Friday, 31 March 2017

Gagal Serang Najib, Kini Rosmah Pula Jadi Sasaran

 


Bagi kalangan pembangkang di negara ini, antara subjek yang cukup disukai untuk diserang adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Pelbagai cerita dan fitnah mereka reka hanya semata-mata untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Perdana Menteri agar beliau dilihat gagal dan dibenci oleh rakyat.

Sebut sahaja apa perkara yang tidak di tujukan kepada Perdana Menteri baik dari isu 1MDB, masalah tekanan ekonomi, kemelesetan ekonomi sehinggalah jika disaman oleh pihak Polis DiRaja Malaysia pun, Datuk Seri Mohd Najib dipersalahkan. Pendek kata, apa sahaja yang menyusahkan hidup penyokong mahupun pemimpin pembangkang, semuanya salah Datuk Seri Mohd Najib.

Menariknya, selaku Perdana Menteri yang dipilih secara sah oleh rakyat, beliau tidak mudah melatah dengan semua tuduhan dan fitnah ini. Beliau sentiasa tenang dan meneruskan tugas beliau seperti biasa walaupun hebat diasak oleh penyokong mahupun pemimpin pembangkang, termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Melihat akan kegagalan mereka menggoyahkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib, seperti dirancang, Datin Seri Rosmah Mansur pula menjadi sasaran. Sebagai isteri Perdana Menteri, beliau tidak terlepas dari sebarang fitnah jahat yang direka pembangkang. Ada sahaja tuduhan liar dilemparkan keatas beliau hanya semata-mata mahu menggoyahkan kedudukan suaminya sebagai Perdana Menteri.

Lebih melucukan, pada setiap kali demo yang dianjurkan samada oleh NGO BERSIH mahupun beberapa parti pembangkang, antara ayat yang kerap mereka laungkan adalah "undur Najib" dan "undur Rosmah". Persoalannya, Datin Seri Rosmah mahu berundur dari jawatan apa dalam kerajaan?

Umum sedia maklum bahawa Datin Seri Rosmah bukanlah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen bagi mana-mana Parlimen di Malaysia mahupun seorang Menteri Kabinet. Beliau hanyalah isteri kepada Perdana Menteri yang menjadi kewajipannya menenami suaminya kemana sahaja Datuk Seri Mohd Najib pergi.

Justeru timbul persoalan, kenapa Datin Seri Rosmah dijadikan sasaran kegilaan politik pembangkang? Jika mereka berasa iri hati dengan cara Datin Seri Rosmah mengiringi suaminya, kenapa mereka tidak pula bersuara sewaktu Tun Dr Siti Hasmah menemani Mahathir mengadakan "roadtour" ceramahnya di serata Malaysia? Apa jawatan Siti Hasmah di dalam PPBM?

Kenapa pula mereka tidak mempersoalkan kenapa Datin Seri Wan Azizah mengetuai PKR sedangkan langsung tiada pemilihan berasaskan demokrasi yang membolehkan Wan Azizah kekal sebagai Presiden PKR? Bagaimana pula dengan kehadiran Betty Chew disisi Lim Guan Eng yang kini dilihat memegang jawatan antara yang terpenting dalam kerajaan DAP negeri Pulau Pinang?

Apa yang berlaku hari ini menyerlahkan betapa pembangkang di Malaysia benar-benar ketandusan isu. Mereka gagal menggugat kedudukan Datuk Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri dan kini, mereka menghalakan serangan mereka kearah Datin Seri Rosmah pula. Inikah cara politik matang dalam Pakatan Harapan? Sekali imbas, ianya sama sekali tidak mencerminkan kematangan setiap seorang pemimpin yang ada di dalam Pakatan Harapan.

RUU355 : Ini Masa Depan Umat Islam Bukan Cerita Politik Murahan



Sepanjang setahun terakhir ini, antara topik yang hangat di perkatakan adalah penggubalan semula Rang Undang-Undang Syarie (RUU355), bil persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Di kalangan pengamal politik pihak Pakatan Harapan, ianya dijadikan bahan politik oleh mereka yang sengaja dicetuskan untuk mengelirukan rakyat.

Sebenarnya, RUU355 ini adalah hasil daripada bil persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi dengan tujuan memperkasakan sistem perundangan syarie di negara ini. Kali terakhir undang-undang ini digubal adalah kira-kira lebih 30 tahun yang lalu. Justeru, bil persendirian Datuk Seri Abdul Hadi ini dilihat sudah kena pada masanya.

Jangkaan awal bil persendirian ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk diluluskan oleh Dewan Rakyat, nyata meleset sama sekali. Ini kerana, tidak semena-mena, RUU 355 ini dijadikan modal politik pembangkang serta bukan Islam dan seterusnya menolak sebarang usul untuk membincangkan RUU355 ini.

Amat menghairankan apabila RUU355 yang sepatutnya mudah diluluskan pantas ditentang oleh mereka. Walhal, RUU355 ini bertujuan untuk memperkasakan sistem perundangan syarie di negara ini dan langsung tidak ada kena mengena dengan bukan Islam. Malah kebimbangan kononnya RUU355 ini adalah salah satu hukum hudud nyata tidak berasas sama sekali.

Terbaru, Majlis Tertinggi Barisan Nasional kelmarin memutuskan bahawa BN tidak akan membentangkan sebarang usul membabitkan RUU355. Sebaliknya, BN menyerahkan tugas ini kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkannya. Sebenarnya, ia memang tepat kerana yang mengutarakan usul ini pada asalnya adalah Datuk Seri Abdul Hadi sendiri, bukan dari pihak BN.

Justeru, biarlah Datuk Seri Abdul Hadi menyelesaikan tugasnya terlebih dahulu. Namun begitu, bagi pihak pembangkang, mereka mendakwa keputusan MT BN ini adalah suatu pengkhianatan kepada PAS. Walhal, dalam satu kenyataan dari PAS baru-baru ini, mereka sendiri mahu membentangkan usul ini dan mereka yakin, UMNO selaku parti teras BN akan tetap menyokong usul berkenaan.

Agak menghairankan, kenapa RUU355 ini mudah dijadikan bahan politik murahan oleh segelintir pihak. Adakah hal-hal yang berkaitan dengan agama ini wajar dipersendakan? Adakah mereka tidak kisah dengan pelbagai masalah sosial yang muncul dan sistem perundangan yang lemah? RUU355 bukan isu politik sebaliknya ia adalah isu membabitkan pemerkasaan umat Islam di Malaysia.

Episod Duka Keluarga Berakhir



Selepas 10 hari anak lelakinya, Fandy Bakran, 27, diculik kumpulan mi­litan Abu Sayyaf pada Julai tahun lalu, dia diuji pula dengan satu lagi musibah apabila kediamannya musnah dalam kebakaran. 

Bagaimanapun, episod duka kehidupan ibu kepada mangsa culik itu, Hasmia Lahapi, 51, terubat selepas Fandy pulang ke pangkuannya dalam pertemuan di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Duta di sini hari ini.

Dengan linangan air mata ke­gembiraan, Hasmia melahirkan kesyukuran sekali gus dapat melupakan detik pahit kehidupannya walaupun rumah yang didiaminya di Tawau, Sabah musnah terbakar. 
“Selepas kehilangan Fandy, setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib dan keadaannya yang berada dalam tawanan pengganas.

“Tidak cukup dengan ujian itu, rumah kami pula musnah terbakar sehingga memaksa saya sekeluarga menumpang di rumah saudara-mara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Fandy dan dua lagi mangsa, Mohd. Jumadil Rahim, 24, dan Mohd. Ridzuan Ismail, 33, disatukan buat pertama kali de­ngan ahli keluarga masing-ma­sing dalam pertemuan yang diatur Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Dalam pada itu, isteri kepada Mohd. Ridzuan, Harianti Hamsi, 31, berkata, kehidupan yang dilaluinya lebih lapan bulan lalu selepas insiden penculikan itu amat sukar digambarkan. Dia yang dimaklumkan me­ngenai kejadian itu oleh rakan suaminya berkata, selepas kehilangan Mohd. Ridzuan, salah seorang daripada tiga anaknya mengalami demam panas.

“Saya juga terpaksa menguruskan anak sulung kami, Noridawati, 6, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) seorang diri. Apa-apa pun, saya amat bersyukur semua itu sudah berakhir dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyelamatkan suamin saya dan mangsa culik yang lain,” katanya.

Isnin lalu, Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiga mang­sa culik rakyat Malaysia telah diselamatkan Pasukan Khas Bersepadu Sulu dalam operasi ketenteraan di Sulu pada 26 Mac lalu. 

Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital tentera di Jolo, Sulu untuk dirawat sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 8 malam semalam.

Sebelum ini, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut bertemu dan mendengar sendiri cerita dua lagi nelayan yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63.
Kelima-lima mereka diculik oleh kumpulan militan itu ketika berada di atas kapal tunda Serudong 3 di perairan Dent Haven, Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu. Kapal itu ditemukan dalam keadaan enjinnya masih hidup di perairan itu.

RM1 Bilion Buka Tiga Cawangan Baharu Mydin



Pasaraya Besar Mydin (Mydin) merancang memperluaskan perniagaan di negeri ini dengan membuka tiga cawangan baharu di Sibu, Bintulu dan Miri. 

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini, pasar raya berkenaan sudah mempunyai dua cawangan di bandar raya ini dan sebuah lagi sedang dalam pembinaan yang bakal dibuka pada akhir tahun ini.

Katanya, perancangan membuka tiga cawangan baharu di bahagian utara Sarawak dibuat selepas melihat sambutan baik daripada penduduk negeri ini sejak pembukaan cawangan pertama di Bandar Baru Semariang, tahun lalu dan Mydin CityOne di sini, hari ini.

“Kami sudah meninjau beberapa kawasan di Sibu, Bintulu dan Miri yang dilihat berpotensi untuk mengembangkan lagi jenama Mydin di negeri ini, namun belum ada sebarang keputusan dibuat memandangkan ia masih dalam perancangan.

“Hal ini kerana terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu terutama aspek logistik dalam memastikan Mydin dapat bertapak di tiga kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Mydin CityOne di sini hari ini. Mydin Cityone menjadi cawangan kedua pasar raya besar itu di negeri ini dan ke-25 di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tiga lagi pasar raya Mydin bakal dibuka akhir tahun ini dengan kos keseluruhan dianggarkan lebih RM1 bilion. Menurutnya, sebuah daripadanya adalah di Vista Tunku di sini, yang juga merupakan cawangan ketiga di Sarawak, manakala dua lagi di Mutiara Rini, Johor dan Jengka, Pahang.

“Kesemua projek pembinaan tiga cawangan ini berada dalam fasa akhir dengan kos keseluruhan dianggarkan melebihi RM1 bilion,” ujarnya.

Tukar Mayat Jong-nam Bebaskan 9 Rakyat Malaysia



SERAMAI sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara sejak hampir sebulan lalu akhirnya dibenarkan pulang ke tanah air semalam selepas Malaysia menyerahkan mayat Kim Jong-nam kepada republik itu. 

Kesemua rakyat Malaysia itu berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam waktu Malaysia dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi tadi. Mayat Jong-nam pula diterbangkan dari KLIA ke Beijing, China menggunakan pesawat MH360 milik Malaysia Airlines pada pukul 6 petang semalam sebelum dihantar ke Korea Utara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mayat Jong-nam yang mati dibunuh pada 13 Februari lalu dikembalikan ke negara asal selepas kerajaan menerima permintaan daripada keluarga pemimpin buangan Korea Utara itu selain urusan bedah siasat telah selesai.

“Kita kini akan membenarkan rakyat Korea Utara untuk meninggalkan Malaysia,” kata Najib dalam satu kenyataan semalam.

Nora, Nedim Selamat Bernikah



Selepas hampir tujuh tahun menjalin cinta, pelakon popular, Nora Danish, 36, akhirnya selamat melangsungkan pernikahan de­ngan pasangannya, Nedim Datuk Seri Mohamad Nazri, 34, dalam sebuah majlis tertutup di ibu kota, semalam. 

Dengan dua kali lafaz, tepat pukul 8.37 malam, pelakon Suamiku Jatuh Dari Langit itu selamat dinikahkan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Khairul Asyraf Ahmad.

Pernikahan mereka sekali gus menamatkan status ibu tunggal yang dipegang Nora sejak lapan tahun lalu. Dalam majlis yang berlangsung sederhana namun meriah dengan kehadiran keluarga dan teman rapat itu, Nora dan Nedim bagaimanapun sepakat untuk tidak mendedahkan jumlah mas kahwin dan hantaran perkahwinan bagi menghormati keluarga masing-masing.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Danish Mohd. Haniff menerusi satu kenyataan media meluahkan rasa syukur dan gembira kerana semua urusan perkahwinannya dengan Nedim dipermudahkan. “Saya dan Nedim pernah merasai majlis pernikahan yang dibuat secara besar-besaran, namun untuk kali kedua ini biarlah kami bersederhana.

“Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah. Kami memilih cara ini kerana ia lebih peribadi dan intim,” katanya yang anggun mengenakan busana pengantin rona putih rekaan jenamanya, Owl By ND.

RM11 Juta Harga Dara Model Remaja



Seorang remaja Romania berusia 18 tahun mendakwa sudah menjual daranya kepada ahli perniagaan Hong Kong dengan harga £2 juta (RM11 juta) tahun lalu, walaupun ibu bapanya mengancam tidak akan mengaku dia sebagai anak jika meneruskan niatnya itu. 

Remaja itu, Khefren, model pakaian dalam dari Bucharest, urusan penjualan daranya itu diuruskan Cinderella Escorts, laman web berpangkalan di Jerman yang mengambil komisyen 20 peratus daripada £2 juta itu.

“Lebih baik saya menjual dara melalui Cinderella Escorts daripada memberinya ‘percuma’ kepada teman yang kemudian saya ditinggalkan. Saya rasa ramai perempuan berfikiran seperti saya. “Berapa ramai yang sedia melakukan seks pertama kali dengan percuma jika boleh mendapat 2.3 juta euro (£2 juta)?” katanya.

Menurutnya, ahli perniagaan itu amat mesra dan pertemuan pertama mereka ditemani kakitangan Cinderella Escorts. Menurut Cinderella Escorts sebelum ini, remaja itu dan pelanggannya bertemu di Jerman.

Menurut agensi itu, lebih 300 anak dara menghubungi mereka sejak Khefren mengumumkan secara terbuka mahu menjual daranya. Ibu bapanya yang kemudian mengetahui perkara itu menjadi berang dan merayu agar dia tidak meneruskan hasratnya.

Meski diancam bapanya, Toni, seorang anggota polis dan ibunya untuk tidak mengakui remaja itu anak mereka, Khefren tetap berkeras. Harga pembukaan untuk lelongan daranya ialah €1 juta Euros (RM4.8 juta). Khefren mendakwa berbuat demikian bagi mendapatkan wang selepas keluarganya bakal kehilangan rumah dan membiayai pengajiannya di Universiti Oxford.

Nasib Malang Pemain Liga M



MALANG sungguh nasib sesetengah pemain bola sepak profesional di negara ini. Mereka mengerah sepenuh tenaga di tengah-tengah padang tetapi imbuhan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Walaupun beraksi tanpa gaji gara-gara tertunggak sehingga beberapa bulan daripada majikan masing-masing tetapi mereka tetap berkorban kerana itu satu-satunya punca pencarian mereka. 

Aduan demi aduan telah dikemukakan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tetapi majikan terbabit tetap gagal untuk menyelesaikannya walaupun beberapa amaran telah dikeluarkan. Andai isu seperti ini gagal diselesaikan, ia bakal membantutkan segala usaha untuk memulihkan imej bola sepak negara.

Malah Presiden PFAM, Hairuddin Omar mendedahkan, pihaknya telah menerima lima laporan berhubung kes pasukan yang masih gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka.

Jelas Hairuddin, lima laporan itu diterima daripada pemain-pemain yang mewakili pasukan Kelantan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuantan FA dan Sabah dan ia telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hairuddin melahirkan sedikit rasa kesal dengan sikap sesetengah majikan yang masih gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut yang mana ada tuntutan daripada lima laporan itu berlarutan sehingga dua tahun.

Justeru, beliau menyahut seruan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar masalah tersebut diberi perhatian serius kerana secara tidak langsung boleh memberikan impak buruk kepada industri bola sepak Malaysia.

“FAM sebelum ini banyak berlembut dengan majikan-majikan terlibat sehingga ada sesetengah pemain masih gagal menuntut tunggakan gaji mereka sejak dua tahun lalu. Masalah ini boleh membawa suasana yang tidak sihat jika terus dibiarkan berlaku.

“Presiden FAM, Tunku Ismail telah melaungkan amaran supaya perkara-perkara seperti ini tidak boleh diambil ringan dan kami dalam PFAM akan memastikan masalah seperti ini tidak berlaku lagi. 

“Saya harap isu tunggakan gaji pemain ini diselesaikan segera oleh pasukan-pasukan terbabit bagi menjaga kebajikan para pemain. Saya juga berharap agar FAM mengambil tindakan tegas kepada pasukan-pasukan yang berdepan masalah seperti ini,” kata Hairuddin semalam.

Semalam, PFAM menerusi satu kenyataan rasmi berharap Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dapat melaksanakan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji para pemain mereka dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam sebelum ini mendedahkan bahawa dua pasukan yang beraksi pada Liga Super dan empat pasukan daripada saingan Liga Premier masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka berjumlah RM5 juta termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini.

Susulan itu Kevin mendedahkan, pasukan-pasukan tersebut diberikan tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikannya dan sekiranya masih gagal, potongan mata dalam liga akan dilakukan.

Ada Roh Dalam Robot



Filem Ghost in the Shell yang diadaptasi daripada karya manga Jepun, Masamune Shirow tentunya menjadi salah satu filem aksi yang ditunggu-tunggu penggemar filem bergenre begini. Pemilihan teraju utamanya, Scarlett Johansson adalah pilihan paling tepat. Visual serta penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI) bagi mewujudkan pelbagai seni bina digitalnya juga memang patut dipuji. 

Begitu juga dengan penghasilan set serta kostum yang digunakan sepanjang filem berdurasi satu jam 46 minit ini berlangsung, semuanya patut diberikan pujian. Namun, rentak filem arahan pengarah Rupert Sanders ini sedikit perlahan membuatkan ada beberapa babak yang membuatkan penonton kebosanan dan seperti keliru dengan latar belakang tahun 2029.

Jalan ceritanya mudah dijangka dan seperti yang pernah ditonton dalam beberapa filem lain seumpamanya sebelum ini. Ketika mula dipromosikan kepada dunia, rata-rata memberikan kritikan apabila watak utamanya, Major lakonan Johansson sepatutnya adalah orang Asia.

Namun, ada juga yang melontarkan pendapat bahawa dengan adanya lakonan hebat Johansson, memberikan jiwa buat Major yang kemudiannya mengetahui bahawa roh adalah roh gadis bernama Motoko Kusanagi.

Secara ringkas, Ghost in the Shell mengisahkan mengenai robot hibrid wanita bernama Major yang ditugaskan oleh syarikat teknologi, Hanka Robotics untuk memusnahkan Kuze. Kuze pada awalnya digambarkan sebagai watak jahat yang mewujudkan satu sistem jaringan untuk memusnahkan Hanka Robotics.

Namun, plot filem ini beralih apabila Major mendapati bahawa Kuze sebenarnya berada di pihak benar. Dari situ, dia mula mengetahui mengenai asal usulnya, sekali gus mendapatkan semula memori dan mengenali siapa dia sebenarnya.

Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, dia menyuntik jiwa dalam karakter yang dibawakannya, namun masih memberikan apa yang penonton mahukan. “Pada pendapat saya, apabila diberikan tanggungjawab untuk membawakan semula karakter yang disukai dan punya pengikut sendiri, penonton sudah punya pendapat tersendiri mengenai karakter itu.

“Saya cuba mengikut naluri dan menyuntik jiwa dalam karakter Major, dan pada masa sama, saya berharap dapat berikan keseimbangan pada watak itu seperti yang diharapkan penonton,” katanya. 

Selain Johansson, Ghost in the Shell turut dibintangi Takeshi Kitano, Michael Pitt, Pilou Asbaek, Chin Han dan ramai lagi. Ghost in the Shell ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam.

Honda Malaysia Rai Keluaran 600,000 Kenderaan


Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) meraikan kejayaan bersejarah pengeluaran 600,000 unit kenderaan pada majlis yang berlangsung di kilang pemasangannya di Pegoh, di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Honda Malaysia turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017) biarpun dalam keadaan pasaran yang begitu mencabar pada tahun lalu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Katsuto Hayashi berkata, jumlah pengeluaran itu menunjukkan tahap penerimaan terhadap kenderaan keluaran syarikatnya yang begitu baik disokong oleh pengguna tempatan.

“Selepas 14 tahun beroperasi, Honda Malaysia kini ada dua saluran pengeluaran di Pegoh dengan saluran kedua dibuka pada 2014, sekali gus membolehkan kami berkembang lebih pesat.

“Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam tempoh hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran dengan jumlah sama sebelum ini,” katanya pada Majlis Meraikan Dua Pencapaian Bersejarah, Pengeluaran Yang ke-600,000 Unit dan Jualan Mencecah 100,000 unit, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif merangkap Pegawai Eksekutif dan Pengarah Wakil Honda Motor Co Ltd, Seiji Kuraishi. Menurutnya, dengan kemudahan pemasangan di Pegoh, Honda Malaysia memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta menghasilkan produk terbaik untuk rakyat Malaysia.

Setakat ini, saluran pengeluaran satu dan dua memasang tujuh model kenderaan dimulakan dengan CR-V, City, Civic dan Accord diikuti Jazz, HR-V dan BR-V. “Pencapaian ini (jualan 100,000 unit) menandakan suku pertama tahun ini berjaya dan kukuh buat syarikat yang sememangnya terkenal dengan semangat menyahut cabaran serta menetapkan penanda aras dalam industri,” katanya. 

Dilengkapi teknologi canggih, kilang Pegoh dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran.

Kompak Tapi Selesa


Ketika pertama kali melihat model ini secara fizikal pada pameran automotif My Auto Fest 2016, penulis dapat menilai ia mampu merancakkan segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) di negara ini. Jika dibandingkan dengan pesaing paling dekat memiliki ciri pintu gelungsur adalah model Honda Freed itupun sudah agak lama menyepi tanpa kehadiran model baru. 

Bagaimanapun, Sienta yang diimport sepenuhnya dari kilang Toyota di Indonesia mempunyai kelebihan bukan sahaja reka bentuk luaran tetapi juga dalaman. Aspek yang cukup menarik perhatian penulis adalah kata-kata ucapan pada panel meter digitalnya yang boleh ditetapkan sendiri.

Misalnya, paparan meter itu boleh mengucapkan ‘Selamat Hari Jadi’ kepada sesiapa sahaja yang memandu kereta ini dengan hanya menetapkan tarikh berkenaan pada bahagian tetapan berdasarkan tiga tarikh pilihan.

Seronok bukan apabila anda menerima ucapan daripada kereta sendiri. Model ini dibina berasaskan kenderaan penumpang dan pertama kali diperkenalkan dalam tujuh tempat duduk khusus untuk keluarga bandar yang memerlukan kenderaan dengan reka bentuk bergaya.

Sebanyak dua varian diperkenalkan iaitu Sienta 1.5V dan 1.5G dengan enam pilihan warna iaitu Oren Metalik, Super White II, Perak Metalik, Kelabu Metalik, Attitude Black Mica dan Quartz Brown Metalik.

Reka bentuk luaran

Rekaan model ini diasaskan dari kasut treking yang mengambarkan karakter dinamik dan kepelbagaian fungsi. Ia juga direka dengan imej lebih muda dan penampilan luaran yang ceria serta menyeronokkan. Menerusi kemasan hitam pada bahagian bampar hadapan dan belakang, rekaan Sienta tidak membosankan.

Penampilan hadapannya adalah reka bentuk baru yang dihasilkan jurutera Toyota dan belum pernah ditonjolkan pada mana-mana model yang dijual UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT). Pasangan lampu utama model 1.5V menggunakan teknologi jenis Bi-LED bagi pancaran lampu yang lebih terang dan turut tampil dengan rekaan V dipadankan pada reka bentuk lampu berkenaan.

Berbeza dengan varian 1.5G, lampu digunakan adalah jenis Halogen. Begitu juga dengan lampu belakang LED berbeza antara varian seperti 1.5V tampil bercirikan V manakala 1.5G hanya jalur lampu biasa. Bagaimanapun, kedua-dua varian model ini memiliki lampu nyalaan siang (LED) di bamper bawah bagi menawarkan tahap kehadiran kereta ini pada waktu siang.

Kedua-dua varian ini juga dipadankan dengan lampu kabus belakang di tengah bamper untuk digunakan ketika dalam keadaan cuaca yang buruk seperti hujan lebat. Sesuai dengan ciri sebuah kenderaan bandar, badannya kompak (4,235mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,695mm tinggi) dan radius pusingan pula adalah 5.7m, menyenangkan pengendalian walaupun di dalam kawasan sempit.

Anda tidak perlu risau untuk membuat pusingan U dengan satu pusingan penuh sahaja atau meletakkan kenderaan dengan pantas. Bagi model 1.5V ini, ia tambah bergaya dengan rim 16 inci manakala varian 1.5G rim bersaiz 15 inci digunakan dan tayar simpanannya terletak dibawah kerusi baris ketiga yang mudah dikeluarkan tanpa perlu diturunkan ke bawah sebagaimana model Toyota Avanza.

Selesa untuk tujuh penumpang

Meskipun reka bentuk agak kompak dan menawarkan keselesaan untuk tujuh penumpang, ruang dalaman Sienta boleh diubah suai mengikut keperluan pemanduan sama ada untuk membawa barangan mahupun penumpang. Terdapat empat pilihan kedudukan kerusi dan apa yang paling menarik kerusi baris ketiga boleh disimpan kemas dibawah kerusi baris kedua.

Kaedah ini cukup unik kerana kedudukan bahagian belakang boleh menjadi rata sepenuhnya namun mengambil sedikit masa kepada penulis mempelajari dan memahami kaedah bagaimana untuk melipat kerusi baris ketiga ini.

Bagaimanapun, kelebihan paling ketara penggunaan pintu gelungsur automatik di kiri dan kanan memudahkan pergerakan keluar dan masuk penumpang malah tidak menimbulkan masalah jika kenderaan diparkir dikawasan sempit.

Suis kawalan pintu gelungsur ini juga boleh dikawal oleh pemandu pada panel dibahagian papan pemuka selain kunci kemasukan pintar bagi varian 1.5V. Bagi varian 1.5G, hanya pintu gelungsur sebelah kiri sahaja dilengkapi ciri automatik.

Bagi ciri keselamatan apabila secara tiba-tiba ketika pintu ini ditutup, terdapat ciri anti-henti yang memberhentikan pergerakan pintu apabila mengesan sebarang pergerakan. Begitu juga pintu gelungsur kiri tidak boleh dibuka ketika penutup minyak dibuka.

Meninjau rekabentuk papan pemukanya, walaupun mempunyai rekaan agak unik, ia memberi banyak kegunaan kepada pengguna kerana selain menempatkan butang kawalan, skrin hiburan 6.8 inci dan meter kombinasi Optitron (varian G tiada skrin ini dan meter kombinasi menggunakan jenis back light), ia mempunyai banyak ruang simpanan.

Pada bahagian penumpang ada tiga tingkat ruang simpanan dan di bahagian pemandu pula lebih kepada ruang-ruang kecil untuk barang seperti kad (Touch n Go), syiling dan telefon. Bagi varian V, tempat duduknya dibalut dengan fabrik berwarna oren, berbeza varian G yang menggunakan warna hitam.

Tombol gear terletak pada konsol tengah (bawah), menjadikan ia berlainan jika dibanding dengan Sienta pasaran Jepun yang tombol gearnya di atas. Ini adalah bagi menyesuaikannya dengan pilihan transmisi manual yang turut ditawarkan di Indonesia, manakala di Jepun hanya ada transmisi CVT sahaja.

Sebagai sebuah MPV, tidak lengkap sekiranya sistem pendingin hawa disediakan kepada penumpang belakang. Empat lubang pendingin hawa ini yang terletak dibahagian atas bumbung dalaman sudah dianggap mencukupi dan memberikan keselesaan ketika cuaca panas.

Bagi varian 1.5V, UMWT turut memadankan sebuah perakam video kamera dibahagian cermin utama yang boleh digunakan ketika berlaku kemalangan atau merekod perjalanan anda ke mana-mana destinasi yang dikehendaki.

Prestasi

Sienta dijana dengan enjin baru berkuasa 1.5 liter, empat silinder 16 injap aci sesondol berkembar (DOHC) yang menjimatkan penggunaan bahan api. Sistem Dual VVT-i menghamburkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 104 Nm pada 4,200 rpm manakala transmisi automatik CVT boleh digunakan sebagai pilihan kepada mod manual tujuh kelajuan.

Meskipun enjinnya agak ‘kasar’ sedikit apabila pedal minyak ditekan lebih agresif namun, selepas mencapai tahap penukaran gear penuh, model ini mampu melunjur laju tanpa penulis sedari kelajuannya mampu mencecah sehingga 170 kilometer sejam.

Tahap pengendalian stereng kuasa elektriknya juga stabil ketika berada dalam kelajuan tinggi dan tombol suis kawalan di stereng cukup memudahkan pemandu memberi tumpuan sepenuhnya dijalan raya. Menerusi suis kawalan, pemandu boleh mengetahui tahap penggunaan purata petrol, jarak perbatuan, tetapan cahaya panel dan sebagainya.

Keselamatan

Model ini dipadankan dengan tiga beg udara keselamatan iaitu masing-masing satu bagi penumpang hadapan dan pemandu manakala ketiga diletakkan dibawah stereng bagi melindungi lutut pemandu sekiranya berlaku kemalangan.

Bagi memastikan pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh dalam keadaan laluan licin, sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TC) dipadankan dengan bantuan komputer yang berfungsi mengawal keempat-empat tayar kenderaan.

Sienta juga dilengkapi brek cakera untuk semua roda beserta ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta dua ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

Kesimpulannya, model ini sesuai bagi mereka berkeluarga kecil untuk apa jua pemanduan sama ada untuk dibandar ataupun pulang ke kampung halaman kerana ciri MPV kompak ini bukan sahaja memiliki enjin berkuasa tetapi mempunyai pelbagai ciri moden yang padan dengan citarasa masa kini.

Toyota Sienta 1.5V dijual pada harga RM99,999 iaitu lebih RM7,000 mahal berbanding model Sienta 1.5G, tetapi senarai aksesorinya boleh dianggap berbaloi dimiliki.

INFO TOYOTA SIENTA 1.5V

• Enjin: 1.5L, 4 Silinder, 16 injap DOHC dengan Dual VVT-i
• Kuasa maksimum: 107PS @ 6,000rpm
• Tork maksimum: 140Nm @ 4,200rpm
• Transmisi: Automatik 7 kelajuan CVVT
• Ciri-ciri keselamatan: 3 beg udara, ABS, EBD, HAC dan VSC.
• Harga: RM99,999 (termasuk GST dan insurans)

Thursday, 30 March 2017

Keluarga Anwar Kini Dalam Proses Disingkirkan Dari Kepimpinan Pakatan Harapan?




Melihat kepada keputusan yang diambil oleh Majlis Kepimpinan Tertinggi Pakatan Harapan baru-baru ini, ianya dilihat seperti sudah ada riak penyingkiran keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dari sebarang urusan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan. 

Manakan tidak, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAN, Mat Sabu ini telah meletakkan nama Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah hanya sebagai penasihat kepada sebuah gabungan parti di dalam Pakatan Harapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Malah, dalam mesyuarat berkenaan, tiada kelibat Nurul Izzah yang acapkali menjadi wakil kepada ibunya setiap kali Wan Azizah gagal menghadiri mesyuarat berkenaan. Lebih menarik lagi, mesyuarat berkenaan juga turut kekal membisu mengenai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan sekiranya pakatan pembangkang berkenaan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Jika dilihat dari beberapa perkembangan yang berlaku di dalam Pakatan Harapan hari ini, timbul satu persoalan, adakah keluarga Anwar sudah tidak relevan lagi dalam perjuangan pakatan pembangkang ini? Ini kerana, sebelum ini, antara 'top priority' di semua mesyuarat Pakatan Harapan adalah membincangkan hala tuju pakatan pembangkang ini berdasarkan kehendak dan arahan Anwar itu sendiri.

Namun, sejak akhir-akhir ini, nama Anwar bukan lagi menjadi keutamaan buat para pemimpin Pakatan Harapan. Mereka lebih sibuk membincangkan kemahuan Mahathir yang mahu membentuk satu logo dan satu nama buat Pakatan Harapan. Malah kedudukan calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan juga kini bukan lagi hak milik mutlak buat Anwar.

Lebih memburukkan keadaan, Wan Azizah kini diletakkan hanya sebagai penasihat Pakatan Harapan dengan ketiadaan kuasa untuk menentukan hala tuju pakatan berkenaan. Sudah pasti, dengan kedudukan terkini Wan Azizah, ianya akan menyukarkan Anwar merintis jalan untuk di angkat menjadi calon Perdana Menteri buat Pakatan Harapan.

Nampaknya, sejak kemasukan Tun Dr Mahathir bersama-sama PPBM di dalam Pakatan Harapan, kedudukan esklusif Anwar dan keluarganya di dalam Pakatan Harapan juga semakin terancam. Agak menarik untuk disaksikan, adakah buat kali kedua Mahathir bakal menghancurkan kedudukan Anwar seperti mana yang berlaku pada tahun 1998?

Syed Saddiq Pun Tergoda Dengan Tawaran Annuar Musa




Minggu lalu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa telah mengiklankan satu pertandingan mengarang esei mengenai Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang. Hadiah yang ditawarkan cukup lumayan sehingga mencecah RM 50,000 kepada pemenang.

Menariknya, Ketua Armada Parti pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan tertarik dengan pertandingan ini. Dia dikatakan akan menyertai pertandingan ini dan akan menulis tentang Lim Kit Siang dari kacamatanya.

Sekiranya menang, Syed Saddiq tidak akan menggunakan wang kemenangannya untuk kepentingan peribadinya. Sebaliknya, wang kemenangan berkenaan akan disumbangkan kepada pasukan bola sepak Kelantan - The Red Warriors (TRW) serta membantu pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau dijadikan biasiswa MARA.

Sebenarnya, tidak salah buat mana-mana pihak menyertai peraduan ini. Ianya terbuka buat sesiapa sahaja cuma apa yang menariknya, adakah Syed Saddiq sanggup membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mentornya serta Lim Kit Siang yang sudah dianggap seperti bapa angkatnya ini hanya disebabkan RM 50 ribu?

Adakah Syed Saddiq akan menulis tentang segala keburukan yang dilakukan oleh Lim Kit Siang hanya semata-mata sebab duit? Jika dinilai dari kenyataannya, Syed Saddiq sanggup melakukan perkara demikian hanya disebabkan duit. Malah, dia mungkin sanggup membelakangkan jawatannya dalam PPBM demi mengejar keuntungan.

Nampaknya, jerat yang dipasang oleh Tan Sri Annuar Musa seperti hampir mengena. Ini terbukti apabila orang kanan Mahathir sendiri sanggup membelakangkan Mahathir hanya untuk menulis esei mengenai pengkhianatan dan betapa rasisnya Lim Kit Siang hanya semata-mata mengejar imbuhan.

Semua orang boleh menjanjikan itu dan ini sebelum memenangi sesuatu pertandingan, namun apabila berjaya kelak, mampukah Syed Saddiq mengotakan janjinya? Ini yang cukup menarik untuk dilihat kelak. Untuk Syed Saddiq, selamat berjaya diucapkan dan terima kasih kerana mendedahkan keburukan bapa angkat anda sendiri pada kacamata umum.

Hanya Dapat RM50!



Dua penjenayah sekadar mendapat RM50 ketika mencuri duit tabung di Masjid An-Naim, Lutong di sini, berikutan tindakan pengurusan masjid mengosongkan dua daripada tiga tabung masjid itu, pagi kelmarin. 

Ahli Jawatankuasa Masjid An-Naim Marli Ali berkata, kejadian berlaku 2.30 pagi apabila dua penjenayah terbabit menceroboh masjid berkenaan selepas mengumpil pintu hadapan menggunakan besi.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit kemudian membuka tiga tabung masjid menggunakan batang besi sama, namun kecewa kerana hanya sebuah tabung berisi wang. “Mujurlah dua daripada tiga tabung berkenaan sudah dikosongkan. Cuma sebuah tabung yang tidak dikosongkan, tetapi isi tabung itu hanya RM50.

“Tindakan dua penjenayah terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid, namun wajah kedua-dua suspek tidak dapat dikesan kerana memakai topi keledar,” katanya, semalam.

Katanya, pihaknya ketika ini lebih berhati-hati kerana penjenayah sanggup berbuat apa saja, termasuk melakukan jenayah di rumah ibadat. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Terasa Hangat Ketika Mandi



Seorang lelaki warga emas hanya sempat memakai tuala apabila terpaksa lari menyelamatkan diri dalam kebakaran memusnahkan rumahnya di penempatan setinggan atas air berhampiran Kampung Ketiau, Tanjung Dumpil, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian 9 pagi, mangsa Kulat Kasim, 74, sedang mandi di bilik air rumahnya sebelum dikejutkan dengan rasa hangat yang pada mulanya disangkanya disebabkan faktor cuaca panas terik. “Ketika kejadian, saya sedang mandi sebelum berasakan amat hangat di dalam bilik air yang pada mulanya disangka kerana cuaca amat panas pada tengah hari itu.

“Selang beberapa minit kemudian, saya terkejut apabila dinding bilik air tiba-tiba terbakar dan tanpa berlengah, saya mengambil tuala kemudiannya meluru keluar melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut bekas pemandu bas itu, dia sempat memberitahu isterinya yang berada di ruang tamu untuk melarikan diri memandangkan kebakaran berkenaan sudah merebak sehingga bahagian dapur rumah mereka. “Saya hanya sempat mengambil beberapa dokumen seperti kad pengenalan namun terpaksa keluar rumah tanpa memakai sebarang baju dan hanya bertuala saja kerana api semakin marak. 

“Syukur saya dan isteri terselamat meskipun sedih melihat rumah yang dihuni sejak 14 tahun lalu, musnah terbakar,” katanya.

Terdahulu, selain daripada kediaman Kulat, kebakaran itu turut memusnahkan enam lagi rumah setinggan atas air namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Akramin Sakirun berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.10 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran untuk operasi memadam.

“Tujuh jentera dengan kekuatan seramai 30 anggota daripada BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu digegaskan ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam. Kebakaran ini membabitkan tujuh buah rumah kayu yang kebanyakan didirikan di atas air dan musnah sama sekali manakala tujuh lagi turut terjejas sebelum berjaya dipadamkan bomba,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya jam 10 pagi sementara punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

2 Pengebom Movida Dijel 35 Tahun



Perbuatan dua lelaki yang mengebom pusat hiburan Movida di Puchong, Selangor pada tahun lalu menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Imam Wahyuddin Karjono, 21, dan Jonius Ondie@ Jahali, 25, selepas kedua-duanya menukar pengakuan daripada mengaku tidak bersalah kepada membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan pindaan. 

Sepatutnya semalam adalah hari kedua perbicaraan kes tersebut dengan lapan saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan. Imam merupakan seorang penganggur manakala Jonius seorang operator kilang.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata, adalah wajar untuk mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas kedua-dua tertuduh kerana kes yang dilakukan mereka merupakan perbuatan paling serius di negara ini.

Parah Didera Suami Kerana Facebook



Seorang lelaki mendera dan mengurung isterinya selepas mengetahui wanita itu membuka akaun Facebook. Menurut laporan, lelaki berkenaan sebelum ini tidak membenarkan isterinya memiliki akaun media sosial itu. 

Polis berkata, Asmaa Samir didera suaminya, Mustafa Raafat yang mengikatnya dengan tali dan mengurungnya di rumah mereka selama tiga hari tanpa memberi mangsa makan atau minum. Tidak cukup dengan itu, Mustafa juga menyiksa isterinya menggunakan benda tajam.

Ketika disoal siasat, lelaki itu berkata, isterinya membuka tiga akaun Faceboook dengan menggunakan nama palsu kerana ingin tahu sama ada dia bersikap curang terhadapnya. Mustafa mengaku dia memukul isterinya tetapi menafikan dakwaan tidak memberinya makan.

Sehubungan itu, kebanyakan pertubuhan hak asasi wanita Mesir menggesa lelaki itu didakwa di mahkamah selepas laporan perubatan mengesahkan isterinya cedera teruk akibat didera.

Beberapa peguam pula berkata, mereka bersedia untuk mewakili mangsa secara percuma sementara ramai pengguna media sosial mengecam tindakan Mustafa sambil menggesa pihak berkuasa memenjarakannya.

Brazil Pasukan Pertama Layak


Brazil kembali membuktikan status mereka sebagai juara dunia sebanyak lima kali apabila muncul pasukan pertama berjaya melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia pada 14 Jun hingga 15 Julai tahun depan. 

Ia hadir selepas The Selecao mencetak kemena­ngan kelapan berturut-turut dalam kempen kelayakan zon Amerika Selatan dengan menewaskan Paraguay 3-0 hasil jaringan Philippe Coutinho, Neymar dan Marcelo di Arena Corinthians pagi semalam.

Pada masa sama, kekalahan dua pencabar utama iaitu Argentina yang tewas 0-2 kepada Bolivia dan Uruguay dihampakan Peru 2-1 memboleh­kan Brazil mengesahkan slot mereka ke pentas kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

“Sekarang saya merupakan sebahagian daripada detik istimewa sejarah bola sepak Brazil,” kata ketua jurulatih Brazil, Tite.

Brazil sebelum ini dikritik hebat gara-gara prestasi hambar dipamerkan pada awal kempen kelayakan apabila hanya mampu mengutip sembilan mata daripada enam perlawanan. Lebih malang, kegagalan The Selecao yang terkeluar pada pusingan awal aksi Copa America Centenario tahun lepas me­nyaksikan mereka tidak lagi diletak sebagai pasukan pilihan untuk ke Rusia pada 2018.

Pemecatan bekas pengendali, Dunga dan dengan kemasukan Tite secara tak langsung berjaya mengubah nasib bola sepak Brazil yang kini sudah melayakkan diri ke Rusia walaupun kempen kelayakan berbaki empat perlawanan lagi untuk berakhir.

Naskhah Power Rangers Menjual Nostalgia


APABILA rumah produksi Lionsgate mengumumkan pembikinan semula naskhah adi wira Power Rangers sekitar tiga tahun lalu, rata-rata penggemarnya melahirkan rasa teruja. 

Pada mereka, suntikan moden pada filem yang diadaptasi daripada siri televisyen Mighty Morphin Power Rangers (1993) itu dapat meletakkan lima watak utama iaitu Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly sebaris dengan karakter adi wira komersial yang lain.

Ternyata, keterujaan menantikan buah tangan daripada sutradara Dean Israelite itu berbaloi. Menerusi penceritaan baharu dan pengubahsuaian watak, Power Rangers dihidupkan kembali dalam suasana yang lebih gelap dan dewasa di pekan bernama Angel Grove.

Seperti filem arahannya sebelum ini iaitu Project Almanac, Israelite menggunakan kelebihan yang ada pada kelima-lima watak tersebut untuk dikembangkan secara perlahan. Sebagai contoh, penonton dihidangkan terlebih dahulu mengenai kisah hidup Jason, Billy dan Kimberly sebelum Trini dan Zack muncul secara kebetulan.

Penemuan syiling emas menerusi babak pencerobohan di sebuah lombong juga dijalin dengan kemas. Kredit perlu diberikan kepada para pelakon yang menggerakkan lima watak utama iaitu Dacre Montgomery (Jason Scott), Ludi Lin (Zack), RJ Cyler (Billy Cranston), Becky G (Trini) dan Naomi Scott (Kimberly Hart).

Biarpun masih baharu, namun, masing-masing memberikan persembahan terbaik, terutama pada babak pertarungan tanpa kostum.

Seteru

Watak Zordan, yang boleh dianggap sebagai salah satu watak penting dalam penceritaan Power Rangers turut diperkenalkan dengan jelas. Pada lima minit pertama tayangannya, penonton sudah dapat melihat dengan jelas hubungan seteru yang ada pada Zordan dan watak antagonis, Rita Repulsa.

Bagaimanapun, watak Rita lakonan Elizabeth Banks dilihat kurang konsisten. Banks gagal untuk memberikan satu mood yang sempurna bagi memberikan gambaran kejahatan menerusi watak tersebut. Berbalik kepada perkembangan watak, pengarah dilihat bijak melakar penceritaan pada keseluruhan filem agar ia kelihatan logik pada mata penonton.

Sebagai contoh, Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly hanya berjaya mengubah fizikal mereka kepada Power Rangers selepas melalui beberapa sesi latihan dan ujian ketahanan.

Menerusi babak yang menampilkan pertarungan antara Megazord dan Goldar pula, kelima-lima mereka kelihatan sukar untuk mengendalikan robot bersaiz besar tersebut kerana ia merupakan pengalaman pertama berbuat demikian.

Biarpun beberapa elemen penting seperti gaya pertukaran Power Rangers tidak dipaparkan, namun, penerbit berjaya menjual nostalgia yang ada pada lima adi wira berwarna merah, hitam, biru, kuning dan merah jambu itu sebagai nilai sentimental buat penonton yang membesar bersama naskhah asalnya.

Power Rangers mengisahkan tentang lima remaja bernama Jason, Zack, Billy, Trini dan Kimberly yang bertemu secara tidak sengaja dalam satu situasi yang telah ditakdirkan.

Selepas dimaklumkan oleh Zordan bahawa kuasa Power Rangers kini mengalir dalam badan mereka, lima sahabat itu kemudiannya diberi tanggungjawab untuk menewaskan Rita Repulsa yang merancang untuk memusnahkan bumi bagi merampas kristal Zeo yang ada tertanam di Angel Grove.

Galak Usahawan Guna e-Dagang



SME Bank Berhad (SME Bank) komited membantu usahawan yang menggunakan platform e-dagang dan digital dengan meluluskan pembiayaan sebanyak RM70 juta tahun lalu daripada RM200 juta peruntukan yang disediakan pada tahun berkenaan. 

Walaupun mempunyai baki RM130 juta tahun ini, SME Bank bersedia menambah peruntukan pembiayaan berkenaan jika ada permintaan daripada pemain industri.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, kesediaan pihaknya memberi tumpuan kepada usahawan dalam operasi e-dagang dan digital sejajar dengan pengumuman kerajaan mencipta Zon Dagangan Digital Bebas tahun ini.

Beliau berkata, SME Bank melaksanakan pembangunan program perniagaan dalam segmen digital, BID-IT untuk usahawan muda berusia 20 hingga 35 tahun bagi meluaskan operasi perniagaan mereka menerusi platform digital dan e-dagang bermula awal tahun ini.

“Program itu berkonsepkan bimbingan dan usahawan terbabit perlu melalui pelbagai program pembangunan secara komprehensif sebelum mendapat akses pembiayaan daripada kami.

“SME Bank menjangka untuk melancarkan BID-IT akhir April ini dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web, www.smebank.com.my,” katanya pada majlis pelancaran SME Bank XCESS 2017, di sini, semalam.

SME Bank XCESS 2017 dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan program itu kali kedua diadakan tahun ini dengan menyasarkan 1,500 usahawan tempatan menghadirinya.

Menerusi SME XCESS 2017, usahawan boleh mendapatkan akses perundingan secara terus dengan pegawai SME Bank dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan bagi meluaskan lagi perniagaan mereka. 

Menurutnya, program itu berkesan apabila setakat tahun lalu, sebanyak RM1 bilion diluluskan pihaknya kepada usahawan daripada pelbagai sektor perniagaan. “Program ini membuktikan SME Bank memberi akses mudah kepada usahawan tempatan mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan pembiayaan,” katanya.

Kenangan Manis Bandar Ikan Patin


Sempena Tahun Melawat Pahang tahun ini, ia masa paling sesuai untuk meneroka keunikan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia itu. Bagi yang belum pernah ke Pahang atau berkira-kira untuk ke negeri itu sama ada bagi tujuan bercuti atau atas urusan lain, daerah Temerloh boleh dijadikan sebagai destinasi persinggahan. 

Ini kerana, bandar kedua terbesar di Pahang selepas Kuantan itu memiliki pelbagai daya tarikan terutamanya daripada sektor pelancongan. “Bagi orang luar, Temerloh dikenali sebagai daerah pengeluaran ikan patin selain menu ikan patin masak tempoyak yang popular.

“Selain itu, Temerloh sebenarnya mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara. Malah, pengunjung berpeluang merasai pengalaman menarik dengan melawati beberapa lokasi pelancongan di sekitar bandar ini walaupun hanya dalam tempoh sehari,” kata Rashid Maaruf, 43.

Dia yang merupakan penduduk jati Temerloh memberitahu, antara lokasi yang kerap menjadi tumpuan pengunjung di daerah itu ialah Pekan Sehari Temerloh yang dikatakan tertua di negeri itu. 

Malah katanya, pekan sehari yang dibuka pada waktu pagi setiap Ahad di sepanjang Jalan Lurah Semantan yang terletak bersebelahan Sungai Pahang itu memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri berbanding pekan sehari di kawasan lain.

“Lihatlah sayur-sayuran yang dijual di sini. Kebanyakannya merupakan sayuran kampung yang ditanam sendiri oleh peniaga di kawasan rumah mereka selain sayuran yang merupakan hasil hutan. 
“Ikan sungai yang dijual pula adalah spesies yang banyak terdapat di Sungai Pahang dan merupakan antara spesies yang paling digemari oleh pengunjung seperti patin sungai, lampam dan kerai. 

Menyusuri sungai

“Sebab itulah, ramai yang berkunjung ke pekan sehari ini semata-mata untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut kerana ia dijual secara hidup dan baru dikeluarkan dari sangkar,” katanya dengan memberitahu, jumlah peniaga di pekan sehari itu melebihi 700 orang pada satu-satu masa.

Apa yang diperkatakan oleh Rashid itu turut diakui oleh Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh (3PT), Datuk Sahariman Hamdan. Beliau berkata, selain pekan sehari, terdapat beberapa lagi produk pelancongan di sekitar bandar Temerloh yang telah disenaraikan oleh persatuan itu sebagai tempat wajib dikunjungi.

Antaranya, aktiviti menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Semantan dengan menaiki bot penambang di jeti yang terletak bersebelahan tapak pekan sehari itu. “Pengunjung boleh menikmati dan menghayati keindahan pinggir bandar Temerloh dari arah sungai selain melihat perkampungan tradisional di sekitarnya.

“Malah, jika bernasib baik, penumpang bot boleh menyaksikan penduduk kampung menangkap ikan menggunakan jala atau pukat di tepi sungai,” katanya. Beliau menambah, trip menyusuri sungai itu mengambil masa kira-kira sejam dengan kadar tambang bergantung kepada jenis bot yang dinaiki selain jumlah penumpang.

Jelas Sahariman, satu lagi destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya berada di bandar Temerloh ialah Restoran Go’Bang Maju yang menyediakan menu ikan patin masak tempoyak.

Terletak kira-kira satu kilometer dari jeti bot penambang, restoran berkenaan sememangnya popular dalam kalangan penduduk tempatan selain pengunjung luar yang sanggup singgah di situ semata-mata untuk merasai keenakan masakan berkenaan. “Bandar Temerloh memang terkenal dengan menu ikan patin masak tempoyak dan tidak lengkap kunjungan ke bandar ini jika tidak merasai keenakan masakan tersebut.

Taman tema air 

“Disebabkan itu, pihak persatuan telah menyenaraikan Restoran Go’Bang Maju sebagai salah satu lokasi yang perlu dikunjungi oleh pengunjung yang ingin merasai keenakan masakan patin tempoyak Temerloh,” katanya.

Terletak kurang 500 meter dari restoran itu pula, terdapat sebuah taman tema air yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah bersama keluarga terutama pada hujung minggu.

Taman Tema Air Kubang Gajah yang dibuka kepada orang ramai sejak Ogos 2014 itu diusahakan oleh seorang anak muda, Mohd. Rafi Ekramuddin, 44, yang berasal dari Felda Jengka 14, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, tidak jauh dari bandar Temerloh.

Taman Tema Air Kubang Gajah ini dibuka sejak dua tahun lalu. Ketika ditemui, Mohd. Rafi memberitahu, sebelum ini, penduduk Temerloh terpaksa ke taman tema air di Bukit Gambang Resort City di Kuantan yang terletak kira-kira 100 kilometer dari daerah ini untuk beriadah.

“Ia memberi saya idea untuk membuka taman tema air di sini. Saya telah membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk mendapatkan kebenaran. “Alhamdulillah, selepas lebih dua tahun beroperasi, Taman Tema Air Kubang Gajah semakin dikenali dan mula dikunjungi ramai terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.

Terbesar 

Percutian di Temerloh tidak sekadar itu kerana pada sebelah malamnya pula, pengunjung masih boleh merasai denyutan bandar tersebut dengan mengunjungi tapak jualan terus dari but kereta. Dibuka dua kali seminggu iaitu Sabtu dan Ahad, aktiviti itu merupakan yang terbesar di negeri itu yang menempatkan hampir 200 peniaga pada satu-satu masa dengan barangan jualan yang pelbagai.

“Ia beroperasi sejak November 2014 dengan 34 peniaga sahaja, tetapi kini, jumlah peniaga yang berdaftar telah melebihi 1,000 orang. “Disebabkan jumlah tapak yang diluluskan oleh pihak berkuasa agak terhad selain faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan, kira-kira 150 hingga 200 orang peniaga sahaja berniaga setiap minggu.

“Walaupun begitu, jumlah pengunjung sangat ramai sehingga ada yang terpaksa meletakkan kenderaan jauh semata-mata untuk menikmati kemeriahan aktiviti jualan di sini,” kata Khairul Najmi Ahmad, 33, yang merupakan penganjur aktiviti jualan itu.

Kesimpulannya, berkunjung ke bandar Temerloh sememangnya tidak mengecewakan kerana pengalaman yang dikutip pasti berbeza dengan apa yang pernah dialami sebelum ini. Malah, terdapat banyak lagi lokasi pelancongan menarik lain di sekitar daerah ini yang boleh diteroka oleh pengunjung.

Wednesday, 29 March 2017

Cara Politik Lim Kit Siang Sama Seperti Katak



Jika kita membicarakan tentang kecederunga politik Lim Kit Siang, sudah pasti kotak pemikiran kita akan terarah kepada cara berpolitik ala rasisnya. Disamping itu juga, selain daripada Tun Dr Mahathir yang cukup aktif berpolitik walaupun sudah mencecah usia 92 tahun, Lim Kit Siang adalah seorang ahli politik veteran yang tidak pernah kenal erti bersara.

Pada usia 76 tahun, Lim Kit Siang terus aktif berpolitik. Malah, penguasaannya di dalam DAP itu sendiri langsung tidak dapat digugat oleh sesiapapun. Tidak hairanlah apabila Kit Siang meletakkan kaum keluarganya memenuhi kerusi kepimpinan parti. Dari anaknya sehinggalah ke sepupu serta anak saudara, semuanya digunakan untuk melindungi kuasanya semata-mata.

Agak menarik untuk di perkatakan apabila melihat kepada tempat beliau bertanding pada setiap Pilihan Raya. Beliau mula masuk bertanding pada Pilihan Raya Umum tahun 1969 apabila berjaya memenangi kerusi Bandar Melaka. Di sini, beliau mampu bertahan sehingga 1974 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Kota Melaka selama sepenggal dari 1974 hingga 1978.

Pada 1978, beliau bertanding pula di kerusi Petaling Jaya dan bertahan selama sepenggal sebelum kembali semula ke Melaka pada tahun 1982. Pada 1986, Kit Siang beralih ke kerusi Tanjung di Pulau Pinang di mana dia bertahan di kerusi ini sehingga 1999. Pada pilihan raya tahun 1999, Lim Kit Siang bertanding di kerusi Ipoh Timur dan bertahan sehingga 2013 sebelum berpindah sekali lagi ke Gelang Patah pada tahun 2013.

Untuk Pilihan Raya Umum ke 14 ini, dikhabarkan, Lim Kit Siang bakal bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar setelah sepenggal di Gelang Patah. Persoalannya, di mana kosistentasi Kit Siang dalam mewakili rakyat? Adakah Kit Siang fikir, rakyat yang memberikan mandat padanya hanya untuk mengekalkan kuasa kepadanya sahajakah?

Jika dinilai dari segi rekod, paling lama beliau berada di satu-satu kerusi Parlimen adalah di Ipoh Timur iaitu selama 14 tahun. Beliau langsung tidak berminat untuk kekal di satu-satu kerusi. Sebaliknya, beliau lebih senang untuk bertanding di kerusi yang beliau yakini boleh menang dengan majoriti sokongan dari kaum Cina.

Inilah helah Lim Kit Siang untuk terus kekal dalam arus politik negara. Tindakan beliau yang melompat dari satu kerusi ke satu kerusi yang lain asalkan kekal berkuasa tidak ubah seperti seekor katak. Beliau tidak teragak-agak untuk melompat keluar dari satu-satu kerusi Parlimen asalkan beliau mendapat sokongan yang banyak untuk mengekalkan statusnya sebagai Ahli Parlimen paling veteran.

Tidak cukup dengan cara berpolitik seperti katak, Lim Kit Siang juga mampu merubah penampilannya mengikut keadaan. Beliau boleh menjadi orang biasa, menjadi Orang Asli malah boleh sahaja bersongkok untuk memancing undi dari kaum Melayu. Namun sesuatu yang kekal tidak berubah, beliau sememangnya akan dikenang sebagai Bapa Rasis Malaysia, gelaran yang diberikan oleh sekutunya kini, Tun Dr Mahathir satu ketika dahulu.

Kami Akan Bangkit Semula Pada PRU 14 Nanti




Memori Pilihan Raya Umum ke 13, 4 tahun lalu sememangnya agak sukar untuk dilupakan begitu sahaja. Walaupun Barisan Nasional berjaya mengekalkan kuasa pentadbirannya, namun tsunami dari kaum Cina impak dari mainan politik persepsi mainan Pakatan Rakyat, nyata telah menyebabkan parti komponen utama BN, MCA, terpaksa menerima hakikat meraih pencapaian yang buruk.

Bayangkan, hampir kesemua kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh MCA sebelum ini, gagal dipertahankan. Walaupun terpaksa menerima hakikat ketewasan ini, sebagai sebuah parti yang cukup matang dalam arena politik, MCA menerimanya dengan hati terbuka.

Hari ini, setelah 4 tahun sudah berlalu, MCA sudah melakukan transformasi dalaman parti. MCA tidak lagi memfokuskan kepada undi kaum Cina semata-mata sebaliknya, parti ini juga turut cuba meraih undi dari kaum lain. Misi utama parti ini hanyalah satu, merampas semula kerusi yang menyaksikan mereka tewas dan seterusnya membantu BN mengekalkan tampuk pemerintahannya.

Sekurang-kurangnya, 20 kerusi Parlimen telah disasarkan MCA untuk dirampas kembali dari tangan Pakatan Harapan. Memandangkan keadaan semasa yang memperlihatkan MCA kini dalam proses transformasi sepenuhnya, antara langkah pertama yang dibuat adalah mengukuhkan lagi hubungan akrab parti itu dengan parti komponen BN yang lain terutamanya UMNO.

MCA sedar, mereka tidak lagi boleh berasa selesa dengan sejarah lampau. Walaupun secara hakikatnya, MCA menjadi wadah suara kaum Cina di dalam kerajaan, namun parti ini sedar, jika tidak mendapat sokongan dari kaum yang lain, sukar untuk mereka memenangi sesuatu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Oleh yang demikian, segala gerak kerja kini sedang giat di atur untuk merampas semula kerusi-kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh parti ini. Tidak ada cara lain untuk membantu Barisan Nasional memenangi PRU 14 selain daripada kerja keras dan komitmen sepenuhnya dari segenap lapisan dalaman parti.

Sempadan Negara Selamat




Pihak polis memberi jaminan sempadan negara selamat daripada dibolosi militan Abu Sayyaf yang melarikan diri selepas diserang pihak berkuasa Filipina di selatan negara itu. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pihaknya sentiasa berwaspada kerana dikhuatiri kumpulan militan tersebut akan mencari perlindungan di Sabah bagi mengelakkan mereka daripada diburu di negara sendiri.

“Keadaan sekarang lebih selamat. Kami tahu isu tersebut, justeru kawalan di sempadan selamat dan sentiasa diperketatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai tiga lagi mangsa culik yang diselamatkan Ahad lalu, beliau berkata, kesemua mangsa diuruskan oleh wakil dari Bukit Aman dan mereka juga akan dipertemukan dengan keluarga masing-masing di Kuala Lumpur. Katanya, perkara tersebut perlu dilakukan untuk menyelesaikan beberapa urusan termasuk proses dokumentasi.

Ketiga-tiga mangsa culik yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Filipina itu adalah Mohd. Ridzuan Ismail, 32; Fandy Bakaran, 26, dan Mohammad Jomadil Rahim, 23. Khamis lalu, dua lagi mangsa telah terlebih dahulu diselamatkan iaitu Abd. Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 45. 

Kelima-lima mereka yang diselamatkan di perairan Pulau Pata dan Pablocan Punay negara itu diculik pada 18 Julai tahun lalu ketika menaiki sebuah bot tunda yang ditemukan terdampar di perairan Dent Haven, Lahad Datu dalam keadaan enjin masih hidup.