Sunday, 30 September 2018

Sekeping Hati Dan Jiwa Besar Yang Tidak Bersimfoni Lagi



Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, begitu banyak cerita negatif yang menyelubungi nama Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Pelbagai fitnah menyelubungi beliau sehinggalah setelah beliau berjaya ditumbangkan, imej beliau terus diaibkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan mengheret beliau ke mahkamah atas tuduhan yang langsung tidak dapat di buktikan.

Bukan alang kepalang dugaan yang beliau terima. Bukan mudah untuk seorang manusia mengharungi dugaan sebegini. Namun beliau tetap bersabar dan masih kekal istiqomah. Beliau tidak merungut sehinggalah semalam di mana akhirnya beliau secara terbuka menyuarakan apa yang terpendam di dalam hati beliau.

Di dalam satu status yang dimuat naik semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO semalam, sewaktu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan beliau, beliau akhirnya mengeluarkan serba sedikit apa yang terpendam jauh di hati beliau.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau yang diambil dari laman sosial Facebook milik beliau.

Bismillahirrahmannirrahim…
Atas nama Allah Yang Maha Suci Lagi Maha Penyayang. Dan Dia-lah Sang Pencipta Yang Mengetahui akan gerak-geri serta rahsia setiap detik kejadian di dunia ini. Ucapan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW suri tauladan menjadi ikutan Ummah sepanjang zaman.

Sebetulnya saya berasa terpanggil untuk mencoret serba sedikit curahan hati sebagai lumrah seorang diri ini yang juga insan biasa. Sememangnya lagi, untuk menulis sebegini, berbeza dengan penulisan saya sebelum sebelum ini.

Pabila bersangkut hal perasaan hati sebagai seorang Insani dan Hamba Allah sebagai mana saudara-saudara jua, saya menjadi tidak tahu dari mana hendak memulakan coretan ini kerana apa yang saya luahkan ini datangnya dari nurani yang tidak terhijab.

Paling pentingnya, lukisan rasa hati yang saya sampaikan ini, adalah apa yang terbuku dari lelubuk jiwa dan hati yang paling dalam, kerana tempoh lima bulan yang lepas adalah satu episod yang tiada pernah terlintas difikiran dan terbayang dek mata akan terjadinya seperti ini.

Bak kata pepatah lama, seperti geroda yang datang menyerang, segalanya menjadi kucar kacir dan tidak keruan hala. Ternyata inilah dugaan Allah SWT yang paling besar diuji keatas saya dan rakan-rakan yang berjuang Bersama-sama sebelum ini.

Namun sebagai seorang Islam, saya tetap menerima semua ini sebagai takdir Allah Yang Mengatasi segala-galanya. Jelasnya setiap sesuatu itu ada dalam genggaman rahsia Tuhan yang Maha Mengetahui. Pastinya seperti dalam firman Allah SWT, setiap kesusahan itu teriring bersamanya kebaikan yang Allah SWT tetapkan.

Jika ingin diringkaskan, andai selama berbulan bulan ini saya lebih banyak menulis dan mengungkap hal-hal negara, rasa kepiluan menjelma tanpa diundang-undang apabila tibanya Perhimpunan Agung UMNO yang telah sekian lama berdarah dan bersebati dengan saya sejak awal usia 20-an pabila muka berkecimpung dalam dunia politik tanah air.

Meskipun apa yang saya coretkan ini bukan lah bersifat nostalgia atau keluh-keluhan, akan tetapi, hakikat tetap hakikat kerana apa yang saya lalui tidak mungkin dapat diselami dan difahami oleh ramai.

Merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO ke-72 yang sedang berlangsung kini, sebagai seorang bekas Pimpinan Negara dan seorang bekas Perdana Menteri serta khususnya Mantan Presiden UMNO ke-6, adalah amat berbohong jika tidak ada secalit perasaan terluka dan terguris di hati kecil ini.

Justeru, sesekali saya merenung, sepanjang lebih 4 dekad saya terlibat di dalam politik tanah air sehingga menduduki jawatan Perdana Menteri selama hampir satu dekad, juga dalam konteks PAU ini, sebagai seorang bekas Presiden UMNO. Segala perjalanan dan pengalaman lebih 40 tahun berasa seperti baru hari kelmarin.

Benarlah, seperti yang dipesan oleh Allahyarham Ayahanda saya dahulu, tiada bakti lebih mulia daripada berkhidmat kepada rakyat… dan balasan baik atas pengabdian kepada rakyat itu tidak selalunya terbalas di dunia ini. Yang penting setiapnya sudah Saya perbuat sehabes baik cumanya kini bak diterlupakan sekelip mata.

Maka kata-kata yang saya nukilkan disini bukan lah satu bentuk kekecewaan atau putus asa. Jauh sekali dari maksud itu. Namun, sebagai seorang Insani, saya tidak dapat lari dari kekangan kelemahan yang wujud di sana sini sepanjang tempoh pemerintahan saya.Pokoknya, sebagai manusia biasa itu adalah lumrah.
Saya berani bersumpah atas nama Allah Yang Maha Kaya, Maha Berkuasa bahawa, sepanjang tempoh yang dikurniakan Allah semasa berkesempatan menjadi pucuk pimpinan negara, saya bersyukur atas rahmat yang dikurniakan itu untuk mencurahkan yang terbaik kepada rakyat, ketahuilah, sejujurnya tiap satu apa yang saya usahakan siang dan malam bekerja begitu keras adalah demi kasih saya kepada rakyat dan telah saya cuba dengan terbaik…

Dan ramai pasti yang tidak dapat menafikan segala usaha yang dilakukan itu telahpun membuah dan menampakkan hasilnya bagi dinikmati dan dikecapi rakyat sekarang ini. Jelasnya, bak kata Buya Hamka Ulama Tersohor Nusantara … “Inilah dia putaran hidup, yang tidak selalunya sentiasa manis bahkan pertengahan antara pahit dan manis.’’ Alangkah benar kata-kata itu.

Maka itu, saya akur dan redha dengan ketetapan Allah SWT.

Atas falsafah hakiki kehidupan tersebut dan resmi jatuh bangun manusia… apa yang saya ingin sebutkan secara langsung dari benak sanu bari saya, perasaan manusiawi dan jiwa insani ini berasa hancur luluh bagai kaca terhempas di batu dek kerana pabila berlakunya episod malang ini.

Seolah-olah segala jasa bakti yang telah saya hulurkan selama ini demi Rakyat dan Negara tercinta bagai mudahnya terpadam dan sirna bak ombak yang melanda menghilangkan tulisan-tulisan di pasir pantai.

Atas segalanya, saya redha dan cuba terus memperkuatkan diri untuk menerima dugaan Allah SWT ini yang saya anggap paling besar pernah saya hadapi. Apapun saya yakin, Allah itu pasti menghitung setiap amal, walau sebesar zarah sekalipun. Janji Allah itu pasti.

Berbalik kepada Perhimpunan UMNO kali ini, yang dikhabarkan berselubung kesuraman serta kehadiran yang tidak seperti dulu-dulu, kemeriahan juga tidak bersenandung lagi. Barangkali inilah waktu untuk bukan sahaja diri saya akan tetapi pada semua untuk membuat satu Muhasabah dan Pengislahan tuntas di dalam usia UMNO yang memasuki Tujuh Dekad.

Dek kerana itu, saya tetap berasa bangga di dalam kekangan keadaan dan situasi semasa para perwakilan UMNO nyatanya tidak luntur semangat perjuangan… Itulah petandanya parti UMNO ini parti ber-KAROMAH bukan lah secalang-calang parti tapi ditubuhkan atas dasar yang murni dan diberkahi.

Hal mustahak ini, perlu difahami oleh semua orang UMNO. Akhir kata, saya menyeru kita jangan sesekali berputus asa terhadap parti yang berdaulat ini, parti yang telah sekian lama berjasa kepada orang Melayu dan ketertinggian Syiar Islam, serta terus memuliakan Raja-Raja Melayu, tertinta dalam dakwat emas sejarah bahawa parti inilah bukan yang lain.

Allah pasti akan terus Memberi Petunjuk dan HidayahNya terhadap semua ini. Terutamanya kepada lapisan kepimpinan muda, perjuangan menjunjung Islam dan maruah bangsa WAJIB diteruskan sehingga tetesan darah yang terakhir. Beringatlah selalu bahawa Inilah semulia-mulia jihad dalam erti kata sebenar.

Sesungguhnya, andalah semua Penyambung Lidah Umat Melayu dan Islam. …Nan Dititik Nan Dieja …Nan Ditelek Nan Ditimang …UMNO Selamanya Tetap Bersemi Dijiwa …Nan Sedikit Tidak Dilupa …Nan Sebaris Takan Hilang Kepada Allah SWT kita berserah dan kepada Nya jualah kita memohon pertolongan.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

Kepada semua Perwakilan diucap selamat bersidang.

Tulisan
Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak

#PRKP132 Port Dickson : Iklim Panas Bakal Melanda Port Dickson



Mungkin inilah yang dinamakan kemakmuran demokrasi. Ini kerana buat pertama kalinya di dalam satu-satu Pilihan Raya Kecil Parlimen, ianya akan menyaksikan 7 orang bertanding bagi merebut satu kerusi. Kerusi yang di maksudkan adalah Kerusi P132 Parlimen Port Dickson.

Mungkin pada awalnya, PKR menyangkakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mudah menawan kerusi ini sebaik sahaja penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatannya di kerusi ini. Namun, siapa sangka, beliau akan ditentang oleh 6 lagi nama yang mana tiga daripadanya sudah dikenali di dalam arus arena politik semasa.

Sudah tentunya, nama seperti Tan Sri Isa Samad yang menjadi calon bebas kali ini, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar  bakal mewakili PAS dan Saiful Bukhari Azlan, bekas setiauaha politik Datuk Seri Anwar dan menjadi punca buat beliau merengkok kedalam penjara untuk 5 tahun bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Kecil kali ini.

Tiga nama lain yang akan bertanding sebagai calon bebas untuk Pilihan Raya Kecil P132 Port Dickson adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kee Chee Yuen. Manakala seorang lagi calon bebas R Ammasi pula telah ditolak borang pencalonannya ata alasan teknikal.

Melihat akan senarai nama ini, secara amnya, kita dapat menjangkakan iklim panas berbahang bakal menyelubungi Parlimen Port Dickson. Ini kerana, pelbagai andaian dan spekulasi bakal timbul atas pertmbungan 7 pejuru ini. Tambahan pula, anak tempatan seperti Tan Sri Isa bakal menjadikan pertandingan ini jauh lebih sengit berbanding mana-mana kerusi di seluruh Malaysia.

Secara amnya, Datuk Seri Anwar selaku Presiden PKR dilihat tidak mempunyai masalah besar memenangi kerusi ini. Ini kerana PKR merupakan kerajaan hari ini dan beliau juga mempunyai kuasa penuh untuk menggerakkan jentera Pilihan Raya PKR membantunya memenangi kerusi ini.

Namun, jika diselusuri dengan lebih mendalam, peluang Datuk Seri Anwar memenangi kerusi ini sebenarnya cukup tipis. Ini kerana daripada 75,212 pengundi berdaftar untuk kerusi berkenaan, 42.35 peratus mewakili kaum Melayu, 33.81 peratus dari kaum Cina, 21.41 peratus dari kaum India dan selebihnya dari lain-lain kaum.

Melihat kepada senarai calon ini, 4 daripadanya adalah dari kaum Melayu. Ini bermakna, undi kaum Melayu terbahagi kepada 4 dan jika mungkin mandai mereka memilih calon yang mereka kehendaki, undi kaum Melayu masih tetap terbahagi kepada sekurang-kurangnya tiga.

Bagi kaum Cina dan India pula, pecahan undi kaum Cina tidak akan nampak ketara kerana mereka sudah tentu sudah memilih siapa calon yang mereka ingini.

Inilah kebimbangan paling besar buat Datuk Seri Anwar. Tambahan pula, beliau terpaksa berhadapan dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga bekas ADUN Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad. Tambahan pula, desas desus kuat bertiup kencang yang mendakwa Tan Sri Isa menerima tajaan penuh dari Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menumbangkan Anwar.

Lebih memburukkan keadaan apabila, Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden PPBM secara mengejut membubarkan PPBM Negeri Sembilan atas alasan masalah dalaman parti. Tindakan ini dilihat seolah-olah sengaja mensabotaj peluang Datuk Seri Anwar memenangi kerusi ini.

Apabila melihat kepada banyak faktor ini, sudah tentu, ianya bakal menimbulkan ketegang antara penyokong dan calon. Sudah tentu, kesemua calon ini akan cuba menjatuhkan lawan mereka antara satu sama lain. Keadaan ini akan memaksa para penyokong masing-masing menjadi agresif dan berkemungkin bakal wujud ketegangan juga agak tinggi.

Malah, ketika tinjauan rambang yang dilakukan penulis di Port Dickson semalam, ramai dikalangan pengundi berdaftar dikatakan enggan keluar mengundi pada 13 Oktober nanti. Ini bakal menyaksikan jumlah peratusan yang keluar mengundi bakal kurang seperti mana yang berlaku di Sri Setia, Balakong dan Sungai Kandis.

Apa yang pasti, baik Datuk Seri Anwar mahupun mana-mana calon termasuk Tan Sri Isa Samad amat menyedari, mereka harus melipat gandakan usaha untuk memenangi pilihan raya kecil ini. Paling nyata, Datuk Seri Awnar harus memikirkan pelbagai strategi berkesan untuk memenangi kerusi ini dan sekaligus menepati jangkaan ramai.

Awan panas akan menyelubungi Parlimen Port Dickson sehingga 13 Oktober kelak. Siapa yang mampu keluar dari bahang panas ini untuk menjadi Ahli Parlimen Port Dickson,  maka dialah pemenangnya. Tapi untuk mencapai impian ini, bukannya mudah dan begitu banyak halangan bakal dibentangkan di hadapan mereka untuk mereka tempuh.

#PAU2018 : BN Akan Dijenamakan Semula



Sejarah Barisan Nasional dalam sejarah negara cukup panjang. Malah, sejak zaman Perikatan sebelum ditukar kepada Barisan Nasional, gabungan parti ini tidak pernah walau sekalipun mengabaikan hak keperluan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dianggotai oleh 13 buah parti yang membentuk gabungan, BN mampu mengharungi dengan jayanya 13 kali Pilihan Raya Umum yang mana cubaan kali ke 14 untuk mengekalkan kuasa tampuk pemerintahan, akhinya berjaya dikuburkan oleh Pakatan Harapan, gabungan PPBM, PKR, DAP dan PAN.

Sebaik sahaja tewasnya Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, satu persatu parti yang membentuk gabungan Barisan Nasional sebelum ini, pergi meninggalkan UMNO. Hari ini, selepas 4 bulan berlalu, hanya UMNO, MCA dan MIC sahaja yang masih kekal setia dan sekaligus mengimbau semula pakatan Perikatan yang ditubuhkan semasa Pilihan Raya Umum yang pertama.

Ini sekaligus menyebabkan ramai dikalangan pemerhati berpendapat, Barisan Nasional hampir berkubur. Malah, keadaan semasa hubungan MCA, MIC dan UMNO yang kerap berselisih pendapat dalam banyak perkara seolah-olah mengesahkan andaian bahawa Barisan Nasional bakal berkubur selama-lamanya.

Disaat semua pihak mengandaikan Barisan Nasional berkubur, secara tiba-tiba semalam, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu perkara yang mengejutkan.

Dalam ucapan beliau semalam semasa Perhimpunan Agung UMNO kali ke72 semalam, beliau mengumumkan Barisan Nasional akan dijenamakan semula tidak lama lagi. Penjenamaan semula ini akan menyaksikan 5 fasa yang akan dimulakan tidak lama lagi. Lima fasa berkenaan adalah;

1. Mewujudkan parti-parti teras yang dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC, MyPPP dan PBRS
2. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan yang sama.
3. Parti politik yang mesra UMNO dan selama ini banyak membantu dan menyokong perjuangan UMNO dan BN
4. Gabungan badan-badan NGO yang selari dan memahami aspirasi perjuangan yang sama
5. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik.

Langkah ini dilihat sebagai satu pembaharuan yang dilihat perlu dalam menongkah arus semasa politik yang semakin kompleks. Bagi beliau dan UMNO, Barisan Nasional masih kekal relevan dalam perjuangan rakyat Malaysia walaupun ada yang mendakwa, Barisan Nasional sudah ketinggalan zaman.

Perlu diingatkan bahawa, Barisan Nasional adalah parti teras perjuangan buat seluruh rakyat Malaysia yang mana UMNO adalah tulang belakang bagi parti ini. Suka ataupun tidak, Barisan Nasional masih kekal relevan dan masih mampu untuk menumpahkan seluruh kekuatan bagi membina semula Malaysia yang hari ini sedang cuba dijahanamkan oleh Pakatan Harapan.

#PAU2018 : Masa Untuk UMNO Bertindak Tegas



Sejak dari awal penubuhan UMNO, inilah satu-satunya parti yang amat jarang bertindak tegas. Ianya boleh dianggap sebagai lambang kelembutan Melayu yang mana tidak pernah ada mana-mana pemimpin UMNO bertindak diluar kawalan dengan memimpin gerakan rebel yang ganas.

UMNO lebih senag mengadakan gerakan aman terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kedudukan kaum Melayu. Malah, dalam laluan menuntut kemerdekaan negara sekali pun, barisan kepimpinan UMNO pada ketika itu lebih senang mengadakan perbincangan dari menghasut orang-orang Melayu mengangkat senjata menentang penjajah British.

Namun, jangan ingat UMNO gentar dalam banyak hal. UMNO tidak perlu menunjukkan kekerasan dalam banyak perkara sehinggalah tewasnya UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

Manakan tidak, sebaik mengalami kekalahan, kesetiaan para pemimpin dan ahli UMNO diuji sepenuhnya. Jika sebelum ini, ujian hanyalah dari mata-mata fitnah lawan UMNO, hari ini UMNO sendiri berada di blok pembangkang yang mana ianya begitu asing buat UMNO sejak 61 tahun yang lalu.

Secara tiba-tiba, seorang demi seorang pemimpin UMNO meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan namun bagi ahli UMNO, kelompok ini boleh dikatakan sebagai pengkhianat yang langsung tidak mengenang budi. Selama mereka berada di dalam politik, UMNOlah yang membuka laluan untuk mereka berada di tempat mereka sekarang.

Inilah yang menyebabkan UMNO akhirnya bertindak di luar kebiasaan. Menerusi ucapan Presiden UMNO semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi mengumumkan akan mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pemimpin yang memilih keluar dari UMNO samada berdiri sebagai Ahli Parlimen atau DUN bebas mahupun menyertai Pakatan Harapan.

Tindakan saman, menuntut semula segala kos yang telah dikeluarkan bagi membolehkan mereka menjadi Ahli Parlimen mahupun ADUN dan memintan mereka yang tidak bermaruah ini mengosongkan kerusi yang mereka sandang hari ini adalah satu tindakan yang diluar kebiasaan UMNO namun perlu dilakukan bagi mengajar mereka yang mengkhianati UMNO.

Malah, para pemimpin tertinggi UMNO, Ahli Parlimen dan ADUN yang masih berada di dalam UMNO turut diminta membuat akujanji akan setia dengan UMNO tanpa mengira apa jua yang datang. Andai mereka mengkhianati akujanji berkenaan, UMNO akan mengambil tindakan yang sama seperti beberapa orang pemimpin yang mengkhianati UMNO sebelum ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menolak sebarang kemungkinan untuk membuka keahlian UMNO kepada kaum-kaum bukan bumiputera kerana ianya jelas tidak selari dengan asas penubuhan UMNO sebelum ini.

Andai dinilai dari apa yang dilakukan oleh UMNO hari ini, ianya dilihat bukanlah satu langkah yang mengejutkan. Ini kerana, hampir kesemua parti-parti yang lain turut mengamalkan tindakan yang sama. Lihat sahaja PAS yang menggunakan bai'ah, PKR dan Pakatan Harapan yang akan mengenakan denda yang cukup tinggi kepada mereka yang mengkhianati parti.

Malah, di luar negara turut melakukan perkara yang sama. Justeru, apa yang peliknya dengan tindakan UMNO hari ini? Ianya lebih kepada melindungi parti dari terus dikhianati oleh ahli sendiri. Malah, dalam keadaan UMNO hari ini, parti memerlukan ahli yang benar-benar ikhlas berjuang untuk parti dari ahli yang hanya mengejar keuntungan untuk diri sendiri.

Benar, politik ini adakalanya cukup menjengkelkan. Namun perlulah diingatkan bahawa, UMNO tidak lagi boleh menerima sebarang pengkhianatan yang merugikan parti. UMNO perlu kembali berdiri dengan gagah demi memastikan survivor bangsa Melayu dan bumiputera kekal terbela disaat ada pihak cuba menegakkan imej Malaysia Malaysian yang sama sekali melanggar nilai tradisi yang kita warisi sejak turun temurun.

#PAU2018 : Usah Menitiskan Cuka Pada Luka Yang Dalam




Pastinya, malam ini adalah malam yang palig ditunggu-tunggu oleh kira-kira 4 ribu perwakilan yang berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Manakan tidak, malam ini adalah malam di mana kesemua perwakilan yang datang dari seluruh negara mahupun kepada semua ahli-ahli UMNO dapat mendengar sendiri amanat dan hala tuju UMNO dari Presiden UMNO itu sendiri.

Benar hari ini, UMNO bukan lagi sebuah parti yang menjadi tunjang kepada parti pemerintah. UMNO hari ini sudah mula mahu disingkirkan dari peta politik negara. Namun, atas semangat dan keinginan tinggi ahli UMNO, kesemua ini mampu diredah dan mampu di harungi bersama asalkan semangat UMNO masih kekal membara di hati dan sanubari.

Membuka ucapan, beliau menzahirkan permohonan maaf untuk kesekian kalinya kepada seluh ahli UMNO dan seluruh anak bangsa Melayu kerana gagal membentuk kerajaan dan sekaligus mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti mana yang dilakukan sejak sekian lama.

Namun beliu bersyukur kerana hari ini, selepas mengalami kekecewaan yang paling teruk sepanjang penubuhan UMNO, UMNO hari diterajui oleh muka-muka baru samada dari kepimpinan parti mahupun para exco-exco ketiga-tiga sayap parti.

Ianya dilihat seprti satu hikmah besar buat UMNO apabila kebanyakan yang menawarkan diri untuk bertanding bagi setiap jawatan yang ditawarkan semasa Pemilihan Agung UMNO yang lalu, ditandingi oleh majoriti muka baru sehinggakan mencecah angka ribuan orang. Ini satu fenomena baru dalam UMNO yang tidak pernah berlaku.

Benar, beliau mengakui bahawa, sejak tertubuhnya UMNO dengan deretan Presiden parti, beliau lah satu-satunya Presiden UMNO yang menerajui UMNO selepas UMNO berada di pihak pembangkang. Namun, beliau pantas mengingatkan bahawa, UMNO tidak tewas sepenuhnya.

Ini kerana, UMNO masih mempunyai 54 kerusi Parlimen dan 150 kerusi DUN yang mana, andai dipecahkan mengikut parti yang bertanding tanpa ada sebarang gabungan, UMNOlah yang mempunyai kerusi yang terbanyak jika dibandingkan dengan PPBM, DAP, PKR, PAN, PAS dan kesemua parti yang ada di dalam Malaysia yang bertanding pada PRU14.

Perlu diingatkan bahawa sejak negara mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, UMNO tidak pernah sekalipun mengabaikan kebajikan rakyat tanpa mengira apa pun fahaman agama, politik, dan bangsa. UMNO kekal komited bagi memastikan kemajuan negara dikecapi bersama walaupun secara amnya, UMNO lebih cenderung membela nasib Melayu.

Namun begitu, memasuki era Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, UMNO mula menerima asakan dan ancaman dari pelbagai sudut dari musuh-musuh politiknya. Mereka menggunakan apa sahaja cara untuk melemahkan UMNO. Modus operandinya mudah. Menyebarkan pelbagai berita palsu dan separa benar bagi mengalihkan perhatian rakyat dan memupuk kebencian terhadap UMNO.

Gerakan teratur dan cukup tersusun inilah yang menyebabkan rakyat mula menolak UMNO dan seterusnya menyumbang kepada kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu. Malah, dari gerakan inilah mnjadikan rakyat terutamanya golongan muda melupakan jasa-jasa UMNO dan Barisan Nasional sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Apa yang menyedihkan adalah, sebaik sahaja mereka merampas tampuk pemerintahan, mereka mula mempersoalkan asal usul Melayu. Dalam hal ini, beliau selaku Presiden UMNO dengan tegas menyatakan pendirian menolak sebarang gerakan mempersoalkan asal usul kaum Melayu.

Bagi UMNO, tindakan biadab ini katanya akan turut mempersoal dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi tunggak buat UMNO sejak 1946. Malah, UMNO turut menyatakan komitmen mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan inilah janji dan komitmen berterusan UMNO dalam memertabatkan maruah kaum Melayu di tanahair sendiri.

Namun begitu, jangan tersalah anggap tentang UMNO. UMNO sejak sekian lama tidak pernah mendiskriminasikan kaum-kaum lain di negara ini. Walaupun asas penubuhan UMNO adalah untuk orang Melayu, namun apabila UMNO bersama-sama rakan parti komponen yang lain membentuk kerajaan, tidak ada satu kaum pun yang terabai di bawah UMNO dan BN.

Apa yang dinyatakan oleh Presiden UMNO ini adalah, UMNO tidak akan berkompromi dengan asas penubuhan parti namun tidak pernah bermusuhan mahupun mengamalkan rasisme terhadap kaum-kaum lain di Malaysia.

Friday, 28 September 2018

#PAU2018 : Hanya Cangkul Dan Tanah Memisahkan Kita



Malam ini boleh sifatkan sebagai malam permulaan era baru UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke 14 yang mana hari ini bermulalah Perhimpunan Agung UMNO kali ke 72 yang menyaksikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Muhammad Hssan merasmikan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Benar, dalam situasi sebegini, memang sukar untuk menafsirkan perasaan dan jiwa setiap seorang ahli UMNO yang masih meratapi tewasnya UMNO pada PRU yang ke 14 yang lalu. Inilah intipati utama ucapan beliau dalam menafsirkan keadaan semasa UMNO pasca PRU ke 14.

Dalam ucapan beliau, beliau sekali lagi bagi pihak kepimpinan tertinggi UMNO memohon maaf kerana gagal emempertahankan UMNO dalam menhgekalkan kuasa orang-orang Melayu. Pada masa yang sama, beliau juga menyeru ahli-ahli UMNO untuk menerima dengan hati terbuka tewasnya UMNO setelah 13 kali mengecapi kemenangan.

Dalam hal ini, ujar beliau, UMNO sebenarnya gagal bergerak mengikut peredaran zaman yang mana hari ini, Malaysia telah bergerak jauh kehadapan namun UMNO masih kekal ditakuk yang lama. Untuk ini, beliau telah mengenal pasti 3 faktor utama kekalahan UMNO. Ketiga-tiga faktor berkenaan adalah;

1. Kemajuan teknologi hari ini telah melahirkan 1 generasi Melayu yang lebih gemar mencari maklumat alternatif sehingga telah mencampur adukkan antara maklumat yang sahih dengan maklumat yang telah dimanipulasikan.

2. Modenisasi Malaysia sebenarnya telah menyebabkan bangsa Melayu mula hilang nilai keMelayuan dan menlahirkan generasi yang melupada menidakkan jasa-jasa UMNO sebelum ini.

3. UMNO gagal mengikut peredaran zaman sehingga menyaksikan UMNO ditolak oleh bangsa sendiri.

Disamping itu, menurut beliau lagi, bangsa Melayu mula mengalami penyusutan kuasa dan hak milik disebabkan oleh tersebarnya pengaruh wang dalam segenap aspek. Ini yang menjadikan UMNO tenggelam dalam mainan sendiri yang mana akhirnya ahli UMNO hilang nilai perjuangan sebenar parti.

Pada masa yang sama, keegoan UMNO yang sukar menerima teguran dari anak bangsa sendiri telah menyaksikan anak bangsa Melayu sendiri menolak UMNO. UMNO tidak lagi boleh terlalu sensitif, ego dan enggan menerima teguran sekiranya berhasrat ingin kembali bangkit.

UMNO perlu meyakinkan bangsa Melayu bahawa hanya UMNO sahajalah parti bangsa Melayu yang kekal komited mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Malah, setiap seorang pemimpin dan ahli UMNO perlu meninggalkan cara UMNO yang lama dan meyakinkan bangsa Melayu, hanya UMNO yang kekal komited memperjuangkan untung nasib kaum Melayu.

Pada masa yang sama, UMNO perlu melupakan sementara hasrat untuk merampas kuasa pemerintahan. Setiap seorang pemimpin dan ahli UMNO perlu fokus meperkasakan parti terlebih dahulu sebelum memikirkan hasrat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 dan membentuk kerajaan.

Apa yang perlu difikirkan adalah kemanakah hala tuju UMNO selepas ini. Justeru, beliau menggariskan kenapa UMNO perlu menempuh laluan sukar untuk kembali bangkit dan menawan semula hati bangsa Melayu. Sebab berkenaan adalah;

1.  Inilah satu-satunya parti yang cukup solid mempertahankan bangsa Melayu. Pakatan Harapan pula, bukanlah satu pakatan yang benar-benar serius mempertahankan survivor bangsa Melayu kerana mereka lebih mementingkan kuasa masing-masing dari memikirkan hal ehwal kaum Melayu itu sendri.

2. Setiap seorang pemimpin dan hali UMNO perlu mengambil tanggungjawab diatas kegagalan UMNO mengekalkan kuasa kaum Melayu diatas tanahair sendiri.

3. Tidak ada walau satu parti pun di negara ini yang cukup dominan mempertahankan kaum Melayu.

4. Tidak ada siapa dapat menafikan hakikat bahawa selama 61 tahun, UMNO telah banyak memberi manfaat, bukan sahaja untuk bangsa Melayu malah kepada semua bangsa yang ada di negara ini.

5. Paling utama, UMNO begitu menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini. Untuk itu, UMNO perlu menjadi sebuah parti yang kukuh demi memastikan amalan demokrasi di negara ini kekal utuh.

Untuk semua ini, dibahu Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNOlah terjunjungnya amanah untuk membawa kesemua ahli UMNO menempuh laluan yang sukar ini. Ketiga-tiga sayap ini perlu bekerja dan beroperasi diluar kebiasaan. Paling utama, ketiga-tiga sayap ini perlu membawa UMNO kembali kepada paksi perjuangan asal.

Untuk ini, beliau telah mengemukakan pelan jangka panjang yang diberi nama Pelan UMNO 2030. Blue print ini perlu di rangka supaya UMNO kembali kepaksi asal perjuangan tulen bangsa Melayu seperti sebelum ini. Malah, UMNO juga perlu ada strategi khusus untuk cuba memenangi Pilihan Raya Umum ke 15.

Mungkin, ada yang beranggapan, apabila UMNO tewas, maka ramailah yang akan meninggalkan perjuangan parti. Namun katanya, percayalah, hanya cangkul dan tanah sahaja yang dapat memisahkan kita. Cukup dalam maknanya.

Inilah yang perlu disematkan dihati dan sanubari setiap seorang ahli UMNO. Dalam erti kata yang lain, hanya ajal sahaja yang dapat memisahkan ahli UMNO dengan parti keramat orang Melayu ini.

Sekarang Ada Jalan Mudah Untuk Sucikan Dosa Tanpa Perlu Bertaubat!



Tidak kiralah apa jua agama anutan manusia hari ini, sekiranya melakukan sebarang kesalahan dan ingin kembali kepangkal jalan, bertaubatlah kepada tuhan. Di dalam Islam, taubat Nasuha adalah taubat yang paling tinggi marhamnya dengan sipelaku berjanji sepenuh hati untuk tidak mengulangi kesalahannya lagi.

Namun begitu, apa yang berlaku di Malaysia sejak 10 Mei yang lalu, memang cukup luar biasa. Segala-galanya cuba dipermudahkan termasuk berlaku banyak pertukaran dalam adat resam dan kehidupan seseorang manusia. Ini termasuklah cara bagi menyucikan dosa.

Caranya mudah, tinggalkan UMNO dan sertai mana-mana parti kerajaan seperti PPBM, DAP, PKR mahupun PAN. Insya Allah segala dosa atau apa jua pertuduhan melibatkan rasuah mahupun salah guna kuasa akan terhapus dengan sendirinya.

Bukan kali pertama perkara ini berlaku sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Lihat sahaja bagaimana kes melibatkan Lim Guan Eng dalam kes salah guna kuasa dalam kes pemilikan sebuah rumah banglo di jalan Pinhorn dan salah guna kuasa kes Taman Manggis.

Kesemua kes melibatkannya digugurkan serta merta tanpa ada sebarang perbicaraan. Bukankah itu jalan mudah untuk menyucikan dosa-dosa silam? Mari kita renung pula bagaimana pula kes melibatkan Felda dan calon bagi Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad.

Siapa sangka, sebulan sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan media berkata, terlalu banyak kes melibatkan Felda yang diuruskan oleh Tan Sri isa yang sedang dalam siasatan SPRM. Namun, dalam satu kenyataan semalam, Pengarah SPRM, Datuk Seri Shukri Abdul berkata, tiada sebarang kes melibatkan Tan Sri Isa yang akan didakwa.

Menariknya, jika ada mana-mana pemimpin dari parti lawan yang memilih untuk melawan, mereka akan diheret ke mahkamah tanpa mempedulikan samada kes yang dibawa itu boleh disabitkan ataupun tidak.

Lihat sahaja nasib yang menimpa Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang mana mereka memilih untuk menentang apa jua pertuduhan yang disabitkan kepada mereka. Bukankah ini salah satu bentuk jalan ringkas penyucian dosa kepada mereka-mereka yang disasarkan?

Jadi, seandainya ada mana-mana individu yang merasakan mereka berdosa dan memerlukan pengampunan di dunia dan bebas dari sebarang pertuduhan dari SPRM mahupun PDRM, mungkin Pakatan Harapan mempunyai jawapannya.

#PAU2018 : Ubati Kecederaan UMNO Terlebih Dahulu Sebelum Kembali Bertarung



Sejarah telah mencatatkan bahawa Datuk Laksamana Hang Tuah merupakan pahlawan Melayu yang amat terbilang. Persahabatannya dengan 4 orang lagi temannya telah dikhianati dengan panah-panah fitnah sehinggakan beliau sanggup menikam sahabat yang paling rapat dengannya sendiri, Datuk Laksamana Hang Jebat.

Hikayat sejarah juga mencatatkan bahawa Hang Tuah sukar untuk ditumbangkan. Malah, sukar untuk kita membaca satu pertarungan melibatkan Hang Tuah, gerombolan tenteranya mengalami kekalahan yang memeritkan. Hang Tuah hanya tewas dari segi emosi apabila terpaksa mengorbankan Hang Jebat hanya kerana titah Sultan.

Namun, adakah Hang Tuah kekal meratapi kehilangan Hang Jebat dari tangannya sendiri? Sudah tentu tidak. Dia kembali bangkit dan menjalankan tugasnya seperti biasa. Cuma, Paduka Sultan mengambil masa beberapa bulan sebelum mengarahkan Hang Tuah kembali kemedan pertempuran setelah kecederaan emosinya berjaya diubati.

Inilah yang sedang berlaku di dalam UMNO hari ini. Kesakitan dan kecederaan yang dialai oleh UMNO bukan alang kepalang sakitnya setelah tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 yag lalu. Walaupun sudah 4 bulan berlalu, namun kesakitannya sehingga kini masih terasa.

Disaat UMNO benar-benar sakit sebegini, asakan dari pihak lawannya tidak pernah berhenti. Sehinggakan, beberapa pemimpin utama UMNO bertindak meninggalkan perjuangan parti hanya kerana tidak tertahan lagi dengan asakan demi asakan yang dilakukan oleh lawannya.

Malah, tidak kurang juga, ada pihak yang cuba mengheret semula UMNO ke kancah pertempuran terutama sekali kancah Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidakkah mereka sedar bahawa UMNO hari ini berada pada kekecewaan yang amat dalam serta kecederaan yang cukup parah?

Seharusnya, dalam keadaan sebegini, UMNO perlu dirawat terlebih dahulu. UMNO perlu mencari ubat kepada kekecewaan dan kecederaan yang dialaminya. Paling utama, UMNO perlu mencari penawar kepada virus-virus dan parasit-parasit yang menyebabkan UMNO berada pada kekecewaan dan kecederaan parah sebegini.

UMNO perlu mencari mekanisma terbaik untuk kembali bangkit setelah terlantar lemah ditikam dengan pelbagai tikaman samada dari luar mahupun dalam UMNO itu sendiri.

Benar, ianya bukan mudah namun bukan mustahil untuk dilakukan. UMNO masih mempunyai ahli yang masih setia bertahan. UMNO masih mempunyai barisan kepimpinan yang masih kekal setia berkhidmat untuk parti dan rakyat. Paling utama, UMNO masih kekal relevan dihatiorang-orang Melayu.

Apa yang perlu dilakukan oleh UMNO hari ini adalah kembali kepada roh asal UMNO yang sebelum ini ramai mendakwa, UMNO sudah tersasar dari perjuangan tulen. UMNO perlu menoleh sebentar kebelakang untuk mempelajari, dimana salah dan silap parti ini sehingga UMNO menerima kecelakaan yang bukan alang kepalang sakitnya.

Percayalah, seandainya UMNO mampu mencari titik kelemahannya, kebangkitan yang diharapkan oleh ahli UMNO yang tinggal ini mampu direalisasikan. Namun, sebelum semua ini mahu dilakukan, sembuhkan dulu kedukaan dan keperitan kecederaan yang dialami terlebih dahulu.

Tidak guna bergantung harap kepada pahlawan yang luka teruk. Tidak ada faedahnya menyuruh pahlawan ini kembali kekancah pertempuran sekiranya rentak dan irama bunga-bunga pertarungannya amat sumbang. 

Kepada ahli-ahli UMNO, bantulah parti ini untuk kembali pulih. Benar, pecahnya cermin, walau digam semula ianya tidak akan sama. Namun, andai dilakukan dengan cermat, ianya masih boleh digunakan dengan baik.

#PAU2018 : UMNO Masih Mampu Bertahan



Mungkin bagi kebanyakan orang mahupun dikalangan pembenci UMNO, kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu bakal menyaksikan UMNO tenggelam sedikit demi sedikit sebelum hilang dari radar politik negara. 

Tanggapan ini berdasarkan kepada UMNO tidak pernah tewas sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946 yang mana sejak Pilihan Raya Umum yang pertama pada tahun 1955, UMNO tidak pernah gagal membentuk kerajaan bersama-sama rakan parti komponen yang lain seperti MIC dan MCA yang membentuk parti Perikatan dan Barisan Nasional.

Kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke 14 itu disifatkan sebagai kecederaan yang amat parah buat UMNO. Apa yang menyedihkan, sudahlah mengalami kecederaan yang parah, kedudukan UMNO juga hebat diasak oleh Pakatan Harapan dan juga ada diantara ahlinya sendiri memilih untuk menambah luka yang dialami oleh UMNO.

Disaat semua perkara jelas semakin tidak memihak kepada UMNO, entah dari mana, kekuatan UMNO cuba dihidupkan semula oleh Presiden UMNO hari ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berusaha mengutip sisa-sisa perjuangan yang masih berbaki dan berusaha menyatu padukan ahli UMNO dari peringkat atasan sehinggalah ke akar umbi.

Maka disinilah kekuatan itu bermula apabila bermula 28 September 2018 sehingga 30 September 2018, untuk kali ke 72, UMNO mengadakan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menghimpunkan kesemua delegasi dari 191 Bahagian UMNO di seluruh negara.

Mungkin bagi pembenci parti ini, perhimpunan ini tidak lebih dari himpunan parti yang telah berjaya ditumbangkan. Namun bagi ahli UMNO yang masih kekal setia, inilah hari raya bagi mereka. Hari ini jugalah bakal menyaksikan, roh perjuangan parti ditiupkan semula. Pada hari inilah, pesanan dari kepimpinan tertinggi disampaikan.

Pastinya, mereka bakal memenuhkan sekitar Putra World Trade Center (PWTC) yang selama ini menjadi mercu tanda kekuatan UMNO. Walaupun tidaklah semeriah seperti sebelum ini, namun himpunan kali ini bakal memberi impak dan besar maknanya kepada ahli-ahli UMNO yang kekal setia dengan parti.

Ditangan mereka inilah terletaknya amanat kesemua bekas-bekas Presiden UMNO dan ditangan-tangan inilah masa depan UMNO disandarkan. Justeru, Perhimpunan Agung UMNO kali ke72 ini wajar dijadikan pencetus semangat buat ahli UMNO untuk kembali bangkit dan terus berjuang membela nasib agama, bangsa dan tanahair.

Selamat bersidang kepada kesemua perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Thursday, 27 September 2018

Adakah Ini Isyarat PPBM Enggan Membantu Anwar Di Port Dickson?



Tiada angin, tiada ribut, secara tiba-tiba Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan diibubarkan serta merta oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Dalam sidang media beliau petang tadi, beliau memberi alasan, terdapat masalah dalaman di dalam PPBM Negeri Sembilan sehingga Pendaftar Pertubuhan (RoS). meminta beliau membubarkan PPBM negeri ini.

Ramai yang tertanya-tanya, apa yang sudah berlaku kerana PPBM Negeri Sembilan baru sahaja menerima Pengerusi Perhubungan Negeri yang baru iaitu Tan Sri Rais Yatim? Apakah benar wujud percakaran dalaman sehingga memaksa PPBM pusat membubarkan terus PPBM negeri dan melantik Jawatankuasa baru PPBM Negeri Sembilan?

Sebenarnya, dalam hal ini, terdapat beberapa keraguan yang boleh dipersoalkan. Tambahan pula, PPBM selaku salah sebuah parti komponen yang membentuk kerajaan hari ini bakal berhadapan dengan satu Pilihan Raya Kecil yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR di Parlimen Port Dickson.

Dalam hal ini, secara amnya, perseteruan antara Datuk Seri Anwar dengan Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan lagi satu rahsia. Malah, dalam beberapa aspek, terdapat beberapa gerakan yang mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal meraih kemenangan di kerusi ini.

Justeru, apabila sah Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, besar kemungkinan PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir, enggan membantu secara langsung kelancaran kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi berkenaan.

Untuk mengumumkan secara langsung, adalah tidak manis untuk dilakukan. Justeru, pembubaran PPBM dilihat sebagai satu cara halus untuk menghantar isyarat kepada Datuk Seri Anwar bahawa PPBM negeri tidak akan membantu beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil kali ini.

Bunyinya, mungkin dilihat satu tuduhan yang tidak berasas namun jika diperhatikan, untuk melantik jawatankuasa baru sesebuah parti, ianya memerlukan sekurang-kurangnya sebulan termasuklah pengesahan dari ibu pejabat sesebuah parti dan juga RoS. Dalam tempoh ini, Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson telah berlangsung tanpa penglibatan salah sebuah komponen utama Pakatan Harapan.

Sudah tentunya, Datuk Seri Anwar kehilangan satu jentera penting Pakatan Harapan untuk membolehkannya menumbangkan pencabarnya. Mungkin inilah strategi dan isyarat yang dihantar PPBM untuk menyatakan "perseteruan antara kamu (Datuk Seri Anwar) dengan ketua kami (Tun Dr Mahathir) tidak pernah tamat".

Mungkin benar PPBM Negeri Sembilan bercakaran antara satu sama lain sehingga mereka begitu bijak menyembunyikan masalah mereka dari diketahui oleh umum. Namun, langkah untuk membubarkan sebuah cawangan negeri parti, bukanlah langkah yang bijak sekiranya benar-benar berlaku pergolakan dalaman.

Mari kita mengambil contoh beberapa pergolakan dalaman cawangan parti negeri. Lihat sahaja UMNO yang berhadapan pergolakan dalaman di Kedah sewaktu penyngkiran Datuk Seri Mukhriz dari jawatannya selaku Menteri Besar Kedah. Adakah Presiden UMNO pada ketika itu mengumumkan pembubaran terus UMNO Kedah? Sudah tentu tidak.

Begitu juga pergolakan dalaman yang berlaku di Pulau Pinang sehingga menyaksikan DAP Pulau Pinang terbahagi kepada dua kem iaitu kem Lim Guan Eng dan kem Chow Kon Yeow. Adakah pada ketika itu, Lim Kit Siang selaku Penasihat Agung DAP mengumumkan pembubaran DAP Pulau Pinang?

Inilah yang menimbulkan 1001 persoalan tentang apa yang berlaku di Negeri Sembilan. Mungkin, ianya benar-benar berlaku pergolakan dalaman namun bagi pemerhati politik bebas, tindakan ini tidak lebih dari sekadar menghantar isyarat jelas bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini benar-benar keseorangan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson.

Mungkinkah Benar Wujud Ugutan Untuk Melemahkan UMNO?



Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, antara kebimbangan terbesar ahli UMNO hari ini adalah melihat trend pemimpin tertinggi parti keluar dari UMNO. Samada mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas mahupun menyertai parti kerajaan, semua ini memang menimbulkan keresahan di dalam UMNO.

Nama terakhir yang mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang yang selama ini dikenali sebagai orang kuat UMNO. Tindakan beliau ini cukup mengejutkan dan menimbulkan begitu banyak tanda tanya. Apa yang sedang berlaku di dalam UMNO hari ini.

Sebelum ini terdapat desas desus mendakwa, tindakan beberapa orang Ahli Parlimen dari UMNO keluar parti ini disebabkan tidak tahan dengan taktik ugutan yang sedang dilancarkan oleh parti pemerintah dengan menggunakan beberapa agensi seperti SPRM mahupun PDRM. Namun dakwaan ini tidak dapat di buktikan sehingga semalam.

Semalam merupakan hari hitam buat seorang Ahli Parlimen yang selama ini dikenali sebagai aktivis rakyat.  Beliau yang dimaksudkan adalah Datuk Seri Azeez Rahim, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan merupakan Ahli Parlimen Baling, Kedah.

Beliau telah ditahan oleh SPRM semasa hadir memberi keterangan terhadap beberapa tuduhan yang dikenakan keatas beliau. Malah, abangnya juga turut ditahan oleh pihak SPRM dan dikatakan bersubahat dengan beliau dalam beberapa kes rasuah dan pecah amanah.

Benar, sejak sekian lama, UMNO langsung tidak mencampuri sebarang urusan mana-mana pemimpin mahupun ahlinya yang dihadapkan ke mahkamah. Begitu juga dengan kes melibatkan Datuk Seri Azeez ini. Namun, apa yang mengejutkan, kenyataan terbuka beliau ketika mengulas penahanan beliau ini.

Dalam kenyataan berkenaan beliau berkata, "Jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju oren lokap SPRM dan bergari) hari ini." Kenyataan ini dipetik dari http://abuleman.blogspot.com/2018/09/azeez-ditahan-kerana-enggan-keluar-umno.html?m=1INILAH.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh blog berkenaan.

Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan.
Jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju oren lokap SPRM dan bergari) hari ini. 
Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini. 
Kirim salam kepada semua rakan-rakan seperjuangan. Insya-Allah saya akan terus teguh bersama UMNO. 
Azeez Rahim
Mahkamah Majistret Putrajaya
26/9/2018

Kenyataan beliau ini telah menimbulkan semula persoalan, adakah benar agensi-agensi seperti SPRM dan PDRM hari ini telah digunakan oleh kerajaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengugut mana-mana pemimpin UMNO untuk keluar dari parti dan seterusnya melemahkan UMNO dari dalam?

Benar, tidak dapat dipastikan andaian ini samada benar ataupun tidak. Namun, berdasarkan kepada ucapan yang dilakukan oleh Presiden Pemantau, Datuk Lokman Adam semalam sewaktu beliau memimpin satu himpunan aman di hadapan Pintu 3 Istana Negara semalam, ianya mungkin benar berlaku tanpa rakyat menyedarinya.

Dalam ucapan beliau semalam, beliau menegaskan, beliau sedih dengan cara Pakatan Harapan hari ini menggunakan pelbagai agensi untuk mengugut mana-mana pemimpin UMNO termasuk menyoal siasat mereka yang disasarkan untuk memastikan mereka keluar dari UMNO.

Seandainya perkara sebegini berlaku, ingin ditanyakan, di manakah keluhuran perlembagaan yang terkandung di dalam Rukun Negara yang tersemat rapi di hati dan sanubari setiap seorang rakyat Malaysia? Adakah cara politik sebegini hari ini sudah dihalalkan?

Kes ini juga turut mengimbau semula ingatan kita terhadap deretan kes yang melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri yang hari ini berhadapan dengan pelbagai tuduhan di bawah AMLA dan Akta SPRM. Sehingga hari ini, belum ada walau sehelaipun kertas pertuduhan dikemukakan walaupun kedua-dua mereka telah dua kali dihadapkan ke mahkamah.

Apa jenis undang-undang yang sedang diamalkan di negara ini sebaik tampuk pemerintahan bertukar tangan? Seperti yang ditegaskan di atas, tidak ada bukti jelas tentang kedua-dua dakwaan ini. Namun, jika bersandarkan dengan apa yang berlaku hari ini, besaar kemungkinan, kedua-dua dakwaan ini mempunyai asasnya yang tersendiri.

PRK P132 Port Dickson : Mungkinkah Port Dickson Menjadi "Kubur Politik" Buat Anwar?



Hanya tinggal kurang dari 48 jam sahaja lagi, Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson akan membuka tirai. Kerusi ini kosong setelah penyandang sebelum ini Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi ini bagi memberi laluan buat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan.

Secara amnya, dengan pengosongan kerusi ini, ianya akan memberi laluan buat beliau menyertai semula kerusi Parlimen setelah kali terakhir beliau berada di dalam Parlimen sewaktu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2013 sebelum terpaksa melepaskan kerusi berkenaan setelah disabitkan dengan kesalahan liwat yang kedua pada 2014.

Boleh dikatakan, ini adalah kali pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi yang bukan kerusi tradisi yang beliau tandingi. Buat pertama kalinya, beliau keluar dari kerusi selesanya di Permatang Pauh dan memperjudikan nasib dan masa depan politiknya di kerusi yang belum pernah beliau tandingi.

Mungkin, bagi para penyokongnya, mereka optimis bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memenangi kerusi ini dengan mudah. Namun hakikatnya, perkembangan semasa kira-kira 48 jam sebelum hari penamaan calon telah menyaksikan masa depan beliau kini dilihat cukup samar dan berada dalam kedudukan yang cukup genting.

Manakan tidak, sehingga hari ini, PAS telah sah bakal meletakkan calon mereka di kerusi ini. Manakala sehingga kini, bekas ADUN Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad juga telah mengesahkan diri bakal bertanding dengan menggunakan tiket bebas. Itu belum lagi mengambil kira Parti Sosialis Malaysia yang juga diwar-warkan bakal meletakkan calon mereka.

Apa yang amat dibimbangi oleh kem beliau kini adalah, sejauh mana peranan yang dimainkan oleh bekas musuh politiknya terutama sekali Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara umumnya memang mempunyai masalah dengan beliau.

Kebimbangan ini memang mempunyai asasnya. Sebaik sahaja beliau mengesahkan untuk bertanding di kerusi ini, secara tiba-tiba, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertukar. Itu belum lagi mengambil kira bantahan dalaman PKR yang diketuai oleh Zuraida Kamaruddin yang diketahui berada di dalam kem Datuk Seri Azmin Ali.

Malah, kem Reformis yang diketuai beliau juga hari ini berhadapan dengan kem "kartel" yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali yang diketahui mendapat sokongan penuh dari Tun Dr Mahathir dan PPBM itu sendiri.

Inilah kebiimbangan paling besar. Apakah perancangan yang mungkin dilakukan oleh musuh dalaman beliau bakal menyaksikan beliau akan terperangkap dalam mainan kotor rakan sesama Pakatan Harapan itu sendiri. Paling utama, adakah beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk mungkin berhadapan dengan kerenah birokrasi SPR pada hari penamaan calon kelak?

Menyentuh mengenai lawan-lawannya, selama bertahun-tahun, beliau tidak pernah ditentang oleh nama-nama besar di Permatang Pauh. Namun hari ini, beliau terpaksa berhadapan dengan Tan Sri Isa Samad yang amat dikenali rapat oleh warga Teluk Kemang dan seluruh Negeri Sembilan secara amnya.

Beliau bukan asing dalam dunia politik hari ini. Memang, secara amya, imej beliau banyak tercalar dengan deretan skandal melibatkan kewangan. Namun, andai ditanya kepada warga Teluk Kemang mahupun warga Negeri Sembilan secara amnya, sepanjang beliau menjadi Menteri Besar dan ADUN, beliau tidak pernah tidak membantu rakyat dan berkhidmat secara terus dengan rakyat tanpa banyak kerenah birokrasi.

Beliau mudah didekati dan beliau cukup pemurah membantu rakyat. Tambahan pula, Negeri Sembilan amat kuat berpegang dengan adat Pepatih yang mana Tan Sri Isa merupakan anak dari suku kaum Pepatih. Bagi Datuk Seri Anwar pula, beliau bukan anak suku Pepatih dan tidak terikat dengan adat resam suku Pepatih. Mungkinkah beliau mampu memecahkan tradisi ini?

PAS pula, walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu menampakkan sokongan terhadap mereka semakin menurun, namun kita tidak dapat menolak ketaksuban ahli mereka terhadap parti. Siapa sahaja yang bertanding menentang calon mereka, seluruh jentera PAS tanpa perlu disuruh akan melakukan kerja mereka sebaik mungkin atas nama Fisabillillah.

Inilah yang risiko yang terpaksa ditempuh Datuk Seri Anwar dalam laluannya untuk menjadi Ahli Parlimen semula dan sekaligus membuka laluannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 8.

Laluannya cukup berliku dan bukan satu perkara yang mengejutkan andai pada hari pengundian kelak, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa P132 Parlimen Port Dickson merupakan "kubur politik" untuknya.

Beliau sepatutnya kembali semula ke Permatang Pauh dengan meminta anaknya, Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepadanya. Itu adalah kerusi paling selamat untuknya. Tambahan pula, Nurul Izzah bukanlah Menteri Kabinet untuk mana-mana portfolio.

Selepas berjaya memastikan kerusi Parlimen menjadi miliknya, mungkin ada dikalangan Ahli Parlimen PKR bersedia melepaskan jawatan untuk membolehkan Nurul Izzah kembali bertanding dan menjadi Ahli Parlimen semula.

Namun semuanya sudah disuratkan dan hari ini, apa yang boleh dilakukan adalah, memerhati dengan penuh minat pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Team Kartel, Tun Dr Mahathir Mohamad, SPR, DAP, Tan Sri Isa Samad dan PAS. Mampukah beliau menumbangkan semua musuh politiknya ini? Hanya kebijaksanaan beliau sahajalah yang mampu memberi jawapan kepada persoalan ini.

Wednesday, 26 September 2018

Jangan Cabar Kedaulatan Raja-Raja Melayu



Bertempat di Pintu 3 Istana Negara, beberapa kumpulan NGO hari ini telah mengadakan himpunan aman bagi menyatakan sokongan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia bagi mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dari terus dicabuli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Himpunan yang disertai oleh kira-kira 350 orang ini secara jelas membantah sebarang pencabulan yang dilakukan oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan termasuklah mereka-mereka yang secar jelas mahu menjadikan negara ini bertukar kepada sebuah negara Republik.


Apa yang menariknya, himpunan yang disertai oleh beberapa NGO ini telah menzahirkan rasa kasih dan menjunjung tinggi kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Malah dalam ucapan Presiden PEMANTAU, Datuk Lokman Adam sebentar tadi, beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya kembali berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara yang turut meletakkan "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara" sebagai tunggak utama dalam jati diri setiap seorang rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa, Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) yang hari ini dijadikan modal buat kerajaan hari ini melemahkan musuh politik mereka dari terus disalah guna.

Beliau berkata, beberapa pemimpin tertinggi UMNO hari ini begitu hebat ditekan oleh beberapa agensi kerajaan dengan menggunakan akta ini. Ada diantara pemimpin ini telah disoal siasat selama beberapa hari yang mana menurut beliau, pada akhirnya, mereka diberi pilihan samada meninggalkan UMNO ataupun bersedia menghadapi pertuduhan dibawah AMLA.

Inilah yang berlaku terhadap beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Abdul Azeez dan paling utama, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri.

Umum sedia maklum bahawa sekarang ini, sebaik Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya setelah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14, Mei lalu, begitu banyak pencabulan terhadap undang-undang negara termasuk cubaan melemahkan kuasa Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang Di Pertuan Agong dan kesemua Raja-Raja Melayu.

Antaranya adalah dengan melantik Peguam Negara yang langsung tidak dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong pada mulanya. Namun dalam hal ini, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang sepatutnya menasihati Kebawah Duli Tuanku, nyata tidak memberi pilihan buat Kebawah Duli Tuanku dalam hal ini.

Menurut laporan media, beliau dikatakan tidak menamakan orang lain selain dari Tommy Thomas untuk diangkat sebagai Peguam Negara yang baru bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali yang dilihat seperti dipaksa untuk meletakkan jawatan.

Malah, dalam beberapa aspek dan keputusan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini telah menimbulkan begitu banyak keresahan di kalangan orang-orang Melayu yang masih tebal menjunjung tinggi institusi istana di negara ini.

Menyedari akan ancaman yang semakin hari semakin melampau inilah yang menyaksikan hari ini, beberapa NGO berhimpun bagi menyerahkan memorandum bagi menyatakan sokongan kepada Yang Di Pertuan Agong.

Mungkin hari ini adalah langkah permulaan bagi menunjukkan kepada kesemua institusi Beraja negara bahawa masih ada orang Melayu yang berani mempertahankan institusi Beraja negara dari terus dicabuli.

Paling utama, ia juga dilihat sebagai isyarat jelas buat kerajaan Pakatan Harapan mahupun mana-mana pihak yang cuba mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu supaya tidak berterusan mencabar dan memperlekehkan hak-hak kuasa Raja-Raja Melayu.

Kesemua pihak ini perlu sedar bahawa tidak semua orang bersependapat dengan mereka dan bersetuju untuk menukar negara ini menjadi negara Republik. Hari ini adalah hari permulaan dan tidak mustahil, akan ada lagi himpunan seumpama ini sekiranya institusi istana terus diganggu, diperlekeh dan dicabuli.

Friday, 21 September 2018

Mainan Menarik Angka RM 3.5 Juta Dan RM 3.6 Juta



Umum sedia maklum bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam telah di heret sekali lagi ke mahkamah yang mana beliau terpaksa membayar wang ikat jamin sebanyak RM 3.5 juta yang perlu dilunaskan sebelum 28 September ini. Hari ini beliau telah membayar RM 1 juta yang mana bakinya kan beliau lunaskan mengikut keputusan mahkamah semalam.

Pada hari yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 29 September ini adalah hari penamaan calon manakala hari mengundi pula jatuh pada 13 Oktober 2018. Dalam pengumuman berkenaan, SPR turut mengumumkan sejumlah RM 3.6 juta diperlukan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil ini.

Samada kebetulan atau tidak, tarikh dan jumlah yang diperlukan dilihat saling berkait antara satu sama lain. Manakan tidak, jumlah RM 3.6 juta berkenaan diumumkan hanya beberapa jam sebelum mahkamah menetapkan jumlah wang jaminan yang perlu dibayar oleh Datuk Seri Mohd Najib sebanyak RM 3.5 juta.

Lebih melucukan, tarikh akhir Datuk Seri Mohd Najib perlu menjelaskan wang jaminan berkenaan adalah pada 28 September yang mana keesokan harinya adalah hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson. Adakah ini hanyalah kebetulan yang dirancang ataupun ianya kebetulan yang tidak disengajakan?

Lebih hebat lagi, tarikh 20 September juga turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila 20 tahun yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut di heret ke mahkamah pada tarikh yang sama. Hari ini, giliran Datuk Seri Najib menerima nasib yang sama yang mana orang yang bertanggungjawab mengheret kedua-duanya ke mahkamah adalah orang yang sama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nampaknya, dalam tempoh sehari, begitu banyak kebetulan berlaku. Bermula dari hari pendakwaan terhadap mereka yang dimusuhi Tun Dr Mahathir sehinggalah penetapan hari Pilihan Raya Kecil Port Dickson termasuk jumlah peruntukan yang perlu untuk menjayakan Pilihan Raya Kecil kali ini.

Mungkin sahaja ianya kebetulan. Namun, jika diperhatikan secara mendalam, mana mungkin kebetulan ini tidak dirancang. Namun, ianya hanyalah satu pandangan rawak yang tidak semestinya betul. Mungkin ianya tidak dirancang namun, semua tidak mustahil diera pemerintahan Pakatan Harapan. Jumlah ikan Kembung pun mereka tahu tidak mungkin perkara lain mereka tidak tahu.

Polis Maut Jatuh Longkang



ANGGOTA polis maut apabila terjatuh ke dalam longkang selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan di Taman Shenji, Siniawan, Bau, hari ini. 

Mangsa, Marekan Sobet, 56, yang berasal dari Kampung Buso, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sumber berkata, selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas, mangsa sempat keluar dari kenderaannya dalam kejadian 7.30 pagi itu.

Bagaimanapun, sejurus keluar mangsa tiba-tiba rebah lalu terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter.  “Anggota paramedik dari Hospital Bau yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia, namun puncanya masih belum dipastikan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.34 pagi.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang disertai sebuah kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang dan anggota kami menggunakan ‘scoop stretcher’ untuk mengambilnya. “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tali Barut Penculik Ditembak Mati


Dua suspek ditembak mati dipercayai tali barut kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di kawasan perkampungan air Kampung Kunak 3 di sini semalam. Dalam serbuan pada pukul 10.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 50-an meloloskan diri menggunakan sebuah bot pam laju bertindak melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa. 

Komander Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata, pemeriksaan terhadap suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan mati di lokasi dengan kesan tembakan pada bahagian badan.

"Dalam Operasi Khas Gasak Esscom kita telah melakukan pemeriksaan dan serbuan di sebuah kawasan perkampungan air untuk memeriksa individu tanpa dokumen pengenalan diri yang sah di perairan negara.

"Ketika serbuan dilakukan, dua suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah pam bot berwarna putih. Suspek ditembak mati kerana telah melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa," katanya di sini hari ini.

Menurut Hazani, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan penculikan dua rakyat Indonesia di perairan Pulau Bodgaya di Semporna pada 11 September lalu. Katanya, pemeriksaan di dalam bot menemui sepucuk pistol revolver .22, dan .38, lapan peluru serta satu kelongsong.

 Turut ditemui sebilah pedang samurai, pendayung serta enjin bot. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh orang.

Cedera Dilibas Penyamun



REMAJA lelaki cedera di ibu jari tangan kanan selepas dilibas dengan parang oleh penjenayah yang memecah masuk bengkel milik bapanya di Jalan Kangkong, Simpang Empat, di Alor Setar, semalam. 

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa berusia 17 tahun yang datang ke bengkel terserempak dengan suspek berusia 30-an di dalam premis. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa terus meminta bantuan orang kampung untuk menangkap penjenayah.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak melibas parang dan terkena di ibu jari tangan kanan. Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan sebuah Honda EX5 . “Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

45 Tahun Rungkai Kes Isteri 'Hilang'



Misteri kehilangan seorang wanita sejak 1973 akhirnya terbongkar selepas suaminya yang kini berusia 70 tahun didedahkan sebagai pembunuhnya, yang turut menanam mayat mangsa di belakang rumah mereka. 

Geoffrey Adams, 70, dari selatan Australia, didakwa membunuh Colleen Adams yang selama ini didakwanya meninggalkannya bersama dua anak mereka, 45 tahun lalu.

Malah, sehingga 24 jam sebelum penahanannya, Adams masih mendakwa kali terakhir dia melihat Colleen - yang ketika itu berusia 24 tahun - selepas wanita itu keluar dari rumah mereka membawa dua beg dengan ditemani seorang wanita pertengahan usia.

Ketika itu, dua anak mereka berusia tiga tahun dan 18 bulan. Adams ditahan di rumahnya di Wallaroo, Rabu lalu dan dibawa ke rumah yang pernah didiami pasangan itu sebelum menunjukkan tempat mangsa ditanam. 

Gambar disiarkan media semalam menunjukkan Adams dibawa ke bekas kediamannya sambil ditemani detektif, sebelum menunjukkan kawasan yang dilitupi konkrit, dipercayai tempat Colleen ditanam, lapor Nine News. 

Sementara itu, anak bongsu pasangan itu, Kaye memberitahu wartawan: “Akhirnya hari ini saya jumpa ibu. Selepas 45 tahun berharap, akhirnya dia ditemui.”

Piala AFC B-16: Malaysia Belasah Tajikistan



Malaysia memulakan saingan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun (B-16) dengan kemenangan bergaya apabila menundukkan Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. 

Skuad bimbingan Ketua jurulatih, Lim Teong Kim itu tampil dengan persembahan terpuji apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, sebelum menambah tiga gol pada babak kedua perlawanan sekali gus mengesahkan kemenangan dan meraih tiga mata berharga.

Penyerang Luqman Hakim Shamsudin antara pemain yang mencuri tumpuan selepas meledak empat gol untuk memberikan Malaysia permulaan sempurna dalam misi memburu slot ke Piala Dunia 2019 Bawah 17 Tahun (B-17) di Peru.

Pada aksi itu, gol pembukaan Malaysia dijaringkan Luqman Hakim pada minit ke-30 sebelum Muhammad Najmudin Akmal menjadikan kedudukan 2-0, tiga minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas Luqman Hakim dijatuhkan pemain lawan dalam kawasan kotak penalti.

Malaysia terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan Tajikistan dan berhasil meledak gol ketiga hasil jaringan Luqman Hakim pada minit ke-42 untuk selesa berada di hadapan pada separuh masa pertama.

Malaysia terus ghairah memburu jaringan pada babak kedua perlawanan, menyaksikan Luqman Hakim berjaya mencipta hatrik selepas menjaringkan gol keempat negara pada minit ke-46 sebelum sekali lagi meledak gol pada minit ke-66 untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Tajikistan akhirnya berjaya membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-72 oleh Rahmatov Sharifbek, namun Malaysia melebarkan jurang jaringan empat minit kemudian menerusi Muhamad Alif Mutalib juga menerusi sepakan penalti.

Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan 6-1, Tajikistan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Zairov Islom pada minit ke-90 setelah penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.

Malaysia akan berdepan Thailand pada aksi kedua Ahad ini, sebelum melengkapkan jadual aksi peringkat kumpulan bertemu Jepun, Rabu depan.

Seksi Sangat Ke Dress Ni...?



PELAKON Jasmine Suraya Chin, 28, mempertahankan tindakannya memuat naik gambar yang dianggap seksi oleh sebahagian peminat di laman sosial Instagram sehingga mendapat kecaman netizen, baru-baru ini. Jasmine yang turut membintangi filem Paskal berkata, dia tidak melihat apa yang dibuat itu salah kerana ia bukanlah keterlaluan. 

“Ketika itu saya hadir ke majlis pelancaran sebuah majalah dari Perancis yang diedarkan untuk pasaran tempatan. Mereka mengadakan majlis secara besar-besaran dan ramai tetamu yang datang. Saya pula mengenakan satu dress yang dirasakan menarik dan ambil gambar.

“Pada saya dress ini sangat elegan dan tak nampak seksi dan ambil keputusan muat naik sebanyak tiga keping di Instagram,” katanya.

Paparan gambar itu menarik perhatian netizen apabila ada yang mengecamnya, namun ada juga yang menyokong. “Memang kelakar apabila ada dua kelompok peminat ‘berperang’ di Instagram saya. Paling menariknya, yang menyokong saya pula banyak kaum wanita.

“Mereka bersikap terbuka kerana ini hak saya untuk berpakaian. Saya tak kisah jika sesiapa nak berfikiran kotor, tapi tapi janganlah memalukan diri sendiri sanggup tulis komen lucah di Instagram saya. Sekali lagi saya tegaskan, saya tiada niat apa-apa ketika memuat naik gambar itu. Yang terlintas di fikiran hanyalah gambar ini sangat menarik,” katanya.

Menurut Jasmine, secara kasar gambar itu mungkin nampak seksi tetapi ada juga menganggap seksi yang elegan apabila dirujuk kepada beberapa pihak. “Bagi saya ia menunjukkan perwatakan saya sebagai artis. Saya boleh berpakaian seksi, berpakaian korporat, berpakaian kebaya dan banyak lagi seperti yang pernah dimuat naik di Instagram.

“Saya tak mengguris hati orang dengan gambar itu. Lagipun ini adalah Instagram saya. Sebagai artis, saya kena sesuaikan diri dengan majlis. Ini satu acara yang besar, urban dan meriah. Ia tak keterlaluan dan melampaui batas pun. Dress ini pun dibeli dari sebuah gedung pakaian di negara kita,” katanya. Jasmine kesal dengan sikap masyarakat yang cepat sangat menghakimi sesuatu terutama golongan muda.

“Ini acara yang bagus dan sebagai penghargaan saya muat naik gambarnya di Instagram. Selepas berbincang dengan beberapa pihak, saya buat keputusan tak padam gambar ini.

“Apa salah saya muat naik gambar ini sehinggakan ada yang sentuh soal agama. Mungkin ada yang masih belum tahu yang saya bukan muslim.

“Saya sebenarnya tak nak panjangkan lagi isu ini. Saya tak perlu nak rasa ralat kerana berpegang pada pendapat, ia bukan keterlaluan. Ibu saya sendiri tak marah dengan apa yang ditampilkan kerana dia faham karier saya,” katanya.

Mesir Jadi Destinasi Eksport Proton Tahun Ini



Proton Holdings Bhd telah meletakkan Mesir dalam aktiviti eksportnya bagi 2018 semasa majlis pelepasan di kilang pembuat kereta itu di Tanjung Malim hari ini. Pada 22 September ini, sebanyak 225 kereta Proton akan berlepas dari Northport, Klang dan dijangka tiba di pelabuhan Iskandariah, Kaherah pada 6 Oktober depan. 

Kereta-kereta itu akan diterima oleh pengedar Proton Mesir, Alpha Ezz El-Arab, untuk diagihkan kepada tujuh cawangan dan peniaga yang melayani pasaran negara itu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis perlepasan di Tanjung Malim menandakan penghantaran pertama kereta Proton ke Mesir dalam tempoh hampir tiga tahun, penghantaran sebelum ini merangkumi 320 unit Proton Gen 2 dan Persona telah dibuat pada Disember 2015 sebelum terjejas akibat penurunan nilai mata wang di mana ianya agak mustahil membawa stok baharu kerana tidak kompetitif. 

"Usaha oleh pengedar dan eksport alat ganti yang berterusan, bagaimanapun, telah menjamin keperluan pemilik sentiasa dipenuhi semasa menunggu perubahan dalam iklim ekonomi.

"Dengan keadaan pasaran yang semakin baik, Proton sekarang ini mampu untuk mengembangkan aktiviti eksport serta mengambil kesempatan ke atas pasaran automotif yang terus mencatatkan pertumbuhan ketara dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Sebelum ini hanya proton Gen2 dan Persona yang telah dieksport ke Mesir pada 2015. Sebelum ini hanya proton Gen2 dan Persona (gambar) yang telah dieksport ke Mesir pada 2015.

Kehadiran Proton akan diperkukuhkan melalui tiga model baharu yang muncul buat pertama kali dalam pasaran Mesir, ini ditambah lagi dengan peningkatan kualiti produk berikutan pengenalan proses audit produk yang digunakan oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed berkata, bagi menjamin stok yang mencukupi, pengedar telah menempah 280 unit tambahan untuk dihantar pada bulan depan dengan sasaran 1,000 kereta bagi keseluruhan 2018.

Selain daripada menyambung jualan kereta baharu di Mesir, Alpha Ezz El-Arab juga akan memperkenalkan Identiti Korporat Proton yang baharu (CI) di tiga cawangannya dan ini merupakan langkah yang penting kerana ia akan menjadi kumpulan pertama yang membawa imej bilik pameran CI Proton terbaharu di luar Malaysia.

"Langkah untuk menggunakan CI baharu kami menunjukkan pengedar kami bergerak sejajar dengan hasrat kami bagi membina imej dan pengalaman jenama yang konsisten untuk PROTON di peringkat antarabangsa. Ia juga akan membantu dalam matlamat untuk menambah angka kepada lebih 13,000 kereta Proton yang telah terjual di Mesir sejak dari 2004," katanya. 

PROTON Holdings Bhd dimiliki 50.1 peratus oleh Kumpulan DRB-HICOM Bhd dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

Selesa Gaya Premium


Sekiranya anda berjiwa kembara dan mahukan jentera yang bukan saja memiliki pengendalian dan keselesaan terbaik terutama membabitkan perjalanan jarak jauh, motosikal ini adalah jawapan paling tepat. 

BMW R 1200 RT sudah berada di pasaran tempatan sejak 2014 yang dikategorikan sebagai jentera Sport Touring. Model ini mula diperkenalkan ke pasaran global sejak 2005 bagi menggantikan model R 1150 RT yang dihasilkan pada 1978.

Penulis berpeluang menunggang uji model terbaharu ini selepas ditawarkan pengedar utamanya, BMW Motorrad Malaysia dengan perjalanan kali ini bermula dari ibu pejabatnya di Cyberjaya menuju ke Muar, Johor dengan jarak tunggangan lebih 300 kilometer (km). BMW R 1200 RT.

Tunggangan di lebuh raya tidak sukar dan penulis mudah menyesuaikan diri dengan posisi menunggang serta mengendalikan motosikal seberat 276 kilogram (kg) ini. Melihat kepada rekaan jentera ini, sememangnya direka untuk tujuan perjalanan jarak jauh dengan padanan sepasang kotak barangan sisi.

Komponen ini mampu memuatkan topi keledar ‘full-face’ setiap satu di dalamnya. Bahagian hadapan tampak tegap dengan pelindung angin lebar boleh laras automatik yang membantu mengurangkan rintangan angin kepada penunggang.

Kluster lampu hadapan berkembar mengapit lampu bahagian tengah untuk pancaran rendah dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk lingkaran teknologi LED beroperasi secara automatik mengikut cuaca jelas dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Sebaik duduk, posisi menunggang santai dengan bar pemegang lebar, pautan kaki pada tangki bahan api 25 liter ergonomik dan kedudukan pelana pada ketinggian 830 milimeter (mm) untuk penunggang dan 850mm untuk pembonceng menawarkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Ketika menunggang, segala maklumat penuh berkaitan perjalanan boleh dilihat melalui panel meter gabungan analog dan digital penuh TFT bersaiz 5.7 inci untuk memudahkan penulis merancang hentian berikutnya serta lokasi isian bahan api.

Bukan sekadar itu, bagi melakukan tunggangan lebih individual, jentera ini dilengkapi larasan untuk mod tunggangan, Pelarasan Suspensi Elektronik (ESA) prabeban, penetapan suspensi, tahap tekanan tayar dan sebagainya yang boleh dilakukan pada punat di bar pemegang.

Paling menarik, ciri terbaharu ditawarkan terhadap model 2018 ini ialah sistem pembesar suara dengan fungsi radio, sambungan USB dan muzik boleh dimainkan ketika menunggang. Sistem bunyi boleh diperlahan atau dikuatkan dengan mudah, namun pada kelajuan lebih 110 kilometer sejam (km/j), agak sukar mendengarnya dan lebih sesuai ketika tunggangan santai.
BMW R 1200 RT dengan enjin boxer 1,170cc silinder berkembar selari DOHC sejukan udara dan cecair menawarkan tunggangan lancar dan berprestasi sesuai dengan DNA sebagai jentera Sport Touring. GAYA Sport Touring premium.

Pecutan pada sebarang kelajuan mudah dilakukan dengan kotak gear enam kelajuan pacuan shaft untuk kecekapan penghantaran dan tenaga responsif. Kestabilan pada jentera ini membolehkannya mencecah kelajuan maksimum melebihi 200km/j dengan 125 kuasa kuda (hp) pada 7,750rpm dan daya kilas 125Nm pada 6,500rpm.

Pengendalian bukan hanya terbaik pada jalan lurus, malah ketika melayan selekoh dengan suspensi hadapan BMW Motorrad Telelever dan lengan ayun tunggal paralever, Strut WAD, Spring prabeban hidraulik boleh laras (boleh ubah berterusan) dan lantunan redaman boleh laras. PUNAT untuk fungsi dan larasan menu pada meter.

Padanan Kawalan Kestabilan Automatik (ASC) membolehkan cengkaman sesuai mengikut keadaan permukaan jalan raya menambah keyakinan penulis. Kelajuan jentera juga diimbangi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Integral dipasangkan brek cakera hadapan berkembar 320mm serta cakera tunggal 276mm di belakang.

Untuk sistem kunci berpusat RT ini, enjin jentera boleh dihidupkan tanpa kunci (keyless) dengan hanya menekan punat di suis utama selagi kunci masih bersama penulis. Kunci pintar ini turut mengunci semua kotak barangan sisi dan hanya boleh dibuka atau ditanggalkan pemiliknya saja dan sekiranya jentera digerakkan tanpa kunci, sistem penggera akan berbunyi. 

Secara keseluruhan, BMW R 1200 RT adalah sebuah jentera yang menawarkan keselesaan menunggang terutama untuk perjalanan jauh. Prestasi enjin boxer bertenaga dan lancar pada sebarang kelajuan dengan sistem keselamatan terbaik serta fungsi pelayaran (cruise) menawarkan keselesaan kepada penunggang daripada memulas pendikit dalam tempoh lama.

Penggunaan bahan api 25 liter mampu mencapai jarak sehingga 450km, bergantung kepada gaya tunggangan. Sudah pasti pada mereka yang berkemampuan, BMW R 1200 RT harus menjadi pilihan dan jentera ini dijual pada harga RM127,900 (tanpa insurans) dengan empat pilihan warna metalik iaitu Carbon Black, Mars Red/ Dark Slate Matt, Blue Planet dan Sparkling Storm.

Model ini turut didiatangkan bersama waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.

BMW R 1200 RT 

• ENJIN: Boxer 1,170cc DOHC Twin Silinder
• KUASA MAKSIMUM: 125hp @ 7,750rpm.
• TORK MAKSIMUM: 125Nm @ 6,500rpm
• KAPASITI BAHAN API: 25 liter
• CIRI KESELAMATAN: ASC, ABS Integral
• HARGA: RM127,900 (tanpa insurans)