My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 12 May 2017

    Mampukah Azmin Tangani Kemelut Hubungan PKR Dan PAS?



    Tarikh 11 Mei 2017 akan tercatat dalam sejarah politik negara apabila dua perkara besar berlaku dalam tempoh hanya beberapa jam. Seluruh perhatian pengamal politik negara tertumpu di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut untuk mengetahui masa depan hubungan politik PAS dan PKR, samada ianya akan diteruskan atau ditamatkan.

    Semuanya gara-gara keputusan Muktamar PAS kali ke 63 di Kota Sarang Semut awal bulan ini yang mengambil keputusan untuk menerima sebulat suara usul memutuskan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR. Impaknya bukan sedikit. Kerajaan Selangor yang sebelum ini nampak agak kukuh, goyah setelah PAS mengambil keputusan berkenaan.

    Akhirnya, pada kira-kira jam 6 petang semalam, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk memutuskan semua hubungan politik dengan PKR berkuat kuasa serta merta. Jika dilihat dari keputusan ini, pasti akan timbul persoalan, apakah nasib kerajaan Sleangor di bawah pimpinan Azmin?

    Jika mengambil kira keputusan ini, Azmin kini memimpin sebuah kerajaan dengan hanya mempunyai majoriti yang tipis. Hari ini, kerajaan Selangor mempunyai 29 buah kerusi berbanding pakatan BN, PAS dan Bebas yang mempunyai 27 buah kerusi. Untuk rujukan, DUN Selangor mempunyai 56 buah kerusi.

    Dengan majoriti tipis seumpama ini, Azmin tidak lagi boleh tersalah langkah. Apa yang berlaku di Perak pada 2009 menjadi pengajaran berguna buatnya agar menjaga sebaik mungkin ADUN-ADUN PKR, DAP dan PAN di Selangor supaya mereka tidak meninggalkan Pakatan Harapan dan sekaligus menumbangkan kerajaan pimpinannya.

    Azmin kini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada memecat 3 orang Exco PAS dari kerajaan negeri. Andai beliau memilih untuk tidak melakukan perkara demikian, DAP selaku pemilik kerusi DUN majoriti pasti akan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memberi tekanan tambahan kepada Azmin.

    Selaku Menteri Besar, kedudukan Azmin untuk menerajui kerajaan negeri pasti akan dibayangi oleh 27 buah kerusi DUN yang tidak memihak kepadanya. Azmin pasti sedar, sebarang kesilapan akan membuatkannya hilang sebuah kerajaan dan oleh yang demikian, pastinya beliau akan melakukan apa saja cara untuk memastikan kerajaan pimpinannya akan selamat dari sebarang cubaan menjatuhkannya.


    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mampukah Azmin Tangani Kemelut Hubungan PKR Dan PAS? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top