi viral di peringkat dunia.

    9. DAYANG NURFAIZAH 

    Pentas anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) yang berlangsung Januari lalu membuktikan kehebatan anak Sarawak - Dayang Nurfaizah z apabila unggul menjulang trofi AJL31 menerusi lagu popularnya, Lelaki Teragung. Lantunan vokalnya yang penuh magis terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi bervokal hebat secara hatrik dalam AJL.

    10. DATUK SITI NURHALIZA

    Siti Nurhaliza satu jenama seni yang cukup unggul dan terus popular. Beliau selayaknya mewakili keseluruhan revolusi muzik moden dan etnik di Nusantara sepanjang lebih 20 tahun lalu sejak mula menyanyi. Mempunyai 16 album, penyanyi yang melonjak nama dengan lagu Mawarku dan Jerat Percintaan ini sudah pun mempunyai empayar seninya sendiri di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia serta berada dalam kelas tersendiri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 10 Artis Wanita Popular Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top