Thursday, 28 June 2018

Adakah Hasrat Mereka Mahu Menjahanamkan Terus UMNO?



Tiada angin, tiada ribut secara tiba-tiba Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah membekukan akaun UMNO dan UMNO Negeri Selangor berkuat kuasa serta merta. Dikatakan, tindakan ini dilakukan bagi membolehkan SPRM menyiasat perihal kewangan UMNO bagi melicinkan siasatan mereka. Tidak pula dinyatakan, siasatan apa yang sedang di jalankan.

Tindakan pembekuan ini dilakukan sehari selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan jumlah rampasan yang dibuat di rumah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kononnya mencecah angka RM 900 hingga RM 1.1 bilion.

Agak menghairankan, kenapa pula akaun milik UMNO dibekukan terutamanya setelh pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan menyalurkan semula peruntukan kepada semua 191 Bahagian UMNO di seluruh negara. Apakah motif pembekuan ini sedangkan umum sedia maklum, UMNO bakal mengadakan Pemilihan Agung UMNO pada 30 Jun ini?

Tambahan pula, yang hangat disiasat sekarang adalah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bekas Presiden UMNO dan langsung tidak ada kena mengena dengan UMNO sehingga memaksa SPRM membekukan akaun milik UMNO pusat dan UMNO Selangor. Adakah terdapat motif yang terselindung disebalik tindakan ini?

Menurut laporan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, notis pembekuan ini di keluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri yang kini diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. Melihat akan hal ini, ramai di kalangan ahli UMNO mula mempersoalkan, adakah ini tindakan balas dendam ataupun tindakan sengaja untuk menjahanamkan terus UMNO.

Manakan tidak, sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa kerajaan sedang menyemak semula penangguhan Pemilihan Agung UMNO yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sehingga April tahun hadapan. Namun, setelah mendapat desakan, UMNO megambil inisiatif mengawalkan pemilihan dengan mengadakan proses pemilihan di semua peringkat di seluruh negara.

Melihat akan tindakan UMNO ini, tidak ada sebab untuk Pakatan Harapan menjahanamkan UMNO menerusi undang-undang RoS. Apa yang tinggal adalah menyekat semua wang UMNO dari digunakan dan secara tidak langsung, ianya akan memberi tekanan tambahan pada UMNO untuk kembali bangkit terutamanya bagi calon Presiden pilihan ramai, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tekanan ini nampaknya mungkin bakal melemahkan terus UMNO dan seandainya sekatan ini berlangsung dalam tempoh yang lama setelah tiada sebarang tempoh akhir sekatan dinyatakan dalam kenyataan SPRM ini, apa yang dikhuatiri, UMNO akan melemah dengan sendirinya dan sukar buat UMNO untuk kembali bangkit.

Mungkin berita ini akan disambut gembira oleh para penyokong Pakatan Harapan. Namun perlu diingat, dalam amalan demokrasi, sebarang tindakan melemahkan dan menghancurkan parti lawan hanya disebabkan dendam politik merupakan satu tindakan bacul dan tidak mempunyai maruah serta keberanian untuk berhadapan dengan parti lawan.

Perlu juga ditegaskan bahawa UMNO ditubuhkan pada 1946 dan pernah berhadapan dengan pengharaman hasil daripada sentuhan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bukan satu perkara yang menghairankan apabila UMNO mampu juga keluar dari kekejaman lawannya untuk kembali bersaing dan merampas semula tampuk pemerintahan.

Ringan Sungguh Sara Hidup Rakyat Sejak 1MDB Disiasat



Sejak 10 Mei lalu, sehari selepas Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke14, antara sasaran utama Pakatan Harapan adalah membongkar habis-habisan 1MDB, SRC International dan juga isu derma RM 2.6 bilion. Langsung mereka terlupa akan 10 janji 100 hari yang terkandung di dalam manifesto mereka belum ini.

Benar, selama lebih 4 tahun Pakatan Harapan menjaja cerita kononnya 1MDB mempunyai deretan skandal yang hanya tunggu masa sahaja untuk didedahkan. Malah, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke 14, kesemua calon Pakatan Harapan menjaja cerita kononnya Pakatan Harapan sudah mempunyai cukup bukti untuk mengheret Datuk Seri Mohd Najib ke Sungai Buloh andainya berkuasa.

Hari ini, setelah 48 hari sudah berlalu, apa yang disaksikan adalah siri penggeledahan demi penggeledahan, kenyataan media dari pihak SPRM, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri itu sendiri. Langsung tiada sebarang pendakwaan di buat walaupun hasil penggeledahan, pihak JSJK mengumumkan, telah berjaya merampas barangan yang bernilai RM 900 juta hingga RM 1.1 bilion.

Paling menarik, rakyat terutama para penyokong Pakatan Harapan seolah-olah telah bebas dari sebarang bebanan tekanan hidup yang mereka hadapi sewaktu Barisan Nasional masih menjadi kerajaan hanya disebabkan siasatan berterusan keatas 1MDB. Langsung sukar untuk kita melihat sebarang komen mengeluh mengenai kenaikan harga barang, GST mahupun harga runcit semasa minyak petrol.

Walhal, sepanjang tempoh pentdbiran kerajaan baru ini, tidak ada penurunan harga minyak sebanyak RM 1.50 berlaku, GST tidak di mansuhkan, hutang PTPTN kekal berjalan seperti biasa, tol-tol masih kekal beroperasi dan paling utama, harga barangan samada barangan keperluan mentah mahupun sudah siap di bungkus,semakin hari semakin naik mendadak.

Paling mencuri tumpuan adalah, disebalik keengganan mereka memansuhkan GST, kerajaan dikatakan bakal mengenalkan semula cukai SST yang caj cukainya sebanyak 10 peratus. Namun menurut satu sumber lagi, kerajaan turut dalam pertimbangan untuk kekal melaksanakan GST pada kadar 5 peratus.

Pada masa yang sama, kerajaan juga hari ini giat melancarkan kempen berjimat cermat termasuk melancarkan tabung kutipan bagi meringankan beban kerajaan membayar hutang. Malah, semua projek mega juga di kaji dan ada diantaranya tidak diteruskan oleh kerajaan baru kerana dikatakan ianya membazir.

Menariknya, baru seminggu membentuk kerajaan, kerajaan telah menganugerahkan projek mega bernilai RM 30 bilion kepada Tan Sri Ting Pek King untuk membangunkan satu projek di Langkawi. Kemudian, kerajaan mengumumkan akan membawa siaran langsung Piala Dunia Russia 2018 melalui RTM dengan pembelian hak penyiaran dari Astro yang dianggarkan bernilai RM 30 juta.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga pada mulanya mahu membatalkan pembinaan HSR dan sanggup membayar pampasan sebanyak RM 50 juta kepada Singapura sebelum keputusan ini ditarik balik dan dalam proses kajian. Terbaru, projek ECRL yang dianggarkan menelanbelanja RM 55 bilion kini telah meningkat kepada RM 70 bilion dan diserahkan kepada kroni utama Tun Dr Mahathir, Tan Sri Vincent Tan.

Mungkin bagi kerajaan hari ini, apa yang mereka buat hari ini, adalah untuk meringankan kos sara hidup rakyat terutama melalui siasatan berterusan keatas 1MDB. Selama 48 hari mentadbir negara, hanya topik 1MDB sahaja yang dibincangkan dan ianya mungkin dianggap kerajaan mampu menurunkan harga barangan di pasaran tempatan serta mampu mengembangkan ekonomi negara.

Mungkin juga dengan penganugerahan projek mega kepada beberapa orang kroni rapat, mampu menaikkan semula indeks KLSE yang mengalami penurunan 16 hari berturut-turut. Mungkin juga, dengan kenaikan kos pembinaan ECRL mampu untuk menaikkan semula nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika.

Bak kata ramai penggiat media sosial pembangkang hari ini, kita wajar bersyukur dengan apa yang ada. Mungkin, setelah siap pendakwaan terhadap Datuk Seri Mohd Najib dan 1MDB, kerajaan boleh memberi beras secara percuma setiap bulan dengan kos kenaikan harga barang juga akandapat dikawal dan direndahkan. Siapa tahukan....

Kenapa Perlu Burukkan Pemimpin Terdahulu Hanya Mahu Kejar Kuasa?



Persaingan bagi merebut jawatan Presiden UMNO sudah semakin menuju ke kemuncaknya. Umum sedia maklum bahawa persaingan bagi merebut jawatan ini melibatkan tiga nama iaitu Tan Sri Tengku Razaliegh Hamzah, Khairy Jamaluddin dan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini adalah kali pertama sejak beberapa tahun, jawatan nombor satu parti dipertandingkan secara terbuka dan ini adalah pemilihan Presiden yang pertama dibuat selepas UMNO yang mengetuai Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Ianya disifatkan sebagai satu persaingan dan amalan demokrasi sebenar bagi parti keramat orang Melayu ini.

Namun begitu, sepanjang persaingan ini, apa yang diperhatikan dua daripada tiga calon ini menggunakan pendekatan yang dianggap ramai ahli UMNO sebagai tidak sesuai dan agak sedikit kurang ajar. Manakan tidak, kedua-dua calon ini dilihat cuba meletakkan kesalahan besar di bahu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri MohdNajib Tun Abdul Razak bagi meraih sokongan ahli.

Lihat sahaja deretan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin yang secara terang-terangan menunding jari kepada Datuk Seri Mohd Najib. Sukar untuk difahami, kenapa beliau sanggup melakukan perkara sedemikian rupa kerana selama ini, jawatan beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO disokong penuh oleh bekas Presiden UMNO ini.

Malah, semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau diamanahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib menggerakkan aspirasi beliau iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Malah, beliau juga turut di beri amanah untuk menarik seberapa ramai golongan muda dan belia untuk menyokong kerajaan, satu amanah yang beliau sendiri gagal laksanakan sehingga menjadi penyumbang utama kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada PRU ke 14 yang lalu. Adakah beliau lupa akan segala amanah dan kepercayaan yang pernah diberikan kepadanya?

Bagi Tan Sri Tengku Razaliegh pula, kemunculan semula beliau bagi merebut jawatan orang nombor satu di dalam UMNO ini telah mengalami sedikit kerosakan. Manakan tidak, sewaktu berucap dalam satu perhimpunan ahli UMNO di Pulau Pinang semalam,beliau secara terbuka meminta UMNO memohon maaf kepada rakyat atas apa yang berlaku termasuk kes-kes terbaru yang melanda bekas Presiden UMNO.

Persoalannya, adakah perlu UMNO meminta maaf setelah selama lebih 72 tahun, UMNO kekal komited mempertahankan dan memperjuangkan nasib agama Islam, orang Melayu dan tanahair tercinta ini? Apakah perlu UMNO meminta maaf setelah usaha perit jerih parti ini mempertahankan hak orang Melayu akhirnya di rosakkan sendiri oleh kaum Melayu itu sendiri?

Perlu ditekankan di sini, walau seburuk mana fitnah yang dilemparkan terhadap seorang lagi calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau tidak pernah walau sehari pun meninggalkan perjuangannya di dalam UMNO walaupun pernah ditahan di dalam Akta Dalam negeri (ISA) sekitar tahun 1990an.

Sebaliknya, Tan Sri Tengku Razaliegh pernah meninggalkan perjuangan UMNO hanya kerana tidak berpuas hati tewasnya beliau di tangan Tun Dr Mahathir sekitar tahun 1990an dan sekaligus membentuk sebuah parti, Semangat 46. Bukan satu rahsai abahawa Semangat 46 pernah menjalinkan kerjasama dengan PAS dan DAP bagi menumbangkan Barisan Nasional.

Malah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak pernah duduk semeja dengan musuh politik UMNO dan BN hanya kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara. Tidak cukup dengan itu, beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan di Utusan Malaysia yang beliau tidak akan kembali kepangkuan UMNO walaupun dipujuk oleh ahli UMNO itu sendiri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sendiri dalam kempen beliau kerap kali menyeru ahli UMNO kembali kelandasan sebenar perjuangan dan mengajak semua ahli UMNO kembali bersatu. Tidak pula terzahir sebarang kenyataan yang mana beliau mengutuk, mengeji dan memperlekehkan bekas Presiden UMNO mahupun dua lawan beliau.

Beliau lebih berminat memperkasakan semula UMNO setelah mengalami kekalahan. Paling utama,namanya langsung tidak pernah dilobi oleh mana-mana pemimpin utama Pakatan Harapan seperti mana yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir terhadap Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan yang meminta ahli UMNO menolak nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Detik 30 Jun ini semakin menghampiri. Pada detik inilah menjadi titik dan saat penentu ahli UMNO yang mempunyai kuasa memilih, memilih seorang Presiden UMNO yang diakui sebagai seorang pemimpin yang benar-benar mempunyai jiwa UMNO yang kental serta masih tau menghormatibekas Presiden UMNO sebelum ini.

Cukup Pelik Dengan Kes Najib Dengan Pencuri Dan Perompak Biasa



Sudah menjadi tular di laman sosial apabila pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh semalam berhubung barangan rampasan yag dibuat di rumah Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sekitar bulan lalu.

Sehingga kini, ianya menjadi bualan ramai kerana ramai yang berasa pelik, bagaimanakan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka. Manakan tidak, belum ada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap Datuk Seri Mohd Najib mahupun Datin Seri Rosmah namun dari kenyataan yang dikeluarkan semalam seolah-olah hukuman telah pun dijatuhkan keatas mereka.

Memang cukup pelik apabila kita mengikuti kronologi kes ini. Semuanya bermula sekitar 15 Mei yang lalu apabila sepasukan polis telah menyerbu rumah Datuk Seri Mohd Najib bagi mencari bukti sebarang salah laku berhubung1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Apa yang menghairankan, jika benar mahu menyiasat sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International, kenapa tidak di mulakan dari 1MDB itu sendiri? Sudah tentu segala bahan bukti dan pencarian tidak sukar dilakukan kerana di sana, segala bentuk penyata kewangan, kontrak mahupun minit mesyuarat tersimpan rapi.

Lebih menghairankan apabila, cara pengendalian kes ini cukup meragukan. Baiklah, mari kita lihat bagaimana kes perompak besar dikendalikan. Kebiasaannya, kita akan melihat kesemua hasil rompakan seperti wang tunai, telefon bimbit, senjata mahupun topeng muka akan dipamerkan untuk tatapan media. Malah pesalah juga, akan direman terlebih dahulu sebelum segala barangan berkenaan dipamerkan.

Dalam kes melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, mereka berdua belum lagi direman. Malah, segala hasil rampasan pula hanya dipamerkan menerusi edaran gambar sahaja. Langsung tidak ditunjukkan secara realitinya hasil rampasan berkenaan. Bukankah ianya menimbulkan begitu banyak persoalan bagi kalangan rakyat hari ini?

Sudahlah pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail sendiri tidak diserbu, tidak ada seorang pun Pengarah Eksekutif syarikat mahupun Board of Director syarikat dipanggil untuk memberi keterangan. Semua pertuduhan hanya berkisar kepada hasil rampasan yang di lakukan selama beberapa hari oleh anggota polis.

Kita tidak mempertikaikan urusan pihak PDRM dalam menyiasat kes ini. Malah, rakyat juga menyokong penuh apa jua siasatan yang dilakukan dan langsung tiada bantahan sekiranya pihak PDRM sendiri menemui bukti sahih segala rampasan berkenaan mempunyai kaitan dengan 1MDB mahupun SRC International Sdn Bhd.

Cuma, apa yang dihairankan adalah, menerusi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri dalam beberapa temubual yang dilakukan, beliau sendiri mengakui kekurangan bukti dan sedang berusaha keras untuk mengumpulkan bukti berlakunya penyelewengan melibatkan dana 1MDB.

Di sinilah wujud kebimbangan, siasatan dan serbuan berkenaan dilakukan mungkin berunsurkan politik semata-mata.Kes ini disiasat bukan melalui standard operation procedure (SOP) biasa yang dilakukan oleh pihak PDRM. Umum dahulu baru mencari bukti bukanlah satu tindakan yang wajar kerana dibimbangi, rakyat akan mula mempersoalkan tindakan ini kelak.

Remaja Mabuk Cederakan Ibu Kandung Ditahan



Seorang ibu terpaksa menanggung kesakitan selepas dibelasah anak lelaki­nya yang berang akibat ditegur ke­rana mabuk dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Lubok Tuan di sini petang Sabtu lalu. 

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 51 tahun itu mengalami lebam pada mata kanan dan luka pada dahi akibat dipukul anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd. Bukhori Saffai berkata, sebelum kejadian, mangsa menegur kelakuan anaknya yang kerap mabuk sebelum suspek naik angin lalu mengamuk dengan menendang meja makan serta merosakkan sebahagian barang dapur.

“Suspek yang semakin tidak dapat dikawal kemudian menarik rambut anak saudaranya yang berumur tiga tahun yang ketika itu bermain di dapur,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditemui Lemas Lepas Dua Hari Hilang



LELAKI warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi Sungai Kampung Kaiduan di Papar, Isnin lalu, ditemui lemas, petang semalam. 

Mayat Agustinus Tino Koten, 25, dijumpai oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk di Kampung Molonsi Kaiduan pada 4.15 petang. Mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Janil Jaya berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke tebing sungai oleh anggota penyelamat dengan bantuan penduduk kampung. "Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,'' katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu, Agustinus dikatakan berenang menyeberangi sungai ketika arus deras walaupun dinasihati oleh rakannya untuk tidak berbuat demikian. Berikutan itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum hilang.

Sebaik menerima laporan dari rakan mangsa, pihak berkuasa menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Nuar Ayam Ke Tali Gantung



Penjenayah yang paling dikehendaki di Kelantan, Nuar Ayam dihukum gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas gagal membela diri kerana melepaskan tembakan hingga membunuh seorang pemilik kedai pe­ralatan binaan tiga tahun lalu. 

Nuar Ayam menjadi penjenayah yang paling dikehendaki polis Kelantan kerana dikatakan terbabit dalam 23 kesalahan jenayah samun, pe­merasan dan rogol

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pem­belaan terhadap tertuduh, Anuar Mohamed, 40.

Dalam penghakimannya Ahmad berkata, pada prosiding yang lalu pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kes dan tertuduh telah memberi ketera­ngan secara bersumpah di dalam kandang saksi tanpa ada saksi lain untuk memberi keterangan sokongan.

Pengasas Laman Porno Terbesar Ditahan



WANITA yang juga pengasas bersama laman web pornografi terbesar Korea Selatan ditahan selepas sekian lama melarikan diri ke New Zealand. 

Soranet, dicipta pada tahun 1989 mengandungi ribuan video lucah haram termasuk kamera tersembunyi yang merakam visual wanita secara rahsia di tempat awam. Pengedaran bahan lucah menyalahi undang-undang Korea Selatan walaupun lambakan video boleh ditonton menerusi laman web berpangkalan di luar negara atau dikongsi secara sulit.

Wanita berusia 45 tahun dengan nama keluarga Song itu pulang ke Seoul minggu lalu selepas pihak berkuasa Korea Selatan membatalkan pasport antarabangsa miliknya. Beliau ditahan Isnin lalu atas tuduhan mengedar atau membantu pengedaran video seks termasuk oleh pelakon bawah umur. 

Suaminya dan satu pasangan lain, dipercayai pemilik bersama laman web itu yang memiliki kerakyatan Australia atau memegang status penduduk tetap masih berada di luar negara.

Mereka dituduh bersubahat dalam aktiviti haram ahli Soranet yang berkongsi rakaman rahsia video wanita di tandas awam, bilik darjah, bilik menukar pakaian, kereta api bawah tanah dan beberapa premis awam lain.

Sebilangan ahli juga turut didakwa melakukan rogol beramai-ramai termasuk ke atas mangsa di bawah umur dan menyebarkan rakaman video berkenaan di Internet.

Jerman Mangsa Terbaru 'Sumpahan Juara Bertahan'



Badi 'sumpahan juara bertahan' Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia berlaku lagi dan kini giliran Jerman pula menjadi mangsa apabila gagal mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas dikejutkan 0-2 oleh pasukan pengacau, Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F di Kazan Arena, Kazan, Rusia malam tadi. 

Ini kali pertama Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan dalam sejarah 19 penyertaan mereka dalam kempen Piala Dunia. Juara 2014 itu perlu mencatat kemenangan pada aksi terakhir ini sambil berharap Mexico yang mendahului kumpulan dengan enam mata menewaskan pencabar terdekat, Sweden yang turut memerlukan kemenangan.

Namun, skuad kendalian Joachim Loew itu perlu menyalahkan diri mereka sendiri apabila sekali lagi menampilkan aksi buruk dengan gagal menghadirkan walau satu jaringan, sebaliknya Korea Selatan pula menghukum mereka menerusi dua jaringan lewat Kim Young-gwon dan Son Heung-min pada minit kecederaan.

Sweden pula berjaya mengambil kesempatan ini dengan mengejutkan Mexico 3-0, sekali gus merampas slot ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan manakala Mexico di tangga kedua dengan mata yang sama.

Bagi Korea Selatan yang tewas dua perlawanan sebelum ini, kemenangan ke atas pasukan pilihan ini menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga, sekali gus memaksa Jerman pulang awal dengan menduduki tangga terakhir kumpulan selepas mencatat satu kemenangan, pencapaian terburuk mereka sejak 1938.

Skuad Die Mannschaft itu memulakan kempen di Rusia ini dengan aksi terburuk mereka selepas tumpas 0-1 kepada Mexico namun kemenangan 2-1 ke atas Sweden hasil jaringan Toni Kroos pada minit akhir perlawanan kedua mencerahkan semula peluang mereka mara ke pusingan kalah mati. 

Namun mereka sekali lagi gagal beraksi pada tahap sebenar dengan gagal menterjemahkan gol meskipun membuat beberapa percubaan berbahaya menerusi penyerang Timo Werner dan perancang Real Madrid, Kroos.

Sebaliknya Korea Selatan pula berjaya menghukum mereka dengan dua gol pada lewat babak kedua, sekali gus meranapkan impian Jerman untuk mara.

Keputusan itu menyaksikan juara dunia empat kali itu mengulangi episod yang sama berlaku ke atas bekas juara-juara bertahan sebelum ini, juara 1998 Perancis yang tersingkir pada edisi 2002, juara 2006 Itali (2010) dan juara 2010 Sepanyol (2014) selepas masing-masing pulang awal dengan gagal melepasi peringkat kumpulan.

Hanya Brazil yang menjuara edisi 2002 berjaya mengelak daripada sumpahan ini dengan melepasi peringkat kumpulan, namun gagal di suku akhir pada edisi 2006.

AC Milan Digantung Dari Liga Europa



AC Milan digantung dari Liga Europa musim depan oleh UEFA susulan siasatan terhadap kewangan kelab, kata badan bola sepak Eropah itu, hari ini. UEFA sudah meneliti kewangan Milan untuk melihat adakah mereka mematuhi peraturan Fair Play Kewangan (FFP). 

“Kelab itu dilarang menyertai kejohanan kelab UEFA yang mana kemungkinan dua musim berikutnya (iaitu satu kejohanan pada 2018/19 atau 2019/20, tertakluk kepada kelayakan),” kata UEFA.

Milan sudah mengesahkan tempat ke Liga Europa musim depan dan penggantungan itu akan menghalang mereka daripada beraksi dalam kejohanan itu. Kelab Itali itu bagaimanapun mempunyai ruang untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan di Lausanne, Switzerland.

Blok 404 Di Layar Lebar



Bagi mereka yang membesar pada awal milenium, tentunya masih ingat dengan filem Blok 404 yang pernah menjadi bualan sekitar 2001. Terbaru, filem yang asalnya dihasilkan dalam bentuk video cakera padat diangkat ke layar lebar dengan judul sama. 

Bergenre seram cemas, Blok 404 memaparkan naratif baru yang tiada kaitan dengan karya terdahulu dan menariknya menyelitkan beberapa elemen sesuai dengan peredaran zaman. Diarahkan Isma Yusoof, Blok 404 mengisahkan sekumpulan remaja yang terperangkap di resort yang terletak di tengah hutan.

Dalam pada menikmati kehidupan sebagai remaja yang terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral, mereka sebenarnya terperangkap dalam kalangan pesakit mental. Dari situ, penonton dibawa ke satu situasi yang mencemaskan apabila beberapa plot diubah dan membuatkan penonton tak mampu membuat jangkaan.

Lebih menarik, Blok 404 mengekalkan beberapa pelakon asalnya iaitu Boy Iman, Raja Azrey dan Zamarul Hisham. Selain itu, filem ini turut dijayakan Nur Risteena, Amar Asyraf, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Adrea Abdullah, Fasha Sandha, Kamal Adli, Kilafairy, Azrel Ismail, Izreen Azminda dan Taufik Hanafi.

Isma berkata, dia sudah menjangkakan beberapa babak akan dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF). “Sebagai pengarah, saya sudah jangkakan babak mana yang akan dipotong tetapi syukur jumlahnya tidaklah terlalu banyak.

“Saya dan semua kru produksi memberanikan diri melakukan sesuatu yang di luar kriteria sepatutnya. Kalau lepas, lepaslah dan jika sebaliknya, tak mengapa,” katanya.

Bagi Boy Iman yang juga penerbit filem ini, dia mengharapkan Blok 404 diterima baik penonton. “Filem ini sudah ada jenamanya tersendiri dan saya yakin ramai menantikan kehadirannya. Ia berbeza dengan filem yang pernah diterbitkan 17 tahun lalu,” katanya.

Risteena pula menganggap ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier seni. “Saya tak pernah berlakon di bawah arahan Isma dan bila dapat peluang ini, saya terus terima. “Menurut penerbit eksekutif, Kam Abd Manaf, agak sukar untuk pihaknya mencari pelakon bagi melakonkan watak Misha yang saya bawa.

“Jadi, itu buatkan saya rasa lebih teruja dan berbesar hati kerana dipilih,” katanya. Filem yang menelan kos RM800,000 ini akan menggegarkan pawagam tempatan bermula hari ini dan pasti menerima pelbagai reaksi.

Kuasa Beli Naik



Pemindahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sepatutnya positif untuk kuasa beli, kata penganalisis dari Hong Leong Investment Bank (HLIB). Bank pelaburan berkenaan menyifatkan langkah itu adalah positif bagi pengguna. 

“Malah sebelum pemansuhan GST, terdapat petunjuk yang memberangsangkan dengan pertumbuhan penggunaan swasta pulih daripada paras rendahnya yang dicatatkan sekitar 2015 hingga 2016. 

“Pertumbuhan jualan runcit juga meningkat semula ke paras pra-GST pada 2015 dan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) suku pertama 2018 sebanyak 91, paras tertinggi pasca GST,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Menurutnya, sasaran kerajaan untuk mencapai pengurangan defisit kepada 2.8 peratus tahun ini dijangka mampu dicapai meskipun kehilangan pendapatan susulan pemansuhan GST. Bagaimanapun, kemampuan kerajaan untuk terus mencapai sasaran penurunan berterusan defisit untuk tahun mendatang kekal tidak menentu.

“Kami percaya sasaran defisit bajet 2.8 peratus boleh diraih dengan pengenalan semula SST, pendapatan daripada harga minyak mentah global yang tinggi, dividen lebih baik daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pengurangan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, janji manifesto kerajaan semasa sedang dilaksanakan termasuk mengenakan GST sifar, menetapkan harga petrol dan mengkaji semula projek infrastruktur mega.

Sementara langkah berkenaan dijangka merangsang penggunaan dalam jangka sederhana, ia berkata, kerajaan dijangka berdepan kerugian pendapatan sebanyak RM21 bilion yang dijangka diimbangi dengan pengenalan semula SST (RM4 bilion), mendapat bayaran dividen tinggi daripada syarikat berkaitan kerajaan GLC (RM5 bilion), peningkatan pendapatan minyak (RM5.4 bilion) dan mengkaji semula, membatalkan dan berunding semula sekurang-kurangnya RM10 bilion projek.

Katanya, meskipun bukan mudah untuk mengenal pasti dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10 bilion dalam jangka pendek, namun HLIB lega dengan komitmen kerajaan itu.

Memantaskan Cas



Telefon pintar kini mempunyai pengecas mengupayakan cas pantas berbanding model lama yang menyokong ciri penting terbabit. Akibatnya model lama yang tidak menyokong fungsi cas pantas terpaksa berdepan tempoh berjam-jam hanya untuk mengecas sebuah telefon. Namun masih ada cara memantaskan cas meskipun model telefon anda tidak menyokong fungsi terbabit. 

1. Aktifkan mod penerbangan 

Dapat meringankan beban cas telefon pintar anda memandangkan ia menghentikan aktiviti data Internet dan aplikasi seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

2. Pastikan peranti tidak panas

Jika telefon berada dalam keadaan panas, ia akan melambatkan proses pengecasan. Oleh itu sekiranya menggunakan kasing, pastikan menanggalkannya terlebih dulu untuk menyejukkan seketika.

3. Aktifkan ‘battery saving mode’ 

Dalam mode ini, aplikasi yang tidak digunakan secara automatik akan dihenti jadi kita tidak akan menerima notifikasi daripada aplikasi sekali gus mengelakkan bebanan operasi telefon yang kerap.

Wednesday, 27 June 2018

Benarkah Ini Hasil Rampasan Dari Skandal 1MDB?



Untuk kali kedua dalam tempoh sebulan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh membentangkan laporan terkini siasatan yang dilakukan oleh pihak PDRM terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung kes penyelewengan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini, beliau berkata, pihaknya sedang mengira jumlah sebenar hasil rampasan berkenaan dan akan mengumumkannya sedikit masa lagi. Hari ini, dalam satu sidang medianya, beliau mengumukan, jumlah sebenar hasil rampasan berkenaan mencecah antara RM 900 juta sehingga RM 1.1 bilion.

Jumlah berkenaan termasuklah sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas yang ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas. Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.

Selain itu, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta dirampas. Tambah beliau lagi, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

Paling utama, sebanyak RM 116.7 juta juga turut dirampas dari kediaman Datuk Seri Mohd Najib yang mengandungi pelbagai matawang asing. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah angka RM 900 juta hingga RM 1.1 bilion.

Apa yang menariknya, ingin ditanyakan, bagaimana kesemua hasil rampasan ini boleh dikaitkan dengan 1MDB? Ini kerana, sepanjang proses siasatan berlangsung, tidak ada sebarang serbuan dilakukan oleh pihak PDRM di pejabat 1MDB sendiri di Jalan Sultan Ismail. Malah, tidak ada seorangpun Ahli Lembaga Pengarah mahupun CEO 1MDB dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebaliknya, sejak 15 Mei lalu, hanya Datuk Seri Mohd Najib seorang sahaja disiasat termasuk kediamannya diserbu sekurang-kurangnya 5 kali. Bukankah lebih mudah untuk menyiasat 1MDB melalui transaksi akaun serta butiran dokumen yang ada di dalam bangunan mahupun dibawah seliaan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu sendiri?

Andai berlaku sebarang penyelewengan termasuk memasukkan sejumlah dana yang diragui, kesemuanya dapat dikesan melalui transaksi akaun syarikat. Malah, laporan audit tahunan juga boleh dijadikan bahan bukti untuk melihat sendiri samada berlaku ataupun tidak keculasan dalam urusan syarikat berkenaan.

Jika difikir secara logik, mana mungkin jumlah RM 900 juta hingga RM 1.1 bilion dapat dilesapkan begitu sahaja dari transaksi perbankan sedangkan kita sendiri, jika memasukkansejumlah wang walaupun nilainya RM 1 sen sekalipun, laporan harian dari pihak bank pasti akan mencatatkan tarikh dan masa transaksi berkenaan berlangsung.

Lebih-lebih lagi 1MDB sebuah syarikat besar yang pernah menerima suntikan dana dari kerajaan, mana mungkin setiap satu transaksi melibatkan wang Ringgit syarikat langsung tidak di ambil peduli? Ini betul-betul meragukan dan sudah tentu, ianya menuntut satu jawapan paling jelas dari pihak yang menyiasat kes ini.

Menyentuh mengenai penemuan RM 116.7 juta yang dikatakan wang hasil daripada penyelewengan 1MDB. Perlu diingatkan bahawa dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri, wang berkenaan adalah wang UMNO yang diamanahkan kepada Presiden parti untuk memegangnya.

Ramai yang mempersoalkan kenyataan ini kerana jumlah yang disimpan adalah cukup banyak dan terdapat beberapa matawang asing di dalamnya. Baiklah, mari kita renungkan sejenak realiti seseorang calon Pilihan Raya bagi menghadapi tempoh getir berkempen.

Untuk seseorang calon, memang diberikan peruntukan khas untuknya berkempen.Wang berkenaan di berikan kepada calon dalam bentuk wang tunai. Kenapa berbentuk tunai? Ini kerana, sebagai seorang calon, pastinya ada rakyat yang akan bertemu dengan calon berkenana untuk memohon bantuan dan sebagainya. Tambahan pula sepanjang hari kempen, begitu banyak program bakal diadakan.

Melihat akan situasi ini, adakah logik seorang calon memberitahu rakyat yang memohon bantuan untuk menunggunya sebentar ke bank untuk mengeluarkan wang? Adakah logik seorang calon menyatakan, meminta pihak yang menyediakan katering, kanopi dan sebagainya, menunggunya sebentar untuk mengeluarkan wang bagi membayar segala peralatan dan makanan yang ditempah?

Sudah tentu tidak. Umum sedia maklum, mesin ATM hanya boleh mengeluarkan RM 5 ribu sehari. Andai jumlahnya mencecah angka RM 10 ribu, sudah tentu perlu ada tunai di tangan. Inilah tujuan kenapa seseorang calon itu perlu menyimpan tunai yang besar di dalam tangan mereka. Hal yang sama turut diamalkan oleh semua calon dari Pakatan Harapan kerana ini amalan biasa sejak sekian lama.

Apabila usai Pilihan Raya Umum, adalah menjadi tanggungjawab seseorang calon itu memulangkan wang kempen Pilihan Raya ini kepada Presiden parti dalam bentuk tunai. Bayangkan, UMNO bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen dan lebih 300 kerusi DUN, sudah tentu jumlah baki yang tidak digunakan juga cukup besar.

Disinlah letaknya, kenapa wang berkenaan ditemui di rumah Datuk Seri Mohd Najib dan menyokong dakwaan UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakn wang berkenaan adalah wang UMNO.

Menyentuh mengenai kenapa terdapat matawang asing ditemui bersama wang berkenaan, jawapannya cukup mudah. Ia adalah wang sumbangan dari negara asing yang menyokong usaha BN dan Datuk Seri Mohd Najib untuk berkuasa. Untuk apa menukar wang berkenaan sedangkan, sudah menjadi amalan semua parti politik di Malaysia, sekiranya wang derma berkenaan tidak digunakan, adalah molek wang berkenaan di pulangkan atas semangat muhibbah dan setiakawan.

Baiklah, mari kita lihat Standard Operations Procedure (SOP) sekiranya menyentuh tentang wang tunai yang dirampas. Menerusi beberapa semakan, sekiranya terdapat wang tunai yang dirampas dalam satu-satu sebuan, wang berkenaan perlu dikira sehelai demi sehelai di hadapan wakil SPRM, PDRM dan Peguam Negara yang mana setiap nombor siri pada wang berkenaan perlu dicatatkan dan disahkan oleh kesemua wakil berkenaan.

Ini penting supaya apabila kes ini dibawa kemahkamah, Hakim yang mengadili kes berkenaan akan bertanyakan kesahihan wang berkenaan dan pengesahan yang dibuat oleh semua agensi yang terlibat semasa mengira hasil rampasan wang berkenaan. Andai ini tidak dilakukan, mahkamah mempunyai hak untuk menolak kes pendakwaan ini kerana dianggap sebagai tidak lengkap dan tidak mempunyai asas bukti yang kukuh.

Inilah persoalannya, adakah wang berkenaan sudah siap dikira ini sudah disahkan oleh ketiga-tiga badan berkenaan? Ini bukan kes mencuri telur ayam atau mencuri susu formula di hypermarket. Ini adalah melibatkan rampasan wang tunai dan pelbagai barangan lain yang boleh dikategorikan sebagai jumlah yang cukup besar.

Hari ini, rakyat menanti dengan penuh minat, adakah Datuk Seri Mohd Najib dan isteri akan diheret ke mahkamah setelah usaha SPRM mengaitkan mereka berdua dengan skandal 1MDB dan SRC International menemui kegagalan.

Andai benar mereka berdua dijadikan suspek dan perlu dihadapkan ke mahkamah, lakukanlah demi kebenaran dan keluhuran Undang-Undang. Biar mereka menjawab segala pertuduhan berkenaan di Court of Law bukannya melalui kenyataan demi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak.

Lena Terganggu Rumah Terbakar



LELAKI berusia 50 tahun terpaksa merangkak meredah asap untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan rumah dua tingkat di Kampung Tanjung, Saratok, petang hari ini. Dalam kejadian 3.50 petang itu, mangsa dipercayai sedang tidur di tingkat dua rumah berkenaan sebelum terjaga sejurus terdengar jeritan anggota keluarganya. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat, berkata mangsa berjaya mencari jalan keluar dan tidak cedera. Beliau berkata, kebakaran memusnahkan 50 peratus rumah separuh kekal itu yang didiami 10 sekeluarga membabitkan empat dewasa dan enam kanak-kanak. 

“Kami difahamkan, ketika kebakaran beberapa penghuninya sibuk membuat persiapan untuk majlis kenduri, manakala seorang daripadanya sedang tidur di tingkat atas. Anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 3.56 petang,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati api sedang marak di tingkat atas, manakala semua penghuninya sudah keluar dari rumah itu.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan tingkat atas dan tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api merebak ke tingkat bawah serta rumah berhampiran. Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.22 petang.

Video Seks Bongkar Rahsia



PENEMUAN rakaman video seks dalam telefon bimbit milik remaja perempuan berumur 14 tahun, membongkar kes rogol terhadap gadis terbabit oleh teman lelakinya yang berusia 17 tahun. Perlakuan itu disedari bapa kepada remaja berkenaan yang memeriksa telefon bimbit anak perempuannya di rumah mereka di Papar, kira-kira 6 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Mohd Haris Ibrahim berkata, susulan penemuan rakaman video itu, lelaki itu bertanya mengenainya kepada anak perempuannya, namun mangsa mendiamkan diri.

Berikutan itu, katanya, bapa mangsa mengambil keputusan menghubungi suspek yang kemudian mengakui individu dalam video berkenaan adalah dia dan mangsa yang dirakam pada 19 Jun lalu di kawasan letak kenderaan di Taman Malakun, Penampang.

Katanya, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada 12.25 tengah malam tadi. "Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai dipercayai terbabit dalam kes berkenaan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Suami Isteri Myanmar Diberkas



Misteri pembunuhan pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang mayatnya ditemui di dalam kereta Perodua Myvi miliknya di Taman Selayang Baru, Selayang Sabtu lalu menemui petunjuk baharu selepas pasangan suami isteri muda warga Myanmar ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur pagi semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng berkata, suami isteri itu masing-masing berusia 32 dan 28 tahun ditahan kira-kira pukul 1 pagi di tempat kerja mereka di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, polis berjaya menjejaki pasangan suami isteri warga asing ber­kenaan dan seterus­nya menahan mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian pembunuhan pemandu Grab yang mayatnya ditemui dalam keadaan berte­langkup di tempat duduk belakang kereta Myvi.

“Suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Kekasih Pembunuh Dipenjara Seumur Hidup



Sepasang kekasih warga Perancis dipenjara seumur hidup kerana menyeksa pengasuh mereka sehingga mati sebelum membakar mayatnya di halaman belakang rumah mereka di London, September lalu. 

Sabrina Kouider dan teman lelakinya Ouissem Medouni membunuh Sophie Lionnet yang juga rakyat Perancis semata-mata menyangka mangsa menyalurkan maklumat mengenai mereka kepada bekas kekasih Sabrina, penyanyi Mark Walton yang pernah menganggotai kumpulan popular Boyzone. 

Kerana begitu percayakan delusinya dan taasub dengan Walton, Sabrina serta Medouni menyeksa Sophie, 21, berulang kali sedangkan mangsa tidak pernah menemui bintang pop itu. Klip video dirakam beberapa hari sebelum kematiannya dalam tab mandi ketika ‘sesi soal siasat’ pada September lalu menunjukkan Sophie lemah dan kurus kering.

Sabrina dan Medouni yang saling menuding jari bagi kematian Sophie, masing-masing dipenjara sekurang-kurangnya 30 tahun semalam selepas didapati bersalah oleh juri.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Sophie dimaki hamun dan ditampar berulang kali, selain dipukul menggunakan kabel elektrik sehingga menyebabkan rusuk dan tulang dadanya retak. Selepas kematian Sophie, pasangan itu cuba membakar mayatnya, malah membuat barbeku untuk menutup bau daging terbakar yang didakwa kambing.

Akhirnya Argentina Tahu Bagaimana Untuk Menang



Jaringan Lionel Messi pada babak pertama dan Marcus Rojo empat minit sebelum tamat permainan mengubah nasib Argentina dengan bangkit daripada prestasi hambar untuk mara ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Piala Dunia 2018 FIFA hasil kemenangan 2-1 ke atas Nigeria pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Saint Petersburg, Rusia awal pagi ini.

Kemenangan pertama ini menyaksikan Argentina merampas slot terakhir itu daripada tangan Nigeria setelah menghuni tangga kedua dengan emat mata, satu mata mengatasi pencabarnya itu yang sebelum ini mengutip tiga mata.

Ironinya, pasukan Nigeria yang membantu mengembalikan semula peluang skuad Albiceleste itu dengan kemenangan ke atas Iceland setelah mereka diambang penyingkiran dengan menghuni tangga terakhir dengan satu mata hasil satu seri dan satu kekalahan sepanjang kempen ini.

Iceland pula turut berpeluang mara sekiranya mengejutkan Croatia, namun gagal melakukannya setelah tewas 1-2 kepada juara kumpulan tersebut.

Namun, kejayaan yang paling bermakna pada aksi terakhir ini pastinya menjadi mimpi indah buat pemain Argentina terutamanya kapten mereka, Messi yang telah dikritik hebat selepas gagal beraksi pada tahap sebenar ketika srri 1-1 dengan Iceland dan tewas 0-3 kepada Croatia.

Pasukan No. 5 dunia itu bangkit dengan menunjukkan semangat juang dan kemahuan yang tinggi untuk menang, sekali gus memberi kelegaan kepada peminat mereka di seluruh dunia. Aksi terakhir Kumpulan D ini amat menarik untuk disaksikan apabila tiga pasukan, Nigeria, Argentina dan Iceland bersaing sesama sendiri bagi merebut baki satu slot yang masih terbuka.

Argentina yang memerlukan kemenangan dalam pertemuan ini, dilihat berpeluang untuk melakukannya selepas bintang Barcelona, Lionel Messi meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-14.

Situasi itu menyaksikan juara dunia dua kali tersebut merampas kedudukan Nigeria di tangga kedua dengan empat mata, mengatasi pasukan dari Afrika itu dengan satu mata.

Namun, kesilapan Javier Mascherano yang menghadiahkan penalti pada babak kedua mengubah semula keadaan apabila jaringan penyamaan yang dilakukan Victor Moses pada minit ke-51 itu meletakkan semula Argentina dalam kedudukan bahaya.

Tersentak dengan itu, skuad kendalian Jorge Sempaoli mula melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol kemenangan, namun nasib masih gagal menyebelahi mereka.

Sebaliknya Nigeria hampir dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas bola terkena tangan Rojo dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol, namun mujur pengadil enggan mengesahkannya kerana mendakwa bola tersebut dengan tidak sengaja terkena tangan pemain pertahanan Manchester United itu.

Tatkala Nigeria dilihat semakin hampir mengesahkan tempat, muncul Rojo yang merembat masuk gol dalam kotak penalti pada minit ke-86, sekali gus memastikan kemenangan berharga buat Argentina. Pada pusingan kedua nanti Argentina bakal berdepan juara Kumpulan C, Perancis manakala Croatia pula akan bertemu naib juara Kumpulan C, Denmark.

Pengulas Televisyen Maut Selepas Mesir Tewas



Seorang pengulas televisyen Mesir meninggal dunia akibat serangan jantung selepas Mesir tewas saat akhir kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Isnin lalu. 

Abdel Rahim Mohamed, pengulas disegani dan juga bekas jurulatih kelab utama negara itu ‘sungguh beremosi’ ketika perlawanan mendebarkan membabitkan Mesir dalam Kumpulan A yang berakhir dengan kemenangan Arab Saudi 2-1.

Egypt Today melaporkan Abdel Rahim begitu terkesan dengan ‘aksi buruk pasukan kebangsaan’ pada perlawanan itu. Pada akhir perlawanan, beliau sepatutnya membuat analisa perlawanan secara langsung tetapi mengalami serangan jantung dan dibawa pusat perubatan di stesen televisyen berkenaan dan tidak lama kemudian dikejarkan ke hospital.

Doktor cuba menyelamatkannya dalam tempoh lebih 30 minit sebelum beliau disahkan meninggal dunia. Sebelum kejohanan itu Mesir dikatakan mempunyai peluang cerah mara ke kalah mati, terutamanya dengan prestasi menakjubkan penyerang hebat Mohamed Salah.

Bagaimanapun keputusan Isnin lalu gagal menghadirkan sebarang mata daripada tiga perlawanan dan menduduki tangga tercorot kumpulan. Abdel Rahim yang sebelum ini mengendalikan kelab utama Mesir Zamalek, menjadi penyumbang tetap untuk Nile Sports Channel dan dilihat mempunyai pandangan berpengaruh terhadap bola sepak Mesir.

El Watan News melaporkan bahawa Ahmed Fawzi, bekas penjaga gol Mesir berada di studio berkenaan dan berkata Abdel Rahim kelihatan ‘keletihan’ dan ‘terkesan’ dengan kekalahan skuad itu.

'Saya Tak Ke Bali Bersamanya'



PENERBIT filem, Gayatri Su-Lin Pillai menepis khabar angin dirinya dikatakan bercuti bersama pelakon Zul Ariffin di Pulau Bali, Indonesia, baru-baru ini. Menurut Gayatri, 44, cerita tersebar dan heboh diperkatakan ramai itu juga tidak benar.  

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali,” katanya. Namun, kata Gayatri, hubungannya dengan pelakon filem J Revolusi itu memang rapat dan berkawan baik sampai sekarang. “Hubungan saya dan ahli keluarga Zul juga rapat terutama ibu dan kakaknya.

“Malah, saya turut berkunjung ke rumah keluarganya sempena sambutan raya baru-baru ini,” katanya. Gayatri ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah (HKL) arahan Mamat Khalid yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur, hari ini.

Diminta mengulas soal jodoh, kata penerbit filem HKL itu, dia menyerahkannya kepada Tuhan. “Orang akan terus bertanya mengenai perkara ini dan saya hanya serahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan,” katanya.

Pada masa sama, Gayatri turut menafikan Zul adalah anak emas produksinya itu. “Filem HKL adalah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold. Penampilan Zul adalah untuk menampilkan wajah baru untuk memantapkan lagi ilem itu. Walaupun watak pembantu, watak Zul sebagai bomoh tidak kurang pentingnya dalam filem HKL,” katanya.

Vincent Tan Jual Semua Kepentingan T7 Global Bhd



Tan Sri Vincent Tan memutuskan untuk menjual semua kepentingannya dalam T7 Global Bhd susulan terdapat laporan tidak tepat dalam berita dan media sosial mengenai tindakannya membeli 21 juta saham syarikat itu, baru-baru ini. 

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya itu berkata, beliau sudah pun menjual sebahagian sahamnya dalam T7 Global bermula kelmarin dan akan menjual keseluruhannya dalam tempoh selanjutnya. “Saya berharap, ini akan mengakhiri sebarang kontroversi selanjutnya mengenai isu ini,” katanya.

Mengulas lanjut Tan berkata, laporan berita terhadapnya sebelum ini disifatkan berniat buruk dan cuba mengaitkan tindakannya membeli saham T7 Global dengan keputusan kerajaan untuk tidak membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), meskipun laporan sebelum ini adalah sebaliknya.

Katanya, beliau percaya laporan berita dan komen dibuat di media sosial bertujuan untuk memalukannya dan kerajaan baru di Putrajaya.

“Justeru, saya merasakan adalah perlu untuk saya mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan menafikan segala tuduhan atau cadangan yang tidak wajar atau mengenai kronisme di pihak kerajaan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Hilang Pemandangan Membosankan



Menghias dinding rumah sebenarnya satu cara paling mudah untuk membuat kediaman tampak segar dan unik. Tidak hanya itu, kesan dinamik juga akan tercipta jika kreatif dengan beberapa hiasan lain daripada yang lain. Sayangnya, tidak semua orang mampu melakukannya kerana menghias dinding memerlukan daya kreativiti yang tinggi. 

Tanpa adanya kreativiti ini, tujuan membuat ruangan indah sebaliknya akan menampilkan dekorasi berserabut. Cat mampu menjadi cara paling mudah untuk menghias dinding. Berikan cat dengan warna berbeza pada satu sisi ruang. Warna lebih menyerlah akan menyempurnakan warna semula jadi di sisi lainnya dalam ruang yang sama.

Kebiasaannya dinding dihias dengan cat biasa tanpa sebarang motif tertentu. Menerusi sedikit kreativiti, dinding yang membosankan boleh tampak indah dan menawan pandangan. Oleh itu, anda boleh mencuba teknik cat dekoratif dalam rekaan untuk menonjolkan keindahan ruangan mengikut cita rasa.

Mengecat juga lazimnya hanya menggunakan berus bulu atau penggelek. Tetapi sebenarnya ada banyak cara yang boleh dicuba untuk kreatif kala mengecat. Tentunya sedikit kreativiti itu, hasil cat di dinding akan lebih menarik, unik dan luar biasa. Teknik mengecat bergantung kepada corak atau motif yang ingin dihasilkan.

Jika perlu, buat corak moden atau tradisional atau sekadar pola geometri pada dinding itu. Anda juga boleh menggunakan stensil atau tali pita untuk membantu kreativiti yang anda lakukan tampak lebih semula jadi. Bagi memberikan efek dekoratif pada permukaan bahan, gunakanlah jenis cat dekoratif.

Cat ini dapat memberikan efek pada permukaan sehingga tampak seperti tekstur bergelombang, kasar, berbatu-batu atau retak-retak. Baru-baru ini, Dulux menganjurkan bengkel warna mural menggunakan cat bersama media dengan kerjasama Nala Designs yang mempunyai kepakaran dalam rekaan corak yang diterjemah ke pelbagai medium.

Bengkel yang diketuai pengasas Nala Designs, Lisette Scheers, memberi peluang kepada peserta untuk melihat kehalusan penghasilan karya seni yang kaya dengan budaya.

Ia menggunakan cat itu dianjurkan bagi memaparkan sifat dinamik dan inovasi cat Dulux seperti yang ditonjolkan pada dinding dan lantai di premis itu yang bukan saja kalis kotoran, malah memudahkan pembersihan dan memastikan warna terus kekal supaya dinding kekal menyerlah.

Cat dengan kesan khas juga membolehkan corak pada dinding kelihatan unik dan istimewa mengikut cita rasa masing-masing. Kombinasi cat dengan kesan khas dan inovasi mudah dibersihkan itu sesuai dalam penghasilan corak mural unik yang mampu bertahan dengan peredaran masa.

“Warna memainkan peranan penting dalam kehidupan harian dan cara terbaik untuk menggunakan warna ialah untuk mewarna tanpa mengira latar yang digunakan. Sungguhpun demikian, mewarna semakin kurang dihargai pada hari ini kerana banyak pihak beranggapan bahawa aktiviti mengecat membazir masa dan tidak penting,” kata Lisette.

Katanya, warna mampu mengubah penampilan yang hidup pada ruang kediaman atau pejabat, khususnya apabila anda mula bermain dengan tekstur. Selain itu, warna pada dinding juga mampu memberi kesan terhadap mood.

“Bagi kami juga, warna adalah segala-galanya dan satu cara yang membezakan pihak kami dengan yang lain dalam industri kreatif. Kami bukan saja menghasilkan produk yang menampilkan rekaan yang menarik perhatian tetapi turut memaparkan kecintaan terhadap warna,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar AkzoNobel Decorative Paints Malaysia Indra Laban berkata, pihaknya percaya warna mampu mengubah keseluruhan komuniti dan mempengaruhi tanggapan terhadap dunia sekeliling.

“Usaha sama ini adalah satu jalinan yang sempurna kerana mereka amat bersemangat dalam menghasilkan karya seni berilhamkan Malaysia yang bukan saja menonjol dan menarik perhatian tapi paling penting mampu memberi inspirasi kepada individu.

Monday, 25 June 2018

Bertabahlah Untuk Penggal Ini...




Sudah memasuki 46 hari pentadbiran Pakatan Harapan di negara ini. Sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang menjadi buah mulut rakyat berlaku terutamanya membabitkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan memenuhi 10 janji 100 hari yang terkandung di dalam manifesto mereka untuk Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

Memang menjadi buah mulut rakyat apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada awalnya di turunkan kepada 0 peratus sebelum wujud cadangan untuk melaksanakan semula sistem kutipan cukai SST yang dicadangkan sebanyak 10 peratus. Beberapa hari ini, heboh pula diperkatakan akan cukai GST akan dikenakan pada kadar 5 peratus.

Impak daripada keputusan flip flop sebegini, rakyat menanggung kesannya. Manakan tidak, di pasaran hari ini, majoriti barang keperluan sudah meningkat antara 5 hingga 15 peratus tanpa ada sebarang kawalan khusus. Persoalannya, bukankah cukai GST ini dijanji akan dimansuhkan sebaik sahaja mereka merampas kuasa dari kerajaan BN? Kenapa masih wujud cukai ini setelah mereka berkuasa?

Itu baru satu bab. Sebenarnya, banyak lagi perkara yang mendatangkan kemarahan rakyat yang merasakan diri mereka seolah-olah tertipu. Lihat sahaja bagaimana pemecatan serta merta lebih 17 ribu orang penjawat awam lantikan kontrak sewaktu umat Islam sedang bersiap sedia menyambut bulan Ramadhan dan Syawal.

Tidak cukup dengan itu, elaun JKKK serta yang terbaru, elaun yang diterima oleh nelayan juga di mansuhkan atas alasan berjimat cermat. Itu belum lagi kisah bagaimana kerajaan hari ini menghentikan dan mengkaji semula pelbagai projek infra rakyat yang dirancang pembinaannya oleh kerajaan terdahulu seperti MRT3, HSR, ECRL dan sebagainya.

Apa yang mereka sibukkan adalah menyiasat 1MDB, SRC International dan derma RM 2.6 bilion sedangkan kesemua kes-kes ini langsung tidak mendatangkan faedah terus kepada rakyat. Isu seperti memansuhkan pembayaran semula PTPTN dan memansuhkan segala hutang warga Felda langsung tidak diberi perhatian sewajarnya.

Benar, semakin hari semakin jelas rungutan rakyat akan kegagalan kerajaan menunaikan janji mereka kepada rakyat seperti yang terkandung di dalam manifesto mereka. Malah, bukan satu perkara yang mengejutkan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar untuk menunaikan janji mereka kepada rakyat.

Menariknya, kegagalan ini diletakkan di bahu kerajaan terdahulu kononnya telah merosakkan ekonomi negara. Walhal, beberapa hari setelah membentuk kerajaan, orang mereka sendiri mengakui bahawa ekonomi Malaysia diuruskan dengan baik dengan aset negara juga berada pada tahap kukuh. 

Lebih hebat lagi, mereka baru sahaja mewarisi sebuah kerajaan dalam tempoh 46 hari sedangkan kerajaan terdahulu, turut mempunyai hutang yang hampir sama tetapi mampu untuk menunaikan segala janji untuk rakyat. Bagaimana kerajaan terdahulu mampu menunaikan janji untuk rakyat sedangkan kerajaan baru ini memberi alasan yang sama sekali tidak munasabah?

Apa yang boleh kita lakukan, hanyalah terus merungut dengan pelbagai tekanan yang kita hadapi hari ini. Tidak ada apa yang mampu kita lakukan dalam tempoh sepenggal ini kerana kuasa memilih telah membuat keputusan memilih sebuah kerajaan yang hanya tahu menabur janji namun amat sukar untuk mereka tepati.

Usah Reka Fitnah Kononnya Zahid Orang Suruhan Tun M



Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk Asyraf Wajdi Dasuki, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Zahida Zarik Khan yang berjaya memenangi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia untuk penggal 2018 / 2021 kelmarin.

Nyata, pemilihan ketiga-tiga calon ini merupakan satu pembaharuan yang cukup diinginkan oleh majoriti ahli UMNO yang mahu melihat parti keramat orang Melayu ini kembali kukuh walaupun tidak sehebat seperti UMNO yang dahulu. Setidak-tidaknya, ketiga-tiga mereka berani menghadapi cabaran baru untuk membina semula UMNO dari sisa-sisa kekalahan pada PRU ke 14 yang lalu.

Paling menarik untuk ditunggu adalah pada 30 Jun ini apabila kesemua ahli UMNO kembali memberikan perhatian penuh terhadap pemilihan Presiden UMNO yang baru setelah penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, meletakkan jawatan kerana memikul tanggungjawab kekalahan UMNO dan BN.

Umum sudah mengetahui bahawa tiga calon telah menawarkan diri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Tengku Razaliegh Hamzah dan Khairy Jamaluddin yang mana ketiga-tiga mereka menawarkan kebangkitan semula UMNO dengan cara yang berbeza.

Apa yang mendukacitakan adalah terdapat kempen kotor yang cuba dimainkan oleh orang-orang calon tertentu bagi merendah-rendahkan dan menjatuhkan imej pemangku Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ada tuduhan yang dilemparkan kononnya beliau adalah orang Tun Dr Mahathir yang kini menerajui Pakatan Harapan.

Memang cukup menghairankan, bagaimana tuduhan ini boleh dikeluarkan hanya dengan beberapa keping gambar sewaktu beliau bertemu dengan Tun M atas urusan politik. Bukan satu perkara yang menghairankan apabila pemimpin lawan bertemu dengan seseorang Perdana Menteri atas urusan politik.

Sebagai contoh, masih ingat bagaimana beberapa keping gambar yang tersebar luas pada tahun 2013 sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk bersama Datuk Seri Mohd Najib sambil meminum teh di Perkarangan Parlimen? Adakah pada ketika itu kita mendengar yang Datuk Seri Anwar adalah orang Datuk Seri Mohd Najib di dalam Pakatan Rakyat pada ketika itu?

Samalah dengan apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu bertemu dengan Tun M. Adakah pertemuan berkenaan boleh dianggap sebagai beliau menjadi orang suruhan Tun M di dalam UMNO? Adakah menjadi satu kesalahan besar buat seorang pemimpin UMNO bertemu dengan lawannya atas semangat muhibbah?

Perlu juga diingatkan bahawa bukan nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disebut oleh Tun M sebagai calon paling ideal untuk menerajui UMNO. Sebaliknya, nama beliau disebut sendiri oleh bekas Presiden UMNO sebagai orang yang memangku jawatan Presiden UMNO sementara UMNO kehilangan nakhoda sebelum ini.

Lihat sahaja bagaimana beliau melayani pelbagai tuduhan yang dilemparkan keatasnya. Beliau mengharungi pelbagai perih getir dan fitnah dengan cukup tenang, sama seperti rakan baiknya, Datuk Seri Mohd Najib.

Sebaliknya, lawan beliau untuk kerusi Presiden UMNO ini, begitu giat menunding jari kearah bekas Presiden UMNO kononnya segala yang berlaku di dalam UMNO ini adalah hasil daripada tangan beliau. Walhal, jika difikirkan secara logik, antara punca kekalahan UMNO adalah disebabkan penolakan pengundi muda terhadap UMNO dan BN secara amnya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melakukan sedaya yang mampu untuk memulihkan UMNO disaat ahlinya sendiri bergolak menyalahkan antara 1 sama lain. Sepatutnya, mandat Presiden diserahkan kepada seorang yang berada di saf kepimpinan tertinggi yang menjadi tulang belakang UMNO selama ini.

Benar, UMNO memerlukan satu reformasi kepimpinan secara menyeluruh. Namun, jika politik hasut menghasut dan fitnah memfitnah ini terus diamalkan, apalah bezanya antara UMNO dan Pakatan Harapan yang diketahui umum menang hasil daripada deretan fitnah yang mereka taburkan kepada rakyat untuk memburukkan kesemua pemimpin BN dahulu?

Andai mahu berpolitik, lakukan dengan penuh kematangan. Bukan melabelkan lawan dengan pelbagai tuduhan kerana cara berpolitik sedemikian dikhuatiri bakal merosakkan keharmonian UMNO yang kini di dalam proses baik pulih setelah mengalami kekalahan buat kali pertama di dalam sejarah.


Adakah Identiti KeMelayuan Bakal Lenyap?



Perlu diakui bahawa survivor kaum Melayu di negara ini memang semakin hari semakin terancam dengan pelbagai faktor. Hari ini, kita dapat melihat, sedikit demi sedikit warisan Melayu semakin dilupakan dan hanya boleh disaksikan samada di muzium, menerusi catatan sejarah mahupun filem-filem lama.

Mungkin bagi sesetengah kita, adat resam lama yang dirasakan tidak relevan, perlu ditinggalkan. Semuanya berlandaskan alasan bahawa Malaysia hari ini sudah mengorak langkah kearah sebuah negara maju dan adat resam serta keutamaan bahasa Melayu itu sendiri dilihat seperti menghalang kearah kemajuan bangsa itu sendiri.

Sebenarnya, pemikiran seumpama ini yang bakal melenyapkan bangsa yang dahulunya merupakan tuan bagi tanah Semenanjung ini. Manakan tidak, dahulu, sebelum nama Malaya dan Malaysia ini di perkenalkan, tanah ini dikenali sebagai Tanah Melayu yang mana bahasa penghantarnya adalah Bahasa Melayu dengan bertulisan Jawi dan mengamalkan adat resam Melayu yang penuh tertib.

Hari ini, sebaik sahaja berubahnya sebuah kerajaan yang memperjuangkan kedaulatan tanahair, keluhuran agama Islam dan kadudukan tinggi Bangsa Melayu sebagai tuan kepada empunya tanah ini, segala-galanya sudah mula berubah atas alasan kemajuan.

Lihat sahaja bagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh menteri yang sepatutnya mengutamakan Bahasa Melayu yang termaktub di dalamPerkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Ianya telah menjadi satu perkara yang begitu hangat diperkatakan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi medianya dalam bahasa Mandarin.

Perkara ini sebenarnya baru kali pertama berlaku dalam sejarah pentadbiran negara dan menariknya, Lim Guan Eng dalam satu temubual mempertahankan kenyataan berkenaan yang dianggapnya tidak melanggar sebarang perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ingin ditanyakan kepada semua anak Melayu yang masih menganggap diri mereka Melayu. Adakah kita mengizinkan perkara seumpama ini berlaku dihadapan kita? Jawapan yang diberikan,mungkin tidak ada salahnya kerana negara ini didiami oleh pelbagai kaum dan agama. Namun, perlu ditegaskan bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan, hak Ketuanan Melayu, bahasa dan Islam itu sendiri tidak boleh dikompromi dengan apa jua alasan.

Mari kita renungkan sejenak satu lagigaya penulisan Melayu yang sudah semakin pupus ditelan zaman. Tulisan dan membaca dalam bahasa Jawi merupakan satu bentuk penulisan dan bahan bacaan utama masyarakat Melayu satu ketika dahulu. Soalannya, berapa ramai lagi yang mampu membaca dan menulis Jawi lagi dari kalangan kaum Melayu itu sendiri?

Sehinggakan, akhbar menggunakan tulisan Jawi seperti Utusan Melayu itu sendiri terpaksa di tamatkan pengeluarannya kerana sudah tidak ada lagi kaum Melayu yang mampu membaca dengan baik tulisan Jawi. Bukankah ianya petanda bahawa survivor bangsa Melayu yang di dakwa Datuk Laksamana Hang Tuah sebagai tidak mungkin hilang, bakallenyap ditelan zaman?

Jika dahulu, kita boleh berbangga bahawa hak Ketuanan Melayu tidak ada sesiapapun boleh menggugatnya. Hari ini, hak Ketuanan Melayu kini semakin dicabar dan tidak mustahil, satu hari nanti, tiada lagi istilah hak Ketuanan Melayu mahupun hak berbahasa mahupun agama dari jati diri anak-anakMelayu itu sendiri.

Maut Dihempap Jentera Penggelek



PEKERJA ladang maut selepas jentera penggelek dipandunya terbabas dan terbalik, sebelum dihempap kenderaan berat itu di Jalan Miri-Bintulu, Miri, semalam. 

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Ahmad Jeffri, 19, yang berasal Indonesia ditemui pekerja lain. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa memandu jentera berkenaan sebelum hilang kawalan. 

Menurutnya, ia mengakibatkan jentera berkenaan terbalik di kawasan curam sebelum menghempap mangsa. "Mangsa disahkan maut serta-merta akibat parah di kepala dan badan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dikeluarkan oleh pekerja ladang lain yang kemudian menghubungi polis. "Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat," katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelancong Menari Depan Masjid



Tindakan dua wanita yang juga pelancong asing menari di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini mengundang kecaman pelbagai pihak yang menganggap perbuatan itu sebagai tidak menghormati tatasusila rakyat negeri ini. 

Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial selepas sebuah rakaman video berdurasi hampir 10 saat dimuat naik di Facebook yang memaparkan aksi dua wanita berpakaian seksi dan sedang menari di atas tembok yang berlatarbelakangkan masjid.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal Alian berkata, perbuatan pelancong asing terbabit di kawasan rumah ibadat dianggap sebagai tidak menghormati orang Islam serta layanan baik yang Sabah berikan kepada mereka.

Beliau menegaskan, Sabah adalah sebuah negeri berbilang kaum dan agama, dan menjaga keharmonian agama adalah antara perkara asas yang Sabah pertahankan. “Kementerian tidak akan memandang ringan isu ini jika kita mahu terus mengembangkan industri ini.

1MDB: Bekas Pegawai Khas Najib Direman



BEKAS pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang juga individu pertama yang direman berhubung siasatan kes itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, pada jam 9.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, lelaki itu dikatakan memegang jawatan pengarah di sebuah syarikat yang dipercayai menerima wang transaksi daripada 1MDB. Katanya, suspek juga adalah ahli lembaga pengarah kepada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun meletakkan jawatan pada 5 Jun lalu. Suspek dikatakan berkhidmat dengan Najib sejak 2009.

Padah Percaya Bomoh



Disangka disampuk hantu, seorang wanita diselar lidahnya menggunakan trisula oleh bomoh yang ‘merawatnya.’ Jatha Devi, 25, dari Pali, Rajasthan, sudah lama mengalami masalah kesihatan, namun selepas beberapa kali dibawa suaminya, Kishan Jat, untuk pemeriksaan di hospital kerajaan, masih tiada perubahan.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, Susulan itu, saudara-maranya mendakwa dia disampuk roh jahat dan mencadangkan berubat dengan bomoh. Bomoh berkenaan, Jairam Bhat, percaya menggunakan besi panas dapat mengubati penyakit tertentu selain membantu orang yang dirasuk roh jahat.

Dia menyelar bibir, lidah, dahi serta lengan mangsa selama dua hari menggunakan trisula panas. Akibatnya, keadaan Jatha semakin teruk, malah dia langsung tidak boleh bercakap, sebaliknya hanya merintih kesakitan. Keluarganya yang semakin risau, menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut dan doktor mendapati dia sebenarnya menghidap penyakit mental iaitu psikosis akut.

Pakar psikiatri Dr Daljeet Singh Ranawat berkata: “Akibat penyakit mentalnya, Jatha mengalami halusinasi, keresahan, kesukaran bercakap, selain sering keliru dan sukar tidur.

“Mujur ia boleh diubati, malah tempoh rawatannya tidak lebih enam bulan. Kecederaannya juga semakin pulih jadi buat masa ini kami memberikan masa kira-kira 15 hari untuk memastikan dia benar-benar sihat sebelum memulakan rawatan seterusnya.”

Sementara itu, pegawai polis kanan Simartha Ram berkata, suami Jatha membuat laporan polis menyebabkan Bhat ditahan untuk membantu siasatan.