Monday, 30 April 2018

Barisan Nasional Diramal Dapat 150 Kerusi Parlimen Dalam PRU14



Penamaan calon sudah selesai di seluruh negara pada hari Sabtu lepas. 590 kertas penamaan calon diterima untuk kerusi parlimen, 1,394 kertas pencalonan bagi kerusi DUN. 11 kertas pencalonan ditolak. Di parlimen, 29 kerusi ada pertandingan satu lawan satu. 143 tempat berlakunya tiga penjuru, 22 tempat ada empat penjuru dan tiga parlimen ada 5 penjuru. 

Manakala di DUN, 38 kerusi satu lawan satu. 331 ada tiga penjuru, 54 tempat empat penjuru, 18 tempat 5 penjuru dan ada tiga tempat enam penjuru. Meriahnya demokrasi di Malaysia. 530 calon lelaki dan 60 calon wanita di kerusi parlimen manakala di kerusi DUN ada 1,244 calon lelaki dan 150 calon wanita.

BN tampilkan 85 orang calon wanita, 26 di kerusi parlimen dan 59 orang di kerusi DUN. Calon tertua adalah Mahathir, dengan usia 92 tahun dan bertanding di parlimen Langkawi. Manakala BN pula menampilkan 6 orang calon muda berusia di bawah usia 35 tahun di kerusi parlimen.

Atas kertas sudah boleh mencongak siapa yang bakal menang dan bakal kecundang. Mukhriz dan Mahathir dijangka tumpas di Jerlun dan Langkawi. Undi kepada calon PAS lagi banyak berbanding dua orang calon PKR itu. PAS pula diramal menang di 7 kerusi tradisi mereka iaitu di Pengkalan Chepa, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu, Marang dan Kuala Kedah. 

PAN yang teruk diserang oleh PAS dijangka kalah di semua kerusi kecuali dua tempat sahaja iaitu di Shah Alam dan Parit Buntar. PPBM yang memakai logo mata lebam dijangka menang tipis sahaja di Pagoh. Itu pun kalau PPBM silap langkah, Muhyiddin pun akan melingkup di Pagoh. Shafie Apdal dijangka menjadi arang atau abu di Semporna.

Manakala DAP diramal tawan Teluk Intan dan Bakri. PKR hilang tiga kerusi di Batu, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak. Ramalan ini dianalisa berdasarkan kajian Invoke, Merdeka Center yang lepas dan menerusi sumber dalaman dari Pakatan Rakyat.

Keseluruhannya, Barisan Nasional dijangka mendapat 153 kerusi parlimen, DAP dapat 40, PKR menang 23 kerusi, PAS peroleh 7, PPBM menang 1 kerusi dan Warisan boleh 1 kerusi sahaja. DAP akan tambah lagi kerusi daripada kerusi yang sedia ada. Pakatan Harapan akan dapat 65 kerusi parlimen sahaja dan ketua pembangkang di parlimen masih lagi DAP.

Mahathir dan anaknya "terkorban" terus bila DAP tidak mahu kerusi selamat kepada mereka berdua dalam PRU14. Menurut satu kajian Tindak Malaysia, bilangan kerusi parlimen majoriti Cina sudah menurun kepada 24 kerusi sahaja. Boleh jadi bilangan kemenangan DAP, yang diramal 40 kerusi ini akan berkurangan lagi.

Malah di kawasan luar bandar, rakyat masih marah bila Mahathir dan PH mahu hapuskan BR1M. Bagi orang kampung mereka mahukan BR1M. Kalau mansuh GST belum tentu harga barang turun. Kalau mansuh GST, entah entah orang kampung tidak dapat BR1M lagi selepas ini. Harus diingat ada 155 kerusi luar bandar termasuklah 54 kerusi di kawasan Felda.

Orang di luar bandar mahukan kemajuan dan nikmat yang mereka dapat selama ini diteruskan. Mereka tidak mahu Mahathir lagi sebagai PM. Apa yang mereka nikmati sekarang adalah di zaman Najib bukannya Mahathir. Kalau sudah mahu mansuh ECRL dan HSR sudah tentu rakyat di kawasan itu tidak akan beri undi pada PH. Berpuluh ribu peluang kerja akan hilang.

Mahathir kini sudah tekan "panic button" bila melihat sokongan Melayu terhadap PH masih lagi tiada. Mulalah reka cerita bukan bukan, cakap jet peribadi kena sabotaj, ada orang hendak langgar kereta dia dan macam macam lagi. Mahathir tahu PH akan kalah. DAP pun tahu PH akan kalah, sebab itu satu kerusi selamat kawasan DAP pun tidak diberi pada Mahathir dan Mukhriz.

Pembangkang akan jadi lagi huru hara lepas pilihanraya ini. Huru hara sebab tidak dapat kuasa. Jangan bagilah kuasa pada orang yang gila kuasa. Baik kekalkan kerajaan yang sedia ada. 

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku

Beruang Biru
Isnin
30 April 2018

Tidak Semudah Itu DAP...



Bukan satu rahsia lagi bahawa DAP telah menanam tekad untuk menguburkan MCA pada Pilihan Raya Umum ke 14 kali ini. Hal ini sudah kerap kali dilaungkan oleh kesemua pemimpin DAP yang beranggapan, PRU ke 14 kali ini adalah peluang terbaik DAP untuk menjadikan parti berkenaan sebagai satu-satunya parti yang mewakili kaum Cina, bukannya MCA mahupun Gerakan.

Dalam hal ini, nampaknya DAP cuba untuk menyembunyikan pelbagai perkara. Mungkin, tanpa DAP sedar, peralihan angin kaum Cina di kebanyakan kerusi Parlimen yang ditandingi oleh MCA, menampakkan kehadiran ramai pengundi di sesebuah kawasan. Hal ini cukup ketara jika mahu dibandingkan dengan kehadiran pengundi pada setiap kempen yang dilakukan oleh DAP.

Malah, gerak kempen yang dilakukan oleh MCA dilakukan atas semangat kerjasama yang wujud di dalam Barisan Nasional, sesuatu yang amat sukar sekali disaksikan di dalam kem Pakatan Harapan. Boleh dikatakan, dalam setiap kempen MCA, kehadiran pengundi adalah dari semua kaum samada Melayu, Cina mahupun India.

Paling utama, kekuatan MCA juga dikongsi bersama oleh semua parti komponen yang ada di dalam Barisan Nasional. Adakah DAP cuba menidakkan kekuatan seperti ini yang wujud di dalam MCA dan Barisan Nasional?

Malah, perjuangan parti juga jelas menampakkan perbezaannya. Benar, MCA adalah sebuah parti berteraskan kaum Cina namun, di dalam MCA juga wujud sikap toleransi kaum yang tinggi. Tidak seperti DAP yang lebih kepada mahu mewujudkan sebuah negara yang mengikut acuan merka semata-mata.

Inilah perkara yang harus ditelan oleh DAP. Bukan mudah untuk DAP menguburkan MCA dalam PRU ke 14 kali ini. Teras perjuangan MCA yang diterima baik oleh semua kaum jelas menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua buah parti ini.

Mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa, PRU ke 14 kali ini adalah PRU yang menyaksikan penolakan pengundi terhadap DAP yang cukup terkenal dengan sikap ultra kiasu mereka.

Lepas ECRL, Sistem e-Hailing Pula Mahu Di Batalkan?



Bukan satu rahsia lagi buat Pakatan Harapan, sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak, mereka akan membatalkan projek pembinaan East Coast Rail Link (ECRL) yang hari ini begitu rancak dibangunkan.

Pengumuman ini dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa, pembinaan ECRL ini adalah satu pembaziran yang cukup besar sehingga membawa kepada negara mengalami hutang luar yang cukup tinggi. Katanya lagi, tiada siapa yang ingin menggunakan perkhidmatan ECRL kelak kerana ianya dianggap sebagai membuang masa.

Terbaru, menerusi satu entri yang dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Pakatan Harapan akan membatalkan perlaksanaan sistem e-Hailing yang dilihat menyeragamkan perkhidmatan teksi dan Grab di negara ini.

Ianya dilihat cukup mengejutkan kerana menerusi sistem ini, pendapatan pemandu teksi dan Grab dilihat lebih terjamin berbanding penggunaan sistem lama dahulu. Malah, menerusi e-hailing juga, para pengguna juga dapat menerima perkhidmatan yang jauh lebih efisyen.

Adakah ianya menjadi satu kesalahan buat Pakatan Harapan sehingga tergamak cuba merosakkan periuk nasi para pemandu dan penyedia perkhidmatan teksi dan Grab di negara ini? Adakah mereka cuba untuk kembali ke zaman pentadbiran Mahathir dahulu yang mana mutu perkhidmatan awam di negara ini cukup teruk dan tidak teratur?

Nampaknya, mereka tidak habis-habis cuba mengheret kerajaan menerusi SPAD ke kancah politik murahan mereka. Perlu ditegaskan bahawa, apa yang dilaksanakan kerajaan hari ini termasuk membina ECRL adalah demi kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan individu. Adalah tidak masuk akal, perkara yang baik seperti ini cuba dibatalkan begitu sahaja oleh pembangkang.

Sudah tiba masanya buat rakyat negara ini menilai semula, siapakah yang sedang cuba menghancurkan Malaysia menerusi impian yang dilihat akan menyusahkan rakyat. Kita sedang menuju kearah sebuah negara maju dan sebarang langkah kebelakang yang diambil oleh pembangkang, akan merencatkan impian kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Kepala Pecah, Kaki 'Berlipat'



LELAKI mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dan kaki 'berlipat' dipercayai dilanggar lari di Jalan Airport, di Miri, malam semalam.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 30-an dipercayai dirempuh sebuah kenderaan ketika dia sedang melintas jalan. Sumber memberitahu, mangsa dilanggar oleh kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.

“Akibatnya, mangsa tercampak ke bahu jalan. Pemandu kenderaan itu terus meninggalkan lokasi kejadian. "Orang ramai yang berada di kawasan berhampiran cuba membantu, namun mangsa sudah meninggal dunia akibat parah di kepala,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat. Katanya, susulan kejadian, polis giat mengesan pemandu dan kenderaan terbabit.

Parah Ditikam Pisau Pemotong Bawang



LELAKI parah ditikam dengan pisau pemotong bawang selepas penyewanya berang mangsa membuat bising dalam kejadian di Kampung Kolopis, di Penampang, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) parah di perut dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Difahamkan, kejadian disedari oleh rakannya lalu menghantar mangsa ke HQE sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan itu dipercayai selepas suspek menegur mangsa yang membuat bising. 

"Suspek yang tidak puas hati lalu menikam mangsa di bahagian perut sebelah kiri dipercayai menggunakan sebilah pisau pemotong bawang yang diambil di tempat kejadian. Akibat tikaman itu, mangsa parah dan berada dalam keadaan kritikal," katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan dan risikan, suspek berusia 47 tahun yang juga penyewa rumah milik mangsa ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada jam 3 pagi.

"Siasatan lanjut juga mendapati sebelum kejadian mangsa dan suspek bersama-sama meminum arak buatan sendiri atau tuak. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Lelaki Yemen Dituduh Buat Fitnah



Gara-gara membuat tohmahan di laman sosial dengan menuduh polis lambat bertindak atas pembunuhan seorang imam Palestin pada 21 April lalu, seorang pelancong Yemen menjadi individu pertama bakal dituduh di bawah Akta Antibe­rita Tidak Benar 2018 di Mahkamah Sesyen di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini. 

Salem Saleh Sulaiman, 46, yang mempunyai kewarganegaraan Denmark akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mengeluarkan satu kenya­taan palsu menerusi satu klip video yang mendakwa pihak polis lewat bertindak dalam kejadian pembunuhan Dr. Fadi M. R Albatsh di Medan Idaman, Setapak pada 21 April lalu.

Media difahamkan video berdurasi dua minit dalam bahasa Arab tersebut yang kemudian diterjemahkan dalam bahasa Melayu menjadi viral di laman sosial beberapa jam selepas kejadian pembunuhan Fadi yang merupakan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Satu sumber berkata, suspek yang memasuki negara ini menggunakan pas pelancong pada 11 April lalu ditahan di Jalan Meranti, Setapak pada 23 April lalu oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Inspektor Tan Sie Guan.

Semasa ditahan, lelaki yang bekerja sebagai penjaga kuda di Denmark itu berada di rumah rakannya di Setapak sejak memasuki Malaysia.

Tak Bagi Masuk Stadium Ye!



BIARPUN dihalang masuk ke stadium, peminat bola sepak di Ankara, tetap bersemangat apabila sanggup menyewa kren untuk menyaksikan perlawanan dari luar.

Lelaki yang juga peminat fanatik kelab bola sepak Denizlispor itu dihalang untuk memasuki stadium selama setahun. Dia menyewa kren dan diletakkan di sebelah stadium bagi menikmati perlawanan bola sepak tanpa sebarang gangguan penonton lain.

Gelagatnya dapat dilihat menerusi gambar yang menunjukkan dia turut mengibarkan bendera pasukan kesayangannya itu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengapa dia dikenakan tindakan larangan masuk ke stadium terbabit

'Harap Dapat Lagi Jumpa Wenger'



Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berharap akan berpeluang berdepan Arsene Wenger sekali lagi selepas kunjungan terakhir pengurus Arsenal itu ke Old Trafford sebagai bos Gunners berakhir dengan kekalahan 2-1 awal pagi tadi. 

“Saya harap akan bermain menentangnya sekali lagi,” kata Mourinho, yang memiliki sejarah pertengkaran dengan Wenger, paling popular apabila menggambarkan pengendali dari Perancis itu sebagai “pakar dalam kegagalan” kerana gagal menang Liga Perdana sejak 2003/04.

“Saya harap ia akan berlaku lagi. Jika tidak dalam Liga Perdana, siapa tahu kami boleh berdepan perlawanan besar di mana-mana?” United kini sudah mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dan hampir menepati sasaran menjadi pasukan kedua terbaik selepas Manchester City dengan mencipta jurang lima mata berbanding Liverpool.

“Ok untuk meningkat di banyak tahap, tetapi (ia) tidak cukup untuk menjadi yang pertama sebaliknya kedua dan tidak cukup untuk menang Liga Juara-Juara sebaliknya Liga Europa,” kata Mourinho.

“Ia cukup untuk menamatkan saingan di tangga kedua, untuk menjadi stabil, untuk menang sebahagian trofi, untuk mara ke final, tetapi kami perlu lebih lagi.”

Helloween Memang 'Power'...



BAND power metal dari Jerman, Helloween memukau lebih 1,500 penonton dalam konsert mereka yang berlangsung di Megastar Arena, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, malam tadi. 

Janji pemain gitarnya Kai Hansen di mana mereka akan memberikan persembahan terbaik dan bertenaga ditunaikan apabila penonton nyata terhibur dan menyanyi bersama-sama dari mula hingga tamat konsert.

Gabungan dua penyanyi dan tiga pemain gitar menjadikan muzik Helloween cukup padu dan bertenaga. Sejak ditubuhkan di Hamburg, Jerman pada 1984, ini kali pertama band yang turut dianggotai Michael Kiske (penyanyi), Andi Deris (penyanyi), Michael Weikath (gitar), Markus Grosskopf (bass), Sascha Gerstner (gitar) dan Dani Loble (dram) mengadakan konsert di Malaysia.

Ia sempena konsert jelajah Helloween Pumpkins United World Tour 2018 yang bermula di Monterrey, Mexico, hujung tahun lalu.

Kuala Lumpur menjadi satu-satunya bandar raya di Asia Tenggara yang menjadi lokasi konsert jelajah dunia ini. Dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu, Helloween mempersembahkan lebih 20 lagu termasuk daripada album popular mereka seperti Walls Of Jericho, Keeper Of The Seven Keys Part I dan Keeper Of The Seven Keys Part II.

Antara lagu yang dimainkan ialah Helloween ialah Are You Metal, Kids Of The Century, I'm Alive, Pumpkin United, How Many Tears, Future World dan I Want Out. Helloween akan meneruskan konsert mereka di Eropah selepas ini.

Latih 50,000 Peserta Di Bawah eRezeki



Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 50,000 lagi peserta di bawah program eRezeki sepanjang tahun ini. 

Pengurus Kanan, Ekosistem Perkongsian Ekonomi MDEC, Mohd. Redzuan Affandi berkata, sehingga kini, seramai 150,000 peserta telah dilatih sejak 2015 dengan jumlah permohonan keseluruhan yang diterima adalah sebanyak 309,000. “Peserta yang terpilih ini perlu menghadiri sesi penilaian profil bagi melihat bidang tugasan yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing. 

“Mereka ini seterusnya akan menjalani sesi latihan yang berbeza mengikut kecenderungan tugasan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik kami yang mengambil bahagian,” katanya dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

eRezeki merupakan sebuah program penyumberan ramai (crowdsourcing) di bawah inisiatif #YOUCANDUIT yang disasarkan untuk membantu golongan B40 memperoleh lebih banyak peluang menjana sumber pendapatan menerusi platform digital.

Ia boleh dilaksanakan dalam tiga kaedah iaitu tugasan digital mikro, tugasan yang diupayakan oleh teknologi digital dan tugasan kerja digital yang memerlukan skil berbeza daripada para peserta. Menurut Mohd. Redzuan, inisiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai platform digital yang bertindak menawarkan tugasan kepada para peserta.

“Setakat ini, terdapat lebih 70 rakan strategik bagi program ini yang terdiri daripada platform digital daripada pelbagai bidang, dari dalam dan luar negara. Kami menyasarkan bilangan itu akan mencecah kepada 100 sehingga hujung tahun ini,” ujarnya.

Antara rakan strategik program eRezeki ialah GoGet, Maideasy, MatDespatch dan Riding Pink. Antara tugasan yang boleh dilakukan oleh peserta eRezeki ialah menerima tugasan membeli barangan dapur dan membuat penghantaran ke rumah, membuat tugasan penterjemahan apa-apa dokumen atau kerja dan menjadi pembeli misteri bagi sesebuah organisasi.

Diet Tersusun tDNA



Kegemukan atau obesiti adalah satu penyakit kronik yang menular dalam kalangan masyarakat dunia termasuk Malaysia. Obesiti kini bukan hanya dikenal pasti sebagai faktor risiko penyakit kardiovaskular, malah ia turut membawa kesan buruk terhadap kesihatan dan menyumbang kepada penyakit serius seperti diabetes. 

Statistik di Malaysia menerusi Daftar Diabetes Negara menunjukkan 80 peratus orang dewasa yang menghidap diabetes Jenis 2 dianggap mengalami obes, manakala 17 peratus orang dewasa mendapat penyakit kronik terbabit berpunca daripada obesiti.

Dalam satu kajian di Malaysia baru-baru ini dan diterbitkan dalam BMJ Open Diabetes Research & Care menunjukkan pesakit diabetes Jenis 2 yang mengalami obesiti berjaya mengurangkan berat badan secara ketara dan mengawal paras gula secara lebih baik dengan pelan makanan tersusun sebagai sebahagian terapi pemakanan perubatan.

Pelan pengurusan diabetes berkenaan mengambil kira budaya pesakit seperti diet tempatan dan tabiat makan yang boleh membantu mereka mencapai matlamat kesihatan termasuk menurunkan berat badan dan paras gula darah (paras A1C).

Hasil kajian itu juga menunjukkan satu-satu pengurusan diabetes Jenis 2 tidak semestinya sesuai untuk semua pesakit. Baik sajian makanan kegemaran keluarga mahupun aspek genetik seseorang, faktor budaya juga memainkan peranan dalam menentukan cara makan dan kesannya ke atas kesihatan.

Oleh itu, sekumpulan penyelidik pakar tempatan dan luar negara diketuai Dekan Sains Kesihatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Kuala Lumpur, Profesor Dr Winnie Chee, mencipta satu algoritma dinamakan dalam komuniti perubatan sebagai algoritma pemakanan khusus diabetes silang budaya atau singkatannya tDNA.

Ia merangkumi pelan makanan berkalori rendah yang tersusun, penggantian makanan khusus untuk diabetes dan usaha meningkatkan aktiviti fizikal. Kajian itu disokong pengeluar susu formula bereputasi, Abbott, membabitkan pemantauan ke atas 230 pesakit diabetes Jenis 2 dengan matlamat untuk memahami kesan algoritma pemakanan ke atas kesihatan mereka.

Menurut Dr Winnie, dalam kajian itu satu kumpulan menerima diet tersusun berdasarkan tDNA termasuk pelan menu harian, penggunaan formula khusus untuk diabetes sebagai penggantian makanan, kaunseling motivasi dan peningkatan aktiviti fizikal.

Satu kumpulan lagi menerima pelan makanan berkalori rendah yang serupa, menggunakan makanan biasa dan senaman yang sama banyak serta perundingan diet biasa.

Penyelidik mendapati bahawa kumpulan yang menerima pelan diet dan gaya hidup tersusun mengalami penurunan berat badan lebih besar dengan purata 5.8 kilogram (kg), penurunan indeks jisim badan (BMI) sebanyak tiga peratus dan pengurangan lemak badan serta ukur lilit pinggang dalam masa lebih enam bulan.

Saturday, 28 April 2018

Polis Berkas Lelaki Samun Kedai 24 Jam



Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang terlibat aktif dalam kegiatan samun kedai 24 jam di sekitar bandaraya ini di sebuah rumah di Taman Malihah di sini 16 April lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditangkap sepasukan polis menerusi pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah pukul 1 petang. Menurutnya, suspek dipercayai terlibat aktif dalam kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam bersama seorang lagi rakan subahatnya sejak awal Januari hingga bulan ini.

"Suspek merupakan seorang penganggur dan disahkan positif dadah jenis syabu. Advertisement Sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang menggunakan nombor plat palsu turut dirampas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pasukan petugas khas kini juga sedang mengesan rakan subahat suspek yang masih bebas dan dipercayai berada di sekitar Kuching. Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam 15 siri samun kedai 24 jam sepanjang empat bulan ini dengan 13 kes di Kuching dan dua lagi di Padawan.

"Mereka akan memulakan samun bermula pukul 1 sehingga 6 pagi dengan bersenjatakan pisau dan parang," ujarnya. Jelasnya, dengan tertangkapnya seorang suspek kini, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun kedai 24 jam di sini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.

Dua Juragan Ditahan Dekat Pelantar



Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pam yang menceroboh kawasan larangan 500 meter di pelantar minyak ERB WEST di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 9 malam itu, dua juragan yang mengendalikan dua bot pam terbabit ditahan ketika leka memancing ikan di menara api pelantar minyak ERB WEST, kira-kira sembilan batu nautika barat daya Pulau Mengalum.

Mereka ditahan pasukan khas Maritim Malaysia Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) yang ditubuhkan sejak awal bulan lalu susulan banyak aduan mengenai pencerobohan di kawasan pelantar minyak. Pengarah DM 15 Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, hasil pemeriksaan, kedua-dua juragan berumur 21 dan 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kau Rasa Kau Model?



PERSEMBAHAN ‘cat walk’ dan kalungan bunga di atas pentas dijadikan sebagai tarikan bagi pelanggan yang berkunjung di pusat hiburan elit di kawasan Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur. Setiap kalungan bunga yang diberikan kepada pelanggan turut dikenakan bayaran bermula RM100 hingga RM300 sebagai ‘tips’ kepada wanita pilihan mereka. 

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mustafar Ali berkata, risikan dan pemantauan awal mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral dilakukan dalam premis itu yang mengadakan majlis khas bertemakan ‘Seksi Thai Kick Boxing’ seperti yang disambut di Thailand.

Katanya, hasil maklumat diperoleh, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan dalam operasi dijalankan kira-kira 3 pagi semalam membabitkan seramai 20 pegawai Imigresen daripada Unit Quick Response Team (QRT), Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM.
“Pusat hiburan elit itu menawarkan acara istimewa iaitu persembahan ‘cat walk’ dan kalungan bunga sebagai daya penarik mendapatkan pelanggan untuk berhibur di premis berkenaan.

“Dalam operasi itu, kami membuat pemeriksaan terhadap 53 individu yang berada di dalam premis itu dan menahan 28 individu terdiri daripada 21 wanita warga Thailand berusia 20-an yang bekerja sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) selain tujuh lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an yang juga pekerja di premis berkenaan.

“Kami turut menahan dua lelaki lelaki tempatan yang dipercayai menyelia aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan elit itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, ketika serbuan, beberapa GRO dan pekerja pusat hiburan itu cuba melarikan diri dengan menggunakan laluan rahsia dan pintu belakang premis, namun berjaya dihalang pegawai bertugas yang sudah mengepung premis terbabit.

“Pusat hiburan itu membuat beberapa pengubahsuaian pada pintu magnetik, laluan dan pintu keluar yang hanya boleh diakses dari dalam premis sahaja bagi mengelak serta melambatkan pergerakan pihak penguatkuasa ketika serbuan dilakukan.

“Sebelum ini, pusat hiburan berkenaan pernah diserbu tahun lalu, namun masih menjalankan aktiviti sama bagi mengaut keuntungan lumayan. Hasil soal siasat awal mendapati wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO boleh mendapatkan ‘tips’ sehingga RM400 hingga RM500 dalam sehari. 

“Mereka (GRO) memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 30 hari dan melakukan aktiviti itu untuk mengaut keuntungan lumayan dengan mudah dalam tempoh masa singkat,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat notis untuk hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada pekerja, juruwang, pengawal peribadi dan pelanggan yang berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan bagi membantu siasatan.

“Semua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Katanya, semua pihak berkuasa terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya bersama-sama mengambil tindakan tegas terhadap premis menjalankan aktiviti tidak berlesen serta tidak bermoral bagi memastikan kegiatan itu tidak terus dijalankan walaupun sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa.

“Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) selain menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Louis Arthur Charles Nama Anak William, Kate



Putera William dan isterinya, Kate menamakan bayi lelaki mereka, Louis Arthur Charles, menurut Istana Kensington membuat pengumuman itu, hari ini. 

Kenyataan istana menyatakan, bayi diraja itu akan memakai gelaran His Royal Highness Prince Louise of Cambridge. “Duke dan Duchess of Cambridge gembira mengumumkan nama anak lelaki kedua mereka, Louis Arthur Charles. Bayi itu akan memakai gelaran His Royal Highness Prince Louis of Cambridge,” kata kenyataan istana.

Nama itu memberi penghormatan kepada bapa saudara William, Louis Mountbatten, yang dibunuh IRA (pergerakan separa tentera Ireland) pada 1979 manakala Charles adalah bapa William.

Arthur menjadi nama kegemaran untuk anak ketiga pasangan itu. Nama Louis adalah ke-71 popular di England dan Wales ketika ini. Bayi diraja itu lahir seberat 3.8 kilogram pada jam 11.01 pagi, Isnin lalu. Louis adalah cicit keenam Ratu Elizabeth, yang berusia 92 tahun Sabtu lalu dan suaminya, Putera Philip.

Mourinho Menyesal



PENGURUS Manchester United Jose Mourinho menyesali ‘episod negatif’ yang mencemari hubungannya dengan Arsene Wenger menjelang kunjungan terakhir pengurus kelahiran Perancis itu sebagai pengurus Arsenal ke Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam esok.  

Kedua-duanya sering bertelagah dengan Mourinho gemar mengumpan Wenger yang sering dianggapnya suka ‘menyibuk’ dan ‘pakar kegagalan’. Namun hari ini Mourinho memberitahu MUTV beliau tidak gembira dengan beberapa tindakannya sepanjang 19 pertemuan membabitkan mereka. 

“Ada sesetengah perkara kecil yang tidak sewajarnya berlaku, beberapa tindakan, beberapa kata-kata yang tidak sepatutnya disuarakan,” kata Mourinho.

Hubungan kedua-duanya semakin keruh pada 2014 apabila Wenger menolak Mourinho di tepi padang Stamford Bridge, sebelum beliau meminta maaf dan mengakui tindakannya itu berpunca daripada provokasi. Mourinho menjelaskan kebanyakan tindakannya itu wajar dilihat dalam konteks cuba mencabar kedudukan Arsenal sebagai pasukan utama England.

“Sewaktu saya datang ke England pada 2004, Arsene adalah juara dan memiliki pasukan ‘kebal’, dan terus menerajui selama beberapa tahun. (Dennis) Bergkamp, Thierry (Henry), (Sol) Campbell - pasukan yang hebat. Mereka benar-benar menguji kemampuan kami. Dua perlawanan yang kami sertai, bukan di Emirates tetapi di stadium lama sukar dilupakan.

“Kami bertarung dengan hebat, bergaduh besar, jadi terima kasih untuknya. Menyesal? Ia hanya episod negatif yang kecil.”

Namun Mourinho meminta penyokong United memberikan sambutan positif terhadap Wenger. “Saya harap beliau menerima sambutan baik. Jika tidak baik, ia tidaklah terlalu teruk dan dari kelab kami, beliau akan merasai penghormatan yang kami miliki,” kata Mourinho.

“Penyokong Man United sedar bahawa sehingga 2004 iaitu kira-kira sedekad, pertembungan adalah membabitkan Man United dan Arsenal, antara Sir Alex (Ferguson) dan Wenger dan saya fikir pasukan hebat yang dimiliki Arsenal menjadikan Man United semakin baik.”


Avengers: Infinity War Pecah Panggung



FILEM Avengers: Infinity War mencatatkan kutipan AS$39 juta (RM152.8 juta) sehingga petang semalam, di Amerika Syarikat dan Kanada. 

Pengedar filem itu, Walt Disney Co dalam satu kenyataan berkata, jumlah berkenaan adalah yang terbesar setakat ini dikutip oleh filem Studio Marvel dan filem keempat tertinggi mencatatkan kutipan lumayan semasa tayangan pembukaan.

Menurut penganalisis filem, ia dijangka menghampiri atau mengatasi rekod dibuat filem Star Wars: The Force Awaken pada 2015, menjelang Ahad ini. Star Wars mencatatkan kutipan berjumlah AS$248 juta (RM971.4 juta).

Infinity Wars membariskan lebih daripada 20 adiwira ciptaan Marvel, termasuk Iron Man, Spider-Man, Black Panther dan Guardians of the Galaxy.

Ia menerima pujian pengkritik filem khususnya pada babak akhir yang direka khas bagi membuatkan penonton tertunggu-tunggu sekuel seterusnya tahun depan. Infinity War mula ditayangkan Rabu lalu di beberapa passaran luar negara dan mencatatkan jualan tiket berjumlah AS$95 juta (RM372 juta) untuk dua hari pertama.

Bertahan Lebih 25 Tahun



Tidak dinafikan, kediaman yang dibina berasaskan material buluh mempunyai tarikan tersendiri. Sinonim dengan alam, pilihan material berkenaan dilihat lebih dekat dengan persekitaran semula jadi. Lantas, penulis mengutip pengalaman itu dengan mengunjungi ‘perkampungan buluh,’ Bamboo Village, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini. 

Tanpa papan tanda lokasi dan perlu merentasi laluan berbatu kira-kira 300 meter, barulah penulis tiba di perkampungan itu. Suntikan elemen buluh yang diadaptasi menjadi idea utama inap desa beroperasi sejak lapan tahun lalu itu menjadi tarikan istimewa bagi mereka yang mencari kelainan.

Di atas tanah seluas lebih 13,716 meter persegi itu, pemiliknya, Mohd Ramadhan Abdul Hamid memanfaatkan sebaik mungkin sumber alam berkenaan. Tersembunyi di celahan rimba, Mohd Ramadhan yang juga pembekal dan pembina struktur berasaskan buluh menyifatkan material berkenaan sumber kayu yang mampan untuk pembangunan masa depan.

“Berbanding kayu hutan yang digunakan dalam proses binaan, buluh lebih cepat hidup dan hanya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk matang. Sementara kayu hutan lain memerlukan masa lebih 50 hingga 100 tahun barulah sesuai untuk ditebang.

“Mungkin ada segelintir yang skeptikal menganggap bangunan atau struktur buluh tidak memiliki ketahanan atau mudah reput berbanding konkrit, kenyataannya pendapat mereka itu salah. “Sifatnya yang boleh melentur dan fleksibel, antara faktor ketahanan menghadapi gegaran,” katanya yang juga pensyarah seni bina jemputan di beberapa universiti tempatan.

Memiliki 10 binaan buluh di resort berkenaan, Mohd Ramadhan mengakui rumah buluhnya menjadi pilihan pencinta alam yang ingin menerokai dan mengalami pengalaman semula jadi.

Menepati falsafah rumah buluh ‘sejuk ketika siang, hangat pada malam hari,’ binaan buluh yang dianyam menjadi dinding bertindak sebagai saliran udara keluar masuk sekali gus mencipta suasana dalaman yang nyaman dan selesa. Meskipun buluh mempunyai nilai estetika bagi produk kraf tangan, usaha mempromosikan keunikan dan kehebatan buluh tidak dipergiatkan terutama dalam pembinaan rumah.

Di dunia terdapat kira-kira 1,250 spesies buluh, 75 spesies boleh didapati di Asia sementara Malaysia pula memiliki 50 spesies buluh. Sekali gus membuktikan negara ini kaya dengan sumber berkenaan. 

“Tiga jenis buluh yang popular dan sesuai dijadikan bahan utama dalam pembinaan bangunan adalah buluh semantan (Gigantochloa scortechinii), buluh betong (Dendracalamus asper) dan buluh akar (Dendracalamus pendulus).

“Buluh betong antara buluh paling banyak digunakan dulu, namun kini, trend berubah kepada penggunaan buluh semantan sejak empat tahun lalu. Selain itu, buluh semantan juga memiliki diameter besar antara empat hingga 12 sentimeter, jadi ia sesuai untuk dijadikan bahan utama bangunan.

“Buluh semantan tumbuh subur di sepanjang Banjaran Titiwangsa dan menjadikannya satu daripada sumber buluh paling banyak di negara ini.

Merujuk kepada tempoh hayat rumah buluh, Mohd Ramadhan menjelaskan binaan boleh bertahan selama 25 tahun malah ada mencecah 130 tahun seperti di Bali, Indonesia. Rahsia ketahanan buluh bergantung pada beberapa faktor termasuk usia matang, kaedah dan waktu penebangan buluh, spesies buluh yang digunakan serta cara rawatannya.

Antara tip dikongsikan Mohd Ramadhan ketika proses penebangan buluh adalah usia buluh antara tiga hingga lima tahun, tidak boleh ditebang sekiranya mempunyai rebung kerana enzim buluh disalurkan kepada rebung berkenaan, jadi ia tidak mempunyai kekuatan. Sebaik-baiknya buluh ditebang ketika musim panas.

Ditegaskan, tidak digalakkan melakukan penebangan ketika bulan mengambang atas faktor tarikan graviti yang membuatkan buluh mengandungi kuantiti air dan gula yang tinggi. Masih mengamalkan cara rawatan tradisional, Mohd Ramadhan selalunya akan merendam buluh yang dipotong di dalam air yang mengalir selama seminggu, diikuti rendaman bersama pengawet borax.

Kongsi Mohd Ramadhan lagi, rumah buluh lebih menarik jika ia dibina di atas tanah yang berkontur atau berlereng bersesuaian dengan sifat tradisional dan kedesaan. Ini terbukti apabila kedudukan rumah buluh di Bamboo Village diletakkan di tanah berlereng dan posisi agak berselerak berjaya menyerlahkan tarikan unik bangunan buluh.

Friday, 27 April 2018

Bukan Mahu Berpolitik, Tetapi Renung Masa Hadapan Sebelum Memilih




Negara sekarang sedang hangat dengan musim Pilihan Raya Umum yang ke 14. Bagi kalangan ahli politik yang bakal bertanding mahupun hanya membantu calon-calon pilihan parti masing-masing, pelbagai agenda dan janji ditabur untuk memastikan calon dan parti mereka dipilih oleh rakyat untuk lima tahun yang akan datang.

Sebenarnya, SPAD langsung tidak terlibat dalam sebarang kempen pilihan raya. Cuma, apa yang menarik perhatian SPAD adalah, janji pihak pembangkang yang ingin membatalkan projek pembinaan mega East Coast Rail Link (ECRL) yang mengubungkan Tumpat ke Pelabuhan Klang sepanjang lebih 600 kilometer.

Bagi pemerhati ekonomi, pembinaan ini dilihat sebagai ransangan terbaik ekonomi negara terutamanya di sebelah Pantai Timur yang dilihat agak ketinggalan berbanding Pantai Barat. Dari segi logistik pula, ianya bakal memberikan satu lagi alternatif pengangkutan awam kepada pengguna selain daripada memudahkan urusan perniagaan dan pengangkutan kontena ke Pantai Timur.

Bukan sedikit impak hasil daripada projek mega ini. Bayangkan, berjuta orang akan menerima manfaat hasil daripada pembinaan ini. Adakah ianya berbaloi untuk di batalkan begitu sahaja setelah segala usaha dilakukan sehingga mencecah 30 peratus kesiapan projek ini hancur begitu sahaja?

Mari kita lihat bagaimana projek ini dipolitikkan oleh kerajaan pembangkang di Selangor. Sehingga hari ini, kerajaan negeri gagal memberi kelulusan untuk membangunkan tanah yang akan digunakan untuk membangunkan projek ini di Selangor. Ini adalah gambaran kecil bagaimana pembangkang menolak pembangunan projek pengangkutan awam ini.

Benar, SPAD bukanlah sebuah agensi yang berlandaskan politik. Namun dari segi tanggungjawab kepada rakyat terutamanya bagi pengguna pengangkutan awam, adalah satu perkara yang amat merugikan buat penduduk Pantai Timur dan Pantai Barat sekiranya projek yang baik ini di batalkan setelah pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak.

Ini bukan projek mainan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Ini adalah tanggungjawab sebuah kerajaan yang mahu melihat semua rakyatnya menikmati hasil kemajuan negara menerusi pembangunan sebuah pengangkutan awam yang efisyen, maju dan canggih. Jangan salah menilai dan jangan salah memilih kerana akibatnya cukup buruk buat masa depan negara.

DAP Dan PKR Wajib Kekal Sebagai Pembangkang Selamanya



Gema gendang Pilihan Raya Umum ke 14 semakin kuat dipalu di seluruh ceruk rantau di negara ini. Masing-masing sedang mencongak hala tuju negara dan parti mana yang akan dipilih sebagai kerajaan pada malam 9 Mei ini nanti. Pastinya, di kalangan penyokong, mereka berasa yakin yang parti mereka akan membentuk kerajaan namun, semuanya terletak ditangan 14.3 juta orang pengundi.

Apa yang menarik untuk di perkatakan adalah, terdapat tiga buah blok utama yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 kali ini. Blok pertama sudah tentu dari Barisan Nasional yang akan bertanding di semua 222 buah kerusi Parlimen. Sudah tentu, PPRU 14 ini akan dijadikan medan untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan kerajaan BN sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Di blok kedua pula adalah Pakatan Harapan, sebuah pakatan pembangkang yang hanya dijenamakan semula setelah kegagalan Pakatan Rakyat mengekalkan persefahaman antara PKR, DAP dan PAS. Kali ini mereka datang bersama-sama para pengikut dan pemimpin yang kecewa dengan parti induk masing-masing iaitu PAN yang kecewa dengan PAS dan PPBM yang kecewa dengan UMNO.

Bagi blok ketiga pula, PAS akan mengetuai Ikatan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membentuk gagasan Sejahtera. Sehingga hari ini, PAS sudah mengesahkan akan bertanding di 160 buah kerusi Parlimen yang mana bakinya mungkin akan diisi oleh dua buah parti kecil ini.

Dari ketiga-tiga blok ini, apa yang perlu diperhatikan adalah blok kedua yang mana blok ini diketuai oleh Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sambil dibantu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Hari ini, mereka hanya menggunakan satu logo sahaja iaitu logo PKR yang mana logo DAP, PAN dan PPBM langsung tidak digunakan.

Mudah difahami akan helah ini kerana di dalam Pakatan Harapan, sejak terbentuknya apa jua jenis pakatan pembangkang sekalipun, DAP mempunyai kuasa penuh terhadap pakatan pembangkang ini. Bagi PKR pula, peranan mereka tdak lebih dari mengikut apa jua yang diputuskan DAP sehinggakan keadaan parti sendiri berkecamuk dan tidak terurus.

Seperti kata pepatah, tidur setilam, sebantal namun, mimpi lain-lain, inilah yang boleh di gambarkan betapa rapuhnya Pakatan Harapan ini. Mereka boleh sahaja melaungkan istilah Selamatkan Malaysia untuk menampakkan mereka bersatu, namun hakikatnya, DAP, PKR dan PPBM yang bakal dibubarkan tidak lama lagi ini, mempunyai agenda mereka yang tersendiri.

DAP lebih berminat untuk meneruskan agenda 1969 mereka yang mana keinginan mereka adalah untuk membentuk Malaysia Malaysian yang berteraskan sebuah negara Republik, acuan dari Singapura sepenuhnya. Bagi PKR pula, mereka lebih kepada mahu mengangkat Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bagi PPBM pula, selaku Pengerusi parti berkenaan, agenda peribadi serta dendam kesumat jelas mewarnai parti ini. Mereka lebih berminat untuk menumbangkan UMNO dan BN serta memastikan segala agenda peribadi Mahathir tercapai dengan meletakkannya sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.

Melihat kepada semua ini, timbul pelbagai persoalan yang mereka sendiri gagal untuk menjawabnya. Di manakah agenda untuk pembangunan negara dalam prinsip parti mereka? Di manakah agenda rakyat yang akan mereka perjuangkan? Di manakah letaknya agenda memperkasakan Islam dan bumiputera dalam visi mereka? Paling utama, adakah kepentingan peribadi jauh lebih utama dari kepentingan negara?

Perlu diingatkan bahawa, mengikut amalan demokrasi negara, kita hanya akan memilih wakil rakyat dan sesebuah kerajaan dalam tempoh lima tahun. Mahukah kita berketuakan kelompok pemimpin yang cukup rakus untuk diri sendiri ini selama lima tahun? Mahukah kita tenggelam dalam arus fitnah yang mereka bawa dan tertipu untuk tempoh lima tahun yang akan datang?

Untuk ini, sememangnya cukup wajar untuk menyatakan bahawa DAP dan PKR wajib kekal sebagai pembangkang di Malaysia bersama-sama Mahathir dan barisan kuncu-kuncunya. Tidak ada apa yang mampu kita sandarkan kepada mereka jika melihat kepada agenda utama mereka menyertai PRU ke 14 kali ini. Semuanya berkisar kepada hal peribadi dan bukannya untuk agama, bangsa dan negara. 

Mahathir Jadi Kuda Dan Hamba DAP Untuk Raih Undi Orang Melayu



Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Mahathir Mohamad kini adalah kuda dan hamba untuk parti DAP menarik undi orang Melayu dengan mengelirukan mereka. Pada 2 Mac 2018, Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri diktator selama 22 tahun berkata beliau rela jadi umpan PH untuk raih sokongan kerana yakin pengaruhnya masih kuat dalam kalangan orang Melayu. 

Mahathir berkata demikian dalam satu majlis kenduri dan doa selamat anjuran gabungan kariah anak-anak Kampung Baru pada masa itu. Mahathir perlu sebagai umpan kerana DAP mahukan tsunami Melayu dalam PRU14 ini. Dalam pilihanraya lepas DAP sudah hampir capai paras syiling sokongan masyarakat Cina, namun kerajaan tidak bertukar juga.

Yang ruginya adalah masyarakat Cina kerana terpedaya dengan dakyah DAP. Kali ini DAP begitu yakin dapat gunakan Mahathir untuk umpan undi Melayu. Seorang pemimpin DAP yang begitu lantang memperlekehkan Mahathir ialah Hew Kuan Yau yang selalu dikenali sebagai Superman DAP.

Dia sentiasa berceramah dan mendedahkan kepada penyokong DAP bahawa Mahathir hanya dipergunakan oleh DAP untuk merosakkan orang Melayu. "Kita selamatkan Mahathir dan menggunakan Mahathir sebagai alat untuk jatuhkan Najib. Lim Kit Siang gunakan Mahathir untuk "Selamatkan Malaysia".

"Lim Kit Siang sudah cari banyak cara untuk "Selamatkan Malaysia" termasuk memperalatkan Mahathir... Hari ini aku bagi pesanan ini, tunggang kuda Mahathir untuk jatuhkan Najib," katanya. 

Mahathir bukan setakat diperkudakan malah beliau adalah hamba kepada DAP kerana sanggup melakukan apa yang DAP arahkan. DAP mahu Mahathir bersihkan dosa beliau ke atas DAP dan menyuruh Mahathir mengubah segala kritikannya sebelum ini kepada parti cauvinis itu untuk syarat bekerjasama, dan Mahathir buat.

Dalam Majlis Bersama Negarawan anjuran PPBM di Johor Bahru pada 3 Mac tahun lepas, Mahathir ubah semua kata-kata beliau bahawa DAP parti rasis dan perkauman kepada DAP sebenarnya parti pelbagai kaum.

Mahathir hasut orang Melayu untuk undi PH, dengan mengatakan bahawa orang Melayu tidak perlu takut dengan DAP dan sokong DAP kerana parti itu berjuang untuk semua kaum di negara ini. "DAP terima ahli pelbagai kaum dalam parti itu tetapi MCA tidak begitu dan perjuangan MCA juga untuk satu kaum sahaja.

DAP berjuang untuk semua kaum di negara ini. MCA lebih bersifat rasis dan cauvinis," katanya. Mahathir cuba tipu orang ramai bahawa DAP jadi parti pelbagai kaum tapi sebenarnya DAP bersifat chauvinis pada orang Melayu. Lihat sahaja apa nasib Mansor dan Salleh Man di Pulau Pinang.

Sesudah selesai dijadikan umpan, mereka disepak terajang begitu sahaja oleh DAP. Dalam satu sidang media pada 3 April, Mahathir jadi kuda DAP untuk buat perubahan dalam manifesto PH untuk hasut pengundi.

Mahathir dalam sidang media itu, bercakap atas arahan orang tertentu mengatakan bahawa tol di dalam bandar akan dikekalkan berbanding manifesto pakatan yang mahu mansuhkan tol. Cukai GST yang mahu dimansuhkan dalam manifesto dalam masa 100 hari selepas menang PRU14 pula diubah dan dikatakan akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah tunjuk bahawa DAP lebih berkuasa daripada Perdana Menteri dalam pakatan apabila beliau secara sendiri mengumumkan akan melantik dua orang Menteri jika PH menang iaitu Nga Kor Ming dan Liew Chin Tong.

Jika Guan Eng berani bertindak sedemikian, DAP lah sebenarnya yang berkuasa membuat arahan dan keputusan dalam pakatan. Mahathir hanya jadi kuda, hamba dan tukang cakap sahaja. Orang Melayu perlu sedar kini Mahathir sedang diperalatkan habis-habisan untuk memastikan undi orang Melayu akan diberikan kepada pakatan kali ini.

DAP sudah berjaya arahkan Mahathir bersihkan dosanya dan kritikannya ke atas parti itu. Tapi DAP tidak pernah maafkan atau terima kritikan Mahathir sebelum ini, kerana Mahathir yang mesti ikut cakap DAP, bukan sebaliknya. Jangan bagi undi kepada pakatan yang bawa #HarapanPalsu #HarapanFitnah. Kena pilih #BersamaBN #HebatkanNegaraku

Beruang Biru
Jumaat
27 April 2018

Lelaki Ditahan Bersama 6,390 Rokok Seludup



Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 6,390 bungkus rokok seludup pelbagai jenama di Kampung Puyut dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) malam tadi. 

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata pasukan keselamatan ESSCom terserempak dengan sebuah van putih yang mencurigakan memasuki kampung tersebut pada jam 10.30 malam.

“Apabila diarahkan berhenti, suspek yang berusia 24 tahun enggan mematuhi arahan lalu memecut kenderaannya sehingga hampir mencederakan seorang anggota Polis Marin, namun kecekapan anggota bertugas berjaya menahan suspek berkenaan,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Hazani berkata hasil pemeriksaan ke atas van putih itu pihak berkuasa menemukan rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam plastik hitam serta wang tunai RM7,466.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis Marin kerana berjaya menyekat cubaan memasarkan rokok seludup di sini. Hazani berkata ESSCOM komited membuat kawalan sama ada di laut dan daratan terutamannya laluan penjenayah melakukan penyeludupan.

12 Murid Dipercayai Jadi Mangsa Cabul Guru Tampil



Seorang guru yang ditangkap pada Selasa lepas kerana mencabul kehormatan seorang murid perempuan dipercayai turut melakukan perbuatan terkutuk itu pada 12 murid lain di sekolah sama. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata antara jam 5.40 petang hingga 8.15 malam semalam, seramai 12 ibu bapa telah datang ke Balai Polis Niah untuk membuat laporan polis terhadap suspek yang didakwa mencabul kehormatan anak-anak mereka.

“Setakat ini 13 mangsa kanak-kanak telah tampil, mereka adalah murid Tahun Dua hingga Tahun Lima sebuah sekolah rendah di Batu Niah Miri berusia antara lapan dan 11 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika mereka berada dalam Tahun Satu dan Tahun Dua serta suspek dikatakan turut merakam gambar bahagian badan mangsa menggunakan kamera telefon bimbitnya.

“Telefon bimbit suspek telah dirampas untuk analisa forensik dan dia direman tujuh hari hingga 1 Mei ini sejak ditangkap 24 April lepas,” katanya.

Tolak Kekasih Dari Tingkat 19?



Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menolak teman wanitanya dari tingkat 19 blok kondominium di Batu 4 1/2 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Menurut sumber, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada 6 pagi daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan yang menemui mayat mangsa, 20, di kawasan tempat letak kenderaan. 

Katanya, soal siasat awal daripada saksi memaklumkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek, 30, pada 5.45 pagi sebelum wanita terbabit diarahkan keluar dari pangsapuri berkenaan yang terletak di tingkat 19 blok terbabit.

"Sebaik keluar dari rumah itu, mangsa dikatakan naik ke tembok kaki lima hadapan kediaman terbabit dan bergayut di sebelah luar tembok sebelum terjatuh dari tingkat 19 ke tempat letak kenderaan tingkat tiga blok berkenaan.

Sumber berkata, bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati terdapat kemungkinan mangsa ditolak menyebabkan dia terjatuh. "Berikutan itu, pihak polis menahan teman lelaki mangsa untuk siasatan itu. Berdasarkan maklumat diperolehi, suspek dan mangsa tinggal bersama di kediaman berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

"Menurut keterangan saksi, pasangan kekasih itu dilihat sering bergaduh, namun tidak diketahui punca pergaduhan mereka. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. "Suspek yang juga teman lelaki mangsa sudah ditahan pada hari kejadian dan kini direman sehingga 28 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Norway Cadang Haramkan Laungan Azan Di Oslo



Seorang ahli politik Norway menyatakan bahawa beliau tidak peduli tentang hak asasi manusia dan mahu laungan azam di negara itu diharamkan.

Jon Helgheim yang merupakan jurucakap imigresen untuk Parti Kemajuan, salah sebuah parti dalam kerajaan campuran Norway berkata, penduduk Norway memerlukan suasana ‘tenang dan se­nyap’. Beliau turut menolak hujah bahawa larangan laungan azan adalah bertentangan dengan Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah.

“Saya tidak peduli apa yang dikatakan dalam undang-undang hak asasi tentang ini,” katanya kepada akhbar tempatan, Vart Land baru-baru ini.

Desakan serupa sebelum ini termasuk oleh pemimpin Parti Kemajuan sendiri, Carl Hagen dihalang Kementerian Keadilan berdasarkan konvensyen hak asasi tersebut.

Dalam pada itu, cawangan parti itu di daerah Buskerud, barat Oslo akan mengundi usul larangan laungan azan dalam satu mesyuarat pada hujung minggu ini. Mesyuarat itu bermatlamat untuk memutuskan sama ada usul pengharaman tersebut akan dijadikan polisi rasmi Parti Progresif.

Wenger Kecewa Pertahanan Rapuh




PENGURUS Arsenal Arsene Wenger kecewa dengan isu kepincangan di bahagian pertahanan yang berterusan apabila pasukannya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi dengan kelebihan seorang pemain dalam tempoh 80 minit untuk seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam aksi pertama separuh akhir Liga Europa awal pagi tadi. 

Jaringan Antoine Griezmann di tempat lawan lapan minit sebelum tamat perlawanan benar-benar menghampakan Wenger yang ingin berundur dengan bergaya selepas 22 tahun di kelab itu pada 16 Mei ini, juga peluang Arsenal beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Kad merah yang dilayangkan kepada Sime Vrsaljko pada awal perlawanan wajar memberi kelebihan buat Gunners yang bagaimanapun gagal menyempurnakan peluang sebelum dan selepas tandukan Alexandre Lacazette yang meletakkan mereka di depan selepas sejam beraksi.

“Saya fikir kami mempamerkan aksi yang kami mahukan tetapi keputusannya tidak setanding dengan aksinya,” kata Wenger. “Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana 1-0 adalah keputusan yang sempurna di laman sendiri. Kami tidak sepatutnya melakukan kesilapan, ia bagaikan mengulang cerita lama.”

Jurulatih Atletico Diego Simeone turut diarah pergi ke bangku penonton tidak lama selepas Vrsaljko dibuang padang namun kelab Sepanyol itu mempamerkan aksi kental dan Simeone memuji ketabahan mereka.

“Anda tidak tahu betapa sukarnya untuk bertahan, bertahan dan terus bertahan,” kata Simeone. “Anda memerlukan keberanian luar biasa untuk bertahan lebih daripada 80 minit seperti itu. Pemain Atletico Madrid adalah wira kerana bertahan seperti itu.”

Arsenal kini perlu menjadi pasukan pelawat pertama menjaringkan gol dalam 12 perlawanan di laman Atletico Wanda Metropolitano minggu depan untuk mara ke peringkat seterusnya dan Simeone menggesa sokongan penonton untuk mencipta suasana luar biasa. “Minggu depan, stadium ini perlu meledak dengan tenaga positif,” kata pengurus Argentina itu.

'Orang Senyum Pun Lain Macam Dah'



PELAKON, Zul Ariffin, 32, mengakui insiden penyebaran gambar kemaluan dikatakan miliknya baru-baru ini, tidak mencalarkan imejnya. Namun, hal itu membuatkannya menerima pandangan berbeza daripada masyarakat. 

"Ia tak mencalarkan imej saya tapi semestinya pandangan masyarakat kepada saya lebih berbeza. Pernah satu hari saya memandu ke kaunter pandu lalu di restoran makanan segera pun, pekerja di kaunter itu memberikan senyuman yang 'lain macam' kepada saya," katanya.

Diminta mengulas mengenai gambar itu yang disimpan dan terus disebarkan di kalangan netizen, Zul tidak mampu menghalang perbuatan mereka. "Ia bukanlah gambar senonoh lebih-lebih lagi ketika ia dimuat naik dari akaun Instagram saya. Kalau ada yang nak simpan dan terus sebarkan, saya tak boleh kata apa-apa," katanya.

Bagaimanapun, Zul berkata dia tidak mahu sekiranya isu itu menjadi punca kepada perbalahan di media sosial. "Saya ada membaca komen-komen di media sosial. Ada yang sampai bergaduh sesama sendiri hanya kerana gambar itu. Itu tak bagus," katanya.

Mengulas lanjut mengenai gambar itu, Zul belum mengetahui siapa dalang di sebalik penyebaran gambar palsu itu. "Saya sendiri pun tak tahu siapa yang godam dan muat naik gambar terbabit. Jadi, tak ada tindakan boleh diambil.

"Lagi pula, bukan saya seorang saja mempunyai kata laluan untuk log masuk ke Instagram saya kerana saya juga kongsikan dengan tiga wakil kelab peminat yang saya percaya," katanya.

Katanya lagi, dia juga kini kerap menukar kata laluan sebagai langkah berjaga-jaga. "Saya harap, apa berlaku kepada saya menjadi pengajaran buat diri sendiri dan orang lain supaya lebih berhati-hati. 

"Siapa sangka, walaupun akaun Instagram saya dah diberi pengesahan oleh pihak Instagram dengan 'blue tick', ia masih lagi digodam," katanya.

Mobiliti Terhubung



Industri automotif bakal berkembang menjadi lebih canggih pada masa depan dan akan dikenali sebagai mobiliti terhubung yang dijangka berpotensi untuk mencipta lebih sejuta peluang pekerjaan baru. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, industri mobiliti terhubung akan menjadi pelengkap kepada inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Beliau berkata, industri baru itu juga akan membuka penempatan kepada 480,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan 300,000 graduan universiti awam. 

Katanya, mobiliti terhubung berupaya meneroka dan menganalisis data raya atau big data yang dapat dicapai menerusi kewujudan Internet berkelajuan tinggi dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai faktor pemboleh kepada industri ini.

“Teknologi daripada mobiliti terhubung dapat meningkatkan ciri keselamatan kenderaan generasi akan datang seperti sistem memaksa sesebuah kenderaan diperlahankan dalam jarak tertentu dengan kenderaan di hadapan yang sudah pun diguna pakai ketika ini.

“Masyarakat luar bandar juga tidak akan ketinggalan dalam memperoleh manfaat visi mobiliti terhubung termasuk menyokong aktiviti pertanian, kesihatan, perikanan, penternakan atau perladangan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jerayawara Mobiliti Terhubung dan Malaysia Autoshow 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia MAI Datuk Madani Sahari berkata, industri mobiliti terhubung adalah keadaan ketika semua jenis mod pengangkutan mempunyai akses kepada Internet dan boleh berinteraksi secara langsung, sama ada dalam keadaan statik mahupun bergerak.

Katanya, interaksi itu boleh berlaku di antara kenderaan dengan kenderaan, kenderaan dengan infrastruktur mahupun kenderaan dengan persekitaran. “Contohnya, kereta pada masa depan akan mempunyai akses kepada Internet dan mampu untuk berkomunikasi dengan kereta lain yang turut mempunyai akses Internet.

“Ia juga boleh berhubung dengan infrastruktur seperti lampu trafik, boleh tahu tahap kesesakan jalan raya, hospital, sekolah, pejabat atau apa-apa kemudahan yang mempunyai Internet,” katanya.

Gaya, Pantas, Agresif



Responsif dan agresif. Begitulah kelebihan motosikal ini yang julung kali menjengah pasaran tempatan empat tahun lalu. Yamaha MT-09 adalah jentera naked yang dijana enjin tiga silinder bagi kepuasan tunggangan dan berprestasi. 

Untuk model serba baru dilancarkan awal tahun ini, model ini dilengkapi ciri terbaru Yamaha disesuaikan dengan keperluan gaya hidup masa kini. Penulis berpeluang menunggang uji Yamaha MT-09 yang kini tampil dengan beberapa ciri diperbaharui bagi memenuhi cita rasa peminat jentera dua roda berkuasa tinggi.

Sebaik memulakan tunggangan, enjin yang masih mengekalkan tenaga 847 cc memberi pecutan lancar dan bertenaga di lebuh raya terutama padanan sistem Quick Shift menjadikan tukaran gear lebih mudah. Transmisi enam kelajuan dengan sistem bantu klac dan slipper berfungsi baik terutama ketika menyelit untuk meredah laluan sesak di bandar.

Antara ciri terbaru diperkenalkan adalah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dilaras mengikut keadaan jalan raya, menjadikan tunggangan meyakinkan dan lebih selamat.

Model diperbaharui ini juga didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai elemen keselamatan tambahan terutama ketika memberhentikan motosikal ketika berkelajuan tinggi. Menyentuh rekaan MT-09 serba baru ini, paling mendapat perhatian ialah lampu hadapan berkembar LED agresif termasuk lampu posisi yang mudah dilihat dalam sebarang keadaan.

Tangki bentuk baru menjadikan kedudukan menunggang lebih selesa terutama pada kelajuan tinggi atau melewati selekoh bagi kawalan dan kestabilan lebih jitu. Juga penutup sirip pelindung radiator menambah elemen gaya dan memberi sentuhan sporty.

Antara elemen baru lain diperkenalkan ialah lengan ayun dipasang bersama pemegang nombor pendaftaran. Lampu belakang dan isyarat daripada LED kekal pada kerangka untuk kelihatan lebih tirus dan aerodinamik, sesuai mengikut peredaran zaman. Ketika menunggang, paparan meter elektronik tiga mod tunggangan mengikut kesesuaian.

MT-09 didatangkan bersama tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan mampu bergerak sejauh lebih 250 kilometer dengan kelajuan purata sekitar 140 kilometer sejam (km/j). Secara keseluruhan, Yamaha MT-09 adalah jentera memiliki daya kilas atau ‘torky’ terbaik, menjanjikan kendalian lebih baik buat penunggang dengan curahan kuasa tanpa batasan. ENJIN tiga silinder responsif.

Teknologi ‘Crossplane Crankshaft Concept’ membolehkan jentera kekal meluncur laju walaupun pendikit diperah ketika rpm rendah. Tambahan pula topang hadapan (fork) boleh laras sepenuhnya dengan penyerap hentakan monocross boleh laras dua peringkat di belakang membolehkan penunggang mengawal jentera dalam sebarang permukaan jalan raya.

Dua warna ditawarkan iaitu Night Fluo (kelabu) dan Tech Black (hitam) dengan harga RM47,388 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama setahun atau 10,000 kilometer, yang mana lebih awal.

YAMAHA MT-09 

• ENJIN: 847 cc
• KUASA MAKSIMUM: 115 PS @ 10,000 rpm
• TORK MAKSIMUM: 87.5 Nm @ 8,500 rpm
• TRANSMISI: 6-kelajuan Constant Mesh
• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 14 liter
• CIRI KESELAMATAN: ABS dan TCS.
• HARGA: RM47,388 (tanpa insurans)

Thursday, 26 April 2018

Pendakwah Agama Dipenjara Seumur Hidup Kes Rogol



SEORANG pendakwah agama Hindu yang difahamkan memiliki berjuta pengikut, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di India, hari ini bersabit kesalahan merogol seorang remaja perempuan. 

Difahamkan, lelaki berkenaan mengambil kesempatan itu atas alasan mahu mengusir roh jahat daripada gadis berusia 16 tahun itu. Ini adalah kes penderaan seksual terbaharu ke atas individu digelar sebagai ‘lelaki warak’.

Hakim memutuskan hukuman itu di penjara di bandar Jodhpur, Rajasthan, tempat Asumal Harpalani atau Asaram Bapu ditahan sejak September 2013. Lelaki berusia 77 tahun itu yang mempunyai lebih 400 pusat pengajian di seluruh dunia pernah dinafikan ikat jamin lebih 10 kali sebelum ini.

Peguam bela, Sushma Dhara berkata beliau akan mencabar keputusan itu. “Hukuman ini menjadi satu kelegaan amat besar” kata Kiran Jha Thakur, pengasas Kalpana, sebuah badan bukan kerajaan yang membantu kes keluarga mangsa.

“Ia menunjukkan bahawa walaupun jika anda seorang ‘lelaki warak’, jika melakukan jenayah, badan kehakiman akan mendapatkan anda,” kata Thakur.

Buaya Ancam SAR Mangsa Feri Karam



KEHADIRAN buaya di Sungai Pandan, Sebauh, Bintulu menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa feri pengangkut yang terbalik dan karam pada Isnin lalu

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit berkata, pegawai dan anggotanya terpaksa mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko keselamatan sepanjang operasi dilakukan.

“Operasi SAR bertumpu kepada permukaan air, terutama berhampiran kawasan tebing sepanjang sungai berkenaan. Ia agak mencabar kerana kehadiran buaya di lokasi pencarian yang memerlukan pegawai dan anggota sentiasa mengambil langkah berwaspada bagi mengelak risiko diserang reptilia ganas itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Dzulhiqmi Delphen, 23, berasal dari Lahad Datu Sabah hilang dipercayai dihanyutkan arus deras selepas feri pengangkut barang jenis 'landing craft' terbalik lalu karam di sungai berkenaan, manakala tujuh penumpang lain berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan, ketika kejadian, feri berkenaan turut membawa empat lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit.

Sementara itu, Mohamad turut mengakui faktor aliran air sungai yang agak deras turut menyukarkan usaha pencarian. “Kita akan mendapatkan bantuan pakar penyelam khas dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka tiba di Bintulu, hari ini.

“Dengan bantuan itu, kita berharap dapat melakukan pencarian dalam badan feri yang terbalik kerana berkemungkinan mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya.

Padan Muka!



DUA penjenayah menerima padah apabila terlanggar pacuan empat roda sehingga motosikal ditunggang mereka terperosok ketika cuba melarikan diri sebaik meragut telefon bimbit wanita di Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, petang semalam. 

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai kerani cedera di jari kanan akibat terjatuh selepas ditolak suspek ketika cuba melawan. Difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar berjoging bersama bapanya dan ketika berhenti di simpang tiga di taman berkenaan untuk melintas, dia dihampiri motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Secara tiba-tiba, pembonceng meragut telefon bimbit mangsa menyebabkan wanita itu cuba melawan, namun dia terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, selepas merampas telefon bimbit mangsa, kedua-dua suspek kemudian membuat pusingan U dan terus memecut dengan melawan arus.

"Hampir 30 meter dari lokasi mangsa diragut, motosikal dua suspek terbabit terlanggar Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan. Akibat kejadian itu, motosikal ditunggang mereka terperosok di bawah Toyota Hilux, manakala kedua-dua suspek tercampak ke tepi jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu terus menahan kedua-dua suspek dan diserahkan kepada polis. "Hasil semakan, mendapati seorang daripada suspek berusia 18 dan 27 tahun terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah. Mereka kemudian ditahan di Lokap Berpusat Kepayan di sini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.