Friday, 29 September 2017

SPAD Model Terbaik Urus Pengangkutan Awam Darat Terbaik Di Dunia


Satu ketika dahulu, industri pengangkutan awam darat Malaysia dilihat tidak begitu efisyen. Ada sahaja rungutan yang akan kedengaran setiap kali pengguna menggunakan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang. Keadaan ini berpunca daripada ketiadaan satu agensi khas yang menyelenggara dan memantau pergerakan kenderaan awam yang beroperasi di negara ini.

Menyedari akan hakikat ini, pada Jun 2010, satu suruhanjaya telah ditubuhkan khas oleh kerajaan bagi menyelaras dan menguruskan pengangkutan awam darat di negara ini. Maka terbentuklah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Abdul Hamid Albar.

Pada tahun yang sama, Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen. Antara tujuan utama penubuhan SPAD ialah meningkatkan sistem pengangkutan awam negara yang menjadi teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) .

Dari segi penumpuan pula, ianya lebih kepada sistem pengangkutan awam darat di Semenanjung Malaysia kemudian diperluaskan ke Sarawak dan Sabah. Antara lain penubuhan SPAD ini ialah menentukan dasar dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Malah, SPAD telah mengambil alih peranan Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan dan bas henti-henti di seluruh Semenanjung Malaysia.

Hari ini, setelah lebih 7 tahun penubuhan SPAD, apa yang dirrancangkan oleh kerajaan nyata telah menampakkan hasil yang cukup memberansangkan.Selain daripada menjalankan tugasan pemantauan dan pengurusan kenderaan awam darat negara, SPAD juga kini turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti PDRM, JPJ, MIROS dan lain-lain lagi dalam penguatkuasaan dan pematuhan Akta Jalan Raya.

SPAD juga tidak hanya memberi penumpuan kepada kenderaan awam yang bergerak di jalan raya semata-mata. SPAD juga turut memainkan peranan penting dalam mengurus dan memantau perjalanan sistem pengangkutan rel di negara ini. LRT, MRT, Monorel, Komuter dan lain-lain lagi turut berada di bawah bidang kuasa SPAD.

Kesemua ini telah menyaksikan, SPAD antara agensi yang paling produktif dan telah berjaya membawa sistem pengangkutan awam di negara ini ditahap yang cukup membanggakan. Usaha berterusan yang dilakukan SPAD ini boleh dianggap sebagai satu bentuk modul pengawasan pengangkutan awam darat paling berjaya di Asia malah di seluruh dunia.

Semua ini hasil daripada kerjasama erat pelbagai pihak dalam memastikan sistem pangangkutan awam darat negara bergerak seiring dengan kemajuan yang dinikmati negara hari ini. Sekalung tahniah diucapkan kepada SPAD kerana mampu menjalankan amanah yang diberikan oleh kerajaan dalam memastikan sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap optimum dan komprehensif.

Pelajar Cuba Bunuh Diri Selepas Dirogol Datuk Tiri


Cubaan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua asrama sekolahnya di sini, kira-kira jam 2.50 pagi, 21 September lalu membongkar rahsia dirinya yang dipercayai menjadi mangsa rogol datuk tirinya. 

Perbuatan datuk tirinya yang berusia 54 tahun itu diketahui selepas pihak Hospital Sri Aman mengesan pelajar terbabit sedang hamil lima minggu ketika menerima rawatan di hospital berkenaan. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, polis yang menjalankan siasatan awal bagaimanapun tidak dapat menentukan punca pelajar terbabit cuba membunuh diri serta gagal mengesan siapa bapa bayi yang dikandungnya.

Berikutan itu, Rabu lalu pegawai sosial perubatan Hospital Sri Aman menemubual pelajar terbabit dan akhirnya dia mendedahkan perkara sebenar. "Mangsa mendedahkan bahawa dia dirogol oleh datuk tirinya sebanyak dua kali dalam bulan Ogos lalu.

"Selepas mendengar pengakuan mengejutkan itu, pegawai sosial perubatan terbabit membuat laporan di Balai Polis Sri Aman," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, siasatan polis selepas itu mendapati kejadian pertama berlaku pada awal bulan Ogos selepas datuk tirinya mengambil mangsa dari asrama untuk membawanya pulang ke rumah pada hujung minggu.

Difahamkan, dalam perjalanan pulang, suspek membawa mangsa ke sebuah pondok di ladang kelapa sawit dan merogolnya. "Kejadian kedua pula berlaku kira-kira seminggu kemudian di sebuah rumah panjang di Sembayang, Sri Aman apabila mangsa dirogol di ruang tamu ketika ahli keluarga lain sedang tidur," katanya.

Dev berjata, selepas siasatan awal itu, kira-kira jam 11 malam tadi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Sri Aman menjejaki suspek di sebuah pondok di sawah padi miliknya di Sembayang.

"Ketika anggota polis tiba di pondok itu, suspek ditemui terbaring di atas tanah di belakang pondok dengan mulut berbuih dan dalam keadaan separuh sedar. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sri Aman dengan kenderaan polis.

"Bagaimanapun, pada jam 5 pagi tadi, suspek yang bekerja sebagai petani disahkan meninggal dunia di Hospital Sri Aman," katanya. Katanya, siasatan awal polis dan pihak hospital mendapati suspek membunuh diri dengan meminum racun serangga perosak.

Misteri Perut Penyu Terburai



Penduduk sekitar Pulau Bum-Bum di Semporna gempar dengan penemuan beberapa ekor bangkai penyu yang terdampar di pantai dalam keadaan perut haiwan itu terburai dipercayai akibat dirobek petang kelmarin. 

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya mengesahkan mengenai kejadian itu namun masih menjalankan siasatan mengenai jumlah dan punca sebenarnya penyu tersebut terdapat di kawasan berkenaan.

Katanya, kisah penemuan bangkai penyu itu mendapat perhatian orang ramai selepas beberapa keping gambar menunjukkan hidupan laut berkenaan yang dalam keadaan menyayat hati tular di laman sosial Facebook. Difahamkan, penyu-penyu tersebut menjadi mangsa pembunuhan pihak tidak bertanggungjawab yang rakus untuk mendapatkan telur haiwan terbabit.

“Setakat ini kami mengesahkan me­ngenai kejadian itu selepas pegawai di daerah Tawau menghubungi penduduk kampung di Pulau Bum-Bum untuk mendapatkan kepastian. Berdasarkan gambar yang diperoleh daripada penduduk kampung, kami harapkan ia cerita benar bukannya rekaan,” katanya di sini semalam.

Belasah Isteri Depan Orang Ramai



Seorang penagih dadah sanggup memukul isterinya di hadapan orang ramai di sebuah pasar tani di sini semalam selepas terdesak mahu mendapatkan wang untuk membeli dadah. 

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, lelaki tersebut bertindak merampas beg tangan mangsa menyebabkan berlaku pergelutan dengan isterinya berusia 30-an yang turut membawa bersama anak lelaki ber­usia tiga tahun.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mahadzir Elias berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian bertindak menahan suspek yang ber­usia 30-an sebelum menghubungi pihak AADK.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah ditahan beberapa kali akibat pengaruh dadah. Malah katanya, suspek yang tinggal di Sungai Layar di sini sebelum ini juga pernah bertindak agresif terhadap isterinya itu

Rupanya Suamiku Wanita



Kegembiraan seorang wanita yang baru berkahwin dengan kekasihnya berakhir pada malam pertama selepas dia mendapati suaminya itu sebenarnya wanita. Kisah perkahwinan sama jenis di Dusun Erelebu di Bulukumba, Sulawesi Selatan itu tular di Internet selepas gambar pasangan berkenaan dimuat naik di Facebook kelmarin. 

Seorang pengguna Facebook yang memuat naik gambar berkenaan memberitahu perkahwinan itu adalah antara pasangan sejenis. Tribunnews.com melaporkan, wanita itu yang dikenali sebagai Syarifah Nurul Husna, 20, berkahwin dengan seorang lelaki dikenali sebagai Rahmat Yani pada 17 September lalu.

Bagaimanapun, selepas majlis perkahwinan itu, Syarifah terkejut selepas mendapati suaminya itu memiliki alat kelamin wanita. Syarifah terus keluar dari bilik dan memberitahu keluarganya yang kemudian membawa Rahmat ke balai polis.

Ketika disoal siasat polis, Rahmat mengaku dia adalah wanita dan nama sebenarnya adalah Rahmayani. Wanita itu juga mengaku dia menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Rahmat Yani untuk berkahwin dengan Syarifah.

Pasangan itu dilaporkan bercinta selama enam bulan sebelum Rahmayani bertemu keluarga Syarifah untuk meminang wanita itu. Sementara itu, seorang ahli keluarga Syarifah, Maemuna memberitahu, wanita itu tidak menunjukkan ciri-ciri seorang perempuan dan dia juga bersuara lantang.

“Kami tidak tahu dia seorang perempuan dan terus menerima lamarannya. “Dia juga menunjukkan kad pengenalannya yang jelas tertera jantinanya adalah lelaki,” katanya yang dipetik Tribunnews.com semalam.

Tertangguh Lagi...



SKUAD Harimau Malaya terpaksa membatalkan perjalanan ke Pyongyang buat kali ketiga untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2019 selepas jadual asal pada Mac dan Jun lalu dipinda ekoran situasi tegang serta keadaan tidak menentu di Korea Utara. 

Semalam, kerajaan melarang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ekoran siri ujian peluru berpandu di negara komunis itu, sekali gus perlawanan skuad bimbingan Nelo Vingada di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 5 Oktober depan ditangguhkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berhubung larangan terbaharu kerajaan itu.

“Surat rasmi kepada AFC telah dihantar tengah hari ini (semalam) berhubung larangan tersebut. AFC menerusi Windsor dalam surat balasannya bersetuju dan memutuskan bahawa perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia tidak akan berlangsung di Pyongyang pada 5 Oktober itu.

Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan oleh AFC,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Aksi Malaysia menentang Korea Utara sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu, namun ditangguhkan akibat ketegangan hubungan kedua-dua negara ekoran pembunuhan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 13 Februari lalu.

Tarikh baharu pada 8 Jun juga terpaksa diubah ekoran hubungan Malaysia dan Korea Utara yang masih belum pulih.

Penggambaran Semula Demi Kualiti


Kualiti filem aksi Hong Kong tidak perlu dipertikaikan. Tidak hanya mendapat sambutan di negara sendiri, malah kebanyakan filem genre itu turut meraih perhatian peminat di seluruh rantau Asia. Terbaru, syarikat produksi Mega-Vision Project dan Workshop Limited menerbitkan filem Chasing The Dragon yang menampilkan dua pelakon sensasi Hong Kong iaitu Donnie Yen dan Andy Lau. 

Filem yang mula ditayangkan di Malaysia sejak semalam ini menggunakan khidmat pengarah berpengalaman, Wong Jing. Gabungan dua nama besar dalam industri perfileman Hong Kong dan antarabangsa itu ternyata menjadi tarikan utama filem ini yang diangkat daripada kisah benar pengedar dadah bernama Ng Sek Ho atau Crippled Ho.

Wong, 62, berkata, dia turut berdepan cabaran apabila terpaksa melakukan penggambaran semula dan menambah beberapa babak aksi walaupun penggambaran sudah selesai sepenuhnya. “Penggambaran mengambil masa tiga bulan, tetapi apabila sudah siap saya berasakan seperti ada yang kurang dan tidak kena. Jadi saya berbincang dengan pelakon untuk membuat penambahbaikan.

“Selepas siap, sekali lagi, saya masih tidak berpuas hati. Jadi saya menambah beberapa babak membabitkan aksi pertarungan. Apa yang penting adalah kualiti filem ini. Saya tidak mahu penonton berasa kekurangan dalam setiap babak.

“Penggambaran tidak berlangsung dengan mudah. Setiap orang bekerja keras untuk memberikan hasil terbaik. Selepas setahun menunggu, saya menganggap usaha kami berbaloi berdasarkan maklum balas diberikan,” katanya.

Wong yang juga penerbit filem ini berkata, Chasing The Dragon adalah filem termahal yang pernah dihasilkannya. “Saya, Andy dan Donnie selaku penerbit bersama belum dapat memastikan kos sebenar pembikinan filem ini. Apa yang pasti ia melebihi HK$200 juta (lebih RM100 juta) membabitkan produksi dan pembinaan set. 

“Memandangkan filem ini berlatar belakangkan era 1970-an, jadi kami perlu mendirikan lokasi dan pemandangan ketika itu menggunakan peralatan dan kesan khas. Disebabkan itu kos pembikinan menjadi besar. “Saya perlu lakukan semua ini kerana ingin penonton melihat dan merasai sendiri suasana pada era itu,” katanya.

Menurut Wong, filem ini memberikan nilai tersendiri buat dirinya selain menyifatkan ia jauh lebih baik berbanding filem arahannya yang lain. “Ia diinspirasikan daripada filem Once Upon A Time in America yang memaparkan golongan remaja membesar di New York terbabit dengan jenayah dan gengsterisme.

“Walaupun sesuatu filem dihasilkan tidak berjaya mencatat kutipan ‘box office’ atau menang anugerah, sebagai pembikin filem apa yang penting adalah dapat mencipta kelompok peminat tersendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai filem ini, Wong berkata, ia adalah garapan semula daripada filem To Be Number One yang pernah diterbitkan pada 1991. Bagaimanapun, Wong menggunakan kreativiti sendiri bagi menonjolkan dua watak utama iaitu Lee Rock (Andy) dan Crippled Ho (Donnie).

“Pada mulanya, saya agak ragu-ragu tetapi selepas beberapa kali menonton filem asalnya, saya mendapati dua watak utama memiliki karakter menarik yang perlu ditonjolkan. Jadi saya memberi fokus kepada dua watak itu berbanding jalan cerita filem asal.

“Ditambah pula saya mempunyai dua pelakon yang tidak perlu diragui lagi kebolehan mereka menjayakan watak diberikan. Dari situ saya tidak perlu bimbang. Walaupun timbul kesulitan pada peringkat mendapatkan persetujuan mereka, ia berjaya diatasi,” katanya.

Chasing The Dragon yang turut ditayangkan di China, Taiwan, Malaysia dan Singapura ini mengisahkan kehidupan Ho (Donnie) berhijrah ke Hong Kong dari Tanah Besar China pada 1960-an.
Ketika itu, pasukan polis Hong Kong bekerjasama dengan pasukan Inggeris di bawah penjajahan British. Ketua Detektif Lee Rock (Andy) mengagumi keberanian Ho sehingga sanggup membantu dan membebaskan Ho daripada tahanan polis Inggeris.

Dalam satu pergaduhan, Ho menyelamatkan Rock daripada dibunuh sekumpulan samseng sehingga mengakibatkan kaki Ho lumpuh. Sejak itu, kedua-dua mereka bersahabat baik dan saling bekerjasama. Pada masa sama, Rock turut membantu Ho menjadi ketua pengedar dadah di Hong Kong.

Apabila tertubuhnya badan pencegahan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan pada 1974 membuatkan kedudukan Rock mulai terancam. Selain Donnie dan Andy, antara pelakon lain yang terbabit ialah Kent Cheng, Wilfred Lau, Philip Keung, Michelle Hu, Raquel Xu dan Chun Wong. 

Donnie cabar diri, Andy tidak sabar 

Usia yang mencecah 54 tahun bukanlah penghalang untuk Donnie Yen melakonkan watak aksi. Bagi Donnie, karya sebegini mampu mencabar dirinya sebagai pelakon.

“Selepas 26 tahun filem asal ditayangkan, kali ini saya melakonkan semula watak Ng Sek Ho atau Crippled Ho. Bagi saya, ini watak yang begitu mencabar untuk saya. Sebelum ini saya sudah berlakon banyak filem aksi, tetapi watak ini jauh berbeza.

“Selaku penerbit bersama, saya teruja apabila dipilih menjayakan watak ini. Apatah lagi dapat bekerjasama dengan pengarah dan Andy, ia memberikan pengalaman luar biasa,” katanya.

Sama seperti Donnie, Andy Lau, 56, juga mengakui tidak sabar menunggu reaksi peminat terhadap filem lakonannya ini. “Watak anggota polis ini sedikit berbeza daripada sebelumnya. Kali ini Lee Rock seorang anggota polis yang mengamalkan rasuah demi kepentingan kedudukan dan perniagaan. Pada masa sama, dia berdepan pelbagai konflik membabitkan orang sekeliling.

“Saya berharap watak ini dapat diterima baik penonton. Saya sudah memberikan yang terbaik. Bukan mudah nak menghasilkan filem ini. Sepanjang tiga bulan penggambaran, pelbagai cabaran dilalui,” katanya.

Mana Dapat Duit Mahu Beli PLUS?


Sumber dana bakal diperoleh Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) perlu diketahui terlebih dulu sebelum mempertimbangkan cadangan syarikat itu untuk mengambil alih PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi lebuh raya utama negara. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mengetahui perkara itu secara terperinci bagi mengelakkan urus niaga berkenaan merugikan negara dan rakyat pada masa hadapan.

“Jika ada sesiapa yang membuat cadangan (pengambilalihan), pertamanya saya nak tanya, duit itu datang dari mana? Kalau duit dari luar negara (saya), nak tahu juga adakah berunsur pinjaman atau sebaliknya.

“Kalau berunsur pinjaman, kalau ia (pinjaman) tidak boleh dibayar kerana ia tidak ada peningkatan dan sebagainya, akhirnya apa jadi...ia akan menyebabkan aset strategik negara jatuh ke tangan orang luar,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2017 di sini, semalam.

Maju Holdings sebelum ini mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS dari UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Abu Sahid Mohamed dipetik sebagai berkata, tawaran berkenaan amat menarik kerana ia jauh lebih tinggi berbanding nilai wajarnya, sekali gus membuktikan Maju Holdings amat serius untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan.

UEM Group memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya 49 peratus dikuasai KWSP.

Johari berkata, cadangan itu juga bukan perkara baru kerana sebelum ini beberapa pihak sudah mengemukakan cadangan berkenaan. “Saya bukan cakap tidak boleh, cuma nak tahu model kewangannya. Kita perlu tahu dari mana mereka mendapatkan dana dan adakah mereka yakin boleh membayar balik (pinjaman itu), kalau tidak aset (negara) kita akan hilang,” katanya.

Mitsubishi Outlander CKD


Permintaan tinggi terhadap Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) serba boleh membuatkan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) tidak menunggu lama apabila melancarkan Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD. 

Kehadiran varian Outlander pemasangan tempatan (CKD) dengan harga lebih berdaya saing itu secara tidak langsung memberi lebih pilihan kepada pembeli selain menawarkan tujuh tempat duduk dengan ruang kabin lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi berkata, Outlander 2.0L 4WD menjadi model kedua dikeluarkan secara CKD selepas model ASX pada 2014. 

“Varian ini turut dipasang di Kilang Pemasangan Tan Chong Motors (TCMA), hasil perjanjian bersama antara Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dan rakan sekutu Renault-Nissan yang dimeterai pada Oktober tahun lalu.

“Namun, Outlander 2.4L 4WD juga masih dijual dan kekal sebagai model diimport sepenuhnya (CBU),” katanya ketika Majlis Pelancaran Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD di TCMA Segambut, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Tan Chong Motor Holdings, Tan Keng Meng; Ketua Pegawai Operasi MMM, Ilham Hilmi dan Ketua Pakar Produk MMC Japan, Yoji Otani. Tomoyuki berkata, sebanyak 700 unit Mitsubishi Outlander 2.4L terjual sejak dilancarkan tahun lalu dan yakin jualannya akan terus meningkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pelanggan setia yang membolehkan MMM meraih tempat pertama dalam Indeks Jualan dan Kepuasan (SSI) tahun lalu selain mengekalkan kedudukan lima teratas bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) sejak 2015 yang dikeluarkan JD Power. Sempena pelancaran ini, MMM memperkenalkan warna baru hitam ruby sebagai warna eksklusif untuk pasaran negara ini,” katanya.

Terdahulu, Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD DOHC 16 Injap MIVEC menawarkan kuasa 145PS dengan 196Nm tork, dipadankan bersama transmisi CVT INVECS-III. Sistem pacuan turut menerima tiga pilihan mod antaranya 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock.

Antara sistem keselamatan standard ialah tujuh beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Kawalan Cengkaman dan Kestabilan Aktif (ASTC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA). Ciri lain termasuk Lampu Nyalaan Siang (DRL), butang penghidup enjin, skrin sentuh infotainment 7 inci, rim 18 inci selain ruang penyimpanan barang seluas 1,608 liter. 

Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD ditawarkan pada harga RM139,988 tanpa insurans bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Tiga warna ditawarkan antaranya merah, putih dan hitam.

Thursday, 28 September 2017

Kami Bukan Klon DAP Atau Menjalankan Agenda DAP!



Kebelakangan ini, terdapat satu usaha dari beberapa pihak yang cuba mengaitkan salah sebuah parti komponen utama Barisan Nasional, MCA yang kononnya adalah klon DAP di dalam BN. Malah, ada juga dakwaan yang menyatakan MCA cuba menggerakkan agenda Malaysia Malaysian DAP di dalam BN yang menyasarkan BN semakin lemah menuju PRU 14.

Dakwaan ini bersandarkan kepada beberapa keputusan yang diambil oleh MCA yang kononnya dilihat agak selari dengan ketua parti pembangkang berkenaan. Malah, ada yang kononnya mendakwa, MCA hanya mementingkan kaum Cina semata-mata dan tidak memperdulikan nasib kaum Melayu di Parlimen yang mereka menangi.

Melihat kepada tuduhan dan dakyah karut ini, mereka sebenarnya terlupa barangkali bahawa sejak tertubuhnya Parti Perikatan pada tahun 1955, komitmen MCA terhadap Barisan Nasional tidak pernah berubah. Memang ada beberapa perkara mungkin dilihat hampir sependapat dengan DAP namun ianya diambil dari konteks positif dan bukan bersetuju secara membuta tuli.

Pendirian MCA sejak dahulu lagi memang jelas iaitu membela semua kaum di mana sahaja Parlimen yang mereka menangi. Sebagai sebuah parti utama bagi kaum Cina di negara ini, sudah tentulah agenda membela nasib kaum Cina antara perkara utama yang diperjuangkan oleh MCA.

Sama seperti UMNO yang membela nasib kaum Melayu, MIC untuk kaum India, jadi apa salahnya MCA membela nasib kaum Cina? Mungkin penyebar dakyah dan fitnah ini cuba mengalihkan tumpuan kepada slogan 1 Malaysia dan Negaraku Malaysia di mana semua orang tahu, di Malaysia didiami oleh lebih 50 kaum dan etnik.

Untuk menyamakan MCA dan DAP adalah satu persamaan yang langsung tidak masuk akal. MCA mempunyai teras perjuangannya yang tersendiri dan parti ini kekal menjadi tunggak kepada BN dan kerajaan hari ini. Manakala DAP pula lebih berminat untuk mengucar kacirkan perpaduan semua kaum di negara ini dengan muslihat politik kotor mereka.

Tambahan pula, seperti UMNO, kesemua pemimpin MCA masih berpegang teguh kepada prinsip kepercayaan agama sejak turun temurun, sama seperti UMNO yang menjadikan Islam sebagai pegangan utama parti berkenaan. Berlainan dengan DAP, mereka memperjuangkan apa yang paling ditentang oleh semua agama seperti LGBT, pesta arak dan sebagainya.

Justeru, apa yang diharapkan adalah, berhenti dari terus mengaitkan MCA dengan DAP kerana pendirian kedua-dua parti ini jelas berbeza. Untuk menyamakan kedua-dua parti ini adalah satu tindakan yang silap kerana MCA lebih ikhlas memperjuangkan nasib rakyat berbanding DAP yang hanya mementingkan kuasa dan tidak memperdulikan masalah dan nasib rakyat yang mereka wakili.

Lagi Kes Bapa Cabul Anak Di Sarawak



Lelaki berusia 42 tahun ditahan polis kerana disyaki mencabul anak tiri perempuannya yang berusia 10 tahun di Kanowit, petang hari ini. Lelaki itu ditahan polis selepas menyerah diri di Balai Polis Kanowit kira-kira jam 2.30 petang.

Sumber berkata, suspek didakwa mencabul anak tirinya itu sebanyak dua kali antara Julai dan Ogos lalu. Menurut sumber, perbuatan keji itu dilakukan suspek di rumah panjang yang didiaminya di Kanowit ketika ketiadaan isterinya.

"Perbuatan suspek itu terbongkar selepas guru di sekolah anaknya menyedari perubahan sikap mangsa yang menjadi murung. Mangsa kemudian dipanggil gurunya sebelum mendedahkan perbuatan keji bapa tirinya menjadi punca perubahan sikapnya," katanya di Kuching, hari ini.

Katanya, suspek didakwa mencabul mangsa secara seksual di dalam bilik tidurnya ketika isteri keluar ke kebun. Beliau berkata, selepas mendengar pengakuan itu, guru mangsa kemudian membawanya ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek untuk siasatan lanjut. "Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kanowit pagi esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (d) dan Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

'This Is Bad For All', Kata Pemilik Foto



JABATAN Hidupan Liar Sabah mengesahkan kejadian penemuan beberapa bangkai penyu terdampar di pantai di Pulau Bum-Bum, Semporna. Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, pegawainya di Tawau mendapat pengesahan mengenai penemuan itu selepas menghubungi penduduk kampung di Pulau Bum-Bum. 

Katanya, pihaknya menghubungi indvidu yang mengambil gambar bangkai penyu terbabit sehingga ia tersebar di media sosial, sejak semalam. Beliau berkata, pegawai terbabit sudah diarah menjalankan siasatan lanjut di pulau itu termasuk pergi lokasi sebenar penemuan bangkai haiwan marin itu, hari ini.

"Ia adalah penyu hijau. Kami akan ke lokasi bagi membuat pengesahan dan menentukan berapa banyak penyu yang mati," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Gambar yang tersebar di laman sosial sejak semalam menunjukkan beberapa penyu dengan keadaan perutnya terburai dan terdampar di tepi pantai. Pada awal 2014, kira-kira 60 bangkai penyu ditemui terapung di perairan Pulau Tiga, Kudat, manakala empat lagi ditemui terapung di Pulau Bum-Bum, Semporna.

Pada Mac 2015, pihak berkuasa menemui 19 bangkai penyu hijau di Pulau Tiga di utara Pulau Balambangan dan Banggi dekat perairan Kudat, dipercayai cuba diseludup secara hidup melalui laut, namun gagal berbuat demikian berikutan kekerapan rondaan pasukan keselamatan.

6 Geng Budak Jahat Keramat Didakwa



Enam daripada tujuh Geng Budak Jahat Keramat yang ditahan berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung sehingga meragut 23 nyawa akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Enam suspek akan dikenakan pertuduhan kerana mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seksyen 15(1) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun.

Dua daripada enam suspek itu juga akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu me­lakukan pembakaran sehingga meragut 21 nyawa pelajar tahfiz dan dua guru mereka. Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan. 

Difahamkan seorang suspek akan dibebaskan. Tujuh suspek yang ditahan itu berusia 11 hingga 18 tahun. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan berhubung kebakaran pusat tahfiz itu telah selesai dan pihak polis sudah mene­rima arahan untuk mendakwa sebahagian daripada mereka yang ditahan.

Asyik Swafoto, Rakan Lemas Di Belakang



KETIKA sekumpulan remaja sibuk bergaya swafoto di sebuah kolam di Bangalore, India, seorang rakan mereka lemas tanpa disedari mereka. Dalam kejadian Ahad lalu, kumpulan kadet dari Kolej Kebangsaan di Bangalore itu mandi di sebuah kolam berhampiran kuil pada waktu rehat ketika menyertai lawatan. 

Menurut portal berita India, termasuk India Today dan NDTV, Mereka kemudian berkumpul untuk swafoto namun tidak menyedari rakan, G Vishwas, 17, mengalami kesukaran di belakang sehingga lemas dan detik akhir sebelum mangsa lemas terakam dalam gambar mereka.

Kumpulan pelajar itu kemudian meninggalkan kolam itu tanpa menyedari mangsa tiada bersama mereka. Keluarga mangsa yang berang dengan kejadian itu mengadakan protes di luar kolej mendakwa guru yang ditugaskan menjaga kumpulan berkenaan cuai.

Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu dikatakan tidak mengendahkan papan tanda melarang orang ramai berenang di kolam berkenaan. Pihak pengurusan kolej berjanji menyiasat kejadian itu selain mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangannya jika didapati bersalah.

Rakan Vishwas, A Sumanth A berkata, mereka hanya menyedari mangsa tiada selepas tiba di kuil bertemu pelajar lain. “Pada masa sama, seorang rakan menyemak gambar swafoto yang diambil tadi dan baru menyedari Vishwas,” katanya.

Mereka memaklumkan guru, namun ketika itu sudah sejam berlalu dan Vishwas gagal dikesan sehinggalah mayatnya ditemui pasukan pencari.

Lukaku 'Mengganas' Di Moscow



Romelu Lukaku dan Anthony Martial menamatkan cabaran CSKA Moscow apabila membantu Manchester United menguasai aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan kemenangan besar 4-1, awal pagi tadi. 

Lukaku menyumbat dua gol (minit keempat dan 27) di Arena VEB, mengumpul 10 gol dalam sembilan perlawanan buat United, dengan Martial mencipta gol buatnya dua kali dan menjaringkan sepakan penalti (m-19) sebelum Henrikh Mkhitaryan (m-57) melengkapkan kemenangan.

Ia kemenangan pertama United di gelanggang lawan dalam pertandingan itu sejak November 2013 dan dengan FC Basel membelasah Benfica dalam satu lagi aksi kumpulan, ia membantu anak buah Jose Mourinho berada tiga mata di tangga teratas kumpulan.

“Kami bermula dengan garang. Kami mengejutkan mereka dengan keberanian kami,” kata Mourinho. “Mereka tidak begitu bagus kerana kami. Kami berada dalam posisi baik dengan berbaki empat perlawanan.”

Selepas menang tipis 1-0 di Southampton Sabtu lalu, United kembali ke tahap terbaik mereka di ibu negara Russia itu, kepantasan dan gerakan gandingan serangan baru Lukaku dan Martial memeningkan kepala CSKA sepanjang malam.

Sesudah mengalahkan Benfica pada perlawanan pertama mereka, CSKA kembali berpijak di bumi nyata sekalipun pemain gantian Konstantin Kuchaev sedikit sebanyak menceriakan penyokong mereka dengan gol sagu hati pada minit ke-90.

Ford Tumbuk Muka 'Polis'


Lebih tiga dekad berlalu, akhirnya sekuel filem Blade Runner yang kali pertama ditayangkan pada 1982 akan menemui penonton di pawagam pada 5 Oktober ini. Meneruskan kesinambungan filem pertama, Blade Runner 2049 menyaksikan pelakon asal Harrison Ford kembali sebagai Rick Deckard. 

Turut beraksi di sisi pelakon berusia 75 tahun itu adalah Ryan Gosling sebagai pegawai polis Los Angeles. Dalam satu temu bual bersama majalah GQ, Ford mendedahkan secara tidak sengaja menumbuk muka Gosling ketika penggambaran salah satu babak Blade Runner 2049.

“Dia sepatutnya berdiri jauh supaya tidak terkena serangan saya. Tugas saya pula untuk buat aksi menumbuk. Ketika itu, kami berdua bergerak dan rakaman sudah bermula. Pada masa sama, saya mahu memastikan jurukamera dapat mengambil babak tumbukan dari sudut terbaik. Saya membuat hampir 100 aksi menumbuk dan hanya satu tumbukan terkena Gosling,” katanya.

Menurut pelakon Sat Wars itu, Gosling sepatutnya bersyukur kerana hanya satu rakaman babak terbabit berlaku kesilapan. “Saya seronok bekerjasama dengan Gosling kerana dia berbakat dan mempunyai pengalaman berlakon sejak usia enam tahun,” katanya. Gosling pula dalam satu temu bual berasingan mengakui kejadian Ford tertumbuk mukanya berlaku disebabkan kesilapannya. 

“Kami melakonkan babak bertarung dan kejadian itu berlaku tanpa diduga. Bagaimanapun, saya rasakan situasi itu agak lucu kerana sebaik penggambaran berhenti, Ford meletakkan tangannya dalam ais yang dibawa kru untuk saya,” katanya.

Gosling berkata, pe­ngarah Denis Villeneuve sempat bergurau dengan memberitahu dia seperti ditumbuk adiwira Indiana Jones. Turut membintangi Blade Runner 2049 ialah Jared Leto, Robin Wright, Dave Bautista, Mackenzie Davis dan Ana de Armas.

Dalam perkembangan lain, Gosling mendedahkan cuba memujuk Ford untuk memberi peluang kepada dia berlakon dalam filem baru Indiana Jones.

Tahun lalu, Ford diumumkan kembali membintangi filem kelima Indiana Jones yang akan diarahkan Steven Spielberg. Indiana Jones dijangka ke layar perak pada 2020, namun sehingga kini ha­nya Ford pelakon disahkan beraksi dalam filem itu.

MAB Jimat Kos Operasi 20 Peratus


Malaysia Airlines Berhad (MAB), yakin pembelian 16 pesawat Boeing secara pajakan semula jualan dan operasi berupaya memberi penjimatan antara lima hingga 20 peratus bagi kos operasi pajakan syarikat penerbangan nasional itu. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter Bellew berkata, dengan pembelian itu juga, MAB dapat melaksanakan pelan penstrukturan semula kumpulan pesawatnya terdiri daripada pesawat berbadan kecil dan lebar kepada sistem operasi penggunaan pesawat lebih seimbang bagi kedua-dua jenis pesawat itu.

Beliau berkata, setakat tahun ini, MAB mempunyai 48 pesawat berbadan kecil dan 21 pesawat lebar menjadikan nisbah operasinya kepada 70 peratus dan 30 peratus serta berharap ia dapat diseimbangkan masing-masing kepada 45 dan 35 pesawat iaitu 56 peratus dan 44 peratus menjelang 2022.

“Bagi memastikan kelancaran operasi Malaysia Airlines di semua 50 laluan antarabangsa dan domestik, penyusunan semula semua pesawat sedia ada dan baru itu dijangka dapat memberikan penjimatan kepada operasi pajakan ditanggung syarikat tanpa membabitkan sebarang pembiayaan tambahan.

“Matlamat kita jelas iaitu mengembalikan syarikat penerbangan nasional yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia ini kepada era kegemilangannya semula,” katanya pada sidang media khas mengenai penyusunan strategi pesawat MAB di sini, semalam.

Pada 12 September lalu, Boeing dan MAB menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membeli 16 pesawat iaitu masing-masing lapan pesawat 787 Dreamliners dan 737 MAXs ketika kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu termasuk lapan 787-9 Dreamliners dengan mengubah tempahan lapan pesawat Boeing 737 MAX Malaysia Airlines sedia ada dan tambahan lapan hak pembelian 737 MAX 8s, selain perkhidmatan Global Fleet Care Boeing bagi mengurus kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu yang sedia ada dan pesawat Boeing akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MAB mampu mencapai penarafan lima bintang Skytrax menjelang 2019 berikutan pelan pemulihan syarikat berkenaan berjalan lancar mengikut jadual. “Pada tahun ini, kami banyak menjalin usaha sama dengan Skytrax menerusi program audit, analisis jurang dan pelan tindakan ke arah merealisasikan penarafan lima bintang itu,” katanya.

Kesopanan Bermula Di Rumah




Terlihat dua kelibat kecil berlari keluar dari pintu rumah menghala ke lif. Seorang berusia sekitar empat tahun dan kakaknya tujuh tahun. Butang lif ditekan bertalu-talu. Nampak si adik tidak sabar untuk turun. 

Sebaik pintu lif terbuka, dua kanak-kanak berkenaan terus merempuh masuk, melanggar seorang lelaki berkopiah. Tiada sepatah pun ucapan maaf. Malah si kecil sempat berdecit sambil mata menjeling pada penumpang lif. Jauh benar bezanya dengan senario lebih 20 tahun dulu.

Zaman itu kanak-kanak tahu melempar senyum dan menegur ramah orang tua, meminta izin untuk lalu atau melintas di depan mahupun di belakang mereka yang lebih dewasa. Tidak berani langsung bertentang mata (dalam pandangan biadab), apatah lagi berdecit atau merengus.

Andai ada yang bersikap kurang ajar dan perbuatan itu pula sampai ke pengetahuan ayah maka bersedialah menunggu hukuman rotan. Paling tidak, cubitan halus emak singgah di lengan atau paha. Itu didikan ibu bapa zaman dulu yang menjadi kebanggaan ramai ibu bapa muda kini.

Namun, hairannya ia gagal ditiru dan diterap semula dalam membentuk sahsiah anak kecil dan remaja pada zaman serba canggih ini. Betapa ibu bapa hari ini terlalu mementingkan pendidikan pada awal usia kanak-kanak.

Seboleh-bolehnya, mereka mahu anak mengenal banyak perkara asas seawal umur tiga tahun, lancar membaca ABC pada usia empat tahun dan pandai membaca serta bijak dalam pelajaran pada usia seterusnya. Dari sudut penglihatan kanak-kanak pula, mereka cenderung mempelajari banyak perkara daripada persekitaran sehari-hari.

Mereka menyerap segala ilmu di sekolah dan mengambil setiap yang berlaku di sekeliling sebagai contoh dan teladan untuk berdepan situasi serupa pada masa depan. Mungkin di situlah punca mengapa didikan dulu gagal diterap untuk kelompok muda hari ini.

Menurut Pakar Motivasi dan Jurulatih Keibubapaan Zaid Mohamad, adalah sukar untuk menidakkan hakikat ibu bapa dan ahli keluarga adalah guru terawal dan paling dekat dengan anak. Mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembentukan sahsiah anak kecil.

“Saya tertarik dengan nukilan seorang kaunselor keluarga, Dorothy Nolte yang mengatakan kanak-kanak akan belajar daripada apa yang mereka alami.

Beliau menyebut, ‘jika kanak-kanak selalu dikritik, dia akan belajar mengherdik; jika kanak-kanak selalu dibentak, dia akan belajar memberontak; jika kanak-kanak selalu dikeji, dia akan belajar membenci; jika kanak-kanak selalu dipersalah, dia akan berjiwa lemah.

“Namun, jika kanak-kanak ikhlas dipuji, dia akan belajar menghargai; jika kanak-kanak sentiasa dihargai, dia akan berkeyakinan diri; jika kanak-kanak selalu didengari, dia akan belajar menghormati dan jika kanak-kanak sering dihormati, dia akan melonjak martabat’. Ini nukilan beliau yang saya olah semula dalam bahasa Melayu.

“Jelas ibu bapa perlu berhati-hati dalam setiap aspek kehidupan kerana anak kecil memerhatikan setiap tingkah laku kita. Mereka perlu dilatih untuk mempunyai sikap beradab dan sopan santun sejak kecil.

Tiada siapa yang akan suka dengan sikap kurang ajar. Mereka (anak yang tidak beradab) boleh mengganggu mood malah merosakkan hari kita. Namun malangnya, pada zaman serba moden ini kita pasti terjumpa ramai orang sebegitu,” katanya.

DIDIK DIRI UNTUK BERADAB

Kata Zaid, perkara sama pernah dikaji majalah Readers Digest pada 2013 dengan mengambil sampel dari 36 bandar raya. Mereka mahu melihat sejauh mana penduduk dalam negara berkenaan mengamalkan adab sopan terhadap individu lain.

Namun apa yang mengejutkan, Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok menduduki tempat teratas dalam senarai bandar raya yang penuh dengan penduduk tidak sopan! Perkhabaran ini amat mengecewakan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan adab sopan adalah satu cabang hidup yang amat ditekankan di dalam masyarakat.

“Dalam menghuraikan soal pendidikan moral anak, kita perlu melihat kembali beberapa hasil kajian umum dalam isu serupa. Mereka mendedahkan masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang kurang nilai dan budaya kesopanan.

Jika dihalusi, sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang asing kerana kita sendiri mungkin pernah berdepan pengalaman pahit ketika bertemu atau berinteraksi dengan orang di sekeliling. “Boleh jadi, mereka ini di rumah, dalam masyarakat, di jalanan atau di pejabat. Malah tidak hairanlah jika kita sentiasa bertemu dan berinteraksi dengan orang seperti ini.

Ada waktunya, kita tidak boleh menafikan yang kita juga menjadi sebahagian daripada kelompok kurang sopan dan tidak beradab ketika berinteraksi dengan orang lain. “Jadi, sebelum kita menuduh orang lain sebagai tidak beradab, lebih baik kita lihat ke dalam diri sendiri untuk memastikan kita benar-benar tidak bersalah dalam perkara ini.

Sebelum kita marah mereka yang memotong barisan, melanggar peraturan trafik dan menyalahgunakan hak umum sewenang-wenangnya, perhatikan dulu bagaimana perangai serta tingkah laku diri supaya kita tidak tergolong dalam kategori sama.

“Jika ada antara perlakuan tidak sopan berkait dengan diri, segeralah memohon maaf dan usah mengulangi perkara yang boleh menjatuhkan maruah serta imej. Kita bertanggungjawab untuk menjadi contoh individu yang beradab dan berakhlak mulia kepada kanak-kanak dan remaja, terutama anak sendiri,” katanya.

Jelas beliau perasaan tanggungjawab dan mengaku diri sebagai sebahagian daripada masalah, boleh menjadi langkah permulaan yang besar ke arah mencipta masyarakat yang lebih beradab sopan. “Cara terbaik untuk menangani masalah sosial ini adalah dengan melawannya secara terus dan berdebat.

Bagaimana? Kita hanya perlu menunjukkan jalan dan menjadi teladan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjadi seorang yang beradab sopan.

“Di sinilah ujian yang paling besar. Kita perlu berani untuk menjadi seorang yang bersopan kerana dalam kebanyakan situasi, lebih mudah untuk kita turut menjadi seorang yang kurang ajar dalam melepaskan geram. Contohnya, ramai yang tidak mampu berlaku sopan apabila orang di depan berkelakuan biadab. Ini banyak kelihatan di jalan raya.

Tatasusila hilang begitu sahaja apabila melihat orang lain melanggar peraturan jalan raya lalu ramailah pemandu lain yang mengikutnya.

“Ada juga individu yang mengambil jalan tengah dengan nekad untuk tidak lagi beradab sopan kerana mereka rasa tidak dihargai walau dengan sedikit ucapan terima kasih. Pokok pangkalnya, kesopanan itu bermula di rumah dan setiap ibu bapa bertanggungjawab memastikan generasi baru kaya dengan tatasusila.

“Mulakan dengan mengajar anak melalui contoh dan teladan. Selaku guru terbaik, ibu bapa perlu menunjukkan kesabaran tinggi dan berhenti daripada membalas setiap perlakuan kurang sopan orang lain setiap hari. Tunjukkan kepada anak kita sebenarnya hero dan pemenang dalam perlawanan adab sopan dengan mereka yang biadab,” katanya.

USAH KEJAR KESEMPURNAAN

Dalam keghairahan membesarkan anak untuk menjadi insan terbaik, mungkin ada ibu bapa yang berdepan tekanan atau hilang semangat kerana terlalu mengharapkan kesempurnaan. Jika boleh, setiap perkara yang gagal dikecapi ketika usia kecil hendak disempurnakan sebaik-baiknya dalam kehidupan anak.

“Kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Manusia perlu memahami dan menerima bahawa banyak perkara yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Lukisan kita tidak akan sentiasa menjadi cantik, namun jangan sesekali kita berputus asa untuk terus menikmatinya.

"Anak pula tidak akan sentiasa berada di kedudukan yang teratas di dalam kelas, tetapi jangan pula berhenti memberi mereka semangat dan harapan.

“Kita mungkin kurang harta benda, tetapi ia bukan alasan untuk mengalah mengejar kebahagiaan dan menikmati apa yang kita miliki. Di sini, kita boleh belajar daripada anak. Hati suci kanak-kanak akan sentiasa melihat segala benda sebagai suatu yang indah walaupun tidak sempurna. Sebaliknya, orang dewasa yang sudah melalui pelbagai kitaran hidup mudah menjadi lebih pesimis dan tertekan.

“Ibu bapa selalunya dibebani dengan tugasan kerja, tertekan apabila berada dalam kesesakan lalu lintas dan kesibukan hidup. Kemudian mereka meluahkan semua permasalahan ini kepada orang sekeliling, termasuk anak. Sedangkan anak sukar tergugat dengan ketidaksempurnaan dalam kehidupan. Mereka lebih suka bebas berlari dan menikmati hidup seadanya.

“Tiada barang permainan? Tidak mengapa. Mereka cipta sendiri permainan dengan menjadikan barangan di rumah sebagai pedang, stereng kereta atau pakaian sang puteri. Jika kita bersihkan minda, kita mampu menikmati setiap saat dalam hidup dan menghargai banyak perkara seadanya.

"Kita akan menjadi seperti kanak-kanak semula dan menemui banyak perkara yang indah di sebalik ketidaksempurnaan. Perlu diketahui kehendak sebenar anak bukanlah gajet canggih, barangan permainan berjenama atau percutian di taman tema.

"Apa yang mereka benar-benar perlukan ialah sebanyak mungkin kasih sayang. Betul, mereka akan tergila-gilakan segala peralatan canggih atau percutian hebat ini, tetapi jauh di lubuk hati, apa yang diidamkan ialah kasih sayang daripada ibu bapa,” katanya.

Nampak jelas gajet canggih tidak akan membawa sebarang makna kepada anak jika rumah terasa kosong dan ibu bapa pula sentiasa terlalu sibuk untuk mereka. Usahakan sebaik-baiknya untuk menghabiskan sisa masa yang ada dengan permata hati tercinta. Satu peringatan penting yang perlu diselit dalam minda setiap ibu bapa bahawa anak membesar pada kadar yang luar biasa.

Tanpa kita sedari, mereka akan terus meniti usia sehingga bersedia untuk meninggalkan kita. Jadi, usah biarkan masa berlalu tanpa mencipta detik bernilai bersama mereka. Dalam kebanyakan situasi, hadiah yang terbaik yang boleh diberi seorang ibu atau bapa kepada anak adalah cinta.

Kita tidak perlu berhabis duit untuk mendapatkan perkara terbaik dalam kehidupan kerana segalanya sudah berada di depan mata iaitu keluarga bahagia, anak sempurna dan masa depan yang cerah! 

HARGAI ANAK REMAJA 

Jika dibentangkan fasa kehidupan seorang anak untuk dinilai, dicorak dan diberi sentuhan semula oleh ibu bapa, peringkat remaja mungkin boleh dianggap sebagai takuk paling kritikal dalam menghasilkan individu yang menghormati orang tua serta masyarakat sekeliling.

Menurut Zaid, pada peringkat remaja, ibu bapa perlu melebihkan aspek hubungan emosi dan berkawan dengan anak. “Sebagai kawan, kita akan lebih mudah didekati anak, berupaya memberi sokongan dan motivasi kepada mereka, sekali gus membina ruang komunikasi yang lebih positif.

Bersesuaian zaman informasi, kita juga perlu lebih interaktif dengan anak remaja. Galakkan anak berkongsi masalah dengan cara tidak menghukum, sebaliknya membela mereka.

“Lebihkan perbincangan, saling menghormati pendapat dan fahami situasi mereka. Paling penting, beri anak kepercayaan dan peluang untuk mencuba, yakin dan sokong keputusan mereka. Usah terlalu mengkritik pakaian, gaya dan minat anak selagi tidak bertentangan dengan agama serta budaya.

“Jika menegur, gunakanlah bahasa positif. Seimbangkan antara pujian dan kritikan kerana kita sering terlepas pandang kebaikan yang mereka lakukan tetapi mudah melatah terhadap kekurangan. Jika anak melakukan kesalahan, fokuskan kepada perbuatan, bukannya menyerang personaliti mereka dan melemparkan pelbagai tuduhan.

"Perbuatan boleh jadi betul atau salah, tetapi tiada individu yang suka jika mereka dilabel sebagai jahat atau tiada harapan,” katanya.

Apa-apa pun jelasnya, jangan terlalu mudah memberikan segalanya kepada anak. Sebagai ibu bapa penyayang, sudah pasti kita sanggup berjalan walau sehingga ke hujung dunia demi mereka. Malah, memang jelas tidak mustahil setiap ibu bapa mempunyai nekad dan azam untuk melakukan apa saja demi kesenangan anak tercinta.

“Tetapi, dalam usaha memberikan mereka yang terbaik, pernahkah kita terfikir kemungkinan kita sendiri meletakkan cinta kepada mereka di tempat yang salah? Atau dalam bahasa lain, terlalu memanjakan anak sehingga merosakkan diri mereka?

“Jika ini dibiarkan berterusan, anak akan membesar dalam zon selesa dan tidak pandai menyelesaikan masalah apabila dewasa. Anak juga mungkin kurang wawasan hidup dan apabila kerja menjadi susah, tidak mustahil mereka akan mudah berputus asa,” katanya.

Wednesday, 27 September 2017

Mahathir Rela Menjadi Hamba DAP Di Penghujung Usianya



Bukan satu rahsia lagi di dalam Pakatan Harapan, DAP lah parti yang paling dominan. Walaupun tanpa nama Lim Kit Siang di dalam carta hirarki tertinggi gabungan parti di dalam Pakatan Harapan, setiap satu keputusan atau gerak kerja, harus mendapat perkenan daripada Lim Kit Siang terlebih dahulu sebelum ianya boleh dilaksanakan.

Hal ini dapat dilihat dalam beberapa perkara antaranya usaha Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin ALi yang mahu membawa PAS kembali kepangkuan Pakatan Harapan. Walaupun tidak secara terang-terangan, usaha Azmin ini jelas dibantah DAP dan Kit Siang dengan melemparkan pelbagai tuduhan hanya semata-mata mahu menggagalkan usaha Azmin ini.

Satu lagi contoh jelas adalah bagaimana Mahathir kini dijadikan alat buat DAP untuk memecah belahkan perpaduan serta undi dari kaum Melayu. Malah, DAP juga berhasrat menjadikan Mahathir sebagai hamba tunggangannya untuk melemahkan sokongan yang diterima oleh Barisan Nasional di Sabah dan juga Sarawak.

Ketika mengulas akan perkara ini, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua strategi ini diatur dengan rapi oleh DAP supaya DAP dapat menguasai kerajaan dan seterusnya menghancur lumatkan Barisan Nasional menerusi pengaruh yang mungkin masih bersisa pada Mahathir.

Namun, satu hakikat yang harus DAP terima adalah, walaupun mereka memperhambakan Mahathir dihujung usianya, strategi licik mereka tidak akan mudah diterima oleh kaum Melayu yang masih terkesan dengan cara politik kotor yang diamalkan oleh DAP. Malah, usaha DAP untuk menggoyahkan penguasaaan Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak juga bakal berhadapan dengan kerja sia-sia.

Tambahan pula, penduduk di Sabah dan Sarawak cukup terkesan dengan cara Mahathir melayan dua buah negeri ini sewaktu menjadi Perdana Menteri. Sudahlah tidak diberikan perhatian, pembangunan juga diabaikan begitu sahaja. Adakah DAP fikir, dengan menghantar Mahathir ke Sarawak untuk memujuk mereka menyokong Pakatan Harapan, ianya sudah memadai bagi mereka mendapat sokongan?

DAP dan Mahathir harus ingat, semakin kuat mereka memburukkan dan memfitnah kerajaan, semakin bersatu rakyat Malaysia yang menyintai keamanan dan kestabilan. Paling utama, rakyat Malaysia secara majoritinya masih sedar dan tahu bahawa sebarang peralihan kuasa secara kotor sebegini pasti akan menggugat kestabilan dan keamanan yang dikecapi hari ini.

Hal Uber Pun Mahu Dikaitkan Dengan DoJ?



Kadang kala, sukar untuk memahami sikap pembangkang di negara ini. Pada satu ketika, mereka begitu menghentam teruk negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang kononnya negara berkenaan adalah ejen Yahudi dan ejen penakluk. Akan tetapi, jika kena pada kehendak mereka, Amerikalah negara yang membela nasib dan suara mereka.

Terbaru, dalam satu laporan yang disiarkan oleh Bloomberg yang bertajuk "Uber Faces Widespread Asia Briberry Allegations Amid U.S. Criminal Probe" telah meletakkan Malaysia sebaris dengan negara China, India, Indonesia dan Korea Selatan untuk disiasat dibawah elemen quid pro qua iaitu elemen muafakat.

Menerusi artikel ini, Jabatan Keadilan Amerika kononnya sedang menyiasat kelulusan dari kerajaan yang membenarkan sistem e-Hailing di laksanakan dan sekaligus kononnya menyatakan ia mempunyai unsur rasuah.

Seperti biasa, apabila mendengar sahaja kertas siasatan dibuka oleh DoJ, seperti mempunyai magnet atau seperti monyet mendapat pisang, pembangkang khususnya DAP melompat kegembiraan. Hal ini diserlahkan oleh salah seorang Ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong.

Dia sebelum ini dilihat tidak berpuas hati apabila Datuk Seri Hajah Nancy Shukri enggan melayan soalannya mengenai sumbangan korporat dari Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) serta pelaburan sebanyak USD 30 juta dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) ke dalam UBER sebelum undang-undang e-hailing ini dibenarkan.

Walhal sebelum ini, beliau telah menerangkan di dalam Parlimen mengenai sumbangan korperat berkenaan dan beliau telah menafikan bahawa wujud salah laku yang melibatkan UBER dan MaGIC dalam dakwaan rasuah dan menafikan tiada elemen quad pro quo.

Pada penerangan yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan yang dilakukan oleh KWAP itu kepada UBER sebanyak USD 30 juta (RM 125.95 juta) itu adalah berdasarkan penilaian yang telah dibuat serta mengambil kira potensi pelaburan secara menyeluruh.Mana mungkin KWAP tidak memikirkan pelan pelaburan sebelum melakukan sebarang perlaburan.

Nampaknya, pihak pembangkang ini benar-benar bergantung harap kepada DoJ walaupun hakikatnya, Presiden Amerika, Donald Trump sendiri telah melabelkan DoJ sebagai satu badan yang tidak boleh dipercayai. Jika Presiden sendiri pun sudah tidak mempercayai apa jua langkah DoJ, kenapa pula kita seperti monyet mendapat pisang begitu beriya-ia mempercayai DoJ?

Lima Individu Ditahan Polis Terlibat Kegiatan Judi Loteri Awam Haram



Lima individu termasuk dua wanita ditahan polis kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian loteri awam haram dalam satu operasi berasingan di beberapa kawasan di sini semalam. 

Dalam serbuan Ops Dadu Khas pada pukul 3 petang itu, anggota pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu telah menangkap lima individu terbabit yang berusia antara 18 hingga 41 tahun.

Operasi khas membanteras elemen perjudian berkenaan tertumpu di kawasan bandar raya Kota Kinabalu , Menggatal dan Inanam dekat sini. Ketua Polis Daerah Kota Kinabu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, berpandukan maklumat daripada orang awam Ops Dadu Khas menyerbu empat lokasi yang dikatakan 'lubuk' kegiatan judi loteri awam.

"Hasil tiga serbuan di Pekan Inanam dan Pekan Menggatal, kami berjaya menangkap dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini. Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Air pada pukul 4.25 petang, hari yang sama," katanya hari ini.

Tambah Chandra, hasil pemeriksaan pihaknya turut merampas beberapa barangan seperti wang tunai RM2,546, tujuh unit telefon bimbit dan sembilan keping kertas bertulis angka pertaruhan loteri haram. Kes disiasat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jumpa Usus Tersangkut Pada Kayu



Operasi hari kedua mencari seorang lelaki yang hilang dibaham buaya menjumpai organ dalaman dipercayai usus manusia di lokasi mangsa kali terakhir dilihat semalam. 

Bahagian organ tersebut ditemui pasukan penyelamat tersangkut pada sebatang kayu di tepi Sungai Kuala Besar di sini kira-kira pukul 3.19 petang. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintenden Fahdil Antum Abdullah berkata, pada mulanya anggota penyelamat menyangkakan objek tersebut merupakan perut binatang.

“Bagaimanapun setelah dihampiri dan diangkat dengan kayu, ia dipercayai usus manusia. “Organ berke­naan kemudian dihantar ke Hospital Betong untuk ujian DNA,” ka­tanya ketika dihubungi semalam.

Video : Anak Jenis Apa Ini?



Kita digemparkan dengan satu video remaja dengan ibunya yang benar-benar meruntun jiwa, menimbulkan perasaan marah dan geram sejak petang semalam. Bermula dengan memukul, kemudian melempar kata kesat, malah memanggil ibunya dengan perkataan kau, remaja terbabit tergamak bertindak sedemikian kerana wang. 

“Sakit lah bang long,sakit lah...’ rayu ibunya tatkala dipukul. Remaja itu kemudian mengangkat kerusi mengancam untuk menghempas kerusi itu ke tubuh ibunya sambil selepas itu menyebut perkataan lebam terhadap ibunya. Nenek remaja itu hanya mampu mengungkapkan beberapa ayat termasuk ‘tumbuk muka nenek’ bagi membela si ibu.

Sementara itu, individu yang mendakwa menularkan video berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook miliknya atas perbuatannya itu. Pemilik akaun Facebook Jejaka Sereng dalam kenyataannya di laman sosial itu berkata, dia memohon maaf kepada pihak keluarga remaja berkenaan kerana memuat naik video itu kira-kira jam 6 petang, semalam.

"Assalamualaikum kehadapan keluarga Syukri, saya ingin memohon maaf diatas kesilapan dan kesalahan saya kerana telah menviralkan (menularkan) video yang tidak sepatutnya saya postkan (muat naik) dilaman sosial facebook ini.

"Saya akui diatas kesalahan yang telah saya lakukan kerana menviralkan video tersebut. "Saya tidak berniat untuk memburukkan sesiapa. Saya berharap permohonan maaf ini diterima oleh pihak keluarga Syukri," katanya dalam kenyataan itu, empat jam selepas video berkenaan menjadi tular. 

Pada kenyataan yang dimuat naik, Jejaka Sereng turut memberi komen bahawa dia memperoleh video berkenaan daripada rantaian pesanan yang bermula daripada adik remaja berkenaan. "Video daripada seorang adik hantar kepada orang, sampai kepada saya, saya viralkan.

"Tapi saya ingin memohon maaf kerana menviralkan (menularkan). Rasa bersalah terhadap keluarganya kerana menviralkan. Maafkan atas apa yang berlaku," katanya dalam komen itu. Bagaimanapun, media yang cuba mendapatkan individu itu melalui pesanan peribadi tidak menerima sebarang reaksi.

Terdahulu, Jejaka Sereng memuat naik video berkenaan dengan menyatakan kes itu berkaitan seorang remaja bernama Syukri memukul ibunya dalam kejadian jam 9 pagi. Dia juga menyatakan kejadian berlaku di sebuah rumah di Flat Taman Bukit Teratai, Ampang, serta meminta netizen untuk kongsikan video itu kerana terdapat pihak yang sedang mencari remaja berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, bapa remaja berkenaan tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga termasuk anak lelakinya selepas video terbabit tular dan dikecam orang ramai.

“Pengadu berusia 39 tahun memberikan video terbabit kepada guru sekolah anaknya dengan niat agar guru berkenaan menasihati anak pengadu itu. Kemudian pengadu menerima banyak panggilan daripada saudara mara bertanyakan mengenai video terbabit selepas ia tular di Facebook dan dikecam banyak pihak,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pengadu dan isteri pengadu enggan tindakan diambil terhadap anak mereka atau mana-mana pihak. Ibu remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesan pukulan kerana dipukul dengan tangan sahaja.

Video remaja memukul ibunya itu tular di laman sosial sejak petang hari ini sehingga menerima lebih 100,000 tontonan dalam tempoh empat jam dan menerima pelbagai reaksi netizen.


Kerana Master Yoda, Penyelia Pendidikan Dipecat



Pihak berkuasa Arab Saudi memecat seorang pegawai pendidikan kanan dan penyelia lain selepas satu buku teks sekolah ditemui dengan kulitnya memaparkan gambar diubah menggunakan Photoshop menunjukkan Almarhum Raja Faisal duduk di sebelah watak Yoda dari Star Wars. 

Keputusan itu turut dibuat susulan pelbagai kesilapan ditemui dalam buku teks lain, termasuk sejarah, kimia, bahasa Inggeris dan pendidikan agama. Kementerian pendidikan menarik semula buku teks dengan gambar pada kulitnya menunjukkan Yoda duduk di sebelah Raja Faisal ketika menandatangani Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1945, lapor media Arab Saudi.

Akhbar Okaz melaporkan menteri pendidikan menamatkan kontrak Setiausaha Rendah Jabatan Kurikulum dan Program Pendidikan, Mohammed Attiyah al-Harthi, selain semua pegawai bertanggungjawab menyemak dan meluluskan buku berkenaan.

Sementara itu, media melaporkan artis yang melukiskan imej Yoda dalam gambar berkenaan berkata, dia tidak tahu bagaimana ia boleh dicetak di kulit buku teks.

Menurutnya, gambar itu dilukis pada 2013 sebagai sebahagian daripada projek bertujuan ‘mencetuskan minat generasi muda dengan sejarah’ apabila mencampurkan budaya popular dalam filem terkenal Amerika Syarikat ke dalam peristiwa bersejarah.

Janji Hamilton, Bottas


HUJUNG minggu ini menjadi saingan terakhir Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas 18 tahun menganjurkan perlumbaan termahal di dunia itu sejak tahun 1999. 

Petronas yang merupakan antara penaja Mercedes menerusi dua pelumba mereka, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas bertekad mendominasi pusingan ke-15 itu sebagai hadiah buat rakyat Malaysia. 

“Hujung minggu ini merupakan perlumbaan terakhir GP Malaysia jadi saya mahu membanggakan rakyat Malaysia dan Petronas,” ujar Hamilton, pelumba dari Britain pada sidang akhbar di Menara Berkembar Petronas (KLCC) semalam.

Dalam pada itu, Bottas yang mendapat suntikan semangat apabila kontraknya dilanjutkan semusim lagi tahun depan memasang impian untuk memastikan Mercedes mencatat kemenangan 1-2 di Sepang nanti.

“Ini merupakan perlumbaan pertama saya bersama Petronas di Sepang dan tidak sabar untuk memulakan perlumbaan di litar yang mencabar ini. Saya dan Hamilton ingin melakukan yang terbaik hujung minggu ini dengan menyasarkan kedudukan 1-2 buat Mercedes,” kata pelumba Finland itu. 

Sebagai rekod, Hamilton ketika ini mendahului carta kedudukan pelumba dengan 263 mata iaitu perbezaan 28 mata dengan seteru utama daripada pasukan Ferrari, Sebastian Vettel, manakala Bottas di tangga ketiga, 212 mata.