Tuesday, 30 May 2017

Menderita Sungguh Hidup Di Malaysia Hari Ini



Baru-baru ini tersebar sebuah artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar perdana di mana artikel berkenaan memaparkan keluhan para peniaga di bazar Ramadhan yang terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan oleh cukai GST. Agak menghairankan kerana GST hanya dikenakan terhadap barangan yang sudah siap di proses dan bukannya barangan keperluan asas dan mentah.

Disebalik rungutan dan keluh kesah ini, sepanjang pemerhatian untuk 4 hari di bulan Ramadhan tahun ini, memang kita akan dapat saksikan betapa "terseksanya" rakyat Malaysia menyambut bulan yang penuh barokah ini.

Sebagai permulaan, mari kita lihat betapa terseksanya rakyat Malaysia apabila terpaksa berasak-asak di kesemua bazar-bazar Ramadhan yang ada di seluruh Malaysia. Sepanjang pemerhatian, penyeksaan mereka menahan lapar dan dahaga di waktu bulan Ramadhan ini bertambah apabila terpaksa berasak-asak dengan pengunjung lain hanya mahu membeli murtabak, popiah dan lain-lain juadah lagi.

Betapa seksanya mereka sehinggakan mereka langsung tidak mengambil peduli berapa harga makanan yang mereka beli. Apa yang penting, seksa mereka dapat dilepaskan tanpa perlu berfikir lagi.

Menyebut tentang bazar Ramadhan, saban tahun, akan ada sahaja peniaga baru yang akan membida tapak-tapak bazar Ramadhan yang adakalanya mencecah angka RM 5,000 sebulan. Bukan senang sebenarnya mahu mencari RM 5,000 pada masa sekarang namun demi penyeksaan hidup yang mereka hadapi, mereka gagahkan juga membayar kerana mereka tahu, pasti ada orang ramai yang terseksa hidupnya membeli barangan mereka.

Sekarang, mari kita beralih pula kepada satu lagi penyeksaan yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Di kesemua restoran dan hotel-hotel di seluruh negara, tempahan untuk berbuka dilaporkan penuh sepanjang bulan Ramadhan ini. Nampaknya, ramai yang terlalu terseksa sehingga tidak sanggup lagi untuk berbuka di rumah seperti sebelum ini.

Apa yang menariknya, harga buffet untuk sekepala cukup menyeksakan. Sepanjang pemantauan, harga paling murah untuk satu kepala bagi menikmati buffet Ramadhan adalah serendah RM 45 sekepala dan paling mahal boleh mencecah angka RM 130 sekepala. Menu yang ditawarkan memang menyeksakan. Siapa mahu menolak menu kambing golek dan pelbagai hidangan yang menyeksakan ini?

Lebih melucukan, tinjauan di beberapa buah masjid yang menawarkan hidangan moreh buat jemaahnya ada menampakkan penurunan. Mungkin juga menu-menu di masjid hari ini tidak lagi menyelerakan kerana tidak menghidangkan makanan ala western atau kambing golek mahupun nasi briyani ala-ala arabian.

Ini baru 4 hari umat Islam di Malaysia ini berpuasa. Tunggu sehingga 10 hari terakhir Ramadhan pula apabila kita akan dapat menyaksikan betapa terseksanya rakyat Malaysia mahu membeli baju untuk dipakai hanya sehari atau mungkin 2 hari pada bulan Syawal. Kemudian, baju-baju berkenaan akan digantung di dalam almari sehingga tibanya Aidiladha.

Susah betul hidup di zaman pentabiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak inikan. Mahu makan pun terpaksa bersesak-sesak di bazar-bazar Ramadhan. Malah, hendak berbuka pun terpaksa mencari restoran-restoran dan hotel-hotel yang ada menawarkan kambing golek sebagai menu utamanya. Sabarlah rakyat Malaysia. Kita memang tengah sengsara dan terseksa sekarang ini!

Dapur Ranap Awal Pagi



ENAM beranak di Kampung Tambirat Tengah, Kota Samarahan terpaksa menumpang di rumah jiran susulan kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh, hari ini. 

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, bahagian dapur rumah yang dimiliki Abu Bakar Alli, 50, itu ranap akibat tanah mendap di tebing sungai berdekatan menyebabkan semua penghuni terpaksa dipindahkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikerah ke lokasi.

Menurutnya, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Subari Beni bersama sebuah jentera bomba ke lokasi yang terletak 43 kilometer dan tiba pada 3.17 pagi.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tebing sungai itu runtuh akibat mendapan tanah membabitkan kawasan seluas enam sehingga sembilan meter. Hanya bahagian dapur rumah yang ranap, manakala bahagian lain tidak terjejas.

"Semua penghuni rumah yang terdiri dari seorang lelaki dan lima perempuan selamat dan kini menetap di rumah jiran atas faktor keselamatan. Operasi selesai pada 3.55 pagi," katanya.

Bapa Dihanyut Arus Deras



Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala anaknya selamat selepas mereka dihanyutkan arus deras ketika mencari rebung bagi juadah untuk keluarga di Sungai Pagalan, Kampung Dangulad, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Daibet Juan, 48, dikatakan dihanyutkan arus deras manakala operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Anak lelaki mangsa, Endry Daibet, 11, yang berjaya menyelamatkan diri kini trauma namun stabil. Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dan anaknya keluar rumah untuk mencari rebung di seberang sungai di Kampung Dangulad.

“Ketika mangsa dan anaknya cuba menyeberang sungai itu, kedua-dua mereka dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat malam sebelumnya. Tetapi anak mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala bapanya dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, anak mangsa kemudian balik ke rumah dalam keadaan trauma dan hanya memberitahu perkara itu selepas beberapa jam kejadian terbabit berlaku. “Usaha mencari masih diteruskan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dua bot. Setakat ini, mangsa belum ditemui dan keadaan air sungai deras,” katanya.

Guru Rogol Pelajar Dijel 34 Tahun, 8 Sebatan



Perbuatan keji seorang guru yang merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, dua tahun lalu menerima balasan apabila lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 34 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurhasliman Ghazali, 36, selepas tertuduh didapati bersalah apabila pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. Mengikut pertuduhan pertama, Nurhasliman didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Machang pada pukul 7.30 malam, 23 April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama pada pukul 1 pagi, 25 April 2015. Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Nurhasliman yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad yang mencadangkan agar lelaki itu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mitsubishi Cari Bayi Bernama Pajero Sport



Mitsubishi Indonesia mencari seorang bayi lelaki bernama Pajero Sport selepas kanak-kanak berkenan yang dinamakan sempena nama kenderaan buatan Jepun itu tular di media sosial. 

Liputan 6 melaporkan, bayi itu tular di Internet selepas satu kad yang mengumumkan kelahiran kanak-kanak berkenaan dimuat naik di laman sosial baru-baru ini. Dalam kad berkenaan, bayi yang dinamakan Pajero Sport itu adalah anak kepada pasangan M Muis Iskandar dan Novi Yanti yang lahir pada 26 April lalu.

Pajero Sport adalah nama model kenderaan pacuan empat roda keluaran Mitsubishi yang popular di Indonesia.

Selepas bayi itu tular di Internet PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) selaku ejen tunggal Mistubishi di Indonesia dilaporkan mahu mencari kanak-kanak berkenaan. Perkara itu diumumkan ketua perhubungan awam dan tanggungjawab sosial korporat MMKSI, Intan Vidiasari dalam akaun media sosial syarikat itu yang dikenali sebagai Mamabishi.

“Sesiapa yang mengenali atau mempunyai nombor telefon keluarga bayi bernama Pajero Sport dan anak keempat pasangan M Muis Iskandar dan Ibu Novi Yanti sila hubungi Mamabishi. Mamabishi teringin bertemu dengan bayi itu untuk mengucapkan selamat dan terima kasih,” katanya dalam akaun berkenaan.

Thailand Kini Jauh Lebih Hebat Berbanding Malaysia




THAILAND kini sedang mengorak langkah untuk bergelar antara pasukan badminton gergasi di rantau ini. Negara yang boleh dianggap masih ‘mentah’ dalam sukan badminton itu kini sudah mengatasi pencapaian Malaysia di pentas antarabangsa. 

Buktinya, skuad yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Malaysia, Rexy Mainaky itu telah melakar sejarah tersendiri pada kejohanan Badminton Piala Sudirman 2017 yang berakhir di Gold Coast, Australia kelmarin.

Walaupun tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada peringkat separuh akhir, tetapi kejayaan mara ke peringkat tersebut membuktikan bahawa badminton Thailand kini sedang dalam proses untuk menawan dunia.

Malaysia pula terus mengalami kekecewaan selepas disingkirkan Jepun pada peringkat suku akhir. Bukan setakat menerusi acara berpasukan, malah beberapa pemain individu Thailand sudah mula digeruni di pentas antarabangsa.

Antaranya adalah pemain perseorangan wanita, Ratchanok Intanon yang pernah bergelar juara dunia pada tahun 2013. Turut menjadi tumpuan kini adalah gandingan beregu campuran, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang sudah menempa nama dalam beberapa kejohanan Siri Super musim ini.

Malah, hampir semua pemain skuad badminton Thailand kini berada dalam kelompok 20 terbaik dunia. “Saya memang setuju bahawa pasukan badminton Thailand kini lebih baik berbanding Malaysia. Mungkin mereka dibarisi ramai pemain muda tetapi pemain-pemain Thailand sentiasa menampilkan aksi konsisten,” jelas bekas pemain negara Roslin Hashim semalam.

Rancang Sekuel



Selepas menamatkan siarannya 16 tahun lalu, siri televisyen popular 1990-an Baywatch kembali dengan jalan cerita segar dan barisan pelakon baru. Namun, filem arahan Seth Gordon itu dikatakan gagal mencapai sasaran jualan tiket selepas ditayangkan di Amerika Syarikat 25 Mei lalu walaupun mengetengahkan barisan pelakon popular seperti Dwayne Johnson, Zac Efron dan Priyanka Chopra. 

Ia turut menyaksikan penampilan istimewa pelakon asal Baywatch, Pamela Anderson dan David Hasselhoff yang membawa watak berbeza.

Bukan saja gagal bersaing dengan Pirates of the Caribbean: Salazar’s Revenge, filem ini turut menerima ulasan kurang memuaskan daripada penonton di laman sosial serta diberikan markah tontonan rendah iaitu 18 peratus oleh laman web filem Rotten Tomatoes.

Antara kritikan terhadap Baywatch menyentuh skrip yang dikatakan mengetengahkan lawak kurang menjadi. Pun begitu, Paramount Pictures mempunyai perancangan menghasilkan sekuel Baywatch dan sudah ada jalan cerita untuknya.

Menurut produser Beau Flynn, penulis skrip Damian Shannon dan Mark Swift akan kembali mengembangkan kisah baru Baywatch. “Yang pastinya, Johnson, Efron dan barisan pelakon wanita akan kembali berlakon.

“Kami ada idea untuk meletakkan mereka dalam dunia baru dan mungkin membabitkan penggambaran di luar negara,” katanya. Pelakon Kelly Rohrbach dan Alexandra Daddario ketika ditemu bual Variety memberi maklum balas positif ketika ditanyakan sekiranya berminat untuk berlakon dalam sekuel Baywatch.

Sementara itu, Priyanka yang membesar menonton Baywatch mendedahkan ketika muda menyangka rakyat Amerika Syarikat merupai watak dalam Baywatch. “Siri itu sangat popular dan saya ingat orang Amerika Syarikat kelihatan seperti watak dalam Baywatch selain mempunyai rambut perang. Malah, saya ingat Amerika Syarikat banyak pantai.

“Pada usia 13 tahun, saya datang ke California dan agak terkejut apabila melihat keadaan berbeza dari dalam Baywatch,” katanya. Pelakon itu turut menceritakan tidak berkesempatan bertemu dengan Hasselhoff, namun menerima panggilan daripada bintang itu yang memberitahu perancangannya menghasilkan filem Bollywood.

“Dia memberitahu suka menonton filem India dan mahu bekerjasama dengan saya,” katanya. Dalam pada itu, Efron menceritakan pengalamannya bercium dengan Johnson dalam salah satu babak Baywatch kepada pengacara The Late Late Show, James Cordoz.

Pelakon berusia 29 tahun itu turut menggambarkan ciuman terbabit seperti iklan Winterfresh dan seolah-olah tidak kisah melakukannya. “Ia memang gila dan berasakan dia melakukannya dengan baik. Dia memang bagus dalam semua perkara. Ciuman itu bukan dalam senarai pencapaian saya, namun saya sanggup melakukan apa saja untuk merasanya,” katanya.

Limpahan Positif



Persatuan Pembekal Proton (PVA) melihat penyertaan Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely Holding) sebagai rakan strategik asing (FSP) PROTON Holdings Bhd mampu memberi kesan positif kepada sekitar 250 vendor syarikat vendor Proton pada jangka masa pendek dan sederhana.

Ia berikutan sebelum ini vendor Proton berdepan dengan tunggakan pembayaran sehingga lima bulan yang memberi kesan negatif kepada pusingan aliran tunai syarikat vendor Proton dan penyertaan Geely Holdings dijangka dapat melunaskan tunggakan berkenaan memandangkan terdapat suntikan pelaburan baru di dalam syarikat.

Ahli Jawatankuasa PVA, Datuk Noor Azmi Jaafar berkata, untuk jangka masa panjang, pihaknya masih tidak dapat membuat sebarang andaian mengenai kesan Geely Holding sebagai FSP Proton, tetapi melihat kepada rekod lampau syarikat itu terus memperkasakan vendor syarikat kenderaan yang pernah disertainya iaitu Volvo.

Beliau berkata, PVA juga tidak khuatir dengan penyertaan Geely Holding kerana setiap vendor Proton mempunyai kualiti yang tinggi menyediakan barangan yang diperlukan syarikat nasional itu dan mempunyai standard diperakui serta mampu menyediakan harga kompetitif.

“Penyertaan Geely Holding sememangnya sesuatu yang baik kerana daripada rekod lampaunya mengendalikan Volvo yang suatu ketika dulu hampir ditutup, tetapi ia kembali gah di pasaran antarabangsa dan saya kira perkara itu bakal berlaku kepada Proton.

“Dalam masa sama, perkara ini memberi kesan positif kepada syarikat vendor Proton yang mampu meningkatkan perniagaan mereka kerana bakal terdapat peningkatan kuantiti kenderaan Proton untuk di pasarkan di pasaran luar,” katanya, di sini, semalam.

Noor Azmi yang juga bekas Presiden PVA berkata, Proton sebelum ini berdepan dengan cabaran menyediakan kuantiti yang diperlukan syarikat vendor bagi mengurangkan kos jualan kepada syarikat berkenaan. Katanya, kuantiti memainkan peranan penting bagi membolehkan syarikat vendor mengurangkan harga jualan kepada Proton.

“Dengan penyertaan Geely Holding, saya jangka kuantiti bekalan yang diperlukan Proton akan terus bertambah kerana mereka mempunyai pasaran asing luas yang mana perkara ini menjadikan harga jualan lebih kompetitif,” katanya.

Martabat Warisan Melayu



Mengenakan tengkolok lengkap bersama persalinan hulubalang mahupun laksamana antara penampilan unik peserta Pertandingan Memanah Tradisional di Pantai Morib Banting, Selangor baru-baru ini. Tidak kisah dalam keadaan cuaca terik, sebahagian besar peserta semuda lapan tahun sehinggalah kepada wanita, masing-masing bangga memperagakan pakaian tradisi Melayu lama itu. 

Malah gaya mereka tambah menonjol tatkala menggalas busur kayu di bahu berserta kantung kulit terisi anak panah menarik perhatian penonton pertandingan berkenaan.

Sesuai dengan pertandingan terbabit sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa membawa mesej memartabatkan warisan Melayu menerusi sukan tradisi itu, rata-rata peserta memperlihatkan betapa mereka ini amat menghargai peralatan riadah tradisi itu.

Pengarah Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Johan Iskandar berkata pertandingan sebegini dapat membantu meramaikan kumpulan pemanah tradisional dalam kalangan generasi muda terutamanya. “Dibandingkan awal penubuhan komuniti kami bermula dengan keris warisan 2009, jauh bezanya sekarang ini yang mana pencinta riadah tradisi ini hanya sekitar 13 hingga 14 orang. 

“Ketika itu saya baru pulang daripada pengajian peringkat sarjana di Australia dan menjadi pensyarah di universiti tempatan. Sebenarnya saya sangat cintakan warisan Melayu dan berasa sayangnya kalau seni warisan ini pupus.

“Saya bermula dengan keris kemudian memanah seterusnya pakaian sehinggalah kepada muzik serta dokumentari berkaitan warisan Melayu dan kini boleh dikatakan komuniti kami mencecah 15,000 orang.

“Bagi pertandingan kali ini iaitu acara memanah tradisional peringkat negeri Selangor membabitkan 200 peserta bagi tiga kategori iaitu kanak-kanak, lelaki dan wanita. Boleh dikatakan setiap tahun pasti ada muka baru tampil memeriahkan pertandingan. Bagi kami itu dorongan baik untuk terus mengembangkan aktiviti tradisi seperti ini,” katanya.

Menyentuh harapan terhadap seni warisan mahupun acara riadah disifatkan sunah, bagi Johan pihaknya mengharapkan sokongan berterusan korporat mahupun agensi kerajaan membantu mengembangkan budaya warisan Melayu itu.

“Setakat ini kami bergantung kepada modal terhad dan berharap suntikan dana berterusan untuk memastikan aktiviti mahupun festival memartabatkan Melayu dapat dilaksanakan.

“Festival ini perlu menyewa peralatan, kemudahan khemah, logistik dan sebagainya. Syukur kali ini kami mendapat sokongan agensi seperti Jabatan Warisan Negeri membantu menggerakkan pertandingan serta pameran tertentu,” katanya.

Bagi peserta wanita Nisa Nabilah Mohamad Ismail, 18, kejohanan memanah seperti ini sering mendapat perhatiannya yang meminati acara memanah statik. Dia hadir bersama kakaknya Hana Syazana Mohamad Ismail, 23, tidak kisah menempuh perjalanan jauh dari Rawang ke Morib semata-mata memberi saingan kepada peserta lain.

“Apalah sangat kalau dibandingkan dengan Morib kerana saya baru saja pulang dari Sarawak untuk pertandingan memanah juga. Boleh dikatakan setiap minggu saya bersama kakak serta bapa mencari pertandingan boleh kami sertai.

“Cuma untuk pertandingan di Morib bapa saya tidak dapat hadir kerana ada kenduri keluarga. Kalau tidak hampir setiap pertandingan pasti dia ada. Biarpun ia membabitkan disiplin sukan lasak hakikatnya sukan ini lebih menitik beratkan kekuatan mental yang mana memerlukan pemanah ini konsisten ketika melepaskan anak panah dari busurnya.

“Menggunakan teknik betul serta kekuatan bahagian atas tubuh, untuk perempuan rasanya tidak sukar menarik tali busur. Penting pelajari teknik betul dan fokus arah anak panah dilepaskan,” katanya yang mewakili Kelab Assadad Bukit Sentosa.

Bagi remaja berusia 16 tahun dari Denai Alam Muhammad Syahin Zainuri, dia tidak gentar bersaing dengan pemanah lebih berpengalaman dalam pertandingan berkenaan.

“Meskipun baru masuk tahun kedua dalam pertandingan ini, saya tidak berasa tertekan sebaliknya teruja dapat memanah bersama peserta jauh berpengalaman. Penting sukan memanah menekankan teknik betul mengelak risiko kecederaan.

“Berbeza dengan disiplin memanah ‘recurve’ atau ‘compound’, sebenarnya tradisi lebih susah kerana tiada tempat meletak jari. Ia bergantung kepada individu untuk meletakkan anak panah kepada kedudukan bersesuaian selain memilih busur sesuai.

“Kalau dalam disiplin statik iaitu ketepatan anak panah dilepaskan pada jarak berbeza turut ditentukan ‘bow foundation’ baik busur lebih kuat atau tali lebih tegang mengikut keperluan pemanah. Bagi saya betul caranya, peluang untuk mengenakan sasaran lebih tinggi selain latihan mencukupi,” katanya.

Sementara itu pemanah cilik tampil mengenakan persalinan hulubalang berwarna merah hati Aiman Haqiqi Sharum berkata, dia tertarik setelah menyaksikan bapanya beraksi dalam pertandingan. 

“Sebelum ini ayah sering sertai pertandingan serta bertemu kawannya tetapi setelah saya mencuba sejak tahun lalu perasaannya berbeza. Malah ia bertambah seronok apabila kita bertanding bersama rakan. Lagipun hujung minggu saya lebih manfaat kerana sukan ini bukan saja mengenai disiplin sebaliknya turut membantu saya beriadah,” katanya.

Monday, 29 May 2017

Bertindak Realistik Sebelum Membicarakan Tentang Kemenangan



Dalam mengharungi satu-satu pilihan raya samada kecil, negeri mahupun umum, antara perkara yang harus diberi perhatian adalah percaturan realistik yang bakal menentukan hala tuju sesebuah parti. Andai sentiasa memikirkan tentang kemenangan tanpa mempunyai plan realistik bagi merealisasikannya, ianya pasti akan membawa kepada kekalahan yang teruk.

Belajar daripada inilah, MCA mengambil pendekatan realistik dengan mengutamakan kerja terlebih dahulu sebelum bercakap soal kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke14 akan datang. MCA tidak perlu menjadi seperti DAP dan rakan Pakatan Harapannya yang lain yang awal memukul canang kemenangan sebelum tiba hari penentuan sebenar.

Memetik kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, beliau berkata, MCA tidak akan tergesa-gesa dalam memilih calon yang bakal bertanding di mana-mana kerusi yang bakal mereka tandingi terutamanya di Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum akan datang.

Malah, jentera MCA dilaporkan sedang giat turun padang bagi mendekati pengundi terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam bagi menerangkan hala tuju parti dan kerajan sekiranya menang kelak. Dari situ, pelbagai perancangan dapat di atur bagi mendekati hati pengundi di kawasan terlibat.

Paling utama, jika di nilai dari kenyataan Datuk Seri Wee Ka Siong ini, MC Anampaknya bakal mengetengahkan muka-muka baru untuk bertanding di kerusi-kerusi yang bakal mereka tandingi. Mungkin ada yang merasakan tindakan MCA ini satu tindakan yang tidak masuk akal, namun harus diingat, pengundi hari ini mahukan seorang calon yang boleh bekerja untuk mereka.

Helah hanya berjanji untuk menang dan selepas menang, hilang entah kemana itu adalah helah pembangkang. Paling utama, MCA enggan mengikut jejak langkah salah ini kerana apa yang penting buat MCA adalah mewakili suara rakyat yang bakal mereka ketuai kelak.

Rakyat Malaysia Dan Pengganas, Di Mana Puncanya? - Siri 1



Isu pengganas di seluruh dunia sememangnya cukup memeningkan. Manakan tidak, majoriti pengganas yang bergiat aktif hari ini boleh dikatakan datangnya dari umat Islam yang begitu mudah di hasut dengan pelbagai dakwah palsu yang akhirnya menyebabkan mereka begitu taksub kepada sesuatu perjuangan yang sia-sia.

Di rantau Asia Tenggara hari ini, kebanyakan ketua yang mengetuai pergerakan pengganas di rantau ini datangnya dari rakyat Malaysia. Sebut sahaja apa jua jawatan dan kepakaran mereka, semuanya jelas menghadirkan gerun kepada kebanyakan kerajaan yang di ancam dengan keganasa melampaui sempadan.

Kita tidak perlu membicarakan tentang apa yang berlaku di rantau Asia Barat atau beberapa siri serangan bom di beberapa ibu kota di Eropah. Cukup sekadar kita renungkan sejenak apa yang berlaku di Asia Tenggara sejak beberapa dekad yang lepas.

Sejak dari awal lagi, rantau ini seringkali di jadikan sasaran kumpulan yang mempunyai fahaman ekstrim di mana kebanyakan rekrut yang dilatih di Asia Tenggara akan ditanamkan dengan dokrin, mewujudkan kerajaan Khalifah baru yang merangkumi Selatan Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Fahaman ini mungkin berasaskan kepada kewujudan kerajaan-kerajaan Islam rantau Asia Tenggara yang hebat seperti kerajaan Islam Pattani, Kerajaan Melayu Melaka, Demak, Sulu dan macam-macam lagi. Bertitik tolak dari sinilah, maka oriantasi pengganas ini menzahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam berasaskan khalifah di Nusantara.

Satu lagi punca kenapa wujudnya pengganas adalah keyakinan terhadap satu dakyah yang tidak diketahui kebenarannya iaitu kemunculan Imam Mahadi yang kononnya di lahirkan di wilayah Nusantara. Oleh yang demikian, kumpulan ekstrimis ini dikatakan cuba mewujudkan satu pasukan tentera dengan membina sebuah kerajaan yang dikhususkan khas buat Imam Mahadi kelak.

Namun, lain pula halnya di Filipina dan Selatan Thailand kerana kewujudan pengganas di Selatan Filipina dan Thailand ini hasil daripada kemahuan mereka menuntut kemerdekaan. Mereka ini sebenarnya telah dibawa ke meja rundingan untuk meredakan ketegangan namun seringkali tergugat akibat banyak faktor yang adakalanya sengaja diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Memang menghairankan, kenapa begitu mudah penduduk di Asia Tenggara terutamanya mereka yang beragama Islam terpengaruh dengan dakyah karut sebegini? Lihat sahaja senarai rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keganasan di seluruh dunia. Di Syria sahaja, dipercayai, lebih 50 orang terlibat secara langsung dalam aktiviti pengganas Daesh.

Itu belum lagi dihitung berapa ramai rakyat Malaysia yang telah menjadi korban semasa kebangkitan Al Qaeda dan Taliban di Afghanistan. Bagaimana pula penglibatan rakyat Malaysia di dalam organisasi pengganas di Asia Tenggara? Ada yang sudah menjadi pakar membuat bom, komandan tertinggi, rekrut dan sebagainya.

Inilah yang menjadi ancaman sebenar terhadap negara. Setelah menerima ajaran sesat kononnya untuk berjihad, mereka akan keluar dan menyertai kem-kem pengganas sebelum mereka menyasarkan pula negara sebagai tempat untuk mereka bertapak. Boleh dikatakan, inilah pergerakan pengganas kelahiran Malaysia yang telah menerima ajaran sesat dan songsang.

Dunia hari ini tidak pernah mengalu-alukan kehadiran pengganas seperti Daesh, Al Qaeda, Taliban dan macam-macam nama lagi. Di Malaysia khasnya, kita adalah sebuah negara yang hidup dengan penuh toleransi. Islam tidak pernah mengajar kita membunuh sewenang-wenangnya orang yang tidak bersalah. Malah Islam juga merupakan agama yang penuh kelembutan.

Tidak pernah walau sekalipun Rasullullah S.A.W meengajar umatnya untuk membuat bom, bom diri sendiri di dalam kelompok ramai, menyembelih musuh, mewujudkan skuad-skuad yang tidak diketahui apa tujuannya dan bermaca-macam lagi. Justeru, dari mana asalnya perjuangan gila ini jika tidak kerana kemahuan dan kehendak diri sendiri setelah merelakan diri dihasut dengan kebencian?

Lelaki Hilang Terjatuh Sungai Semasa Angkat Barang



Seorang lelaki hilang selepas terjatuh ke dalam sungai semasa mengangkat barang ke atas bot di dermaga Bot Ekpres Sibu-Kapit di sini, petang semalam. 

Jurucakap bomba berkata, Pang Chi Song, 36, yang bekerja sebagai buruh kasar dilihat orang ramai terjatuh ke dalam sungai semasa mengangkat barang dari bot ke dermaga itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 1.38 petang segera menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.54 petang, bomba mendapati pihak Lembaga Sungai Sarawak bersama beberapa bot penduduk tempatan sudah menjalankan operasi pencarian.

"Perjalanan dari BBP Kapit ke lokasi kejadian walau tidak jauh tetapi menghadapi kesukaran kerana kesesakan jalan raya akibat orang awam meletakkan kenderaan di tepi jalan untuk membeli-belah bagi persiapan menyambut Hari Gawai sehingga menganggu kelancaran perjalanan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa ditangguhkan pada pukul 4.05 petang kerana hujan lebat. Katanya, mangsa belum ditemukan setakat ini dan operasi SAR akan diteruskan esok.

Puntung Mungkin Akan Dimatikan



Salah seekor daripada tiga badak Sumatera terakhir di negara ini bernama Puntung dilaporkan bertarung nyawa akibat kanser kulit dan mungkin terpaksa dimatikan menerusi kaedah euthanasia pada 15 Jun depan. 

Euthanasia merujuk kepada rawatan mencabut nyawa secara perlahan-lahan bagi menamatkan penyeksaan kerana penyakit.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, badak betina itu disahkan menghidap kanser kulit jenis sel skuamus selepas menjalani pembedahan dan dua kali biopsi sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, bengkak pada bahagian pipi kiri Puntung juga membawa pengesanan bahawa akar gigi haiwan itu dijangkiti kuman dan semakin serius.

“Kanser itu merebak dengan pantas sejak beberapa minggu lalu. Justeru, golongan pakar dari pelbagai negara berpendapat bahawa ia akan membawa maut sama ada menerusi rawatan ataupun tidak.

“Sehingga ke hari ini, Puntung tidak berupaya bernafas melalui hidung kiri, malah ia kini berada dalam kesakitan dan kesihatannya semakin merosot sehingga terpaksa menggunakan ubat penahan sakit,” katanya dalam kenyataan semalam.

Padah Berskandal Dengan Isteri Orang



Seorang tauke kebun nanas yang dipercayai meminati wanita Siam, isteri kepada jirannya ditemui mati dibunuh di Jalan Pengkalan Sungai Kerang, Padang Gajah dekat sini malam kelmarin. 

Mayat Wong Chee Kheong, 43, yang masih bujang ditemui berlumuran darah kira-kira 30 meter dari rumah jirannya pada pukul 9.35 malam. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas mayat Chee Kheong mendapati lelaki itu mengalami luka yang teruk di kepala, pipi dan lengan.

“Siasatan dan pemeriksaan awal mendapati mangsa diserang seorang lelaki yang dipercayai cemburu atau marah dengan Chee Kheong yang disyaki mempunyai hubungan intim dengan isterinya,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, Chee Kheong disyaki diserang dengan senjata tajam di belakang rumah jirannya itu sebelum dia ditemui mati di tepi jalan kira-kira 30 meter dari rumah penyerangnya.

“Mangsa dipercayai diserang ketika dia berada di kawasan belakang rumah jirannya dipercayai untuk bertemu dengan wanita Siam berkenaan,” kata beliau.

Korea Utara Perluas Sistem Senjata Antipesawat



Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah mengawasi ujian sistem senjata antipesawat baharu selain mengarahkan pengeluaran besar-besaran dan pe­nempatan di seluruh negara, lapor agensi berita tempatan semalam. 

Agensi berita Korea Utara, KCNA bagaimanapun tidak memberikan maklumat mengenai senjata baharu tersebut atau masa ujian tetapi menyatakan ia diadakan oleh Akademi Sains Pertahanan Kebangsaan, sebuah agensi yang dipercayai membangunkan peluru berpandu dan senjata nuklear. 

Pyongyang giat membangunkan pelbagai jenis sistem senjata sejak awal tahun lalu pada kadar yang belum pernah terjadi sebelum ini termasuk peluru berpandu jarak jauh yang mampu menyerang Amerika Syarikat (AS) dan melakukan ujian peluru berpandu beberapa minggu kebelakangan ini.

Ia menolak sekatan sehala oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara lain terhadap program senjatanya sebagai satu pelanggaran hak mempertahankan diri selain menyatakan program tersebut perlu untuk mengatasi pencerobohan AS.

Kali terakhir Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu adalah pada minggu lepas. Washington dalam satu kenyataan menafikan sebarang niat untuk menyerang Pyongyang.

“Jong-un melihat ujian sistem senjata berpandu antipesawat baharu yang dianjurkan oleh Akademi Pertahanan Sains Kebangsaan. Sistem senjata yang keupayaan operasi telah disahkan, perlu dibina secara besar-besaran untuk ditempatkan ke seluruh negara,” lapor KCNA.

KCNA melaporkan Jong-un diiringi oleh pegawai tentera dan menyenaraikan tiga nama yang dipercayai pegawai-pegawai tertinggi negara dalam program senjata tersebut. Mereka terdiri daripada bekas Jeneral Tentera Udara, Ri Pyong Chol; veteran saintis roket, Kim Jong Sik dan Ketua Akademi Sains Pertahanan Kebangsaan, Jang Chang Ha.

Video : Pogba Sambut Ramadan Di Makkah



HAMPIR tiga hari selepas menjulang Piala Europa bersama Manchester United di Sweden, pemain tengah, Paul Pogba bertolak ke Makkah untuk menunaikan umrah serta menyambut Ramadan. 

Semalam, pemain berusia 24 tahun itu memuat naik video bersama bagasi di luar rumahnya di Manchester pada akaun Instagramnya. Dalam status Instramnya, Pogba merakamkan kesyukuran buat musim ini dan berkata, "On my way to go say thank you for this season. See you soon Manchester! En route to my prayers."

Hari ini, bekas pemain Juventus itu yang menjaringkan gol pembukaan Manchester United dalam kemenangan 2-0 ke atas Ajax memuat naik rakaman videonya memakai ihram ketika di hadapan Kaabah dengan ucapan, "Ramadan Kareem." Namun, Pogba tidak menyatakan tempoh beliau akan berada di Tanah Suci.

Sementara itu, Pogba dapat berehat daripada tugas Liga Perdana menjelang komitmen antarabangsa bulan depan, dengan enam perlawanan pra-musim United di Amerika Syarikat dan Norway. Pemain Perancis akan kembali ke Old Trafford pada Julai di mana beliau dapat berganding bahu bersama Michael Carrick, yang menandatangani lanjutan kontrak baru selama setahun dengan United.


Gregg Allman Meninggal Dunia



PENYANYI dan pemain gitar kumpulan rock popular 1970-an dan 1980-an The Allman Brothers iaitu Gregg Allman meninggal dunia dalam usia 69 tahun di rumahnya di Savannah, Georgia, Amerika Syarikat, hari ini. 

Kematian Gregg diumumkan dalam laman web rasminya, namun punca kematiannya tidak didedahkan. Bagaimanapun, pada 1999 Gregg disahkan menghidap Hepatitis C dan pernah menjalani pembedahan pemindahan hati pada 2010.

Gregg mula dikenali selepas menubuhkan The Allman Brothers bersama pemain gitar yang juga abangnya, Duane Allman pada 1969. Pada zaman kegemilangan mereka, The Allman Brothers yang sinonim dengan genre blues rock, southern rock dan jazz rock menghasilkan album-album yang menduduki carta dan disenaraikan antara album rock terbaik sepanjang zaman.

Antara lagu popular mereka ialah Whipping Post, It's Not My Cross to Bear, Midnight Rider dan Jessica. Dalam pada itu, sebaik berita kematian Gregg diumumkan, penyanyi Cher yang dikahwininya pada 1975 hingga 1979 memuat naik status di Twitter dengan kata-kata, “words are impossible” dan berkongsi gambar mereka berdua.

Pada 1971, Duane meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dan beberapa tahun kemudian, pemain bass, Berry Oakley turut terbunuh dalam kemalangan motosikal. Gregg yang juga bapa kepada lima anak disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada 1995.

Mercedes Lancar 3 Varian SUV Kompak GLA



Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, GLA dengan pengenalan model terkini yang dipertingkatkan untuk pasaran tempatan. Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpangnya Mark Raine berkata, GLA mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di negara ini kerana rekaan yang urban dan menarik. 

“Model GLA ini diimport sepenuhnya (CBU) dan pengenalan model 2017 ini diharap akan terus diterima baik oleh pembeli di Malaysia dan kami juga akan menimbangkannya untuk dipasang di Pekan, Pahang bagi meluaskan pasaran model berkenaan,” katanya.

GLA generasi terkini ditawarkan dalam tiga varian iaitu GLA 200 Urban Line, GLA 250 4Matic AMG Line dan Mercedes-AMG GLA 45 4Matic dengan sentuhan peningkatan pada bahagian luaran dan dalaman.

Dikuasakan dengan enjin 1.6 liter untuk model GLA 200 dan 2.0 liter turbo bagi GLA 250 dan GLA 45 dengan kuasa maksimum sehingga 381 hp dan tork mencecah 475 Nm, yang paling tinggi dalam segmennya.

Beliau berkata, model itu turut mengalami perubahan pada bampar, roda aloi ringan dan warna baru ‘canyon beige’ juga dipasang suspensi laluan lasak (off-road) bagi kesesuaian melalui pelbagai permukaan jalan. Ruang dalaman eksklusif dan terkini juga fleksibel sesuai bagi memenuhi keperluan gaya hidup aktif yang disasarkan untuk pembeli model berkenaan.

GLA 45 dijual pada harga bermula daripada RM239,888 untuk model GLA 200, RM269,888 (GLA 250 4Matic) dan RM408,888 (GLA 45 4Matic) termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tampung Kaki, Berat Dengan Stabil




Berlari atau sekadar berjoging memberikan pelbagai manfaat kesihatan, malah ia kian menjadi sebahagian gaya hidup sihat dan cergas. Bagi yang gemar berlari, kasut adalah komponen penting dan pemilihan kasut yang sesuai mesti berpandukan kriteria seperti jenis atau bentuk kaki serta gaya berlari. 

Ini kerana, kasut untuk sukan berlari direka khusus bukan saja untuk memantapkan teknik larian, tetapi bagi mengurangkan impak pada kaki, lutut dan jari kaki seterusnya mengelakkan pelbagai masalah sakit kaki serta kecederaan daripada berlaku.

Kasut lari biasanya mempunyai pelapik tambahan untuk mengurangkan kesan hentakan berulang dan dihasilkan untuk memberi sokongan serta kestabilan untuk lengkungan kaki (arch). Kasut yang dibuat untuk sukan lain seperti badminton atau bola keranjang mungkin tidak mempunyai ciri-ciri ini. 

Mungkin bagi segelintir kita memiliki sepasang kasut sukan sudah memadai dan dari segi ekonominya pula dengan membeli sepasang kasut sukan, ia boleh digunakan untuk semua aktiviti sukan. Tanpa disedari, langkah ini boleh menyumbang kepada kecederaan atau sakit kaki dan kos perubatan yang perlu dibayar mungkin lebih mahal terutama bagi rawatan jangka panjang.

Pengurus Teknologi Maklumat, Pemasaran dan Jenama Produk Prestige Sports Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin berkata, sebelum membeli kasut sukan untuk berlari kita tidak saja perlu memberi keutamaan kepada reka bentuk kasut yang memberikan keselesaan, malah memahami anatomi kaki sendiri iaitu mengenal pasti bentuk kaki dan jenis lengkungan tapak kaki.

Ini kerana, kita semua mempunyai jenis kaki yang berbeza dan pemilihan kasut sukan untuk berlari amat penting untuk prestasi larian dan kesihatan kaki itu sendiri.

“Kasut sukan yang selesa adalah kasut yang mampu menampung kaki dan berat badan dengan stabil. Ia juga untuk mengurangkan rasa sakit dan tekanan apabila berjalan, berlari mahupun ketika melakukan aktiviti fizikal yang lain.

“Malah, berlari juga memberikan tekanan kuat terhadap kaki berbanding aktiviti fizikal lain. Sewaktu berlari, kaki menampung tekanan sebanyak dua hingga lima kali ganda berat badan kita dalam setiap langkah ke hadapan.

“Oleh itu, kita mesti mempertimbangkan hentakan berulang kaki sewaktu berlari dan memakai kasut sukan yang betul adalah penting untuk mencegah kecederaan dan sakit kaki. Kedua-dua masalah terbabit lazimnya berpunca daripada pemakaian kasut sukan yang salah iaitu bukan yang dikhaskan untuk larian,” katanya.

Tapak kaki kita mempunyai lengkungan berbeza sama ada normal, tinggi atau rata dan lengkungan ini adalah bahagian penting anatomi kaki. Selain berfungsi sebagai penyerap hentakan, ia juga bertindak sebagai mekanisme penstabilan tubuh dengan membantu mengarah berat badan ke hadapan dari tumit kaki dan mengagihkan beban sama rata pada keseluruhan kaki supaya kita seimbang. 

Ketika berjalan atau berlari, kaki kita akan membuat pronasi iaitu gerakan semula jadi tubuh yang merujuk kepada pusingan kaki ke arah dalam ketika memijak. Pronasi tidak saja membantu kaki menyerap impak hentakan, malah membantu dalam proses dorongan oleh tubuh pada tapak kaki dari tumit sehingga ke bahagian depan kaki untuk melangkah.

Bagaimanapun, bentuk lengkungan tapak kaki mempengaruhi pronasi. Mereka yang mempunyai tapak kaki rata akan cenderung menghasilkan pronasi melampau (overpronation) dan bagi tapak kaki lengkungan tinggi pula kurang melakukan pronasi (underpronation).

Normalnya ketika berlari bahagian luar tumit akan mendarat dulu dan melakukan gerakan pronasi untuk menyerap hentakan dan menyokong berat tubuh. Masalah pronasi yang melampau atau kurang pronasi inilah yang menyebabkan kecederaan dan masalah sakit kaki ketika berlari akibat kemampuan kaki menyerap hentakan dan mengagihkan bebanan menjadi tidak cekap.

“Dalam pronasi melampau, bahagian luar tumit yang mendarat dulu akan memindahkan beban berat ke bahagian dalam tapak kaki berbanding bebola kaki (bahagian depan kaki). Kaki kemudian menggunakan ibu jari dan jari kaki kedua untuk menghayun langkah menyebabkan kedua-dua jari itu terpaksa bekerja lebih keras. Dalam keadaan ini mereka cenderung mendapat sakit pada tapak kaki, tumit, lutut dan bunion.

“Bagi kurang pronasi pula, ketika bahagian luar tumit mendarat gerakan kaki memusing ke arah luar menyebabkan hentakan dihantar ke kawasan lebih sempit pada tapak kaki bahagian luar. Ini memaksa kaki menggunakan jari kaki keempat dan kelima untuk bekerja keras membuat hayunan langkah. Keadaan ini lazimnya menyebabkan sakit pada tapak kaki, buku lali dan lutut,” katanya.

Amirul Syafiq berkata, dengan memahami jenis pronasi berkenaan dapat membantu kita memilih kasut sukan untuk berlari yang selesa. Bagi mereka yang mempunyai lengkungan kaki normal tidak ada masalah dalam mencari kasut sukan sesuai dan hanya perlu mendapatkan kasut jenis stabil.

“Bagi kaki dengan lengkungan rata, anda perlu memakai kasut yang mempunyai sokongan atau struktur kusyen bagi mengawal pronasi kaki, manakala mereka dengan lengkungan tinggi perlu memakai kasut yang mempunyai lebih banyak kusyen untuk mengelakkan impak kuat, selain kaki dapat membuat gerakan menjadi lebih semula jadi.

“Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat daripada penjual kasut sukan berpengalaman terlebih dulu ketika memilih kasut dan buat pemeriksaan kaki jika tidak tahu jenis lengkungan tapak kaki. Setiap kasut sukan sebenarnya direka berbeza mengikut jenis sukan dan jenis lengkungan tapak kaki. 

“Mereka yang mempunyai kaki dengan lengkungan rata dan lengkungan tinggi juga boleh mendapat kecederaan dan masalah sakit kaki jika memakai kasut untuk kaki dengan lengkungan normal. Kesakitan juga dialami di bahagian pinggul, tulang belakang, atas buku lali dan jari kaki,” katanya.

Friday, 26 May 2017

Apabila Jamal Bawa "Hantu" Naik Bas...



Jika kita masih ingat, antara dakwaan yang dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa himpunan 505 bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 lalu adalah kononnya Barisan Nasional membawa pengundi-pengundi hantu di beberapa kawasan yang dijangka kalah.

Tidak cukup dengan itu, Anwar juga mendakwa, Barisan Nasional membawa kira-kira 40 ribu orang Bangladesh dan diberikan kad pengenalan untuk mengundi Barisan Nasional. Namun begitu, sehingga hari ini, tiada seorangpun pemimpin pembangkang dapat membuktikan wujud kes sedemikian semasa Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Empat tahun sudah berlalu dan negara kini sedang dalam keadaan siap sedia untuk menempuh Pilihan Raya Umum ke 14. Apa yang menariknya, semua tuduhan yang dilemparkan Anwar sebelum ini kini berbalik kepada pembangkang itu sendiri.

Menerusi beberapa pendedahan, pembangkang terutamanya DAP dilaporkan sedang sibuk memindahkan pengundi-pengundi kaum Cina di lokasi-lokasi yang di lihat tidak menyebelahi mereka. Malah, di Pulau Pinang sendiri, kira-kiraa 700 ribu orang pendatang asing terutamanya dari etnik Cina, dilaporkan hilang begitu sahaja sejak 4 tahun yang lalu.

Bertindak dari sinilah Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini melakukan satu lagi gimik yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa. Jika sebelum ini Datuk Seri Jamal pernah bertuala kerana membantah masalah air yang gagal diuruskan oleh kerajaan Selangor, membawa katil dan mesin judi serta van jenazah, hari ini beliau membuat satu lagi gimik di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Selangor.

Kali ini, beliau membawa sekumpulan "hantu" yang tidak tahu di ambil dari mana dan disumbatkan kedalam sebuah bas. Semua ini dilakukan sebagai simbolik kewujudan pengundi hantu di beberapa kawasan milik DAP terutamanya di DUN Sekinchan yang didakwa beliau semakin hari semakin menjadi-jadi.

Apa yang beliau cuba lakukan adalah menunjukkan kepada SPR bahawa kewujudan pengundi-pengundi hantu ini memang wujud dan DAP sendiri sedang mengusahakan pemindahan beramai-ramai pengundi-pengundi hantu ini di beberapa lokasi yang dijangkakan oleh DAP bakal menghadapi saingan yang sengit.

Nyata sekali, kunjungan "hantu-hantu" ini mengundang humor di kalangan pekerja di SPR negeri Selangor. Namun, mesej yang ingin disampaikan oleh Datuk Seri Jamal adalah jelas, SPR harus memantau sebarang kemungkinan kewujudan pengundi-pengundi hantu di dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.

Nak Tangkap Ikan Dapat Buaya



Lain dicari, lain pula ditemui. Itu yang berlaku pada seorang nelayan ketika menggunakan alat renjatan elektrik untuk menangkap ikan di Sungai Muut, Matu di sini, apabila tertangkap seekor buaya. 

Dalam kejadian 10 pagi kelmarin, Nawawi Sami, 57, terkejut apabila buaya berukuran kira-kira tiga meter itu berenang dalam keadaan lemah ke arah perahunya. “Saya mahu menangkap ikan sebaliknya buaya yang muncul.

Saya terkejut namun bersyukur kerana buaya itu dalam keadaan lemah. “Saya menarik buaya itu ke jeti dan membunuhnya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Nawawi berkata, sebelum penemuan buaya itu, penduduk kampung pernah menemui seekor lagi buaya di kawasan sungai berkenaan dua bulan lalu. “Sungai ini tempat penduduk mencari rezeki, jika kami tidak membunuh buaya ini, ia boleh memudaratkan kami,” katanya.

Jumpa Keluarga Dalam Penjara



Kerinduan 20 banduan di Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini sedikit terubat apabila dibenarkan untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Ibu dan Pesta Kaamatan baru-baru ini. 

Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Kalbin Mohd. Said berkata, banduan terpilih itu berpeluang untuk memeluk dan mencium tangan ahli keluarga masing-masing berbeza dengan hanya berbual di telefon ketika lawatan biasa.

Katanya, banduan itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria utama dari segi sikap, disiplin dan mereka yang belum pernah bertemu keluarga dalam program seumpama ini.

“Kita boleh lihat bagaimana mereka begitu terharu dipertemukan dengan ahli keluarga masing-masing. Ada juga yang sudah berasa insaf dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.

Ajal Dalam Baldi Pejabat



Sepasang kekasih direman bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa lemas di dalam baldi di dalam tandas sebuah pejabat di Meru di sini kelmarin. 

Wanita berusia 41 tahun dan pasangannya yang 10 tahun lebih muda daripadanya direman selama empat dan enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, Fatini Alesya Abdul Karim, 2, didakwa lemas selepas terjatuh ke dalam baldi ketika dibawa masuk ke dalam bilik air pejabat lelaki berkenaan pada pukul 8.30 pagi.

Katanya, mangsa dibawa masuk ke situ untuk membuang air besar. Mangsa merupakan anak wanita itu. “Ketika itu, ibu mangsa menunggu di dalam kereta sementara menunggu kekasihnya membawa anaknya ke bilik air pejabatnya.

“Tidak lama kemudian, lelaki itu keluar dalam keadaan cemas memberitahu wanita tersebut bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam baldi dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi media di sini semalam.

Cari Susu Ibu Yang Sudah Mati


Seorang anak kecil dirakam cuba menghisap susu ibunya tanpa menyedari wanita itu sudah meninggal dunia. Kejadian itu dirakam berhampiran landasan kereta api di Damoh, Madhya Pradesh, semalam. 

Peristiwa menyayat hati itu turut disaksikan anggota polis yang menyiasat laporan mengenai penemuan mayat di tempat kejadian. Mereka juga terkejut menemui bayi berusia 17 bulan itu menangis dan cuba menyusu.

Saksi, Monu Balmiki, 27, berkata: “Kami melihat seorang wanita terbaring berhampiran landasan kereta api dan memaklumkan polis. Tetapi apabila kami menghampirinya kami melihat anaknya cuba menghisap susunya sambil menangis. Kami begitu sebak melihat kejadian itu.”

Ketua polis tempatan, Nand Ram berkata: “Kanak-kanak itu menangis dan cuba menghisap susu ibunya selepas wanita itu tidak memberi tindak balas. Kejadian itu amat mengejutkan dan menyayat hati. Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Ram.

Balmiki berkata, dia dimaklumkan mayat wanita itu sudah dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian. “Kami mengesyaki kematiannya akibat kemalangan kerana telinga dan hidungnya berdarah. Sementara itu, anak wanita terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada jabatan kebajikan.

Jurucakap hospital berkata: “Kanak-kanak itu kesejukan, tetapi tiada masalah kesihatan lain. Kami akan memastikan dia terjaga dan buat masa ini kanak-kanak itu diserahkan ke rumah anak yatim sehingga keluarganya ditemui.”

United Ke Liga Juara-Juara Walaupun Penamat Nombor 6



IMPIAN Manchester United untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan tercapai apabila muncul juara Liga Europa selepas menewaskan Ajax Amsterdam 2-0 pada aksi final Friends Arena, Stockholm semalam. 

The Red Devils tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Paul Pogba menghasilkan gol pertama pada minit ke-18 dan disusuli jaringan kedua menerusi sentuhan Henrik Mkhitaryan (m-48). 

Skuad bimbingan Jose Mourinho (gambar) yang gembira dengan kejayaan itu selepas kali terakhir beraksi pada musim 2015/16 di Liga Juara-Juara turut menghadiahkan trofi tersebut kepada mangsa serangan pengganas di Manchester, Selasa lalu.

Kejayaan itu membolehkan United mengiringi Chelsea, Tottenham Hotspur dan Manchester City daripada Liga Perdana England layak secara automatik ke Liga Juara-Juara edisi 2017/18.

Mourinho menyifatkan kejayaannya mengemudi United sehingga meraih trofi kejuaraan Liga Europa sebagai yang paling penting dalam kariernya sebagai pengurus sejak 17 tahun lalu.

“Trofi kejuaraan ini adalah paling penting dalam karier saya sebagai pengurus kerana saya tidak pernah meraih gelaran ini sepanjang menjadi pengurus atau penolong pengurus,” ujar Mourinho.

Tiada Tayangan Perdana Wonder Woman


Peminat komik DC di London terpaksa melupakan hasrat bertemu dengan barisan pelakon Wonder Woman selepas produksi Warner Bros mengumumkan pembatalan majlis tayangan perdana filem itu, kelmarin. 

Keputusan itu dibuat susulan serangan bom yang mengorbankan 22 nyawa selepas konsert Ariana Grande di Manchester, England, Isnin lalu. Ia juga selepas Perdana Menteri Britain, Theresa May mengumumkan ancaman keganasan di negara itu semakin kritikal dan menjangkakan satu lagi serangan.

Acara permaidani merah filem Wonder Woman yang akan dihadiri pelakon Gal Gadot, Chris Pine, Robin Wright dan pengarah Patty Jenkins sepatutnya berlangsung Rabu depan. Bagaimanapun, tayangan Wonder Woman di pawagam United Kingdom pada 1 Jun ini tidak terjejas.

Wonder Woman mempunyai beberapa perkara istimewa yang membezakannya daripada komik asal selain menjadi filem adiwira wanita pertama 12 tahun selepas Elektra. Ia juga karya pertama dihasilkan menggunakan bajet rendah iaitu RM427 juta (AS$100 juta) oleh pengarah wanita.

Malah, filem itu turut menjadi pengembaraan solo sulung Wonder Woman yang juga puteri Amazon bernama Diana. Menarik mengenai Wonder Woman, penggambaran karya itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan filem dan bukannya teknologi digital. Menjelaskan keputusannya menggunakan kaedah tradisional itu, Patty berkata, filem memberikan kesan lebih menarik berbanding digital.

“Sudah lama saya terbabit dalam industri perfileman. Tidak dinafikan digital mempunyai banyak kelebihan dan saya juga suka menggunakan kaedah itu. Pun begitu, masih ramai karyawan memilih untuk menggunakan filem,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam Wonder Woman, Patty memberitahu, kali pertama mengenali adiwira itu menerusi televisyen ketika usia muda. “Saya mendapati Wonder Woman memiliki ciri-ciri yang diimpikan setiap gadis iaitu gagah, baik hati, menarik, bergaya dan mempunyai kuasa setanding lelaki.

“Pada masa sama, dia turut memperjuangkan kasih sayang dan sedia memaafkan individu yang bermasalah. Oleh itu, saya bangga berpeluang mengarahkan filem mengisahkan adiwira yang memperjuangkan nilai murni,” katanya.

Dalam temu bual berasingan, Pine mendedahkan hampir bogel dalam satu babak Wonder Woman dan menganggap ia kenangan sukar dilupakan. Pelakon berusia 36 tahun itu memaklumkan dia mengambil masa enam bulan menyiapkan diri untuk babak istimewa terbabit.

“Sebelum penggambaran babak itu bermula, saya memanaskan badan dulu. Tak kisah kalau ada orang ketawakan saya membuat tekan tubi di set kerana akan berdepan dengan orang Slovakia,” katanya.

Selain Wonder Woman, Pine ketika itu turut terbabit dengan penggambaran dua filem iaitu Hell or High Water dan Star Trek Beyond. Filem Wonder Woman bakal menemui penonton di seluruh negara pada 1 Jun ini.