Tuesday, 30 January 2018

Saya Hanya Mahu Dekati Warga Cameron Highlands



Kesejukan suasana di Cameron Highlands tidak pernah menghalang seorang ahli politik ini bekerja mendekati rakyat, suatu usaha yang sudah dilakukannya sejak Februari 2000. Boleh dikatakan, hampir setiap minggu, kelibatnya akan kelihatan di sekitar Cameron Highlands dengan mendekati warga di sini samada menghadiri majlis perkahwinan, kematian dan macam-macam majlis lagi.

Dia yang dimaksudkan adalah Tan Sri Dr M Kayveas, Presiden myPPP, salah sebuah parti komponen di dalam Barisan Nasional. Mungkin ada yang sudah mengenali caranya dan mungkin baru sahaja mengenali cara kerjanya. Bagi penulis, gerak kerja beliau memang diakui dan begitu mudah mendekati rakyat tanpa mengira apa jua kaum dan fahaman politik.

Kesempatan yang tidak diduga langsung ini berlaku sewaktu penulis berkunjung ke Cameron Highlands bersama-sama keluarga. Secara kebetulan, beliau ada di salah sebuah restoran di Tanah Rata dan pada kesempatan berkenaan penulis mendekati beliau dan cuba memahami aspirasi beliau di Cameron Highlands ini.

Secara amnya, beliau tidaklah lokek untuk menceritakan apa yang beliau mahu lihat di Cameron Highlands ini. Baginya, apa yang beliau harapkan adalah pembangunan berterusan serta segala perit jerih masalah rakyat di Parlimen ini dapat beliau dengari dengan lebih rapat lagi. Oleh yang demikian, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendekati rakyat pada bila-bila masa sekalipun.

Baginya, adalah menjadi satu kepuasan untuknya bekerja untuk rakyat dan membantu rakyat selagi yang beliau mampu. Mungkin ada yang mendakwa, apa yang dilakukannya ini hanyalah untuk mempopularkan dirinya sewaktu negara di ambang Pilihan Raya Umum ke 14. Dengan bersahaja beliau menjawab, saya hanya mahu mendekati warga Cameron Highlands yang begitu inginkan suara mereka didengari oleh seorang wakil rakyat.

Hal siapa yang terpilih, bukanlah terletak ditangan beliau. Apa yang beliau tahu, beliau meneruskan usaha beliau sejak tahun 2000 dalam mendekati warga Cameron Highlands di samping memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.

Ditengah-tengah perbualan penulis, secara tiba-tiba diganggu dengan kehadiran seorang warga emas yang dikenali sebagai Puan Rubiah Binti Samah. Tidak ada sesiapa menduga, kehadirannya itu hanyalah untuk menyampaikan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada Tan Sri Dr M Kayveas kerana sudi menajanya menunaikan Umrah.

Siapa sangka, keluh kesahnya yang begitu ingin menunaikan Umrah ditunaikan oleh Tan Sri Dr M Kayveas secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Mungkin, buat pertama kali dalam hidup Puan Rubiah, dia memeluk seorang lelaki lain selain daripada suami dan anaknya tanda mengucapkan beribu-ribu kesyukuran di atas kesudian beliau menaja pemergiannya ke Tanah Suci yang dijangka akan berangkat pada 31 Januari ini.

Ketika menanyakan tentang hal ini, Puan Rubiah memberitahu, dia tidak pernah terfikir akan ada mana-mana pemimpin akan menajanya ke Tanah Suci. Baginya, apa yang dilakukan oleh Tan Sri Dr M Kayveas ini cukup luar biasa dan tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin BN yang pernah mengemudi kerusi Parlimen Cameron Highlands ini.

Tidak banyak yang dia mahu. Apa yang dia hajatkan agar Parlimen ini berada ditangan yang betul dan disukai oleh rakyat. Puan Rubiah secara terbuka menolak sebarang perubahan kerajaan termasuk Parlimen Cameron Highlands ini ditadbir oleh orang yang salah terutamanya sekali dari Pakatan Harapan.

Memang sukar untuk menjangka, siapakah yang akan menjadi calon pilihan untuk kesemua 222 buah kerusi Parlimen yang akan mewakili BN kelak, terutamanya sekali kerusi Parlimen Cameron Highlands. Cuma, seperti apa yang diharapkan oleh Puan Rubiah, biarlah calon berkenaan mampu bekerja untuk rakyat dan diterima oleh rakyat.

Tidak guna hanya melaungkan sesebuah kerusi itu sebagai kerusi tradisi namun dari segi penerimaan rakyat, ianya tidak begitu memberansangkan. Apa yang ditunjukkan serta komen-komen rakyat di sekitar Cameron Highlands dan Kampung Raja telah menunjukkan sesuatu yang mungkin akan menyaksikan, vateran politik ini kembali bersaing untuk merebut sebuah kerusi Parlimen.

Bapa Undang Campur Tangan Asing, Anak Tidak Mengaku Warga Negara



Terdesak sungguh pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 hingga ke tahap sanggup meminta campur tangan asing dalam urusan negara. Tindakan Mahathir yang bertemu dengan duta-duta besar Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan sikap “desperate” Mahathir hingga sanggup bersekongkol dengan pihak asing untuk merampas kuasa di Putrajaya.

Kononnya untuk membela rakyat tetapi hakikat sebenarnya tindakan pengerusi PH, Mahathir yang bertemu dengan duta duta besar EU itu sebenarnya menunjukkan beliau mengamalkan politik terdesak, hingga sanggup meminta campur tangan asing semata-mata mahu EU memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya untuk melaksanakan sistem pilihan raya yang bersih .

Bukankah sistem itu dilaksanakan sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lalu? Hanya selepas melepaskan memasuki kem pembangkang, Mahathir jadi lupa diri dan mengutuk sistem yang pernah digunakan semasa pemerintahannya dulu.

Sistem yang sama menjadikannya PM selama 22 tahun. Bukan EU sahaja yang menjadi sasaran PH, malah sebelum ini pembangkang telah menggunakan media asing untuk memburukkan negara. Wall Street Jurnal (WSJ) dan Sarawak Report merupakan antara medium yang menjadi lidah mereka.

Malangnya usaha-usaha yang dilakukan untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri tidak berhasil dan kini PH cuba menggunakan EU pula untuk memalukan Najib. Dulu mereka memburukkan nama negara dengan menjadikan 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai bahan kempen.

Namun apabila ia gagal, mereka kini terpaksa pula mengundang campur tangan asing dari Eropah pula. Rakyat sepatutnya melihat bahawa pertemuan Mahathir dan pemimpih PH lain dengan duta asing pada 25 Januari lalu, merupakan bukti bahawa PH hipokrit kononnya berjuang untuk menyelamat Malaysia sebaliknya ia lebih kepada usaha untuk menyelamatkan tengkuk sendiri sahaja.

Dan disaat Mahathir dengan bangganya bertemu dengan duta asing, anaknya pula, Mukhriz Mahathir, dihimpit dengan kontroversi kerana malu mengaku sebagai rakyat Malaysia sebaliknya tidak malu pula mengaku sebagai rakyat Brunei.

Meskipun Mukhriz menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika berucap pada satu ceramah di Baling, baru-baru ini, namun video yang dirakamkan menjadi bukti Mukhriz bersikap tidak patriotik kepada negara.

Mungkin Mukhriz malu untuk mengaku rakyat Malaysia disebabkan bapanya sendiri yang sudah berusia 93  tahun dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan. Rekod dunia baru akan tercipta jika Mahathir jadi PM semula.

Mungkin Mukhriz malu kerana bapanya sendiri yang sepatutnya berehat di rumah dan bermain dengan cucu-cucu, kini terpaksa ke sana sini semata-mata untuk menjayakan kempen menjatuhkan Najib.

Malu kerana emak yang sudah tua pun diheret untuk berdemonstrasi di depan Sogo. Kemudian bila disoal siasat oleh polis, cakap yang bukan bukan pula. Padahal tiada sesiapa pun yang tidak terlepas dari undang undang negara. Memang betullah kata Perdana Menteri semalam, jika malu dengan negara sendiri, maka tidak perlu tinggal di Malaysia.

“Jangan sampai tak bangga jadi rakyat Malaysia. Kalau tak bangga pi lah orang Kedah kata, pi jauh-jauhlah, tak payah (tinggal) di sini. Dia dah kaya, keluarga dah kaya, abang yang ada kereta mewah 23 buah (dan) tersenarai antara orang yang terkaya di Malaysia. Apa lagi dapat kontrak daripada Petronas berbilion-bilion.

“Apa lagi tuan-tuan? Nak marah apa lagi kepada Malaysia? Malaysia ini tempat rezeki kita sebenarnya. Tempat kita lahir, tempat kita dapat rezeki dan Insya-Allah tempat kita disemadikan bila sampai masanya. Inilah Malaysia yang kita bina melalui semangat patriotik,” kata Najib ketika berucap pada majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri di perkarangan Wisma Persekutuan, Kota Bharu semalam.

Jadi renung-renungkanlah. Seseorang yang berasa malu dengan negara sendiri dan seseorang yang tidak malu untuk meminta campur tangan asing, maka layakkah mereka memerintah negara? Apa yang akan berlaku kepada Malaysia kelak?

Lihatlah pula siapa sebenarnya yang menjulang dan mempertahankan hak serta martabat dan kedaulatan negara jika bukan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN). “Geng geng Kerala” ini elok lah pergi beli sebuah pulau mana mana, jadilah Perdana Menteri di pulau itu.  Duduklah di pulau itu, hendak buat demonstrasi hari hari pun tidak mengapa. Bawaklah Ambiga sekali ke sana.

Beruang Biru
Isnin
29 Januari 2018

Dua Lemas Tongkang Karam



Kegagalan enjin berfungsi dan kebocoran menjadi punca tongkang yang membawa muatan pasir karam di Sungai Rejang dekat Nanga Ibau di sini, semalam sehingga menyebabkan dua lelaki warga India dikhuatiri lemas. Ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima rakan sekerja melakukan kerja mengorek pasir di lokasi itu, kira-kira jam 5.40 pagi. 

Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintendan Fredy Bian berkata, ketujuh-tujuh pekerja tongkang berkenaan tidak menyedari tongkang yang dinaiki mereka itu mengalami kebocoran selain enjinnya yang gagal berfungsi.

Menurutnya, ketika tongkang berkenaan mula karam, mangsa berusia 20 dan 28 tahun itu terperangkap di dalam tongkang yang sarat dengan muatan pasir. “Lima lagi pekerja tongkang berkenaan sempat berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri kemudian cuba mendapatkan bantuan orang awam.

“Usaha pekerja tongkang lain untuk mencari mangsa yang hilang turut menemui jalan buntu menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan polis serta bomba dan penyelamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Fredy berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 pagi untuk membantu mencari mangsa yang hilang. “Selain BBP Kapit, usaha mencari mangsa turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Sungai Merah.

“Misi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana mangsa dipercayai terperangkap di bawah tongkang yang sarat dengan muatan pasir,” katanya.

Mahkamah Tetapkan Empat Individu Kes JANS Dibicara Serentak



Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong akan dibicara serentak bersama tiga tertuduh lain bagi kes pengubahan wang haram. 

Tiga tertuduh yang akan dibicarakan bersama Chee Kong, 53, ialah bekas Pengarah JANS, Awang Mohd. Tahir, 55, isterinya, Fauziah Piut, 52, serta seorang lagi bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 63.

Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Abu Bakar Manat selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya keempat-empat tertuduh dibicarakan serentak.

Keputusan dibuat selepas pihak mahkamah mendapati keempat-empat tertuduh akan dibicarakan atas kes dan memanggil saksi yang sama. Perbicaraan akan diadakan pada 21, 22 dan 23 Februari depan.

Didakwa Cekik, Tumbuk Isteri



Seorang pekerja swasta didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencekik leher dan menumbuk muka isterinya dalam pertengkaran yang berlaku di rumah mereka di Bukit Katil di sini, ming­gu lalu. 

Tertuduh, Mohd. Khairulnizam Shaari, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Norlida Hanim Hamzah, 29, dengan cara mencekik leher dan me­numbuk mulut mangsa dalam kejadian pada pukul 7 pagi di sebuah rumah di Bukit Katil pada 22 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000.

Model Saksi Sambut Kepulangan Pasukan Bola Sepak


Syarikat penerbangan tambang murah Vietnam, Vietjet memohon maaf kerana menghantar model-model wanita separuh bogel mengiringi penerbangan pulang skuad bola sepak bawah umur 23 tahun negara ber­kenaan. 

Vietjet membuat permohonan maaf susulan kritikan hebat di media sosial yang menganggap tindakan tersebut sebagai ‘promosi murahan’.

Syarikat penerbangan itu dikecam kerana menghantar model berpakaian seksi menyertai pasukan bola sepak berkenaan menaiki penerbangan pulang dari China selepas tewas kepada Uzbekistan pada perlawanan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia Bawah 23 tahun (AFC B-23), Sabtu lepas. 

Media sosial di negara komunis itu ‘menggelegak’ berhubung gambar-gambar semasa penerbangan itu termasuk imej menunjukkan seorang pemuda dipeluk model wanita hanya memakai coli dan seluar pendek.

Skuad bola sepak tersebut dianggap sebagai wira negara oleh rakyat Vietnam. “Langkah Vietjet amat biadab, murahan dan menya­kitkan hati pasukan tersebut, peminatnya dan penumpang penerbangan,” kata seorang pengguna Facebook, Nguyen My Linh dalam komennya yang me­nerima 1,700 like dan dikongsi lebih 100 kali menjelang tengah hari semalam.

“Tindakan ini amat menjijikkan. Saya akan memboikot Vietjet kerana bertindak demikian,” kata seorang pekerja pejabat, Le Nguyen kepada agensi berita AFP semalam.

Vietjet membuat permohonan maaf itu kelmarin dan mengakui bahawa langkah tersebut tu merupakan strategi pemasaran yang ‘setengah masak’.

Apa Sudah Jadi LTdL?



BUKAN 10 tetapi hanya lapan peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 diluluskan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Menerusi carian di laman web rasmi UCI, perlumbaan berstatus 2HC itu berlangsung dari 18 hingga 25 Mac, bukan bermula 16 Mac seperti yang dilancarkan minggu lalu.  

“Benar, hanya lapan peringkat dibenarkan UCI bagi edisi 2018. Difahamkan UCI mengambil kira pelbagai aspek seperti jadual perlumbaan pasukan selain perubahan saat akhir tarikh LTdL 2018 dengan peringkat awal dijadualkan berlangsung 3 hingga 10 Mac,” menurut sumber.

Laluan LTdL 2018 dilancarkan Jumaat lalu oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membabitkan peruntukan sebanyak RM12 juta kepada penganjur Ciclista Sports Sdn Bhd dengan 10 peringkat perlumbaan.

Perlumbaan sejauh 1,537.2 kilometer itu bermula di Kangar menyusuri pantai barat dan timur Semenanjung sebelum berakhir di Kuala Lumpur. Edisi tahun lalu turut membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan kali terakhir LTdL menghadirkan cabaran 10 peringkat adalah pada edisi 2014.

Grammy Awards Ke-60 Milik Lelaki


PENGANJURAN Grammy Awards ke-60 yang berlangsung di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat semalam menyaksikan acara berprestij tersebut menjulang nama Bruno Mars yang merangkul tujuh buah trofi termasuk tiga kategori utama iaitu Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Terbaik Sepanjang Tahun dan Album Terbaik Sepanjang Tahun.

Bagaimanapun, terdapat suara-suara sumbang mempersoalkan dominasi kaum lelaki yang bersifat seksis (memihak kepada lelaki) pada acara yang dikendalikan oleh James Corden itu. Ia berikutan, selain Mars atau nama lengkapnya, Peter Gene Hernandez, penyanyi rapper terkenal, Kendrick Lamar turut ‘kenyang trofi’ pada malam tersebut.

Sementara itu, kemenangan dalam kalangan artis wanita boleh dibilang dengan jari. Kalau benar-benar diikuti perkembangan Grammy seawal proses pencalonan edisi kali ini, majoriti pencalonan sudah didominasi kaum lelaki, sedangkan banyak karya daripada artis wanita turut mencuri tumpuan, namun kurang ‘tersangkut’ dalam pencalonan.

Mars dalam ucapannya ketika menerima trofi Album Terbaik Sepanjang Tahun menerusi album studio 24K Magic memberi ucapan yang luar biasa kepada khalayak.

“Lorde, Kung Fu Kenny (Kendrick Lamar), Jay-Z dan Gambino, anda semua adalah alasan mengapa saya sentiasa ingin bekerja di studio rakaman. Saya tahu anda semua hanya akan muncul dengan karya artistik dan muzik yang terbaik,” kata Mars.

Dominasi lelaki

Lelaki itu meneruskan ucapan dengan menceritakan kesungguhannya menyanyi dan bermain muzik pada awal kemunculan sebagai penyanyi di Hawaii. “Saya sifatkan saya hebat ketika berusia 15 tahun. Menyanyi di satu persembahan dikenali sebagai Magic of Polynesia dan menghiburkan lebih 1,000 pelancong dari serata dunia.

“Apa yang saya mahu ilhamkan melalui album 24K Magic adalah membuat peminat menari dan menikmati keseronokan dalam kehidupan,” kata penyanyi berusia 32 itu yang turut menggegarkan pentas menerusi persembahan lagu Finesse bersama rapper, Cardi B.

Menguatkan cengkaman kuasa penyanyi lelaki pada acara sama, Kendrick Lamar pulang dengan lima trofi termasuk Album Rap Terbaik dan Lagu Rap Terbaik. Terdahulu, Lamar membuka pentas Grammy dengan persembahan luar biasa menerusi lagu DNA dan XXX bersama vokalis U2, Bono serta pelawak Dave Chappell.

Seperti kelaziman, persembahan rapper kulit hitam itu membuat ramai terpegun dengan suntikan adrenalin berunsur politik serta sosial. “Saya ingatkan semua tentang trofi, kereta dan pakaian tetapi muzik lebih kepada mengekspresikan diri sendiri dan mencetak lukisan di kanvas untuk dunia terus berevolusi demi pendengar serta generasi akan datang.

“Terima kasih kepada calon-calon lain dalam kategori ini. Jay-Z sebagai presiden!,” ujar Lamar usai menerima trofi Album Rap Terbaik menerusi DAMN.

Berbalik soal dominasi kemenangan artis lelaki, secara teknikalnya, daripada lebih 80 trofi yang dipertaruhkan pada acara berkenaan, hanya 11 penyanyi solo wanita berjaya memenangi trofi dan enam penyanyi wanita berkongsi trofi dalam kategori duo atau berkumpulan.

Kuasa persembahan Bagaimanapun, persembahan pentas pada malam itu tidak lain dan tidak bukan, ramai yang memperkatakan atmosfera luar biasa dihadirkan penyanyi Kesha yang menampilkan penyanyi wanita lain di atas satu pentas sama ketika mendendangkan lagu Praying.

Artis-artis yang bertindak sebagai penyanyi latar itu ialah Cyndi Lauper, Camila Cabello, Andra Day, Julia Michaels dan Bebe Rexha. Persembahan tersebut mendapat perhatian dan pujian ramai yang menyifatkannya sebagai antara perkara terindah berlaku di pentas Grammy.

Umum mengetahui, Kesha sebelum ini tersepit dengan konflik dengan bekas penerbitnya, Dr. Luke. Dalam pada itu, penyanyi Lady Gaga turut mencuri tumpuan apabila tampil mendendangkan lagu Joanne dan Million Reasons bersama dentingan piano mempesona serta ditemani petikan gitar daripada Mark Ronson.

Walaupun gagal meraih sebarang kemenangan daripada kategori Persembahan Pop Solo Terbaik dan Album Pop Vokal Terbaik apabila tewas kepada Ed Sheeran, persembahan Gaga itu mendapat tepukan gemuruh dan sudah cukup meraikan kedatangannya dalam acara tersebut.

Antara persembahan lain yang disifatkan sebagai cemerlang adalah Wild Hearts Can’t Be Broken (Pink), Broken Clocks (SZA) dan Don’t Cry For Me, Argentina (Patti LuPone). Paling hampa pada malam tersebut barangkali apabila keputusan tidak memihak kepada artis yang menerima pencalonan paling banyak pada edisi kali ini, Jay-Z.

Daripada sembilan pencalonan yang diterima, dia pulang dengan tangan kosong. Berbekalkan album 24K Magic, Bruno Mars mendominasi malam Grammy Awards ke-60 dengan kemenangan tujuh trofi termasuk Album Terbaik Sepanjang Tahun dan Lagu Terbaik Sepanjang Tahun.

Kendrick Lamar pula pulang dengan lima trofi menjadikan Grammy edisi kali ini disifatkan agak seksis. Senarai pemenang Grammy Awards ke-60:

- Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun - 24K Magic (Bruno Mars)
- Album Terbaik Sepanjang Tahun - 24K Magic (Bruno Mars)
- Lagu Terbaik Sepanjang Tahun - That’s What I Like (Bruno Mars)
- Artis Baharu Terbaik - Alessia Cara
- Persembahan Pop Solo Terbaik - Shape Of You (Ed Sheeran)
- Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik - Feel It Still (Portugal. The Man)
- Album Pop Vokal Tradisional Terbaik - Tony Bennett Celebrates 90 (Various Artists)
- Album Pop Vokal Terbaik - Divide (Ed Sheeran)
- Persembahan Rock Terbaik - You Want It Darker (Leonard Cohen)
- Album Rock Terbaik - A Deeper Understanding (The War On Drugs)
- Persembahan Metal Terbaik - Sultan’s Curse (Mastodon) 
- Lagu Rock Terbaik - Run (Foo Fighters)
- Persembahan R&B Terbaik - That’s What I Like (Bruno Mars)
- Lagu R&B Terbaik - That’s What I Like (Bruno Mars)
- Album Kontemporari Urban Terbaik - Starboy (The Weeknd)
- Album R&B Terbaik - 24K Magic (Bruno Mars)
- Persembahan Rap Terbaik - HUMBLE. (Kendrick Lamar)
- Album Rap Terbaik - DAMN. (Kendrick Lamar)
- Lagu Rap Terbaik - HUMBLE. (Kendrick Lamar)
- Persembahan Rap/Dinyanyikan Terbaik - LOYALTY. (Kendrick Lamar featuring Rihanna)
- Persembahan Solo Country Terbaik - Either Way (Chris Stapleton)
- Persembahan Duo/Berkumpulan Country Terbaik - Better Man (Little Big Town)
- Lagu Country Terbaik - Broken Halos (Mike Henderson & Chris Stapleton)
- Album Country Terbaik - From A Room: Volume 1 (Chris Stapleton)
- Album Pop Latin Terbaik - El Dorado (Shakira)
- Muzik Video Terbaik - HUMBLE. (Kendrick Lamar)

Kocek Mudah Alih



Boost, aplikasi dompet mudah alih inovatif menyasarkan untuk memiliki sebanyak 100,000 rakan niaga menjelang hujung tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya Christopher Tiffin berkata, pada masa ini aplikasi itu memiliki lebih daripada 800,000 pengguna dan ia bekerjasama dengan rakan niaga konvensional dan atas talian di 5,000 lokasi seluruh negara. 

“Kira-kira 50 peratus daripada rakan niaga kami kini terdiri daripada rakan niaga tunai, 30 peratus (rakan niaga peruncitan) manakala selebihnya rakan niaga atas talian,” katanya pada taklimat media Boost di sini, semalam.

Boost adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan secara tempatan bagi memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk membayar, menghantar, meminta dan menyimpan wang di telefon pintar.

Ia menawarkan pelbagai ciri dan fungsi termasuk Imbas dan Bayar serta Hantar/ Mohon Wang di mana ia akan memudahkan dan memberikan pengalaman menarik kepada pengguna aplikasi terbabit.

Beliau berkata, pihaknya amat teruja untuk membawa pengalaman digital yang lancar dan selamat kepada rakyat Malaysia melalui telefon pintar masing-masing dengan memperkenalkan aplikasi terbabit.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi kemudahan pilihan pelanggan dalam melakukan transaksi secara digital dan kami percaya hasrat ini mampu dicapai melalui kombinasi keperluan gaya hidup pengguna masa kini dan teknologi digital inovatif,” katanya.

Sementara itu, Boost melancarkan kempen Paint The Town Red sempena sambutan Tahun Baru Cina di mana pengguna boleh mengimbas kod QR merah di semua tempat rakan niaga atas talian dan konvensional di seluruh negara bagi transaksi harian masing-masing.

Beliau berkata, Boost akan memperkenalkan beberapa ciri baru yang menawarkan angpau bermula 30 Januari hingga 28 Februari 2018. “Individu yang akan menerima angpau adalah mereka yang melakukan pembayaran dengan Boost di cawangan fizikal dan atas talian, membeli baucar digital, tambah nilai prabayar dan pembayaran bil prabayar Celcom,” katanya.

Rela Bekerja Sendiri



Tidak semua individu bernasib baik memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, lebih-lebih lagi dalam bidang yang dipelajari. Ada yang terus diterima bekerja namun ada yang masih cuba dan terus mencuba untuk mendapatkan pekerjaan yang serasi dengan diri. 

Bukan memilih, namun rezeki masih belum berpihak pada diri menjadikan anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini segera bangkit daripada kekecewaan dengan mencari sesuatu yang mampu menjana pendapatan.

Tidak mahu berdiam diri tanpa berusaha, Ainul Husna Saifudin, 26, buang perasaan malu dan terus memikirkan perkara yang sepatutnya dilakukan demi mencari rezeki halal untuk diri dan keluarga dengan mengusahakan pembuatan kuih bulan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini percaya di mana ada usaha di situ ada jalan dan dia memberanikan diri menceburi bidang perniagaan. Mengapa memilih kuih bulan sebagai fokus perniagaan?

Jawapannya mudah. Ainul Husna mengakui, dia antara peminat hidangan tradisional Cina itu tetapi sukar hendak mendapatkan kuih bulan yang halal. Perkara inilah yang memberikan idea kepadanya untuk menjadi pengusaha kuih bulan untuk orang Islam.

“Walaupun memang ada kuih bulan halal di pasaran namun jumlahnya masih kecil dan agak sukar dicari terutama di kawasan tertentu. Disebabkan itulah saya nekad memilih bidang ini.

“Saya tidak mahu duduk diam menunggu peluang kerja yang pada hakikatnya amat sukar untuk diperoleh. Walaupun mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan, tetapi tidak salah rasanya untuk saya cuba berniaga dan mencipta peluang pekerjaan sendiri.

“Sejak awal lagi saya sedar untuk terbabit dalam dunia perniagaan memerlukan kerajinan dan ketekunan luar biasa, tetapi saya sudah bersedia dan sanggup mencuba.

“Saya juga mahu buktikan golongan muda tidak semuanya malas dan memilih kerja. Berbekalkan pengalaman berniaga dalam bidang fesyen secara sambilan ketika menuntut di universiti, saya kuatkan semangat mengusahakan kuih bulan,” katanya.

Ainul Husna yang menjalankan perniagaan di kediamannya di Nusajaya, Johor Bahru berkata, dia mempelajari resipi menyediakan kuih bulan daripada individu tertentu dan selepas berpuas hati dengan hasilnya, barulah dia berani menerima tempahan.

“Syukur sambutan diterima di luar jangkaan. Ramai pelanggan menyatakan agak sukar untuk mendapatkan kuih bulan yang halal. Ramai juga memberitahu gembira apabila mengetahui ada orang beragama Islam yang membuat dan menjual kuih bulan. Alhamdulillah, disebabkan perkara itu, perniagaan saya semakin hari bertambah baik.

“Saya menjalankan perniagaan ini sepenuh masa bersama suami, El Aidee Ahmad. Dia juga banyak membantu saya menyiapkan tempahan pelanggan menjelang musim perayaan terutamanya ketika Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Festival Kuih Bulan,” katanya. 

10 PERISA KUIH BULAN 

Menyediakan pilihan 10 jenis perisa kuih bulan antaranya kacang merah, pandan, telur masin dan douyong, Ainul Husna semakin bersemangat hari demi hari dalam menguruskan perniagaannya. Menurutnya, walaupun masih baru dalam bidang itu namun dia gembira kerana usahanya menampakkan hasil dan kuih bulan yang dihasilkannya disukai ramai.

“Kuih bulan perisa kacang merah dan pandan antara yang menerima tempahan paling menggalakkan. Menggunakan resipi tersendiri, saya turut menerima tempahan menyediakan beg cenderahati berisi kuih bulan untuk majlis perkahwinan atau sebarang majlis lain dengan harga jauh lebih rendah iaitu RM2 sebiji untuk 1,000 pek.

“Selain menerima tempahan daripada pelanggan Melayu, saya juga terkejut apabila pelanggan berbangsa lain terutama Cina turut menempah. Ia menunjukkan memang ada pasaran besar untuk kuih bulan yang halal,” katanya.

Tambah Ainul Husna, selepas lebih setahun berkecimpung dalam bidang ini, dia amat bersyukur dan gembira kerana usahanya memilih untuk menjalankan perniagaan adalah satu pilihan tepat. “Saya tidak sangka menerima tempahan sehingga 700 biji kuih bulan dalam satu masa terutama menjelang Tahun Baru Cina dan rezeki ini sangat menggembirakan saya.

“Tidak salah rupanya pilihan saya untuk tidak berdiam diri dan menunggu pekerjaan yang entah bila ada kerana terbukti hasilnya di luar jangkaan,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga bersyukur kerana menerima sokongan sepenuhnya daripada suami dan keluarga yang bukan saja memberikan semangat malah turut sama membantunya menyediakan kuih bulan.

Sunday, 28 January 2018

Tiada Istilah Penat Dalam Menyantuni Rakyat



Nama Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong tidak perlu diperkenalkan lagi buat pengundi di Parlimen Ayer Hitam, Johor. Boleh dikatakan, kemana sahaja beliau pergi di seluruh Parlimen berkenaan, kehadirannya akan disambut hangat oleh setiap pengundi tanpa mengira apa jua kaum dan agama.

Ini ditambah pula dengan penampilan beliau yang cukup mesra rakyat. Ditambah kebolehan beliau berbahasa Melayu dengan begitu baik, mahir dalam membaca dan menulis huruf jawi serta pandai mengambil hati para penduduk kaum India di Parlimen ini, ianya jelas menjadi daya penarik buat warga Ayer Hitam untuk terus memberikan kepercayaan kepada beliau menerajui Parlimen ini.

Semalam, untuk kesekian kalinya, beliau turun padang dalam mendekati pengundi di sekitar Ayer Hitam dan Yong Peng. Pada awalnya, beliau menyasarkan untuk bertemu dengan kira-kira 500 hingga 1,000 orang pengundi namun apa yang berlaku, cukup luar biasa. Dianggarkan lebih 2,000 pengundi didekati oleh beliau sepanjang program turun padang yang beliau sendiri anjurkan.

Program beliau bermula sekitar jam 10.20 pagi di Dewan Persatuan Buddhist di Yong Peng untuk pembahagian cermin mat abuat warga emas. Program yang berlangsung kira-kira 40 minit ini memberi peluan kepada beliau mendekati kira-kira 190 orang warga emas yang layak menerima bantuan berkenaan.

Pada jam 11.15 pagi, beliau dan rombongannya telah di bawa melawat 3 buah rumah dari 10 buah rumah kesemuanya yang meneriman bantuan baik pulih rumah untuk DUN Yong Peng di Kampung Temehel.

Menariknya, dalam ucapan beliau, jumlah keseluruhan rumah yang terlibat di kampung ini adalah 10 buah di mana 9 daripadanya sudah disiapkan sepenuhnya. Untuk sebuah rumah, RM 10 ribu disediakan yang mana pada hari yang sama, beliau bersetuju untuk menambah RM 5 ribu tambahan untuk sistem pendawaian dan meter di rumah terbabit.

Beliau berkata, secara purata sebuah rumah itu disiapkan antara 5 hingga 10 hari berkat kerjasama dan muafakat penduduk Kampung Temehel. Untuk seluruh Parlimen Ayer Hitam, sebanyak 160 buah rumah telah berjaya di baik pulih dan menurut beliau, Parlimen Ayer Hitam diiktiraf sebagai Parlimen yang paling pantas menyiapkan projek ini berbanding Parlimen lain di seluruh negara.

Sejam kemudian, rombongan beliau menuju ke Balai Aktiviti KBBT Yong Peng bagi mendekati pengundi kaum India pula bagi majlis penyampaian beras kepada 100 fakir miskin. Dalam ucapan beliau, beliau memberitahu, apa yang disumbangkan pada majlis berkenaan adalah sumbangan dari ramai pihak yang cukup berpegang teguh kepada slogan Muafakat Johor.

Walaupun jumlah pengundi kaum India dianggarkan seramai 1,800 orang, namun keperluan dan hak mereka tidak pernah dipinggirkan. Sebagai contoh, kerajaan pusat sendiri telah menyediakan "blu print" untuk memajukan kaum India di seluruh negara. Inilah bukti bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan dan hak kaum India di negara ini.

Selanjutnya, beliau telah menuju ke sebuah kenduri kahwin di Ayer Hitam sebelum menghadiri majlis penyampaian cermin mata untuk warga emas di Kangkar Baru dan di Kampung Lam Lee Baru di Yong Peng yang melibatkan kira-kira 400 orang penerima.

Apa yang cukup menarik untuk disaksikan adalah, bagaimana kaum Melayu, Cina dan India mampu duduk bersama dan mampu untuk tinggal di satu kawasan yang sama. Mengulas tentang perkara ini, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong memberitahu, ini adalah contoh bagaimana pemuafakatan penduduk di Yong Peng yang beliau sifatkan tidak mudah terpengaruh dengan poltik perkauman dan kotor yang dilakukan oleh pembangkang.

Lihat sahaja bagaimana Majlis Minum Petang di Kampung Kangkar Baru yang majoritinya didiami oleh kaum Cina. Mereka tidak kekok untuk minum di kedai-kedai makan Melayu malah tidak langsung kekok menjamu selera di kedai berkenaan. Perkara inilah yang disifatkan beliau cuba dipecahkan oleh pembangkang terutamanya DAP.

Secara amnya, kehadiran beliau bersama-sama Pengerusi MCA Bahagian Ayer Hitam, Ling Tian Soon atau lebih dikenali sebagai Ah Soon oleh penduduk sekitar Yong Peng diberi sambutan hangat oleh penduduk DUN ini. Langsung tidak terdapat sebarang penghalang atau sentimen perkauman wujud di kesemua lokasi yang beliau singgahi semalam.

Justeru, untuk mengatakan bahawa MCA hanya menjaga kaum Cina semata-mata dalah satu andaian yang cukup dangkal. Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Ling Tian Soon serta jentera mereka telah membuktikan bahawa semua keperluan penduduk tanpa mengira apa jua fahaman politik dan kaum di tolak ketepi demi memastikan keperluan rakyat di pernuhi sepenuhnya.

Benarlah kata beliau sewaktu berakhirnya Majlis minum petang di Kampung Haji Mean, Yong Peng semalam. Tiada istilah penat untuk beliau, Ah Soon dan jentera MCA di Ayer Hitam untuk menyantuni rakyat tidak kira bila-bila masa sekalipun. 

Kes Rasuah JKNS: Empat Suspek Sambung Reman



Mahkamah Majistret hari ini membenarkan lanjutan reman selama tiga hari bermula esok terhadap empat individu bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan projek dalam Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) bernilai lebih kurang RM3 juta antara tahun 2012 hingga kini. 

Empat individu tersebut merupakan ketua jurutera merangkap pemangku timbalan pengarah JKNS, 58, dan dua jurutera jabatan berkenaan masing-masing berusia 37 dan 39 tahun serta seorang kontraktor, 42.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua suspek yang hadir berpakaian lokap tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dekat sini pada pukul 10.30 pagi. Terdahulu, kesemua individu terbabit direman selama tujuh hari bermula pada 22 Januari dan berakhir hari ini.

Polis Buru Suspek Lepaskan Tembakan Terkena Tiga Individu



Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai menembak tiga pelanggan di sebuah restoran di Kuching City Mall Commercial Centre, Batu 4 1/2Jalan Penrissen di sini tengah malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, tiga mangsa mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS). Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek tersebut telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah terhadap mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Waja berwarna perak.

"Suspek dikenali Patrick Buddy Siam, 30, yang berasal dari Rumah Panjang Antas, Skrang, Sri Aman. Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan dengan mangsa di sebuah hostel pekerja dipercayai pergaduhan melibatkan teman wanitanya," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Tambahnya, seorang mangsa merupakan jurujual berusia 42 mengalami kecederaan pada kaki kanan manakala seorang lagi mangsa bekerja penarik kereta berusia 47 cedera di bahagian perut dan kaki. "Seorang lagi mangsa juga bekerja sebagai penarik kereta berusia 30 tahun pula cedera di kaki kiri," jelasnya.

'Kekasih' Untuk Disewa



Tawar gadis pinoy diimport khas dari Filipina sebagai teman wanita upahan dengan kadar bayaran semurah RM50. Itu antara aktiviti maksiat dijalankan sebuah premis hiburan di Kelana Jaya sejak beberapa bulan lalu. 

Kebanyakan gadis seksi warga asing itu dijadikan daya penarik untuk memastikan pelanggan menghabiskan masa lebih lama di premis berkenaan. Difahamkan premis itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini namun pemiliknya masih berdegil meneruskan operasi.

Bagaimanapun, premis itu sekali lagi diserbu sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor jam 10 malam kelmarin. Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, seramai 14 individu ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dalam serbuan berkenaan.

“Selain itu seorang majikan dan dua pekerja turut ditahan bagi membantu siasatan polis. “Seramai sembilan wanita warga Filipina ditahan selepas dipercayai berkhidmat sebagai pelayan pelanggan,” katanya.

Norhizam berkata, semua individu ditangkap dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 55b dan Seksyen 39 Akta Imigresen 1963,” katanya.

Gorila Tertua Mati Di Zoo



Seekor gorila, dipercayai antara yang tertua di dunia disahkan mati pada usia 60 tahun Khamis lalu di Taman Safari Zoo San Diego. Menurut laman web zoo terbabit, Vila, gorila yang berasal dari Afrika dipercayai lahir pada 1957 di Congo dan dibesarkan di Zoo San Diego. 

“Ia akan dirindui oleh kakitangan zoo, pengunjung dan sukarelawan,” kata kurator Taman Safari, Randy Rieches dalam satu kenyataan yang dipetik akhbar The San Diego Union-Tribune dan media tempatan lain.

Bagaimanapun, pihak zoo tidak mendedahkan punca kematian Vila dan jurucakapnya gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Menurut laman sesawang zoo itu, Vila adalah ketua bagi lima generasi gorila di zoo berkenaan.

Sementara itu, Zoo Nasional Smithsonian dan Institut Pemuliharaan Biologi, berkata, spesies gorila mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 40 tahun jika tinggal dalam dunia liar. Gorila juga adalah spesies beruk paling besar. Spesies itu dianggap terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Senarai Merah Hidupan bagi Spesies Terancam.

Sanchez Matangkan Aksi United



Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memuji impak yang dibawa oleh penyerang baharu mereka, Alexis Sanchez sambil menyifatkan kehadiran bekas perancang Arsenal itu semakin mematangkan skuad The Red Devils. 

Ini kerana pada debut pertamanya, Sanchez berjaya membantu United meraih kemenangan 4-0 sewaktu berdepan Yeovil pada aksi pusingan keempat Piala FA awal pagi semalam. “Semua orang sangat gembira apabila Sanchez sah menyertai United. Sudah tentu kehadirannya di sini telah menajamkan jentera serangan United.

Persoalan yang sering berlegar di fikiran para penyokong sekarang ini ialah siapa yang akan dikeluarkan selepas penghijrahan Sanchez dan posisi mana yang terbaik untuk pemain berkenaan di Old Trafford?

“Saya berharap para penyokong tidak bimbang kerana kami sudah memikirkan perkara ini sebelum Sanchez tiba. Apa yang pasti, saya sudah lega dan gembira kerana dapat mewujudkan sekumpulan penye­rang terbaik dunia,” katanya.

Pada aksi berlangsung di Huish Park itu, pemain berusia 29 tahun itu telah membuka peluang kepada penyerang, Marcus Rashford untuk meledakkan gol pertama pada minit ke-41 sebelum dia sekali lagi mengetuai jentera serangan United untuk menjaringkan gol kedua yang hadir menerusi pemain tengah, Ander Herrera pada minit ke-61.

Dua gol lagi dijaringkan oleh Jesse Lingard pada minit ke-89 serta Romelu Lukaku selang seminit kemudian. “Saya memilih Sanchez untuk menge­tuai jentera serangan United berbanding Lukaku. Ini kerana Sanchez memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri di atas padang selepas digugurkan dalam tiga perlawanan terakhir ketika masih bersama Arsenal.

“Saya fikir Sanchez memerlukan 60 hingga 70 minit untuk mendapatkan rentak permainan semula dan dia berjaya melakukannya dengan cemerlang,” tambah Mourinho.

Tunang Remy Bukan Ibu Tunggal



MENGENALI aktor kesayangan peminat bernama Remy Ishak, jejaka ini memang sukar untuk berkongsi kisah peribadi kepada umum. Cuma apabila tunangnya, Ezza Yusof tiba-tiba didakwa pernah berkahwin serta memiliki seorang anak lelaki seperti mana yang didakwa sebuah portal hiburan baru-baru ini, aktor itu akhirnya tampil bersuara mempertahankan Ezza. 

Remy kembali meraih tumpuan khalayak menerusi drama Kekasih Paksa Rela memberitahu, tunangnya yang juga ahli perniagaan bukannya seorang ibu tunggal seperti mana yang didakwa. “Sejujurnya, saya tidak tahu dakwaan mengatakan tunang sudah berkahwin tiba-tiba tular baru-baru ini. Apa yang boleh saya katakan, dia tidak pernah berkahwin.

“Jadi, cerita itu tidak benar sama sekali,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang. Baru-baru ini, Ezza menerusi laman Instagramnya menafikan bahawa dirinya pernah mendirikan rumah tangga serta memiliki seorang kanak-kanak lelaki seperti mana dilaporkan oleh portal hiburan berkenaan baru-baru ini.

Sebaliknya, Ezza atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof, 35, menjelaskan, kanak-kanak tersebut sebenarnya anak saudaranya. Justeru, Ezza yang juga seorang ahli perniagaan menggesa blog hiburan berkenaan memperbetulkan fakta sebelum timbul sebarang fitnah.

Di sebalik dugaan sepanjang fasa pertunangan sejak Mei tahun lepas, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 36, juga tidak terburu-buru menetapkan tarikh sebenar perkahwinan. “Saya tidak memiliki jawapan bila akan berkahwin buat masa sekarang. Jika ada jodoh, insya-Allah. 

“Segala keputusan berkaitan soal mendirikan rumah tangga terletak di tangan saya, jadi saya tidak terburu-buru berkahwin buat masa sekarang,” jelasnya.

Getus Remy, masih banyak perkara yang belum diselesaikan, selain masih mengumpul duit sebelum berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. “Alhamdulillah, tunang juga tidak mendesak dan memahami situasi yang saya alami. Saya tetap dengan keputusan untuk tidak berkahwin dalam masa terdekat,” ujarnya.

Cuma pada masa sama, Remy turut menasihati Ezza supaya tidak memberikan sebarang respons mengenai perhubungan mereka di laman sosial selepas ini. Ini kerana, aktor itu khuatir tunangnya tertekan dengan setiap kritikan netizen.

“Dia bukannya selebriti, tambahan pula kecaman netizen sememangnya tidak terjangkau dek fikiran. Daripada tertekan dengan setiap kecaman netizen, ada baiknya dia sekadar mendiamkan diri dan tidak memberikan apa-apa reaksi. Biar saya seorang saja yang hadapi semua ini, jadi tidak berniat mahu mengongkong atau sebagainya,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Main Puteri



Jika menyebut kuda kepang dan ulik mayang, pastinya ramai mengetahui ia antara perubatan tradisional di negara ini berbanding main puteri. Hakikatnya, main puteri juga turut popular dalam kalangan penduduk pantai timur khususnya Kelantan. 

Ketika menerima tugasan membuat liputan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkenaan program Main Puteri: ‘The Forgotten Heritage’ baru-baru ini, penulis menyangka ia tayangan teater. Namun sangkaan itu meleset.

Sebaik tiba di Panggung Eksperimen ASWARA, penulis dimaklumkan Pengurus Publisiti Main Puteri 2018, ‘Iffah Nadhilah Mohamed bahawa ia adalah pertunjukan upacara perubatan tradisional Melayu yang masih popular di Kelantan iaitu main puteri.

Boleh dikatakan, penulis antara individu bertuah kerana berpeluang menyaksikan persembahan berkenaan yang dianjurkan di bawah projek penilaian tahun akhir penuntut Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya ASWARA.

Main puteri adalah satu upacara perubatan tradisional Melayu yang masih diamalkan di negeri berkenaan. Perubatan tradisional itu antara kaedah perubatan berstruktur tertua di dunia. Ahli arkeologi membuktikan bahawa kaedah perubatan itu sudah wujud sejak 6,000 tahun Sebelum Masihi.

Mereka percaya amalan berkenaan sebenarnya dipraktiskan lebih awal lagi. Main puteri juga dikenali dengan nama lain seperti main teri atau main peteri. Pada masa dahulu, main puteri sangat popular dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu bentuk hiburan selain fungsinya sebagai rawatan penyakit.

Di Kelantan, perubatan main puteri bertujuan merawat penyakit berkaitan kekusutan jiwa seseorang iaitu penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati dengan perubatan moden seperti gila, terkena buatan orang, angin dan gangguan makhluk halus. KAMARUL Baisah Husain memberi syarahan berkenaan main puteri.

Difahamkan, terdapat dua versi berhubung persoalan sejak bila main puteri mula menjadi unsur kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan. Versi pertama mengaitkannya dengan seorang anak raja yang hidup pada zaman dahulu. Sementara versi kedua pula dikaitkan dengan seorang puteri raja, tapi dari zaman yang berlainan.

Bagaimanapun, tujuan permainan itu diadakan sama ada untuk mengembalikan semula kekuatan jiwa puteri itu atau membentuk ‘anginnya.’ Upacara main puteri ini biasanya dikendalikan seorang bomoh yang lebih dikenali sebagai Tok Pateri atau Tok Teri dan dibantu Tok Miduk iaitu pembantu Tok Teri.
Pada masa sama, main puteri akan dimainkan selama satu hingga tiga malam bertujuan mengubati penyakit terutamanya rasukan makhluk halus. Perubatan tradisional ini unik kerana adanya sekumpulan pemuzik iaitu awak-awak yang akan mengiringi Tok Teri ketika proses merawat pesakit. Sementara itu, peralatan muzik yang digunakan adalah rebab, gendang, serunai dan canang.

Namun begitu, pada kebiasaannya, canang juga boleh digantikan dengan alatan muzik lain seperti dulang atau batil. Persembahan mini ‘Iffah Nadhilah berkata, pemilihan tajuk projek akhir penuntut terbabit adalah untuk mengangkat dan memperkenalkan keunikan seni tradisional main puteri yang bukan saja berperanan sebagai kaedah perubatan tradisional masyarakat dahulu malah satu bentuk hiburan.

“Terdapat dua komponen dalam melaksanakan projek ini iaitu bengkel dan ‘lecture performance’. Bengkel dilaksanakan bagi memberi pengetahuan dan pendedahan secara teori serta praktikal kepada pelajar sekolah terbabit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras, SMK Miharja dan SMK Cochrane,”katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya bengkel itu memberikan mereka pemahaman secara mendalam berkenaan main puteri termasuk membuat satu persembahan mini bagi upacara berkenaan. Sementara ‘lecture performance’ pula membabitkan persembahan yang diselitkan dengan syarahan berkenaan main puteri.

“Bentuk persembahan itu terbahagi kepada 70 peratus persembahan dan 30 peratus syarahan. “Ini bermakna, ‘lecture performance’ lebih dilihat sebagai persembahan daripada satu syarahan yang menjelaskan apa yang tersurat dan tersirat terdapat di dalam persembahan main puteri,” katanya. 

‘Iffah Nadhilah berkata, ASWARA pada masa sama ingin mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Kelantan yang semakin dilupakan. “Main puteri semakin dilupakan kerana perkembangan perubatan moden yang menyebabkan masyarakat tidak lagi atau kurang menggunakan perubatan alternatif,” katanya.

“Walaupun sudah dianggap kurang relevan pada hari ini, namun ia antara aset negara yang boleh menjadi tarikan kepada mereka yang berminat mengenali warisan dan budaya tempatan khususnya pencinta seni serta pelancong asing,” katanya.

Thursday, 25 January 2018

Apabila Si Akauntan Mahu Menipu Pakar Engineer



Kata pepatah, kail sejengkal, jangan cuba laut yang dalam. Mungkin inilah yang paling sesuai untuk menggambarkan bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba untuk memperdayakan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berhubung skandal pembinaan terowong dasar laut yang begitu hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Umum sedia maklum bahawa Lim Guan Eng mempunyai latar belakang pendidikan perakaunan manakala Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pula berlatar belakangkan pendidikan engineer. Justeru, hal ehwal teknikal berhubung pembinaan terowong "hantu" Lim Guan Eng ini, begitu mudah untuk beliau fahami dan begitu mudah untuk dikesan penipuannya.

Sedaya upaya Lim Guan Eng cuba untuk menipu rakyat termasuk Timbalan Presiden MCA ini berhubung pembinaan terowong ini. Namun, setiap kali Lim Guan Eng bersuara, tanpa perlu mengkajinya sekalipun, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong mudah untuk mematahkan apa jua helah yang cuba diwujudkan oleh Lim Guan Eng.

Sehinggakan, Lim Guan Eng secara sinis berkata, akan menggagalkan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong dalam kelasnya seandainya dia menjadi pensyarah kepada Ahli parlimen Air Hitam berkenaan.

Apa yang melucukan, dalam satu reaksi balas semalam, beliau berkata, beliau cukup bersyukur bahawa Lim Guan Eng bukannya pensyarah beliau di universiti dahulu. Jika tidak, mungkin sahaja beliau dan rakan-rakannya yang lain akan menjadi seorang yang bodoh seperti Lim Guan Eng.

Mungkin bagi Lim Guan Eng, dia berjaya memperbodohkan ramai pemimpin DAP Pulau Pinang termasuk para penyokongnya. Namun hakikatnya, bukan semua orang boleh diperbodohkan dan masih ramai lagi orang yang boleh mengemukakan hujah yang bernas bagi mematahkan penipuan yang sengaja di cipta oleh Guan Eng bagi menyelamatkan dirinya.

Sudahlah kertas kerja serta wang yang dibayar kepada konsultan, diragui kesahihannya, ditambah pula dengan pelbagai berita kurang enak dan lucu antaranya syarikat fesyen boleh menjadi salah satu kontraktor pembinaan terowong ini, itupun masih mahu di putar belitkan Guan Eng hanya untuk menghalalkan apa yang cuba diselindungkannya.

Bagi Datuk Seri Ir Wee Ka Siong, penipuan Lim Guan Eng terhadap seluruh rakyat Malaysia, wajar dihentikan. Beliau sudah tentu terlalu masak untuk menghadam penipuan Setiausaha Agung DAP ini lebih-lebih lagi hal ehwal teknikal pembinaan sesebuah projek. Mungkin Lim Guan Eng tidak sedar bahawa dia sedang cuba untuk menipu seorang engineer dengan berbekalkan segulung sijil perakaunan.

Hendak Selamatkan Siapa Jika Ambil Balik Pemimpin Lama Berkuasa Semula?



Masa tahun 2003, menangis menangis hendak berhenti dan letak jawatan. Kata saya "dah lama dah". Hendak jaga cucu pula. Anwar pun pernah sindir Mahathir. "Itu orang tua belum habis lagi ka? Sudah la tu. Dia dan keluarga sudah kaya-raya, Mirzan dah berbilion. Cukuplah, duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah," kata Anwar dalam satu ceramah di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur pada 1 Februari 2012. 

Sekarang ini Mahathir dan Anwar sudah cium mulut sekali. Kerana hendak rampas kuasa, mereka berpakat sekali. Biarpun duduk sekapal dalam pembangkang tetapi cita cita berlainan. Di depan rakyat mereka kata hendak selamatkan Malaysia kononnya.

Hendak buat perubahan kononnya. Namun dalam hati mereka, ada agenda peribadi yang lain. Bukan untuk rakyat, tetapi untuk anak sendiri dan kroni. Ini yang rakyat perlu ketahui. Tahun 2015, pembangkang dan Mahathir buat kempen "Selamatkan Malaysia".

Dakwa ada sampai 1.4 juta tandatangan. Akhirnya, tandatangan pun tipu. Sampai Yang Dipertuan Agong pun mereka hendak tipu. Kemudian cakap ada 6 juta orang akan masuk parti bunga. Akhirnya bila sudah setahun lebih ditubuhkan, jumlah ahli pun malu hendak beritahu. Mesyuarat cawangan pun tidak boleh buat.

Hendak selamatkan negara bagaimana kalau parti sendiri pun gagal diurus dengan baik. Hendak selamat negara macam mana kalau anjur demo pun gagal. Hanya suku sahaja padang yang penuh. Semalam, Mahathir yang kini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bercakap soal tempoh dua penggal untuk jawatan PM. Mahu hadkan jawatan PM kepada hanya dua penggal.

Teruk Mahathir kena kecam dengan netizen selepas itu di Facebook kerana cadangannya itu. Bermaksud, ramai rakyat yang sudah tahu apa agenda sebenar Mahathir mahu berkuasa sekali lagi. Bukannya mahu selamatkan Malaysia atau rakyat, tetapi mahu selamatkan anak sendiri dan kroni sahaja.

Mahathir jadi PM selama 22 tahun. Mahathir jadi PM pada tahun 1981. Kemudian, PRU ke-6 pada tahun 1982 hingga PRU ke-10 pada tahun 1999, Mahathir lagi sebagai PM. Bermakna 5 penggal, Mahathir jadi PM.

Orang kalau hendak buat sesuatu masa dia ada kuasa, bukan masa tidak ada kuasa baru berjanji hendak buat itu dan ini. Kenapa masa berkuasa Mahathir tidak buat syarat jadi PM hanya dua penggal sahaja? Mengapa tidak berundur pada PRU ke-8 pada tahun 1990 ketika adanya Semangat 46 dan perpecahan teruk berlaku dalam UMNO? Mahathir tidak berundur.

Sekarang pada usia sudah 93 tahun, Mahathir mahu jadi PM sekali lagi. Kononnya untuk selamatkan Malaysia dan hanya untuk dua penggal sahaja. Kalau dua penggal, sampai umur 103 tahun dan jumlah keseluruhan Mahathir menjadi PM akan jadi 32 tahun. Satu rekod dunia akan tercatat. Bush, Obama dan Margaret Thatcher pun tidak gila hendak berkuasa balik seperti Mahathir.

Dulu Mahathir pernah kata, Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi PM. Dulu kata kena berhenti sebelum kenyang. Sekarang ini apa jadi pada kata kata tersebut? Makan diri balik lah. Ketika menyampaikan ucaptama semalam di Invest Malaysia 2018, Datuk Seri Najib sendiri merujuk beberapa projek zaman Mahathir yang membawa beban kepada rakyat.

Antaranya ialah soal pengangkutan awam yang telah diabaikan berdekad lamanya menyebabkan ia menjadi tidak sistematik, dengan pemilik dan sistem yang berbeza sehingga tiada integrasi antara satu sama lain. Mengambil kira semua ini, siapa yang hendak diselamatkan jika pakatan mengambil semula pemimpin lama seperti Mahathir berkuasa semula?

Bukan rakyat yang hendak diselamatkan, tetapi legasi lama yang akan diteruskan semula. Datuk Seri Najib juga pernah berkata dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang lepas, jika ambil pemimpin lama, masalah lama akan berulang kembali. Sudahnya, rakyat Malaysia tidak akan selamat kerana yang akan diselamatkan adalah anak Mahathir iaitu Mukhriz.

Sebab itu, Mahathir kata tempoh jadi Perdana Menteri paling ideal ialah dua penggal. Seandainya pakatan menang PRU14 kali ini, Mahathir akan jadi Perdana Menteri sementara, dan beliau sudah pasti akan pecat Wan Azizah yang jadi Timbalan Perdana Menteri. Lantiklah Mukhriz sebagai ganti. Maka berakhirlah perjuangan yang belum selesai bagi Mahathir.

Misi Mahathir adalah menyelamatkan anaknya, bukan menyelamatkan rakyat. Oleh kerana itulah Mahathir mahu berkuasa kembali. Untuk selesaikan agenda peribadi dan menyelesaikan "sesuatu" untuk kroninya. Yang kena tanggung kesan adalah rakyat nanti.

Beruang Biru
Rabu
24 Januari 2018

Berang Gara-Gara Cinta Ditolak



Gara-gara cintanya ditolak, seorang lelaki bertindak samseng dengan melempang dan mencekik bekas teman wanitanya di Kampung Baru Kuala Baram di sini malam Ahad lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, Deputi Superinten­dan Tega Bilong berkata, dalam kejadian pukul 8.40 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun lebam pada pipi sebelah kiri, ­leher dan tangan akibat dibelasah lelaki itu.

Menurutnya, suspek yang berusia 19 tahun datang ke rumah mangsa dan terus membelasahnya kerana berang mangsa enggan kembali bersamanya. “Tidak cukup dengan itu, suspek turut menarik tangan mang­sa dengan kasar, menarik rambut dan bertindak memecahkan telefon bimbitnya.

Maut Terkena Renjatan Elektrik



Tindakan seorang pemandu lori di sebuah syarikat kuari batu mengait buah mangga menggunakan batang aluminium dalam keadaan hujan renyai membawa padah apabila dia ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Jalan Langkawit, Kampung Benoni di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tersebut, mangsa, Madius Kandurug, 53, disahkan mening­gal dunia di halaman tempat kerjanya akibat kecederaan fizikal.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Pegawai Kanan II Hamdani Md. Harith, sebelum kejadian­ lelaki terbabit sedang mengait buah mangga yang terletak kira-kira satu meter dari tiang elektrik.

“Bagaimanapun, sema­sa mengait dia tiba-tiba direnjat dipercayai berpunca daripada arus kabel dari tiang elektrik berkenaan yang merentasi pokok mangga itu.

Datuk Seri Direman Bantu Siasatan Kes Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang



Seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri direman lima hari bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang. 

Perintah reman bermula hari ini hingga 29 Januari dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abd. Jalil di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, sebentar tadi. Lelaki berusia 62 tahun itu disyaki terbabit terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan projek itu lebih RM305 juta yang dikemukakan kepada kerajaan Pulau Pinang.

Lelaki tersebut ditahan sejurus hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada pukul 2.44 petang, semalam.

Difahamkan, firma kejuruteraan diketuai lelaki tersebut yang beroperasi di Kuala Lumpur sebelum ini dikatakan pernah terbabit dalam pelbagai projek mega termasuk pembinaan sebuah jambatan di Pulau Pinang, terminal bas di ibu negara dan naik taraf sebuah lapangan terbang negeri.

Penahanan Datuk Seri terbabit menjadikan seramai empat individu sudah ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos lebih RM305 juta itu.

Siapa Ingin Beli Suami?



LELAKI menjual isteri mungkin biasa kita dengar tetapi lain pula ceritanya seorang wanita di Surabaya, Indonesia yang ditangkap polis kerana menjual suaminya di Facebook (FB). 

Jurucakap polis Surabaya, Rudi Setiawan berkata, kegiatan wanita itu terbongkar selepas pasangan itu ditangkap ketika menunggu pelanggan di sebuah hotel pada Isnin lalu. “Isteri yang jual suami. Lelaki itu diperdaya dan wanita itu menawarkan suaminya untuk tujuan seks di FB.

“Wanita itu menawarkan suaminya dengan harga Rp500,000 (RM147) kepada mana-mana lelaki yang berminat. Lebih mengejutkan lagi wanita itu kadangkala melayan pelanggan bersama suaminya,” katanya yang dipetik TribunJatim.com.

Katanya, ketika disoal siasat wanita berusia 20 tahun itu mengaku dia sudah menjual suaminya sebanyak tiga kali kepada lelaki lain. “Wanita itu mengiklan suaminya di satu kumpulan di FB dengan menawarkan lelaki itu atau dirinya sekali. Ketika ditanya tujuannya itu, wanita berkenaan mengaku dia melakukan perkara itu kerana wang,” jelasnya.

Die Mannschaft Jumpa Musuh Tradisi


Jerman akan berdepan musuh lamanya, Perancis dan Belanda selepas ketiga-tiga pasukan itu diundi bersama dalam satu kumpulan bagi edisi sulung Liga Negara-Negara Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), hari ini. 

Ketiga-tiga pasukan itu akan bersaing dalam Kumpulan Satu Liga A, bahagian teratas kejohanan empat peringkat yang diperkenalkan oleh UEFA bagi menggantikan aksi persahabatan antarabangsa. 

Itali yang gagal layak ke Piala Dunia tahun ini, akan berdepan juara Eropah, Portugal dan Poland dalam Kumpulan Tiga manakala Sepanyol diundi bersama England dan Croatia dalam Kumpulan Empat, sementara Belgium akan berdepan Switzerland dan Iceland dalam Kumpulan Dua.

Pemenang bagi setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada Jun 2019, diikuti aksi final. Liga Negara-Negara UEFA menampilkan semua 55 pasukan kebangsaan Eropah yang dibahagikan kepada empat divisyen - dipecahkan kepada empat kumpulan - yang mana UEFA mengatakan akan menyediakan lebih banyak persaingan antarabangsa.

Ia juga menyediakan pintu belakang kepada Euro 2020 dengan satu pasukan daripada setiap liga akan mendapat satu tempat di kejohanan utama UEFA itu.

Liga B peringkat kedua pula menyaksikan pertembungan antara negara jiran Republik Czech dan Slovakia dalam Kumpulan Satu manakala Ireland perlu berdepan Denmark, yang mengalahkan mereka di playoff Piala Dunia tahun lalu, dalam Kumpulan empat yang turut disertai Wales.

Penyudah Cinta Agung



Ada perasaan yang bercampur-campur, antara teruja dan harapan, semuanya bersulam-sulam dalam dada saat sekuel Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) menjengah depan mata selepas 10 tahun edisi pertamanya ditayangkan pada 2008. 

Masakan tidak, selepas sekian lama barulah filem yang adaptasi novel judul dengan sama nukilan penulis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy itu kembali ke layar perak. Ia pastinya menjadi penantian dalam kalangan peminat.

Lari jauh daripada kisah yang pernah dipaparkan dalam sekuel pertama, semua watak AAC2 adalah wajah baharu apabila hanya mengekalkan Fedi Nuril selaku pendukung utamanya. Menyentuh tentang jalan cerita, segalanya tampak sempurna dan berjalan mengikut jaluran sebagaimana yang dilakar sang penulis novel.

Biarpun ada beberapa perkara yang diolah sedikit dari gambaran asal novel, tetapi perjuangan moral agama, kemanusiaan dan cinta agung yang dilakar kemas dalam naskhah tersebut diterjemah sempurna. Fahri digambarkan sebagai seorang lelaki Islam yang begitu sempurna baik dari segi kelakuan dalaman.

Dia memiliki kesabaran yang tinggi dalam menegakkan akidah dan syariat Islam biarpun berdepan dengan cacian masyarakat setempat. Begitu juga keperibadian Aisha atau Sabina yang disifatkan sebagai wanita teguh. Dia sanggup berkorban demi suami meskipun terpaksa dimadukan dengan wanita lain buat kali kedua.

Apa yang digambarkan seolah-olah tidak ada manusia sesempurna Fahri dan setabah Aisha. Itu hal yang cukup jelas digambarkan dalam AAC2 meskipun hakikatnya manusia sebegitu sukar ditemui dalam dunia sebenar. Namun AAC2 tetap mempunyai kekurangan dan beberapa ruang lompong yang tidak dapat disembunyikan.

Antara yang paling terkesan ialah adegan pembedahan plastik apabila Aisha menukar wajahnya menjadi Hulya atas permintaan wanita itu. Bukan tidak logik tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan babak tersebut seakan-akan mengganggu emosi penonton yang pada awalnya terusik dengan perjalanan hidup Fahri dan pengorbanan Aisha.

Isu perbandingan tidak terlepas untuk AAC2 kerana selepas hampir sebulan ditayangkan di Indonesia, ia menerima pelbagai reaksi daripada peminat yang segelintirnya menyifatkan filem pertama lebih menusuk emosi serta kaya peradaban Islam.

Dari segi emosi, ia masih utuh kerana jalan cerita yang dihamparkan kepada penonton masih berpaksi kepada cinta, pengorbanan dan perjuangan Fahri dalam melakukan kebaikan atas nama Islam. Satu perkara yang menyelamatkan AADC2 terus tenggelam dalam perbandingan dengan sekuel pertama adalah lenggok dialog dan prolog yang dituturkan setiap pelakon termasuk watak-watak tambahan. 

Keindahan bahasa yang digunakan dalam filem ini sangat tinggi. Bahkan dalam filem terdahulu juga, aspek bahasa juga menjadi salah kekuatan penulisan Habiburrahman yang dikagumi peminat novel, selain rakaman sinematografi di kota Edinburgh, Scotland yang melatari AAC2.

Jika diamati, jalan cerita dalam AAC2 menyamai edisi pertama apabila takdir membuatkan Aisha kembali bermadu selepas Fahri terperangkap dalam masa silam dan cinta agungnya terhadap isteri pertamanya. Untuk pengikut setia naskhah berkenaan sejak 2008, AADC2 tetap karya wajib tonton bagi menemukan kesinambungan dan penyudah takdir serta cinta agung Aisha dan Fahri.