Monday, 31 July 2017

Dosa Mahathir Terampun Oleh Anwar, Adakah Ini Satu Pengkhianatan?


Selama lebih 18 tahun, segala macam tohmahan dilemparkan Tun Dr Mahathir terhadap anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selama 18 tahun, Mahathir menanamkan kebencian terhadap Anwar dan keluarganya sehinggakan Mahathir seolah-olah meletakkan keluarga Anwar seperti satu keluarga pesalah seksual terkemuka di Malaysia.

Namun, seperti kata kebanyakan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), andai mana-mana ahli mahupun pemimpin UMNO menyertai Pakatan Harapan, segala dosanya seolah-olah terampun dan seseorang itu akan memulakan hidup baru asalkan niat mereka mahu menjatuhkan kerajaan dan Barisan Nasional.

Itulah yang berlaku pada Mahathir dan kesemua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Sejak mereka menyertai Pakatan Harapan, seolah-olah segala dosa-dosa mereka menghentam kesemua pemimpin pembangkang, dihapuskan. Tidak ketinggalan, Anwar yang selama ini cukup memusuhi Mahathir di atas segala hukuman yang diterima olehnya.

Bukan mahu mengatakan Anwar bebas dari sebarang tuduhan seksual kerana semuanya telah terbukti di mahkamah, namun dari setiap butir bicara yang diluahkan oleh Mahathir disetiap sidang akhbar yang dia lakukan semasa pemecatan Anwar, bukan sedikit penghinaan yang dilakukan oleh Mahathir. Ianya seolah-olah Anwar sudah hilang maruah dan hak diri semasa dihina olehnya.

Justeru, tidak hairanlah pada ketika itu, ribuan anak muda membanjiri jalan raya menghentam Mahathir dengan apa yang dilakukannya. Malah, dari sudut politik, PKR tertubuh hasil daripada tindakan Mahathir yang menjahanmkan kedudukan Anwar dalam semua aspek.

Secara tiba-tiba, semua perkara itu seperti tidak lagi wujud sekarang sebaik sahaja Mahathir kini menjadi antara pemimpin tertinggi Pakatan Harapan. Dalam satu kenyataan, Anwar menyatakan bahawa, apa sahaja yang dilakukan Mahathir terhadap dirinya dahulu seumpama luka kecil yang boleh sembuh pada bila-bila masa.

Persoalannya kini, ribuan orang membanjiri jalan raya saban tahun sejak 1998, tertubuhnya PKR hanya kerana mahu memenjarakan Mahathir dan menumbangkan kerajaan dan kebangkitan anak muda menentang kerajaan, adakah pengakuan Anwar berkenaan boleh dianggap satu penghinaan dan pengkhianatan Anwar terhadap perjuangan penyokongnya?

Untuk soalan ini, biarlah mereka yang begitu mengagungkan Anwar di dalam PKR mahupun NGO pro Anwar, Otai Reformis yang menjawab. Ini kerana mereka jauh lebih berhak menyuarakan taraf perjuangan mereka untuk Anawar selama ini berbanding mereka yang tidak pernah berjuang untuk Anwar.

Namun, jika ditanya kepada penulis, apa perasaan sewaktu membaca pengakuan Anwar berkenaan, jawapan penulis mudah, betapa bodohnya diri menjadi hamba Anwar dengan mendengar segala tuduhan dan menerima segala keperitan, hari ini Anwar menganggap semua itu hanyalah satu luka kecil yang boleh sembuh dan hilang parutnya.

Betapa bodohnya diri sanggup berhujan berpanas mengadakan perhimpunan khas untuk Anwar. Betapa bodohnya diri sanggup bergelar banduan hanya berjuang untuk Anwar menentang kerajaan dan Mahathir. Betapa bodohnya diri diperkudakan Anwar dan hari ini, Mahathir jauh lebih agung dari pengikutnya sendiri. Kesian...

Anggota Tentera Cedera Ditembak Di Kebun Gara-Gara Disangka Binatang



Seorang anggota tentera terselamat meskipun terkena beberapa butir peluru penabur yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang sedang memburu binatang di kawasan sebuah kebun di Kampung Stenggang di sini kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Andy Jemon, 34, mengalami kecederaan pada bahagian dada, paha, lengan kanan dan tepi kening sebelah kiri akibat terkena peluru penabur.

Ketika kejadian, mangsa berpangkat koperal dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kebun yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Dia yang bertugas di Kuching sedang bercuti.

Remaja Dirogol Bergilir-Gilir Lima Kenalan WeChat



Gara-gara terlalu berani mengikut lima budak lelaki yang baru dikenali menerusi aplikasi WeChat ke sebuah rumah usang di sini, seorang remaja perempuan mendakwa dirinya dirogol secara bergilir-gilir pada 14 Jun lalu.

Sehubungan itu, berdasarkan laporan yang dilakukan pada Rabu lalu, pihak polis menahan lima remaja lelaki terbabit dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, pihak polis enggan mendedahkan sebab kelewatan mangsa bertindak membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa, 15, dan lima suspek yang berusia antara 13 hingga 18 tahun itu bertemu di sebuah taman dekat sini.

GRO Rusia Gigit Polis Elak Ditangkap



Seorang wanita warga Rusia sanggup menggigit dan bertindak agresif semasa ditahan polis dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini kelmarin.

Dia yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis berkenaan bertindak demikian semasa cuba meloloskan diri. Anggota polis itu yang digigit pada tangan kiri hanya luka kecil.

Serbuan pada pukul 8 malam itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi susulan aduan awam serta risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil serbuan di tingkat lima hotel pihak polis menahan 22 GRO warga asing, enam pelanggan serta tiga penjaga.

Rompakan Tiru Aksi 'Fast And Furious'



SEKUMPULAN perompak dari Romania meniru aksi filem Fast and Furious lakona Vin Diesel untuk merompak barangan dalam lori ketika lori berkenaan di lebuh raya di Sepanyol. 

Menurut polis Sepanyol kumpulan itu terbabit dalam dua rompakan sejak Februari lalu, mencuri telefon bimbit dari lori yang sedang bergerak bernilai ratusan ribu pound.

Menurut Daily Mail, mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai ‘sunroof’ atau tingkap pada bumbung yang mengekori rapat di belakang lori agar pemandunya tidak nampak kenderaan berkenaan melalui cermin sisi.

Perompak itu kemudian memanjat keluar melalui ‘sunroof’, turun ke bonet dan memotong kunci pintu belakang lori sebelum memindahkan barangan ke dalam kenderaan pacuan empat roda mereka. Rakaman video rompakan terbaru mereka pada 22 Julai lalu, dirakam di Madrid, Sepanyol.

Polis kemudian menahan kumpulan berkenaan dianggotai 10 rakyat Romania di sebuah rumah di Becerril de la Sierra, dekat Madrid dan menemui wang tunai £2,500 (RM14,000), walkie-talkie dan peralatan, termasuk tali mendaki dan gergaji rantai.

Kumpulan itu merompak lebih 400 telefon dalam rompakan pertama bernilai hampir £200,000 (RM1.1 juta). Mereka dipercayai bercadang pulang ke Romania selepas rompakan kedua namun tidak sempat berbuat demikian. Menurut jurucakap polis, lori yang menjadi sasaran mereka ialah yang membawa telefon dan menggunakan laluan yang sama.

“Polis memulakan siasatan selepas rompakan pada hujung Februari lalu. Pemandu lori itu tidak berhenti di mana-mana dan hanya menyedari muatannya hilang selepas sampai ke destinasi ketika mahu menurunkan barangan,” katanya. Menurutnya, kumpulan itu menggunakan tiga kereta dengan satu mesti mempunyai ‘sunroof’.


Ferrari Unggul Di Budapest



Pendahulu saingan Formula Satu (F1), Sebastian Vettel menamatkan dominasi pelumba Mercedes, Lewis Hamilton di Litar Hungaroring apabila melakar kemenangan di Grand Prix (GP) Hungary malam tadi. 

Lebih manis, Ferrari melakar kemenangan 1-2 pada perlumbaan tersebut selepas Kimi Raikkonen turut menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Vettel yang melakukan catatan 1 jam 39 minit 46.713 saat.

Hamilton yang mempunyai rekod terbaik di Litar Hungaroring dengan melakar lima kemenangan sebelum ini terpaksa akur dengan kehebatan Vettel apabila menamatkan saingan di tempat keempat selepas memberikan laluan kepada rakan sepasukannya, Valtteri Bottas pada selekoh terakhir untuk berada di tempat ketiga.

Keputusan itu menyaksikan Vettel terus muncul sebagai pendahulu saingan F1 selepas mengumpul 202 mata melalui empat kemenangan musim ini sekali gus meninggalkan Lewis Hamilton di kedudukan kedua dengan perbezaan 14 mata apabila mengumpul 188 mata.

Kali terakhir Ferrari mencatat kemenangan 1-2 pada tahun 2004 menerusi legenda mereka, Michael Schumacher yang berpasangan dengan Rubens Barrichello.

“Perlumbaan ini bukan mudah bagi saya kerana saingan sangat sukar pada awal perlumbaan di selekoh pertama sehingga berlaku pelanggaran. Saya bernasib baik berjaya mengelakkan insiden tersebut. Saya juga mendapat tekanan hebat daripada Raikkonen yang cukup pantas.

“Ketika lima pusingan untuk tamat, tayar saya semakin hilang cengkaman dan hampir terbabas menyebabkan saya terpaksa berhati-hati untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke penghujung perlumbaan.

“Apa pun saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan yang telah menyediakan sebuah jentera yang terbaik sepanjang minggu ini dan berharap kami mampu mengecapi kejayaan pada pusingan seterusnya,” kata Vettel.

Sementara itu, nasib berbeza buat pelumba Red Bull, Max Verstappen apabila dikenakan hukuman penalti 10 saat oleh pengarah perlumbaan F1 selepas didapati telah melakukan kesalahan melanggar rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo, namun dia masih berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat kelima.

Sementara itu, pasukan McLaren Honda yang melakukan perubahan besar pada unit kuasa minggu lalu akhirnya berjaya mengutip lapan mata apabila Fernando Alonso menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam. Keputusan tersebut merupakan rekod terbaik buat McLaren sepanjang 11 perlumbaan selepas gagal menamatkan enam perlumbaan sebelum ini.

Bella Tampil Bela Aliff



Selepas dua hari membuat laporan polis mendakwa dirinya cedera dipukul, isteri kepada penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah semalam tampil membela suaminya sambil meminta masyarakat berhenti daripada menghentam penyanyi itu. 

Dakwa Bella, semua yang berlaku ha­nyalah salah faham kerana dia mendapat kecederaan selepas bergelut untuk mendapatkan semula telefonnya yang dirampas Aliff dalam kejadian di sebuah bilik karaoke di sini Khamis lalu.

“Andai benar dia begitu, dari dahulu lagi saya sudah lebam-lebam. Semua ini hanya salah faham,” katanya.

Justeru, Bella memohon masyarakat supaya tidak terus menghentam suami­nya dan berhenti menyebarkan berita yang tidak benar. “Saya mengaku suami (Aliff) ada me­lakukan kesilapan. Semua rumah tangga mengalami benda yang sama. Jadi, saya harap agar semua pihak jangan salah faham,” ujarnya.

Geely-Proton Eksport 280,000 Kereta



Kerajaan menyasarkan pengeluaran kira-kira 280,000 unit kereta bagi pasaran Asia Tenggara dan China menerusi hasil pakatan strategik antara firma terkemuka China, Zhejiang Geely Holdings Group dengan syarikat automotif Proton Holdings Berhad (Proton). 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pasaran kereta di Malaysia kecil yang mana setakat tahun lalu, jualan kereta pelbagai jenama adalah 580,000 unit berbanding China dengan jualan tahunan 28 juta unit.

“China nak bantu kita satu peratus daripada jumlah itu. Bagi mencapai sasaran berkenaan, Proton memerlukan rakan strategik kerana penyelidikan serta reka bentuk bertaraf dunia penting untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.

“Syarikat Geely boleh menyokong dari segi penyelidikan canggih kerana kita perlu menghadapi satu perubahan besar. Sekarang semua syarikat kereta berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang dipandu sendiri sepenuhnya seperti Volvo dan Mercedes,” katanya selepas merasmikan Ekspo Tanam Tuai di sini, baru-baru ini.

Katanya, oleh itu, Geely bersama-sama Proton perlu membina kilang di sini untuk tempoh lima tahun ini. Apabila kilang berkenaan siap, kereta akan memasuki pasaran China dan Asia Tenggara kerana rantau berkenaan adalah satu destinasi yang penting kerana mempunyai 600 juta rakyat.

Ong berkata, kilang pembuatan kereta Proton akan tertumpu di Tanjung Malim yang mana sebahagian besarnya masih di Shah Alam, Selangor.

Hiperkolesterolemia Tiada Gejala




Penyakit hiperkolesterolemia atau kolesterol tinggi dalam darah adalah masalah kesihatan yang semakin meningkat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan kadar penghidap hiperkolesterolemia secara keseluruhannya termasuk yang tidak didiagnosis masih tinggi di Malaysia apabila melaporkan peningkatan kepada 47.7 peratus pada 2015 berbanding 32.6 peratus pada 2011. 

Kadar ini secara amnya meningkat mengikut usia daripada 22 peratus bagi lingkungan usia 18 hingga 19 tahun dan meningkat kepada 68.8 peratus bagi lingkungan usia 55 hingga 59 tahun.

Pada peringkat global, satu pertiga penyakit jantung iskemia dikaitkan dengan kolesterol tinggi dan secara keseluruhannya paras kolesterol yang tinggi dianggarkan menyebabkan 2.6 juta kematian dan turut mengakibatkan kira-kira 29.7 juta penghidapnya hilang keupayaan diri. Penyakit jantung iskemia tetap menjadi punca kematian utama di Malaysia sepanjang 10 tahun lalu.

Malah, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan kematian akibat penyakit jantung iskemia pada 2014 memuncak kepada 13.5 peratus. Hiperkolesterolemia berlaku apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kardiovaskular (CVD) seperti serangan jantung dan strok.

Tanpa rawatan, serangan kardiovaskular boleh mengakibatkan masalah serius atau lebih buruk lagi adalah maut. Kolesterol adalah bahan berlilin daripada dua sumber iaitu badan manusia dan makanan. Badan manusia terutamanya hati menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan dan mengedarkannya melalui darah.

Kolesterol juga boleh didapati dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging lembu dan ayam serta hasil tenusu penuh lemak. Hati akan menghasilkan lebih banyak kolesterol apabila kita mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans.

Bagaimanapun, kolesterol penting bagi fungsi badan kerana selain bertindak menjadi asas binaan membran sel, ia juga berperanan menghasilkan hormon tertentu. Kolesterol juga menghasilkan sebatian bagi membantu penghadaman lemak.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Jeyamalar Rajadurai berkata kolesterol terbahagi kepada lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau dikenali sebagai kolesterol jahat dan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau disebut sebagai kolesterol baik.

Kolesterol jahat adalah sumber utama plak yang menyumbat arteri, manakala kolesterol baik membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan faktor risiko berkaitan. Semakin tinggi paras LDL, semakin tinggi risiko berlaku penyakit jantung atau serangan jantung akibat aliran darah terhalang. 

“Kolesterol berlebihan boleh membentuk plak antara lapisan dinding arteri yang menyukarkan peredaran darah untuk bergerak lancar kerana plak yang terkumpul menyebabkan penyempitan saluran darah dan mengeraskan arteri.

“Proses plak terkumpul dalam arteri dalam jangka masa lama dikenali sebagai aterosklerosis dan apabila arteri menjadi terlalu sempit sel darah merah yang kaya dengan oksigen tidak cukup untuk sampai ke jantung dan otot lalu menyebabkan sakit dada teramat sangat (angina).

“Jika sebahagian daripada plak pecah, platelet berkumpul di kawasan yang cedera dan membentuk darah beku. Akhirnya, darah beku menghalang aliran darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung, manakala darah beku yang menghalang aliran darah ke otak pula dipanggil strok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan masalah hiperkolesterolemia dalam kalangan rakyat Malaysia sempena pelancaran rawatan penurunan kolesterol LDL, ATOZET, yang bertindak menghalang penyerapan dan penghasilan kolesterol dalam badan anjuran MSD Malaysia, baru-baru ini.

Dr Jeyamalar berkata, hiperkolesterolemia bersifat asimptomatik iaitu pesakit tidak mengalami gejala. Malah, kebanyakan pesakit tidak sedar pun bahawa paras kolesterol dihidapi tinggi dan satu-satunya cara untuk mengesan adalah melalui pemeriksaan perubatan yang tetap serta ujian darah untuk mengukur paras kolesterol dalam darah.

Antara tabiat yang meningkatkan risiko mendapat hiperkolesterolemia adalah sajian makanan yang tidak berkhasiat seperti mengambil pemakanan yang tinggi kandungan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol. Semua jenis makanan jika diambil berlebihan tidak baik, diet yang sihat untuk jantung perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.

“Mereka yang tidak aktif secara fizikal apabila kurang gerak kerja jasmani juga akan menaikkan berat badan dan ini pula boleh meninggikan paras kolesterol. Obesiti dan berat badan berlebihan dikaitkan dengan paras trigliserida dan kolesterol jahat yang tinggi, manakala paras kolesterol baiknya pula rendah.

“Namun, faktor genetik mungkin berperanan meninggikan paras kolesterol. Jika anda mempunyai sejarah kolesterol yang tinggi dalam keluarga, lebih besar kemungkinannya anda juga menghidap kolesterol tinggi.

“Risiko mendapat masalah kolesterol tinggi boleh meningkat lagi apabila faktor keturunan digabungkan dengan pilihan gaya hidup yang kurang sihat seperti memakan makanan yang kurang berkhasiat,” katanya.

Paras kolesterol yang tinggi mungkin berlaku kerana keturunan apabila hati menghasilkan kolesterol berlebihan atau badan kurang cekap menyingkirkan LDL daripada darah. Kira-kira seorang daripada setiap 500 penduduk menghidap penyakit hiperkolesterolemia yang diwarisi keluarga yang boleh menyebabkan paras kolesterol yang teramat tinggi.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr David Quek berkata, mereka yang berusia 20 tahun ke atas harus mendapatkan pemeriksaan paras kolesterol sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, di samping mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat.

“Antara perubahan gaya hidup yang disyorkan bagi penghidap kolesterol tinggi ialah berhenti merokok, mengehadkan pengambilan alkohol, kerap melakukan senaman atau aktiviti riadah dan mengekalkan berat badan yang sihat.

“Keberkesanan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan memakan ubat untuk menurunkan paras kolesterol berbeza bagi setiap orang. Secara puratanya, mengawal pemakanan dan bersenam boleh menurunkan kolesterol LDL sebanyak 10 peratus, manakala ubatan pula menurunkan lagi kolesterol LDL antara 20 hingga melebihi 50 peratus.

“Bagi mengurangkan kolesterol LDL, doktor boleh menggunakan satu ubat ataupun gabungan beberapa ubat. Antara kelas ubat utama yang mengurangkan kolesterol darah ialah statin, fibrat, resin, niasin dan perencat penyerapan kolesterol,” katanya.

Katanya, di samping pemakanan berkhasiat, ubat statin ialah terapi pengurang lipid yang utama untuk menurunkan aras kolesterol LDL yang tinggi pada pesakit apabila terapi ubat diperlukan.

“Garis panduan terbaru menyatakan bukti bahawa paras LDL yang lebih rendah berkait dengan kadar kejadian CV yang lebih rendah, semakin banyak LDL dikurangkan semakin banyak risiko CV dikurangkan. Manfaat pengurangan LDL ini tidak khusus bagi terapi ubat statin.

“Oleh itu, wajarlah paras LDL diturunkan serendah-rendahnya terutama pesakit yang sangat tinggi risikonya mengalami masalah CV,” katanya.

Sementara itu, rawatan ATOZET kajian kumpulan selari berbilang pusat membabitkan 196 pesakit hiperkolesterolemia dirawat selama enam minggu didapati terbukti menurunkan paras LDL dengan lebih banyak berbanding dengan dos atorvastatin yang digandakan.

ATOZET adalah tablet gabungan ezetimibe dan atorvastatin yang dimakan sekali sehari mempunyai dua mekanisme tindakan bagi merawat dua punca utama kolesterol di dalam darah. Ezetimibe menghalang penyerapan kolesterol dalam salur penghadaman, manakala atorvastatin menghalang penghasilan kolesterol dalam hati.

Ia juga digunakan untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular pada pesakit yang menghidap CHD dan mempunyai sejarah sindrom koronari akut (ACS), sama ada pernah dirawat dengan ubat statin ataupun tidak.

Selain itu, ATOZET digunakan sebagai terapi tambahan berserta pengawalan makanan untuk orang dewasa yang menghidap hiperkolesterolemia primer sama ada diwarisi atau tidak dan hiperlipidemia campuran yang tidak dapat dikawal dengan baik oleh ubat statin sahaja ataupun yang sudah dirawat dengan ubat statin berserta ezetimibe.

Friday, 28 July 2017

Ngiling Bidai : Dari Sarawak Di Persembahkan Di Melaka



Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Sarawak, antara perkara yang paling diingati adalah makanan dan keramahan rakyatnya. Tidak dinafikan, tidak ramai yang tahu akan keenakan makanan dari Sarawak kecuali kek lapis yang sentiasa dijadikan juadah wajib untuk di bawa pulang sekiranya berkunjung ke Sarawak.

Di Semenanjung hari ini, terdapat banyak pasar-pasar Borneo yang menyajikan keunikan makanan dan hasil kraf yang ada diantaranya di bawa dari Sarawak. Sebagai contoh, di Lembah Klang sahaja terdapat banyak lokasi yang menyajikan keunikan makanan dari Sabah dan Sarawak yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan mahupun anak Borneo yang merantau di Semenanjung.

Terbaru, Mini Malaysian ASEAN Cultural Park (MMACP) di Ayer Keroh, Melaka bakal menganjurkan Ngiling Bidai yang berkonsepkan Sarawak bermula esok 29 Julai 2017. Jika tidak pasti dimanakah lokasi sebenar penganjuran mini karnival ini, ianya terletak di Ayer Keroh di mana pada kebiasaannya, orang akan memanggil tempat ini sebagai Kampung Budaya.

Seperti penganjuran Ngiling Bidai di tempat lain, mini karnival di MMACP ini akan menyajikan 100 peratus makanan dan hasil kraf Sarawak yang ada diantaranya sukar untuk didapati di tempat lain melainkan jika seseorang itu berkunjung ke Sarawak.

Apa yang menariknya, menurut penganjur, ianya akan diadakan di Rumah Panjang Sarawak yang dikatakan 80 peratus menyerupai rumah panjang tradisi Iban, lengkap dengan komponen penting sesebuah rumah panjang yang terdiri daripada “tanju” (beranda terbuka), “ruai” (ruang terbuka), bilik dan “sadau” (peran).

Justeru, pengunjung akan merasai sendiri pengalaman "berpesta" di Rumah Panjang yang selama ini hanya boleh disaksikan di kaca-kaca televisyen sahaja. Disamping menikmati dan membeli juadah serta hasil kraf yang disediakan, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tradisional masyarakat Sarawak yang akan turut dipersembahkan pada hari yang sama.

Bagi memeriahkan mini karnival ini, menurut pihak penganjur, ianya mungkin akan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga Exco Pelancongan negeri Melaka. Pihak penganjur menjangkakan kehadiran lebih 1,000 orang pengunjung bakal hadir pada mini karnival berkenaan.

Untuk memeriahkan suasana, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke mini karnival ini.

SPRM Serbu Tiga Pejabat Disyaki Terlibat Kontroversi Pembelian Hotel Di Kuching



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu tiga pejabat di sekitar bandar raya ini yang disyaki terlibat dalam kontroversi pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang oleh Felda Investment Corporation (FIC) di sini hari ini. 

Serbuan serentak kira-kira pukul 10 pagi itu dilakukan di pejabat Henry Butcher Malaysia (Sarawak), Raine & Horne International Zaki Partners Sdn. Bhd dan Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd di sini. Menurut sumber, ketiga-tiga pejabat tersebut merupakan syarikat atau ejen pemaju hartanah yang dipercayai terlibat dalam urusan pembelian hotel empat bintang tersebut.

"Serbuan tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklumat serta dokumen-dokumen berkaitan bagi urusan siasatan kes itu," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan tersebut. "Serbuan berkenaan merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan yang dilakukan pihak kita," ujarnya.

Media hari ini melaporkan selepas Hotel Park City Grand Plaza di London, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel bertaraf empat bintang oleh FIC di Kuching pada harga jauh lebih tinggi daripada asal.

Siasatan berhubung pembelian hotel dipercayai Merdeka Palace Hotel & Suites itu dibuat susulan siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian hotel oleh FIC di London antara tahun 2013 dan 2015. Maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel tersebut telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit kepada FIC.

Boleh Terus Kerja



“Syukur...alhamdulillah.” Itu perkataan diucapkan oleh Muhammad Shah David Abdullah, 44, kakitangan sementara Lembaga Koko Malaysia (LKM), di sini, selepas mendapat tahu notis pemberhentian kerja yang diterima mereka pada 10 Julai lalu akan ditarik balik. 

Sebelum ini, Muhammad Shah antara 281 kakitangan sementara LKM di seluruh negara yang menerima notis pemberhentian kerja berkuat kuasa pada 13 Ogos depan. Menurut Muhammad Shah, dia menerima berita gembira itu daripada rakanya menerusi aplikasi WhatsApp, di samping sudah membaca laporan berita mengenai keputusan berkenaan.

“Dengan berita gembira ini, tiada masalah untuk tiga anak saya yang sedang belajar di sekolah termasuk anak sulung untuk menyambung pengajian di universiti awam nanti.

“Saya berharap notis (pemberhatian kerja) itu akan ditarik semula dengan segera bagi menghilangkan keresahan kami sebagai kakitangan sementara (LKM),” katanya ketika dihubungi, semalam. Muhammad Shah turut berterima kasih kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), yang banyak membantu mereka dalam menyelesaikan isu itu. 

“Saya amat berterima kasih kepada CUEPACS dan media kerana kalau tidak diuar-uarkan, tiada siapa tahu mengenai perkara ini,” katanya yang sudah tujuh tahun bertugas di Pusat Penyelidikan Bioteknologi LKM Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini.

Kakitangan sementara lain, Azmi Mautar, 36, berkata, sekiranya notis pemberhentian pekerja sementara itu ditarik balik, dia berharap mereka diserap menjadi pekerja tetap. “Saya menuntut untuk jawatan tetap supaya tiada pertikaian seperti ini berlaku lagi. Saya berkhidmat dengan LKM sejak 11 tahun lalu dan tidak mahu bermula dengan ‘kosong’,” katanya.

7 Perompak Gagal Joli RM3 Juta



Sekumpulan tujuh penyamun yang melarikan barang kemas dipercayai bernilai kira-kira RM3 juta akhirnya ditangkap polis selepas tiga jam melakukan rompakan di sebuah kedai emas di pasar raya AEON BIG, Bandar Tun Hussein Onn di sini semalam. 

Tujuh suspek lelaki itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan JSJ Selangor di sebuah rumah di Kampung Ampar Tenang, Dengkil, Sepang kira-kira pukul 2 petang.

Kesemua mereka disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas itu pada pukul 10.30 pagi dan melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM3 juta. Jarak antara rumah tersebut dengan tempat rompakan dianggarkan kira-kira 40 kilometer.

Menurut Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad, kumpulan penjenayah terbabit berjaya dikesan hasil maklumat orang awam. “Hasil maklumat yang diterima, kita telah dapat mengesan kumpulan penjenayah ini sehingga ke sebuah rumah di Dengkil.

“Kita telah menahan tujuh lelaki dan turut menjumpai sejumlah besar barang kemas termasuk peralatan yang digunakan untuk melakukan rompakan seperti penukul besi dan senjata api,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Ampar Tenang, Dengkil semalam.

Buah Zakar Dibaham Buaya




Seorang lelaki gelandangan hilang satu jari tangan, dua jari kaki dan satu buah zakarnya selepas dibaham seekor buaya ketika mandi di sebuah kolam di Port Charlotte, selatan Florida. 

Fredric Iman, 68, berkata, dia memeriksa kolam itu bagi memastikan tiada buaya di dalamnya sebelum dia mandi di dalamnya pagi Isnin lalu. Bagaimanapun, buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu dikatakan turut memasuki kolam berkenaan tanpa disedari Iman.

“Saya pusing dan menumbuknya. Saya cuba melarikan diri tetapi ia menarik saya,” kata lelaki itu. Dia akhirnya berjaya naik ke atas tetapi kerana tidak mempunyai telefon, Iman terpaksa berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Seorang penduduk menelefonkan pasukan kecemasan dengan berkata: “Seorang lelaki berada di depan rumah saya, mendakwa dia dibaham buaya. Buaya itu memakan jari kakinya dan seluarnya kelihatan koyak.”

Iman dibawa dengan helikopter ke Hospital Lee Memorial, tempat dia dirawat kerana kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa. Dia hilang jari telunjuk, dua jari kaki dan satu buah zakarnya. Walaupun Iman yang sudah 20 tahun hidup bergelandangan tidak mampu membayar kos rawatan, pihak hospital berkata, ia akan merawatnya sehingga pulih.

Saya Pilih Belgium Berbanding Malaysia



TEKA-TEKI sama ada Dion Cools bermain untuk Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila pemain pertahanan kanan Brugge FC itu membuat keputusan untuk menyertai skuad kebangsaan Belgium. 

Perkara itu didedahkan oleh jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada yang mengesahkan Cools, 21, mahu melebarkan kariernya bersama negara Eropah tersebut yang dilihat memiliki peluang cerah untuk bermain pada peringkat lebih tinggi khususnya Piala Dunia.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Portugal itu tampak kesal tidak dapat menggunakan khidmat Cools tetapi pada masa sama tetap menghormati keputusan pemain kelahiran Kuching, Sarawak tersebut.

“Cools telah membuat keputusan tidak menyertai pasukan kebangsaan, sebaliknya memilih Belgium sebagai pasukan kebangsaan. Saya dimaklumkan bahawa Cools masih boleh menyarung jersi negara kerana dia belum membuat penampilan bersama skuad senior tetapi dia telah memaklumkan kepada pihak kami yang dia mahu bermain untuk Belgium.

“Apa pun, kami menghormati keputusan Cools dan berharap dia akan mencapai pelbagai kejayaan bersama Belgium nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Al-Meroz, Bangkok baru-baru ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan telah bersedia untuk mengintai khidmat pemain-pemain kelahiran Malaysia yang beraksi di luar negara dalam misi memperkasakan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Nama Cools berada dalam radar FAM kerana badan induk bola sepak negara itu turut berhajat agar bekas pemain OH Leuven tersebut membuat penampilan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermain di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

Bagaimanapun, Vingada memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha lebih keras untuk mengintai ramai lagi pemain berkualiti tinggi yang mana usaha itu bukan sahaja tertumpu di luar negara tetapi pendekatan di dalam negara turut diutamakan.

Tambahnya, beliau juga tidak menolak pemain-pemain luar negara memiliki kerakyatan Malaysia seperti Natxo Insa tetapi mahu menilai dahulu prestasi perancang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu. 

“Saya ada melihat beberapa pemain yang memiliki kerakyatan Malaysia bermain di luar negara tetapi masih belum meyakinkan. Apa yang pasti, saya harus keluar mencari pemain-pemain berkualiti tinggi untuk bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.

Buang Rasa Takut Demi Crow's Blood


Karya seram dari Jepun antara produk paling dinanti penonton seluruh dunia. Lihat saja penangan filem Ju On dan The Ring, ia menjadi bualan ramai yang masih diingati sehingga kini. Terbaru, drama Crow’s Blood yang diterajui Mayu Watanabe dan Sakura Miyawaki mula meraih perhatian penonton di sini. 

Ditayangkan setiap Khamis, jam 10 malam di saluran KIX HD (Astro 729), siri ini tidak patut dilepaskan pencinta genre seram. Lebih menarik, drama arahan Ryo Nishimura dan Joseph White itu diterbitkan Darren Lyn Bousman yang terkenal dengan filem sekuel Saw.

Mayu ketika diwawancara baru-baru ini menjelaskan Crow’s Blood ada keunikan tersendiri. Malah, dia sangat terkesan tatkala membawakan watak Kaoru Isozaki. “Ia bukan sekadar cerita pelajar sekolah biasa. Drama ini sangat unik kerana ada banyak babak pelik.

“Sebagai pelakon baru, saya belajar menzahirkan emosi terutama ekspresi wajah. Ketakutan yang perlu saya tonjolkan mesti dapat dirasai penonton,” katanya. Sambung Mayu, dia tidak pernah menyukai karya seram namun memberikan sepenuh komitmen sepanjang penggambaran demi menjaga mutu lakonannya.

“Saya sebenarnya penakut. Setiap kali menonton cerita seram, saya pasti menutup mata atau telinga. Namun untuk Crow’s Blood, saya gagahkan diri menonton pelbagai cerita seram termasuk Saw,” katanya.

Dia turut menyifatkan bekerja dengan Derran adalah pengalaman terindah dalam hidupnya. “Ketika dilamar membintangi filem ini, saya terkejut. Ia umpama mimpi jadi kenyataan. “Cara kerja Darren berbeza dengan dengan produksi Jepun. Ia secara tidak langsung buka mata saya mengenai banyak perkara,” katanya.

Gandingan serasi Mayu dan Sakura yang melakonkan watak Togawa Maki juga wajar dipuji. Kedua-duanya saling memberi malah Mayu mengagumi bakat rakannya itu. “Lakonan Sakura sangat bagus. Dia berjaya menghidupkan watak Togawa Maki yang sebenarnya sudah mati dengan berkesan. 

“Itulah yang menjadi kekuatan sebenar drama ini apabila di sebalik perwatakan menawan Togawa Maki, ada rahsia tidak diketahui orang sekelilingnya. Karakternya semakin menarik setiap kali plot cerita berkembang. Saya yakin bulu roma penonton akan meremang apabila menonton lakonannya,” kata Mayu.

Crow’s Blood mengisahkan pelajar Togawa Maki berpindah ke sebuah sekolah tinggi perempuan. Pelbagai kejadian pelik mula menghantui pelajar sekolah itu termasuk Kaoru. Mereka tidak tahu Maki sebenarnya sudah meninggal dunia.

Dia dihidupkan semula oleh bapanya menggunakan virus pertumbuhan semula. Kaoru satu-satunya pelajar yang sudi berkawan dengan Togawa. Bagaimanapun, apabila mereka semakin rapat, Togawa semakin obses dengan Kaoru.

Idea asal drama ini dicetuskan Yasushi Akimoto atau popular dengan gelaran Svengali yang menjadi nadi kejayaan banyak kumpulan idol wanita di Jepun. Mayu juga adalah antara artis idol yang digilai ramai dan mengganggotai AKB48 manakala Sakura pula anggota HKT48 dari Fukuoka.

Bakal Muktamad Perkongsian Pesawat Khas Jemaah Haji



Malaysia Airlines Bhd (MAB) dijangka memuktamadkan perkongsian strategik bagi penerbangan sewa khas khusus bagi membawa jemaah haji menjelang suku pertama 2018. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Peter Bellew yang berada di Arab Saudi minggu lalu berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pelabur berpotensi bagi perkhidmatan baru itu.

“Ada pihak mencadangkan nama (untuk penerbangan baru ini) minggu lalu ketika kami di Arab Saudi. Jadi, saya akan membincangkannya dengan lembaga pengarah dalam beberapa minggu akan datang.

“Saya tidak akan mengumumkan nama itu sekarang, yang pastinya perkembangan itu adalah sesuatu yang memberi inspirasi,” katanya selepas pelancaran Makmal Inovasi Dalaman pertama Malaysia Airlines, iSpace di Bangunan Pengurusan Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini dilaporkan, MAB merancang memulakan perkhidmatan penerbangan sewa khas untuk jemaah haji dan umrah di Arab Saudi. Bellew berkata, MAB mencari rakan kongsi strategik yang sedia mempunyai perniagaan berkaitan sektor penerbangan.

“Ia akan mengambil masa. Kami tidak memerlukan wang untuk merealisasikannya dengan segera. Bagaimanapun, kami mencari pihak yang mempunyai kepentingan strategik dalam membantu menjadikannya kenyataan dan menjayakan rancangan itu bagi tempoh 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, penerbangan sewa khas baru itu didaftarkan sebagai entiti berasingan dengan imej, logo, warna pesawat dan konfigurasi baru. “Syarikat penerbangan baru ini akan menawarkan 600 hingga 700 peluang pekerjaan termasuk juruterbang, kru kabin dan jurutera apabila beroperasi sepenuhnya serta akan menyewa enam pesawat Airbus A380 daripada Malaysia Airlines.,” katanya.

Hebat Di Jalanan



Bagi penggemar motosikal berkuasa tinggi dalam segmen ‘naked’, jenama Kawasaki sering mengeluarkan pelbagai model sesuai buat penunggang baru ataupun berpengalaman. Antara yang menarik tahun ini ialah Kawasaki Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n diberi sentuhan baru dari segi rekaan kerangka, enjin dan sistem suspensi untuk lebih mesra pengguna. 

Penulis yang sebelum ini berpeluang menunggang uji model Ninja 650 ABS, ingin mengetahui pula perbezaan ketara antara dua model ini kerana ia berkongsi enjin, kerangka dan lengan ayun yang sama. Jika dilihat pada rekaan, ia tampil lebih sporty dan ringkas dengan konsep Sugomi yang lebih tirus agar lebih seimbang di antara gaya dan prestasi.

Contohnya lampu hadapan yang direndahkan serta bahagian belakang dinaikkan. Penahan angin hadapan dengan penutup meter tampil ranggi menyerlahkan gaya agresif pada kerangka baru Trelis seberat 15 kilogram (kg) daripada keluli bertekanan tinggi, membuatkan kedudukan enjin lebih kemas tersimpan.

Bahagian pelana dengan ketinggian sekitar 790mm selesa untuk pelbagai saiz penunggang dengan tempat duduk belakang untuk pembonceng menjadikan ia model serba guna untuk pelbagai tujuan seharian.

Lampu belakang dengan huruf Z jelas kelihatan dalam sebarang cuaca menjadikannya tampak unik dengan bahagian belakang lebih kompak dan aerodinamik melengkapkan rekaan Z650 baru ini. Ketika menunggang, gagangnya yang lebar serta ergonomi menerbitkan gaya sporty yang santai untuk tunggangan jarak jauh tetapi mudah dikawal terutama mencelah dalam kesesakan jalan raya. 

Sudut membelok 35 darjah iaitu lebih dua darjah berbanding Ninja menjadikan ia mudah digerakkan untuk tujuan itu. Tangki bahan api juga direka untuk tampil bergaya serta selesa terutama ketika paha dirapatkan bagi tunggangan lebih lancar. Paparan meter LCD ringkas jika dibandingkan dengan Ninja dengan gabungan analog dan digital supaya lebih jelas pada mata.

Antara ciri meter ini termasuklah kedudukan gear, kelajuan dan ikon tunggangan ekonomi bagi penggunaan bahan api yang efisien. Penggunaan petrol dicatatkan dengan satu tangki penuh 17 liter mampu bergerak lebih 300 kilometer (km) dengan pelbagai kelajuan tinggi.

Enjin berkembar selari 649cc sejukan cecair sangat responsif, malah ia mudah dikawal pada pendikit dengan tenaga yang seimbang di antara gear rendah dan pertengahan. Kuasa maksimum sehingga 68Ps dan daya tujahan sehingga 66 Nm sesuai ketika digunakan dalam bandar atau menyusuri lebuh raya pada kelajuan tinggi.

Transmisi klac enam kelajuan juga berfungsi baik daripada jenis ‘assist and slipper’ yang bekerja serentak mengawal bukaan dan penutup hab klac serta plat operasi bagi kelancaran berterusan. Agar tunggangan lebih selesa, suspensi tunggal belakang yang terletak mendatar di atas lengan ayun motosikal serta sepit udang teleskop hadapan berkeratan rentas 41mm menyerap hentakan dengan baik.

Kuasa membrek kini juga dipertingkatkan dengan brek cakera berkembar hadapan 300mm dan belakang tunggal 220mm dengan angkup daripada Nissin dilengkapi dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch. Pada pandangan penulis, Kawasaki Z650 ABS menawarkan motosikal yang sesuai untuk semua golongan sama ada buat tunggangan harian atau sekadar aktiviti hujung minggu.

Enjin yang lancar pada tork rendah dan pertengahan menjadikan pergerakan lebih mudah terutama ketika mengharungi kesesakan jalan raya atau perjalanan jauh. Rekaan ringkas tetapi agresif menjadikan Z650 berada dalam kelas tersendiri dan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahu menaik taraf motosikal kepada enjin lebih besar.

Harga jualan asas ialah RM35,609 termasuk GST dengan dua pilihan warna iaitu hijau atau titanium. Ia diberikan waranti dua tahun atau 20,000 km yang mana lebih awal.

INFO KAWASAKI Z650 ABS 

• Enjin: 649 cc, sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC
• Kuasa maksimum: 68 PS pada 8,000rpm
• Tork maksimum: 65.7 Nm pada 6,500rpm
• Transmisi: Klac enam kelajuan
• Ciri keselamatan: Sistem brek anti-kunci (ABS), Assist and Slipper Clutch.
• Harga: RM35,609 (termasuk GST)

Thursday, 27 July 2017

Awas Pemandu Degil!




Saban tahun, negara mencatatkan jumlah kemalangan maut yang agak tinggi akibat daripada pelbagai faktor. Antara faktor utamanya adalah sikap pemandu itu sendiri yang enggan mematuhi undang-undang jalan raya disamping faktor memandu dalam keadaan keletihan.

Hal ini tidak terhad kepada pemandu kenderaan persendirian semata-mata. Ianya turut melibatkan pemandu kenderaan awam dan komersial yang saban hari menggunakan kesemua jaringan jalan raya terutamanya lebuh-lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi mengatasi masalah ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah menjalinkan kerjasama dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bagi mempergiatkan usaha mengesan pemandu kenderaan awam dan komersial yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya menerusi pemantauan sistem keselamatan kamera litar tertutup (CCTV).

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pengurus Besar Kanan Bahagian penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad semalam. Ujar beliau, kerjasama ini telah dijalankan sejak awal tahun ini antara lain bertujuan untuk memantau perilaku pemandu terutama pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas yang memandu secara merbahaya.

Ianya sekaligus mampu untuk mengekang kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat berkenaan. Menurutnya, penekanan itu diberikan keutamaan bagi memastikan keselamatan penumpang membabitkan bas dan segala tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mana-mana pemandu yang melakukan salah laku.

Nampaknya, SPAD benar-benar komited untuk mengekang sebarang kemungkinan kemalangan berlaku melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori yang boleh dianggap sebagai "raja" jalan raya. Setidak-tidaknya, menerusi pemantauan berterusan ini, diharapkan para pemandu kedua-dua jenis kenderaan ini dapat didisiplinkan dan dapat mengurangkan kes-kes kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan ini.

Pengakuan Tiga Wanita Merogol Lelaki Kuat Agama


WANITA yang didakwa merogol pastor di Zimbabwe memberi alasan mahu ‘membetulkan’ lelaki berkenaan yang mendakwa ‘kebal’ daripada godaan serta membuktikan orang alim juga tidak terkecuali daripada godaan seksual. 

Tiga wanita, Sandra Ncube, 21, Riamuhetsi Mlauzi, 23, and Mongiwe Mpofu, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Western Commonage di Bulawayo, semalam, bagi tuduhan melakukan serangan tidak bermoral terhadap pastor berkenaan pada 14 Julai lalu.

Daily Mail yang memetik laporan Chronicle (Zimbabwe) melaporkan, menurut pendakwa, pastor di sebuah gereja di Cowdray Park, ke rumah didiami tiga wanita itu bagi mengutip hutang daripada Riamuhetsi.

“Sebaik masuk ke dalam rumah kira-kira 7 petang, seorang daripada wanita itu menangkap pinggangnya dan seorang lagi melucutkan seluar serta merabanya. Mereka menariknya ke katil dan Mongiwe kemudian datang membawa kondom. Sandra melakukan seks dengan mangsa tanpa kerelaannya,” katanya.

Ketiga-kita wanita itu menafikan tuduhan merogol namun mengaku melakukan serangan tidak bermoral. Riamuhetsi berkata, pastor itu yang selalu datang ketika dia mandi, mendakwa ‘imannya’ sebagai lelaki alim, tidak tergugat dengan nafsu.

“Saya mahu membuktikan pastor juga ‘ada perasaan dan nafsu’ seperti orang lain. Saya mahu dia sedar dia bukannya istimewa, tidak terkecuali daripada godaan seksual. Dia terangsang dengan godaan. Itu saja yang saya mahu lihat,” katanya.

Sandra berkata, dia menganggap kejadian itu sebagai ‘gurauan’ manakala Mongiwe mendakwa hanya memberi kondom selepas diminta dua rakannya.

Pastor itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan bagi menyediakan laporan untuk mahkamah, manakala ketiga-ketiga wanita terbabit direman sehingga 7 Ogos menunggu perbicaraan penuh.

Trump Haram Mak Nyah Dalam Tentera



Tiada tempat untuk untuk mak nyah dalam tentera Amerika Syarikat (AS). Itu mesej tegas dan jelas Presiden Donald Trump melalui siri Tweet beliau pagi ini yang menolak golongan transgender berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara itu. 

“Selepas mendapat nasihat daripada jeneral-jeneral saya dan pakar ketenteraan, saya nyatakan bahawa kerajaan AS tidak akan menerima atau membenarkan mana-mana individu transgender berkhidmat dalam apa juga kapasiti dalam tentera AS.

“Tentera kami mesti fokus kepada kemenangan yang tegas dan luar biasa, kita tidak boleh dibebani dengan kos perubatan yang besar dan gangguan mak nyah dalam tentera,” katanya dalam Twitter peribadinya semalam.

Semasa tahun terakhir pemerintahan Barack Obama di bawah Setiausaha Pertahanan Ash Carter menetapkan polisi membenarkan golongan berkenaan berkhidmat secara terbuka dalam tentera sekaligus menamatkan pengharaman sebelumnya.

Bagaimanapun Carter memberi tempoh setahun bagi tentera melaksanakan dasar itu. Sementara itu Pentagon menyatakan bahawa pihak tentera akan bekerjasama rapat dengan White House dalam pelaksanaan sebarang dasar. “Tanya White House,” kata jurucakap Pentagon Kapten Jeff Davis.

TTS Kini Lebih Baik, Selamat



Taman-Taman Sabah (TTS) kini lebih baik dan selamat daripada sebelum ini memandangkan pelbagai aspek telah diteliti serta dinaik taraf. Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais berkata, walaupun Sabah dilanda bencana alam sebelum ini namun para pelancong yang datang ke negeri ini semakin meningkat. 

"Kini, TTS mampunyai seramai 48 penyelamat dan empat marshal, 28 daripadanya adalah terletak di Taman Tunku Abdul Rahman dan 12 di Pulau Manukan. Sejak 10 tahun lalu (2006 hingga 2016), sebanyak 1,234 insiden dicatatkan yang mana, 440 insiden melibatkan cedera ringan akibat tergelincir dari batu atau pasir di kawasan pantai dan gunung.

“Sebanyak 195 insiden adalah berkaitan kes lemas dan hampir lemas, melibatkan 185 insiden hampir lemas manakala 10 kes membabitkan lemas,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pewartaan Taman Tunku Abdul Rahman ke-43 dan Pusat Akuarium Marin, pada kelmarin.

Beliau berkata, kini cabaran TTS adalah berbeza daripada dahulu kerana sekarang ini pihaknya melihat keutamaan kepada keselamatan dan juga bagaimana menampung kesesakan pelancong. Katanya, pada tahun lalu, kedatangan pelancong di Taman Tunku Abdul Rahman melibatkan seramai 475,807 orang.

Seramai 309,738 (70 peratus) adalah pengunjung antarabangsa dan selebihnya adalah warga Malaysia. “Kita mencatatkan kenaikan kehadiran pelancongan hampir setengah juta setiap tahun di pulau-pulau di sini.

“Sehingga Jun 2017, Taman Tunku Abdul Rahman telah mencatatkan kehadiran seramai 285,545 orang yang mana, 68 peratus daripadanya adalah pelancong asing,” katanya. Selain itu katanya, TTS juga akan mengemas kini yuran konservasi yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2018.

Jamili berkata, yuran konservasi untuk pelancong tempatan akan dinaikkan dari RM3 seorang kepada RM5, manakala yuran bagi pengunjung asing dinaikkan dari RM10 kepada RM20 seorang. “Yuran dinaikkan berdasarkan keadaan semasa di negara jiran serta taman-taman dalam negara yang turut menaikkan kadar itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman Anthony Tinggi berkata Pusat Akuarium Marin adalah satu produk nilai tambah kepada pusat pelancongan di sini. Katanya, ia akan menjadi daya tarikan kepada pelajar dan para pelancong untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai spesies ikan jerung serta hidupan laut lain.

“Ia juga sebagai salah satu cara bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pentingnya menjaga kehidupan marin,” katanya.

Wartawan Cedera Kenderaan Masuk Gaung



TIGA wartawan dari tiga akhbar tempatan cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 10, Kem Samling, Ulu Baram, 12.30 tengah hari, semalam.

Liong Chai Ling dari Utusan Sarawak, Lee Cheng Choi dari Kumpulan See Hua dan Ivy Ching dari Sing Chew Daily masing-masing cedera di beberapa anggota badan manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak, Andy Jong Wan Choon dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiga wartawan terbabit bersama dua lagi wartawan dalam perjalanan dari Miri bagi membuat liputan Pesta Nukenan di Bario. "Tiga wartawan menaiki sebuah kenderaan manakala dua lagi menaiki kenderaan berlainan. Katanya, semua yang cedera dibawa dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Sundal 'Aparteid'



Tawaran pelacur hanya dibuka kepada pelanggan berbangsa tertentu bagi mengelak kegiatan maksiat mudah dihidu pihak berkuasa. Itu antara taktik sindiket pelacuran yang dikesan aktif mengiklankan pelacur China dan Vietnam melalui aplikasi WeChat dan laman sosial Facebook. 

Hasil risikan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya dengan diketuai Timbalan Penolong Pengarah JIM Putrajaya Mohd Yuzaiman Ahmad mendapati sindiket pelacuran beroperasi di sekitar Petaling Jaya itu hanya menjadikan pelanggan lelaki berbangsa cina sebagai kumpulan sasaran.

Menurutnya, penggunaan bahasa kantonis menyebabkan pelanggan berbangsa Melayu dan India sukar membuat tempahan akibat kekangan bahasa. “Siasatan turut mengesan beberapa hotel bajet di sekitar Dataran Sunway Mentari, Petaling Jaya dijadikan markas operasi sindiket pelacuran itu. 

“Bertindak atas maklumat risikan dan penyamaran, dua hotel bajet di kawasan berkenaan diserbu dan seramai enam wanita China yang menawarkan perkhidmatan seks dicekup bermula jam 9.30 malam kelmarin,” katanya.

Turut ditahan dua lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan yang bekerja di hotel berkenaan selain membantu urusan sindiket itu.

Pemeriksaan media dalam laman web itu mendapati, setiap wanita itu boleh dilanggan pada harga RM200 hingga RM300 malah ramai yang ditempatkan berdekatan kolej swasta bertujuan menarik pelanggan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Petaling Jaya. 

Kebanyakan wanita itu dirakam gambarnya dalam aksi menggiurkan sebelum dimuat naik dalam Wechat, Facebook dan laman web sindiket itu.

Susulan operasi di dua hotel bajet itu, pasukan yang sama menyerbu sebuah unit kondominium yang dijadikan pusat khidmat seks di Ara Damansara di sini, sebelum menahan tiga wanita Thailand yang sedang menunggu pelanggan yang sudah ditempah melalui aplikasi WeChat.

Ketika diserbu, dua wanita itu yang mendakwa menawarkan perkhidmatan urutan batin menanti pelanggan dengan hanya bertuala mandi di atas bilik masing-masing di unit kondominium itu.

Wanita warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Maradona Akui Gol 'Tangan Tuhan' Sepatutnya Tak Sah



Pemain legenda Argentina, Diego Maradona menerima hakikat gol terkenalnya ‘Tangan Tuhan’ sepatutnya tidak disahkan jika menggunakan teknologi video, ketika beliau menyokong penggunaan video pembantu pengadil (VAR). 

Maradona menggunakan tangannya ketika Argentina menang 2-1 pada suku akhir menentang England pada kempen kejuaraan Piala Dunia 1986 dan turut mengakui satu lagi insiden memegang bola yang penting pada kejohanan 1990.

“Saya memikirkan mengenainya bila mana saya memberikan sokongan terhadap penggunaan teknologi,” katanya.

“Saya fikirkan mengenainya dan pasti gol itu tidak mungkin dibenarkan jika teknologi ada ketika itu. Saya juga beri tahu anda satu perkara: pada Piala Dunia 1990 saya menggunakan tangan saya untuk menolak bola dari garisan gol menentang Soviet Union.

“Kami bernasib baik kerana pengadil tidak melihatnya. Anda tidak boleh menggunakan teknologi ketika itu, namun kini ia sesuatu yang berbeza.”

Teknologi garisan gol kini meluas digunakan di seluruh dunia manakala VAR digunakan buat julung kali pada peringkat senior antarabangsa ketika Piala Konfederasi di Russia bulan lalu. Sistem itu berjaya dari beberapa segi dengan kebanyakannya mengenal pasti kesilapan namun pengkritik mendakwa ia mengambil masa lama dan membingungkan penyokong.

Kemungkinan Ada Sekuel




Penggemar filem thriller dan risikan pasti menggemari kisah Atomic Blonde yang diadaptasi daripada siri novel grafik British, The Coldest City. Filem arahan David Leitch ini mengisahkan ejen perisik MI6 kedudukan tinggi, Lorraine Broughton lakonan Charlize Theron ditugaskan ke Berlin, Jerman untuk menumpaskan sekumpulan pengintip. 

Mula ditayangkan hari ini, Charlize pada tayangan perdana di Los Angeles, Amerika Syarika baru-baru ini berkata ada kemungkinan produksi mengeluarkan sekuel Atomic Blonde. “Sudah ada perbincangan menghasilkan sekuel atau prekuel. Apa yang saya suka mengenai karakter Lorraine adalah dia penuh dengan teka-teki.

“Jadi, ini membolehkan kami meneruskan kisahnya dan mengembangkan karakternya,” kata beliau yang juga produser Atomic Blonde. Menurut pelakon jelita itu, dia berpuas hati dengan hasil filem ini yang dicipta berdasarkan ideanya pada 2013.

“Jarang apabila anda cuba menghasilkan sesuatu dan apa yang dirancangkan empat tahun lalu menjadi kenyataan. Saya sangat bangga dengan filem ini,” katanya.

Pada majlis itu, Theron turut memberitahu dia berpuas hati apabila Atomic Blonde diangkat sebagai simbol wanita hebat dalam filem aksi seperti Wonder Woman. “Ini menunjukkan wanita mampu menguasai karya aksi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Theron mendedahkan dua giginya retak ketika menjalani penggambaran Atomic Blonde dan terpaksa menjalani pembedahan. “Kejadian itu berlaku pada bulan pertama saya menjalani latihan. Saya mengalami sakit gigi yang terlampau dan tidak pernah merasai kesakitan seperti itu seumur hidup.

“Pada mulanya, saya ingat gigi berlubang namun doktor memberitahu perlu menjalani pembedahan untuk mencabut satu gigi,” katanya.

Ujar Theron, situasi itu sangat mencabar kerana dia perlu memastikan tahap fizikalnya berada dalam keadaan terbaik sebelum penggambaran bermula. “Saya juga perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk memasang skru.

Selain itu, lutut dan tulang rusuk saya juga cedera,” katanya. Turut membintangi filem ini ialah James McAvoy, John Goodman, Til Schweiger, Eddie Marsan, Sofia Boutella dan Toby Jones. 

Berlatarbelakangkan 1989, Atomic Blonde mengisahkan Lorraine Broughton ditugaskan ke Berlin untuk menumpaskan sekumpulan pengintip yang membunuh seorang ejen perisik tanpa sebab. 

Broughton diarahkan bekerjasama dengan ketua Balai Polis Berlin, David Percival namun mereka tidak sehaluan dan mula menunjukkan skil masing-masing untuk mencari dalang yang menggugat keseluruhan operasi risikan di Barat.

Prestasi Supercar



UMW Toyota Motor Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Lexus Malaysia melancarkan model serba baru Lexus LC 500 dalam segmen coupe mewah untuk pasaran tempatan. Presidennya Ravindran Kurusamy berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual 10 unit tahun ini untuk model yang mendapat perhatian dunia kerana reka bentuk dan teknologi memberikan ia prestasi sebuah supercar. 

“Ia kali pertama dipertontonkan di Amerika Syarikat pada awal tahun ini dan untuk pasaran Jepun, ia sudah melepasi sasaran jualan 600 unit dengan melonjak sebanyak tiga kali ganda sejak dilancarkan Mac lalu,” katanya pada pelancarannya, di sini, semalam.

Model LC 500 dikuasakan dengan enjin 5.0 liter V8 petrol menjana kuasa sehingga 470 PS dan tork 540 Nm dengan transmisi automatik 10 kelajuan Direct Shift. Ia dibangunkan di atas platform GA-L (Global Architecture-Luxury) menjadi asas kepada sedan LS model generasi terbaharu dengan pendekatan enjin di hadapan dan pacuan roda belakang.

Beliau berkata, model LC melengkapkan barisan kenderaan jenama itu yang ditawarkan di Malaysia berjumlah sembilan model semuanya untuk pilihan pembeli.

Model itu dijual pada harga bermula dari RM940,000 dan LC 500 ditawarkan dalam 11 pilihan warna dengan tiga opsyen warna dalaman termasuk lima tahun jaminan tanpa had perbatuan serta lima tahun pertama atau 100,000 kilometer servis berjadual disediakan secara percuma.

Khidmat selepas jualan lengkap juga disediakan di tujuh pusat servis yang terletak di Mutiara Damansara dan Sungai Besi untuk Lembah Klang selain Ipoh, Melaka, Pulau Pinang dan Kuching.