Wednesday, 30 August 2017

Akhirnya Rakyat Malaysia Menemui Titik Penyatuan




Terlebih dahulu, tahniah diucapkan keada pasukan bola sepak bawah 23 kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA KL 2017 diatas kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir bagi merebut pingat emas. Kejayaan mereka ini sedikit sebanyak telah membuka mata para pengkritik sukan tanahair yang seringkali melemparkan andaian bahawa sukan bola sepak negara kekurangan pelapis yang boleh diharap.

Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu di ulas lagi tentang kejayaan mereka. Walaupun tewas dengan cara yang agak kejam, namun apa yang disajikan oleh para pemain di atas padang sudah cukup menceritakan bahawa sukan bola sepak ini masih mampu menarik sokongan rakyat Malaysia dan paling utama, ianya berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Lihat sahaja pasukan kebanggaan negara ini. Walaupun tiada wakil dari kaum Cina bermain dalam kesebelasan utama namun jangan dilupa peranan besar Ketua Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee yang mampu membentuk anak-anak muda ini bermain dalam satu pasukan.

Dengan dibarisi oleh majoriti dari anak Melayu, nama N Thanabalan begitu pantas meniti di bibir peminat bola sepak negara. Dengan 4 gol yang dijaringkannya, beliau pantas dijulang sebagai hero Malaysia dalam persaingan kali ini. Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh Kumahran dalam pasukan kali ini.

Selain diatas padang, aksi mereka juga mampu merapatkan semula hubungan antara kaum di Malaysia. Pada aksi semalam, lebih 60 ribu orang penyokong bola sepak negara memenuhi setiap ruang yang ada di Stadium Shah Alam. Daripada jumlah itu, kesemua kaum, bangsa dan etnik turut sama memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

Itu belum lagi menceritakan bagaimana aksi semua sukan yang dipertandingkan di seluruh venue kejohanan juga turut disaksikan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tanpa sedikit pun memperdulikan apa jua idealogi politik. Bukankah ini sesuatu yang cukup manis dan paling bernilai yang harus kita akui sepanjang berlangsungnya Sukan SEA KL 2017 kali ini?

Disebalik pelbagai cara jahat yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini, Sukan SEA KL 2017 telah membuktikan bahawa masa hadapan Malaysia dengan dihuni oleh pelbagai kaum, masih lagi terpelihara.

Sukan telah merapatkan semula hubungan antara kaum dan diharapkan, usai sahaja Sukan SEA KL 2017, pelukan, jeritan dan sokongan padu yang dizahirkan oleh pelbagai kaum yang menyaksikan temasya kali ini, dapat diteruskan sehingga bila-bila. Tidak guna kita bercakaran kerana sukan telah membuktikan kita masih lagi menyayangi keamanan dan perpaduan yang sudah terbentuk di negara ini sejak sekian lama.

Parah Diserang Buaya



Seorang lelaki parah selepas diserang buaya ketika menangkap ikan di perairan Pulau Banggi, Kudat, malam tadi. Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa Nursahim Nusiri, 40, mengalami pendarahan teruk selepas paru-paru kanannya tertusuk tulang rusuk yang patah. 

Ketika diserang, mangsa melepaskan diri sebelum menjerit meminta bantuan dan jeritannya didengar oleh kanak-kanak yang bermain di darat. Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Karakit untuk mendapatkan rawatan awal dan hasil pemeriksaan mangsa mengalami kecederaan parah.

Mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut menerusi bantuan kecemasan daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, sebaik menerima laporan itu pihaknya mengarahkan bot Pengawal 44 ke lokasi untuk memberi bantuan.

"Bot tiba di jeti Karakit Pulau Banggi kira-kira 1 pagi dan pesakit dipindahkan ke bot sebelum tiba di Jeti Marina Kudat pada 2.45 pagi. Pihak Hospital Kudat sudah dimaklumkan dan menghantar sebuah ambulans ke jeti untuk memberi bantuan awal kepada pesakit itu sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Tujuh Penduduk Dipindahkan Akibat Banjir



Hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan tujuh penduduk di Kampung Masjid Baru Merapok di sini terpaksa dipindahkan ke Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapok akibat rumah mereka dinaiki banjir pada pukul 12 .27 tengah malam tadi. 

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, seramai tujuh penduduk daripada dua keluarga itu dipindahkan berikutan air banjir naik setinggi 0.3 meter. 

"Bagaimanapun, setakat ini keadaan masih terkawal dan hujan mula berhenti. Namun, bomba sedang meningkatkan kawalan bagi memantau keadaan memandangkan cuaca yang tidak menentu ketika ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengedar Syabu Simpan Bom Tangan



Kegiatan haram seorang penternak ikan dan udang mengedar syabu serta heroin di Sungai Bayor di sini sejak empat bulan lalu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di Kampung Belukar Hantu di sini Jumaat lalu. 

Dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, suspek lelaki berusia 48 tahun tersebut diberkas setelah polis melakukan risikan terhadap aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menjumpai satu peket dadah jenis syabu seberat 55 gram bernilai RM6,000 dan sebutir bom tangan jenis M35 bersama peledak yang diletakkan di dalam beg sandang miliknya.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan empat peket dadah jenis heroin dengan jumlah berat 200 gram bernilai RM16,000 di sebuah pondok berhampiran kolam ternakan ikan dan udang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di IPD Selama di sini semalam.

Budak Terperangkap Dalam Mesin Basuh



Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun terperangkap di dalam sebuah mesin basuh ketika bermain sorok-sorok dengan adiknya. Kanak-kanak itu mungkin menemui tempat paling sesuai untuk menyorok di dalam peralatan elektrik itu di rumahnya di sini. 

Bagaimanapun, apabila menyedari dirinya terperangkap di dalam mesin basuh itu, budak itu menjerit meminta tolong. Ibu bapa budak itu yang panik segera menghubungi bomba selepas usaha mereka untuk mengeluarkan mangsa juga gagal.

Empat anggota bomba yang tiba beberapa minit kemudian, melumur kanak-kanak itu dengan minyak bunga matahari dan cara itu berjaya apabila mangsa berjaya keluar dengan sendiri.

Sementara itu, pada hari yang sama polis menyelamatkan seorang budak lelaki berusia empat tahun yang hilang selama 10 jam sebelum ditemui terperangkap di celah dua blok konkrit ketika bermain sorok-sorok.

Ibu bapa kanak-kanak itu menghubungi polis selepas mangsa hilang dari rumah mereka di kampung Novorudniy di Orenburg, Russia. Operasi besar-besaran dan dibantu anjing pengesan selama 10 jam akhirnya menemui kanak-kanak itu terperangkap di celah dua blok konkrit di kawasan rumahnya. 

Polis berkata, kanak-kanak itu tidak menjerit meminta tolong kerana terlalu letih. Bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan serius.

‘Sumpahan Penjaga Gol Berulang’



‘SKRIP’ lama Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 bagaikan kembali berulang selepas skuad muda negara gagal memenangi ‘ibu emas’ setelah tewas 0-1 dalam aksi final acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam malam tadi. 

Kesilapan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli seakan mengulangi kesilapan gol sendiri Kamarulzaman Hassan ketika pasukan negara tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada edisi 2001.

Insiden berkenaan telah memberi impak kepada skuad negara, sekali gus gol tunggal perlawanan itu memberikan kejayaan buat pasukan Gajah Perang mempertahankan kejuaraan tersebut sejak 2013. 

Apa yang pasti, penantian selama 28 tahun penyokong-penyokong meraikan kejayaan bersama para pemain di laman sendiri kembali berterusan apabila kali terakhir pasukan kebangsaan memenangi pingat emas selaku tuan rumah Sukan SEA pada tahun 1989.

Dalam aksi itu, skuad negara mempamerkan persembahan agre­- sif dengan melancarkan percubaan tepat pertama menerusi Muhammad Jefri Muhammad Firdaus Chew seawal minit ke-12. Begitupun kapten Thailand, Chenrop Samphaodi turut me­nguji benteng pertahanan skuad negara tetapi percubaan penye­rang itu tidak menemui sasaran pada minit ke-16.

Kedua-dua pasukan saling me­ngasak, tetapi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dan Worrawoot Srimaka dilihat mempamerkan persembahan lebih berhati-hati dalam misi memburu gol pertama perlawanan.

Akhirnya, Thailand mendahului perlawanan hasil gol sendiri penjaga gol negara, Haziq yang tertumbuk bola ke gawang sendiri hasil sepakan sudut pemain pasukan lawan, Sasalak Haiprakhon pada ke-28. Bersambung pada separuh masa kedua, Thailand dilihat tampak selesa memberikan tekanan kepada kubu pertahanan pasukan negara selepas memiliki kelebihan satu jaringan.

Peluang terbaik pasukan Gajah Perang menggandakan kedudukan menerusi Worachit Kanitsribumphen tetapi percubaan tepat pemain tengah Thailand itu tidak menemui sasaran pada minit ke-51. Skuad negara kembali agresif untuk memburu gol penyamaan dengan melancarkan serangan bertali arus ke benteng pertahanan Thailand berbaki 10 minit terakhir.

Bagaimanapun, kejayaan akhir­nya sah menjadi milik Thailand apabila keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Thailand berjaya mempertahankan pingat emas tiga kali berturut-turut bermula edisi 2013 lalu.

Pertarungan 2 Jagoan Kung Fu



Filem ini ditulis berdasarkan kisah benar berlaku sekitar 1960-an membabitkan dua jagoan kung fu iaitu Bruce Lee dan Wong Jack Man. Birth of the Dragon bermula dengan persekitaran kehidupan Bruce Lee (lakonan Philip Ng) ketika muda yang bekerja keras sebagai jurulatih kung fu. Dia juga ingin mengharumkan namanya melalui pengaruh kung fu dan sebagai bintang filem. 

Mahaguru Shaolin, Wong Jack Man (Yu Xia) pula tiba di Amerika Syarikat (AS) untuk bekerja di restoran. Ia sebagai satu hukuman untuknya kembali mencari rasional diri dan memupuk sikap rendah diri selepas hampir membunuh mahaguru tai chi dalam satu demonstrasi kung fu di China. 

Prinsip atau pegangan dalam kung fu, seseorang tidak boleh berasa riyak dengan kehebatan diri mereka dan hanya bertindak apabila berdepan musuh. Jadi, demonstrasi tidak boleh dianggap sebagai pertarungan sebenar. Lee pula menyangkakan kedatangan Wong itu untuk menghentikan usaha dan pengaruh kung fu yang dibawanya di AS.

Lee tidak mahu perkara itu terjadi kerana usaha menjadikan kung fu sebagai seni bela diri yang popular di AS bukanlah mudah. Dia perlu bertarung dengan ketua samseng di Chinatown untuk membebaskan diri daripada membayar wang perlindungan sekali gus meneruskan perniagaannya. 

Lee menggunakan anak muridnya bernama Steve McKee (Billy Magnussen) yang mengagumi kehebatan Wong untuk mengundang mahaguru kung fu itu bertarung dengannya. Pada mulanya Wong enggan, tetapi percanggahan pendapat di antara mereka mengenai kung fu membuatkan kedua-duanya berseteru.

Lee yang mengajar seni kung fu terhadap warga AS dicemuh Wong yang berpendapat kung fu hanya untuk keturunan China saja. Perbezaan pendapat itu semakin meluas sehingga akhirnya mendesak Wong bertarung dengan Lee dalam pertandingan antara hidup dan mati.

Pertarungan sengit itu berlaku di sebuah panggung wayang di Chinatown, San Francisco pada 1964. Pertarungan berbayar itu menyaksikan pertempuran cukup sengit di antara Lee dan Wong. Walaupun Wong mempunyai peluang menang, namun mereka akhirnya berbalik kepada ajaran kung fu dan tiada siapa diumumkan menang dalam pertarungan itu.

Pertarungan itu menjadi pertikaian yang cukup kontroversi dalam sejarah seni kung fu sekali gus melahirkan dua legenda kung fu yang amat disegani. Lee dan Wong kemudian berganding bahu menyelamatkan gadis China yang diperdaya sindiket pelacuran.

Seorang mangsa, Xiulin (Jingjing Qu) adalah kekasih kepada Steve yang juga anak didik Lee dan Wong. Filem arahan George Nolfi ini turut dilakonkan Teresa Navarro, Vanessa Ross, Ron Yuan, Darren E Scott, Natalie Stephany Aguilar, King Lau, Yee Jee Tso, Christina July Kim, Steven Roberts, Felix Chu dan Jeff Mosley.

Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 September ini.

Popular Julung Kali Anjur Mega Bookfair



Kedai buku Popular Malaysia, buat julung kalinya akan menganjurkan Mega Bookfair di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC). Mula diperkenalkan di Pulau Pinang dan Johor pada 2007 dengan objektif utamanya untuk menyemai budaya membaca di kalangan warga Malaysia. 

Kini, kedai itu meluaskan lagi Mega Bookfair yang meliputi negeri Sabah, Sarawak, Melaka, Pahang dan terbaru di Selangor. Popular Mega Bookfair di SPCC berlangsung bermula 25 Ogos sehingga 3 September depan dengan keluasan ruang pameran 50,000 kaki persegi.

Orang ramai dijemput hadir kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang pameran berlangsung. Antaranya, tawaran diskaun hebat yang hanya boleh didapati di pameran ini, hari pemegang kad, ganjaran bagi Beli Dengan Pembelian (PWP) dan Sesi Perkongsian Personaliti Tempatan iaitu beramah-mesra dengan penulis dan penceramah motivasi terkenal.

Selain itu, ada pilihan buku pelbagai genre dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina, serta alat tulis jenama Popular, UrbanWrite dan jenama antarabangsa lain, cakera padat, produk multimedia, serta snek pada harga hebat.

Berjaya Dalam Dua Cabang Perniagaan



Daripada seorang pemandu lori, dia berusaha memperbaiki kehidupannya untuk menjadi lebih luar biasa, sekali gus membentuk kehidupan lebih selesa hasil usaha gigih sendiri. Anak kelahiran Segamat, Johor ini sememangnya tidak mudah berputus asa untuk membuktikan dia juga mampu mengecapi kejayaan sama seperti individu lain melalui perniagaan dijalankan. 

Menceritakan detik pembabitannya dalam dunia perniagaan, pemilik nama Mohd Fhairul Azizzy Ramli,32, berkata, dia menceburi bidang perniagaan atas dasar minat selain untuk mencabar dirinya mencuba sesuatu yang baru.

“Bukan senang untuk senang, untuk berada pada tahap kini, saya perlu melalui pelbagai suka duka dalam menerajui dua cabang perniagaan iaitu dalam bidang kesihatan dan kecantikan serta restoran. 
Namun, saya tetap bersyukur kerana apa yang diusahakan semakin menambahkan hasil namun ia tidak sesekali membolehkan saya mendabik dada dengan apa yang dikecapi kini,” katanya.

Mohd Fhairul Azizzy berkata, selain faktor minat, dia menceburi bidang perniagaan untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan individu lain terutama yang menjadi stokis, ejen dan kakitangannya. 

"Saya tidak mahu terlalu selesa dengan sekadar ‘makan gaji’ dan disebabkan itu saya cabar diri berkecimpung dalam bidang perniagaan ini. Ternyata keputusan saya tepat kerana bidang ini banyak mengajar erti sebenar sebuah kehidupan terutama dalam me–ngendalikan perniagaan dan suka duka yang perlu ditempuhi,” katanya.

Menurutnya, dia gemar berdepan dengan cabaran yang perlu dilalui hari demi hari dalam memastikan perniagaan diusahakan semakin berkembang maju.

Tuesday, 29 August 2017

Cukuplah Sebakul Durian



Kadangkala, harga bagi sebuah nyawa dianggap oleh mereka yang berkuasa begitu murah. Namun, masih ada juga pemimpin yang cukup menghargai nyawa setiap seorang rakyat yang mereka wakili. Inilah yang berlaku terhadap penduduk di Sungai Lembu, Permatang Pauh, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Umum sedia maklum bahawa penduduk di Sungai Lembu begitu terjejas dengan pencemaran yang dihasilkan oleh sebuah kilang haram di kawasan berkenaan. Dibina sejak 2009, menurut beberapa laporan, sekurang-kurangnya 8 orang telah menemui ajal akibat pencemaran yang dihasilkan oleh kilang berkenaan.

Bertindak dari aduan yang diterima, pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu kilang haram berkenaan sehingga membawa kepada penangkapan Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Setelah berlaku beberapa polemik yang sengaja dicetuskan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadap Boon Poh, akhirnya, kerajaan negeri hadir bersama-sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Sungai Lembu atas tujuan mahu menerangkan apa yang telah berlaku selama beberapa tahun kewujudan kilang berkenaan.

Seperti biasa, Wan Azizah dan Lim Guan ENg tetap menunding jari kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dengan menuduh, kewujudan kilang berkenaan dibina semasa pentadbiran Barisan Nasional. Namun hakikatnya, kewujudan kilang berkenaan dikesan pada tahun 2009, sebaik sahaja DAP menguasai negeri berkenaan.

Namun, paling mencuri tumpuan adalah bagaiman murahnya nyawa penduduk di Sungai Lembu pada kacamata Lim Guan Eng dan Ahli Parlimennya sendiri, Wan Azizah. Para hadirin yang hadir hanya dijamu dengan beberapa bakul durian sebagai tanda permohonan maaf kerajaan negeri dan Ahli Parlimennya kepada penduduk yang terjejas.

Nampaknya, nyawa penduduk di Sungai Lembu boleh dibeli dengan hanya sebakul durian oleh Guan Eng dan Wan Azizah. Tidakkah Guan Eng merasakan bahawa dia perlu memikul tanggungjawab penuh dengan membuat permohonan maaf atau setidak-tidaknya memastikan tidak ada lagi kewujudan kilang-kilang haram yang boleh mengancam kesihatan penduduk?

Paling melucukan, Wan Azizah hanya muncul di Parlimennya setelah memenangi kerusi ini kira-kira 3 tahun yang lalu. Itupun disebabkan oleh kewujudan kilang berkenaan yang telah menjadi tular sehingga mendapat kecaman ramai pihak. Mungkin, jika perkara ini tidak dibongkarkan, Wan Azizah hanya akan muncul pada hari berkempen pada PRU yang ke 14 kelak.

Inilah cara layanan yang diberi oleh pemimpin DAP dan Ahli Parlimen yang langsung tidak memikirkan tanggungjawabnya. Adalah amat malang sekali apabila harga sebuah nyawa hanya dibayar atau diibaratkan sama nilai dengan sebakul durian.

Ditahan Selepas Turun Dari Bot



LAPAN warga Filipina yang cuba memasuki negara dengan bot laju ditahan di jeti Kampung Padas, Batu 16, Sandakan, hari ini. Dalam kejadian 2.30 pagi itu, tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 13 tahun hingga 53 tahun ditahan oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM). 

Difahamkan, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan turut memiliki MyKad palsu yang ditemui dalam beg dibawanya.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, hasil risikan anggota PPM Sandakan bergegas ke lokasi itu sebelum terserempak bot laju dinaiki PATI berkenaan.

"Bot dilihat merapati jeti berkenaan lalu menurunkan penumpang. Apabila dihampiri, juragan bot memecut laju dan gagal dikesan. Bagaimanapun, lapan PATI terbabit berjaya ditahan di situ,” katanya.

Beliau berkata, semua PATI itu dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan. "Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Cari Usahawan Muda Berbakat Besar




Media Prima Berhad (MPB) menerusi Media Prima Labs yakin dapat memberi impak kepada rancangan ekonomi digital yang diperkenalkan kerajaan Sarawak. 

Pengurus Besar Kanan Media Prima Labs dan Operasi MPB Nicholas Sagau berkata, pihaknya berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan strategik dalam kempen #InnovateSarawak yang dibangunkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS).

Menurutnya, peluang diberikan TEGAS dan kerajaan Sarawak membuka peluang kepada MPB untuk turut merancakkan ekonomi negeri dengan pelbagai inisiatif dan pelan dalam pelbagai bidang. 

“Media Prima Labs menjadi sebahagian daripada rakan strategik TEGAS untuk mencari usahawan muda yang mampu menghasilkan produk berimpak tinggi selain memperkenalkan modul perniagaan baru mengikut trend terkini.

“Dengan kerjasama ini, pelbagai bidang dapat diterokai selain usaha mengenal pasti usahawan muda berbakat besar dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Hab Inovasi Digital TEGAS, di sini, semalam.

Pada majlis sama, MPB menerusi Media Prima Labs turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama TEGAS sebagai rakan strategik dalam kempen #InnovateSarawak. 

Selain Media Prima Labs, ada 10 lagi pihak menjadi rakan strategik dalam kempen berkenaan antaranya Sarawak Shell Berhad (SHELL), Universiti Teknologi Swinburne, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Nohphrofile Enterpise dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Selain itu, MoU turut ditandatangani Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (AUSTRADE), IME Groups of Companies, Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS), SME Corporation Malaysia dan I Cube Innovation Sdn Bhd.

Pertukaran MoU disaksikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri Datuk Len Talif Salleh yang juga Pengerusi TEGAS.

Deejay Kelab Mabuk Ketika Memandu Didenda Lagi



Seorang deejay kelab malam yang pernah dijatuhi hukuman denda RM1,800 atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dua bulan lalu, sekali lagi didenda RM2,500 atas kesalahan sama oleh Mahkamah Majistret di sini semalam. 

Majistret Maizatul Munirah Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ooi Kok Wei(gambar), 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Kok Wei membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta BMW di bawah pengaruh alkohol semasa melalui Jalan Hang Tuah di sini pada pukul 4.20 pagi, 27 Ogos lalu.

Peluru Berpandu Korea Utara Lepasi Jepun



KOREA UTARA membedil peluru berpandu melepasi kepulauan Jepun sebelum jatuh di Lautan Pasifik di Hokkaido, lapor agensi berita China Xinhua. 

Peluru berpandu itu dilancarkan pada 5.58 pagi waktu tempatan dari pantai barat Korea Utara ke arah arah timur laut, dan melepasi pulau Cape Erimo, Hokkaido 6.06 pagi, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga.

Beliau berkata, peluru berpandu itu terbang kira-kira 2,700 kilometer dengan ketinggian 550 kilometer. Terdapat kemungkinan peluru berpandu berkenaan pecah kepada tiga bahagian dan kerajaan Jepun sedang menganalisis perkara itu, katanya.

Tindakan itu menurutnya "tidak pernah berlaku sebelum ini dan menimbulkan ancaman keselamatan serius" kepada Jepun dan negaranya akan bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan untuk menangani isu berkenaan.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata, beliau menentang keras pelancaran peluru berpandu dan menyifatkan ia boleh mewujudkan satu ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau.

Tambahnya, Jepun mahu satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan dan menyeru masyarakat antarabangsa bekerjasama untuk mengenakan lebih banyak tekanan ke atas Korea Utara.

Menteri Luar Jepun Taro Kono berkata, di tengah ketegangan antara AS dan Korea Utara, negara itu sebaliknya melancarkan peluru berpandu ke arah Hokkaido dan bukannya Guam.

Beliau berkata, peluru berpandu melintasi Jepun tanpa sebarang notis awal dan boleh mengancam keselamatan pesawat dan kapal. Berikutan itu, Jepun mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara melibatkan menteri berkaitan.

Azizulhasni Raih Emas Ke-111 Buat Malaysia


JUARA keirin dunia, Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah untuk menuai emas bagi acara pecut individu lelaki di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan. 

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan jaguh pecut kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya menyelesaikan misi negara untuk meraih 111 pingat emas secara keseluruhan pada aksi terakhir malam tadi.

Selain emas, kontinjen negara turut membolot pingat perak menerusi Mohd. Shah Firdaus Sahrom selepas kedua-duanya berentap pada aksi final berkenaan. Terdahulu ketika aksi separuh akhir kedua, para penyokong bersorak menggegarkan velodrom sebaik kelibat Azizulhasni muncul untuk bersaing, namun tiba-tiba senyap apabila jaguh keirin tersebut tergelincir ekoran permukaan trek yang licin. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku ke atas jaguh berusia 29 tahun itu sekali gus mengungguli saingan separuh akhir di tempat pertama dengan meninggalkan jauh pencabar dari Indonesia, Puguh Admadi.

“Alhamdulillah, saya berjaya meraih emas. Ini adalah emas kedua saya pada Sukan SEA selepas kali terakhir memenanginya pada 2007 di Korat, Thailand. Saya rasa sangat terharu kerana dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri. Malah ahli keluarga saya turut datang melihat aksi saya secara langsung.

“Bila mendapat tahu saya adalah pemenang emas ke-111 untuk negara, saya berasa sangat teruja dan ia kenangan paling bermakna tambahan pula ini merupakan Sukan SEA terakhir untuk saya,” kata Azizulhasni.

Sebagai rekod, penguasaan Malaysia pada acara tersebut terlebih dahulu dipamerkan oleh Olimpian negara, Fatehah Mustapa yang sah bergelar juara selepas mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Farina Shawati Mohd. Adnan.

Nasib berbeza pula berlaku kepada acara omnium lelaki selepas wakil negara, Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua. Pelumba berusia 24 tahun itu mencatatkan mata keseluruhan sebanyak 136 menerusi penampilan dalam empat acara berbeza bermula pada tengah hari.

Acara trek yang berlangsung semalam menyaksikan kem negara berjaya membolot tiga emas dan empat perak menerusi empat acara yang dipertandingkan.

Dayang Nurfaizah Ikon Pembina Jenama



PENYANYI popular Dayang Nurfaizah menerima anugerah The BrandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership berikutan pencapaiannya dalam industri muzik tempatan di majlis The BrandLaureate Brand ICON Leadership Awards 2017, malam tadi. 

Penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta itu menerima anugerah itu di majlis anjuran Asia Pacific Brands Foundation (APBF) berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Turut menerima anugerah sama ialah beberapa ikon tanah air antaranya penerbit album dan komposer, Datuk Wah Idris; pemain biola, Dr Joanne Yoeh; pemenang pingat emas 100 meter Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan; atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong dan pemain bowling negara, Shalin Zulkifli.

Dayang ketika ditemui menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghargaan atas kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan kebelakangan ini. "Sebagai penggiat seni sudah tentu saya bangga dengan anugerah yang diberikan, bersama dengan ikon dalam bidang-bidang lain.

"Penganjur melihat penggiat seni seperti saya juga mampu menyumbang dalam membina jenama sesuai tema majlis tahun ini Ikon-Signifikan Kehidupan," katanya.

Menurut Dayang, mereka yang menerima anugerah berprestij itu dinilai menerusi inovatif ditampilkan dalam meletakkan kerjaya ke tahap tertinggi dan membina jenama. "Penganjur menyatakan mereka yang menerima anugerah dalam setiap kategori dianggap ikon kerana memiliki kekuatan dan berani untuk melangkah jauh," katanya.

Sasar Lahir 2,000 Usahawan



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 2,000 usahawan berjaya menerusi program Coca-Colaku (Komuniti Usahawan) Via KPDNKK. 

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sasaran itu adalah 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta program seramai 20,000 orang. Menurutnya, program dengan kerjasama syarikat jenama minuman terkenal Coca-Cola yang dilancarkan pada April lalu mendapat penyertaan daripada penuntut institusi pengajian tinggi dan usahawan wanita.

“Program latihan Coca-Colaku meliputi bagaimana untuk memulakan perniagaan, menyimpan rekod perniagaan harian, menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, menguruskan aliran tunai dan kredit serta kualiti dan perkhidmatan.

“Terdapat juga modul mengenai bagaimana memahami perniagaan sendiri, memasarkan produk, membangunkan bajet, melakar pelan perniagaan, menguruskan inventori dan mengembangkan perniagaan,” katanya selepas melawat loji pengeluaran Coca-Cola di Bandar Enstek, di sini, semalam. 

Turut hadir, Timbalannya Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group Singapore- Malaysia- Brunei, Gareth McGeown. Hamzah berkata, sebahagian besar peserta program berkenaan adalah pelajar dari 14 universiti awam bertujuan untuk mendidik mereka mengenai bidang keusahawanan dan menjadikan mereka sebagai usahawan berjaya kelak. 

Beliau berkata, setakat ini, program itu dilaksanakan untuk penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Politeknik Shah Alam.

Sementara itu, Gareth berkata, restoran makanan segera Marrybrown dan syarikat perkhidmatan e-hailing, Uber Malaysia (Uber) turut menjadi rakan kongsi mereka dalam program itu untuk berkongsi pengalaman perniagaan.

Katanya, Uber adalah peneraju perkhidmatan pengangkutan yang sekelip mata dikenali seluruh dunia berkongsi kejayaan manakala Marrybrown berkongsi kisah dan inspirasi menjadi restoran penyediaan makanan segera tempatan.

Gangguan Seksual Ancam Kesejahteraan




Kes yang melibatkan gangguan seksual bukan lagi satu perkara asing dalam masyarakat kita. Biarpun pelbagai hukuman telah dikenakan ke atas pelaku jenayah seksual, segelintir masyarakat tidak menganggapnya sebagai suatu bentuk pengajaran. 

Bahkan, jenayah berbentuk seksual itu bagaikan tidak berkesudahan. Baru-baru ini, seorang pembancuh air dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor atas lima pertuduhan menghantar gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita kira-kira tiga tahun lalu.

Nadzri Md. Noh, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun. Lelaki yang berasal dari Pontian itu didakwa memuat naik dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menggunakan WhatsApp kepada pengadu.

Nadzri berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman, jenayah seksual kebanyakannya berlaku disebabkan oleh pengaruh negatif yang dibawa budaya Barat serta media massa.

Katanya, pengaruh yang menyuntik sentimen fikiran terbuka itu turut mendorong golongan remaja hari ini untuk memandang gejala negatif seperti hubungan seks bebas sebagai suatu perkara yang dibenarkan. Ditambah pula dengan masalah kurang didikan dan penghayatan agama, ia menjadikan masyarakat lebih mudah dipengaruhi oleh anasir liar seperti itu.

“Kita boleh lihat, kebanyakan saluran televisyen mahupun internet yang menawarkan pelbagai bentuk hiburan dengan selitan unsur seksual yang mengghairahkan. Situasi ini menyebabkan para remaja masa kini tanpa rasa takut melakukan aktiviti sosial seperti seks bebas kerana mereka menganggap ia perbuatan yang tidak salah.

Impak negatif

“Ia turut mendorong golongan itu untuk menuruti desakan nafsu, sekali gus memberikan impak negatif yang sangat besar terhadap diri, keluarga, masyarakat mahupun negara,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Justeru, beliau berpendapat, media massa memainkan peranan yang sangat penting untuk menghalang penyebaran ideologi negatif itu kerana ia sedikit sebanyak mempunyai kuasa dalam mempengaruhi khalayak. Bahkan, media massa seharusnya lebih memberi penekanan terhadap program-program berbentuk keagamaan berbanding hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.

Ia sedikit sebanyak dapat mengukuhkan penghayatan agama dalam diri masyarakat, sekali gus menjadi medium dakwah berkesan dalam menyedarkan golongan itu.

Tambahnya, biarpun teknologi yang semakin membangun kini memudahkan kebanyakan urusan dalam kehidupan seharian, ia sedikit sebanyak turut menyumbang kepada penyebaran ideologi seksual yang tidak sihat sekiranya digunakan secara salah.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar berkata, jenayah seksual seperti penyebaran gambar lucah di media sosial semakin rancak berlaku kerana masyarakat tidak menganggap ia sebagai satu jenayah yang berat. “Kebanyakan mangsa lebih memilih untuk memendam sendiri masalah itu kerana mereka berasa malu.

“Sekiranya menerima sebarang gambar sedemikian, anda perlu bertindak segera dengan melaporkan terus kepada pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

“Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa pada kemudian hari, jangan sewenang-wenangnya memberikan gambar peribadi anda kepada orang awam kerana ia membuka ruang untuk pelbagai aktiviti jenayah,” tegasnya.

Proaktif

Tambahnya, gejala sosial yang negatif dalam kalangan remaja boleh dikekang menerusi pendidikan proaktif sejak dari rumah lagi. Ini kerana keluarga merupakan institusi yang seharusnya memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak-anak dan membentuk keperibadian mereka dengan pendidikan yang lengkap.

“Kandungan berunsur seksual atau mengghairahkan kelihatan sukar untuk diperoleh suatu masa dahulu. Namun, keadaan semakin membarah dengan penggunaan gajet-gajet dan internet tanpa sempadan yang menawarkan capaian akses di hujung jari, sekali gus memudahkan golongan muda memperoleh kandungan lucah.

“Ibu bapa boleh memainkan peranan mereka dengan menjadi individu yang memantau setiap pergerakan anak-anak dan menutup ruang mereka untuk mendapatkan sumber pornografi,” jelasnya. 

Meor Roslan mengakui sukar untuk memantau perkembangan anak-anak setiap masa, namun beliau mencadangkan supaya mengaktifkan sistem pengehad umur sewaktu anak-anak melayari internet. Ia berupaya untuk menghalang sebarang kandungan berunsur seksual dan keganasan yang berlebihan.

Monday, 28 August 2017

Pakatan Harapan Pakatan Yang Tidak Mempunyai Masa Depan





Membicarakan tentang politik dan pentadbiran negara, ianya bukan satu perkara yang boleh dipermainkan. Ini kerana, setiap satu tindakan dan gerakan oleh mana-mana ahli politik mahupun parti akan sentiasa diperhati dan dilihat oleh rakyat dan mereka akan menilainya semula pada setiap kali pilihan raya umum di adakan.

Sehingga hari ini, Barisan Nasional yang secara terasnya diterajui oleh UMNO, MCA dan MIC, masih mampu dan relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat. Sejak 1955 lagi, apa sahaja janji yang diberikan oleh Barisan Nasional (pada masa itu Perikatan) sentiasa ditunaikan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir.

Sejak penubuhan Barisan Nasional pada 1973, UMNO, MCA dan MIC menjalinkan kerjasama erat antara 3 parti teras ini bagi mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Bukan mudah untuk mentadbir sebuah negara yang dihuni dengan kepelbagaian kaum, etnik, agama dan bangsa ini. Namun hasil daripada kesepakatan antara tiga parti inilah yang menjadi resepi kejayaan negara.

Hari ini, cabaran yang menanti jauh lebih kompleks dari apa yang berlaku satu ketika dahulu. Jika dahulu, Barisan Nasional tidak mempunyai masalah untuk memenangi satu-satu pilihan raya, hari ini, dengan kebangkitan cara politik kotor, kebencian dan ekstrim, pemikiran rakyat mula diracuni dengan pelbagai hasutan, fitnah dan pembohongan yang kerap kali dilemparkan oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Lihat sahaja bagaimana DAP dan Pakatan Harapan terutamanya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menumpukan serangan mereka keatas MCA setelah mereka gagal untuk mengucar kacirkan UMNO. Pelbagai tohmahan dan dakyah dilemparkan sehingga ada dikalangan rakyat mempercayai cerita karut mereka ini.

Mungkin mereka beranggapan bahawa MCA adalah sebuah parti yang lemah berikutan keputusan yang tidak memberansangkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu. Oleh yang demikian, mereka merasakan, dengan menyerang MCA, undi kaum Cina akan beralih kepada DAP dan seterusnya membolehkan Pakatan Harapan merebut lebih kurang 4 juta undi dari kaum Cina.

Hakikatnya, walaupun MCA dilihat tidak begitu aktif di mana-mana media, gerak kerja parti ini sudah mula berjalan sejak lebih setahun yang lalu di mana jentera parti ini mendekati para pengundi dengan menawarkan pelbagai khidmat masyarakat dan menerangkan pelbagai isu nasional yang cuba dimainkan oleh pembangkang.

MCA sedar, mereka tidak boleh lagi mengulangi pencapaian yang mengecewakan seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu. Oleh yang demikian, hanya dengan gerak kerja mendekati pengundi sahajalah diyakini mampu merubah tanggapan rakyat terutamanya kaum Cina supaya kembali kepada Barisan Nasional.

Seperti yang diketahui umum, MCA berhajat untuk bertanding di 20 buah kerusi Parlimen dimana semua kata putus akan diputuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Justeru, sebelum gendang "perang" di mainkan, MCA memulakan kerja mereka tanpa mempedulikan apa jua keputusan Datuk Seri Mohd Najib kelak. 

Inilah komitmen yang ingin disaksikan bagi memastikan Barisan Nasional mampu menggenggam erat kuasa yang diwarisi sejak 1955. Tidak seperti Pakatan Harapan, mereka hanya tahu menabur janji kosong, memainkan pelbagai isu sentimen keagamaan dan bangsa tanpa sedikit pun memperdulikan permasalahan rakyat.

APMM Tahan 9 Kru Bot Nelayan



Tindakan sembilan kru bot nelayan termasuk tekong warga Vietnam yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut gagal apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kudat di 36 batu nautika, barat daya dari Pulau Kalutan di sini kelmarin. 

Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 10.45 pagi itu, pasukan ronda APMM berjaya mengesan bot terbabit yang dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, selain menceroboh perairan negara, hasil pemeriksaan juga mendapati tekong dan awak-awak warganegara Vietnam itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pegawai Polis Cedera Dirempuh




Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superinten­dan (ASP) cedera selepas dirempuh samseng jalanan di Bulatan Kampung Gersik, Petrajaya di sini awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pegawai tersebut, Mohd. Fauzi Mohammat bersama anggota lain sedang menjalankan operasi samseng jalanan di lokasi berkenaan.

“Ketika sedang bertugas, seorang penunggang motosikal tiba-tiba memecut laju dan merempuh pegawai tersebut.

“Akibat kejadian, Mohd. Fauzi cedera di kedua-dua kaki sementara kepalanya pula terhentak di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nenek Disamun Lelaki Bertopeng



Seorang wanita warga emas dan dua cucu perempuannya mengharungi detik cemas hampir dua jam apabila kereta dinaiki dilarikan lelaki bertopeng dan bersarung tangan sebelum disamun dalam kejadian di Batu Jong di sini kelmarin. 

Sebelum kejadian pada pukul 10.40 malam, Fatimah Husin, 63, suaminya, Awang Abu Bakar, 60, anak perempuan pasangan itu, Norbaiti Nadia Awang, 23, serta dua cucu mereka iaitu Nor Amara Darisya Mohd. Nizam, 2, dan Nor Aliya Batrisya, 6, menaiki kereta Proton Wira singgah di sebuah stesen minyak Caltex.

Lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari pekan Kuala Krai dan mahu pulang ke rumah di Kampung Batu Jong.

Gadis Putus Tangan Lepas Tolak Cinta



Akibat kasih tidak berbalas, seorang lelaki bertindak kejam apabila memotong tangan gadis yang dicintainya dengan pedang baru-baru ini. Kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika gadis berusia 15 tahun itu pergi ke sebuah pasar di Lakhimpur Kheri di negeri Uttar Pradesh bersama adik lelakinya. 

Apabila sampai di pasar, dia berjumpa dengan seorang lelaki, Vinod Chaurasia, 19, yang bekerja di sebuah bengkel besi. Chaurasia mengekori gadis itu dan beberapa kali mengajak mangsa keluar bersamanya. Bagaimanapun, gadis itu tidak melayan Chaurasia menyebabkannya berang.

Secara tiba-tiba Chaurasia mengeluarkan pedang dan terus memotong tangan kanan gadis itu hingga putus. Chaurasia juga cuba menetak gadis itu tetapi berjaya dihalang orang ramai yang melihat kejadian berkenaan.

Polis berkata, gadis itu segera dihantar ke sebuah hospital di Lucknow untuk menyambung semula tangannya yang putus. Menurutnya, lelaki itu berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

“Menurut keterangan mangsa, suspek sering mengekorinya sejak beberapa bulan lalu dan selalu mengajaknya keluar tetapi gadis itu tidak melayannya,” katanya.

Keputusan Penuh Liga Perdana Inggeris, Perlawanan Ketiga Musim 2017/2018

 


Liga berprestij di dunia, Liga Perdana Inggeris sudah memasuki minggu ketiga dengan 10 lagi perlawanan berlangsung kelmarin dan malam tadi. Sudah semestinya perlawanan antara Liverpool menentang Arsenal menjadi tumpuan apabila mempertemukan dua buah kelab yang berada dalam keadaan yang tidak menentu sejak permulaan liga.

Namun sebaik sepak mula berlangsung, Liverpol menunjukkan taring mereka apabila membenam Arsenal di Anfield, sesuatu yang agak lama tidak disaksikan. Bagi Manchester United pula, mereka mengekalkan keputusan 100 peratus apabila menjadikan Leicester City sebagai mangsa terbaru. Berikut merupakan keputusan penuh Liga Perdana Inggeris, perlawanan ketiga bagi musim 2017/2018.

AFC Bournemouth          -    1 (Charlie Daniels)
Manchester City              -    2 (Gabriel Jesus dan Raheem Sterling)

Crystal Palace                  -    0
Swansea City                   -    2 (Tammy Abraham dan Jordan Ayew)

Huddersfield Town          -    0
Southampton                    -    0

Newcastle United            -    3 (Joselu, Ciaran Clerk dan Mitrovic)
West Ham United            -    0

Watford                            -    0
Brighton & Hove Albion -    0

Manchester United           -    2 (Marcus Rashford dan Marouane Fellaini)
Leicester City                   -    0

Chelsea                             -    2 (Cesc Febregas dan Alvaro Morata)
Everton                             -    0

West Bromwich Albion    -    1 (Jay Rodriguez)
Stoke City                         -    1 (Peter Crouch)

Liverpool                          -    4 (Roberto Firmino, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Daniel Sturridge)
Arsenal                              -    0

Totteham Hotspur             -    1 (Dele Alli)
Burnley                             -    1 (Chris Wood)

Liga Perdana Inggeris akan berhenti rehat bagi memberikan laluan kepada aksi antarabangsa sebelum bersambung semula pada 9 September nanti. Untuk perlawanan 9 September nanti, berikut adalah jadual pertembungan perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris musim 2017/2018

9 September

Manchester City vs Liverpool
Arsenal vs AFC Bournemouth
Brighton & Hove Albion vs West Bromwich Albion
Everton vs Tottenham Hotspur
Leicester City vs Chelsea
Southhampton vs Watford

10 September 

Stoke City vs Manchester United
Burnley vs Crystal Palace
Swansea City vs Newcastle United

12 September

West Ham United vs Huddersfield Town

Iklan Beri Impak Patriotisme



Setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan, paling dinantikan semestinya iklan baru yang dihasilkan. Ia bagaikan perkara wajib yang perlu dilaksanakan sebagai pengisian sambutan itu. Sejak era 90-an, iklan kemerdekaan memang berjaya memberi impak besar terhadap semangat patriotisme rakyat Malaysia. 

Begitu berkuasanya iklan terbabit sehinggakan ada yang masih melekat hingga sekarang. Beberapa syarikat termasuk PETRONAS, Malaysia Airlines, Telekom dan Maxis antara yang sentiasa menghasilkan iklan menyentuh hati. Baik sedih, gembira dan bangga, mesej utamanya tetap menyatupadukan Malaysia.

Paling penting, bukan saja jalan ceritanya bahkan perkembangan produksinya semakin maju seiring peralihan teknologi. Idea setiap iklan begitu mengagumkan malah segar. Minggu ini, kami menyenaraikan 10 iklan bertemakan kemerdekaan terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.

1. Seorang Anak Kecil India (1996)

Iklan ini yang pertama dihasilkan PETRONAS mengisahkan seorang lelaki mengimbas zaman kanak-kanaknya berpeluang menyaksikan detik bersejarah 31 Ogos 1957. Dia masih ingat ketika itu seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang berkumpul demi melaungkan merdeka. Cukup bermakna, ia antara iklan yang masih kekal menjadi ingatan ramai sehingga saat ini.

2. Perlumbaan Perahu (1999)

Iklan ini mungkin nampak ringkas dan biasa saja mengenai perlumbaan perahu antara dua pasukan namun mesej disampaikan cukup mendalam. Untuk berjaya dalam hidup, bukan ditentukan kalah atau menang. Sebaliknya bersatu hati adalah kunci kejayaan yang mesti sentiasa dikekalkan sebagaimana perpaduan di negara ini.

3. Life Is A Journey - Together Our Journey Ahead Continues (2006)

Menjadi antara iklan ikonik PROTON, iklan ini memaparkan kisah murid nakal yang akhirnya berterima kasih kepada cikgu yang pernah memarahinya. Meskipun sangat nakal bahkan menganiaya cikgunya, sebagai pendidik dia tidak ambil hati langsung. Paling penting baginya adalah melihat murid itu berjaya suatu hari kelak.

4. Perahu Itu (2007)

Setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Itulah mesej yang cukup kuat menyebabkan iklan ini ada keistimewaannya sendiri. Seorang kawan lama memberikan peluang kedua buat sahabatnya membina sebuah perahu dan dia tidak mensia-siakannya. Tanpa dia sangka, bukan saja hutangnya langsai terhadap kawannya itu bahkan ada kejutan lain dia dapat.

5. Tan Hong Ming Dilamun Cinta (2007)

Mendapat sentuhan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, iklan ini adalah yang paling ringkas namun terlalu dalam maknanya. Ia mengambil perspektif kanak-kanak kecil mengenai persahabatan dan jelas perbezaan bangsa atau agama langsung tiada di mata mereka. Sehinggakan pertemuan Tan Hong Ming dan Ummi Khazriena baru-baru ini selepas bertahun lamanya menjadi tumpuan ramai.

6. Terbang (2014)

Lebih kepada filem pendek, iklan ini berkisar keinginan untuk terbang jauh mencapai kejayaan. Kita perlu sentiasa belajar daripada masa silam dan tidak pernah mensia-siakan kebebasan yang dikurniakan. Menggunakan simbolik wau bulan, ikatan kekeluargaan juga menjadi inti pati penting dalam merealisasikan sesebuah cita-cita.

7. A Walk Through Time (2014)

Satu lagi iklan PETRONAS yang tidak mengecewakan. A Walk Through Time menceritakan persahabatan dua kanak-kanak lelaki dalam menikmati perjalanan sebagai anak Malaysia. Terlalu banyak kejayaan sudah dicapai negara ini tanpa disedari. Menyaksikan sendiri pencapain itu, mereka semakin kenal apa maknanya kemerdekaan selain menyemat rasa bangga tak terhingga dalam diri.

8. Tidak Mengapa, Kita Adalah Ahli Keluarga (2014)

Iklan ini cukup mencuit hati. Seorang ‘mat salih’ yang baru sampai ke Malaysia menjadi hairan dengan situasi di negara ini. Mana tidaknya, tidak kira siapa juga memanggil sesama sendiri dengan gelaran abang, mak cik, kakak, ibaratnya mereka sekeluarga. Akhirnya, dia mula faham dan terbiasa dengan gelaran itu.

9. Akrab (2015)

Kisah keakraban tiga sahabat berlainan bangsa yang sangat menyentuh hati. Biarpun jalan hidup mereka berbeza, talian persahabatan itu tidak pernah putus. Apalagi zaman kanak-kanak mereka penuh dengan kenangan indah. Di mana juga mereka berada, ingatan terhadap sesama sendiri tidak pernah luput.

10. Take Care (2016)

Iklan ini merungkai 1,001 kisah yang berlaku dalam masyarakat. Datang daripada pelbagai latar belakang, pengakhirannya kita semua memerlukan sesama sendiri. Bagaimanapun, rasa mengambil berat terhadap yang tersayang mengatasi segalanya. Ucapan ‘jaga diri’ sudah cukup untuk menggambarkan betapa berharganya seseorang itu dalam hidup kita.

Permintaan Rumah Di Kelantan Tinggi



Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya SPNB Aspirasi Sdn Bhd akan membina 1,397 unit rumah teres setingkat di Machang dan Tanah Merah bermula Januari tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, projek itu membabitkan 853 unit di Tanah Merah dan 544 unit di Machang. Katanya, kedua-dua projek melalui dua fasa pembinaan iaitu 111 unit dibina di Machang dan 362 unit di Tanah Merah, manakala bakinya dilancarkan dalam fasa kedua nanti.

“Kedua-dua projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua tahun. “Harga permulaan bagi projek perumahan di Machang adalah RM191,000 dan di Tanah Merah RM166,000. Setakat ini, kami menerima sambutan menggalakkan dan sepanjang karnival ini sebanyak 109 unit ditawarkan kepada pengunjung,” katanya dalam Karnival Hartanah Aspirasi Pantai Timur, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin. Mengulas lanjut, Ahmad Azizi berkata, permintaan terhadap rumah di Kelantan masih tinggi pada masa ini biarpun berdepan cabaran ekonomi.

“Nisbah permintaan membeli rumah di negeri ini tinggi dan biasanya ia habis dijual namun perkembangan pembinaannya harus menyakinkan rakyat dari segi kualitinya.

“Sebagai contoh, kebanyakan rakyat di negeri ini yang ingin memiliki kediaman sekurang-kurangnya mahu melihat projek dibangunkan memberi keyakinan sekali gus menarik minat mereka membeli lot berkenaan,” katanya.

Tumbesaran Tidak Normal




Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks pada saat kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka. Proses ini berterusan pada kadar yang tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun. 

Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun. Hormon tumbesaran dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang terdapat dalam otak untuk merangsang tumbesaran.

Selain menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh. Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.

Sekiranya seseorang kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan sebaya, ada kemungkinan ia mengalami masalah tumbesaran yang menghalangnya daripada mencapai ketinggian dan berat normal serta kematangan seksual dalam sesetengah kes. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

Terdapat beberapa jenis masalah tumbesaran yang mungkin membawa kepada corak tumbesaran tidak normal atau kegagalan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak. Kekurangan hormon tumbesaran (Growth Hormone Deficiency) turut menjadi punca kanak-kanak gagal membesar dengan normal.

Ia mungkin berlaku pada bila-bila masa dan dikesan melalui penghasilan hormon tumbesaran yang rendah atau langsung tiada. Simptom kekurangan hormon tumbesaran ditunjukkan seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot dan ciri-ciri muka yang tidak matang.

Selain itu, simptom yang mungkin menandakan seseorang kanak-kanak itu kekurangan hormon tumbesaran termasuk bentuk dahi yang menonjol, perkembangan pertengahan muka yang terbantut, pertumbuhan gigi yang lewat dan lambat mencapai akil baligh.

Antara gangguan tumbesaran lain adalah masalah bayi dilahirkan kecil daripada usia kandungan (SGA) atau berat lahir kurang daripada 10 peratus berbanding bayi lain selepas tempoh kehamilan yang sama. Kira-kira lima peratus daripada semua bayi dilahirkan dengan SGA disebabkan pembesaran kandungan yang terbantut.

Ketika kebanyakan bayi membesar sempurna dalam tempoh dua tahun usia, kira-kira 10 peratus lagi tidak mencapainya, manakala 22 peratus orang dewasa yang sangat pendek adalah daripada bayi SGA. Diagnosis akan dibuat apabila berat badan atau ketinggian bayi jauh lebih rendah daripada apa yang dijangka seiring dengan umur bayi.

Semasa membesar, kanak-kanak ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan seperti perubahan metabolisme di peringkat selanjutnya dalam kehidupan, masalah perkembangan saraf atau morbiditi (kecacatan) perinatal. Sindrom Turner juga adalah masalah genetik paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Masalah ini membabitkan seorang daripada 2,500 bayi perempuan dan boleh menyebabkan kombinasi ciri-ciri kelainan fizikal, tumbesaran terbantut (pendek) dan kurang kematangan seksual sehingga ovari tidak berfungsi. Penyakit ini berlaku disebabkan masalah kromosom yang mengubah corak tumbesaran kanak-kanak.

Penghidap sindrom Turner mempunyai hanya satu kromosom X atau kromosom X yang tidak lengkap. Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Pakar Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wu Loo Ling berkata, tahap kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan.

“Masalah ini biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia secara semula jadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil.

“Namun, adalah penting untuk ibu bapa di Malaysia mengetahui simptom-simptom masalah tumbesaran ini dan berjumpa dengan doktor sekiranya bimbang akan sesuatu isu. Gangguan tumbesaran kanak-kanak juga boleh disebabkan kekurangan nutrisi dan penyakit kronik,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada perbincangan meja bulat bersama media mengenai masalah tumbesaran di Malaysia sempena Sidang Kemuncak Tumbesaran Asia Tenggara kali pertama anjuran syarikat farmaseutikal, Novo Nordisk, di ibu negara, baru-baru ini.

Sidang kemuncak itu menyediakan platform kepada pakar untuk berkongsi pengetahuan dan menyumbang kepada penjagaan yang lebih baik kepada pesakit di seluruh Asia dan meningkatkan kesedaran mengenai risiko masalah tumbesaran kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa di rantau berkenaan.

Dr Wu berkata, pengesanan awal sangat penting untuk mencapai hasil rawatan yang positif berikutan halangan bagi penghidap gangguan tumbesaran ini mendapatkan rawatan yang optimum disebabkan kurang kesedaran. “Ramai beranggapan berbadan kecil adalah normal asalkan sihat dan kelihatan baik-baik saja. Ada juga mengatakan badan kecil sebab memang dilahirkan dengan rangka kecil. 

“Segelintir juga mendakwa kanak-kanak berbadan kecil kerana belum mencapai baligh atau kerana makan sedikit. Lebih memburukkan keadaan apabila mengamalkan rawatan sendiri atau perubatan komplimentari untuk merawat masalah tumbesaran.

“Punca rawatan kurang optimum di Malaysia termasuk pesakit lambat dirujuk kepada pakar endorinologi kanak-kanak untuk penilaian dan pengecualian gangguan yang boleh dibetulkan oleh rawatan hormon.

“Pesakit juga mendapatkan permulaan rawatan hormon pertumbuhan yang lewat. Selain itu, rawatan hormon pertumbuhan yang mahal, tempoh rawatan yang panjang dan rawatan dengan suntikan diri setiap hari mengakibatkan pesakit kurang komitmen dan pematuhan terhadap rawatan,” katanya. 

Katanya, Kementerian Kesihatan sudah menggariskan amalan klinikal penggunaan rawatan hormon pertumbuhan untuk kanak-kanak yang membolehkan rawatan mengikut punca masalah dimulakan secepat mungkin.

“Rawatan bagi kekurangan hormon tumbesaran diberikan sebaik saja kanak-kanak didiagnosis dengan masalah terbabit. Rawatan awal boleh dipertimbangkan bagi kanak-kanak SGA yang masih belum mencapai tahap ketinggian yang sepatutnya selepas usia empat tahun.

“Penghidap sindrom Turner pula rawatannya dimulakan sebaik ketinggiannya merosot. Bagi mengoptimumkan kesan dan manfaat rawatan, terapi penggantian hormon ini harus dimulakan pada usia muda,” katanya.

Sementara itu, Profesor Endokrinologi Kanak-Kanak, Universiti London, Dr Martin Savage berkata semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin tinggi peluang kanak-kanak untuk mengekalkan ketinggian normal dan mencapai potensi pertumbuhan sebenar.

“Rawatan masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat selain merangsang ketinggian. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak mencapai ketinggian yang normal, namun turut terbukti boleh membawa impak positif kepada komposisi tubuh, pembinaan tulang, faktor-faktor risiko kardiovaskular dan kualiti hidup.

“Selain daripada risiko fizikal, membesar dengan masalah tumbesaran juga boleh membawa kesan sosial yang serius terhadap kanak-kanak seperti diejek atau dibuli di sekolah, keyakinan diri yang rendah, cabaran fizikal serta kesukaran dalam perhubungan sosial.

“Bagi mengesan masalah tumbesaran seawal yang mungkin, pertumbuhan kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan adik-beradik atau rakannya di sekolah. Sekiranya terdapat simptom, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa pakar pediatrik yang khusus dalam merawat kanak-kanak dengan masalah tumbesaran dan hormon,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa perlu sedar merawat masalah tumbesaran adalah satu komitmen jangka panjang.

“Proses rawatan mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa. Sekiranya masalah tumbesaran berlanjutan apabila pertumbuhan selesai, rawatan perlu diteruskan untuk mencapai perkembangan tubuh dewasa yang normal termasuklah jisim otot dan penambahan mineral tulang,” katanya.