Thursday, 29 November 2018

Selamat Datang UMNO Celup Ke Sarawak...



Sejak sekian lama, Sarawak adalah salah sebuah negeri yang sentiasa cuba ditakluki oleh parti-parti politik pembangkang yang diketuai oleh DAP. Ada sahaja usaha mereka lakukan samada menghasut kebencian terhadap pemimpin utama negeri sehinggalah sanggup menaja pergerakan menuntut kemerdekaan Sarawak dari Semenanjung.

Sehinggalah akhirnya Pakatan Harapan berjaya membentuk sebuah kerajaan setelah menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, Sarawak masih kekal berada di tangan Barisan Nasional sehinggalah akhirnya PBB mengetuai SUPP, PRS dan SPDP bertindak memisahkan diri dengan Barisan Nasional dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Maka bergeraklah GPS kekal mentadbir Sarawak dari anak kelahiran Sarawak itu sendiri. Namun, itu tidak mematahkan semangat Pakatan Harapan terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk cuba memecahkan monopoli GPS di Sarawak setelah DAP dan PKR dilihat terkial-kial mencari formula menumbangkan PBB dan sekutunya.

Pada 1 Disember nanti, bertempat di Bintulu, PPBM akhirnya secara rasmi tertubuh di Sarawak. Menerusi beberapa poster yang bertebaran di laman sosiap Facebook hari ini, di beritakan, Pengerusi dan Presiden PPBM akan turun ke Bintulu untuk merasmikan penubuhan PPBM di Sarawak.

Untuk sedikit rekod, sejak dari awal penyertaan Sarawak kedalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, UMNO tidak di benarkan tertubuh di Sarawak kerana teras perjuangan UMNO dan PBB di lihat sama dan dikhuatiri akan meminggirkan parti local. Justeru, kekallah PBB bersama beberapa parti pribumi yang lain mentadbir Sarawak atas kapasiti anak kelahiran itu sendiri.

Mungkin bagi golongan muda pengamal WeChat mahupun bagi mereka yang begitu taksubkan Tun Dr Mahathir mahupun berhaluan kiri, PPBM adalah sebuah parti baru dengan acuan baru dan dipimpin oleh mereka yang cukup berpengalaman di dalam politik. Pastinya mereka mahukan arus perubahan baru di Sarawak setelah sejak sekian lama ditadbir oleh PBB dan sekutu politiknya.

Sukalah diingatkan kepada kelompok dan golongan buta sejarah ini, PPBM adalah sebuah parti yang menciplak hampir keseluruhan penubuhan UMNO samada dari segi perlembagaan, warna parti mahupun acuannya. Paling utama, kesemua pemimpin utama parti ini adalah bekas-bekas ahli UMNO yang kecewa kemahuan mereka tidak dilayan oleh UMNO.

Justeru, penubuhan PPBM di Sarawak ini samalah ertinya dengan mengimport UMNO ke Sarawak, sesuatu yang tidak pernah diizinkan oleh pentadbiran Sarawak sejak sekian lama. Cuma yang membezakan adalah, UMNO hari ini berada di blok pembangkang manakala PPBM pula berada di blok kerajaan.

Sukalah ditanyakan kepada rakyat Sarawak terutama mereka yang amatmenyintai Bumi Kenyalang ini. Adakah sudah hilang pendirian rakyat Sarawak yang menolak sama sekali kehadiran UMNO ke Sarawak? Adakah mereka ini lupa selama 22 tahun Pengerusi PPBM ini menjadi Perdana Menteri, Sarawak dipinggirkan dengan begitu teruk sekali sehingga Sarawak ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur?

Lupakah mereka bagaimana peruntukan RM 4 bilion sahaja disediakan kepada Sarawak pada pembentangan Bajet yang lepas? Andai ada yang menyatakan, Menteri Kewangan itu datangnya dari DAP, adakah mereka lupa bahawa Perdana Menteri hari ini datangnya dari PPBM, parti klon UMNO yang ingin dibawa masuk ke Sarawak menerusi Bintulu?

Paling utama, ingin ditanyakan kepada kelompok pentaksub Tun Dr Mahathir, PPBM dan mereka yang berhaluan kiri ini, adakah hasil bumi Sarawak seperti Petroleum kini sudah menjadi hak milik sepenuhnya negeri Sarawak? Adakah masalah negeri diambil peduli oleh Pengerusi PPBM ini?

Perlu diingatkan kepada semua anak-anak Sarawak, dalam beberapa ucapan yang dibuat oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem, Allahyarham kerap kali berkata, jagalah Sarawak seperti menjaga diri kita sendiri. Bukankah itu pesanan yang sepatutnya disemat di hati dan nurani setiap seorang anak Sarawak yang menyintai negeri mereka?

Janganlah diulangi kesilapan warga Semenanjung yang memberi kepercayaan kepada satu pakatan yang menjanjikan bulan dan bintang yang diketuai oleh Pengerusi PPBM ini namun hakikatnya, setiap hari bau hamis dan hancing sahaja dihidangkan buat rakyat.

Bersyukurlah bahawasanya hari ini, Sarawak ditadbir oleh anak jati Sarawak sendiri yang sentiasa mendengar dan melihat setiap satu masalah yang dihadapi oleh warganya. Mana mungkin anakanda kepada Almarhum Tun Abang Haji Openg ini mahu melihat negeri kesayangannya hancur berkecai dan tidak ditadbir urus dengan baik. Renung-renungkanlah...

Seronokkah Berada Di Bawah Kerajaan Malaysia Baru?



Jika kita masih ingat sewaktu negara sedang hangat bersiap sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, boleh dikatakan semua medium samada di media sosial mahupun di kedai-kedai mamak mahupun kedai kopi di simpang kampung-kampung di seluruh Malaysia begitu berharap peralihan kerajaan yang mereka yakini mampu menjadi lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional.

Alasannya mudah. Dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, pastinya Malaysia akan bergerak maju seperti mana era pentadbiran selama 22 tahun beliau di negara ini. Maka bertebaranlah hashtag Rindu Zaman Tun di media sosial dengan harapan, Tun Dr Mahathir mampu menjadi jauh lebih baik berbanding Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dengan bermodalkan 10 janji dalam 100 hari yang menjadi trademark kempen Pakatan Harapan, maka berduyun-duyunlah rakyat Malaysia memberi mandat buat sebuah pakatan yang amat rapuh dengan diketuai oleh seorang veteran politik dengan musuh politik orang Melayu, DAP berada di belakangnya.

Hari ini, hashtag Rindu Zaman Tun benar-benar telah berlaku. Manakan tidak, harga sawit hari ini berada di antara RM 250 hingga RM 270 se tan. Itu belum lagi harga getah yang dikhabarkan berada di dalam lingkungan RM 1.50 hingga RM 1.60 sekilogram. Bagi nelayan pula, dengan ketiadaan bantuan terus dari kerajaan, nelayan Melayu secara tidak langsung terpaksa bersaing dengan nelayan kaum Cina yang mempunyai latar belakang kewangan yang amat kukuh.

Dari segi kutipan cukai pula, setelah begitu hebat memfitnah GST sebagai punca kenaikan harga barangan keperluan, selepas pengenalan SST, hari ini harga barang semakin melambung. Agak lucu sebenarnya. Andai kita tanya kepada anak-anak kita yang berumur 5 tahun pun, mereka akan menyatakan 6 peratus jauh lebih rendah berbanding 16 peratus. Bagaimana orang dewasa boleh jadi jauh lebih dungu berbanding budak yang berusia 5 tahun?

Sudahlah barang semakin meningkat, gaji asas pula hanya dinaikkan RM 50 berbanding janji untuk menaikkan gaji asas kepada RM 1,500. Mungkin kita terlepas pandang agaknya dalam 10 janji dalam 100 hari manifesto Pakatan Harapan. Mungkin terselit satu klausa yang menyatakan kenaikan itu mengikut peratusan dari janji yang mereka tabur.

Tentang pekerjaan pula, Pakatan Harapan menjanjikan sejuta peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia. Hari ini apa yang dilihat, operasi pembersihan besar-besaran sedang berlaku. Kita mungkin tiada angka sebenar berapa ramai yang sudah kehilangan kerja namun jika dilihat dari senarai panjang jabatan mahupun agensi yang terlibat, angkanya mungkin sudah mencecah 100 ribu orang yang menganggur.

Dari sudut ekonomi pula, Malaysia sebenarnya sudah berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dengan pertubuhan ekonomi di jangka berada di antara 5.2 hingga 5.5 peratus menjelang pertengahan tahun hadapan, hari ini, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada tahap 4.9 peratus.

Ringgit pula semakin hari semakin melemah sehinggakan pemerhati ekonomi menjangkakan, Ringgit akan berada pada RM 4.25 berbanding 1 Dolar Amerika. Bukankah sebelum ini, Pakatan Harapan mendakwa, turun Najib, Ringgit akan meningkat? Hari ini Datuk Seri Mohd Najib sudahpun berjaya di jatuhkan. Kenapa Ringgit tidak juga naik?

Bagi mereka yang bergelumang dalam pasaran saham KLSE, sejak 6 bulan Pakatan Harapan mentadbir negara, hanya beberapa kali indeks KLSE mencatatkan kenaikan. Selebihnya, semua didagangkan dalam keadaan lemah dengan indeks KLSE mencatatkan penurunan berturut-turut untuk tempoh sebulan tanpa henti. Pencapaian hebat ni...

Itu belum lagi menyentuh mengenai kegiatan LGBT yang membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi dengan negara yang membenarkan kegiatan LGBT. Kalau ini diambil kira, rasanya, Malaysia telah maju dalam sektor seks berbanding pelbagai sektor yang mampu membela rakyat.

Paling menarik adalah, bagaimana 1MDB terus dijadikan modal buat kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir sendiri untuk memburukkan imej Datuk Seri Mohd Najib dan UMNO. Dengan bermodalkan SPRM dan AMLA, deretan pemimpin UMNO dihadapkan kemahkamah tanpa ada sebarang kertas pertuduhan di bawa. Senarai ini termasuklah Datin Seri Rosmah Mansur sendiri.

Sampai hari ini, ramai yang memikirkan, bagaimana 1MDB mampu menjana ekonomi negara. Bagaimana 1MDB mampu melonjakkan harga sawit dan getah dan membantu golongan luar bandar. Paling utama, bagaimana 1MDB mampu menurunkan harga barang.

Apa yang melucukan, disebalik pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB, syarikat pelaburan yang diasaskan dari Terengganu Investment Authority (TIA) ini masih terus diuruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Lebih hebat lagi, kerajaan siap melantik Ketua Pengarah Eksekutif baru lagi buat syarikat ini. Katanya bermasalah, kenapa tidak ditutup sahaja?

Hari ini, ingin ditanyakan kepada para pengamal politik media sosial pro Pakatan Harapan samada di kedai mamak, kedai kopi simpang kampung, kedai kopi janda mahupun di media sosial. Seronokkah berada di bawah kerajaan Malaysia Baru? Sudah tercapaikah hasrat kalian? Sudah semakin kayakah kalian? Rasanya, elok sahaja ikut contoh burung Unta bagaimana haiwan berkenaan menyorokkan wajah mereka kedalam tanah!

ICERD : Malayan Union Di Era Malaysia Baru



Rasanya, tidak ada sesiapa pun mampu untuk memadamkan kisah bagaimana penjajah British cuba untuk menjadikan bangsa Melayu menjadi hamba abadi kepada pihak penjajah menerusi pengenalan Malayan Union. Sejarah telah mencatatkan bagaimana kebangkitan kaum Melayu menentang usul gila penjajah ini dari dilaksanakan di Tanah Melayu.

Untuk rekod, Malayan Union ini adalah satu bentuk gabungan Negeri-Negeri Selat dengan Singapura di kecualikan. Sistem Malayan Union ini lebih banyak berpusat kepada Gabenor Malayan Union yang dilantik oleh Penjajah British dengan kuasa Raja-Raja Melayu hanya merangkumi adat istiadat kaum Melayu dan prihal melibatkan agama Islam sahaja.

Ini membawa maksud, Raja-Raja Melayu hilang pegangan dan hak mereka mengurus tadbir Tanah Melayu. Dalam hal ini, kaum Melayu juga boleh dikatakan tidak mempunyai ruang untuk mengurus tadbir tanahair sendiri. Sebaliknya, semua urusan terletak di tangan Gabenor yang dilantik oleh British.

Inilah yang membangkitkan kemarahan kaum Melayu sehingga menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan bagi membantah perlaksanaan sistem penaklukan menyeluruh di Tanah Melayu. Ironinya, pada tahun berkenaan jugalah sebuah parti unggul orang Melayu di tubuhkan iaitu United Malay Native Organisation (UMNO).

Lebih 70 tahun sudah berlalu, siapa sangka, sistem Malayan Union yang ditentang hebat kaum Melayu ini kembali muncul namun kini namanya sudah berubah. International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) adalah satu bentuk reformasi hak samarata kaum tanpa mengira agama yang telah diperkenalkan oleh barat.

Berlandaskan pada alasan Hak Asasi Manusia, ICERD ditakrifkan sebagai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum dan menggalakkan mereka yang menyertai ICERD menyamaratakan hak semua kaum. Jika kita mengambil masa untuk menyelusuri sedikit sejarah, ICERD adalah kesinambungan Racial Equality Proposal yang ditandatangani oleh Blok Negara Perikatan pada tahun 1919.

Di Malaysia, cadangan perlaksanaan ICERD ini sebenarnya pernah cuba dibangkitkan pada tahun 2012 oleh beberapa NGO yang belandaskan Human Right. Namun, setahun kemudian, UMNO dan Barisan Nasional mengambil keputusan untuk menolak cadangan ini kerana menghormati kontrak sosial yang telah ditandatangani pada tahun 1956.

Hari ini, setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan, nampaknya mereka benar-benar cuba mengambil kesempatan keatas kuasa yang mereka miliki. Justeru, ICERD yang telah pun ditolak oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kembali di bangkitkan dan ianya telah mencetuskan polemik yang dilihat telah menimbulkan ketegangan antara kaum.

Baiklah, mari kita lihat sejenak kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Harus ditekankan bahawa Malaysia pada asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu sebelum ditukar kepada Malaya dan seterusnya Malaysia.

Sudah namanya pun Tanah Melayu, sudah tentu Semenanjung ini adalah milik kaum Melayu. Namun atas rasa toleransi yang amat tinggi, kaum Melayu mengizinkan kaum lain juga turut tinggal bersama dalam keadaan harmoni dan membentuk rakyat Malaysia yang mengamalkan kepelbagaian agama, sosio budaya dan adat resam masing-masing.

Justeru, apabila kaum yang diterima tinggal bersama mula menuntut hak yang sama sekali bukan milik mereka pada asalnya, sudah tentu ia suatu perkara yang pelik bukan?

Mari kita lihat contoh mudah ini. Terdapat sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga. Pada suatu hari, terdapat beberapa orang memohon untuk tinggal bersama atas beberapa sebab. Setelah beberapa generasi, secara tiba-tiba, mereka yang pada mulanya berhajat untuk berlindung, secara tiba-tiba menuntut untuk menjadi tuan rumah dan tuan tanah. Adakah ini suatu perkara yang normal?

Perlu ditegaskan di sini bahawa, sekiranya kerajaan hari ini mengekalkan pendirian mereka untuk melaksanakan ICERD pada suatu hari nanti setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan kerajaan menangguhkan dahulu perlaksanaan ICERD di negara ini, kuasa Raja-Raja Melayu dan kaum Melayu sendiri di atas tanahair sendiri akan terhapus dengan sendirinya.

Lebih buruk lagi, kaum-kaum Bumiputera Semenanjung, Sarawak dan juga Sabah akan turut terkesan kerana mereka juga akan kehilangan hak keatas tanah yang selama ini menjadi milik mereka. Inilah yang telah menimbulkan kemarahan ramai terhadap ICERD ini.

Ini bukan satu perkara yang boleh dijadikan perkara mainan. Sudah beberapa kali Ahli Parlimen Pakatan Harapan cuba memperlekehkan hak Ketuanan Melayu di atas tanahair mereka sendiri. Andai hak sebagai tuan atas tanah sendiri pun mereka cuba tamatkan, bagaimana pula nasib anak cucu kita kelak? Adakah kita mahu hidup tanpa identiti Melayu atas tanahair sendiri?

Maka benarlah pendapat beberapa orang pemerhati neutral politik yang melihat ICERD ini adalah jelmaan semula Malayan Union di Tanah Melayu. Namun kali ini skopnya lebih meluas. Ianya turut melibatkan kaum Bumiputera Semenanjung, Sarawak dan Sabah yang mungkin akan kehilangan kuasa dan jati diri atas tanahair sendiri.

Siapa Sebenarnya Bersalah Dalam Isu Kuil Sri Maha Mariamman?



Dikala boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia sedang memberi tumpuan khusus terhadap himpunan membantah ICERD yang dijangka bakal diadakan pada 8 Disember ini, negara dikejutkan dengan insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Agak mengejutkan sebenarnya kerana jika kita teliti semula perjalan kes kuil berkenaan, ianya telah mencapai jalan penyelesaian pada tahun 2014. Mengikut fakta kes, pada Mac 2014, Chellappa a/l K.Kalimuthu yang mendakwa dirinya sebagai Pegawai Awam Kuil Sri Maha Mariamman dan Nagaraju a/l Merganathan telah bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan sivil mereka keatas tapak kuil berkenaan.

Semakan mendapati, kedua-dua mereka telah bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada One City selepas syarikat itu bersetuju untuk menyediakan dua tanah lain yang terletak berhampiran kuil yang ada untuk diberikan kepada persatuan kuil berkenaan sebagai pampasan.

Syarat kedua pula ialah mendermakan RM1.5 juta untuk membina kuil baru di salah satu daripada dua bidang tanah yang diberikan oleh One City. Pada masa yang sama, mahkamah telah mengarahkan tapak di mana kuil itu terletak untuk diserahkan kepada One City dalam masa dua bulan selepas pembinaan kuil baru oleh pemaju.

Sejak dari hari itulah perkara in berlarutan sehingga kini. Sudah semestinyalah selaku empunya sah tanah berkenaan, pihak pemaju akan menutut hak mereka keatas tanah berkenaan setelah berlaku begitu banyak dolak dalik antara pihak pengurusan kuil dan pihak pemaju. Di sinilah punca masalah berkenaan berlaku dan berlarutan sehinggalah kes hitam awal pagi 26 Disember lalu.

Tidak perlu untuk memanjangkan bagaimana penglibatan gangster kaum Melayu yang menjadi hamba suruhan pemaju untuk mengusir merek ayang berhimpun di kuil berkenaan. Semua orang sudah tahu akan kisah ini. Cuma apa yang menarik yang ingin dikupas adalah, pihak mana yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kejadian hitam berkenaan.

Hari ini, di media sosial, semua pihak saling tunding menunding antara satu sama lain. Baik kaum Melayu mahupun kaum India, masing-masing mendakwa mereka berada di pihak yang betul. Menariknya, di pihak pemaju pula, sehingga kini, selain daripada kenyataan penafian penglibatan mereka dalam isu ini pada petang hari kejadian, mereka langsung tidak mahu mengulas mahupun menerangkan keadaan sebenar apa yang berlaku pada hari kejadian.

Mereka lebih senang mendiamkan diri dan memerhatikan ketegangan yang wujud. Bukankah ini sesuatu yang amat pelik? Mereka boleh sahaja tampil untuk menerangkan keadaan sebenar dan mampu menghentikan sebarang spekulasi yang timbul angkara tuntutan mereka keatas tapak kuil berkenaan.

Di samping itu, kedegilan pihak pengurusan kuil untuk akur dengan perintah mahkamah turut memburukkan keadaan. Dalam perkembangan semasa, pihak pengurusan kuil meminta campur tangan kerajaan dalam menyelsaikan kes ini. Disinilah timbul persoalan, adakah mereka ingkar akan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada Mac 2014 yang lalu?

Andai mahu dikupas satu persatu, memang panjang untuk di catatkan bagi mengupas, pihak mana yang harus bertanggungjawab menimbulkan ketegangan seumpama ini. Itu belum lagi persoalan, apa yang difikirkan oleh sekumpulan kaum Melayu yang sanggup mengambil risiko menceroboh kawasan kuil berkenaan kerana pastinya akan timbul ketegangan andai ada pihak lain masuk campur dalam masalah ini.

Benar, hari ini keadaan tidak lagi sama seperti dahulu. Seperti yang diperkatakan oleh pasukan perunding British semasa rundingan pusingan akhir untuk memerdekakan Tanah Melayu, negara yang akan muncul ini diibaratkan seperti bom jangka. Andai ada mana-mana kaum memetik suisnya, ia akan meletup dan amat sukar untuk mengawalnya.

Inilah yang sedang berlaku diera Malaysia Baru yang dilaungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Perkara seumpama ini boleh sahaja dielak andai masing-masing menghormati kontrak sosial yang ditandatangani pada tahun 1956. Namun, semuanya seperti sudah dilupakan oleh semua kaum.