Thursday, 30 November 2017

Laporan Audit Bongkar Penyelewengan Kerajaan PKR Dan Azmin Ali Di Selangor



Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azmin Ali nampaknya menjadikan negeri itu seperti lubuk mereka untuk kaut wang daripada menjadikan negeri itu tempat mereka berbakti untuk rakyat. Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara (AG) baru-baru ini, selain Pulau Pinang yang banyak unsur mencurigakan untuk songlap duit, Selangor juga apa kurangnya. 

Kalau Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah dipersoalkan cuba songlap berjuta-juta wang peruntukan kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali juga banyak perkara yang boleh dipersoalkan dalam Laporan Audit Negara yang melibatkan negeri itu.

Dalam laporan berkenaan dinyatakan ada 57 peratus projek yang diluluskan Kerajaan Negeri Selangor untuk tahun 2016 direkodkan masih belum dimulakan. Mengapa ia masih belum dimulakan? Dalam hal ini, Azmin dikenali dengan suka memilih kontraktor atau syarikat yang ada hubungan kroni.

Biasanya, projek berkenaan lambat dimulakan kerana Azmin masih belum memilih lagi syarikat mana yang boleh dilantik pada masa sama boleh memenuhi kepentingan beliau dalam projek itu. Penangkapan anak saudara Azmin oleh SPRM, mungkin ada kaitan dengan projek projek ini agaknya.

Jumlah 57 peratus projek yang belum dimulakan itu ialah yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain. Lebih teruk dalam laporan berkenaan, kerajaan negeri hanya berjaya menyiapkan 8 peratus sahaja projek. Peratusan itu adalah yang paling rendah berbanding negeri lain.

Selain itu, di halaman 57 laporan berkenaan dinyatakan daripada 116 projek dalam pelaksanaan, terdapat 21 projek yang lewat dari jadual. Antara faktor yang menyumbang kepada projek lewat jadual adalah prestasi kontraktor yang kurang memberangsangkan, isu pengambilan tanah, kerja pengalihan utiliti dan isu reka bentuk yang belum muktamad.

Ketika Datuk Seri Najib bentang Bajet 2018 di parlimen, bukan main lagi bising Azmin Ali dalam twitter pertikai itu dan ini. Rupanya bila disemak di Selangor, antara yang paling teruk pretasinya melibatkan projek pembangunan untuk rakyat.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam satu kenyataan berkata, peruntukan bagi semua projek tahun lepas telah diluluskan menerusi Belanjawan Negeri 2016, yang dibuat pada tahun 2015.

"Kini sudah hampir kepada penghujung tahun 2017. Selepas hampir dua tahun peruntukan diluluskan, laporan ini adalah jelas sesuatu yang begitu memalukan dan Menteri Besar, Azmin Ali perlu menjelaskan perkara ini kepada rakyat negeri Selangor. "

Azmin Ali selalu mendabik dada kononnya pentadbirannya telah membawa banyak kejayaan. Namun laporan yang dikeluarkan ini dengan jelas menunjukkan kepincangan ketara pentadbiran negeri di bawah beliau," katanya.

Azmin lebih banyak ambil tahu hal ehwal negeri lain daripada ambil kisah hal negeri sendiri. Azmin sibuk pusing dan jelajah negeri lain untuk jadi Presiden PKR dari mempedulikan nasib rakyat Selangor. Oleh sebab itulah di Selangor, 57% projek belum dimulakan untuk rakyat.

Rumah mampu milik rakyat belum lagi dibina. Rumah bilal kena roboh. Projek untuk buat rumah maksiat, pusat judi dan pub siap cepat. Tumbuh bagaikan cendawan di Selangor. Tanah rakyat diseleweng dan diberi pada kroni. Anak saudara sendiri kaya raya. Inilah dia cara Azmin Ali dan PKR memerintah Selangor.

Rakyat Selangor masih lagi boleh terima cara begini? Anak saudara dia duit penuh berguni, rakyat hendak rumah tidak dapat dapat lagi sampai ke hari ini.

Beruang Biru
Khamis
30 November 2017

myBas Akan Diperkenalkan Di Dua Buah Negeri Lagi



Antara transformasi yang begitu hebat dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) adalah dengan mempertingkatkan tahap kecekapan dan pengurusan bas henti-henti di Semenanjung Malaysia. Untuk ini, myBAS, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) diperkenalkan.

Sehingga hari ini, program berkenaan telah beroperasi dengan begitu baik di Kangar, Perlis, Seremban, Negeri Sembilan dan Ipoh, Perak. Terbaru, program ini bakal beroperasi di Kuala Terengganu, Terengganu dan sebuah negeri lagi pada suku kedua tahun depan.

Mengulas tentang perkara ini, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Qamar Wan Noor, berkata myBAS bakal memanfaatkan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di dua negeri itu.

Katanya lagi, menerusi program ini, ianya dapat membantu pengguna di luar Lembah Klang menikmati transformasi pengangkutan awam darat dari segi kemudahan dan kualiti. Pihak SPAD juga katanya akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas di bandar dan berdasarkan program myBAS di beberapa negeri sebelum ini, maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan.

Tambah beliau lagi, program ini bakal menjadi tunjang perkhidmatan awam negara menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50) apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak

Nampaknya, transformasi pegangkutan awam darat tidak hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang semata-mata. Ianya turut diperluas ke peringkat negeri secara berperingkat-peringkat bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menikmati satu mutu pengangkutan awam darat yang penuh berkualiti dan cekap.

Hampir 64 Peratus Kes Berjaya Diselesaikan



Sebanyak 63.84 peratus atau 173 daripada 271 keseluruhan kes jenayah indeks diselesaikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sejak 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini. Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata penyelesaian kes itu melibatkan kes jenayah keganasan serta jenayah harta benda. 

"Peratusan tinggi penyelesaian membuktikan kemampuan dan komitmen polis dalam menangani kes jenayah di daerah ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Lahad Datu di sini, semalam.

Setakat Januari hingga Oktober ini juga, kadar indeks jenayah dicatatkan menurun kepada 271 kes berbanding 300 pada tempoh sama tahun lalu. "Kes direkodkan tahun ini termasuk dua kes bunuh, 13 kes samun, 30 kes kecurian motosikal dan 69 kes pecah rumah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Hamzah berkata bagi tempoh sama seramai 160 individu ditahan terlibat kes dadah di Lahad Datu dengan 21 kes membabitkan 28 individu direkodkan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua warga IPD Lahad Datu agar tidak bersekongkol dengan kegiatan jenayah termasuk penyeludupan yang menyumbang kepada jenayah rentas sempadan seperti penyusupan masuk pengganas ke negara ini.

Lelaki Cuci Lori Terkena Renjatan Elektrik



Malang tidak berbau apabila seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Betong selepas terkena renjatan elektrik ketika mencuci lori di Kampung Bungin, kelmarin. Difahamkan, mangsa Gander Denggang, 40, terkena renjatan elektrik itu akibat masalah pendawaian pada lori berkenaan yang turut mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar jam 1.50 tengah hari. 

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong Henry Jugah berkata, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan itu berhenti di kampung berkenaan untuk mencuci lori terbabit selepas selesai membawa muatan pasir ke tempat kerjanya.

Menurutnya, ketika mangsa mencuci bahagian hadapan kenderaan itu, masalah pendawaian berlaku menyebabkan arus elektrik mengalir pada permukaan lori yang dicuci. “Mangsa bernasib baik sempat menyelamatkan diri, bagaimanapun bahagian hadapan kenderaan itu musnah terbakar.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 1.59 tengah hari berhubung kejadian dan mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Henry berkata, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Spaoh sebelum dirujuk ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut. “Operasi tamat jam 2.50 petang, manakala anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Anak Saudara MB Pun Kena



EMPAT suspek termasuk anak saudara menteri besar ditahan reman tujuh hari bagi siasatan kegiatan perlombongan pasir dan batu haram di Selangor. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin terhadap semua suspek sehingga 6 Disember ini, di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. Suspek terdiri daripada dua pengarah syarikat, pengurus tapak dan pekerja syarikat pengiklanan yang ditahan semalam.

Dalam pada itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun syarikat bernilai RM4 juta selepas menahan individu dipercayai ada kaitan dengan kegiatan perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Difahamkan, dalam operasi itu, pasukan penyiasat SPRM memeriksa beberapa lori disyaki membawa pasir haram, kira-kira 10 pagi semalam. Syarikat perlombongan itu dikatakan merasuah penguat kuasa tempatan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan.

Jeneral Crotia Minum Racun Dalam Mahkamah



BEKAS jeneral tentera Croatia ketika perang Bosnia yang menelan bahan dipercayai racun selepas Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Yugoslavia di The Hague mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadapnya semalam, disahkan meninggal dunia malam tadi. 

Reuters melaporkan jurucakap mahkamah, Nedad Golcevski, mengesahkan Slobodan Praljak yang dikejarkan ke hospital berdekatan, meninggal dunia. Menurut AFP, selepas mahkamah mengekalkan hukuman itu, Praljak, 72, yang mengemukakan rayuan didengar menjerit: “Praljak bukan penjenayah! Saya tolak keputusan kamu!”

Dia kemudian membuka botol kecil dan menelan kandungannya dengan setiap perbuatan direkodkan kamera yang merakam prosiding. Kejadian mengejutkan itu berlaku selepas hakim turut mengekalkan hukuman penjara 25 tahun terhadap bekas perdana menteri Republik Croatia Herzeg-Bosnia (yang tidak diiktiraf) Jadranko Prlic ketika perang Balkan pada 1990-an.

Prosiding ditangguhkan sebaik peguam Praljak menjerit: “Anak guam saya berkata dia menelan racun!” Praljak didakwa mengarahkan kemusnahan jambatan era Uthmaniah kurun ke-16 di Mostar pada November 1993 yang menjadi simbol kemusnahan Bosnia.

Bandar itu juga lokasi pertempuran paling teruk membabitkan orang Islam Croatia dengan hampir 80 peratus musnah dalam perang. Praljak mengetuai tentera Croatia Bosnia dikenali sebagai HVO antara Julai hingga November 1993.

Alfa Romeo Kembali Ke F1



Alfa Romeo kembali ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) selepas 30 tahun ‘menghilang’ dengan mengadakan kerjasama bersama pasukan Sauber, tahun depan, umum jenama ikon mewah Itali itu, hari ini. Pasukan yang akan menggunakan enjin Ferrari itu akan dikenali sebagai pasukan Alfa Romeo Sauber. 

Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar kereta berpangkalan di Milan itu berkata dalam satu kenyataan yang Alfa: “Bertekad untuk mula menulis babak baru yang menarik dalam sejarahnya yang unik.”

Pengerusi Sauber Holding AG, Pascal Picci menambah: “Kami amat gembira untuk mengalu-alukan kehadiran Alfa Romeo dalam pasukan Sauber F1.

“Alfa Romeo mempunyai sejarah kejayaan yang panjang dalam perlumbaan Grand Prix, dan kami amat gembira apabila syarikat antarabangsa terkenal ini memilih untuk bekerjasama dengan kami dalam kepulangan semula mereka ke arena permotoran paling elit di dunia.”

Alfa Romeo menjuarai kejuaraan dunia F1 bersama Nino Farina pada 1950 dan diikuti kemenangan legenda Argentina, Juan Manuel Fangio menjuarai takhta sama pada 1951. Mereka kemudian bertindak sebagai pembekal enjin kepada beberapa pasukan dari tahun 1961 hingga 1979 sebelum kembali berlumba sebagai pasukan pada 1979 hingga 1985 sebelum menarik diri daripada F1.

Sauber belum memuktamadkan barisan pelumba mereka pada musim depan dengan pelumba junior Ferrari, Charles Leclerc dan Antonio Giovinazzi dipercayai menjadi calon utama bagi menggantikan Marcus Ericsson dan Pascal Wehrlein.

Deepika Tenang Hadapi Ancaman



Walaupun menerima ugutan bunuh daripada pihak yang memprotes filem paling kontroversi India tahun ini, Padmavati, pelakonnya, Deepika Padukone tenang berdepan isu terbabit, malah lebih bersemangat untuk melihat filem itu ditayangkan. 

Pelakon jelita berusia 31 tahun itu mengakui tidak tergugat walaupun ada yang sanggup membayar RM6.4 juta sebagai upah membunuhnya bersama pengarah, Sanjay Leela Bhansali. Deepika berkata, dia sedih kerana masyarakat memilih mengharamkan filem berkenaan tanpa menonton dan melihat keseluruhan jalan ceritanya.

Katanya, khalayak hanya membuat spekulasi berdasarkan trailer filem berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai andaian tidak benar. “Jujur saya tidak takut malah perkataan itu tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya kerana yakin dengan setiap pemilihan naskhah yang dibuat.

“Orang ramai mungkin boleh membuat protes dan setakat ini mereka berjaya menghentikan tayangan seketika. Tetapi saya percaya pada keadilan undang-undang negara India dan Padmavati tidak akan dihalang untuk jangka masa panjang,” katanya.

Menurut Deepika, dia meluahkan dirinya perlukan perlindungan daripada negeri itu. “Dalam satu dunia sempurna, sudah tentu saya mahu selamat daripada sebarang ancaman. Namun saya rasa dengan keadaan sekarang terlalu awal untuk saya menjelaskannya.

“Saya percaya keadaan akan menjadi semakin baik untuk rasa lebih selamat, tetapi buat masa ini saya perlu melindungi diri ,” katanya. 

Filem Padmavati mendapat tentangan masyarakat Hindu khususnya keturunan Rajput kerana dikatakan menghina lelaki mereka terutama Raja Rajput pada ketika itu, Ratan Sen kerana memerlukan bantuan wanita keluar berperang.

Akibat protes yang dibuat, penerbitnya Viacom18 Motion menunda tarikh tayangan yang sepatutnya pada 1 Disember ini sehingga ke tarikh yang belum diputuskan. Selain Deepika, filem itu turut dibintangi Ranveer Singh, Shahid Kapoor dan Aditi Rao Hydari.

Ringgit Ditutup Tinggi



Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam apabila mata wang itu turun 0.2 peratus berbanding kumpulan mata wang utama berikutan sentimen pasaran negatif, kata seorang peniaga. 

Pada pukul 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.0800/0830 berbanding dolar AS daripada 4.1010/1050 hari Selasa.

Seorang peniaga berkata, ringgit dan beberapa mata wang Asia lain diniagakan tinggi berbanding dolar AS yang terjejas berikutan pengukuhan sterling serta kebimbangan berhubung kemungkinan pentadbiran kerajaan AS tidak berfungsi ekoran Demokrat menarik diri daripada pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

Dilaporkan bahawa para pemimpin Demokrat dalam Kongres AS tidak menghadiri mesyuarat dengan Trump kelmarin untuk menumpukan kepada bajet. Perkara ini berlaku selepas Trump dalam catatan di akaun Twitter beliau berkata Demokrat lemah dalam isu pendatang haram dan cenderung untuk menaikkan cukai.

“Bagaimanapun, semua pihak kini menumpukan kepada data ekonomi yang akan dikeluarkan tidak lama lagi dan juga prospek ekonomi,” kata peniaga itu sambil menambah data-data itu akan menyediakan petunjuk bagi pasaran mata wang.

Berbanding kumpulan mata wang utama, unit tempatan diniagakan tinggi kecuali berbanding pound British apabila ia turun kepada 5.4660/4716 daripada 5.4556/4621 pada Selasa.

Ringgit naik berban­ding dolar Singapura kepada 3.0330/0364 daripada 3.0493/0527 pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8409/8461 daripada 4.8761/8825. Unit tempatan itu me­ningkat berbanding yen kepada 3.6598/6629 daripada 3.6866/6906 pada Selasa.

PUBG Di Telefon Pintar



Tidak dinafikan lagi, ‘survival’ game menawarkan sesi permainan yang seronok dan mencabar. Anda akan menyaksikan setiap pemain melakukan apa yang termampu untuk memastikan karakter mereka terus berjuang dalam permainan. Oleh itu, kewujudan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) memberikan pemain ini peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing. 

Tapi itu di komputer meja. Bagaimana pula dengan anda yang gemar bermain PUBG di telefon pintar? Kadang-kadang kerana terlalu cepat ingin ke pejabat, membuatkan anda tidak sempat bermain permainan itu di rumah terlebih dulu. Apa kata cuba kelainan dengan memuat turun permainan seakan-akan PUBG ini.

Diberi nama Last Battleground: Survival, anda akan ditempatkan di kawasan terpencil bagi mencari peluang untuk terus hidup. Berpaksi kepada konsep penerokaan, anda perlu meneroka pulau itu untuk mencari peti rawatan kecemasan, makanan dan senjata untuk terus kekal relevan dalam permainan itu.


Selain itu, pakaian seperti baju dan kasut juga amat diperlukan untuk menambahkan tahap ketahanan karakter anda. Pada mulanya anda tidak dibekalkan senjata. Oleh itu, kekal fokus dan mencari senjata di merata tempat untuk menewaskan setiap musuh yang dijumpai. Perlu diingatkan, dalam permainan seakan-akan Hunger Games ini, tiada siapa pun menjadi kawan anda.

Bagaimanapun, mod Player Team membolehkan anda bermain bersama rakan. Semakin lama semakin sukar Sama seperti PUBG, peluang anda untuk mencari kawasan selamat semakin sukar, jadi ia akan bertukar menjadi medan pertempuran.

Anda boleh diserang dari mana-mana arah. Gunakan kebijaksanaan untuk mencari tempat menyorok dan manfaatkan kelebihan senjata sebaik-baiknya. Setiap kali perlawanan baru bermula, kawasan selamat juga akan bertukar tempat.


Ini membuatkan pengalaman anda lebih mencabar dan seronok! Permainan mudah alih ini turut menyokong fungsi sentuhan yang mudah dan optimum bagi telefon pintar. Fungsi seperti menunduk, menembak dan bergerak lebih mudah dengan butang yang tersedia.

Dari segi grafik, Last Battleground: Survival menawarkan visual yang sangat cantik dan anda juga diberi kebebasan untuk mengalihkan kamera dan melihat keadaan sekeliling. Walaupun grafiknya cantik, permainan ini menawarkan sesi permainan yang lancar dan sesuai untuk telefon pintar.

Wednesday, 29 November 2017

Rumah Urut Beribu Ribu, Rumah Mampu Milik Rakyat Tiada Di Selangor



“Saya difahamkan sehingga kini terdapat lebih 6,000 rumah urut yang menawarkan khidmat seks sedang beroperasi di sekitar Selangor. Jumlah ini tidak termasuk rumah urut yang beroperasi secara haram” kata Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, ahli parlimen Kuala Selangor dalam sidang Dewan Rakyat semalam. 

Turut didedahkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor itu adalah tentang pengusaha perkhidmatan seks di Selangor yang menggunakan medium Whatsapp dan Wechat untuk mempromosikan perniagaan mereka. Semua rumah urut ini perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan operasi mereka.

“Persoalannya siapakah yang meluluskan permohonan mereka di bawah Undang Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Perniagaan Kesihatan 2007?” soal ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Sebelum 2008, bilangan rumah urut tidak lebih daripada 420 buah sahaja di Selangor, namun kini jumlah itu sudah jadi berpuluh puluh ribu buah rumah urut. Meningkat mendadak jumlahnya sejak PKR dan DAP memerintah negeri Selangor. Rumah urut banyak dibina, tetapi rumah mampu milik untuk rakyat Selangor tidak pula menjadi keutamaan bagi kerajaan Azmin Ali.

Pada 2 November 2017, Menteri Perumahan Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendedahkan kira-kira 40,000 pembinaan rumah mampu milik di Selangor sudah menjadi projek terbantut.

“Kalau kerajaan negeri tak bagi bekerjasama dengan PR1MA dan PPR tentu kita akan hadapi masalah, kalau nak pastikan rumah PR1MA dilaksanakan rumah dengan lebih banyak, sebab sekarang ni baru 11 ribu sahaja yang kita bina, ada 40 ribu lagi yang belum kita laksanakan, pastikan BN menang dulu di Selangor PR1MA kita akan buat dengan lebih banyak lagi” kata Tan Sri Noh Omar.

Baru 11,000 rumah sudah dibina oleh kerajaan BN pusat bukannya kerajaan negeri Selangor. 40,000 lagi rumah PR1MA mahu dibina oleh kerajaan BN pusat untuk rakyat Selangor, namun Azmin Ali enggan beri kerjasama untuk membinanya. Kerajaan Negeri Selangor lebih senang beri kelulusan untuk lesen rumah urut dari meluluskan rumah mampu milik untuk rakyat Selangor.

18 April 2015, Azmin Ali janji hendak buat rumah mampu milik rakyat di Semenyih. Azmin janji hendak buat 15,000 unit rumah dalam masa 3 tahun menggunakan geran RM100 juta dari rezab kerajaan negeri Selangor.

Sehingga kini, sudah dua tahun lebih, tidak ada pun rumah mampu milik di Semenyih. Yang ada adalah rumah mampu tengok dan lihat untuk rakyat Selangor. Rumah urut dan pusat judi yang bertambah tambah di Selangor, bukannya rumah mampu milik untuk rakyat Selangor. Lihatlah bagaimana kerajaan BN buat rumah untuk rakyat di Selangor.

Baca pautan ini;  https://beruangbiru1.blogspot.my/2017/11/kerajaan-bn-tidak-roboh-rumah-rakyat.html#.Wh4p_nlx3IU Rumah urut bertambah menjadi hampir 25,597 buah di Selangor, 6,000 daripada rumah urut ini menawarkan khidmat seks menurut pendedahan yang dibuat oleh ahli parlimen Kuala Selangor.

Selain itu, pusat judi juga turut bertambah di Selangor menjadi 19,971 buah pusat judi daripada hanya 128 sahaja pada tahun 2008. Hotel bajet juga bertambah dari sejumlah 68 buah pada tahun 2008 menjadi 23,583 buah di Selangor. Kelab dan pub juga bertambah.

Pada tahun 2008 hanya ada sejumlah 38 sahaja lesen kelab dan pub diluluskan di Selangor, kini sudah berjumlah 9,394 buah kelab dan pub di Selangor. Siapa yang meluluskan pertambahan rumah urut, pusat judi, kelab dan pub ini di Selangor? Siapa yang menguasai dan berada sebagai ahli majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor?

Lihatlah sendiri bagaimana keputusan undian untuk meluluskan pesta arak di Klang. Ahli Majlis dari parti mana yang lebih mendominasi dalam undian tersebut? DAP lah yang menentukan segala galanya di Selangor. Daripada sejumlah 288 ahli majlis dalam 12 PBT di Selangor, DAP dan PKR yang menguasainya.

Sejumlah 101 orang ahli majlis adalah daripada PKR, 96 orang ahli majlis adalah dari DAP, 72 orang adalah daripada PAS dan 8 orang adalah daripada PAN. Mereka yang berada dalam ahli ahli majlis inilah yang perlu disiasat oleh SPRM dan pihak berkuasa.

Ada kemungkinan mereka ini mempengaruhi dalam mesyuarat untuk memberi lesen bagi lambakan rumah urut, pusat judi dan pub di Selangor. Jumlah semua sekali rumah urut, pusat judi, hotel bajet, kelab dan pub di Selangor ini adalah 78,545 buah di Selangor.

Azmin hanya rancang 15,000 rumah sahaja rumah mampu milik untuk rakyat negeri Selangor. Itu pun Azmin bohong, duit rezab RM100 juta untuk projek itu lesap entah ke mana, rumah tidak juga siap siap. Apa yang siap dan jadi adalah perancangan yang dibuat oleh ahli ahli majlis PKR dan DAP di setiap PBT ini, sampai puluhan ribu rumah urut dan pusat maksiat dibina di Selangor.

Rumah bilal kena roboh. Rumah untuk rakyat tidak siap. Rumah maksiat pula bercambah sampai berpuluh ribu unit di Selangor. Pesta arak dibenar dan diluluskan. Inilah cara PKR dan DAP memerintah bila mereka mendapat kuasa.

Rakyat di bawah masih ternganga menanti rumah mereka. Azmin biarkan sahaja ahli ahli majlis DAP dan PKR ini mengaut hasil dari rumah urut dan maksiat ini.

Beruang Biru
Rabu
29 November 2017

Jet Pejuang TUDM Mendarat Cemas



JET pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini. Kejadian berlaku jam 2.41 petang apabila juruterbang pesawat berkenaan menyedari berlaku kerosakan pada tayar selepas berlepas menjalankan latihan dari Pangkalan TUDM Labuan. 

Pengurus Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Wilayah Sarawak Wan Johari Wan Shahid berkata, pesawat berkenaan dilihat berlegar-legar di ruang udara sebelum memaklumkan perkara itu kepada menara kawalan.

Menurutnya, juruterbang pesawat itu melaporkan alat penunjuk tayar jet pejuang berkenaan mengesan tayar tidak turun dengan sempurna dan memerlukan pendaratan cemas. “AFRS mengisytiharkan kecemasan dan pesawat komersial lain tidak dibenarkan berlepas serta mendarat di LTAK.

“Juruterbang TUDM itu melakukan penerbangan rendah sebelum pasukan AFRS mengesahkan tiga tayar jet pejuang F/A-18D Hornet sudah keluar dengan sempurna untuk melakukan pendaratan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, jet pejuang berkenaan kemudian berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini. “LTAK dibuka semula selepas pendaratan cemas itu selesai untuk operasi seperti biasa, pada jam 3.22 petang,” katanya.

Duit Persundalan Sampai Berkulat



Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki aktiviti sindiket persundalan di Hotel Promenade di sini sudah beroperasi lebih 10 tahun ekoran penemuan kesan reput dan berkulat pada sebahagian wang tunai RM13.5 juta yang dirampas Jumaat lalu. 

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan lumut dan berkulat terdapat pada sebahagian daripada wang tunai yang dijumpai dalam serbuan Ops Gegar itu.

“Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan baru-baru ini, namun kami percaya kegiatan ini sudah lama dijalankan berikutan terdapat kesan kulat dan berlumut pada sebahagian wang tunai berkenaan. 

“Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera perkataan tahun 2008,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini semalam.

Ibu Kejar Bawa Pisau



Seorang wanita bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas dikejar ibu kandungnya bersenjatakan pisau. Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, ibu mangsa dikatakan ‘naik hantu’ selepas menyangka anaknya itu mempunyai hubungan sulit dengan adik ipar. 

Malah, mangsa berusia 37 tahun itu turut dihalau keluar dari rumah di Pandan Indah di sini, selepas dituduh membawa sial kepada keluarga.

Sumber polis berkata, mangsa yang bekerja sebagai guru tuisyen mendakwa kerap diganggu secara seksual oleh adik iparnya sebelum ini. “Lebih memburukkan keadaan apabila adik mangsa menjadi ‘batu api’ dengan mendakwa mangsa mengganggu suaminya.

“Berikutan itu, ibu mangsa yang percayai tuduhan itu terus memukul mangsa tanpa bertanya terlebih dulu perkara sebenar,” katanya semalam.

Menurutnya, ibu mangsa turut mengambil pisau di dapur dan mengejar mangsa, namun wanita itu sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari kediaman itu. “Berikutan kejadian itu, mangsa yang ketakutan bertindak membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah menahan suspek iaitu seorang lelaki kerana dipercayai mencabul mangsa.

Lapangan Terbang Bali Tutup Sampai Esok



LAPANGAN Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali ditutup buat hari kedua berturut-turut sebagai persediaan berdepan letupan Gunung Berapi Agung. Lapangan terbang itu akan ditutup sehingga pagi esok. 

“Maklumat daripada ‘Volacanic Ash Advisory’ menunjukkan laluan penerbangan diliputi debu letusan gunung berapi. Keadaan ini sangat berbahaya bagi pesawat,” kata pegawai AirNav Indonesia, Wisnu Darjono.

Kepulan asap tebal dari Gunung Agung kelihatan sejah minggu lalu dan kini mencapai ketinggian lebih tiga kilometer. Pihak berkuasa semalam memberi amaran Gunung Agung boleh meletup pada bila-bila masa. Status amaran juga dinaikkan kepada tahap tertinggi, selain zon bahaya diperluas.

Hoki: Malaysia Berdepan Laluan Sukar Di Sukan Komanwel 2018



Skuad hoki lelaki negara bakal berdepan tugas getir untuk memburu slot separuh akhir setelah diundi bersama jaguh Asia, India dan England dalam Kumpulan B pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan. 

Undian yang diumumkan oleh penganjur temasya sukan itu menerusi laman web rasmi www.gc2018.com hari ini, menyaksikan pasukan lain berada dalam Kumpulan B ialah Pakistan dan Wales manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan dan tuan rumah, Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Berdasarkan ranking dunia, India, selaku juara Asia 2017, berada di tangga keenam, England (7), Malaysia (12), Pakistan (13) dan Wales di tangga ke-24. Australia pula berada di ranking kedua dunia, New Zealand (8), Kanada (11), Afrika Selatan (15) dan Scotland di ranking ke-23.

Skuad Malaysian Tigers di bawah bimbingan ketua jurulatih Stephen Van Huizen, harus mendapatkan dua tempat teratas di peringkat kumpulan untuk mengesahkan solot separuh akhir, sekali gus memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicatatkan pada edisi lepas di Glasgow, Scotland, pada 2014. 

Van Huzien, yang tidak terkejut dengan undian itu, berkata skuad negara sudah bersedia untuk memberi tentangan sengit terhadap pasukan yang menghuni ranking yang lebih tinggi seperti India dan England.

Walaupun bakal berdepan dengan India dan England malah Pakistan yang dianggap setanding dengan kedua-dua pasukan itu, katanya, anak buahnya sudah bersedia menggalas cabaran dan berdepan segala kemungkinan pada temasya tersebut.

"Kami menyahut cabaran ini dan suka atau tidak, kita perlu bermain dengan lebih baik daripada pasukan lawan untuk menyimpan hasrat untuk layak ke saingan separuh akhir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut berpesan kepada pemain supaya tidak mengambil mudah pasukan Wales dan Pakistan yang boleh melakarkan kejutan kepada pasukan negara. Katanya, skuad negara sudah memulakan latihan ringan selepas kejohanan Piala Razak baru-baru ini dan beliau telah mengemukakan program skuad negara untuk tahun depan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Van Huizen berkata pemilihan skuad negara ke temasya Sukan Komanwel 2018 akan ditentukan selepas Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual pada Februari atau Mac depan. Pada pertemuan terkini dengan India, Malaysia kalah 2-1 pada final Piala Asia 2017 di Dhaka, bulan lepas.

Pada peringkat 'Super Fours' sebelum itu, Malaysia 6-2 kepada juara Asia itu. Dalam pertemuan dengan England pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lepas, Malaysia kalah 7-3 dalam saingan peringkat Kumpulan A.

Selain Sukan Komanwel 2018, skuad Malaysian Tigers akan turut bersaing pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 Sept dan pusingan akhir Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 28 Nov hingga 16 Dis tahun depan. Pencapaian terbaik Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ialah pingat perak ketika negara menjadi tuan rumah pada edisi 1998.

Kesukaran Miliki Wajah 'Menakutkan'



Filem mengenai individu yang memiliki kelainan fizikal berisiko menyentuh sensitiviti ramai selain terlalu bersifat manipulatif. Barangkali disebabkan itu ramai pengarah tidak berani tampil dengan filem sedemikian. 

Bagaimanapun, filem terbaru arahan Stephen Chbosky berjudul Wonder yang mula ditayangkan 7 Disember ini berada dalam kelas tersendiri. Ia sebuah naskhah yang mempunyai cita rasa emosi yang begitu mengagumkan. Mempertaruhkan genre drama, tahapnya membangkitkan rasa empati berpadu sempurna dengan elemen lain.

Ia ada satu kuasa tersendiri untuk menyentuh secara mendalam perasaan penonton. Pada masa sama, ia bercerita mengenai situasi semasa kes buli yang jelas tidak pernah berkesudahan di Amerika Syarikat (AS). Cuma filem ini mungkin terlalu jujur hingga elemen seni tidak begitu ditonjolkan. 

Wonder yang menampilkan lakonan Owen Wilson dan Julia Roberts ini menceritakan mengenai Auggie Pullman lakonan Jacob Tremblay iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang berhadapan waktu sukar apabila memiliki wajah ‘menakutkan’ kesan pembedahan selepas dia terbabit dalam kemalangan.

Mata kirinya tertarik ke bawah seakan-akan ada air mata mengalir, telinganya berbentuk pelik dan wajahnya dipenuhi kesan parut. Bagaimanapun, dia tiada bezanya dengan kanak-kanak normal lain cuma seseorang perlu mengambil sedikit masa untuk menerimanya. Auggie sangat obses dengan sains dan peminat tegar Star Wars serta Minecraft. 

Dia juga sukakan ais krim dan permainan X-Box. AUGGIE berdepan kesukaran di sekolah. Selain itu, dia juga hidup dengan fantasi sendiri dan meminati angkasa lepas serta sering mengenakan helmet angkasawannya. Wajahnya boleh kelihatan muda dan tua pada masa sama.

Sesiapa pun pasti akan terkejut apabila melihat wajahnya namun semakin mengenali Auggie, jiwa naif kanak-kanak itu makin terserlah. Pada awalnya, dia tidak dihantar ke sekolah biasa dan hanya belajar di rumah bersama ibunya Isabel (Julia Roberts).

Namun, apabila usianya mencecah 10 tahun, Isabel dan suaminya, Nate (Owen Wilson) mengambil keputusan menghantar Auggie ke sekolah pertengahan. Mereka tidak boleh terus menyembunyikan Auggie dari dunia luar selama-lamanya tetapi juga tiada kemahuan untuk tidak membebaskannya pun.

Lakonan Julia dan Owen sememangnya menyerlah dalam filem itu. Mereka berjaya menonjolkan sisi sensitif, penyayang dan melakukan apa saja demi anak istimewa mereka itu. Mereka berusaha menjadikan Auggie sentiasa kuat dan berani mempertahankan diri selain bergaul dengan komuniti.

Auggie mahukan perkara sama, namun ia tidak semudah mana apabila dia bertemu kanak-kanak lain di Beecher Prep School. NILAI persahabatan antara elemen menyentuh hati. Wonder sememangnya mempunyai impak yang begitu efektif mengenai kehidupan realistik seorang kanak-kanak istimewa. 

Daripada dipinggirkan sahabat karib, jatuh cinta dengan kawan baru dan menyertai kelab drama, Auggie seorang pemberi inspirasi. Daripada hanya seorang kambing hitam, Auggie berjaya memikat hati ramai dan kemudian bertukar hero.

Dari segi lakonan, Jacob berjaya menghidupakan watak Auggie dengan cukup baik sekali. Mesej mengenai paras rupa bukan ukuran berbanding jalan yang dipilih berjaya diketengahkan oleh Jacob dengan baik sekali.

Sama seperti dua filem arahannya sebelum ini iaitu The Four Corners of Nowhere dan The Perks of Being a Wallflower, Stephen terus menggunakan pendekatan teliti, hati terbuka dan merendah diri dalam sentuhannya. Dia tidak bercakap besar dengan apa yang cuba dilakukan, sebaliknya membiarkan penonton merasainya di skrin sendiri.

Jessica Chew Dilantik Timbalan Gabenor Baharu BNM



Menteri Kewangan meluluskan pelantikan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Timbalan Gabenor bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018 susulan persaraan Dr. Sukudhew (Sukhdave) Singh pada 31 Disember depan. 

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, Sukhdave akan menikmati​​​​​​ ​manfaat mengikut terma dan syarat bank pusat itu. BNM berkata, sebagai Timbalan Gabenor, Chew akan bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan, termasuk sistem pembayaran, sektor pembangunan organisasi dan perkhidmatan kongsi berpusat.

“Beliau ketika ini merupakan Penolong Gabenor yang bertanggungjawab terhadap pembangunanpengawalseliaan dan dasar dalam sektor perbankan dan insurans yang menumpukan kecekapan, inovasi, institusi pasaran dan struktur, kewangan pembangunan dan pembangunan bakat,” menurut BNM.

Chew juga akan bertanggungjawab bagi pembangunan dan pengawalseliaan sistem pembayaran​​​​ ​​​serta pengawasan perniagaan perkhidmatan wang, menurut bank pusat. Bank pusat berkata, Chew juga ialah anggota Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan BNM.

Chew menyertai bank pusat pada 1993 dan merupakan graduan Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan dan Kewangan) dari Universiti Melbourne, Australia.

Selaras dengan pelantikan beliau, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour akan mengawasi sektor monetari dan ekonomi, sektor penyeliaan, sektor pelaburan dan operasi, selain LINK dan Pejabat BNM, jabatan kewangan dan undang-undang, menurut BNM.

'Port' Geng DIY



Ramai tidak tahu wujud komuniti dalam kalangan remaja yang gemar mencipta barangan atau inovasi menggunakan bahan terbuang. Menyedari hal itu, pengurusan The School Jaya One, Petaling Jaya mengambil inisiatif menyediakan ruang khas untuk komuniti berkenaan dinamakan ‘Maker Lab’. 

Pengarah Eksekutif The School Jaya One Charles Wong Wai Hon berkata, usaha itu dilakukan dengan kerjasama komuniti Kaki DIY (Do It Yourself) bertujuan menghimpunkan kelompok berkenaan di bawah satu bumbung terutama pada hujung minggu.

“Kami lihat komuniti DIY ini semakin berkembang dan bukan satu yang menghairankan apabila ada mula menunjukkan ‘kemahiran’ sejak kanak-kanak. Atas sebab itu, kami wujudkan ruang tetap yang serba lengkap dengan kemudahan supaya mereka dapat menerima manfaatnya.

“Lagipun, ini juga salah satu usaha kami untuk menarik remaja melakukan aktiviti sihat selain pendedahan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara tidak langsung,” katanya.

Penuntut Kejuruteraan Mekatronik Universiti Tunku Abdul Rahman, Lim Kai Wen, 21, berkata, penyediaan ruang yang selesa itu satu usaha yang baik dalam membantu remaja menghabiskan masa hujung minggu dengan aktiviti berfaedah.

Katanya, dia berharap ia mendapat sambutan kerana percaya DIY mempunyai peminatnya yang tersendiri cuma tiada platform untuk mencurahkan kreativiti kecuali melakukannya secara bersendirian di rumah.

“Selalunya, saya dan rakan melakukan aktiviti ini di kampus dengan membuka bengkel DIY di bawah kendalian kelab. Namun, kini aktiviti kami tidak lagi terhad di kampus seperti dulu sebaliknya boleh dipelbagaikan dengan bantuan kemudahan di Maker Lab,” katanya.

Sementara itu, Shaun Lee Hsien Jun, 18, berkata, pembukaan Maker Lab memberi peluang kepadanya untuk menjadi sukarelawan bagi membantu remaja yang berminat.

“Dulu, tiada ruang khusus sebegini dan saya sendiri hanya dapat menghasilkan reka cipta sendirian di rumah. Kini, kemudahan sudah tersedia untuk mereka yang berminat supaya memanfaatkan ruang ini dengan sebaiknya,” katanya.

Monday, 27 November 2017

Baru Sekarang Kisahkan Hal Proton?



Umum sedia maklum bahawa Proton Holding Berhad kini telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat automotif gergasi China, Geely Auto yang kini memiliki 49 peratus saham Proton Holding Berhad. Kerjasama ini dilihat amat perlu bagi menyelamatkan Proton Holding yang saban tahun masih gagal mencatatkan sebarang keuntungan sejak ditubuhkan pada 1983.

Sebaik sahaja kerjasama ini dimetrai, antara langkah awal yang dilakukan oleh Geely adalah memastikan corak pengurusan Proton dirombak. Malah, produk keluaran Proton juga dikaji termasuklah strategi pemasaran dalam dan luar negara yang sebelum ini masih gagal ditembusi oleh Proton walaupun mendapat sokongan penuh kerajaan satu ketika dahulu.

Kajian ini termasuklah keboleh pasaran kenderaan berkenaan termasuk berusaha untuk menembusi pasaran besar China yang diperakui dunia sebagai pasaran paling produktif dan paling besar di seluruh dunia. Untuk ini, Geely telah menjenamakan semula Proton dengan nama 'Bao Teng' dengan terus mengekalkan logo asal Proton iaitu Harimau.

Menariknya, langkah yang diambil oleh Geely ini mendapat kecaman dari mereka yang sememangnya dari asal menentang kerjasama berkenaan khususnya dari para penyokong Pakatan Harapan. Dakwa mereka, dengan penukaran nama berkenaan, ianya akan menghilangkan nama produk Proton yang kononnya menjadi kebanggaan negara.

Memang cukup menghairankan, kenapa baru sekarang mereka menyedari bahawa jenama Proton itu menjadi kebanggaan negara? Bukankah sebelum kerjasama ini dimetrai, mereka jugalah yang menghentam produk keluaran Proton dengan pelbagai dakwaan seperti tidak berkualiti, mudah rosak dan sebagainya?

Kenapa mereka langsung tidak bersuara disaat Proton sedang menuju zaman kegelapan sehingga terpaksa menanggung hutang mencecah angka berbillion Ringgit? Malah, lebih melucukan, disaat mereka menghentam kesemua kereta-kereta Proton dengan pelbagai fitnah dan andaian, mereka sendiri menggunakan kereta jenama luar seperti Honda, Toyota, Nissan dan sebagainya.

Apa yang dapat dirangkumkan adalah, mereka yang mengutuk penukaran nama Proton untuk pasaran besar China ini sebenarnya tidak memahami rentak pasaran itu sendiri. Harus diingat, Proton bukanlah satu-satunya jenama yang ditukar kepada jenama China agar ianya mudah dijual di pasaran besar berkenaan.

BMW, Mercedes Benz, Audi dan Volvo adalah beberapa jenama kereta mewah keluaran Eropah yang telah mengalami penukaran nama di pasaran berkenaan. Malah, kereta-kereta yang kita import dari Korea Selatan seperti Naza Ceria ataupun Naza Kia sebenarnya telah kita ubah dari  nama asalnya seperti Kia Carnival untuk pasaran setempat di Korea Selatan.

Walaupun terdapat pertukaran nama sekalipun, apa yang penting hasil jualan kereta Proton di pasaran China akan kembali kekantung Proton bagi membolehkan syarikat berkenaan melangsaikan semua hutang lapuk syarikat berkenaan.

Untuk menghakimi apa yang diputuskan oleh Geely dengan andaian cetek pembangkang ini adalah satu tindakan yang silap. Tidak seperti Proton, Geely Auto telah berjaya memasarkan kereta yang dikatakan hampir mustahil dijual di China iaitu Volvo. Untuk rekod, pasaran di China lebih memfokuskan kereta Mercedes Benz dan BMW daripada kereta seperti Volvo.

Namun hasil daripada perancangan bijak Geely Auto, Volvo kini antara kereta yang paling diminati di China selain daripada Mercedes Benz dan BMW.

Justeru, buat pembangkang dan penyokongnya, jika tidak memahami struktur jualan kereta asing di China, adalah dinasihatkan supaya diam ataupun belajar sedalam-dalamnya bagaimana pergerakan dan cara jualan kereta di sana dari cuba menunjukkan keprihatinan mendalam terhadap Proton walhal dahulu, produk ini langsung tidak diperdulikan.

Siapa Yang Sedang Berpecah Sekarang?



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antara modus operandi yang begitu hebat dilakukan oleh Pakatan Harapan adalah mewujudkan perpecahan dalaman di dalam Barisan Nasional. Mereka sedaya upaya melaga-lagakan UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan hampir kesemua parti komponen Barisan Nasional dengan cubaan mewujudkan syak wasangka antara satu sama lain.

Pelbagai dakyah dan fitnah cuba mereka sebarkan antaranya MCA adalah proksi DAP di dalam Barisan Nasional, UMNO tidak lagi memerlukan MCA dan MIC untuk memenangi Pilihan Raya Umum dan macam-macam dakyah mengarut lagi. Lebih malang, ada diantara penyokong Barisan Nasional mempercayai dakyah-dakyah kotor seperti ini.

Mungkin mereka terlupa bahawa Barisan Nasional hari ini tidak akan wujud sekiranya tiada persefahaman yang jitu antara kesemua parti komponen dalam Barisan Nasional. Tidak wujud istilah tidak memerlukan kerana kesemua parti yang membentuk gabungan Bar
isan Nasional saling memerlukan antara satu sama lain.

Setelah beberapa ketika mereka begitu giat cuba memecah belahkan Barisan Nasional melalui hasutan dan dakyah kosong, hari ini, apa yang mereka cuba lakukan telah diterbalikkan kepada Pakatan Harapan.

Secara luarannya, mungkin kita akan melihat betapa eratnya hubungan antara DAP, PKR, PPBM dan PAN namun jika kita lihat secara mendalam, wujud saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Sebagai contoh, liat sahaja bagaimana sehingga kini, Pakatan Harapan masih bertelagah, siapa yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak.

Di dalam parti mereka sendiri juga wujud perpecahan dalaman yang sedaya upaya mereka cuba selindungi. PPBM, berhadapan dengan kemungkinan diharamkan penubuhannya setelah melanggar 3 undang-undang parti itu sendiri dan RoS. Amat menghairankan, bagaimana orang yang berpengalaman tidak faham dan tidak tahu peraturan RoS sehingga gagal membuat mesyuarat agung tahunan yang pertama?

DAP pula masih lagi belum mampu keluar sepenuhnya dari masalah pemilihan jawatankuasa pusat (CEC) walaupun parti berkenaan telahpun mengadakan pemilihan semula pada 12 November lalu. Sehingga kini, masih ramai yang tidak berpuas hati dengan pemilihan yang dilakukan baru-baru ini dan ada diantaranya telah membuat laporan polis dan RoS.

Di dalam PKR pula, sudah lama wujud dua buah kem yang masing-masing diketuai oleh Datin Seri Wan Azizah selaku proksi tunggal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali pula mengetuai satu lagi kem yang menggelarkan diri mereka kem pembaharuan. Menariknya, hanya PAN sahaja yang tinggal tidak mempunyai sebarang masalah besar walaupun wujud krisis kepimpinan.

Melihat kepada bercelarunya kem pembangkang hari ini, ingin ditanyakan kepada pembangkang, siapa yang sedang berhadapan dengan perpecahan sekarang. UMNO, MCA, MIC, Gerakan, dan lain-lain parti komponen masih kekal komited dengan Barisan Nasional dan tidak timbul persoalan kemungkinan wujud perpecahan walaupun itu yang amat diingini oleh pembangkang.

Sebaliknya, pembangkang yang kononnya bercita-cita mahu menggantikan Barisan Nasional kini diibaratkan sebagai retak menanti belah. Mereka sendiri masih gagal meyakinkan para penyokong mereka bahawa mereka adalah parti yang bersih justeru, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang baik?

Cari Punca Wabak Kepialu


TINDAKAN mengesan punca, mengawasi serta mengumpul spesimen akan segera dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan sembilan mangsa wabak kepialu dikesan di Long Sibau, Belaga, Sarawak, semalam. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, semua mangsa berusia lima hingga 56 tahun itu sudah menjalani ujian darah. "Usaha juga dijalankan bagi mengesan punca wabak sama ada akibat pencemaran air atau makanan. Kita juga menjalankan pengawasan ke atas kes baru.

"Laporan terkini akan dikeluarkan Pengarah Kesihatan dari masa ke semasa," katanya, selepas melancarkan buku Melaka Chitties di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka, hari ini.

Menurut beliau, 375 spesimen sudah diperoleh dan sembilan didapati positif manakala 29 masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata, pasukan petugas khas bagi pengesan kes aktif wabak itu sudah melawat 27 kawasan di lokasi terbabit terutamanya di tiga kampung di Long Sibau dan kawasan yang ada kaitan epidemik.

Pusat Urut Ditutup Selepas Jabatan Imigresen Sabah Jumpa Duit RM11 Juta



Selepas diserbu Jabatan Imigresen Sabah dalam Ops Gegar, pusat urut yang beroperasi di dalam Hotel Promenade di sini ditutup sementara waktu sejak Jumaat lalu. 

Difahamkan, penutupan tersebut ekoran daripada serbuan Ops Gegar selepas pihak imigresen menerima maklumat mengenai aktiviti pemerdagangan manusia.

Dalam serbuan itu, sepasu­kan anggota dan pegawai imigresen menemui sejumlah wang sebanyak RM11.88 juta yang di­simpan di dalam kotak minuman keras dan laci di dalam bilik urut tersebut. Menurut sumber, sebaik sahaja diserbu pusat urut terbabit ditutup buat sementara waktu. 

“Kebanyakan individu berpendapat pusat urut ini di bawah pengurusan pihak hotel. Namun, premis itu dikendalikan oleh operator luar yang tiada kaitan dengan Hotel Promenade,” kata sumber kepada Kosmo! semalam.

Kes Larikan Isteri Orang Disiasat



Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang anggotanya yang dipercayai mengganggu dan melarikan isteri orang seperti yang ditularkan melalui laman media sosial Facebook baru-baru ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihaknya telah me­nerima beberapa laporan polis yang dibuat oleh suami wanita tersebut. “Kertas siasatan sedang dibuka pada peringkat ini sehingga PDRM mendapat gambaran sebenar tentang status kes tersebut.

“Siasatan dalaman juga dijalankan bagi me­nyiasat kesemua dakwaan yang dibuat oleh lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi media semalam.

Campak Bayi Dari Tingkat Empat



Seorang pelajar kolej ditahan polis kerana mencampak bayinya keluar dari tingkat empat asrama selepas melahirkan anaknya secara rahsia. Pelajar berusia 19 tahun itu ditahan selepas mayat bayi berkenaan ditemui di kaki lima asrama perempuan Kolej Kejuruteraan Xi’an pada 21 November lalu. 

Beberapa gambar menunjukkan mayat bayi itu bergelimpangan di tepi kaki lima bersebelahan selimut tular di media sosial di China. Susulan penemuan mayat berkenaan, seorang pelajar perempuan yang tinggal di tingkat empat asrama itu ditahan polis.

Jurucakap polis berkata, pelajar itu mengaku dia membalut bayi itu dengan selimut sebelum membuangnya keluar tingkap kerana takut selepas melahirkan anaknya secara rahsia. “Dia melahirkan bayi itu pada sebelah malam dan pada paginya dia pergi ke kelas seperti biasa,” katanya. 

Seorang lagi pelajar memberitahu, remaja itu tidak menunjukkan tanda-tanda hamil dan dia sering memakai pakaian tebal kerana musim sejuk.

Seorang guru di kolej berkenaan memberitahu sebuah akhbar, remaja itu seorang pelajar yang pintar dan tidak pernah ponteng kelas atau mengambil cuti sakit. “Badannya sedikit gempal menyebabkan sukar untuk melihat tanda-tanda pelajar itu hamil,” jelasnya.

Sengat Chong Wei Masih Berbisa



TAMPIL dengan lebih tenang, pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei membuktikan dirinya masih merupakan jaguh terbilang apabila merangkul gelaran juara Siri Super Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum semalam. 

Pemain berusia 35 tahun itu menamatkan kemarau lapan kejohanan sejak muncul juara Seluruh England (All England), Mac lalu dengan menewaskan pemain No. 4 dunia dari China, Chen Long 21-14, 21-19 dalam masa 46 minit.

Kemenangan tersebut merupakan gelaran kelima Chong Wei untuk kejohanan itu selepas melakukannya pada 2009, 2010, 2013 dan 2015.

Berdepan Chen Long pada aksi final semalam juga seolah-olah mengulangi pertemuan mereka pada Sukan Olimpik Rio 2016 apabila pemain China itu menafikan Chong Wei meraih pingat emas pertama pada temasya sukan tersebut dengan keputusan 21-18, 21-18 di pentas final.

Mengulas mengenai aksi tersebut, Chong Wei yang merupakan pilihan kelapan kejohanan mengakui, Chen Long memberikan tentangan sengit pada set kedua biarpun dia menang mudah untuk set pertama.

“Ini adalah kejuaraan kedua saya musim ini dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya juga berharap kedudukan saya pada ketika ini mampu melayakkan saya beraksi pada Siri Super Akhir 2017 di Dubai bulan depan,” ujarnya.

'18 Tahun Saya Jadi Tunggul Dalam Kristal' - Lan



Vokalis kumpulan Kristal, Lan mengundurkan diri dari kumpulan tersebut selepas 18 tahun bersama. Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof membuat keputusan tersebut kerana sudah tawar hati dan kecewa dengan tindakan kumpulan tersebut yang banyak membelakanginya. 

"Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh tunggul. Selama ini, apa yang mereka buat di belakang saya, tanpa berbincang dengan saya, saya hanya diamkan diri sahaja.

"Sudah 18 tahun saya menjadi tunggul dalam Kristal. Projek solo itu bukanlah bermakna saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.

"Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini. Saya amat berkecil hati dan tawar hati dengan tindakan mereka," katanya ketika ditemui selepas konsert minggu kelima GV4 malam tadi.

Bagaimanapun, menurut Lan, dia tidak menyimpan dendam dengan anggota kumpulan Kristal lain dan mendoakan yang terbaik buat kerjaya mereka selepas ini. "Tiada dendam kerana saya anggap mereka seperti adik-beradik sendiri. Mereka ingin merehatkan saya, saya pun ingin berehat. Saya doakan yang terbaik buat mereka." jelas Lan.

Minggu lalu, kumpulan Kristal yang dianggotai Rody (gitar utama), Gg (gitar kedua), Kechiq (bass) dan Acap (dram) mengumumkan khidmat Lan sebagai penyanyi akan direhatkan dan mereka sedang mencari vokalis lain.

Menerusi laman Instagram rasmi @kristalband dan gitaris mereka, Rody Kristal, kumpulan itu memberitahu memandangkan Lan juga pernah meluahkan hasrat untuk berehat daripada Kristal.

Yakin iPhone X Dapat Sambutan


SNS Network (M) Sdn Bhd menaruh keyakinan pemintaan terhadap telefon pintar semakin meningkat dengan yang terbaru menerusi pelancaran telefon iPhone X di negara ini.

Pelancaran di iTworld, pejabat SNS Network (M) Sdn Bhd di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, mendapat sambutan menggalakan daripada penduduk sekitar Perak yang mula hadir di premis berkenaan seawal jam 6.30 pagi.

Pengarah Urusan SNS Network (M) Sdn Bhd, Ko Yun Hung berkata, sememangnya ramai dalam kalangan peminat telefon pintar ternanti-nanti kehadiran model terbaru iPhone. Beliau berkata, program berkenaan dapat menarik pelanggan merasai sendiri pengalaman mengenali fungsi dan kelebihan istimewa yang ada pada iPhone X.

“Kami mahu pelanggan merasai sendiri ciri-ciri istimewa dan terbaru yang ditawarkan menerusi iPhone itu sendiri. Menerusi program ini kami dapat meluangkan masa dan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelanggan.

“Setakat ini pihak kami sudah menerima 300 prapendaftaran daripada pelanggan di seluruh negara sejak tempahan untuk iPhone X dibuka pada 17 November lalu. Daripada jumlah itu, 70 daripadanya dibuat untuk pelanggan di Perak.

“Pelanggan hanya perlu memberikan maklumat seperti nama, nombor, model dan kapasiti telefon mereka. Tiada bayaran pendahuluan diperlukan dalam prapendaftaran,” katanya.

Dari Ibu Turun Ke Bayi



Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kadar kesuburan di Malaysia turun dengan mendadak sejak awal 1980-an. Kadar ini dijangka menurun ke 1.8 pada 2030. Pasangan yang berjaya melalui peringkat kehamilan juga akan berdepan dengan pelbagai masalah yang membebankan jika anak mengalami kecacatan serius. 

Pemakanan antara faktor terpenting yang menyumbang ke arah ketidaksuburan dalam kalangan wanita. Ramai masih kurang peka terhadap kepentingan pengambilan sumber makanan yang betul bagi melahirkan bayi yang sihat.

Bagi merungkai persoalan itu, Shaklee Product (M) Sdn Bhd (Shaklee Malaysia), sebuah syarikat pemakanan terkemuka Malaysia, mengadakan sesi meja bulat dengan tema ‘All About Fertility & Pregnancy: Truth & Myth’ di Subang Jaya.

Ahli Sains Penyelidikan Kanan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Shaklee Corporation (AS) Dr Sonhee Park berkata, kekurangan nutrien seperti vitamin B9 (folat) kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil dan yang menyusukan anak.

“Kekurangan vitamin B9 semasa hamil dikaitkan dengan peningkatan risiko kecacatan kelahiran dan kekurangan B12, iodin dan zat besi pula dikaitkan dengan komplikasi lain pada bayi dan ibu. 

“Pemakanan adalah kunci dalam semua peringkat kehidupan, terutama ketika jangka masa reproduktif bagi wanita yang merancang untuk hamil. Ada pepatah menyatakan, ‘ibu yang sihat menjamin bayi yang sihat’.

“Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan pemakanan memainkan peranan penting menyediakan persekitaran kondusif untuk berlaku kesuburan (prahamil), kehamilan yang sihat (pranatal) dan perjalanan sebagai seorang ibu yang sihat terutamanya semasa menyusu badan (posnatum),” katanya.

Kekurangan vitamin B9 ketika hamil didapati meningkatkan risiko kecacatan kelahiran, seperti spina bifida dan kecacatan serius lain pada otak, saraf tunjang dan jantung. Turut dikaitkan dengan pembangunan saraf dan fungsi kognitif fetus dan bayi, vitamin B12, iodin, vitamin dan mineral perlu diambil pada tahap yang optimum oleh ibu hamil.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ibu hamil disyorkan mengambil 600mcg asid folik, 4.5mcg B12 dan 200mcg iodin sehari. Asid dokoheksanoik (DHA) ialah nutrien penting kepada bayi ketika fasa hamil dan penyusuan. Nutrien ini penting untuk pembangunan otak, mata dan sistem saraf.

Oleh kerana bayi bergantung pada ibu mereka untuk mendapat bekalan DHA, terma yang digunakan adalah untuk menerangkan jumlah nutrien yang diserap daripada pemakanan dan digunakan untuk fungsi normal tubuh. Perunding Penyusuan Susu Ibu Bertauliah Dr Nurzarina Abdul Rahman pula menjelaskan, keperluan pemakanan untuk menyusu badan adalah sama seperti ketika hamil. 

Bagaimanapun, wanita yang sedang menyusu badan disyorkan untuk mengambil khasiat tambahan yang kaya dengan nutrien sebanyak 500kcal setiap hari berbanding ketika hamil. ANTARA tetamu yang hadir dalam sesi meja bulat All About Fertility & Pregnancy: Truth & Myth.

“Walaupun menyusu badan dianggap sebagai proses semula jadi untuk wanita, kebanyakan yang gagal menyusukan badan mempunyai tanggapan salah bahawa mereka sudah ditakdirkan tidak dapat menyusukan anak.

“Masih ada ruang untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu, terutamanya ibu baru mengenai faktor penyumbang yang mampu menjayakan proses penyusuan badan,” katanya. 

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan para ibu memberi tempoh minimum selama enam bulan untuk memberi susu badan secara eksklusif ketika mana bayi hanya meminum susu badan dan digalakkan untuk meneruskan penyusuan (bukan eksklusif) sehingga umur dua tahun dan ke atas.

“Salah satu daripada mitos yang biasa termasuklah tanggapan bahawa penyusuan yang kerap akan menurunkan pengeluaran susu. Sebenarnya, bekalan susu ibu bergantung pada permintaan. Ini bermakna lebih banyak susu yang diminta bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan oleh ibu. Susu ibu adalah pemberian untuk anak dan dicipta untuk membekalkan nutrien yang diperlukan oleh bayi. 

“Para ibu perlu berhati-hati dengan diet dan amalan pemakanan mereka bagi memastikan nutrien penting diterima dengan cukup ketika tempoh penyusuan badan,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan bayi bergantung pada ibu mereka untuk mendapat bekalan DHA, maka penting bagi ibu untuk mengambil DHA yang mencukupi. Kalsium adalah satu lagi nutrien penting untuk pembentukan tulang dan gigi kanak-kanak. Kehilangan kalsium daripada tulang ibu akan meningkat bagi memenuhi keperluan kalsium bayi jika diet ibu kekurangan kalsium.

Maka pengambilan kalsium yang mencukupi adalah penting sewaktu hamil dan sepanjang tempoh penyusuan bagi menjamin kesihatan tulang ibu dan kekuatan tulang dan gigi bayi. Oleh itu, pengambilan makanan yang mengandungi nutrien ini adalah kritikal bagi ibu dan juga bayi.

Dalam pada itu, Pakar Kesuburan & Pengarah Perubatan di Fertility Associates, Dr Mathi Arasu Muthusamy, turut menjelaskan di negara ini ramai yang memilih untuk memulakan kehidupan berkeluarga pada usia yang agak lewat. “Kami mendapati ramai mendirikan rumah tangga pada usia 30-an atau 40-an.

Secara amnya, pasangan subur yang tipikal berumur 25 tahun mempunyai 20 peratus peluang untuk hamil setiap bulan. Bagaimanapun, apabila umur wanita meningkat, peratus ini berkurangan kepada 17 peratus pada umur 35 tahun dan 10 peratus pada umur 40 tahun,” katanya.

Kejayaan seseorang untuk hamil bergantung pada pelbagai faktor. Amalan gaya hidup ketika dalam tempoh subur, mengekalkan berat badan ideal, pengambilan makanan dan senaman secukupnya adalah elemen penting yang menyumbang kepada persekitaran kondusif untuk hamil.