Saturday, 29 April 2017

Tiket Megadeth Laku!


Tiket berharga RM198 konsert band thrash metal Megadeth Live In Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Khamis depan habis dijual. Jurucakap penganjur dari IME Malaysia berkata, tiket berharga RM438 (Deth Pitt Zone), RM388 (VIP), RM358 (Rock Zone) dan RM288 turut laris. 

Ia juga konsert pertama Megadeth yang diiktiraf sebagai ‘big four’ dalam muzik thrash metal bersama Metallica, Anthrax dan Slayer di sini. Sehubungan itu, tidaklah menghairankan apabila tiket konsert Megadeth laris seperti goreng pisang panas kerana peminat mereka di sini sudah terlalu lama menunggu kedatangan Megadeth.

Megadeth yang kini dianggotai dua anggota asalnya iaitu Dave Mustaine (penyanyi, gitar) dan David Ellefson (bass) bersama Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram) sepatutnya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada Julai 2001, namun ia dibatalkan.

Kononnya kehadiran Megadeth yang menggunakan maskot berwajah tengkorak bernama Vic Rattlehead boleh menjadi anasir ‘jahat’ kepada generasi muda tanah air ketika itu. Apa yang pasti, kehadiran band yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1983 ini dinanti-nantikan. 

Tentu ramai yang teruja mahu melihat Mustaine membawakan lagu klasik mereka seperti Peace Sells, Wake Up Dead, Hangar 18, Tornado of Souls dan Symphony of Destruction. Konsert ini sebahagian daripada jelajah dunia Megadeth sempena album terbaru mereka Dystopia yang juga album studio ke-15 Megadeth.

Album yang dipasarkan pada Januari tahun lalu itu mencatat jualan memberangsangkan iaitu sebanyak 49,000 unit dalam tempoh seminggu. Dalam tempoh itu juga album berkenaan berjaya menduduki tangga ketiga carta Billboard 200 bersama dengan Adele dan Justin Bieber.

Ia juga pencapaian tertinggi Megadeth sejak 1992 selepas album Countdown to Extinction berjaya menduduki tangga kedua carta yang sama. Selain memenangi Grammy Awards pertama mereka menerusi kategori Persembahan Metal Terbaik tahun ini, majalah Rolling Stone turut menyenaraikan album Dystopia sebagai antara 20 Album Metal Terbaik 2016.

Maklumat lanjut mengenai konsert Megadeth Live in Malaysia sila layari www.ticketcharge.com.my.

Sepatu Remaja Moden


Dulu, kasut kulit bertutup penuh menjadi pilihan jejaka untuk ke acara formal namun trend kini beralih kepada pemakaian sepatu loafer. Pelbagai pilihan warna dan jenis kasut berkenaan boleh didapati di pasaran namun ‘slide loafer’ sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan. 

Berbeza dengan kasut formal biasa, rekaan ‘slide loafer’ lebih santai kerana hanya menutupi separuh daripada permukaan kaki manakala bahagian tumit dibiarkan terbuka untuk keselesaan pemakai. Ia menjadikan kasut berkenaan sesuai untuk mereka yang tidak mahu kelihatan terlalu formal lebih-lebih lagi remaja pada masa kini.

Meskipun nampak feminin, kasut berkenaan sebenarnya sesuai untuk semua yakni lelaki mahupun wanita.

Selesa tanpa stoking

Sesuai dengan rekaannya yang agak kasual, ‘slide loafer’ boleh dipakai tanpa stoking walaupun dengan kemeja dan seluar slack. Nampak janggal tetapi ia sebenarnya membantu pemakai untuk lebih selesa dan bebas ketika bergerak. Lebih-lebih lagi untuk golongan yang tidak gemar atau malas memakai stoking.

Pendek kata, ia sesuai untuk remaja kini yang ingin tampil ringkas dan bersahaja tetapi masih mengekalkan imej formal. Cuma, pemakai perlu yakin dan membiasakan diri keluar tanpa stoking.

Sesuai ke acara formal, kasual

Material kasut yang diperbuat daripada kulit menjadikan ia sesuai digayakan ke acara formal atau kasual. Terpulang kepada pemakai kerana rekaan kasut berkenaan memang sesuai dipakai kedua-dua acara berkenaan. Hanya perlu sarung ‘slide loafer’ dan pakai bersama padanan kemeja bersama seluar slack jika ke acara formal.

Manakala, padanan baju-T bersama seluar denim jenis skinny sudah memadai untuk kelihatan kasual ketika keluar bersantai. Jadi, ia memang pilihan tepat untuk mereka yang tidak suka bertukar kasut selain alternatif menggantikan ‘sneaker’.

Friday, 28 April 2017

Anwar Gunakan Orang Yang Sudah Meninggal Dunia Untuk Lindung Mahathir


Siasatan kehilangan RM 44 bilion menerusi aktiviti forex baru sahaja bermula namun siasatan ini sudah mula dicemari oleh manipulasi oleh individu-individu yang terlibat. Minggu lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama yang dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan ini.

Pastinya ramai yang ingin tahu apa reaksi Anwar dalam siasatan ini. Adakah dia mahu melindungi penglibatan Mahathir dalam isu ini atau dia memilih untuk berterus terang dengan apa yang terjadi pada tahun 1993 dan 1994.

Namun, seperti yang dijangka, Anwar memilih untuk melindungi Mahathir dengan menunding jari kepada Tan Sri Nor Mohamed Yaacob. Beliau memilih untuk melindungi Mahathir dan Tun Daim Zainuddin dengan mendakwa, apa yang berlaku adalah salah Tan Sri Nor dan Gabenor Bank negara pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein.

Agak menghairankan kerana pada tahun 1994 ketika disoal oleh Lim Kit Siang di Parlimen, dia memberitahu, memang terdapat sedikit kerugian dalam urus niaga berkenaan. Namun, kenyataan dia bertukar sebaliknya pada tahun 2012 apabila mendakwa Bank Negara mengalami kerugian besar dalam urusniaga forex berkenaan dengan Mahathir dan Daim mengetahui akan kerugian ini.

Kenyataan yang sama terus diulangi Anwar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu dengan mendakwa, wang berkenaan disalurkan kepada anak-anak Mahathir sehingga kesemua anak-anak Mahathir menikmati hidup yang cukup mewah. Lebih menarik lagi, orang kesayangan Anwar, Rafizi Ramli juga turut mengulangi tuduhan Anwar ini.

Pada inquary kes forex berkenaan minggu lalu, jari Anwar seolah-olah meletakkan segala kesalahan berkenaan kepada Tan Sri Nor dan Allahyarham Tan Sri Jaffar. Adakah Anwar cuba mengalihkan tumpuan siasatan dan rakyat Malaysia kepada orang yang sudah meninggal dunia?

Andai melihat kepada cara Anwar, ini bermakna, dia telah meletakkan segala beban yang sepatutnya ditanggung oleh Mahathir kepada dua individu berkenaan. Adakah dia cuba menyuruh Tan Sri Siddiq menyoal siasat Tan Sri Jaffar yang telah meninggal dunia pada tahun 1998? Jika ini tujuan Anwar, nyata caranya untuk melarikan diri dan menyelamatkan Mahathir dan Daim, cukup jijik dan biadab.

Kenapa Anwar langsung tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk menerangkan hal yang sebenar kepada pasukan siasatan berkenaan? Adakah disebabkan Mahathir kini menjadi sekutunya, segala silap Mahathir yang pernah dijadikan modal politik Anwar, diselindungkan?

Putus Sudah Kasih Sayang Antara Dia, Si Dia dan Si Gagah


Mereka mula bertemu sejak 2002 apabila si dia berada dalam keadaan kesusahan. Melihat kepada kesusahan si dia, maka selaku orang lama, dia menghulurkan tangan membantu si dia bangkit semula setelah teruk dikecewakan. Tambahan pula, dia memang sudah cukup lama mencari peneman dalam mengharungi dugaan yang serba mencabar ini.

Akhirnya, detik yang dinantikan tiba jua. Dia dan si dia akhirnya "mendirikan rumah tangga" secara rasmi pada 2008 hanya untuk membalas dendam lama. Kali ini dia dan si dia tidak keseorangan apabila gabungan mereka berdua turut disertai oleh si gagah yang sekian lama mengintai peluang untuk bersama-sama dengan mereka.

Maka pada tahun 2008, bermulalah episod cinta tiga segi antara dia, si dia dan si gagah. Gabungan cinta 3 segi ini diteruskan sehingga 2013 apabila mereka mengeratkan hubungan cinta tiga segi ini. Nampaknya, jalinan cinta mereka agak menjadi apabila mereka mampu melawan lawan yang sama-sama mereka musuhi sejak sekian lama.

Namun begitu, dia memang tidak boleh menerima sangat perangai si gagah yang menjengkelkan sehinggalah dia dan si gagah mengambil keputusan bercerai pada 2015. Melihat kepada penceraian ini, si dia menjadi agak sedikit panik. Si dia sedaya upaya memperkukuhkan jalinan cinta mereka sejak sekian lama sehinggalah dia akhirnya merasa penat dan bosan dengan tipu daya si dia.

Akhirnya, pada semalam, dia mengambil keputusan untuk memfailkan penceraiannya dengan si dia setelah lebih 16 tahun menyulam cinta sesama mereka. Langkah dia ini cukup memeranjatkan si dia kerana si dia telah melakukan apa yang termampu menyelamatkan cinta mereka. Namun nampaknya kali ini, dia benar-benar nekad mahu berpisah dengan si dia.

Inilah kronologi serba ringkas hikayat cinta tiga segi antara PAS, PKR dan DAP. Kisah ala-ala romeo ini sebenarnya sudah dijangka lebih awal apabila PAS telah meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015 dan telah memutuskan semua hubungan politik mereka dengan DAP. Semalam, tibalah pula masa PAS berpisah dengan PKR hasil daripada desakan akar umbi PAS sendiri.

Tiada lagi istilah tahaluf siyasi antara PAS dan PKR. Tiada lagi ruang perbincangan antara PAS dan PKR. Semua hubungan akrab antara PAS dan PKR dahulu sudah tinggal kenangan. Persoalannya, mampukah PKR menerima berita sedih ini? Bagaimana pula nasib 3 orang Exco PAS dalam kerajaan Selangor? Adakah Azmin akan memecat mereka? Ikutilah sambungan drama ini tidak lama lagi!

Kebakaran Rumah Panjang Diwarta Sebagai Bencana




Kerajaan negeri mencadangkan agar kebakaran kediaman penduduk khususnya rumah panjang diklasifikasikan sebagai bencana. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan lebih banyak bantuan dihulurkan kepada penghuni yang menjadi mangsa. 

Beliau berkata, kekerapan kejadian kebakaran rumah panjang juga menjadi faktor ia diklasifikasikan sebagai bencana kerana kerugian harta benda yang dialami biasanya dalam jumlah yang besar. "Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri tahun lalu sudah meluluskan permohonan untuk mengklasifikasikan kebakaran rumah panjang sebagai bencana.

Surat permohonan untuk mewartakannya sudah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Bil 1/2017 di Wisma Bapa Malaysia di sini, baru-baru ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu maklumbalas daripada Ahmad Zahid berhubung permohonan untuk mewartakannya.

Mengenai mesyuarat yang diadakan itu, beliau berkata ia adalah antara persediaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menghadapi sebarang bentuk bencana yang melanda negeri ini. "Mesyuarat ini dihadiri semua Residen Bahagian serta semua ketua jabatan dan agensi yang terbabit.

"Kita membincangkan langkah-langkah perlu untuk meningkatkan keupayaan membantu mangsa bencana serta langkah pencegahan bencana seperti kebakaran hutan," katanya.

Banjir : Dua Sekolah Di Keningau Ditutup



Dua sekolah di daerah kecil Sook dalam daerah Keningau ditutup akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam dan menjejaskan persekolahan 407 pelajar dan 35 guru. 

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabatang Baru melibatkan 158 murid serta 16 guru dan SK Sinulihan Baru dengan 249 murid bersama 19 guru. "Sekolah yang ditutup akan menggantikan hari persekolahan pada hari Sabtu," kata Maimunah dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman berkata beberapa rumah di kawasan rendah di Kampung Tulid, Kabatang Baru, Sinulihan dan sekitarnya turut dinaiki air malam tadi akibat limpahan air dari Sungai Sook.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata akibat banjir berkenaan beberapa batang jalan raya menuju ke kampung juga ditenggelami air sehingga paras satu meter. 

Bagaimanapun keadaan banjir di Sook masih terkawal namun beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa mengikut arahan pihak keselamatan supaya berpindah segera ke pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.

Katanya, kesemua ketua jabatan yang terlibat dalam operasi menyelamat khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia perlu terus membantu memantau keadaan dan sentiasa bersiap sedia bagi memudahkan usaha penyelamat apabila perlu.

Terlalu Ikutkan Nafsu



Tidak sampai sebulan dicekup berkhalwat, sepasang kekasih tidak serik apabila ditahan kali kedua kerana melakukan perbuatan sama oleh anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), awal pagi semalam. 

Mereka masing-masing berusia 25 dan 27 tahun baru ditangkap pada 10 April lalu jam 2.20 pagi di rumah sama di Kampung Aman, dekat sini, yang disewa wanita berstatus ibu tunggal beranak satu itu. Bagaimanapun, perbuatan mereka sekali lagi terbongkar selepas anggota PADKP menerima maklumat awam dan membuat serbuan, jam 1.35 pagi semalam.

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, tangkapan disertai lima anggotanya yang diketuai Muhammad Ihsanuddin Mohd Azahar dan mendapati pasangan itu berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, mereka adalah sukarelawan di sebuah agensi penyelamat di negeri itu dan mengaku sudah lama tinggal bersama di rumah itu. “Lebih mengejutkan, mereka baru ditangkap lebih dua minggu lalu kerana melakukan perbuatan sama sehingga menimbulkan syak dalam kalangan masyarakat setempat.

“Lelaki itu masih berstatus suami orang dan gagal mengemukakan sebarang dokumen membuktikan mereka pasangan suami isteri, namun sebelum ini, mereka sanggup menipu jiran berhampiran kononnya sudah berkahwin untuk mengelak ditangkap pihak berkuasa,” katanya, semalam.

Radzi berkata, ketika serbuan, hanya mereka berdua berada dalam rumah berkenaan manakala anak wanita itu dikatakan tinggal bersama ibunya di tempat lain. Katanya, ketika itu lelaki berkenaan hanya berseluar pendek tanpa baju manakala pasangannya memakai seluar pendek paras paha serta berkemeja-T.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Radzi berkata, kes mereka dibicarakan serta-merta semalam dan dikenakan ikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan penjamin. “Lelaki terbabit membayar jaminan manakala wanita itu gagal berbuat demikian dan dihantar ke Penjara Pokok Sena sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 2 Mei depan,” katanya.

Pyongyang Minta Sokongan Asean


Korea Utara merayu negara Asia Tenggara untuk menyokongnya dalam sengketanya dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menghalang kemungkinan perang nuklear. 

Dalam surat kepada Setiausaha Agung Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Menteri Luar Korea Utara Ri Yong-Ho memberi amaran keadaan di Semenanjung Korea kini berada di ambang perang kerana tindak-tanduk Washington.

Dia menggesa Setiausaha Agung itu memaklumkan kepada menteri luar 10 negara Asean mengenai keadaan itu di samping mengkritik latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan.

Ketegangan semakin meningkat di rantau berkenaan sejak beberapa minggu lalu berikutan tindakan Korea Utara mengadakan ujian misil dan retorik dari Washington berkaitan program senjata negara berkenaan. Surat bertarikh 23 Mac itu dihantar menjelang sidang kemuncak blok serantau itu minggu ini.

“Saya berharap Asean yang memberi tumpuan kepada keamanan dan kestabilan serantau akan membangkitkan isu mengenai latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan dengan adil dan memainkan peranan aktif dalam melindungi keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea.” menurut kandungan surat itu.

Pyongyang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan beberapa negara Asean, termasuk Kemboja dan Laos. Hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terjejas selepas pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un di Kuala Lumpur Februari lalu.

Washington mengerahkan armada tentera lautnya ke semenanjung Korea selepas tanda-tanda menunjukkan Korea Utara mungkin bersiap untuk melakukan ujian nuklear keenamnya.

Nauraj Berjaya Lebur Rekod Kebangsaan




JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan baharu 2.30 meter (m) sewaktu memenangi pingat emas acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singa­pura semalam. 

Ternyata, venue pertandingan iaitu Stadium Nasional Singapura seakan-akan membawa tuah kepada Nauraj, 25, yang sebelum ini turut mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 2.29m pada kejohanan yang sama tahun lepas.

Lebih manis, Olimpian negara itu bukan sahaja memecahkan rekod kebangsaan malah catatan tersebut turut membolehkannya layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia di London, England pada 5 hingga 13 Ogos depan.

Atlet dari Johor itu meluahkan kegembiraannya memandangkan dia langsung tidak menjangkakan berjaya mencatatkan rekod baharu kebangsaan atau mengatasi had kela­yakan ditetapkan ke London akan tercipta pada kejohanan tersebut.

“Saya pernah beritahu sebelum ini bahawa saya akan memberikan prestasi terbaik dalam mana-mana kejohanan yang disertai. Saya akan tetap mencuba sebaik mungkin jika saya berada dalam keadaan terbaik.

“Saya menganggap Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura ini sebagai pentas persediaan sebelum bersaing dengan atlet-atlet lompat tinggi handalan dunia pada dua pertandingan di Jepun bermula minggu depan.

“Saya gembira kerana akhirnya berjaya layak ke Kejohanan Olahraga Dunia. Memang ia impian saya selama ini dan saya berharap dapat memberikan aksi lebih mantap di Jepun dan London nanti,” katanya.

Sebagai rekod, Nauraj layak secara merit ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas melepasi had kelayakan ditetapkan untuk temasya tersebut iaitu 2.29m ketika memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, Mei tahun lepas.

Nauraj kini mengulangi kecemerlangan mempertahankan pingat emas dimenanginya tahun lepas dengan menewaskan rakan senegara yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan, Lee Hup Wei di tempat kedua dengan catatan 2.24m.

Tempat ketiga kejohanan tersebut dimenangi wakil Kelab Olahraga Wings, Manu Lasangue Jr. selepas berjaya melepasi had ketinggian 2.09m.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu akan menyertai Grand Prix Shizuoka di Jepun pada Rabu ini sebelum menghadapi pertandingan yang ditunggu-tunggu iaitu Cabaran Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Kawasaki, 21 Mei depan.

Dunia Mistik Risa


Kebolehan melihat makhluk halus semestinya memberikan perspektif hidup berbeza bagi mereka yang dianugerahkan kemampuan itu. Namun, bukan semua menganggap ia sebagai satu anugerah, sebaliknya lebih kepada nasib malang. Kuncinya terletak pada individu itu sendiri sama ada mahu menjadikannya sebagai satu kelebihan atau sebaliknya. 

Inilah yang cuba disampaikan dalam filem seram Indonesia, Ghost-Danur: I Can See Them arahan Awi Suryadi. Ia menceritakan hubungan di antara manusia dan makhluk halus. Lebih istimewa, karya yang diadaptasi daripada novel berjudul Danur karya Risa Saraswati itu adalah pengalaman penulis itu sendiri. Semestinya rasa yang disalurkan dalam pembikinannya bukan sekadar imaginasi.

Elemen takut dan seram cukup dekat dengan cerita hantu. Inilah yang dipaparkan dalam filem ini. Tahap seramnya mampu menghantui penonton sepanjang perjalanan ceritanya. Seram bukan satu-satunya elemen filem ini. Apa yang mahu ditonjolkan ialah mengenai hubungan Risa dengan makhlus halus.

Malah, Risa tidak menafikan ‘hubungan’ itu masih berlaku hingga hari ini. Risa dalam temu bual bersama RAP berkata, dia memiliki ‘anugerah’ itu sejak kecil dan pengalaman itu dicurahkan dalam novel berkenaan dan filem ini.

“Ia seperti satu tanggungjawab. Saya berasakan makhluk halus yang mendampingi saya itu wajar diberi keadilan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjadikan mereka hero dalam cerita ini kerana hakikatnya mereka sudah jadi sahabat saya,” katanya.

Risa yang hadir ke Kuala Lumpur sempena majlis pratonton filem itu baru-baru ini berkata, apabila diceritakan orang pasti berasa seram, tetapi semua itu adalah pengalamannya sendiri. Apa yang diceritakan Risa seolah-olah tidak logik.

Ia seperti hanya sekadar imaginasi dan tak tercapai akal manusia. Ditanya mengenai perkara itu, Risa berkata, dia sudah lali dengan tanggapan sedemikian dan sekarang dia tidak pedulikan apa kata orang lain. “Tak kisahlah kalau mereka tak mahu percaya, tapi orang yang tahu cerita sebenar lebih memahaminya.

"Jika tak mahu percaya sekalipun, tontonlah filem ini sebagai satu hiburan. Lupakan mengenai kebolehan saya dan nikmati saja jalan ceritanya seperti filem lain,” katanya. Ghost-Danur: I Can See Them memberikan dimensi berbeza dalam cerita seram.

Ia mengisahkan Risa yang mampu berhubung dengan hantu. Pada ulang tahun kelahirannya yang kelapan, dia membuat permintaan yang benar-benar mengubah hidupnya. Risa cuma mahukan kawan untuk bermain memandangkan dia kerap bersendirian di rumah nenek dan ibunya, Elly pula sibuk bekerja.

Selepas itulah muncul Jhansen, Peter dan William yang mula menghantui dirinya. Risa kemudian tidak pernah lagi kesunyian dan mula ketawa serta bermain dengan mereka. Perubahan itu bagaimanapun menimbulkan masalah buat orang lain di rumah itu terutama penjaga rumah, Ujang dan ibunya sendiri. 

Kelakuan Risa benar-benar membimbangkan mereka kerana ia semakin menjadi-jadi. Disebabkan itu, Elly mengambil keputusan membawa Risa tinggal di tempat lain dan meninggalkan rumah berkenaan. Selepas sembilan tahun, mereka kembali ke rumah itu kerana Risa perlu menjaga neneknya yang sakit.

Risa ketika itu sudah memiliki adik perempuan, Riri yang turut serta pulang ke rumah itu. Di situlah akhirnya berlaku satu kejadian yang mengubah pandangan Risa mengenai kemampuannya berkomunikasi dengan makhluk halus. Semuanya kerana Riri tiba-tiba hilang dan dia perlu selamatkannya.

Filem ini dibintangi Prilly Latuconsina (Risa), Sandrinna Michella Skornicki (Riri), Shareefa Daanish (Asij), Asha Kenyeri Bermudez (Risa kecil), Indra Brotolaras (Andri), Kinaryosih (Elly), Ingrid Widjanarko (nenek), Wesley Andrew (William), Kevin Bzezovski Taroreh (Jhansen), Gamaharitz (Peter), dan Fuad Haris (Ujang).

Ghost-Danur: I Can See Them bakal ditayangkan di negara ini mulai Khamis depan.

Terus Beri Tumpuan Kepada Golongan B40



Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 meskipun kadar pembabitan tenaga kerja di Malaysia berada pada tahap optimum. Setakat Februari lalu, kadar pembabitan tenaga kerja mencatatkan 67.8 peratus atau 14.92 juta orang manakala kadar pengangguran pula kekal rendah dan terkawal pada kadar 3.5 peratus. 

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi langkah seperti menyediakan rumah mampu milik melalui skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), latihan industri, perkhidmatan kesihatan berkualiti dan kebajikan golongan kurang upaya, ia mampu membantu golongan B40.

Beliau berkata, kerajaan turut menyeru majikan untuk terus memberi penekanan kepada golongan pekerja wanita yang mempunyai bakat dan kepakaran dalam pelbagai bidang dengan memberikan keseimbangan masa kepada golongan itu.

“Dari segi golongan B40, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) misalnya boleh membantu mereka untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

“Manakala bagi golongan pekerja wanita yang pakar, mereka perlu diberi perhatian memandangkan pada masa ini, kadar pembabitan mereka masih terhad iaitu 54.1 peratus berbanding lelaki 80 peratus,” katanya pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja CIMB Sempena Sambutan Hari Pekerja 2017, di sini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz turut mengumumkan beberapa inisiatif untuk pekerja syarikatnya seperti pekerja yang menerima gaji tidak lebih RM3,500 ditawarkan pembiayaan pembelian rumah tidak lebih RM250,000 dengan tanpa kadar faedah untuk tempoh lima tahun.

Selain itu, bagi ibu atau bapa tunggal yang bekerja di CIMB boleh menerima bantuan RM200 setiap bulan untuk anak-anak berusia tidak melebihi 18 tahun bagi tujuan sokongan pendidikan.

Pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM2,000 akan menerima bantuan RM50 untuk pembayaran bil air yang tidak melebihi nilai berkenaan dan RM100 untuk kad Touch ‘n Go. Johari berkata, kerajaan berharap semua pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya melaksanakan langkah yang sama dengan CIMB bagi membantu pekerja syarikat mengikut lapisan pendapatan.

Triton Tampil Maskulin


Pasaran kenderaan pikap kembali rancak apabila Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd melancarkan dua model versi peningkatan VGT Adventure X dan VGT Adventure yang menawarkan waranti selama lima tahun atau 200,000 kilometer. 

Varian terbaru itu dijana enjin Mivec 2.4 turbo diesel DI-D Common Rail dan Geometri Turbo Bolehubah (VGT) yang menghamburkan kuasa sehingga 181PS manakala tork setinggi 430Nm. Antara pembaharuan dilakukan termasuklah rekaan jeriji radiator hadapan lebih menyerlah dan sporty.

Bagi model varian VGT, perumah lampu hadapan diisi dengan lampu HID yang diintegrasikan bersama DRL. Ruang dalaman masih menawarkan ciri kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan susun atur papan pemuka yang kemas.

Stereng juga dilengkapkan kawalan audio, cruise, bluetooth dan paparan meter baru. Malah, bagi varian VGT, kerusi pemandu boleh dilaras pada lapan posisi berbeza secara automatik.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd, Tomoyuki Shinnishi berkata, varian terbaru itu mempunyai ciri lebih premium selain elemen keselamatan ditambah baik dengan tujuh beg udara SRS selain menerima penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran Program Penilaian Kereta Baru Asia Tenggara (NCAP ASEAN).

“Kami menjangkakan peningkatan perkongsian pasaran mencapai 15 peratus pada 2017 daripada 13 peratus dicatatkan tahun lalu. Antara ciri ditambah baik termasuk sistem Kawalan Tarikan dan Kestabilan Aktif (ASTC) bagi memastikan kenderaan dalam keadaan terkawal apabila melalui permukaan jalan licin dan lasak,” katanya.

Diimport sepenuhnya dari Thailand, enam varian ditawarkan dan harga jualan asas bermula daripada RM77,390 bagi Quest MT hingga RM130,900 untuk Adventure X AT.

Thursday, 27 April 2017

Sudahlah Ahli Tidak Seberapa, Mahathir Usir Lagi Mereka Yang Tidak Sehaluan



Sebenarnya, agak melucukan apabila melihat seorang ketua sanggup mengusir pengikutnya yang tidak seberapa hanya kerana tidak sependapat dengannya. Inilah yang berlaku terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau sanggup mengusir ahli PPBM daripada parti hanya kerana tidak mempunyai sefahaman dengan beliau.

Melihat kepada kenyataan Mahathir semalam, memang agak melucukan. Manakan tidak, sudahlah parti ini baru sahaja mencecah usia 6 bulan, ditambah pula dengan keahlian partinya sendiri yang tidak seberapa, beliau lebih rela kehilangan ahlinya hanya dengan alasan tidak sehaluan dengannya dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib dan kerajaan.

Mungkin Mahathir merasakan kedudukan PPBM sudah cukup ampuh apabila menyertai Pakatan Harapan namun dari segi keahlian, PPBM sebenarnya mempunyai masalah yang cukup besar. Manakan tidak, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 1,600 orang ahli sudah meninggalkan parti ini.

Lebih memburukkan keadaan, pemimpin utama parti ini juga turut sama angkat kaki setelah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti. Antara sebab lain yang sentiasa di sebut adalah, pucuk pimpinan parti ini sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam membawa wadah erti perjuangan sebenar.

Sebaliknya, PPBM ini ditubuhkan bagi membolehkan Mahathir mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan. Walhal, apa yang dimahukan Mahathir ini mendapat tentangan dari rakan Pakatan Harapan itu sendiri. Justeru, apalah guna terus berada di dalam parti yang hanya mementingkan waris keturunan untuk mendapatkan kuasa.

Dakwaan seperti ini masih gagal dijawab Mahathir secara jelas. Malah, beliau tanpa memperdulikan perasaan ahli bawahannya, bertindak mengusir mereka yang tidak sehaluan dengannya. Apakah guna menyertai sesebuah parti politik jika pengerusinya sendiri sanggup menghalau ahlinya? Di manakah hak kebebasan bersuara di dalam PPBM?

Jika inilah yang berlaku, bukan satu perkara mustahil andai PPBM akhirnya bakal berkubur tidak lama lagi. Bayangkan, ahli yang tidak seberapa pun boleh dihalau seperti sampah, matlamat parti tidak jelas dan hanya mengutamakan waris keturunan sahaja untuk mendapatkan kuasa. Adakah ini parti politik yang mampu membina sebuah negara dan membela nasib rakyat?

Jangan Sampai Masyarakat Labelkan Pusat Tahfiz Sebagai Selangkah Ke Kubur


Seluruh negara merasa begitu sedih di atas kematian Allahyarham adik Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi atas kecederaan yang tidak sepatutnya berlaku keatas kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun. Allahyarham dihantar oleh keluarganya untuk menjadi seorang tahfiz namun apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dengan akal.

Satu ketika dahulu, institusi pengajian pondok dan tahfiz cukup dipandang tinggi oleh masyarakat kaum Melayu yang beragama Islam. Disinilah anak-anak mereka dihantar seawal usia 6 tahun bagi mendalami ilmu Islam dengan harapan, apabila mereka besar kelak, mereka akan menjadi seorang guru agama yang baik dan dapat menyebarkan syiar Islam di seluruh pelusuk tanahair.

Zaman semakin berubah dan institusi pondok dan pengajian tahfiz semakin hari semakin ditinggalkan. Namun begitu, atas inisiatif kerajaan yang ada pada hari ini, Datuk Seri Mohd Najib cuba mengangkat kembali prestij pengajian pondok dan institusi tahfiz selari dengan peredaran zaman. Banyak peruntukan telah diberi bagi mengangkat semula sistem pengajian ini.

Namun begitu, masih ada pusat pengajian pondok dan tahfiz yang masih selesa mengamalkan corak pengajaran cara dahulu. Lihat sahaja apa yang menimpa Allahyarham di mana dia tidak terlepas dari menerima hukuman yang disifatkan keras oleh orang yang diamanhkan untuk menjaganya.

Hal ini turut diakui oleh beberapa pihak yang mendakwa, budaya merotan pelajar di pusat pengajian tahfiz memang wujud namun ianya tidaklah begitu teruk. Dalam hal ini, tidak salah untuk menghukum pelajar sekiranya pelajar berkenaan tidak akur kepada arahan pendidik. Jika merotan untuk mendidik, apalah salahnya.

Namun, yang menjadi kesalahan adalah merotan dengan penuh kemarahan sehingga boleh mencacatkan pelajar malah sehingga menemui ajal, itu sudah melampau. Dalam Islam sendiri ada menggariskan cara menghukum yang dibenarkan syarak. Untuk itu, apa hak mereka memukul pelajar berkenaan sehingga sampai kehilangan nyawa?

Hari ini, masyarakat terutamanya bagi umat Islam di negara ini masih lagi menyimpan perasaan hormat keatas pusat-usat tahfiz serta pusat pengajian pondok. Kerana di sinilah lahirnya para ilmuwan Islam di negara ini dengan sistem pendidikan berasaskan Islam.

Gambar hiasan
Apa yang diharapkan adalah para pendidik di pusat pengajian pondok dan tahfiz ini mengajar mengikut acuan dan lunas agama yang digariskan. Usah menghukum dengan perasaan sebaliknya menghukumlah mengikut lunas agama yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Jangan sampai satu hari nanti, masyarakat memerli orang yang menghantar anak mereka ke pusat tahfiz sebagai menghantar anak ke kubur!

Abang Johari Mahu Jadikan Kapit Pusat Kajian Biodiversiti



Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mahu menjadikan Bahagian Kapit sebagai pusat kajian biodiversiti antarabangsa. Beliau berkata Kapit mempunyai banyak bahan yang boleh dijadikan ubat-ubatan atau produk bioteknologi lain. 

"Kita boleh membawa penyelidik untuk mengkaji pokok, daun, sumber biodiversiti kita," katanya pada majlis makan malam bersama rakyat di Dewan Suarah Kapit malam tadi. Beliau berkata projek itu adalah wawasan beliau dan wakil penduduk setempat yang mampu membawa manfaat kepada bahagian itu di samping pembangunan ekonomi lain seperti pelancongan.

Abang Johari berkata ia akan menjadi tugas Agensi Pembangunan Ulu Rajang yang baru dibentuk yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing bagi menjadikan hasrat itu sebagai kenyataan dengan memastikan pelaksanaan infrastruktur di Kapit termasuk teknologi maklumat dan komunikasi berjalan lancar.

Beliau berkata dengan sambungan Internet yang baik, para saintis boleh segera berkomunikasi dengan universiti mereka yang akan membolehkan Kapit memasar produk biodiversitinya ke serata dunia. "Oleh sebab itu saya memperuntuk RM1 bilion bagi menaik taraf perhubungan Internet kita," katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumum peruntukan RM73.9 juta bagi pembinaan Jalan Nanga Menuan sepanjang 10 kilometer sebanyak RM12 juta; pembinaan Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau Road sepanjang 10 kilometer (RM12 juta); pembinaan pejabat daerah kecil Merit (RM5 juta); SJK Min Tak (RM2 juta); SJK Hok Lam (RM500,000); SJK Hock Hua (RM100,000).

Gereja Methodist Iban Kapit yang baru (RM5 juta); untuk Persatuan Kwang Tung, Persatuan Foochow dan tanah perkuburan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (masing-masing (RM2 juta) serta pembinaan jalan Hospital Kapit (RM3.3 juta).

Sementara RM12 juta lagi diperuntuk untuk mencantikkan kolam bunga lily, RM3 juta untuk menaik taraf pusat bandar Kapit, masing-masing RM3 juta dan RM14 juta bagi pembinaan tebingan air Song dan Belaga.

Wanita Maut Terjatuh Apartmen



Seorang wanita hamil enam bulan maut dipercayai terjatuh apabila batang besi pada penyi­dai pakaian tercabut ketika mangsa menjemur tilam di balkoni kediamannya di tingkat tiga Apartmen Taman Sri Kepayan di sini kelmarin. 

Mayat mangsa, Jeaquiline Ribot (gambar kecil), 25, yang berkain batik dan berbaju–T warna hitam itu ditemui dalam keadaan tertiarap oleh seorang jiran di aras bawah apartmen berkenaan pada pukul 4.46 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menjemur tilam di atas sebatang paip berukuran 0.61 meter yang dijadikan tempat menyidai pakaian.

“Semasa menjemur, mang­sa dipercayai berdiri di atas sebuah kerusi plastik warna hitam dan menekan-nekan tilam berkenaan sehingga mengakibatkan batang paip tercabut daripada kimpalan besi pagar.

“Hasil pemeriksaan mendapati, batang paip terkeluar daripada kedudukannya kerana kimpalan di antara batang paip dan besi pagar tidak kukuh,” katanya semalam.

Pelajar Tahfiz Meninggal Dunia


Selepas seminggu bertarung nyawa akibat jangkitan kuman dan darah beku pada bahagian kaki serta tangan, pelajar sebuah madrasah tahfiz swasta di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11, akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini semalam.

Mohamad Thaqif yang dipercayai didera oleh pembantu warden asrama madrasah berkenaan meninggal dunia pada pukul 2.05 petang ketika mendapatkan rawatan di Wad Dependensi Tinggi (HWD), HSI.

Menurut bapa mangsa, Mohd. Ghaddafi Mat Karim (gambar kecil), 43, anak ketiga daripada lima beradik itu meninggal dunia ketika ahli keluarga membacakan surah Yasin di tepi katil hospital. “Allah lebih menyayanginya. Mohamad Thaqif pergi meninggalkan kami sekeluarga pada pukul 2.05 petang. Saya reda dengan ketentuan ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan anak saya,” katanya ketika ditemui di HSI di sini semalam. Mohd. Ghaddafi yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor berkata, Mohamad Thaqif dijadualkan menjalani pembedahan memotong tangan kanan pada pukul 8 pagi semalam.

Sementara itu, tempoh tahanan reman ke atas pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut di sini bagi membantu siasatan berhubung kes mendera seorang pelajarnya sehingga mene­mui ajal disambung tiga hari lagi.

Perintah sambung reman ke atas Mohd. Shafiq Kalip, 29, dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin. Mohd. Shafiq yang sebelum ini ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng pada pukul 4 petang, 22 April lalu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, Mohd. Shafiq yang belum berkahwin disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendera.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Komisioner Rahmat Othman berkata, sebelum ini bekas banduan dari Penjara Kluang itu direman empat hari bermula Ahad lalu sebelum berakhir semalam bagi membantu siasatan kes penderaan pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11.

China Haramkan Nama Ekstrem



Pihak berkuasa China dilapor mengharamkan ibu bapa Islam di negara itu menamakan anak mereka dengan nama yang didakwanya melambangkan radikal. 

Pihak berkuasa wilayah Autonomi Xinjiang, tempat lebih separuh Muslim negara itu menetap dilapor mengeluarkan senarai 29 nama termasuk, Jihad, Imam dan Saddam yang dilarang digunakan penduduk wilayah itu.

Muslim di wilayah itu sudahpun diharam berjanggut atau memakai purdah di tempat awam, sebahagian daripada langkah China untuk apa yang didakwanya tindakan mengekang keganasan. Kanak-kanak yang diberi nama yang terkandung dalam senarai itu akan dinafikan identiti mereka dari segi perundangan, lapor Radio Free Asia.

Seorang pegawai di balai polis di Urumqi, ibu negeri Xinjiang mengesahkan peraturan baru itu. Menurutnya, bayi dengan nama yang diharamkan itu tidak akan memperoleh Hukou, pendaftaran kelahiran di China sementara pegawai di pusat pendataran Hukou akan diberi latihan untuk mengenal pasti nama yang dibenarkan.

Kongres Uighur Sedunia berkata, pengharaman baru itu yang dikenali sebagai ‘Peraturan Menamakan Bayi’ untuk Etnik Minoriti’ disebarkan menerusi risalah. Pertubuhan yang berpusat di Jerman itu juga berkata, ini bukan kali pertama nama Islam diharamkan di Xinjiang.

Pengharaman itu dikuatkuasakan ketika pihak berkuasa Xinjiang melancarkan tindakan yang didakwanya bertujuan untuk mengekang ‘pelampau agama’ di wilayah itu.

Bulan lalu, peraturan baru diluluskan oleh Dewan wilayah berkenaan yang mengharamkan 15 jenis tingkah laku yang dipercayai ada hubungan dengan fahaman pelampau agama. Ia termasuk memakai purdah, janggut panjang, enggan menonton siaran stesen televisyen kerajaan dan memperoleh pelajaran kebangsaan.

Abdul Latif, Siti Rahmah Atlet Terhebat Negara



ATLET paralimpik negara, Abdul Latif Romly dan ratu silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016 yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur malam tadi. 

Abdul Latif dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas kejayaannya meraih pingat emas acara lompat jauh kategori T20 selain mencipta rekod baharu dunia pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dengan lompatan sejauh 7.54 meter (m), sekali gus mengatasi rekod lama, 7.35m miliknya sendiri.

Selain itu, atlet berasal dari Kangar, Perlis tersebut turut meraih emas dalam acara lompat jauh pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak tahun lalu yang menyaksikannya menewaskan atlet normal yang lain. Atlet berusia 20 tahun itu mencipta sejarah sebagai atlet paralimpik pertama meraih anugerah tertinggi sukan negara sejak ia diperkenalkan pada 8 Julai 1967.

Dia menewaskan lima lagi calon lain iaitu pemain badminton perseorangan lelaki No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei; atlet berbasikal, Azizulhasni Awang; Muhammad Rafiq Ismail (boling); Mohd. Syahrul Azman Mahen Abdullah (bina badan) dan Mohd. Al Jufferi Jamari (silat).

Kemenangan tersebut membolehkan Abdul Latif menerima hadiah wang tunai RM20,000. Siti Rahmah, 30, pula juara dunia bagi kelas Puteri E selepas meraih emas buat kontinjen negara pada kejuaraan Silat Dunia ke-17 di Bali, Indonesia Tahun lalu.

Ia merupakan gelaran dunia ketiga buat atlet yang berasal dari Terengganu itu. Kejayaan meraih pengiktirafan sebagai Olahragawati kebangsaan 2016 turut menyaksikan Siti Rahmah menerima wang tunai RM20,000.

Mereka menerima hadiah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan mencemar duli merasmikan majlis gilang- gemilang itu. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan.

Jika Layak Faizal Umum Pengganti



“Kalau ikutkan, saya memang tak mahu mencalonkan lagu itu. Bagaimanapun, saya tidak boleh memberikan kata putus kerana perlu berbincang dulu,” kata penyanyi dan komposer popular, Faizal Tahir mengenai pencalonan lagu duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza, Dirgahayu dalam program Muzik Muzik 32 di TV3. 

Faizal berkata, dia perlu membuat perbincangan rapi kerana lagu ciptaannya itu turut membabitkan banyak pihak termasuk dua syarikat rakaman. “Memang ramai yang bertanyakan mengenai lagu ini. Kalau ikutkan keputusan saya, memang saya tidak mahu mencalonkannya. Namun, saya tak boleh pentingkan diri sendiri tanpa mengambil kira pandangan pihak lain.

"Walaupun saya komposer lagu ini, tapi ia masih membabitkan pihak lain seperti Siti dan syarikat rakaman," katanya. Faizal berkata, sekiranya lagu itu dicalonkan dan layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL), dia sudah mempunyai penyanyi yang sesuai bagi menggantikannya untuk menyanyikan lagu itu.

Bagaimanapun, Faizal enggan mendedahkan siapa penyanyi yang dimaksudkannya itu. Kali terakhir Faizal menyertai AJL ialah pada 2015 menerusi lagu Assalamualaikum yang turut muncul sebagai naib juara.

Pada AJL 31 awal tahun ini, lagu ciptaan Faizal berjudul Setia yang dinyanyikannya bersama Elizabeth Tan turut layak, tetapi Faizal tidak menyanyikannya dan dia digantikan Awi Rafael.

Sistem Kabel Optik Dasar Laut Siap Akhir Tahun



Telekom Malaysia Berhad (TM) menjangkakan Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) dapat disiapkan sekurang-kurangnya pada suku keempat tahun ini. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Bazlan Osman berkata, SKR1M bakal meningkatkan lagi keseluruhan sistem kabel sedia ada dari timur hingga barat Malaysia. 

“Sebarang keperluan kepada sistem kabel baru selepas ini bergantung kepada keperluan dan permintaan pasaran,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TM di sini, semalam.

SKR1M adalah sistem kabel fiber optik dasar laut sepanjang 3,800 kilometer menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkapasiti 4 Terabyte/saat (4Tbps) di negara ini.

Dalam perkembangan lain, TM berhasrat untuk menggandakan kelajuan Internet bagi pelanggan UniFi menjelang akhir tahun ini berbanding hanya 22 peratus daripada 640,000 pelanggan UniFi pada masa kini.

Beliau berkata, hasrat itu sejajar dengan peruntukan Bajet 2017 yang menetapkan supaya penyedia perkhidmatan Internet meningkatkan kelajuan jalur lebar tetap tanpa membabitkan sebarang perubahan harga.

“Oleh itu, ia dijangka tidak memberi sebarang impak kepada hasil purata setiap pelanggan (ARPU) memandangkan tiada perubahan kepada harga perkhidmatan UniFi,” katanya. Sehingga kini, TM memperluaskan rangkaian evolusi jangka panjang (LTE) meliputi lebih daripada 60 peratus di seluruh negara.

Gudang Makang, Dapo Pata Tarikan Baharu Di Kuala Terengganu


SELEPAS mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan kelahiran negeri Terengganu kira-kira sedekad lalu, Muhd. Rushdi Samsudin, 35, mengambil keputusan untuk terus menetap di negeri itu. Anak kelahiran Perak itu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di Pantai Timur terutama dari segi loghat dan makanan yang berbeza. 

“Pada mulanya, memang saya berasa agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini terutama dari segi makanan kerana ia agak berbeza dengan Perak. Namun, lama-kelamaan sudah mampu mengadaptasi. Saya juga dapati banyak kedai makan dan kafe unik di sini yang menawarkan pelbagai hidangan sama ada dari negeri lain atau makanan Barat.

“Malah, terdapat juga kafe di Kuala Terengganu yang dibuka berkonsepkan hispter seperti di Kuala Lumpur. Ia juga menjadi tumpuan penduduk setempat yang ingin mencari kelainan,” katanya.

Dia yang kini menetap di Kuala Terengganu berkata, antara kafe hipster yang kerap dikunjunginya bersama keluarga ialah Gudang Makang yang terletak di Manir, tidak jauh dari bandar Kuala Terengganu. Jelasnya, kafe itu bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selesa tetapi turut menawarkan pelbagai makanan yang disediakan oleh peniaga-peniaga.

Bercerita lanjut mengenai Gudang Makang, pemiliknya, Muhammad Anwar Haladin, 34, berkata, kafe tersebut dibuka sejak 3 Februari lalu di atas tanah milik keluarganya. “Saya mendapat idea untuk membuka kafe hipster ini selepas ia banyak dibuka di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Ia juga mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Gudang kosong

“Memandangkan keluarga saya di Kuala Terengganu memiliki sebuah bangunan gudang kosong yang tidak digunakan, jadi saya mengambil keputusan untuk mengubahnya menjadi medan selesa dengan konsep hipster yang dinamakan Gudang Makang,” katanya yang pernah bekerja di Kuala Lumpur sebelum ini.

Muhammad Anwar memberitahu, perkataan makang merupakan istilah loghat Terengganu yang bermaksud makan dan penggunaan nama Gudang Makang itu merujuk kepada bangunan gudang yang dijadikan gerai makan.

Ceritanya lagi, dia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap bangunan gudang milik keluarganya itu termasuk menyediakan kelengkapan seperti kerusi dan meja makan selain kios untuk peniaga.

Sehingga kini katanya, terdapat 14 peniaga yang beroperasi di kafe tersebut yang terdiri daripada penduduk sekitar Kuala Terengganu yang menawarkan pelbagai jenis menu untuk dinikmati oleh para pelanggan.

“Di sini, pengunjung boleh memilih sama ada untuk menikmati makanan di meja yang disediakan di dalam gudang ataupun di ruang terbuka. Mereka bebas untuk duduk di meja yang dirasakan sesuai dan selesa serta memesan makanan daripada mana-mana peniaga di sini,” katanya dengan memberitahu, operasi Gudang Makang bermula pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari.

Selain menyediakan hampir 40 jenis menu, Gudang Makang turut mempunyai kawasan parkir yang luas untuk keselesaan pelanggan dan boleh memuatkan sehingga 60 buah kereta pada satu-satu masa. 

Walaupun baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun Gudang Makang sudah menerima kunjungan sekitar 1,000 pengunjung sehari pada hari biasa, manakala jumlah tersebut boleh meningkat kepada 1,500 orang pada hujung minggu dan cuti umum.

Beriadah

Selain Gudang Makang, sebuah lagi kafe hipster yang turut menjadi tumpuan penduduk dan pelancong di Kuala Terengganu ialah Dapo Pata yang terletak di Kuala Nerus. Didirikan di atas sebidang tanah di kawasan pantai, Dapo Pata yang diusahakan oleh seorang anak jati Kuala Terengganu sememangnya memiliki keunikannya yang tersendiri.

“Pada asalnya, tanah terbiar milik keluarga saya yang terletak di kawasan pantai ini hanya menjadi lokasi penduduk sekitar beriadah. Kemudian, saya mula terfikir, mengapa tidak dibangunkan kawasan tanah ini menjadi kawasan tarikan baharu kepada pengunjung,” kata pemilik Dapo Pata, Affandi Hamzah.

Kata Affandi, selepas berbincang dengan ahli keluarga, dia mula mendapatkan modal untuk membeli beberapa buah kontena terpakai untuk dijadikan sebuah kafe bercirikan hipster untuk disesuaikan dengan minat golongan muda pada masa kini.

Bermula dengan 14 buah kontena terpakai yang dijadikan bangunan asas, setiap peniaga di Dapo Pata diberi peluang untuk mengubah suai ruang niaga mereka mengikut cita rasa sendiri. “Saya ingin menjadikan Dapo Pata sebuah kafe yang unik dan lain daripada lain.

“Sebab itulah saya wajibkan semua peniaga untuk mengubah suai ruang niaga masing-masing menggunakan bahan-bahan terpakai agar nampak berbeza antara satu sama lain,” katanya dengan menjelaskan, nama Dapo Pata merupakan bahasa dalam loghat Terengganu yang bermaksud dapur pantai.

Persembahan percuma

Bagi menambah kemeriahan operasi Dapo Pata, Affandi turut menyediakan sebuah pentas yang akan digunakan oleh beberapa kumpulan muzik tempatan untuk membuat persembahan untuk menghiburkan para pengunjung secara percuma.

Jelasnya, sejak beroperasi pada 12 Februari tahun lalu itu, Dapo Pata semakin dikenali dalam kalangan penduduk sekitar Terengganu dan pelancong luar.

Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang peniaga, Nur Amira Hafiza Rahim, 30, dengan memberitahu, ramai golongan muda di sekitar Kuala Terengganu mula menjadikan Dapo Pata sebagai tempat untuk berkumpul dengan rakan-rakan sambil menikmati hidangan dalam suasana yang santai.

Malah katanya, tempat itu juga kerap dikunjungi golongan berkeluarga selain mereka yang datang secara berkumpulan seperti kelab-kelab kenderaan. “Mungkin sebab suasana di Dapo Pata ini yang unik menjadikan ramai pengunjung memilih untuk bersantai di sini bersama rakan-rakan dan ahli keluarga,” tambahnya.

Wednesday, 26 April 2017

Tolong Fikirkan Sama Nyawa Murid-Murid Yang Dibawa



Tidak dinafikan, perkhidmatan van dan bas sekolah untuk membawa murid-murid pergi dan pulang ke sekolah cukup diperlukan oleh ibu, bapa dan penjaga kepada murid-murid berkenaan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar. Ianya menjadi satu keperluan buat ibu, bapa dan penjaga di saat ruang untuk mereka keluar mengambil anak-anak begitu terhad.

Namun begitu, berapa ramai yang mengabil berat tentang kondisi dan keadaan van dan bas sekolah yang menyediakan perkhidmatan berkenaan? Adakah mereka kisah tentang keadaan van dan bas sekolah berkenaan berada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya? Bagaimana pula dengan kesedaran penyedia pengangkutan ini?

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) cukup mengambil berat akan keselamatan murid-murid yang menggunakan perkhidmatan ini. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pemandu bas atau van sekolah yang masih menggunakan kenderaan uzur yang tidak mematuhi piawaian untuk beroperasi.

Beliau menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengusaha bas atau van sekolah terbabit kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna khususnya pelajar sekolah.

Beliau tidak menyebut tindakan yang bakal dikenakan kepada pemandu yang masih berdegil, namun tambahnya, kenderaan terbabit sekurang-kurangnya perlu memenuhi piawaian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekiranya mahu menjalankan perkhidmatan itu.

Sehingga hari ini, pihaknya masih berkompromi dengan memberi kelonggaran kepada pemandu menggunakan bas atau van yang tidak kelihatan terlalu uzur meskipun usianya melebihi 10 tahun. Apa yang ditekankan oleh pihaknya adalah pengusaha perkhidmatan itu perlu memohon permit. Jika tiada, SPAD akan mengambil tindakan kerana prosedur permohonan permit hari ini mudah dan ringkas.

Melihat kepada ketegasan SPAD dalam menegur pengusaha perkhidmatan van dan bas sekolah ini, diharapkan kesemua pengusaha ini menjaga kondisi dan keadaan pengangkutan masing-masing. Di tangan mereka segala tanggungjawab dan keselamatan anak-anak ini diserahkan untuk membawa pergi dan balik dengan selamat.

Fikirkan sama nyawa anak-anak yang dibawa ini dan usah hanya mengejar keuntungan segera sehingga mengabaikan tahap keselamatan van dan bas sekolah yang di sediakan. Nyawa jauh lebih berharga dan diharapkan saranan dan ketegasan SPAD menerusi Tan Sri Syed Hamid Albar ini mampu memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat.


Ini Dinamakan Kerajaan Berkebajikan DAP?


Dalam manifesto pilihan raya DAP di Pulau Pinang, antaraa perkara yang ditekankan oleh parti ini adalah, menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang dengan berusaha meringankan beban sara hidup yang ditanggung oleh rakyat negeri ini. Untuk itu, DAP negeri berhasrat menubuhkan sebuah kerajaan berkebajikan khusus untuk rakyat di Pulau Pinang.

Itu cerita pada tahun 2013 di mana DAP Pulau Pinang akhirnya berjaya mempertahankan pentadbiran negeri ini sejak 2008. Untuk kali kedua, anak kelahiran Melaka, Lim Guan Eng ditabalkan sekali lagi sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan sekaligus menolak sebarang peluang untuk anak jati negeri itu diangkat menjadi Ketua Menteri.

Hari ini, setelah 4 tahun berlalu, pelbagai belang telah ditunjukkan oleh kerajaan DAP terutamanya sekali Lim Guan Eng. Sebut sahaja apa yang tidak dilakukan Guan Eng sepanjang menjadi Ketua Menteri untuk penggal kedua. Dari penjualan tanah kepada pihak asing, menjatuhkan kedudukan ekonomi Pulau Pinang, kes salah laku sehinggalah kenaikan kali keempat surcaj air, semuanya telah dilakukan oleh Guan Eng.

Semua ini menampakkan bahawa apa yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan terutamanya untuk Pulau Pinang telah dibakul sampahkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. Itu belum lagi mengambil kira pengusiran besar-besaran penduduk asal perkampungan di Pulau Pinang tanpa sebarang bayaran pampasan hanya dengan alasan pembangunan.

Paling teruk adalah kenaikan hampir 100 peratus surcaj air yang boleh dianggap membebankan rakyat yang berpendapatan rendah di Pulau Pinang. Sebelum ini, semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, Lim Guan Eng berjanji tidak akan mengenakan atau menaikkan apa jua caj kepada penduduk Pulau Pinang.

Namun hari ini, untuk kali keempat, surcaj air dinaikkan, cukai katil di perkenalkan selain kenaikan caj parking, cukai pintu dan macam-macam cukai lagi. Itu belum lagi kegagalan Guan Eng menyediakan rumah mampu milik buat rakyat yang berpendapatan rendah di Pulau Pinang.

Hari ini, rumah paling murah yang ada di Pulau Pinang adalah serendah setengah juta Ringgit. Bayangkan, siapa yang mampu memiliki rumah berkenaan dengan kos bayaran sebulan mencecah RM 3,000 sebulan?

Ini yang dinamakan kerajaan berkebajikan ciptaan DAP? Mungkin ianya berkebajikan buat kroni dan sesiapa sahaja yang rapat dengan kerajaan negeri. Namun, bagi rakyat yang berpendapatan rendah, mungkin menjadi hasrat Guan Eng dan DAP untuk mengusir mereka dari Pulau Pinang kerana mungkin bagi mereka, golongan ini akan banyak menyusahkan kerajaan DAP dari menyenangkan.