Tuesday, 31 October 2017

Inilah Bajet Yang Memenuhi Kehendak Semua


Masih ramai yang memperkatakan tentang pembentangan Bajet 2018 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. Rata-rata menganggap bajet ini adalah bajet yang paling komprehensif dan menepati hampir kesemua kehendak rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Mengulas tentang perkara ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan bajet ini cukup menyeluruh dan ianya juga tidak pernah melupakan kaum Cina di negara ini. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa bajet ini mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi, sekali gus mampu menjadi antara negara berpendapatan tinggi.

Disamping itu juga, beliau cukup menghargai dasar kerajaan yang tidak pernah melupakan kaum Cina dalam pembentangan bajet berkenaan. Sebagai contoh, melalui bajet berkenaan, kerajaan penyediakan dana pinjaman perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM50 juta kepada komuniti kaum Cina yang disalurkan melalui KOJADI.

Malah tambahan RM30 juta yang disalurkan kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia, memberi bantuan tambahan kepada penjaja komuniti Cina. Lebih menggembirakan, pembangunan kampung-kampung Baru Cina juga sangat bertepatan dalam pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat Cina.

Bagi MCA Perak pula, bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ini membuktikan dasar kerajaan yang tidak pernah membezakan kaum. Ketika menemui salah seorang wakil MCA Perak, beliau turut bersependapat dengan Datuk Seri Liow sambil menambah, kerajaan tidak pernah melupakan kaum Cina walaupun begitu hebat diasak oleh pembangkang.

Beliau juga berharap, menerusi bajet ini, kaum Cina akan kembali kepada kerajaan dan menolak sepenuhnya corak politik jahat pembangkang yang sentiasa cuba mewujudkan saling ketidak percayaan antara kaum di negara ini.

Friday, 27 October 2017

PH Lebih Minat Lihat Pengangkutan Awam Negara Tidak Terurus!


Antara tujuan utama penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) pada tahun 2010 adalah untuk menyelaras dan menaikkan mutu sistem pengangkutan perkhidmatan awam darat di negara ini yang disifatkan tidak teratur dan tidak terurus.

Cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ini kini dapat dilihat hasilnya di mana SPAD memainkan peranan yang cukup proaktif dalam mengurus dan menaik taraf mutu pengangkutan perkhidmatan awam di negara ini. Lihat sahaja bagaimana SPAD menguruskan ERL, LRT, Monorel, teksi, perkhidmatan bas, pengangkutan domestik dan lain-lain lagi.

Justeru, apabila belanjawan alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan semalam yang menyasarkan untuk membubarkan SPAD yang disifatkan mereka sebagai satu pembaziran, ianya sesuatu yang memang tidak masuk akal dan cukup tidak bertanggungjawab.

Manakan tidak, hasil usaha selama lebih 7 tahun untuk memastikan sistem pengangkutan awam di negara ini berada pada tahap optimum, seolah-olah dipandang sepi oleh Pakatan Harapan. Adakah mereka sebenarnya iri hati akan kejayaan SPAD selama ini? Adakah mereka merasakan, sistem pengangkutan awam dahulu jauh lebih baik berbanding apa yang ada pada hari ini?

Ini bukan soal peruntukan semata-mata. Ini membabitkan maruah dan imej pengangkutan awam negara pada kacamata antarabangsa. Harus diingat, dalam memperkatakan kemajuan sesebuah negara, antara ciri-ciri yang dititik beratkan oleh badan pemerhati antarabangsa adalah pengurusan pengangkutan awam samada darat, air mahupun udara.

Bagi SPAD, tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memastikan sistem pengangkutan awam darat di negara ini diselenggara dan diuruskan dengan baik, sentiasa diberi keutamaan. Justeru, apa yang cuba dilakukan oleh Pakatan Harapan ini jelas merupakan satu tindakan yang langsung tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.

SPAD bukan sahaja menguruskan semua pengangkutan awam darat di negara ini. Sebaliknya, SPAD juga bertanggungjawab kepada semua nyawa manusia yang menggunakan perkhidmatan awam darat samada mereka yang menggunakan sistem pengangkutan rel, teksi, bas mahupun lori-lori perdagangan.

Bayangkan jika SPAD ini mahu dibubarkan, apa akan jadi pada pengangkutan awam darat negara? Adakah kita mahu berpatah balik pada masa lampau yang menyaksikan sistem pengangkutan awam darat negara berada pada keadaan tidak terurus? Paling utama, adakah kita rela menyaksikan jalan raya dan lebuh raya di negara ini dijadikan pusara bagi setiap penggunanya?

Sekolah Tidak Siap: SPRM Buka Kertas Siasatan



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, Sri Aman. Sumber memberitahu, pihak suruhanjaya juga akan memanggil beberapa pihak yang terbabit dalam pelaksanaan projek itu untuk merekodkan keterangan mereka bagi membantu proses siasatan. 

Ini termasuk pihak pentadbiran sekolah berkenaan bertujuan mengumpulkan maklumat, yang diharapkan dapat membantu mengenal pasti punca kegagalan sekolah baharu itu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kontraktor sudah diberikan dua tarikh akhir bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan sekolah baharu itu, namun projek itu, dengan kerja pembinaan cuma berbaki kira-kira 10 peratus, masih gagal disiapkan.

"Siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kelewatan berkenaan, termasuk sekiranya wujud asas penyelewengan atau pecah amanah dalam pelaksanaan projek berkenaan," katanya. Difahamkan, pembinaan terpaksa dihentikan berikutan masalah pembayaran antara kontraktor utama dan subkontraktor.

Beliau berkata, pembangunan SK Pulau Seduku menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS) yang sepatutnya tidak mengambil masa lama untuk disiapkan, selain menjimatkan kos pembinaan. 

"Namun, kita dimaklumkan ada isu pembayaran antara kontraktor utama dan subkontraktor sehingga menyebabkan projek ini, yang dimulakan pada 2016, tertangguh sebanyak dua kali. Ini akan diperhalusi dan disiasat," katanya.

Isu kelewatan projek SK Pulau Seduku, yang diluluskan Kementerian Pendidikan pada 2015 membabitkan peruntukan keseluruhan RM8.2 juta, mendapat perhatian sejak awal minggu ini.

Ia berikutan rakaman visual memaparkan muridnya terpaksa 'bersabung nyawa' meredah ribut dan ombak besar Sungai Batang Lupar untuk kembali ke sekolah asal mereka dari Jeti Pekan Lingga, yang menjadi tular di laman sosial, Ahad lalu.

Malah, keadaan itu adalah rutin murid berkenaan selepas menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama ibu bapa masing-masing yang tinggal di penempatan baharu di Pekan Lingga. Tidak hanya ombak besar dan arus deras, mereka turut berdepan ancaman buaya sepanjang 30 hingga 40 minit menaiki perahu untuk berulang alik di antara sekolah dan Pekan Lingga pada setiap hujung minggu. 

Tinjauan di tapak sekolah baharu itu baru-baru ini mendapati baki projek hanya membabitkan proses perincian, selain sistem pendawaian, pemasangan jubin, tandas, bumbung dan beberapa infrastruktur asas berkaitan, termasuk padang.

SK Pulau Seduku mempunyai 12 guru dan 26 murid Tahun hingga Tahun 6 dan mereka satu-satunya penduduk di pulau berkenaan selepas keseluruhan penduduk dipindahkan ke penempatan baharu di Pekan Lingga pada 2012 apabila kawasan itu digazetkan sebagai santuari buaya.

Kehadiran reptilia ganas itu dapat dilihat dengan jelas, malah ada ketikanya ia turut naik ke jeti sekolah dan kawasan padang untuk berjemur.

Shafie Apdal Bebas Reman Dengan Jaminan RM100,000



Mahkamah Majistret membebaskan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini. 

Majistret Cindy Mc Juse Balitus menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 berserta RM80,000 deposit bersama dua penjamin rakyat tempatan terhadap Shafie.

Bekas Naib Presiden UMNO itu ditahan reman selama lapan hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membangunkan Sabah.

Dana itu disalurkan pada kementerian terbabit antara tahun 2009 hingga 2015. Terdahulu, Shafie yang memakai kemeja putih lengan panjang tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dan dibebaskan pada pukul 9.45 pagi.

Sindiket Pelacuran Bergerak Tumpas



Cubaan satu sindiket pelacuran secara bergerak untuk bertapak di negeri ini gagal apabila empat suspek termasuk tiga lelaki dipercayai ‘bapa ayam’ diberkas berhampiran sebuah hotel di bandar raya ini pada minggu lalu. 

Seorang remaja perempuan warga Vietnam berusia 18 tahun yang mendakwa diperdagangkan untuk menjadi pelacur oleh sindiket itu turut ditahan dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam, 20 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebelum serbuan dijalankan, pihaknya telah menerima maklumat kegiatan satu sindiket pelacuran yang beroperasi secara mobil dan menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan.

“Serbuan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 38 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran tersebut selain seorang remaja perempuan Vietnam yang didakwa menjadi mangsa pemerdagangan manusia tersebut.

“Sejumlah kondom, wang tunai berjumlah RM380 dan sebuah van yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu turut dirampas dalam serbuan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Upacara Persemadian Mayat Raja Bhumibol Bermula



Ribuan orang yang berkabung memakai baju berwarna hitam ketika menghadiri upacara persemadian bersejarah, Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej di tapak pembakaran Diraja atau Phra Meru Mas, Sanam Luang di sini semalam. 

Pewaris dan anak lelaki Bhumibol, Raja Maha Vajiralongkorn dijadual menyalakan api pembakaran di tempat persemadian bapanya sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan). Advertisement Upacara pembakaran mayat yang akan berlangsung selama lima hari sehingga Ahad ini bakal dihadiri kerabat diraja, pemimpin kanan tentera, tokoh tempatan termasuk sebilangan wakil negara asing.

Majlis pengebumian mewah yang bernilai AS$90 juta (RM380 juta) akan memberi peluang kepada rakyatnya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada raja yang menaiki takhta pada tahun 1950. Raja Bhumibol yang merupakan peme­rintah monarki tertua di dunia meninggal pada usia 88 tahun di Hospital Siriraj di sini pada 13 Oktober tahun lalu.

Berpuluh-puluh ribu rakyat dikatakan mula membanjiri beberapa jalan raya di sekitar bandar ini, manakala sebahagian lain sanggup berkhemah berhampiran tapak persemadian sejak kelmarin. 

“Beliau memerintah sejak 70 tahun lalu dan me­lakukan banyak perkara untuk rakyatnya. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk membayar jasa beliau. Saya cuma memiliki kesetiaan kepada raja,” kata seorang penduduk, Samruan Amma, 54.

Upacara pembakaran mayat telah bermula semalam dan akan diikuti sehari dengan perarakan suram, ritual keagamaan untuk memberi penghormatan akhir kepada Raja Bhumibol yang juga dikenali sebagai Rama IX.

Jasad Raja Bhumibol dibawa dari Istana Agung ke kawasan upacara persemadian Sanam Luang malam tadi, manakala upacara sebenar akan dijalankan di Phra Meru Mas di Sanam Luang. Beliau meninggalkan satu monarki terkaya di dunia, manakala majlis pertabalan Raja Vajiralongkorn akan dilaksanakan selepas upacara pengebumian bapanya.

Penerjun Wanita Gagal Ujian Doping Didedah



SPEKULASI penerjun wanita negara yang dikaitkan positif ujian doping selepas berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu terlerai semalam. 

Pemenang dua pingat emas, Wendy Ng Yan Yee disahkan sebagai atlet yang gagal ujian doping oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM). Advertisement Setiausaha ASUM, Mae Chan memberitahu, Wendy positif doping jenis sibutramine selepas menyaksikan ujian sampel B yang dilakukan di New Delhi, India turut memberikan keputusan positif.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, atlet berusia 24 tahun itu diberi pilihan sama ada mahu menerima keputusan tersebut atau membawa kes berkenaan ke sesi pendengaran.

“Difahamkan Wendy mahu bawa kes ini ke sesi pendengaran. Ia akan melibatkan dua sesi iaitu bersama panel daripada Persekutuan Sukan SEA serta ASUM yang akan menentukan keputusan tentang penarikan pingat yang diraih serta tempoh hukuman,” katanya.

Pada KL2017 lalu, Wendy meraih dua emas menerusi acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita dan 3m papan anjal seirama berganding dengan Nur Dhabitah Sabri. Kesalahan menggunakan bahan terlarang boleh menyebabkan seseorang atlet berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun.

Lebih Santai, Sarat Babak Lucu


Selepas berjaya ‘menyihir’ penonton menerusi filem Thor pada 2011 dan Thor: The Dark World (2013), kini watak adiwira ikonik yang dilakonkan pelakon kelahiran Melbourne, Australia, Chris Hemsworth itu kembali dengan Thor: Ragnarok yang mula menemui penonton di negara ini mulai semalam. 

Walaupun disuntik elemen jenaka, keunggulan yang dimiliki menjadikan watak dewa petir kelahiran Asgard ini tampak sempurna dengan personaliti sebegitu. Hampir keseluruhan landskap naskhah ini berubah menjadi lebih santai selain sarat dengan babak lucu terutama membabitkan watak Thor. 

Konsep baru ini adalah antara perubahan yang dilakukan pengarah, Taika Waititi yang menjadikan filem itu tampak lebih menarik dan berbeza. Memiliki pengalaman sebagai pelawak dan mahir dalam mengarahkan karya komedi, Waitti menggunakan kelebihan itu untuk menambah warna dan resipi menarik untuk penonton menikmati pengalaman berbeza secara santai.

Lebih menarik, siri baru filem ini menyaksikan adegan pertempuran dan kemunculan watak lain seperti Hulk, Doctor Strange dan Valkyrie serta kebangkitan Hela. Selain itu, imej Thor sendiri turut berubah apabila rambutnya kini dipotong pendek.

Sejak awal tayangan, penonton disogokkan dengan aksi hebat Thor menentang dewa kematian yang sudah lama menyimpan impian memusnahkan kota Asgard. Sekembalinya Thor ke kota berkenaan, dia menemui adiknya Loki yang disangkakan sudah mati.

Bagaimanapun, kehilangan bapanya Odin yang dihantar ke bumi membangkitkan kemarahan Thor terhadap saudaranya itu. Pertemuan mereka dengan Odin di sebuah kawasan terpencil merungkai kisah kewujudan dewa kematian bernama Hela yang pernah dikurung kerana ketamakannya. 

Pembebasan Hela menyaksikan si jahat ingin menuntut bela dan mahu menguasai takhta Asgard selepas kematian Odin. Menyedari niat Hela, Thor dan Loki cuba menghalangnya daripada memasuki kota. Namun, kedua-duanya terperangkap di planet Sakaar, manakala tukul Mjolnir milik Thor musnah dihapuskan Hela.

Bagaimanapun, di planet itu Thor ditemukan dengan teman seperjuangannya dalam Avengers, Hulk sekali gus membolehkan kedua-duanya berganding untuk menghapuskan Hela. Barangkali suntikan komedi yang menghiasi filem ini menjadi perencah kuat untuk penonton terus melekat dan setia menyaksikan filem itu.

Hemsworth dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, filem terbabit disuntik dengan perubahan demi perubahan supaya kelihatan berbeza berbanding sekuel terdahulu. “Selepas berbincang dengan pihak penerbit, Kevin Feige kami akhirnya mendapat kata sepakat untuk menjadikan karya baru ini berbeza berbanding terdahulu.

“Elemen komedi adalah kelainan yang cuba diketengahkan dan saya sendiri gembira sepanjang menjalani penggambaran kerana kurang tekanan,” katanya.

Menurutnya, dia begitu teruja sepanjang menjalani penggambaran dengan Waititi yang mempunyai idea luar biasa terhadap filem itu. “Kami mempunyai visi dan idea untuk mengubah perjalanan cerita itu supaya kelihatan berbeza. Masing-masing mencurahkan idea yang saya kira ‘gila’ dan mempunyai inspirasi untuk pastikan filem ini diterima seluruh dunia.

“Saya sangat menyanjungi Waititi kerana idea yang dimiliki begitu hebat dan dia berani mengambil risiko. Ia satu pengalaman yang mahal dan seronok. Filem ini adalah antara naskhah yang saya boleh banggakan kerana kru produksi filem ini yang mantap dan bersatu hati untuk menjayakannya,” katanya.

Bagi pengarah kelahiran New Zealand itu, dia tidak menafikan Thor Ragnarok tampak berbeza berbanding karya atau komik asal. Namun, hasil garapan kemas terutama membabitkan babak aksi pertarungan antara Thor dan Hulk menjadikan filem terbabit dinantikan peminat tahun ini.

GoHalal Intai Pasaran Indonesia



Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), anak syarikat Dagang NeXchange Bhd (DNeX) yang mengendalikan platform e-dagang produk halal GoHalal merancang untuk menembusi pasaran Indonesia menjelang tahun depan. 

Pengerusi Eksekutif Dagang Net, Datuk Samsul Husin berkata, pihaknya sudah menyediakan pautan dan hak milik domain untuk operasi portal di negara itu sebelum dijangka memulakan operasi seawal 2018.

Menurutnya, bagaimanapun syarikat akan lebih fokus untuk mengukuhkan pasaran tempatan sebelum meluaskan operasi di Indonesia yang menawarkan potensi dan pasaran lebih luas.

“Kami tidak akan terburu-buru memperluaskan platform ini kerana percaya ia perlu berkembang secara organik ditambah kami juga perlu meningkatkan kapasiti pedagang GoHalal sebelum meluaskan pasaran di luar negara,” katanya pada pelancaran kolaborasi tudung Alif By Sha dan GoHalal, di sini, semalam.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif GoHalal, Datuk Mohd Nasaruddin Ahmad dan Pengarah Urusan ASK Boutiqe, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang mewakili Aliff By Sha.

Sehingga kini, GoHalal memiliki lebih daripada 300 pedagang atau usahawan berdaftar yang menawarkan lebih daripada 1,000 unit simpanan stok produk dengan majoriti barangan adalah terdiri daripada produk tempatan. Beliau berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk meluaskan pasaran ke China, Jepun dan Filipina dalam tempoh jangka panjang.

Inspirasi GT Jepun





Mula diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2008, Nissan Teana menawarkan keselesaan optimum dan gaya lebih sporty sebagai sebuah kereta sedan dalam segmen D. Generasi ketiga serba baru yang berada dalam pasaran kini dilancarkan pada 2014 dengan ciri rekaan lebih menarik dan pelbagai bahagian diperkemaskan untuk lebih premium. 

Untuk memberi sentuhan lebih sporty, pada penghujung 2016 Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd sebagai pengedar utama jenama Nissan di negara ini melancarkan versi Nismo yang disempurnakan oleh dua pemandu pasukan Nismo dalam perlumbaan GT Jepun iaitu Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli.

Ia menawarkan kit akesesori luaran dengan gaya DNA pasukan perlumbaan Nissan yang menjadikan kenderaan ini kelihatan lebih ‘muda’. Antara ciri Nismo yang ditawarkan ialah spoiler bampar hadapan, skirt sisi, Trunk Lid Spoiler, rim aloi 18 inci LMX6, spring sport, ekzos berkembar dan tayar Michelin Sport untuk pemanduan lebih berprestasi.

Untuk Malaysia, tiga varian ditawarkan dan penulis berpeluang memandu uji daripada spesifikasi tertinggi iaitu Teana Nismo 2.5 XV selain yang ada dalam pasaran terdiri daripada 2.0 XE dan 2.0 XL.

Meskipun tiada talaan daripada sudut enjin 2,488cc untuk Pakej Pretasi Nismo kepuasan pemanduan dapat dirasakan hasil daripada suspensi hadapan MacPhersonStrut dan Multi-link untuk belakang dengan gabungan spring Nismo direndahkan sebanyak 30 milimeter (mm) menjadikan ia lebih stabil untuk jalan lurus atau selekoh.

Pada kelajuan tinggi, ia bukan sahaja selesa malah kuasa enjin empat silinder DOHC dengan teknologi Kawalan Pemasaan Injap-Bolehubah Berterusan (CVTC) bagi mengawal pembakaran enjin lebih efisien.

Bagi kelancaran CVT Xtronic dengan 6 kelajuan automatik menawarkan penjimatan bahan api dan prestasi lebih baik pada enjin yang mampu menghasilkan kuasa kuda 173PS pada 6,000rpm dan tork 234Nm pada 4,000rpm.

Tidak lengkap jika hanya luaran yang menarik dan bagi rekaan dalaman, Teana juga menyerlah dengan ciri premium termasuk tempat duduk kulit warna hitam dengan inspirasi graviti sifar dan 10 larasan elektronik untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Untuk sistem audio sembilan pembesar suara disediakan yang dilengkapi subwoofer dan amplifier daripada jenama Bose untuk muzik berkualiti sepanjang perjalanan. Tambah menarik unit multimedia paparan berkualiti tinggi lima inci dengan kamera undur serta Paparan Bantu Pemandu Termaju (ADAD) bersaiz empat inci bagi maklumat pemanduan dan kenderaan begitu mudah dilihat.

Ruang kaki untuk penumpang belakang juga selesa termasuk corong pendingin hawa serta langsir automatik pada cermin belakang untuk melindungi daripada cuaca panas serta bumbung suria antara elemen mewah ditawarkan.

Roda stereng kuasa hidraulik-elektro dengan kuasa elektrik memberi kesan terhadap penjimatan petrol juga ada pelbagai ciri seperti kawalan audio dan pelayaran untuk memberi kawalan lebih lancar.

Secara keseluruhannya, Nissan Teana ini antara model terbaik dalam segmen D yang ada dalam pasaran selain Honda Accord, Toyota Camry, Kia Optima dan Hyundai Sonata. Ia pernah dianugerahkan Best Overall Car dalam acara ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2016 dengan penarafan lima bintang untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP).

Ciri pemanduan dan rekaan lebih menarik dengan gril signature, lampu hadapan Xenon dengan HID, lampu kabus, cermin sisi dengan lampu LED, elemen krom pada beberapa bahagian menjadikan ia lebih elegan. Ruang but seluas 516 liter boleh memuatkan pelbagai beg dan barangan keperluan terutama sekali jika perjalanan jauh bersama keluarga atau untuk tujuan urusan rasmi.

Sistem keselamatan terbaik ditawarkan seperti enam beg udara, kawalan pembelokan, Bantu Mula Bukit (HAS) Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA).

Kini dengan elemen ciri sporty Nismo menjadikan Teana didatangkan dengan pakej yang menarik bagi sebuah sedan yang direka untuk golongan eksekutif, pengurusan atau ‘tauke’ yang berjaya.

Lima warna boleh dipilih iaitu Biru Storm, Perak Tungsten, Hitam Diamond, Emas Bronze serta Putih Brilliant dan untuk Nismo dua pakej ditawarkan iaitu Aero dan Prestasi dengan tambahan sebanyak RM6,201 atau RM16,960 ke atas harga jualan kenderaan.

Nissan Teana bermula daripada RM137,000 (2.0L XE CVT), RM147,500 (2.0L XL CVT) dan RM167,500 (2.5L XV CVT) dengan tujuh tahun waranti dan tiga tahun untuk kit nismo atau 100,000km yang mana lebih dahulu.

Thursday, 26 October 2017

Berapa Banyak Nyawa Lagi Guan Eng Dan DAP Harus Korbankan?


Beberapa kejadian yang berlaku di Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP menampakkan betapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan DAP secara amnya, tidak pernah walau sekalipun memperdulikan nasib rakyat Pulau Pinang. Apa yang mereka tahu hanyalah mengaut seberapa banyak kekayaan hasil daripada pentadbiran selama 9 tahun di Pulau Pinang.

Lihat sahaja bagaimana 7 orang telah menemui ajal hasil daripada kewujudan kilang haram pemprosesan kayu di Sungai Lembu, Permatang Pauh yang telah menyebabkan ramai lagi mengalami masalah kesihatan seperti radang paru-paru.

Walapun Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh telah di dakwa di mahkamah atas keculasannya, namun ianya telah meninggalkan trauma teruk kepada penduduk sekitar di kawasan berkenaan. Jika tidak dibongkarkan, mungkin kilang haram berkenaan masih beroperasi dan Phee Boon Poh hanya menutup mata tentang kewujudan kilang berkenaan.

Pulau Pinang juga terkenal dengan masalah banjir kilat. Jika hujan turun selama beberapa jam, seluruh kawasan pulau akan lumpuh disebabkan oleh banjir kilat. Sehingga kini, banjir kilat ini telah memakan 1 nyawa dan sehingga kini, kerajaan negeri masih gagal menyelenggara sistem perparitan dan saliran di seluruh kawasan pulau di Pulau Pinang.

Terbaru, 11 nyawa melayang akibat keegoan dan ketamakan kerajaan negeri yang meluluskan pembinaan sebuah lot kondominium di kawasan lereng bukit. Walaupun pembinaan ini tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, namun menurutu kerajaan negeri, 18 lagi agensi kerajaan negeri meluluskan projek berkenaan.

Jika Jabatan Alam Sekitar sendiri sudah tidak meluluskan pembinaannya atas alasan kawasan pembinaan berkenaan terletak kira-kira 169 meter dari tapak kuari dan dibimbangi akan berlaku sesuatu yang buruk, kenapa masih ada jabatan yang diselenggara kerajaan negeri boleh membatalkan halangan berkenaan? Adakah ianya atas arahan pihak atasan dan kerajaan negeri?

Dalam hal ini, MCA Pulau Pinang telah lama mempersoalkan intergriti dan kejujuran kerajaan negeri dalam mengurus tadbir Pulau Pinang. MCA negeri telah lama mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri menjual dan menarah hampir kesemua kawasan berbukit di Pulau Pinang hanya atas alasan pembangunan.

Hari ini, menurut satu kajian, terdapat lebih 150 kawasan berbukit telah ditarah dan kesemuanya di dapati langsung tidak selamat. Sekali lagi MCA Pulau Pinang mempersoalkan, berapa banyak nyawa lagi harus dikorbankan demi memauskan nafsu tamak Lim Guan Eng dan DAP negeri? Adakah mereka tidak pernah serik dengan rentetan kematian yang dicatatkan di Pulau Pinang?

Remaja Maut Ditetak Rakan Sekerja Bapa



Seorang remaja lelaki maut ditetak oleh rakan sekerja bapanya di sebuah rumah di Kampung Lubok, Kiulu di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa yang berusia 15 tahun mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terkena tetakan di leher.

"Motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham di tempat kerja antara bapa mangsa dengan suspek. Bapa mangsa dan suspek bekerja di sebuah syarikat yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata susulan kejadian itu pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 66 tahun di kampung itu kira-kira 4 petang semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Nelayan Hilang Ketika Keluar Menangkap Ikan Ditemui Lemas



Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di Sungai Gedong pada Selasa lalu ditemui mati lemas hari ini. 

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Nazip Abang, 33, ditemui dalam keadaan terapung di sungai tersebut pada pukul 6.50 pagi.

Menurutnya, mayat lelaki malang itu ditemui oleh penduduk kampung sebelum mereka menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut. "Mayat mangsa sudah dibawa ke Kampung Tengah Hilir di sini untuk proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pada pukul 8.30 pagi," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Wanita Bunuh Suami Didakwa



Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang wanita muda yang didakwa membunuh suaminya menggunakan pisau pemotong sayur pada dua minggu lalu dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemeriksaan status mentalnya semasa kejadian itu berlaku. 

Majistret Amalina Basirah Md. Top memutuskan demikian terhadap pesalah juvana yang berusia 17 tahun 11 bulan untuk menjalani pemeriksaan terbabit selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh suaminya, Mohd. Firdaus Md. Sallehuddin, 28, di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong di sini kira-kira pukul 1.30 petang pada 14 Oktober lalu.

Wanita itu yang memakai baju lokap jingga dan berseluar hitam mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa namun tiada pengakuan daripada tertuduh direkodkan mahkamah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Video : Rintihan Pilu Bapa Di Facebook Sebelum Bunuh Diri



SEORANG lelaki di Turki menyiarkan secara langsung di Facebook (FB) tindakannya membunuh diri kerana kecewa tidak dijemput menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, kelmarin. 

Ayhan Uzun, dari Kayseri, tengah Turki, bercakap kepada kamera menghamburkan kemarahan kepada keluarganya sebelum meletakkan pistol ke kepalanya dan memetik picu selepas membilang 1, 2, 3. Kata-kata terakhirnya ialah: “Selamat tinggal, saya akan pergi, jaga diri semua.” Ayhan kemudian rebah ke lantai.

Keluarganya dikatakan bergegas pulang dan menemui mayatnya. Polis sedang menyiasat kejadian itu dan mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Dalam kenyataannya, Ayhan berkata, dia mahu membunuh diri kerana membantah perbuatan anak perempuannya berkahwin tanpa pengetahuannya. Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai perkahwinan anaknya itu melalui panggilan telefon.

“Mereka (keluarga) hanya menelefon memberitahu perkahwinan itu pada hari bahagia anak saya. Tiada siapa bertanya mengenai saya, tiada siapa melayan saya sebagai lelaki, sebagai bapa. Bapa mentuanya ambil tempat saya sedangkan dia tiada hak membenarkan perkahwinan anak saya.

“Tiada siapa kata bapa perempuan ini masih hidup sedangkan saya menunggu anak dan keluarga berkata: “Bapa, datang untuk bersama kami. Isteri saya telefon dan beritahu mereka tidak boleh datang mengunjungi saya,” katanya.

Ketika siaran langsung itu beberapa rakan dan saudara maranya menghantar komen merayu Ayhan supaya tidak membunuh diri.


Brewster Pacu England Ke Final



Pemain Liverpool, Rhian Brewster meledak hatrik kedua dalam dua perlawanan untuk menyingkirkan pasukan pilihan, Brazil daripada Piala Dunia bawah 17 tahun dan membawa England ke final buat kali pertama, sebentar tadi. 

Brewster yang menjaringkan tiga gol ketika England menewaskan Amerika Syarikat 4-1 di peringkat suku akhir, meledak kesemua gol untuk membantu The Three Lions menundukkan gergasi Amerika Selatan itu 3-1.

England akan menentang pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Sepanyol dan Mali pada final, Sabtu ini.

“Kami akan bekerja keras dan berharap untuk menang,” kata Brewster selepas perlawanan. Brewster beraksi cemerlang bersama gandingan pemain tengah Manchester City, Phil Foden yang membuat hantaran tepat untuk pasukannya meraih kemenangan. Brewster meletakkan England mendahului pada minit ke-10 walaupun pemain Brazil terlebih dahulu melakukan serangan.

Penyerang Brazil, Wesley menyamakan kedudukan pada minit ke-21 untuk mencetuskan permainan lebih mendebarkan. Bagaimanapun, Brewster sekali lagi meletakkan England di depan pada minit ke-39 sekali gus mengungguli carta penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.

Jaringan ketujuhnya dalam kejohanan yang kali pertama dianjurkan di India hadir pada babak kedua untuk menutup peluang Brazil yang juga juara tiga kali.

Misteri Bakal Terungkai



Pada episod penamat musim ketujuh lalu, penonton siri The Walking Dead ditinggalkan dengan rasa ingin tahu bagaimana agaknya nasib Negan lakonan Jeffrey Dean Morgan. Menjadi ketua kepada koloni dinamakan Savior, Negan mencetuskan kemarahan dan dendam kepada ramai orang disebabkan dengan pemerintahan kuku besinya. 

Apalagi, dia sendiri tidak pernah terbit sekelumit rasa kasihan dan bebas membunuh sesiapa pun. Koloni lain ternyata tidak mampu lagi berkompromi dengannya termasuklah Rick (Andrew Lincoln) yang tidak mampu membendung kemarahannya.

Tindakan Negan sudah melampau batas dan dia perlu disingkirkan. Memasuki musim kelapan, episod pertama yang juga episod ke-100 secara keseluruhannya mula ditayangkan di FOX HD (Astro 724), setiap Isnin, jam 9 malam bermula 23 Oktober lalu. Persoalannya, sama ada Negan mati atau tidak bukanlah kunci utama kepada musim terbaru siri ini.

Ternyata musim ini ada sisi lain bakal dirungkai berikutan beberapa pembayang diberikan pada episod berkenaan. Walaupun misi untuk membunuh Negan jauh lebih penting, tetapi nasib karakter lain juga masih jadi perhatian terutama koloni di Alexandria yang tidak tahu bagaimana nasib mereka pada masa depan.

Ketika babak Carl (Chandler Riggs) merayau-rayau di sebuah stesen minyak misalnya, dia dipertemukan dengan seorang lelaki tidak dikenali dan belum sempat berbuat apa-apa, bapanya Rick terlebih dahulu mematikan niatnya.

Siapakah lelaki itu? Dia boleh menjadi sesiapa juga baik dari koloni tidak dikenali mahupun berkemungkinan mata-mata Negan. Melihat daripada lagaknya, seolah-olah dia hidup sendirian dan jelas kelihatan sangat ketakutan.

Begitu juga dengan babak masa depan yang sedang dinikmati Rick bersama keluarganya. Mereka kelihatan cukup bahagia, apapun bayangan itu cukup misteri sama ada ia benar-benar akan terjadi ataupun sekadar ilusi. Mana tidaknya, setiap kali babak itu menjelma ia pasti diselangi dengan babak di mana Rick kelihatan seakan-akan putus harapan.

Hanya menunjukkan ekspresi wajahnya, dia seakan baru kehilangan semua yang dia ada. Bagaimanapun, ketegangan nampaknya tidak pernah berkesudahan di mana kali ini perjuangan mereka kerap diselangi dengan keraguan. Tidak terkecuali, berlaku khianat dalam kalangan mereka apabila sikap pentingkan diri lebih menguasai.

Menariknya musim baru ini ialah ia seakan mengambil semula ingatan penonton kepada episod awal-awal dulu. Beberapa kelibat zombi yang kelihatan adalah sebenarnya zombi sama daripada episod terdahulu. Contohnya zombi lelaki yang mempunyai kesan renjatan elektrik dan diikat pada pokok.

Zombi berkenaan pernah mengejar Rick dari sebuah bas dalam musim terawal dulu. Masih terlalu awal, mungkin belum tiba masa lagi untuk menjadikan situasi lebih genting sebagaimana sebelum ini. Selain daripada menentang dan menyingkirkan Negan, setiap koloni masih perlu menjaga kawasan masing-masing.

Ancaman sebenar kini bukan lagi zombi semata-mata kerana setiap manusia yang masih hidup ternyata masing-masing licik. Dalam pada bersatu hati, bukan semua mampu menahan diri untuk setia. Setiap gerak-geri jadi ukuran dan sedikit syak wasangka boleh menjadi sumber kebinasaan terhadap sesiapa pun.

Malah, Rick sendiri meminta bantuan daripada koloni Hilltop dan Kingdom yang dia sendiri tidak rapat dengan mereka. Dalam ketegangan yang semakin menjadi-jadi, sesiapa juga boleh berpaling tadah sekelip mata.

Walaupun dalam beberapa musim, pelbagai sudut berbeza elemen sudah disuntik sebagai kejutan, pastinya masih banyak lagi boleh dikembangkan dalam siri berkenaan. Semakin banyak karakter yang hadir, tentu sekali cerita demi cerita berbeza akan ditampilkan dan bukan sekadar berfokuskan kepada koloni sedia ada.

HUAWEI Mate 10 Pro Kukuh Kedudukan Hasil Imej Cemerlang



Huawei Mate 10 Pro meraih 97 mata keseluruhan dalam penarafan diberikan DxOMark mengatasi jenama global lain. DxOMark adalah sumber pengukuran dan penarafan kualiti imej dipercayai dan terkemuka untuk telefon pintar, kamera dan kanta sejak 2008. 

Penarafan terbabit memberikan pengiktirafan serta mengukuhkan kedudukan HUAWEI Mate 10 Pro sebagai telefon pintar dengan ciri fotografi cemerlang.

Timbalan Pengarah Negara Perniagaan Pengguna Kumpulan (Malaysia) HUAWEI Matthew Ng berkata, syarikat menyedari semakin banyak pengguna bergantung kepada telefon pintar untuk menghasilkan imej dan video berkualiti tinggi.

“Dengan teknologi kepintaran buatan (AI), siri baru Mate 10 mempunyai kelebihan menghasilkan imej fotografi profesional lebih hidup serta meningkatkan fotografi mudah alih ke tahap baru,” katanya.

Warna ditawarkan Mate 10 Pro termasuk coklat, hitam, emas dan emas merah jambu.

Arena Of Valor Best Gila!



Tidak sampai dua minggu diterbitkan untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Filipina, permainan mudah alih kendalian Garena, Arena of Valor (AOV) yang dibangunkan oleh Tencent Games kini mencecah 500,000 muat turun di Playstore dan Appstore. 

Berada dalam kelompok Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) khusus untuk peranti pintar, AOV kini antara ‘game’ paling hangat di pasaran dan penulis sudah mencuba permainan ini untuk pertama kalinya.

Tapi bagi sesiapa yang belum tahu, AOV mempunyai mekanisme hampir sama dengan Mobile Legends dan pasti andaterfikir apa yang lebih menarik mengenai permainan baru ini? Ikuti reviu daripada penulis.

1. Hero percuma, mudah dimainkan 

Antara tarikan utama AOV ialah hero percuma yang boleh didapatkan sejurus menyiapkan tugasan diberikan secara berperingkat. Sebagai contoh, kamu boleh mendapatkan Butterfly selepas memenangi 10 perlawanan kasual bersama rakan.

Lebih menarik, tugasan ini juga menawarkan kosmetik (skin) percuma untuk mengubah penampilan karakter kamu. Kosmetik bagi Alice, misalnya, boleh dimiliki selepas 50 kemenangan dalam mod Ranked. Selain hero percuma, AOV turut memahami keperluan pemain baru yang ingin menyesuaikan diri dengan permainan berpaksikan genre sebegini.

Terdapat lebih 30 hero yang terdiri daripada tahap kemahiran berbeza. Veera, Valhein dan Taara antara hero mudah dimainkan kerana tahap kuasa mereka yang mudah difahami dan tidak terlalu sukar untuk pelajari. Jika anda pemain baru, pastikan mencuba hero yang mempunyai tahap kemahiran paling rendah.

2. Grafik cantik, runut bunyi luar biasa 

Selain memaparkan barisan karakter yang antaranya mempunyai set kuasa asli, AOV turut dikenali dengan grafiknya yang sangat mencuri perhatian. Setiap objek dan kosmetik karakter wajar diberi pujian kerana hasil kerjanya sangat teliti.

AOV juga mempesona jika dinilai daripada hasil kerja Hanz Zimmer yang merangkul pelbagai anugerah gemilang bagi penghasilan runut bunyi bagi filem epik sebelum ini. Penulis kagum dengan sentuhannya dalam permainan mudah alih ini.

3. Mod yang pelbagai 

AOV menawarkan 6 mod berbeza kepada pemain. Ia kelihatan seperti permainan yang sudah siap kerana tidak perlu menunggu beberapa lama untuk menambah mod baru. Mod biasa seperti Grand Battle sesuai untuk semua manakala Abyssal Clash untuk mereka yang dahagakan konsep perlawanan ‘mid wars’.

Bagi yang ingin cuba kemahiran bermain hero dengan baik, Solo Battle sesuai untuk kamu. Hook Wars pula sangat seronok dimainkan untuk mengisi masa lapang tanpa perlu menjadi terlalu serius ketika perlawanan. Mod Ranked pula sangat sesuai dimainkan bagi yang dahagakan cabaran.

Dari aras bawah, kamu bermula di tahap gangsa dan kemudian mendaki tangga kompetitif sehingga tahap Master. Mod ini lebih mencabar kerana ia dinilai mengikut jumlah bintang dan kekalahan menyebabkan kehilangan bintang.

Wednesday, 25 October 2017

Kerjasama Kit Siang - Mahathir Tidak Akan Kekal Lebih Dari PRU 14



Tahun lalu, tidak ada sesiapa menjangkakan bahawa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya menjalinkan persahabatan semula dengan Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang setelah berdekad-dekad bermusuhan. 

Bayangkan, pelbagai kata nista dilemparkan Mahathir terhadap Kit Siang dan begitu juga sebaliknya, namun ianya seperti langsung tidak ada apa-apa yang berlaku sebaik sahaja Mahathir lebih cenderung kepada pembangkang. Malah, Lim Kit Siang sendiri merupakan individu yang begitu kuat melobi bagi membenarkan PPBM menjadi parti gabungan di dalam Pakatan Harapan.

Mungkin ada yang beranggapan, hubungan erat antara Lim Kit Siang dan Mahathir sejak kebelakangan ini akan berkekalan. Namun, jika kita perhatikan gerak politik antara dua orang ahli politik tua ini, setiap satunya mempunyai signifikan dan pengertiannya yang tersendiri dan ada kemungkinan, hubungan mereka tidak akan kekal selepas PRU ke 14.

Secara amnya, kedua-dua individu ini mempunyai prinsip dan idealogi yang berlainan walaupun mereka berada di dalam 1 kem. Sejak dahulu lagi, Lim Kit Siang menyasarkan untuk menguasai Malaysia menerusi DAP secara tunggal dan keinginannya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Republik, sama seperti Singapura, bukan lagi satu rahsia.

Bayangkan, sejak 1966, Lim Kit Siang tidak pernah sekalipun berundur dari kepimpinan tertinggi DAP dan mereka berjuang secara solo pada setiap Pilihan Raya Umum sehinggalah mereka akhirnya membentuk gabungan pada tahun 2002. Malah, sehingga kini, mereka masih lagi menjadi ketua de facto buat Pakatan Harapan walaupun nama pemimpin mereka "dihilangkan" dari senarai kabinet bayangan Pakatan Harapan.

Bagi Mahathir pula, pada dasarnya, memang menampakkan Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. Namun, berapa ramai yang menyedari bahawa PPBM hanya mempunyai 1 kerusi sahaja iaitu di Pagoh, itupun hasil daripada pembelotan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Jika tidak, PPBM hanya berani berbunyi tanpa mempunyai apa-apa kerusi untuk dibanggakan.

Bagi Mahathir, selain daripada keinginannya untuk menumbangkan UMNO dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, keinginan kuatnya untuk menyaksikan anak kesayangannya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri, tidak mampu untuk disembunyikan. Malah, Mahathir juga sehingga kini langsung tidak pernah menafikan keinginannya itu.

Melihat kepada dua haluan berbeza antara Lim Kit Siang dan Mahathir ini, sudah pastinyalah kedua-dua individu ini hanya berpegang pada satu prinsip, menang Pilihan Raya. Namun selepas menang, kedua-duanya akan bercakaran dalam menegakkan kemahuan masing-masing sehinggakan rakyat pasti akan menjadi mangsa kepada kerakusan kedua-dua individu ini.

Tetapi, diantara Lim Kit Siang dan Mahathir, Kit Siang jauh lebih bijak berbanding Mahathir. Sepanjang penggabungan DAP dengan Semangat 46, PKR, PAS, PAN dan PPBM, Lim Kit Siang telah berjaya menundukkan ramai pemimpin Melayu antaranya Datuk Seri Anwar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mat Sabu dan terbaru, Mahathir yang selama ini tidak pernah sekalipun dapat ditundukkan.

Justeru, Kit Siang kini mempunyai kuda tunggangan baru untuk digunakan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak. Mahathir yang sudah berumur 93 tahun itulah yang diarahkan Kit Siang menganjurkan demo, melakukan hasutan, siri jelajah malah Mahathir jugalah yang dipertanggungjawabkan untuk memecah belahkan kesepakatan orang-orang Melayu.

Adakah impian untuk menyaksikan hubungan erat Lim Kit Siang dan Mahathir ini kekal berpanjangan? Dari apa yang diperhatikan, sekiranya Mahathir gagal melaksanakan apa yang dimahukan Lim Kit Siang, nasib Mahathir pasti akan menjadi jauh lebih teruk dan ada kemungkinan, Mahathir akan dihumban keluar dari Pakatan Harapan. 

Tak Lah Hebat Sangat!



LELAKI yang berjaya melarikan diri dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, kelmarin, ditahan semula sepasukan polis kurang 24 jam di sebuah rumah di Kampung Kelka, Simunjan, tengah semalam. 

Suspek, Zulkipli Morni, 34, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kuching jam 1 tengah hari ketika bersembunyi di rumah rakannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar mengesahkan penahanan itu dan berkata suspek akan dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut. Menurutnya, polis menerima maklumat awam berhubung kehadiran suspek di rumah berkenaan sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi. 

"Tahniah kepada pasukan dari BSJ IPD Kuching yang bertungkus lumus mengesan suspek dan berjaya menahannya dalam tempoh kurang 24 jam," katanya.

Media semalam melaporkan suspek meloloskan diri dengan membuka garinya sendiri ketika berada di bilik pengawal IPD Kuching kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Suspek yang berpakaian lokap kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Iswara putih yang menantinya di kawasan luar IPD Kuching. Ketika kejadian, suspek bersama beberapa tahanan lain baru tiba dari Mahkamah Majistret Kuching selepas mendapat perintah reman.

4 Maut Avanza Langgar Lubang



Empat pelajar wanita maut manakala lima lagi pelajar lelaki cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki mereka untuk ke sekolah terlanggar lubang sebelum terbabas dalam kejadian di Jalan Kanibongan ke Pitas di sini semalam. 

Dalam kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu, empat pelajar wanita yang terbunuh ialah Dayang Munisah Exon; Evi Elsie Jukirim dan Sweeta Kongkoyan dan Rebecca Stacey Siman. Tiga mangsa terbunuh masing-masing berusia 18 tahun dan Rebecca berumur 16 tahun.

Lima lagi pelajar lelaki iaitu Mikhievinlee Lotijin; Aewinkafo Lawrence; Fairus Ejoy Marayau; Jaklin Johglin dan Eden Elio masing-masing berusia 18 tahun hanya cedera dan mereka dirawat di Hospital Pitas.

Sembilan pelajar terbabit merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas 2 di sini.

Dua Aktivis PPIM Didakwa



Dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini Julai lalu. 

Kedua-dua tertuduh iaitu Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhamad Yusuf Azmi, 27, dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin, 50, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Terdahulu, mereka berdua menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini pada pukul 7.45 pagi namun dibawa ke mahkamah bagi proses pendakwaan yang turut dihadiri kira-kira hampir 150 penyokongnya.

Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Yusuf dan Ali didakwa dengan niat bersama telah melakukan perbuatan khianat memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd. di Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13 di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau ke­dua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Isteriku Sama Jenis...




Seorang lelaki terkejut besar selepas mengetahui ‘wanita’ yang dikahwininya beberapa bulan lalu sebenarnya seorang lelaki. Media tempatan melaporkan, M Fadholi, 21, berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Ayu Puji Astutik, 23, dalam satu majlis yang meriah pada 19 Julai lalu. 

Pernikahan itu didaftarkan di Pejabat Urusan Agama (KUA) di Ajun selepas pasangan berkenaan mengemukakan borang berkahwin dan dokumen pengenalan diri.

Pasangan itu tinggal bersama di Dusun Plalangan, Desa Glagahwero dan Ayu juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk sering hadir program di masjid.

Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar berita bahawa Ayu adalah seorang lelaki selepas ada pihak membuat aduan kepada KUA. Pihak KUA yang terkejut dengan aduan berkenaan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

‘Bermain Demi Maruah Negara’



BIARPUN tidak dijanjikan habuan wang ringgit, namun para pemain skuad hoki negara tetap berbangga membawa nama Malaysia menerusi beberapa kejayaan yang dilakar di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini. 

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen layak ke pentas Piala Dunia 2018 di India tahun depan selepas berjaya menempatkan diri sebagai empat pasukan terbaik pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London, Jun lalu.

Skuad Malaysian Tigers turut melakar sejarah apabila buat kali pertama mara ke final Piala Asia 2017 di Bangladesh, namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara setelah tewas 1-2 kepada India yang menghuni ranking ke-6 dunia Ahad lalu.

Kejayaan membanggakan negara itu seharusnya setimpal dengan pengorbanan mereka menerusi habuan ‘durian runtuh’, namun mereka menganggap ia satu bonus jika diberi ganjaran tersebut. Van Huizen menyifatkan, pengorbanan anak-anak buahnya terbayar dengan kepuasan tidak terhingga selepas muncul naib juara pada aksi final Piala Asia lalu.

“Tidak ada pemain yang mengharapkan ganjaran atas setiap pengorbanan mereka sejak dari London (Separuh Akhir WHL) hingga sekarang. Namun, saya merasakan mereka sepatutnya berhak menerimanya atas kejayaan itu,” katanya.

Kontena 404 'Hantui' Istana Budaya



Pasti ramai yang tahu kemelut yang melanda produksi teater Kontena 404 (Jangan Main-Main) apabila dikatakan dibiaya Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman yang ditahan bagi membantu siasatan penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.8 juta. 

Walaupun Pengurus Besar DBI Entertainment Lyana Zulkepli menjelaskan Boy Iman bukanlah pembiaya untuk pementasan teater di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini, ia sedikit sebanyak mengganggu emosi tenaga produksi dan pelakonnya.

Bagaimanapun berbekalkan kepercayaan yang diberikan Istana Budaya, Raja Azrey selaku pengarah bangkit meniupkan semangat buat semua yang terbabit dengan pementasan ini. Pentas sederhana besar bukan satu masalah buat Raja Azrey untuk mementaskan teater kesembilan arahannya ini. 

Cukup dengan rekaan set banglo usang dan sebatang pokok, dia lebih mementingkan aspek penguasaan pentas dan lontaran dialog yang penuh penghayatan dan mengandungi mesej daripada pelakon yang ditampilkan.

Pelawak Tauke Jambu dan Miera Leyana yang pertama kali berlakon teater diberikan tugasan berat untuk memainkan watak utama sebagai Hantu Jantan dan Aisyah. Mereka dibantu pelakon asuhan Raja Azrey di bawah kumpulannya Geliga Merah Opera (GMO), Lokman Harmin yang membawakan watak Orang Minyak.

Bahkan Raja Azrey sendiri turun padang sebagai Pak Selamat dan tindakan ini ternyata memberi nafas untuk teater Kontena 404 ini. Teater ini turut dimeriahkan dengan kemunculan Adam AF, Aesar Mustafa, Adam Shahz dan Rani Kulop. Perjalanan cerita ini tidak membosankan kerana mempunyai elemen komedi.

Namun, dalam bergelak ketawa, ada mesej yang diselitkan sebagai renungan dan teladan buat kita. Teater genre komedi seram ini berkisarkan sebuah rumah di tanah lot bernombor 404 yang sering menjadi igauan penduduk kampung kerana dikatakan berhantu.

Pemiliknya, Pak Selamat mengambil keputusan untuk merobohkan rumah itu dan ingin mendirikan sebuah rumah yang lain dari biasa iaitu rumah kontena. Rumah itu juga akan dihadiahkan kepada Aisyah sempena perkahwinannya nanti.

Namun proses merobohkan rumah itu menjadi huru-hara apabila kontraktor yang dilantik ada yang disampuk dan diganggu mengakibatkan kerja banyak tergendala. Gangguan ini sebenarnya berpunca dari seekor hantu bernama Hantu Jantan yang tinggal di rumah ini. Keadaan bertambah rumit apabila hantu itu jatuh hati pula terhadap Aisyah dan ingin mengahwininya.

Dia seterusnya menjelmakan diri bertemu Pak Selamat dan cuba meminang anaknya. Permintaan ini dihalang menyebabkan Hantu Jantan mengamuk dan mencetuskan huru-hara. Ditemui selepas pementasan berakhir, Tauke berkata, dia memperoleh pengalaman baru dan amat bertuah kerana dapat membuktikan bakatnya di pentas teater pula.

“Biarpun kami ditimpa pelbagai masalah dan isu, kami anggap itu sebagai satu cabaran dan akhirnya berjaya mengadakan persembahan dengan lancar,” katanya. Tauke menganggap dirinya bertuah membawakan watak Hantu Jantan bukan kerana ia watak utama tetapi kerana menggambarkan hampir 70 peratus apa yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan sebenarnya.

“Ia ibarat kisah benar mengenai impian perkahwinan, mengenai perasaan saya sebelum ini. Jadi perkara ini buat saya rasa sangat terkesan dengan Kontena 404. Saya berikan komitmen sepenuhnya kerana amat tertarik dengan watak dan jalan ceritanya,” katanya.

Miera pula melihat sebuah lagi karya hebat dilahirkan menerusi Kontena 404. “Bagi saya teater ini sangat dekat dengan saya. Ia antara skrip terhebat yang pernah saya buat. Ia mempunyai pelbagai rasa meliputi elemen sedih, romantik, komedi dan segala-galanya.

“Sebagai pelakon agak jarang saya dapat naskhah sebegini. Ia penuh emosi dan dapat dibuat secara langsung depan penonton di IB,” katanya.

Miera hanya dapat berlatih dalam tempoh sebulan dan sangat sedih sebaik pementasan berakhir. “Perasaan saya sangat sedih kerana hubungan yang terjalin dengan semua pihak bagaikan sebuah keluarga. Masing-masing memberi semangat antara satu sama lain dan diharapkan kami dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Raja Azrey, dia lega kerana segala usahanya yang dibuat selama hampir dua bulan berbaloi apabila teater ini mendapat sambutan penonton. “Mereka menerima seadanya pelakon yang terbabit dalam teater ini termasuk saya sendiri. Tiada kejanggalan mengatakan kehadiran saya akan mengganggu rentak perjalananan cerita.

“Pelakon pun seakan selesa apabila saya berada sama. Bagaimanapun tak dinafikan apa yang berlaku sebelum itu membuatkan saya tertekan,” katanya.

Menurutnya, kesepakatan dan kekuatan pasukan produksi serta pelakon menjadi faktor kejayaan teater ini sehingga diterima baik oleh peminat.

“Apa yang diperlihatkan mereka membuatkan rasa penat dan tekanan yang dialami sebelum ini hilang. Mereka tak terganggu dengan apa yang mereka dengar. Saya juga menerima respons positif daripada Istana Budaya yang menyifatkan teater ini lain daripada teater yang pernah dipentaskan sebelum ini,” katanya.

'Berebut' Huawei Nova 2i



Kurang seminggu selepas dilancarkan, telefon pintar Huawei Nova 2i habis dijual di negara ini sama ada di kedai terpilih atau pengedar sah. Seperti dua siri lain iaitu Mate dan P yang disasarkan kepada pengguna profesional atau penggemar fotografi, siri Nova sesuai untuk generasi belia yang dinamik serta kerap menggunakan telefon seharian. 

Huawei pertama kali mengumumkan Nova 2i pada 26 September yang turut menampilkan aktres terkemuka Hannah Delisha sebagai duta di Malaysia. Stor Huawei diserbu pada minggu pertama jualan dengan orang ramai mula beratur sebelum ia dibuka bagi mendapatkan telefon berkuasa tinggi terbabit selain bertemu sendiri Hannah yang turut mendemonstrasikan Nova 2i.

Kamera belakangnya yang juga dwilensa mempunyai resolusi 16 dan 2 megapiksel dengan saiz piksel 1.75um menghasilkan foto yang jelas. Manakala, dua lagi lensa Nova 2i untuk di depan berupaya merakam imej yang jelas tidak kira pada mana-mana persekitaran, selain kualiti imejnya seakan menggunakan kamera DSLR.

Bagi kamera depan, selain turut datang dengan ciri bokeh, ia mempunyai fungsi flash ambien pintar yang menghasilkan swafoto lebih cerah meskipun ketika itu anda berada dalam suasana gelap bersama rakan. Nova 2i dijual pada harga RM1,299 dengan skrin 5.93 inci jenis FullView yang turut datang dengan RAM 4GB, di samping kadar storan 64GB.

Menariknya, telefon ini sistem algoritma pembelajaran mesin (MLA) yang membaca tabiat penggunaan telefon pengguna bagi memproses storan, sistem dan memori secara bersepadu sehingga membolehkannya bertahan selama 18 bulan.

Peminat game juga pasti teruja apabila visual dapat ditonton pada nisbah skrin 18:9 yang lebar untuk pengalaman lebih sempurna. Bagi yang berminat, masih boleh mendapatkannya di laman e-dagang, www.vmall.my.