Thursday, 28 December 2017

DAP Tidak Akan Berhenti Selagi Tidak Hancurkan Perpaduan Melayu


Sejak tertubuhnya DAP pada tahun 1966, selain daripada menjadi sebuah parti yang memperjuangkan idealogi penubuhan sebuah negara Republik di Malaysia, DAP juga cukup berhasrat untuk melihat perpaduan kaum Melayu di negara ini dimusnahkan.

Pada awal penubuhan parti ini, mereka tidaklah mendapat begitu banyak sokongan. Cuma segelintir penduduk kawasan bandar terutamanya dari kaum Cina yang kekal menyokong DAP. Hari demi hari, DAP belajar untuk bagaimana meraih sokongan dari kaum lain pula. Justeru, apabila DAP menyertai Pilihan Raya Umum pada tahun 1999, mereka mula menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Seperti baru mendapat suntikan semangat yang baru, DAP baru melihat bagaimana caranya mereka boleh mengucar kacirkan perpaduan Melayu yang selama ini begitu sukar untuk di gugat. Maka bermulalah rentak politikjahat DAP dengan memperkudakan kaum Melayu itu sendiri untuk menghasut kepada perpecahan.

Hari demi hari, DAP semakin kuat sehinggalah ianya dibuktikan pada tahun 2013 apabila buat pertama kalinya, DAP mampu untuk memecah angka 40 buah kerusi Parlimen dan sekaligus membawa Pakatan Rakyat yang pada ketika itu dianggotai oleh PAS dan PKR, meraih kerusi terbanyak dalam sejarah penglibatan parti politik pembangkang di negara ini.

Langkah DAP tidak pernah terhenti walaupun mereka memperolehi kerusi yang paling banyak di kalangan pembangkang. DAP semakin angkuh dan keangkuhan mereka diserlahkan apabila sewenang-wenangnya membuang PAS dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan satu pakatan baru yang diberi nama Pakatan Harapan.

Menerusi Pakatan Harapan, DAP berjaya mendoktrinkan pemimpin liberal PAS sehinggalah mereka bertindak meninggalkan PAS dan membentuk Parti Amanah Negara (PAN). Di sini kita dapat lihat bagaimana DAP berjaya melemahkan PAS yang diketahui umum mempunyai barisan penyokong dan ahli yang begitu setia.

Mainan politik licik DAP diteruskan apabila mereka seperti cuba mengaitkan MCA sebagai parti yang menjadi ejen mereka di dalam Barisan Nasional. Malangnya, ada diantara para penyokong BN mempercayai dakyah yang di mainkan oleh DAP menerusi dakyah mereka yang seperti bekerjasama dengan MCA dalam usaha menggagalkan RUU355.

Hakikatnya, bantahan MCA itu lebih kepada menjaga perasaan kaum Cina semata-mata dan bukanlah membantah sepenuhnya perlaksanaan RUU355 seperti mana yang diperjuangkan oleh DAP, PAN dan PKR. Buktinya, banyak forum diadakan oleh MCA dengan kerjasama PAS dalam menerangkan duduk sebenar isu membabitkan RUU355.

Kemudian, DAP sekali lagi memainkan peranan yang cukup besar dalam usaha memporak perandakan UMNO. Bermula dengan isu 1MDB, diikuti dengan isu derma RM 2.6 bilion daripada keluarga DiRaja Arab Saudi, akhirnya DAP berjaya menghasut ahli UMNO untuk meninggalkan parti berkenaan untuk bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyerang UMNO dari dalam.

Mujur juga tindakan Mahathir yang memilih untuk keluar dari UMNO untuk kali kedua, telah meredakan sedikit keadaan di mana, ahli-ahli UMNO yang tidak mempunyai pendirian untuk kekal bersama Presiden parti dan UMNO itu sendiri, bertindak keluar beramai-ramai dan menyertai Mahathir.

Justeru, tidak hairanlah wujud dakwaan oleh bekas ahli PPBM itu sendiri yang mendakwa, parti berkenaan mendapat tajaan yang cukup besar dari DAP. Tunjuannya mudah, PPBM ditugaskan untuk menjahanamkan UMNO, PAN pula untuk menjahanamkan PAS manakala DAP pula bertindak mewujudkan syak wasangka antara penyokong dan kepimpinan BN terhadap MCA.

Semua "game plan" DAP ini memang disusun untuk mengucar kacirkan Melayu dan sekaligus menghancurkan terus perpaduan Melayu yang masih kekal setia kepada institusi Beraja negara. Mereka tidak akan berhenti selagi hasrat berkenaan tidak tercapai dan akan banyak lagi usaha yang bakal digerakkan DAP hanya untuk menyaksikan kaum Melayu semakin lemah dan terkubur.

Laporan EIA, Rata-Rata Berpuas Hati


Sejak semalam, MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp.) telah mempamerkan laporan penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang kini dalam rangka pembinaan.

Difahamkan, laporan ini penting bagi menangkis segala dakyah yang mungkin atau sudah di mainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tentang kemungkinan akan berlaku kerosakan alam sekitar semasa dan selepas pembinaan ini di laksanakan.

Pada 26 Disember lalu, MyHSR Corp. telah mengumumkan akan mempamerkan laporan penilaian EIA ini kepada umum selama sebulandi pelbagai lokasi termasuk di ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya serta pejabat-pejabat negerinya di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Pada satu kesempatan, penulis sempat berbual dengan beberapa orang pengunjung yang ingin melihat sendiri hasil laporan penilaian berkenaan di ibu pejabat SPAD semalam. Dari apa yang dapat dirangkumkan, rata-rata berpuas hati dengan laporan penilaian berkenaan yang disifatkan sebagai menyeluruh dan cukup tersusun.

Menurut pengunjung, laporan ini cukup penting dalam menepis segala dakyah yang tidak masuk akal termasuklah mendakwa, pembinaan HSR ini bakal memusnahkan alam sekitar akibat kerakusan pembangunan. Malah, menurut beberapa pengunjung, apa yang dirancang oleh MyHSR Corp ini amat tersusun dan bakal memberi kemudahan pada tahap terbaik kepada masyarakat sekitar.

Kepada orang ramai yang ingin menyaksikan laporan penilaian EIA pembinaan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) ini, pameran akan berlangsung selama sebulan bermula 27 Disember sehingga 26 Januari tahun hadapan.

Malah, orang ramai juga boleh memberikan pandangan mereka untuk menambah baik pembinaan HSR ini. Orang ramai juga boleh mendapatkan salinan laporan EIA berkenaan dengan harga RM4,000 bagi setiap salinan di pejabat Minconsult Sdn. Bhd.

Tiga Sekeluarga Buntu Rumah Musnah Terbakar



Tiga sekeluarga buntu selepas kediaman mereka di Jalan Kampung Pengkalan Lutong 4 di sini, musnah terbakar, semalam. 

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, rumah yang didiami pasangan suami isteri berusia 50 dan 44 tahun bersama anak lelaki mereka berusia 24 tahun gagal diselamatkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dan BBP Miri dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

ATM Hantar 45 Tan Makanan


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar 45 tan barangan untuk misi bantuan kemanusiaan ke selatan Filipina susulan Taufan Tembin yang melanda negara itu. Semua barangan yang dihantar itu adalah bahan makanan kering dan basah seperti beras, makanan tin, daging ayam beku, makanan laut selain ubat-ubatan dan pakaian untuk mangsa ribut taufan di negara jiran itu. 

Barangan yang dikumpulkan di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, Markas Angkatan Petugas 405, Kem Paradise Kota Belud dan Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Kinabatangan itu akan dihantar menggunakan Kapal KD Kedah selewatnya awal pagi esok.

Pegawai Memerintah KD Kedah, Komander Ruzman Mat berkata, misi bantuan itu berlayar dari Sandakan dan tiba di Pelabuhan Zamboanga, Filipina selewat-lewatnya Sabtu ini. Katanya, pihak ATM bekerjasama dengan tentera Filipina untuk menyalurkan barangan itu kepada mangsa ribut taufan berkenaan.

“Kami akan menghantar semua barangan ini ke dua bandar di selatan Filipina yang terjejas teruk iaitu di Tubod dan Piagapo.

“Selain daripada bekalan makanan seperti beras dan bahan mentah basah, kami turut menghantar bekalan ubat-ubatan untuk mangsa ribut di negara jiran itu,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, misi kemanusiaan itu dikendalikan ATM hasil inisiatif Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Padah Hantar Janda DVD Lucah



Seorang buruh dihukum penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengaib­kan kehormatan seorang janda dengan menghantar sekeping cakera video digital (DVD) lucah berserta sekeping nota pada Jumaat lalu. 

Majistret Mohd. Fitri Sa­darudin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Megat Amir Asrul Megat Shaharuddin, 35, berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya pada Sabtu lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 52 tahun dengan memberikan sekeping DVD lucah dan kertas bertulisan tangan mempunyai ayat yang tidak senonoh dengan maksud untuk mengganggu kesantunan wanita itu.

Kapal Sebagai Ganti Cincin Perkahwinan




Seorang lelaki membeli kapal untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang terhadap isterinya yang bersetuju mengahwininya 20 tahun lalu walaupun tanpa cincin perkahwinan. 

Ubong King memuat naik gambar di Instagram baru-baru ini menunjukkan kapal dibeli dan diberi nama isterinya itu, Ivy, dengan keterangan bahawa ia bertujuan menghargai kemurahan hati wanita berkenaan yang bersetuju mengahwininya walaupun ketika itu dia terlalu miskin.

“Saya melamarnya pada 1995 tetapi pada masa itu memang terlalu miskin, malah sekadar menumpang rumah rakan. Dia menerima saya sebagai suami walaupun tahu saya tiada apa-apa langsung dan ramai yang mempertikaikan pilihannya.

“Ada rakannya yang bertanya, ‘Kenapa mengahwini Ubong sedangkan dia tak mampu membelikan sebotol Coca Cola sekalipun untuk kamu?’ Memang terguris hati apabila dia menceritakan kata-kata rakan itu kepada saya, tetapi ketika itu saya memberinya pilihan boleh meninggalkan saya dan mencari lelaki lebih baik.

“Sebaliknya dia terus berada di sisi saya dan kami berkahwin walaupun cuma mampu menumpang rumah rakan selama beberapa tahun. Malah, apabila berpindah ke rumah sewa sendiri beberapa tahun kemudian sekalipun kami cuma mampu ‘menghiasnya’ dengan satu tilam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia berusaha keras untuk menyara keluarganya sehingga akhirnya kini mereka mampu hidup selesa dan memilih membeli kapal untuk Ivy sebagai tanda terima kasih kerana terus menyokongnya.

Sementara itu, Ivy turut berkata di Instagram: “Ketika itu memang saya diberi tekanan pelbagai pihak supaya meninggalkannya. Tetapi saya sedar kekurangannya cuma dari segi material dan saya yakin sesiapa pun mampu menjadi lebih baik jika rajin berusaha.

“Saya memilih menerimanya dan berserah kepada tuhan dan sekarang dia mampu membelikan saya berkotak-kotak Coca Cola bila-bila masa pun dikehendakinya.”

Tidak Mustahil Kumar Bersara


Bekas pemain hoki kebangsaan Maninderjit Singh berpendapat tidak mustahil S Kumar (gambar) akan mengumumkan persaraan sekiranya Persekutuan Hoki Dunia (FIH) kekal dengan keputusan mengenakan penggantungan maksimum dua tahun ke atas penjaga gol nombor satu negara itu. 

Kumar diuji positif kerana menggunakan bahan terlarang sibutramine (kategori bahan pelangsing) ketika beraksi pada Piala Asia di Dhaka, Oktober lalu. Berikutan kes itu, dia tidak dibenarkan bertanding dalam sebarang kejohanan hingga kes itu didengar FIH bulan depan.

Sekiranya rayuan penjaga gol berusia 38 tahun itu tidak berjaya, dia akan berdepan hukuman penggantungan hingga dua tahun. Maninderjit berkata, dua tahun jelas terlalu lama buat Kumar ketika kariernya sudah tiba ke penghujung sekali gus menyarankan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) supaya segera menyediakan tiga pelan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tahun depan banyak kejohanan penting seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Dunia, sudah tentu ketiadaan Kumar perlu diatasi sebaik mungkin. Pada pendapat saya MHC perlu memasang tiga pelan iaitu yang pertama tanpa Kumar yang memilih bersara, kedua tanpa Kumar dua tahun dan ketiga Kumar hanya digantung setahun.

“Tapi pada pendapat saya dia akan mengumumkan persaraan sekiranya dikenakan hukuman penggantungan dua tahun. Bukannya mudah untuk seseorang atlet mahu kekalkan tahap kecergasan selain mengambil kira faktor usianya,” kata Maninderjit.

Justeru, bekas pertahanan negara itu percaya MHC tiada pilihan selain perlu menjadikan dua kejohanan pertama tahun depan - Piala Sultan Azlan Shah (Mac) dan Sukan Komanwel (April) sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada penjaga gol Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman.

“Kumar sememangnya tiada ganti, dia sudah meletakkan standard yang tinggi. Malah kita lihat salah satu kejayaan Malaysia kebelakangan ini disebabkan Kumar... itu realiti.

“Jadi, apa yang MHC perlu buat sekarang adalah perlu menguji dan memberi pendedahan kepada Hafizuddin dan Hairi dan selepas itu putuskan siapa penjaga gol terbaik untuk beraksi di Piala Asia dan Piala Dunia ketika nasib Kumar sudah diketahui ketika itu.”

Sukan Komanwel Gold Coast dan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh tidak menawarkan mata ranking dunia FIH. Malah, Maninderjit yang pernah menjadi Setiausaha Agung MHC menyamakan senario ketandusan pengganti Kumar yang menimpa MHC ini sama seperti usaha mencari pengganti kepada jaguh badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei.

“Perkara ini sudah empat atau lima tahun dibangkitkan apabila ramai yang tertanya-tanya siapakah pemain paling sesuai menggantikan tempat Kumar dan ia sama seperti isu selepas Chong Wei siapa pula penggantinya. Sepatutnya kita mencontohi Jerman yang membawa 12 pemain muda pada Pusingan Akhir Liga Hoki Dunia di Bhubaneswar, India baru-baru ini.”

Corat Coret 2017 Bidang Hiburan



Menyingkap tabir dunia hiburan 2017, kisah panas lagi sensasi tidak putus-putus disiarkan di dada akhbar dan portal. Sehinggakan kontroversi yang dibangkitkan itu kadangkala boleh merimaskan sesiapa sahaja yang menulis mahupun yang membacanya. 

Ada saja perilaku segelintir penggiat seni yang boleh membuatkan umum berasa jelik. Hakikatnya, sikap dan tindakan segelintir artis ini sedikit sebanyak membuatkan imej mereka tercalar dan dikecam pelbagai pihak.

Percaya atau tidak, dengan pendedahan ini, ia menjadi iktibar buat semua bukan saja empunya badan yang mencetuskan kontroversi itu bahkan insan seni lain supaya lebih berhati-hati. Sebelum 2017 melabuhkan tirai, mari kita lihat senarai 10 kontroversi yang paling mendapat perhatian sepanjang tahun ini.


1. Aliff Pukul Bella

Setiap manusia tidak terlepas melakukan kesilapan, begitu juga penyanyi dan pelakon kontroversi, Aliff Aziz, 26. Julai lalu, Aliff terpalit dengan kontroversi membabitkan pelakon baru, Afifah Nasir sehingga rumah tangga yang dibina bersama Bella Astilah, 23, bergolak teruk.

Ia bermula pada 28 Julai lalu apabila berita mengenai Aliff ditahan polis selepas isterinya, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah membuat laporan dikasari suaminya di kelab karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada 27 Julai.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Bella yang baru berpantang 20 hari dikatakan mencari Aliff dan mendapati suaminya itu ada bersama seorang wanita didakwa Afifah. Berlaku perbalahan dan pergelutan sehingga muka Bella berdarah serta kakinya cedera.

Tambah menghangatkan lagi isu ini apabila kakak Afifah yang juga pelakon Anzalna Nasir mengeluarkan kenyataan di laman sosial seolah-olah mempertahankan adiknya dengan mengatakan perempuan lepas bersalin lain sikit perangai atau dengan kata lain meroyan.

Bagaimanapun, Aliff dan Bella bertindak pantas mengadakan sidang media pada 31 Julai. Aliff memohon maaf mengakui kesalahannya keluar dengan wanita lain tanpa pengetahuan isteri dan Bella memaafkan suaminya kerana memikirkan anak dan masa depan mereka.

Pada 7 Ogos, Afifah mengadakan sidang media di pejabat peguamnya di Solaris Dutamas. Afifah mendakwa dianiaya pihak produksi berikutan usaha mereka mahu memujuk Aliff menyebabkan dirinya terheret dalam kontroversi terbabit. Afifah mengakui langsung tidak menyimpan perasaan terhadap Aliff, jauh sekali mahu merosakkan rumah tangga pelakon itu.

Keesokannya, Aliff mempersoalkan tindakan Afifah membabitkan syarikat produksi dalam kontroversi itu, terutama dakwaan kononnya Afifah diminta melayan kerenahnya bagi melancarkan penggambaran. Pada 10 Ogos, pengarah drama terbabit, Manchi menafikan dakwaan Afifah kononnya produksi mempergunakan dirinya.



2. Boy Iman direman enam kali

Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman enam kali bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah berjumlah RM6.2 juta. Siasatan dijalankan polis susulan penipuan jualan rumah didakwa dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources yang turut membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Selangor. 

Boy Iman ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang pada 2 Oktober lalu. Dia turut direman sebelum ini di Ampang dan Shah Alam di Selangor; Muar (Johor); Sungai Petani dan Kubang Pasu (Kedah) serta Kangar (Perlis). Sebelum ini, polis menerima 210 laporan berkaitan penipuan jualan rumah dilakukan dua syarikat termasuk DBI Properties.

Syarikat berkenaan didakwa menawarkan harga rumah jauh lebih rendah daripada pasaran kepada pembeli iaitu RM60,000 bagi banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.



3. Kisah Penceraian Hafiz dan Joy

Selepas dilanda pelbagai kontroversi , penyanyi Hafiz Hamidun, 33, dan usahawan kosmetik Siti Arifah Mohd Amin, 30, atau Joy Revfa akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Oktober lalu.

Pada Ogos lalu, pasangan ini berdepan konflik apabila tidak lagi tinggal sebumbung selain berbalas komen di Instagram masing-masing. Pasangan yang bernikah pada 1 Mei lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu turut didakwa tidak pernah dilihat datang bersama dalam sebarang majlis.

Pada 12 Oktober lalu, Hafiz yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan cerai di mahkamah. Tidak wujud persefahaman antara mereka antara alasan diberikan Hafiz selain mendakwa Joy Revfa sering mengaibkan namanya di media sosial. Hafiz turut mendakwa wanita itu melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai suami.



4. Rita pengacau rumah tangga?

Nama Rita Rudaini, 41, tiba-tiba panas apabila dia dikatakan mengganggu rumah tangga pelakon Aqasha dan isterinya, Baizura Sabri. Pendedahan terbabit dibuat isteri Aqasha sendiri yang berkongsi paparan skrin perbualan mesra suaminya dengan seorang aktres didakwa Rita menerusi Instagramnya pada awal Mac lalu.

Bagaimanapun, Aqasha menegaskan mahligai cinta yang dibina sejak tujuh tahun lalu bersama Baizura baik-baik saja. Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya rumah tangganya bergolak. Aqasha menegaskan hubungannya dengan Rita hanya berlandaskan persahabatan dan mereka profesional ketika bekerja.



5. Izreen isteri kedua

Ini satu lagi kisah panas yang menjadi buah mulut ramai apabila pemuzik Mohd Radzi Abdul Wahid atau Ude akhirnya mengakui sudah bernikah dengan pelakon Izreen Azminda. Ude turut mengaku wanita yang tampil membuat pengakuan itu adalah isteri pertamanya, Intan Liana.

Ude yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga menyunting Izreen sebagai isterinya pada 8 Ogos lalu. Dia turut menafikan perkahwinannya dengan Intan berdepan masalah selepas menikahi Izreen. Sejak pengumuman itu dibuat, Izreen dan Ude dihentam teruk di Internet.

Pasangan ini memohon semua pihak terutama media agar tidak mengganggu privasi keluarga mereka. Ude mempunyai dua anak berumur 3 tahun dan 11 bulan bersama Intan. Gosip mengenai perkahwinan Izreen dengan Ude mula diperkatakan apabila Izreen meletakkan namanya sebagai Mrs Ude dalam Instagramnya.



6. Fathia Latiff isu ‘cashless’

Nama aktres jelita ini panas dengan aksinya menari dalam keadaan seksi sehingga memperlihatkan sebahagian payudara di aplikasi Bigo. Kemudian dia dikritik kerana mencemuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan mendakwa cadangan menjadikan Malaysia negara ‘cashless’ akan menjadikan negara seperti zaman batu yang menggunakan sistem barter.

Enggan mengakui kesilapan, Fathia berkata, dia sengaja mengeluarkan kenyataan “Saya tak bodoh. Saya sedar dan faham maksud tajuk berita itu cuma saya sengaja Tweet dalam bentuk sarkastik.” Pelakon drama Ariana Rose itu ‘buat hal’ sekali lagi apabila mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak membuat lawatan ke Pulau Pinang sewaktu tragedi banjir baru-baru ini.

Tweet yang dimuat naik Fathia sehari selepas lawatan Najib ke Pulau Pinang itu dikecam teruk dan beliau akhirnya mengemukakan permohonan maaf. Kemudian dia cuba menjadi pakar ekonomi dan harga minyak pula di media sosial. Juga menerusi twitter, Fathia membandingkan harga minyak negara dari Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Malaysia.

Perkara ini dijawab oleh penganalisis politik/blogger Lim Sian See bahawa harga minyak negara yang disebutkan Fathia adalah pada 2014.



7. Eyka video lucah

Nama pelakon comel ini hangat diperkatakan apabila dia dikaitkan dengan video lucah yang tular awal Oktober lalu. Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Juvana 1 dan 2 itu membuat laporan di Balai Polis Ampang dan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Eyka berkata, walaupun wanita di dalam video itu bukan dirinya, apa yang berlaku sangat memalukan, sekali gus mencemar nama baik dan keluarga.



8. Shahir dan skandal

Pembabitan Shahir Zawawi, 29, dalam program realiti Akademi Fantasia Megastar pada mulanya berjalan lancar. Ramai menyambut positif usaha Shahir untuk memulakan kembali kerjaya nyanyiannya yang sebelum ini terumbang-ambing.

Bagaimanapun, menjelang kemuncak pertandingan itu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mula dibelenggu kontroversi apabila gambarnya dengan pramugari yang dikenali sebagai Mona Syamimi tersebar meluas di Internet. Gara-gara berita mengejutkan itu, Shahir hampir menarik diri daripada pertandingan akhir program itu.

Shahir mendakwa, Mona hanya peminat dan menafikan mereka ada hubungan istimewa. Namun, jika sudah mula bercakap soal rindu-rinduan dan keluar berdua-duaan, adakah itu kekasih atau peminat? Hanya Shahir yang tahu jawapan sebenar.

Belum pun reda kisah Mona, satu lagi kontroversi tercetus apabila seorang lelaki bernama Azim Azizan mendakwa Shahir gagal menjelaskan hutang sewa kereta mewah berjumlah RM24,000. Sumber mendakwa, Shahir hanya menjelaskan RM2,000, itu pun selepas ceritanya berhutang didedahkan.



9. Emma, Kamal, Zahirah, Zul berlaga

Ketika pelakon Kamal Ali dan Zahirah Macwilson bergandingan dalam drama Duda Pujaan Dara pada awal Ogos lalu, pasangan ini tiba-tiba mencetuskan persoalan mengenai status hubungan rapat mereka.

Lebih menguatkan isu yang berlaku, Kamal memuat naik gambar bersama keterangan ‘miss mermaid, doakan yang baik-baik sahaja taw’ di laman Instagramnya mencetuskan spekulasi hubungannya dengan Emma sedang bermasalah.

Pada 12 Oktober, Emma menimbulkan teka-teki status hubungannya dengan Kamal apabila memetik nama Zahirah. Lama menyepikan diri, Kamal akhirnya bersuara dan menyelar individu tertentu yang rapat dengan Emma supaya tidak menjadi batu api apabila Emma mengesahkan hubungannya dengan Kamal sudah terlerai.

Emma mengaitkan Zahirah sebagai orang ketiga yang menjadi punca keretakan hubungan mereka. Mempertahankan diri, Zahirah pada 25 Oktober memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Kamal untuk membuktikan mereka tiada hubungan mesra. Zahirah yang turut muncul menerusi Facebook Live BH menyifatkan, dirinya dijadikan kambing hitam dalam isu itu.

Sementara itu, pelakon popular Zul Ariffin menganggap isu ‘petik nama’ yang dicetuskan Kamal Adli dan Emma Maembong serta dibangkitkan kembali kekasihnya Zahirah sehingga turut mengaitkan namanya sebagai tindakan bodoh.

Bintang utama filem Tombiruo itu tidak mahu terbabit dan menegaskan sama ada mahu percaya atau tidak dengan penjelasan diberikan ketiga-tiga pelakon itu, biarlah ia menjadi rahsia peribadi.



10. Shukri Yahaya mesej ‘cikaro’

Kecoh satu Malaysia apabila aktor popular Shukri Yahaya dikatakan meminta peminatnya menghantar pesanan dan gambar lucah menerusi media sosial. Semuanya timbul selepas seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai Sarah Danielle berkongsi satu mesej perbualan bersama seorang pelakon terkenal.

Mesej berbaur godaan itu kononnya perbualannya bersama Shukri dan turut menggambarkan dia kurang senang dengan mesej diberikan pelakon itu. Dalam kenyataan awal mengenai isu itu, Shukri berkata, wanita terbabit cuba meraih populariti menerusi laman sosial miliknya dengan memuat naik perbualan yang dianggap pendedahan palsu.

Tegas Shukri dengan kemajuan teknologi komunikasi, semua orang boleh menjadi dirinya dengan hanya meletakkan gambar profil wajahnya seterusnya menyamar dan berbalas mesej.

1MDB Langsai Hutang Lebih Awal



1Malaysia Development Bhd. (1MDB) mengumumkan pembayaran penuh kepada International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC), lebih awal berbanding tarikh akhir 31 Disember 2017 yang dipersetujui sebelum ini. 

Syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu menjelaskan bayaran berkenaan berdasarkan pindaan bertarikh 8 Ogos 2017 ke atas Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC.

“Kesemua pembayaran itu dibuat menerusi hasil Program Rasionalisasi 1MDB yang sedang berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan, 1MDB perlu membayar kira-kira AS$600 juta (RM2.45 bilion) kepada IPIC menjelang 31 Disember ini sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai pada bulan April lalu susulan kegagalan 1MDB dalam pembayaran faedah bon yang dijamin IPIC.

Langkah itu telah memaksa IPIC, yang merupakan syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi, membawa tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan kerajaan berhubung tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion (RM26.4 bilion).

Susulan itu, 1MDB bersetuju untuk membayar AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) dalam dua kali ansuran kepada IPIC dengan pembayaran pertama bernilai kira-kira AS$600 juta pada 31 Julai 2017. Namun 1MDB gagal memenuhi tarikh akhir berkenan ekoran keperluan untuk mendapatkan kelulusan kawal selia dan membuat pembayaran yang diperlukan pada bulan Ogos lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London semalam, IPIC berkata, ia kini telah menerima kesemua dana yang diperlukan menjelang 31 Disember di bawah penyelesaian yang dibuat dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan 1MDB.

Kurang Seram, Lebih Aksi



Resident Evil 7 mungkin tidak mencapai hasil jualan seperti keluaran kelima dan keenam, tapi eksperimen terbaru Capcom ini pasti menjanjikan pengalaman paling menyeramkan untuk semua pemain sama ada veteran atau amatur. 

Di samping sudut kamera yang kini berubah kepada ‘first-person’, RE 7 juga mengetengahkan elemen seram yang klasik. Tempatkan protagonis yang bukan ejen atau askar dalam satu rumah usang di Louisiana dan hadkan jumlah peluru serta senjata canggih.

Itu sudah mencukupi untuk menggembirakan pemain veteran seperti penulis sendiri yang sudah lama menantikan konsep ‘survival-horror’ dihidupkan kembali dan nyata, Resident Evil 7 menyampaikan konsep itu dengan jayanya. Sedikit mengenai plotnya, Resident Evil 7 membawa anda mengikuti perjalanan Ethan Winters dalam mencari isterinya, Mia yang hilang sejak tiga tahun lalu.

Tapi malangnya, Ethan terperangkap dalam rumah usang keluarga Bakers yang dijangkiti virus baru dicetuskan oleh Eveline, seorang kanak-kanak yang diubah genetiknya untuk menjadi senjata bio. Dalam edisi Gold, pemain akan meneruskan kembara Chris Redfield memburu Lucas, anak sulung Jack Baker yang melarikan diri ke Salt Mines.

Dalam satu kandungan tambahan lain, nasib Zoe Baker didedahkan.

NOT A HERO

Kandungan tambahan (DLC) percuma ini boleh dikatakan tidak mengecewakan kerana ia menerangkan kejadian seterusnya susulan kematian Eveline. Penulis mengawal Chris Redfield yang kini berkhidmat di bawah Blue Umbrella.

Tidak seperti Ethan yang menempuhi kembara berisiko, Chris sudah bersiap sedia untuk memburu Lucas dengan koleksi senjata canggih dan bom tangan. Penulis dilengkapi pistol dan senapang patah lebih berkuasa untuk sekali lagi melawan Molded, makhluk yang terhasil daripada virus Eveline.

Tapi kali ini, sesi permainan lebih memfokuskan kepada aksi daripada seram. Molded kali ini lebih berkuasa dan membuatkan penulis terfikir pelbagai cara untuk membunuh mereka. Peluru amat terhad tapi penulis berupaya menumbuk musuh selepas menembak titik kelemahan, satu keupayaan yang tidak boleh dilakukan Ethan.

Tapi ia tidaklah begitu ‘overpowered’ kerana tumbukan itu tidak menjatuhkan musuh lain sebaliknya hanya menyebabkan mereka berundur. Jika gunakan bom, Molded ini akan terus hancur berkecai. 

Dalam Not A Hero, terdapat Molded versi baru berwarna putih yang hanya boleh dibunuh dengan peluru tertentu dibekalkan oleh Blue Umbrella. Penulis menghadapi kesukaran membunuh semua Molded putih itu kerana jumlahnya yang agak banyak.

Selain itu, terdapat topeng oksigen yang boleh dinaik taraf untuk memasuki kawasan yang mempunyai kandungan virus di udara dan digunakan dalam gelap. Penulis juga menjumpai satu kawasan yang dipasang perangkap bom dan jika satu daripadanya meletup, terus tamat permainan.

Pada akhirnya, penulis berjaya menjejak Lucas yang tiada jalan keluar. Dia bertukar menjadi Molded lebih berkuasa, mempunyai kebolehan untuk melompat lebih tinggi. Bagaimanapun, penulis berjaya menewaskannya dengan gabungan senjata api dan bom.

END OF ZOE

Dalam DLC ini pula, penulis meneruskan kembara sebagai Joe Baker, bapa saudara Zoe. Kenapa Joe? Ini kerana dia adalah satu-satunya penyelamat Zoe selepas bertukar menjadi kepompong kristal akibat virus Eveline. Walaupun tidak memiliki senjata canggih, Joe mempunyai kepakaran semula jadi, hanya menggunakan tangan!

Penulis boleh menumbuk Molded dan terdapat barang yang boleh menguatkan lagi kuasa tumbukan itu. Penulis boleh katakan End of Zoe seperti game yang berlainan kerana tiada senjata api. Apa-apa pun, ia juga dipenuhi aksi dan kurang rasa seram kerana Molded itu tidak lagi menakutkan apabila beberapa tumbukan saja sudah boleh membunuh mereka.

Dalam perjalanan mencari penawar untuk Zoe, penulis menemui cara membuat lembing dan akhirnya berdepan dengan Jack Baker yang sebenarnya masih hidup! Tapi pada saat itu, penulis sudah pun dilengkapi sarung tangan mekanikal yang boleh dicas untuk melepaskan satu tumbukan elektrik yang boleh menghancurkan Molded dengan sekali tumbukan saja.

Agak sedih sebenarnya kerana Joe tidak mempunyai pilihan untuk membunuh darah dagingnya sendiri yang sudah tidak terkawal dan menjadi makin liar. Selepas kematian Jack, akhirnya Zoe berjaya sembuh dan Chris Redfield hadir memberi perlindungan kepadanya.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, kandungan tambahan ini menamatkan teka-teki peminat mengenai apa yang berlaku kepada Zoe dan Lucas Baker. Bagaimanapun, ia penuh dengan aksi dan sesi permainannya agak pendek. Kedua-dua DLC diselesaikan dalam masa kurang daripada enam jam.

Penulis sememangnya berharap Zoe menjadi teraju untuk DLC terbaru daripada Capcom ini tapi sayangnya karakter terpenting itu hanya terlantar sakit sepanjang masa. Bagi DLC Not A Hero, ia sedikit mengecewakan untuk bermain daripada sudut kamera ‘first-person’ kerana penulis tidak dapat menyaksikan kehebatan Chris menumbuk, menembak dan menewaskan Molded.

Apa yang pasti, DLC ini tak memberi apa-apa klu mengenai Resident Evil 8. Bagaimanapun, syarikat yang mencipta Eveline mungkin akan menghasilkan senjata bio berbentuk manusia yang lebih bahaya pada masa depan.

Bagi penulis sendiri, Capcom perlu mengubah Resident Evil 8 kepada ‘third-person’ dan masih mengekalkan elemen seram. Buktinya, penulis menikmati sesi permainan The Evil Within 2. Masih menjadi tanda tanya sama ada Shinji Mikami, pencipta francais Resident Evil akan kembali untuk memfokuskan pembangunan Resident Evil 8 nanti tapi diharap beliau akan membuat kemunculan kembali kelak.

Wednesday, 27 December 2017

Bagaimana 1.6 Bilion Boleh Tunduk Kepada 8.5 Juta Orang?



Kekejaman Israel di bumi Palestin memang menimbulkan kegeraman ramai pihak terutamanya umat Islam, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Ditambah pula dengan sokongan tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap Israel, sudah tentulah kemarahan umat Islam memang sudah diduga.

Saban tahun, kekejaman tentera Zionis terhadap kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin dapat kita saksikan di kaca-kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar. Saban tahun juga, kita akan melihat kematian demi kematian para syuhada Palestin mempertahankan tanahair mereka dari terus dijajah oleh penduduk haram Israel.

Menariknya, diseluruh dunia hari ini, terdapat lebih 1.6 bilion orang umat Islam yang mendiami lebih dari 40 buah negara. Mengikut perangkaan terkini, terdapat lebih kurang 8.5 juta orang penduduk yang mendiami Israel dengan hampir keseluruhannya adalah dari keturunan Yahudi. Bagaimana 1.6 bilion orang boleh tunduk dan akur kepada 8.5 juta orang?

Jawapannya mudah. Sejak turunnya wahyu pertama yang menyaksikan Ahmad Bin Abdullah diangkat menjadi Rasullullah yang terakhir yang hari ini kita kenali sebagai Nabi Muhammad S.A.W, perselisihan faham antara kabilah dan penganut agama Islam tidak pernah padam dan surut walaupun pada ketika itu, Nabi Muhammad masih bernyawa di atas muka bumi Allah ini.

Keadaan semakin parah apabila wujudnya kerajaan-kerajaan Islam seperti Abbasiyah, Muawiyah, Fatimiyah dan banyak lagi di serata tanah Arab. Menurut sejarah, kita sudah saksikan banyak perperangan antara kerajaan Islam yang telah melemahkan Islam itu sendiri. Justeru, tidak hairanlah apabila Baitulmaqdis begitu mudah ditawan oleh tentera Salib sewaktu Perang Salib yang pertama.

Secara amnya, bumi Palestin ini didiami oleh umat Islam dan penganut agama Kristian secara bersama. Pada ketika itu, keturunan Yahudi merupakan golongan hamba yang di bawa masuk di sekitar bumi Arab yang mana mereka bukanlah tuan kepada tanah Ambiya ini.

Tidak hairanlah ketika Saidina Umar Al Khatab dan Salehuddin Al Ayubi memasuki Kota Baitulmaqdis, mereka langsung tidak mengganggu apa jua struktur binaan agama Kristian di Palestin. Malah, menurut sejarah, Saidina Umar dan Salehuddin sendiri mengiktiraf kewujudan penganut agama Islam dan Kristian untuk tinggal bersama di Palestin, namun bukan keturunan Yahudi.

Kemasukan Yahudi ke Palestin bermula sewaktu penjajah British memanipulasikan perjanjian berat sebelah antara penjajah berkenaan dengan kerajaan Uthmaniyah. Penjajah memberi alasan,kewujudan keturunan Yahudi di seluruh Eropah pada ketika itu hanya merosakkan perpaduan yang baru sahaja wujud di seluruh benua berkenaan.

Sejak itulah keturunan Yahudi berpusu-pusu memasuki bumi Palestin sehinggalah mereka berjaya mempengaruhi dua kuasa besar dunia pada ketika itu, Amerika dan British untuk melindungi kewujudan mereka di bumi Palestin. Kemuncaknya apabila mereka berani melancarkan serangan terhadap umat Islam dan Kristian di Palestin sehinggalah mereka akhirnya berjaya menawan 85 peratus bumi Palestin hanya dalam tempoh kurang dari 40 tahun.

Pada ketika Israel semakin mengukuhkan kuasa di Palestin, umat Islam masih lagi berterabur. Penguasa masing-masing masih hanyut dengan harta duniawi yang kebetulan di ciptakan Allah melimpah ruah di bumi umat Islam. Harta yang dimaksudkan adalah permata hitam atau lebih kita kenali sebagai telaga-telaga minyak.

Tidak kurangnya juga pertelingkahan merebut kuasa, saling syak mengesyaki antara jiran tetangga dan lebih merosakkan apabila wujud perbezaan antara penganut Ahlul Sunnah wal Jamaah dengan pengikut Syiah. Ditambah pula dengan begitu mudahnya mereka termakan dengan hasutan yang dimainkan oleh Barat, maka tinggallah rakyat Paleestin terkontang kanting tanpa pembelaan sewajarnya.

Hari ini, umat Islam adalah kedua teramai di seluruh dunia selepas agama Kristian. Namun, sehingga hari ini, belum ada mana-mana negara atau pemimpin yang mampu menyatukan seluruh pemimpin dan umat Islam dalam memberi tekanan terhadap Amerika mahupun Israel.

Bayangkan, sekiranya 1.6 bilion penganut agama Islam dan lebih 1.8 bilion penganut agama Kristian bersatu dalam memerangi Israel (perang bukan bererti mengangkat senjata, cuma memerangi menerusi ekonomi dan diplomatik), bukankah bumi Ambiya berkenaan dapat kita tawan semula?

Sayangnya, umat Islam masih leka "bermain" dengan hasil ciptaan Allah dan terus membiarkan bumi Palestin diganyang sehinggakan maruah umat Islam, Baitulmaqdis, sewenang-wenangnya dipermainkan Trump dan sekutunya.

Kuncinya ada ditangan kita dan seharusnya, jika mengucapkan 2 kalimah Syahadah yang sama, kita wajar bersatu hati tanpa mengira apa jua fahaman politik serta perbezaan budaya untuk menyekat apa jua sumber pendapatan Israel mahupun Amerika. Inilah jihad yang mampu kita laksanakan dari secara berterusan menjadi ejen kepada perpecahan umat Islam di tanahair sendiri.

Harapan Tahun Baru


Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi tahun 2017 akan meninggalkan kita. Jika mahu diimbau semula pejalanan politik negara sepanjang 2017, terlalu banyak untuk dicoretkan namun tahun 2017 bolehlah dianggap sebagai tahun penuh persiapan buat MCA dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka bakal diadakan pada tahun hadapan.

Bukan mudah sebenarnya untuk MCA kembali mengatur semula gerak kerja mereka. Jika diimbas keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, buat pertama kali dalam sejarah, MCA hanya memperolehi 7 buah kerusi Parlimen sahaja sehingga menyebabkan MCA pada ketika itu menolak sebarang jawatan di dalam Kabinet.

Pastinya, menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 ini, MCA telah merangka persiapan yang rapi bagi memenangi semula hati pengundi terutamanya kaum Cina yang dilihat telah dihasut penuh kebencian oleh DAP menerusi taktik kempen kotor mereka.

Memasuki tahun penuh getir ini, kesemua barisan kepimpinan MCA melihat, tahun 2018 merupakan satu tahun yang amat penting bagi survival parti komponen utama Barisan Nasional ini. Manakan tidak, keputusan yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu pastinya mahu dielakkan dan sekaligus merealisasikan hasrat Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk meraih keputusan 2 per 3.

Menyedari akan harapan menggunung Pengerusi BN ini, MCA telah merangka gerak kerja sejak hampir 3 tahun yang lalu. Mereka mengenal pasti segala kekurangan yang ada parti  berkenaan dan telah mengenal pasti calon yang mereka fikirkan layak untuk menggalas tugas berat ini.

Tanyalah sesiapa sahaja yang menyertai arena politik, siapa mahu kalah. Atas kesedaran inilah, memasuki tahun 2018, MCA berhasrat untuk memperbaiki keputusan yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu. 

Untuk Pilihan Raya Umum ke 14, MCA menyasarkan untuk bertanding di 20 kerusi Parlimen dan menyasarkan untuk merampas semula kerusi yang dahulunya milik MCA di samping mengekalkan 7 kerusi Parlimen yang mereka menangi. Secara kasarnya, besar kemungkinan, MCA menyasarkan kemenangan 15 daripada 20 kerusi yang mereka bakal tandingi.

Persoalannya, bolehkah sasaran ini digapai? Jika dinilai dari segi gerak kerja dan semangat setiakawan antara rakan komponen BN termasuk UMNO dan MIC, sasaran ini mampu digapai asalkan MCA kekal komited dan fokus kepada sasaran mereka. Inilah harapan besar yang bakal digalas oleh semua pemimpin dan ahli MCA di seluruh negara.

Layar Mas Dibadai Ombak


Ribut dan ombak besar selain masalah enjin menyebabkan sebuah kapal pengangkut dihanyutkan arus sehingga terkandas di perairan Bintulu sejak Selasa lalu. 

Kapal seberat 488 tan berkenaan dalam pelayaran dari Miri ke Pelabuhan Bintulu dan pengusahanya sudah memaklumkan kejadian kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Daerah Maritim 12 (DM12) Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebaik menerima laporan itu, Kapal Maritim (KM) Tabah yang diketuai Leftenan Komander Muhammad Azizol Azmi diarahkan untuk mengesan kapal berkenaan.

“Keadaan laut bergelora dan angin kencang menyukarkan KM Tabah untuk merapati Layar Mas 290. Satu lagi pasukan penyelamat mengharungi perjalanan lima kilometer dari Taman Negara Similajau menggunakan jalan darat untuk ke lokasi Layar Mas 290.

“Akhirnya, semua lapan kru kapal yang juga warga tempatan dapat diselamatkan sebelum dibawa ke Pelabuhan Bintulu,” katanya.

7 Sekeluarga Terkejut Tebuan Huni Rumah


Tujuh sekeluarga yang pulang bercuti untuk menyambut Krismas terkejut apabila rumah mereka yang ditinggalkan selama enam bulan ‘dihuni’ tebuan apabila sarangnya ditemui di siling rumah di Kampung Puka, kelmarin. 

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 4.24 petang itu, sarang terbuan sepanjang 0.9 meter berjaya dimusnahkan sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Penghuni, Joel Majikur, 43, dia dan keluarganya baru tiba dari Semenanjung dan pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Krismas.

“Sebaik pintu rumah dibuka, saya terkejut melihat sarang tebuan yang besar itu berada di siling ruang tamu. Saya melarang ahli keluarga masuk ke rumah itu kerana bimbang keselamatan mereka terancam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ugut Sebar Gambar Bogel Bekas Kekasih, Lelaki Didenda RM5,000


Seorang jurujual komponen kereta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengugut ingin menyebarkan gambar bogel bekas kekasihnya, awal November lalu. 

Majistret Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Hairuzrizal Wan Habib, 38, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai suit dan bertali leher membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menakutkan dengan cara mengugut mahu menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya yang berusia 36 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Bukit Antarabangsa, di sini pada pukul 6.30 pagi, 5 November lalu. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

10 Negara Mahu Pindah Kedutaan Ke Baitulmuqaddis



Israel kini berhubung ‘dengan sekurang-kurangnya 10 buah negara’ yang dipercayai bersedia memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmu­qaddis sele­pas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu kota Israel, kata seorang timbalan menteri kelmarin. 

“Kami sedang berhubung dengan sekurang-kurangnya 10 negara, sebahagiannya di Eropah untuk membincangkan langkah tersebut,” kata Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely kepada sebuah stesen radio awam.

Beliau bercakap sehari selepas Guatemala mengesahkan bahawa ia akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis. Pemimpin-pemimpin Palestin mengecam tindakan negara Amerika Tengah tersebut sebagai ‘memalukan’.

Hotovely berkata, pengiktirafan oleh Presiden AS, Donald Trump itu akan mencetuskan ‘gelombang’ tindakan serupa oleh negara-negara lain. “Setakat ini, kami hanya me­nyaksikan permulaannya,” kata Hotovely lagi.

Beliau tidak mendedahkan nama negara-negara berkena­an tetapi stesen radio tersebut memetik sumber diplomatik Israel sebagai berkata, antaranya termasuk Honduras, Filipina, Romania dan Sudan Selatan.

Pada Khamis lalu, dua pertiga negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong resolusi menolak langkah kontroversi Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis se­bagai ibu negara Israel dan mahu status kota suci itu di­selesaikan melalui rundingan.

Israel merampas Baitulmu­qaddis Timur semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan menjajahnya dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh ma­syarakat antarabangsa. Pengumuman Trump pada 6 Disember lalu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Tiada negara yang mempunyai kedutaan di Baitulmuqaddis. Sebaliknya, negara-negara du­nia menempatkan kedutaan ma­sing-masing di bandar ko­mersial Israel, Tel Aviv.

‘Kumar Bakal Jadi Aset Negara’


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memuji keberanian M. Kavishkumar yang sanggup menge­luarkan wang sendiri untuk menjalani siri percubaan bersama beberapa kelab Liga Jepun (J-League) sebelum menandatangani kontrak de­ngan pasukan Liga Prefektur Jepun (JPL), Tokai FC pada Jumaat lalu. 

Kata Hamidin, kesungguhan serta sikap mahu keluar dari zon selesa itu seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada pemain-pemain muda agar berani menyahut cabaran bermain di luar negara. 

Menurutnya, beliau bersama pe­minat-peminat bola sepak tempatan sentiasa mendoakan kejayaan Kavish­kumar yang lebih mesra di­sapa ‘Kumar’ bermain bersama kelab Jepun tersebut selain mengharapkan bekas produk Selangor PKNS dan Victoria Institution itu bakal mengharumkan nama negara di bumi Sa­murai Biru itu.

“Secara peribadi, saya memuji ke­sungguhan pemain ini (Kumar) yang sanggup bermain di luar negara. Tidak ramai pemain-pemain memiliki keberanian seperti itu. Saya berbangga masih ada pemain kita yang memiliki semangat untuk bermain di luar negara.

“Inilah satu semangat yang seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua generasi muda. Umum kita mengetahui bahawa Jepun memiliki liga cukup kompetitif dan saya fikir dia memiliki peluang terbaik untuk mengembangkan potensi­nya memandangkan dia masih ber­usia 20 tahun.

“FAM sentiasa mengalu-alukan mana-mana pemain berhijrah ke luar negara dan saya fikir keberanian Kumar ini akan membuka pintu serta jalan kepada pemain-pemain lain.

“Doa saya bersama peminat-peminat adalah mahu menyaksikan Kumar berjaya di Nagoya nanti dan sudah pasti kami juga mengharapkan Kumar akan menjadi aset terbaik buat negara mahupun Tokai FC suatu hari nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Media semalam melaporkan, ke­tua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Kumar menyertai skuad remaja jika dia dapat membuktikan potensi serta kekal konsisten bersama Tokai FC pada masa akan datang.

Kumar secara rasmi sah menyertai Tokai FC dengan mengikat perjanjian setahun bersama pasukan yang berpangkalan di Nagoya itu. Sejak Oktober lalu, Kumar terbang ke Jepun dengan menyertai siri percubaan dengan beberapa kelab J-League dan JPL antaranya Gamba Osaka dan Nara Club.

Gamba Osaka menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Victoria Institution dan Selangor PKNS itu tetapi disebabkan beberapa halangan tertentu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Utama Privasi Anak



Aktres Rani Mukerji ada alasan tersendiri apabila dia dan suaminya, penerbit filem, Aditya Chopra enggan mendedahkan anak mereka kepada umum. Adira baru saja menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama, namun tiada majlis hari jadi besar-besaran diadakan untuknya sebagaimana dilakukan pasangan artis lain di Bollywood. 

Menurut Rani, suaminya sangat mementingkan privasi dan tidak mahu terlalu mendedahkan keluarganya kepada orang luar. “Malah dalam semua perkara Aditya lebih suka melakukannya sendiri tanpa campur tangan daripada saya,” katanya.

Katanya, mereka berdua mahu Adira membesar secara normal dan apabila dia besar nanti boleh berjalan dengan rakan tanpa ada yang mengenalinya. “Mungkin perkara itu agak sukar kerana media dan paparazi memang menunggu untuk mengambil gambar keluarga dan anak selebriti, tetapi sebagai ibu bapa, kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk Adira.

“Aditya memang tidak suka Adira diberi layanan dan tumpuan berlebihan termasuk apabila dia bersekolah nanti,” katanya.

Spekulasi Punca Rugi RM31.5 Bilion

Aktiviti spekulasi berlebihan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian urus niaga pertukaran asing berjumlah RM31.5 bilion pada era 1990-an. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memetik laporan audit dalaman disediakan oleh juruaudit dalaman BNM bertarikh 21 Januari 1994 berkata, pembelian matang dan urus niaga pertukaran mata wang bulanan yang berjumlah purata RM140 bilion pada tahun 1992 telah meningkat kepada RM750 bilion pada tahun 1993.

“Sebahagian besar urus niaga itu bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan mandat BNM untuk mengekalkan keadaan teratur dalam pasaran pertukaran asing mengikut Seksyen 4 Ordinan Bank Negara Malaysia 1958,” katanya dalam surat terbuka beliau kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam.

Johari berkata, laporan audit itu juga menekankan bahawa paras urus niaga spekulasi pertukaran asing dianggap sangat berlebihan memandangkan dana pemegang saham BNM hanya RM4.4 bilion dan rizab antarabangsa negara itu bernilai RM43.98 bilion pada masa itu.

Laporan audit itu juga menyatakan bahawa aktiviti perdagangan pertukaran mata wang asing spekulatif yang dijalankan oleh bank pusat pada masa itu telah dilakukan oleh Bahagian Pertukaran Asing Jabatan Perbankan BNM, yang diketuai oleh Penasihat merangkap Pengurusnya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang kemudiannya menjadi Menteri Kewangan Kedua.

Menurut Johari, disebabkan kerugian itu, kerajaan dipaksa untuk memindahkan sahamnya di Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Tenaga Nasional Bhd. kepada BNM pada nilai nominal RM1 sesaham.

Katanya, saham-saham itu telah dinilai semula oleh BNM pada RM22.10 setiap saham dan RM19.30 sesaham untuk TM dan TNB. Beliau menambah, di samping itu, BNM terpaksa melupuskan saham Malaysia Airlines kepada pihak ketiga pada harga RM8 sesaham dan saham MISC Bhd. (RM10 sesaham) kepada Kumpulan Wang Pencen untuk mendapatkan keuntungan.

“Jika kerugian pertukaran asing spekulatif ini tidak nyata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik ini untuk menutup kerugian BNM pada masa itu,” katanya.

Johari berkata, BNM dan negara telah berjaya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan terutamanya melaksanakan pembaharuan serta langkah semak dan imbang yang perlu berkaitan aktiviti urus niaga hadapan pertukaran mata wang asing.

“Hasilnya, ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan dan BNM mampu melindungi kestabilan kewangan dan ekonomi negara.,” tegasnya. Setakat November 2017, rizab BNM meningkat kepada AS$101.9 bilion dan mampu menampung 7.5 bulan import.

Tanda Ketagih Internet



Internet. Itulah perkataan yang kita dengar dalam 20 tahun ini. Melalui Internet, timbul pula media sosial yang bertambah dengan pelbagai kandungan seharusnya memberi manfaat kepada manusia. 

Namun, buletin yang diterbitkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bertajuk 'Reaching Out' jilid tiga menggambarkan kegusaran mengenai pengambilan maklumat dalam Internet terutama dalam kalangan belia.

Isu globalisasi pada masa kini menitikberatkan ketagihan Internet dalam kalangan belia. Ada antara mereka yang mengalami kemurungan apabila tidak mempunyai peranti depan mata, ada juga yang terlalu tertekan dan tak boleh menjalani kehidupan sebagai seorang remaja biasa. Ia jelas membuktikan Internet menjadi keperluan dalam kehidupan harian mereka.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2014 juga menunjukkan terdapat 20.1 juta pengguna Internet di Malaysia yang 59 peratus daripadanya di bawah umur 30 tahun. Purata masa dihabiskan belia di alam siber antara tiga hingga lima jam sehari yang kebanyakannya melayari laman media sosial selain mendapatkan maklumat.

Menurut kajian yang dijalankan www.netaddiction.com iaitu laman web yang diasaskan oleh psikologi Universiti St Bonaventure, New York Dr Kimberly Young mengenai ketagihan Internet mendapati terdapat lima kategori bahan kandungan dunia siber yang berisiko tinggi hingga menyebabkan ketagihan.

Antaranya, ketagihan seks siber apabila pengguna cenderung melayari laman web lucah selain ketagihan hubungan siber iaitu keinginan yang kuat untuk berhubung melalui aplikasi percuma di peranti.

Selain itu, terdapat ketagihan maklumat yang mudah dipengaruhi oleh laman web yang berunsurkan hal ehwal semasa, pencarian maklumat dan pengkalan data. Manakala ketagihan komputer pula terpengaruh dengan perkakasan teknologi perkomputeran, ciri cip komputer dan kad, sistem bunyi dan lain-lain.

Sementara yang terakhir pula ketagihan permainan komputer mengakibatkan mudah lalai selepas taasub bermain permainan komputer sehingga sukar berhenti.

Menurut Pengerusi Persidangan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa (Isia) 2016 yang juga pakar psikiatri lanak-kanak dan remaja Dr Norharlina Bahar, tanda ketagihan Internet disifatkan sebagai kegagalan menjalankan rutin harian akibat penggunaan Internet secara berlebihan.

Lazimnya, beliau memaklumkan penggunaan Internet secara berlebihan dapat menganggu emosi seseorang.

Antara lain, individu ketagihan Internet mengalami sindrom seperti mudah terpengaruh dengan capaian maklumat di Internet, meluangkan masa di Internet melebihi keperluan, tahap penggunaan Internet meningkat dari semasa ke semasa, mengutamakan keseronokan di alam maya berbanding bersosial di alam nyata dan sering menangguhkan urusan harian sama ada di tempat kerja mahupun di rumah.

Menyedari hakikat ini, CMCF sentiasa berusaha mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna terutama belia dalam mengakses penggunaan Internet dengan menekankan kawalan kendiri terhadap pengguna Internet.

Seseorang yang mengalami ketagihan Internet didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti biasa. Bagi mereka yang mempunyai penyakit ini, peranan dan hubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya turut terjejas. Untuk mengelakkannya berlaku, strategi dan langkah kawalan kendiri berikut boleh diberi perhatian:

• Tetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web dengan mengenal pasti tujuan penggunaan.
• Tetapkan melayari laman web yang tertentu dan yang perlu saja atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu.
• Hadkan atau tetapkan jangka masa yang diperlukan ketika menggunakan komputer dan ketika melayari Internet bagi mengelakkan pembaziran masa.
• Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya wujud keseimbangan dalam kehidupan seharian.
• Jadikan Internet sebagai sumber pengetahuan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan.
• Sentiasa mengikuti perkembangan CMCF yang sentiasa berusaha untuk mempromosikan kawalan kendiri.

Jika dahulu, penggunaan Internet terhad kepada golongan profesional tetapi kini akses Internet menerusi telefon pintar bukanlah sesuatu yang luar biasa. Semakin ramai yang mampu memiliki telefon pintar kerana boleh didapati dengan lebih meluas dan berpatutan harganya.

Internet juga menjadi medium komunikasi yang penting terutama dengan kewujudan pelbagai media sosial dan aplikasi mesej seperti WhatsApp, WeChat serta Telegram. Hakikatnya, Internet tidak mendatangkan masalah jika digunakan dengan baik.

Ia mampu menyampaikan maklumat dengan pantas namun ledakan maklumat boleh menyebabkan seseorang menjadi leka dengan pelbagai laman yang diperoleh. Berdasarkan kajian ‘Norton Online Living Report (NOLR) Malaysia yang dikendalikan Saffron Hill bagi pihak Symantec pada 2009 mengenai tabiat penggunaan Internet, remaja didapati menghabiskan 16 jam seminggu melayari Internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.

Pada Mac 2008, pakar psikiatri Universiti Sains dan Kesihatan Oregon di Portland, Amerika Syarikat Dr Jerald Block pernah menyatakan dalam tulisan editorialnya untuk American Journal of Psychiatry menjelaskan masalah penggunaan Internet kini sudah menjadi serius di seluruh dunia.

Maka tidak mustahil suatu hari nanti ia akan dianggap sebagai antara penyakit mental. Menurut Dr Jerald, beberapa kajian yang dibuat di beberapa negara mendapati masalah ketagihan Internet di negara berkenaan sudah mencapai tahap yang serius sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah mengatasi dan membendung masalah terbabit.

Di Korea Selatan misalnya, dalam satu kajian mengenai ketagihan Internet, kerajaan negara terbabit menganggap masalah ketagihan Internet sebagai isu kesihatan awam yang paling serius selepas berlaku beberapa siri kematian membabitkan permainan komputer.

Di Malaysia, kajian yang dijalankan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Md Salleh Hassan mendapati bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dalam gejala ponteng sekolah.

Dalam pada itu, CMCF turut berkongsi beberapa tip bertujuan mencegah anak menghidap ketagihan Internet melalui langkah kawalan kendiri. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.cmcf.my dan www.stickswithyou.com untuk mengetahuinya.

Tuesday, 26 December 2017

Mereka Lebih Kemarukkan Kuasa Dari Nasib Umat Islam



Keputusan Presiden Amerika, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai Ibu negara Israel memang sepatutnya dikecam. Dalam hal ini, keputusan kerajaan Malaysia yang kosisten menghentam keputusan Trump ini telah mendapat pengiktirafan dunia dan hampir seluruh dunia terutamanya dunia Islam turut senada dengan kerajaan Malaysia.

Sejak Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pada 3 April 2009, antara isu pokok umat Islam yang begitu dekat dihati beliau adalah nasib rakyat Palestin yang saban tahun menerima tekanan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Pelbagai usaha dilakukan oleh Malaysia termasuklah keberanian Datuk Seri Mohd Najib ke Gaza bagi menemui Perdana Menteri kerajaan Hamas, Ismael haniyeh pada 22 Januari 2013. Malah, pada 23 Disember tahun lalu telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila usul yang di bawa oleh Malaysia bagi menyekat Israel membina penempatan haram di Palestin, turut mendapat sokongan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Inilah komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam membantu saudara seagama di Palestin yang telah mencatatkan rekod sebagai konflik berdarah paling panjang dalam sejarah dunia. Bagaimana pula dengan pihak pembangkang terutamanya Pakatan Harapan yang kononnya melaungkan nasib umat Islam akan terbela di bawah pentadbiran mereka?

Sehingga artikel ini dikeluarkan, tidak ada satu pun kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin pembangkang yang mengutuk keras keputusan yang diambil oleh trump terutamanya DAP yang memasang hajat yang cukup besar untuk membentuk kerajaan sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 di keluarkan.

Saban hari, mereka lebih berminat untuk mencari setiap inci kesalahan kerajaan dan mereka lebih sanggup membuat solidariti menghentam kerajaan dari bersama-sama kerajaan dalam mengutuk dan bersolidariti demi rakyat Palestin. Mereka lebih senang mencari apa jua jalan dalam memburukkan kerajaan.

Jika ada sekalipun kehadiran pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dalam himpunan Solidariti untuk rakyat Palestin di perkarangan Masjid Putra yang baru lalu adalah kehadiran Pengerusi Harapan, tun Dr Mahathir. Itupun dia tidak mahu berkongsi pentas yang sama dengan pemimpin kerajaan dan PAS yang sanggup mengenepikan perbezaan politik demi rasa simpati terhadap rakyat Palestin.

Lebih melucukan, Parti Amanah Negara (PAN) enggan menyertai himpunan solidariti ini dengan alasan, kerajaan atau pihak penganjur tidak menjemput mereka kedalam himpunan bersejarah ini. Sedangkan, apa yang difahamkan, pihak penganjur mempelawa sesiapa sahaja untuk hadir kedalam himpunan berkenaan tanpa mengutamakan fahaman politik.

Persoalannya, perlukah ada jemputan bagi menghadiri satu himpunan yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin? Adakah mereka merasakan diri mereka terlalu besar dan terlalu agung sehingga perlu diedarkan kad atau surat jemputan hanya semata-mata mahu membela nasib rakyat Palestin?

Andai inilah contoh yang ditunjukkan oleh para pemimpin pembangkang ini, bukanlah satu perkara yang mengejutkan andai nasib umat Islam di negara ini mungkin akan sama seperti nasib saudara seagamadiRakhinemahupun di Baitulmaqdis. Mereka sebenarnya tidak memperdulikan tentang Islam sebaliknya mereka lebih mengagungkan kuasa dari bercerita atau membela nasib umat Islam.

*Artikel ini diterbitkan pada 26 Disember 2017