Thursday, 20 December 2018

Jawatan Waytha Moorthy Jauh Lebih Utama Dari Pembelaan Terhadap Adib



Sudah lebih 24 jam Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Bomba dan Penyelamat yang menemui ajal akibat dibelasah oleh para perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, pergi meninggalkan kita.

Sejak dari hari Allahyarham meninggal dunia, boleh dikatakan ia menjadi satu ledakan yang agak luar biasa samada di media sosial mahupun sembang-sembang koson rakyat yang ada di luar sana. Masing-masing mempersoalkan, bilakah si perlaku yang bertanggungjawab membelasah Allahyarham ini dapat diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Tidak kurang juga ledakan ini turut menyasarkan Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy yang dianggap antara pencetus kepada ketegangan yang wujud sehingga hari ini. Semuanya disebabkan oleh caranya yang mengeluarkan beberapa siri kenyataan yang dianggap seperti sengaja mahu mencetuskan ketegangan antara kaum Melayu dan kaum India di negara ini.

Tindakannya yang mendakwa kaum India di negara ini ditindas, beratus-ratus kuil Hindu di robohkan dan paling teruk lagi, desakan kuatnya untuk meratifikasikan ICERD telah menimbulkan kemarahan kaum Melayu dan ramai lagi pihak di negara ini sehinggakan tindakan dan kenyataan dia ini antara punca menyemarakkan ketegangan sehingga mencetukan insiden rusuhan di kuil berkenaan.

Namun begitu, disaat lebih 300 ribu orang yang sudah menandatangani petisyen untuk mendesaknya meletakkan jawatan atau dipecat dari pentadbiran kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya tidak sependapat dengan sebilangan besar rakyat di negara ini.

Dalam ulasannya hari ini, beliau berkata, beliau tidak ada masalah dengan Waytha Moorthy dan beliau merasakan Waytha Moorthy telah menjalankan tugasnya dengan baik. Jika rakyat mendesak untuk dia dipecat, bagi Tun Dr Mahathir, hak untuk memecat atau meminta Waytha Moorthy terletak ditangannya.

Adakah seorang Perdana Menteri hari ini langsung enggan mempedulikan kemarahan dan suara rakyat? Adakah hari ini suara rakyat sudah tidak mempunyai apa-apa makna terhadap beliau kerana sebelum ini, beliau sendiri yang acapkali menyatakan, suara rakyat akan sentiasa di dengari oleh Pakatan Harapan?

Sudah beratus-ratus laporan polis sudah dibuat terhadap Waytha Moorthy namun sehingga hari ini, tidak ada satu pun tindakan diambil terhadapnya. Malah, dia masih bebas untuk kemana sahaja yang dia mahu tanpa perlu dipecat atau bimbang akan kemungkinan kemarahan rakyat akan hinggap keatasnya.

Dalam hal ini, nampaknya, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih menjaga hal ehwal kebajikan Waytha Moorthy dan deretan kakitangan yang dia lantik kononnya untuk menjaga perpaduan, namun apa yang disaksikan, keseimbangan kementeriannya sendiri juga boleh dipersoal.

Mungkin Tun Dr Mahathir enggan mendengar desakan dan suara rakyat serta petisyen menuntut Waytha Moorthy dipecat yang dihantar sendiri oleh Armada PPBM kepadanya kelmarin. Namun percayalah, rakyat sedang memerhati dengan penuh minat, apa reaksi kerajaan dan pihak PDRM mengenai kematian Allahyarham Muhammad Adib Bin Mohd Kasim.

Tujuh Bulan Bentuk Kerajaan, Hanya 2 Sen Sahaja Nilainya?



Sedar tidak sedar, sudah tujuh bulan Pakatan Harapan membentuk sebuah kerajaan hasil daripada kemenangan yang penuh penipuan. Sudahlah menipu semasa kempen Pilihan Raya, selepas menang juga mereka menipu hidup-hidup rakyat sehinggakan ramai yang cukup terkesan dengan dasar yang tidak menentu ini.

Sebelum ini, semasa kempen Pilihan Raya, mereka menjanjikan pelbagai perkara yang jika tidak dilihat secara realiti, memang cukup indah. Manakan tidak, mereka menjanjikan pelbagai perkara seperti penurunan harga barang, penurunan kos sara hidup, keadaan semasa Malaysia yang jauh lebih baik dan pelbagai lagi janji-janji "agung" ciptaan mereka.

Setelah kira-kira 8 juta pemilih memilih Pakatan Harapan membentuk sebuah kerajaan, boleh dikatakan, tidak ada satu pun janji mereka ditunaikan. Malah, keadaan semasa Malaysia jauh lebih buruk hasil daripada ketidak cekapan Pakatan Harapan mengurs tadbir negara.

Jika dilihat dari propaganda Pakatan Harapan menerusi pelbagai media massa milik mereka, kononnya mereka telah berjaya menurunkan harga beratus-ratus barang keperluan asas yang hari ini disifatkan sudah tidak terkawal lagi kenaikannya.

Hakikatnya, daripada semua harga barangan keperluan asas, hanya harga telur sahaja yang mampu mereka kurangkan. Itu pun hanya 2 sen, penurunan yang langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat.

Manakan tidak, seandainya harga sepapan telur dijual pada RM 13.28, sekiranya kita ingin membayar harga berkenaan, sudah tentu harganya akan dibundarkan kepada RM 13.30. Jadi di mana kesannya penurunan harga 2 sen ini kepada rakyat?

Sampaikan harga telur pun Pakatan Harapan mahu menipu rakyat, bayangkan pelbagai lagi janji besar yang langsung tidak pernah ditunaikan atau tidak diambil peduli oleh mana-mana Menteri waima Perdana Menteri sekali pun.

Apa yang mereka sibukkan adalah susun atur politik, kes-kes 1MDB, rasuah dan sebagainya. Rakyat di bawah ini dibiarkan terkapai-kapai memikirkan bagaimana untuk meneruskan hari esok setelah punca pendapatan sendiri pun kini tidak lagi terjamin.

Adakah kerajaan Pakatan Harapan hari ini nilainya hanya 2 sen sahaja? Dari perkembangan semasa sehingga setakat ini, nampaknya nilai kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir selaku ahli politik paling veteran di dunia, dakwaan ini ada asasnya.

Letupan Di CityOne Sah Akibat Kebocoran Gas



Letupan di CityONE Megamall yang mengorbankan tiga mangsa baru-baru ini disahkan berpunca akibat kebocoran gas di restoran makanan Nene Chicken. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, laporan penuh punca letupan itu siap tengah hari semalam setelah semua dokumen teratur dan keterangan saksi di hospital di ambil.

“Letupan berpunca daripada gas yang bocor dan terkumpul di dalam siling dan ruang syaf kosong di sekitar restoran Nene Chicken. Ujian ‘fryer’ (menguji peralatan dapur) dan punca percikan mencetuskan letupan disebabkan gas yang bocor sudah sebati untuk meletup tanpa disedari mangsa. Kemalangan ini tidak diduga,” tegasnya semalam.

Insiden pada jam 3.30 petang, 4 Disember itu mengorbankan Chin Hsien Loong, 29, daripada Pulau Pinang dan penduduk tempatan Tchee Kiam Jong, 24, dan O Kui Lim, 49.

Sejumlah 41 lagi mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan susulan itu, pusat beli-belah tersebut ditutup serta-merta. Pada 9 Disember, pusat beli-belah dimiliki Kenbest Sdn Bhd itu dibuka semula setelah mendapat pengesahan bahawa bangunan tersebut selamat.

Pakej Kahwin Pun Orang Nak Tipu...



SEDIH dan kecewa selepas pakej perkahwinan merangkumi hidangan makanan, sistem bunyi dan kelengkapan pelamin tidak seperti dijanjikan, sebanyak empat laporan polis dibuat ke atas syarikat yang menawarkan pakej berkenaan. 

Difahamkan, pelbagai pakej antara RM5,000 hingga RM11,000 ditempah untuk majlis perkahwinan, namun apa yang disediakan didakwa tidak seperti dijanjikan menyebabkan mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, secara keseluruhan pihaknya menerima 12 laporan polis dengan 10 daripadanya berkaitan pakej kelengkapan perkahwinan, manakala dua lagi adalah tender menyediakan makanan di institusi pengajian tinggi.

Katanya, daripada 10 laporan polis berkaitan pakej perkahwinan, empat sudah melangsungkan majlis manakala enam lagi belum dilangsungkan yang mana laporan pertama diterima pada 29 November lalu.

“Empat majlis sudah berlangsung, tetapi makanan disediakan tidak seperti dipersetujui dalam kontrak. Enam lagi mangsa membuat laporan polis selepas membaca mengenainya di Facebook,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa membuat bayaran kepada syarikat terbabit melalui transaksi bank dan ada juga dibayar secara tunai. Beliau berkata, suspek berusia 27 tahun sudah ditahan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya lebih berhati-hati dan memastikan syarikat atau ejen yang menawarkan pakej perkahwinan itu betul-betul telus,” katanya.

Polis Buru Suspek Kes Tetak



POLIS sedang memburu seorang lelaki Indonesia yang menetak hingga mati seorang wanita menggunakan parang dalam kejadian di stor penyimpanan makanan sejuk beku di kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dekat Georgetown, semalam. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan polis mendapati suspek, Jonathan Sihotang yang berusia 31 tahun itu masih berada di sekitar kawasan Tasek Gelugor. 

"Berdasarkan kepada siasatan dan juga risikan, kita percaya yang suspek memang masih berada di kawasan Tasek Gelugor dan operasi memburunya kini sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang terserempak suspek itu juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Noor Azman Md Safar di talian 019-5761877," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, lelaki warga Indonesia yang bersenjatakan parang mengamuk dan menetak tiga pekerja warga tempatan terdiri daripada seorang wanita berusia 44 tahun, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya yang berusia 17 tahun.

Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati berhubung soal pembayaran gaji itu tanpa belas kasihan menetak semua mangsa sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikal Yamaha biru bernombor pendaftaran PBM1524.

Tetakan menggila suspek itu membuatkan mangsa wanita, Sia Seok Kee meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berikutan parah di kepala, muka dan putus jari.

Difahamkan, suspek sudah setahun bekerja di kilang terbabit yang juga milik abang kepada mangsa yang maut ditetak itu. Noorzainy ketika ditanya mengenai perkembangan dua lagi mangsa berkata, mereka kini masih dirawat di hospital, namun keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.

'Bayi ajaib' Selamat Dicampak Bapa



Seorang bayi perempuan berusia enam bulan dianggap sebagai bayi ajaib selepas ditemui terapung dan masih hidup selepas dicampak bapanya ke dalam sebuah kolam di barat laut Missouri, Amerika Syarikat. 

Bapa bayi berkenaan, Jonathon Zicarelli, 28, menyerah diri di balai polis Greenwood pada Isnin lalu dan tanpa rasa bersalah memberitahu dia mencampakkan anaknya ke dalam kolam serta melihat anaknya tenggelam. Terkejut dengan pengakuan lelaki itu, beberapa anggota polis segera ke lokasi kejadian dan menemui bayi itu terapung di tengah kolam.

Akhbar The Kansas City Star melaporkan, Zicarelli memberitahu penyiasat dia merancang membunuh anaknya 24 jam sebelum kejadian kerana terlalu tertekan dengan masalah hidup dan ingin memudahkan tugas isterinya. 

Jurucakap polis, Greg Hallgrimson berkata, pihaknya terus bergegas ke tempat kejadian beberapa minit kemudian dan menemui bayi berkenaan yang terapung di tengah kolam seperti anak patung.

Mereka segera mengeluarkan bayi yang dalam keadaan terkejut itu dan memberi bantuan pernafasan sebelum dibalut dengan baju seragam polis untuk mengelakkan daripada kesejukan.

Napoli Tolak Mentah-Mentah Tawaran United



Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mengesahkan pihaknya menolak tawaran lumayan Manchester United bernilai £95 juta (RM504.4 juta) untuk membeli tonggak pertahanan, Kalidou Koulibaly. 

The Red Devils terdesak untuk menandatangani bintang Napoli itu bagi memperkuatkan barisan pertahanan mereka berikutan prestasi hambar sepanjang Liga Perdana England (EPL) musim ini hingga menyaksikan pengurus, Jose Mourinho dipecat secara mengejut, kelmarin.

Bagaimanapun, De Laurentiis menegaskan Koulibaly, 27, adalah aset utama Napoli dan mereka tidak akan sesekali menjual pemain yang dianggap sebagai antara pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini.

“Apabila mereka (United) sanggup membayar sebanyak £95 juta (RM504.4 juta) untuk seorang pertahanan tengah, ia membuktikan Koulibaly adalah seorang pemain bertaraf dunia.

“Napoli mempunyai kemampuan untuk melahirkan ramai pemain berkelas dunia, tetapi kami juga ada pilihan untuk mengekalkan mana-mana pemain yang kami perlukan termasuk Koulibaly,” katanya.

Pemain skuad antarabangsa Senegal itu mencipta nama sejak menyertai Napoli daripada kelab Belgium, Genk pada 2014 dengan membuat lebih daripada 150 penampilan dalam semua kejohanan bersama kelab gergasi Itali tersebut.

De Laurentiis turut me­negaskan, Napoli bukan sahaja enggan melepaskan Koulibaly tetapi tidak akan sama sekali menjual bintang-bintangnya seperti Lorenzo Insigne, Dries Mertens dan Arkadiusz Milik kepada mana-mana pasukan lain.

Benjy Rayu Bantuan, Kesihatan Kritikal



Kesihatan pelakon Benjy yang sedang menjalani hukuman penjara kerana memiliki dadah di Medan, Indonesia selama 11 tahun sejak dua tahun lalu dikhabarkan berada dalam keadaan kritikal. 

Penyakit asma dan kesukaran untuk bernafas yang dihidap Khaeryll Benjamin Ibrahim, 40, semakin kritikal sejak dua tahun lalu kerana kesukaran akses mendapatkan rawatan dan kos perubatan.

Mendedahkan keadaan terkini Benjy, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abd. Jamil berkata, anak kepada primadona Allahyarhamah Azean Irdawaty Yusoef itu, pernah merayu bantuan dengan beberapa rakan artis melalui pesanan ringkas sejak menjalani hukuman. 

"Sewaktu kita secara peribadi bertemu dengan Benjy, dia memeluk kami dengan erat. Dia memberitahu, ini kali pertama menerima lawatan dan kenalan dari Malaysia.

"Dia tidak boleh bersembang. Sekejap batuk, sekejap menangis. Kita lihat keadaan kesihatan dia memang serius walaupun daripada raut wajahnya kelihatan tenang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Tabung Prihatin Seniman dan Seniman Run 2.0 di sini hari ini. Menurut Zed Zaidi, siri lawatan itu membuahkan idea kepada SENIMAN untuk melancarkan tabung bertujuan menampung keperluan Benjy sepanjang menjalani hukuman.

Menegaskan bantuan itu bersifat kemanusiaan, Zed Zaidi berkata, Benjy memerlukan antara RM500 hingga RM600 sebulan khas untuk kos perubatan.

"Kita akan lihat dan kaji kaedah pemberian sumbangan ini kelak. Kita berharap dapat terus membantu Benjy sepanjang menghabiskan baki hukumannya," katanya.

Terdahulu, pada 15 hingga 17 Disember lalu, SENIMAN telah melawat Benjy yang kini menjalani hukuman penjara Tanjung Gusta, Medan di Indonesia selama 11 tahun tiga kerana memiliki dadah seberat 4.5 gram pada April 2017.

KWSP Catat Pelaburan RM14.61 Bilion




Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM14.61 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2018, naik 12.82 peratus daripada RM12.95 bilion tempoh sama tahun lalu. 

Dalam tempoh dikaji, ekuiti yang merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP terus menjadi penjana pendapatan utama dengan menyumbang RM8.89 bilion atau 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, suku ketiga 2018 menyaksikan persekitaran pasaran yang tidak menentu didorong ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, kami berupaya mencatat peningkatan pendapatan hasil daripada pemulihan pasaran ekuiti Malaysia dan ASEAN dalam suku ketiga 2018 berbanding kemerosotan sepanjang suku tahun sebelumnya, manakala ekuiti pasaran maju terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding suku tahun sebelumnya.

“Ketidaktentuan semakin terasa di rantau ini dan menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku keempat 2018. Ini pasti memberi cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan sama bagi suku keempat 2018,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, RM1.33 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM14.61 bilion dijana untuk Simpanan Syariah, manakala RM13.28 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional.

“Simpanan Syariah memperoleh pendapatan hanya melalui bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional,” katanya.

Mengulas mengenai prospek baki suku tahun ini, Mohamad Nasir berkata, KWSP terus mengambil langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan persekitaran luaran yang berterusan seperti perang perdagangan AS-China, harga komoditi yang semakin lemah, kenaikan kadar faedah AS, dan pasaran ekuiti domestik yang lebih mencabar.

ASUS VivoBook S15



Mencari notebook yang mempunyai prestasi tinggi pada saiz kasing nipis, tetapi masih cantik mungkin agak komplikated. Bagaimanapun, notebook ASUS model VivoBook S15 (S530) seakan-akan memberikan penguji jawapan kepada permintaan di atas, sekali gus memberi kelegaan sekiranya anda mencari notebook saiz besar 15.6 inci. 

Secara teknikalnya, notebook pada saiz ini mudah dibawa ke mana saja dan tidak membebankan meskipun keluasan 15.6 inci tidak menyakitkan mata walaupun jarak anda dan skrin agak jauh. Pastinya ia sesuai sekiranya anda sedang duduk di kafe yang tidak mempunyai kerusi dan meja seperti dikehendaki berbanding jika duduk di rumah sendiri.

ASUS boleh dikatakan berjaya memperkasakan produk pengkomputeran mobiliti mereka menerusi notebook ini dengan sokongan sistem operasi Windows 10 bagi memberi peluang pengguna berinteraksi secara lebih semula jadi.

Ini kerana, fungsi kawalan sentuhan pada skrinnya bakal memberi kemudahan pelaksanaan aktiviti tugasan dan hiburan harian di samping sokongan pemproses cemerlang generasi ketiga Intel Core i5-8250. 

Meskipun salah satu ciri baru pada Windows 10 termasuk tempoh resume yang pantas, penguji masih kurang berpuas hati dengan masalah kemas kini yang kerap berlaku selepas mahu shut down notebook terbabit.

Windows mengambil tempoh agak lama untuk kemas kini yang kadang-kadang menjengkelkan. Ia bukan masalah ASUS, tetapi lebih kepada sistem operasi itu sendiri yang memerlukan pemerhatian Microsoft.

Bahagian luar notebook ini mungkin nampak biasa dengan warna perak pada reka bentuk aluminium tetapi selepas anda membuka monitornya dan melihat papan kekunci serta pad sentuh, pasti anda terpegun. Barulah nampak rekaan premium, ditambah pula masing-masing menawarkan ciri responsif berpatutan.

Terdapat dua pembesar suara disertakan dan hanya satu slot untuk pengudaraan yang tidak kelihatan. Menggunakan pemprosesan Intel i5 mungkin agak biasa, bermakna anda tidak perlu mengharapkan magik ketika fungsi pelbagai tugas tetapi ia masih tidak menunjukkan tanda ‘bermasalah’ sekiranya digunakan secara aktif.

Notebook terbabit dilengkapi RAM sebanyak 4GB, pemacu keras 128GB SATA3 SSD dan 1TB HDD dan cip grafik Nvidia GeForce MX150. Spesifikasi itu sudah cukup memberitahu beban kerja yang ditanggung sepadan dengan wang ringgit dikeluarkan daripada poket anda.

Ia menempatkan enam slot, HDMI keluar, fon telinga dan tiga port USB di samping beberapa lampu di sebelah kanan papan kekunci yang menunjukkan kuasa, WiFi dan status cakera keras.

ASUSVivoBook S15

• CIRI: Notebook dengan rekaan nipis, cantik
• PRO: Papan kekunci yang menarik
• KONTRA: Sedikit berat
• PENGELUAR: ASUS

Wednesday, 19 December 2018

Tujuh Cedera Dalam Nahas Van, Pikap Di Sri Aman



Tujuh cedera dalam pertembungan sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhampiran Temudok, Jalan Kuching-Sri Aman di sini, hari ini. Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii, kesemua mangsa dikeluarkan dari kenderaan sebelum bomba tiba di tempat kejadian. 

"Tiada kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan. Kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan sebelum pihak Bomba sampai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua enam penumpang van itu dihantar ke Hospital Sri Aman dengan menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pikap dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman Manakala pemandu pacuan empat roda pula dihantar oleh orang awam ke Hospital Sri Aman. 

Operasi ditamatkan pada pukul 9.20 pagi selepas kerja membersihan kesan kemalangan pada permukaan jalan raya selesai.

BMW, Golf Turut Hangus



LIMA kenderaan termasuk dua kereta mewah musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta Damai Point, Kota Kinabalu, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, api dipercayai bermula dari sebuah kenderaan sebelum marak dengan cepat hingga mengejutkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian. 

Beberapa pemilik kereta berhampiran dilihat bergegas mengalihkan kenderaan mereka kerana dikhuatiri api merebak. Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Faizal Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.30 malam dan mengerahkan sebuah jentera bersama 10 anggota ke lokasi kejadian. 

Katanya, setibanya di lokasi, lima kenderaan berkenaan masih terbakar dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Antara kenderaan yang terbabit ialah Toyota Altis, Proton Persona, Volkswagon Golf, BMW dan Toyota Vios. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan. Api berjaya dikawal pada 9.01 malam dan sebaik dipadamkan, pasukan bomba melakukan pemeriksaan di kawasan terjejas. 

“Unit Pengesan Anjing (K9) bomba turut dihantar ke lokasi untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian.

Sah Positif Ganja



Seorang pegawai polis memaklumkan Mahkamah Majistret semalam, keputusan awal ujian saringan air kencing pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil, positif dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Inspektor Mohd Faizal Abdullah, 32, yang juga saksi pertama pendakwaan itu berkata, proses ujian awal saringan air kencing itu dilakukan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 11 Januari lalu iaitu pada hari sama insiden Farid, 37, didakwa menampar seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Petaling Jaya itu berkata, pada jam 3.45 petang, beliau menerima laporan berkaitan tangkapan seorang lelaki Melayu bernama Farid Kamil Zahari yang dibuat anggota polis trafik, Koperal Mohd Nizam Jamaluddin.

“Tangkapan itu dibuat terhadap Farid yang membuat kecoh dan kekacauan di dalam Balai Polis Trafik Kota Damansara dan saya diberi arahan untuk melakukan ujian saringan awal air kencing terhadap tertuduh.

“Saya menjalankan ujian saringan air kencing terhadap tertuduh bagi memastikan sama ada tertuduh mengambil sebarang dadah ataupun tidak,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran pada hari pertama perbicaraan kes dadah dihadapi Farid. 

Menceritakan semula proses awal ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap Farid itu, Mohd Faizal berkata, pada jam 4 petang, beliau bersama saksi polis yang lain iaitu Koperal Hafiz, Koperal Faizol, Lans Koperal Iskandar membawa tertuduh ke Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya.

“Sebaik tiba di sana, saya berjumpa dengan penyelia di sana iaitu Sarjan Farid dan Lans Koperal Afifi sebelum Sarjan Farid mengambil 10 paket plastik yang setiap satunya mengandungi satu botol kosong bagi menjalani ujian air kencing dan di dalam setiap satunya pula mengandungi label serta nombor siri dan pelekat berwarna biru.

“Kemudian, Sarjan Farid juga meletakkan lima strip ujian air kencing bagi menguji lima dadah iaitu methamphetamine (syabu), amphetamine, ketamin, morfin dan THC (ganja),” katanya.

Ketika disoal Alia mengenai keadaan keadaan 10 paket botol itu, Mohd Faizal berkata, semuanya masih berada dalam keadaan belum dibuka dan digunakan selain terdapat nombor siri bagi setiap paket berkenaan. 

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, tertuduh memilih satu botol dengan nombor siri 1186302 sebelum meminta Farid pergi ke tandas untuk mengeluarkan sampel air kencingnya.

“Selepas memperoleh sampel air kencing Farid di dalam botol itu ujian dilakukan pada lima strip berkenaan dengan mencelup strip satu persatu tidak lebih 10 saat dan meletakkan di atas penutup botol urin. Hasil ujian saringan awal itu mendapati, terdapat satu garisan merah pada strip THC yang bermaksud positif dadah jenis ganja THC,” katanya.

Beliau berkata, Farid juga menandatangani borang akuan pemberi yang menunjukkan tertuduh berpuas hati dengan prosedur pungutan air kencing yang dijalankan. Dalam prosiding itu, Farid diwakili peguam bela Megat Syazlee Mokhtarom.

Pada 25 Januari lalu, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas penggunaan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4.30 petang, tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Nak Markah Tinggi, Seks Dulu...



GARA-GARA meminta habuan seks dari penuntut wanita yang terdesak mendapatkan markah tinggi, pensyarah universiti di Lagos, Nigeria bakal berdepan hukuman penjara kerana kelakuan tidak senonohnya itu. 

Hakim Maurine Onyetenu dari Mahkamah Tinggi Persekutuan di Osogbo, semalam mendapati Richard Akindele, iaitu profesor di Universiti Obafemi Awolowo di Ile-Ife didapati melakukan kesalahan rasuah dan gangguan seksual.

Namun, peguamnya meminta supaya Akindele dibenarkan membuat rayuan di atas pertuduhan pada 19 November lalu, bagaimanapun ditolak hakim. 

“Isu seperti ini terlalu berleluasa di institusi pengajian tinggi bila mana anak-anak yang dihantar ke universiti dan pulang ke rumah memberitahu kami bahawa pensyarah mahu melakukan seks dengan mereka. Inilah masanya untuk mahkamah mula menegakkan hak keadilan kepada kanak-kanak, terutamanya pelajar perempuan,” kata Hakim Onyetenu.

Dalam kes ini, Akindele didapati bersalah atas semua empat pertuduhan dan dia dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun. Dia ditangkap dan dipecat dari jawatannya pada Jun lalu.

Pelik Tapi Perlu Singkir Mourinho



MANCHESTER United memilih masa yang ‘pelik’ untuk memecat Jose Mourinho, kata bekas pemain Lee Sharpe yang turut berpendapat melantiknya sebagai pengurus satu kesilapan. 

United mengumumkan pemecatan Mourinho, semalam selepas kekalahan 1-3 kepada Liverpool, Ahad lalu dengan pengendali itu menghabiskan tempoh dua tahun setengah di Old Trafford.

Pengendali dari Portugal itu menghadiahkan United trofi Liga Europa dan Piala Liga pada musim pertamanya tetapi persembahan bekas bos Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan itu musim ini dihantui keputusan buruk dan pergeseran dengan pemain bintangnya.

Menghuni tangga keenam Liga Perdana dan ketinggalan 11 mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea menjelang jadual padat menyebabkan pemecatan pengurus itu sebagai pelik tetapi Sharpe merasa ia perkara yang perlu dilakukan.

“Masanya agak sedikit pelik,” kata Sharpe. “Mereka mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 10 ke 12 hari. Mereka jelas tidak mempunyai senarai pemain yang selari dan saya berfikir disebabkan pasukan tidak bermain dengan hebat, mereka memperoleh keputusan yang buruk.

“Moral Mourinho dan pemain-pemain menurun. Mereka mungkin sudah menerima yang mereka tidak akan menamatkan saingan di kedudukan empat teratas dan kini adalah masa untuk berubah.”

Sharpe yang juga bekas pemain England berkata, Mourinho mempunyai masalah yang menggunung di United termasuk senarai kecederaan panjang dan tidak mendapat sokongan lembaga pengarah tetapi paling utama ialah jurulatih dan kelab itu sejak dari awal tidak serasi.

“Dia gemar ‘membunuh’ permainan sebelum dia memenanginya dan ia bukan falsafah United. Mereka memberinya kontrak yang bagus tahun lalu tetapi tidak menyokongnya. Kemudian mereka tidak memberinya pemain-pemain yang dia mahukan.

“Dia tidak pernah menjadi pilihan pertama saya untuk menjadi pengurus (United). Mereka tidak beraksi di Eropah ketika itu dan dia adalah seseorang yang boleh membawa masuk nama-nama besar dan meningkatkan standard.
“Dia mempunyai mentaliti kemenangan dan membawanya ke kelab. Tetapi ia bukannya cara United. Saya fikir ia adalah kesilapan tetapi saya dapat memahami mengapa mereka melakukannya.”

Nabila Razali Rampas Khai Bahar?



PENYANYI, Khai Bahar terkejut apabila timbul isu membabitkan penyanyi Nabila Razali yang dikatakan merampas dirinya daripada Wany Hasrita. Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharuddin menjelaskan dia dan Wany tidak pernah menjalin hubungan cinta seperti didakwa segelintir peminat. 

“Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja isu ini timbul. Rasa kelakar juga sebab antara saya dan Wany tidak pernah ada hubungan intim atau bercinta. Begitu juga dengan Nabila.

“Saya pun tak pasti macam mana perkara ini boleh timbul. Diakui kami bertiga memang baik tetapi sebagai rakan artis saja. Tidak lebih daripada itu. Pada masa sama, kami terbabit dalam perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

“Jangan disebabkan keakraban kami di media sosial dengan memuat naik gambar bersama, orang beri persepsi berbeza dan terus kata ada hubungan,” katanya.

Khai yang kini popular menerusi lagu #123 berpesan kepada peminat agar tidak terlalu mengikut emosi dalam meluahkan sesuatu perkara. Malah, menurut Khai dia sentiasa mengingatkan peminatnya daripada Khai Bahar Empire (KBE) supaya sentiasa menjaga adab, bahasa dan tingkah laku kepada semua orang.

“Saya pun tak tahu apa tujuan dan niat peminat itu menghantar mesej peribari (DM) kepada Nabila. Sama ada dia bergurau atau sebaliknya. Cuma, saya bimbang perkara sebegini akan membuatkan hubungan sesama artis jadi renggang. Tak bagus sebenarnya. Sebaiknya, sebagai peminat perlu sokong kerjaya artis. 

“Macam saya selalu pesan kepada KBE supaya berhati-hati kalau nak komen atau berikan pendapat. Saya nak mereka baik dengan semua peminat atau artis,” katanya. Terdahulu, Nabila menerusi Instagram mendedahkan paparan mesej peribadi seorang peminat yang memaki dan menuduhnya merampas Khai daripada Wany.

PNB, Maybank Perkenal Pelaburan Digital



PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) memperkenalkan dua perkhidmatan baru kepada pelanggan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) untuk membuat pelaburan menerusi saluran digital. 

Perkhidmatan berkenaan adalah pelaburan dalam unit ASNB melalui Maybank2u dan mesin ATM di mana kedua-duanya adalah menerusi masa nyata. Ketua CFS Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, perkhidmatan itu juga membolehkan pelanggan menyemak baki akaun ASNB mereka dan lima transaksi terakhir, termasuk dividen dan pemindahan secara serta-merta.

“Sebagai peneraju dalam perbankan digital, Maybank sentiasa berusaha memanfaatkan keupayaan digital. Ia bagi memastikan pelanggan dapat menikmati faedah dari segi kemudahan dan transaksi yang lancar bukan hanya untuk aktiviti perbankan, tetapi juga untuk pelaburan,” katanya pada majlis pelancaran dua perkhidmatan baru itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias.

Hamirullah berkata, dengan pelancaran itu, Maybank menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan semakan masa nyata dan tambah nilai akaun ASNB pelanggan melalui platform perbankan dalam talian dan mudah alih di 2,700 mesin ATM dan Terminal Perkhidmatan Layan Diri seluruh negara. 

“Meskipun dua perkhidmatan baru itu boleh didapati dalam versi web Maybank2u, dan ia akan dilanjutkan ke platform aplikasi mudah alih Maybank menjelang akhir tahun ini. Selain itu, pelanggan di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memindahkan dana bagi pihak pekerja ke ASNB melalui M2U Biz menjelang akhir Disember ini,” katanya.

'Azimat Matematik' Cikgu Aziz





SEORANG guru di Kota Bharu mencipta sistem perisian memudahcara sukatan pelajaran matematik bagi pra sekolah dan sekolah rendah yang diguna pakai di empat negara. 

Modul ciptaan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, Aziz Mamat, 54, digunakan di India, Korea, Amerika Syarikat serta Malaysia itu turut diiktiraf Pendidik Inovatif Microsoft (MIE) oleh Microsoft Antarabangsa pada 2014. 

Aziz berkata, idea mewujudkan pengajaran dan pembelajaran (PDP) matematik dalam bentuk digital direka pada 2003 hasil pengalaman menjadi guru matematik selama 30 tahun.

Katanya, melalui modul yang dikenali sebagai Azimat Matematik, beliau memudahcara sukatan pelajaran matematik bagi pra sekolah usia antara 4 hingga 6 tahun dan mata pelajaran matematik bagi peringkat sekolah rendah iaitu darjah satu hingga enam.

"Sistem ini diperbuat daripada Microsoft Multimedia dan diadaptasi dengan perisian mengikut sukatan mata pelajaran terkini Kementerian Pendidikan dengan cara lebih seronok dan interaktif," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, modul itu boleh dimuat turun dalam video, portal, pemacu pena (pendrive), cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD), diajar secara dalam dan luar talian, kelas digital selain boleh dimuat di dalam android bagi menggunakannya melalui telefon pintar.

Beliau berkata, modul dalam bentuk interaktif dan multimedia itu merangkumi 6,000 aktiviti PDP matematik bagi setiap darjah pelajaran. 

"Modul ini bukan saja dapat menukar pembelajaran matematik daripada membosan kepada menyeronokkan malah memudahkan guru dan murid mahir menguasai teknik pengiraan, menyelesai masalah selain menjimatkan penggunaan kertas kerana guru dan murid hanya perlu tekan pada tetikus saja untuk belajar Matematik," katanya.

Bagi pencapaian itu, Aziz turut mendapat pengiktirafan 'Certificate of Achievement in Microsoft Digital Literacy oleh Microsoft Malaysia pada tahun 2014; Anugerah Guru Inovatif Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kelantan pada 2015 oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Johan Pertandingan Jejak 1001 Inovasi 2013.

Aziz juga memuatnaik modul Azimat Matematik di Youtube dan azimate.blogspot.com yang boleh dilayari secara percuma.

Tuesday, 18 December 2018

Demi UMNO Saya Sanggup Berkorban...



Perlu diakui bahawa UMO hari ini berhadapan dengan pelbagai dugaan yang tidak pernah terfikir akan berlaku. Satu emi satu ujian mendatang sehinggakan kedudukan Presiden parti juga turut terkena tempiasnya.

Hari ini, bertempat di audiotorium PWTC, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam satu bual bicara dari hati ke hati bersama-sama sebilangan Ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan sayap serta ahli UMNO. Semua ini dilakukan bagi memberi penerangan khusus terhadap pelbagai khabar angin dan berita yang menyaksikan UMNO diasak dari segenap penjuru.

Harus diakui, keadaan semasa dalaman UMNO memang agak sukar untuk ditangani. Manakan tidak, ada Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO bertindak keluar dari parti untuk menyertai Pakatan Harapan  terutamanya PPBM. Alasannya mudah, mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau selaku Presiden UMNO dan mendesak beliau meletakkan jawatan.

Bagi menyahut desakan mereka ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi mengumumkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri DiRaja Mohamad Hassan akan menjalankan tugas-tugas Presiden parti sehingga beliau merasakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mampu kembali menjalankan tugas ataupun beliau sendiri merasakan tidak mampu untuk menjalankan tugas-tugas selaku Presiden parti.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, tindakan beliau ini bertujuan untuk melihat, sejauh mana Ahli-Ahli Parlimen yang memilih untuk melompat parti ini benar-benar merasakan bahawa beliaulah punca kepada deretan Ahli Parlimen ini melompat.

Di samping itu, beliau juga ingin melihat, benar atau tidak wujud desakan bahawa ramai ahli UMNO mahu melihat beliau berundur dan menyerahkan jawatan Presiden kepada penggantinya.

Tidak wujud istilah bercuti menerusi Perlembagaan UMNO. Malah, tidak wujud istilah berundur di luar daripada tempoh penggal yang dilantik. Beliau kekal komited dengan UMNO namun dalam hal ini, beliau mahu melihat UMNO kembali diperkukuhkan tanpa mengira siapa yang menerajui parti ini.

Perlu ditegaskan bahawa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah berundur dari jawatan beliau selaku Presiden UMNO. Malah, beliau juga tidak mengambil cuti seperti mana yang didesak oleh kumpulan pendesak. Apa yang beliau lakukan hanyalah menyerahkkan tugas-tugas Presiden kepada Timbalan Presiden parti bagi meneruskan kesinambungan parti dari akar umbi ke pucuk pimpinan.

Rakyat Kian Menderita, Kerajaan Sibuk Kira Kerusi



Sebelum tarikh 9 Mei 2018, majoriti rakyat Malaysia berharap agar kehidupan mereka akan bertukar menjadi lebih baik. Manakan tidak, sepanjang kerajaan BN mentadbir, pelbagai isu dilemparkan termasuk kenaikan kos sara hidup disebabkan GST dan pelbagai tuduhan liar yang lain yang langsung mereka tidak dapat buktikan.

Maka pada tarikh berkenaan, mereka beramai-ramai memberi mandat kepada Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir dan mengenepikan kerajaan BN yang selama berpuluh tahun mentadbir dan memberi pelbagai kemudahan dan nikmat kepada rakyat.

Hari ini, selepas tujuh bulan mentadbir, harapan menggunung rakyat Malaysia yang mengharapkan slogan Malaysia Baru dapat meringankan beban kehidupan mereka rupanya hanya retorik dan janji kosong semata-mata.

Sudahlah harga minyak tidak diturunkan, 10 janji dalam 100 hari pun tidak ditunaikan, kenaikan kos sara hidup semakin hari semakin menekan tanpa ada sebarang usaha komprehensif untuk menanganinya. Rakyat semakin tertekan dan semakin diasak dengan kenaikan harga barang yang ada kalanya langsung tidak masuk akal.

Tidak ukup dengan itu, penduduk luar bandar juga turut menerima kesan yang paling teruk. Sudahlah bantuan khas dari kerajaan yang sebelum in dapat sedikit sebanyak membantu rakyat luar bandar di hapuskan, harga komuditi sawit dan getah juga kini merudum teruk, harga terendah di pasaran untuk tempoh 12 tahun.

Di saat rakyat semakin teruk terkesan dengan pelbagai masalah yang menghimpit rakyat, bagi pihak kerajaan pula, mereka lebih sibuk mengira berapa jumlah bilangan kerusi untuk memastikan mereka mengukuhkan kuasa tanpa sedikit pun mempedulikan prihal nasib rakyat.

Bagi kerajaan Pakatan Harapan hari ini, membelanjakan wang untuk membeli belah Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan para pemimpin UMNO jauh lebih utama dari memberikan perhatian kepada semua masalah rakyat. Malah, mereka juga tidak kisah untuk membelanjakan wang rakyat kearah keperluan mereka sendiri.

Bagi pihak rakyat pula, mereka meminta rakyat untuk bersabar dan sentiasa berfikiran positif kononnya kerajaan sedang berusaha menstabilkan Malaysia. Agak menghairankan sebenarnya, apa yang ingin distabilkan sedangkan semasa mereka mengambil alih tampuk pemerintahan, Malaysia berada pada tahap palinng stabil samada dari segi ekonomi, politik mahupun apa jua bentuk keperluan rakyat.

Sampai bila rakyat harus terus menerus ditekan tanpa rela seperti ini? Sepatutnya, kerajaan menjadi pelindung buat rakyat dan menjaga kebajikan rakyat, bukan menekan selagi boleh hanya untuk kepentingan sendiri. Perlu diingatkan bahawa kerajaan hari ini dipilih oleh rakyat yang mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik dari sebelumnya.

Andai kepercayaan ini dikhianati, bukan satu perkara mustahil andai rakyat bangkit menolak kerajaan yang ada hari ini kerana apa yang disajikan hari ini benar-benar telah mengecewakan rakyat. Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mentadbir Malaysia kearah lebih baik inilah yang menjadikan kerajaan hari ini semakin dijauhi rakyat dan dipenuhi dengan pelbagai cemuhan dan kebencian.

Nampaknya, Mereka Beriya-Ia Membakar Kemarahan Orang Melayu




Perlu diakui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu unik samada dari segi kompisi kaum mahupun hak kebebasan mengamalkan agama dan kebudayaan. Hal inilah yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dicemburui serta kerap kali dijadikan contoh bagaimana mengurus tadbir sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk.

Sejak 1387 sewaktu kali pertama Parameswara menjejakkan kaki Baginda ke Tanah Melayu, Semenanjung Malaysia ini dikenali sebagai Tanah Melayu yang mana hal ini berterusan sehinggalah kontrak sosial ditandatangani pada 1956 yang menyaksikan nama Tanah Melayu ini ditukar kepada Malaya seterusnya kepada Malaysia pada 1963.

Hari ini, segala kebanggaan kita mendiami tanah yang dikongsi bersama dengan kaum lain yang datang semasa penjajahan Inggeris sekitar tahun 1750 an kini sudah mula tergugah. 

Jika sebelum ini, kerajaan BN kerap kali memastikan segala kemudahan dan bantuan kerajaan diseimbangkan antara semua kaum, hari ini  sebaik sahaja Pakatan Harapan membentuk kerajaan, kedudukan kaum Melayu yang menjadi tuan atas tanah sendiri sudah mula dicabar.

Sejak 10 Mei 2018, sebaik sahaja Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP berjaya membentuk kerajaan, satu persatu cabaran dan provokasi kaum terutama untuk kaum Melayu mula tersebar. Ada yang secara terbuka mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selama ini tidak pernah di cabar mahupun di persoalkan.

Ada juga dikalangan mereka mula mempersoalkan hak Ketuanan Melayu kononnya kaum merekalah yang mula-mula membuka Tanah Melayu ini. Ada yang secara terbuka mempersoalkan kewajaran Solat Jumaat. Ada juga yang mendakwa Melayu dan Islam ini kolot kerana menolak amalan LGBT.

Tidak kurang juga ada yang mula mempermainkan pelbagai kalimah suci Islam termasuklah mempersendakan laungan takbir Allahuakhbar. Lebih teruk lagi, sewaktu kebanyakan kaum Melayu begitu sedih dengan kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, ada juga yang mempersendakan kedukaan ini.

Tidak cukup dengan itu, ada juga manusia berhati iblis ini yang sanggup mempersendakan pengorbanan Allahyarham Adib dengan mendakwa, Melayu itu sendiri yang mengamalkan gangsterisme. Apa sudah jadi pada laungan perpaduan dan kesepakatan antara kaum? Apa sudah jadi dengan perjanjian kontrak sosial yang ditandatangani pada tahun 1956?

Sedikit demi sedikit prihal kaum Melayu dan Islam sudah mula dicabar secara terbuka. Ditambah pula dengan kemahuan kerajaan yang mahu menandatangani ratifikasi ICERD sebelum keputusan ini ditarik balik dan digantung, kedudukan kesepakatan dan perpaduan antara kaum di negara ini bolehlah dianggap semakin menipis.

Sudah hilang rasa hormat mereka yang sebelum ini terpaksa menaiki tongkang mahupun kapal-kapal besar untuk menumpang kekayaan negara sewaktu penjajahan Inggeris. Hari ini, atas tiket mereka merasakan mereka anak Malaysia, hak Ketuanan Melayu pula mahu dikikis dan dibuang kebakul sampah.

Perlu diingatkan kepada mana-mana pihak yang sengaja mahu mencetuskan provokasi murahan dan cuba mencetuskan kemarahan kaum Melayu, Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi selain hak istimewa kaum Melayu turut terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, menerusi perjanjian Kontrak Sosial dahulu sudah termaktub, sekiranya mana-mana kaum bangkit dan cuba mencabar kedudukan kaum Melayu, maka akan terbatallah kontrak berkenaan dan mereka diminta untuk pulang kenegara asal mereka semula.

Ingatlah, Malaysia terbentuk hasil daripada kesepakatan dan saling faham memahami antara Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan kepimpinan Melayu UMNO bersama-sama Mediang Tun Tan Cheng Loke dan Mediang Tun Sambanthan yang menyaksikan, Malaysia dilahirkan atas nama kasih sayang sesama bangsa.

Andai kesemua mereka masih hidup, pasti mereka akan menangis melihat bagaimana anak cucu mereka sudah mula berani menuntut hak yang sama sekali bukan hak mereka. Andai barisan kepimpinan UMNO terdahulu melihat anak bangsa mereka, sudah tentu mereka meratap hiba bila melihat betapa teruknya kedudukan moral dan keutuhan jati diri anak Melayu dihina sedemikian rupa.

Ingatlah, Malaysia adalah sebuah negara yang cukup harmoni. Sebenci mana pun sebilangan rakyat Malaysia terhadap Datuk Seri Haji Tun Abdul Razak, ingatlah, beliau cuba menyatukan rakyat Malaysia dengan istilah 1 Malaysia, istilah yang hari ini amat ditakuti dan dibenci oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Tidak ada sesiapa pun mahu melihat tragedi hitam 13 Mei 1969 kembali berlaku di negara ini. Tidak ada sesiapa pun mahu melihat kehancuran Tunisia, Libya dan Syria merebak kedalam negara ini. Semua mahu hidup aman dan harmoni. Justeru, hentikanlah sebaran kebencian seumpama ini kerana ianya langsung tidak membantu kemajmukan dan keharmonian sebuah negara bernama Malaysia.

Kedudukan Mahathir Kian Terancam?



Jika dikira dan direnung semula keadaan politik di dalam Pakatan Harapan hari ini, nampaknya berlaku perbalahan yang disifatkan agak mencabar kedudukan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan. Walaupun pada dasarnya, mereka berjaya menutup perbalahan dalaman ini, namun, jika dilihat sejak akhir-akhir ini, perbalahan ini semakin sukar untuk diselindungkan.

Jika sebelum ini, Tun Dr Mahathir boleh mendakwa kesemua parti yang membentuk Pakatan Harapan ini masih kekal menyokongnya, namun apa yang berlaku hari ini, menampakkan sedikit kejanggalan. Baik DAP, PKR mahupun PAN, masing-masing sudah berani bersuara dan mempersoalkan setiap tindak tanduk Tun Dr Mahathir menguruskan Pakatan Harapan.

Semuanya gara-gara kemahuan beliau yang mahu melihat PPBM diperkasakan dengan "membeli jiwa dan maruah" sebilangan pemimpin dan Ahli Parlimen dari UMNO untuk menyertai PPBM. Tindakan ini sebenarnya mudah difahami kerana hari ini, PPBM masih belum mampu untuk bertapak dengan kukuh.

Tambahan pula, PPBM adalah sebuah parti yang hanya mempunyai 13 buah kerusi Parlimen sebelum angka ini ditambah dengan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang bertindak berpaling tadah dan menjadi pengkhianat.

Apa yang melucukan adalah, sebelum ini, Tun Dr Mahathir begitu tegas menyatakan bahawa partinya mahupun Pakatan Harapan tidak akan menerima mana-mana pemimpin UMNO yang ingin melompat parti. Tetapi, apa yag disajikan sepanjang minggu lepas menyaksikan, PPBM seolah-olah sedang memborong sakan Ahli Parlimen UMNO untuk melompat masuk kedalam PPBM.

Inilah yang menyebabkan DAP, PKR dan PAN agak marah kerana bagi DAP, tindakan Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti ini sebagai tidak bermaruah. Bagi PKR pula, mereka kekal dengan pendirian untuk tidak menerima mana-mana Ahli Parlimen mahupun pemimpin UMNO masuk kedalam PKR kerana mereka anggap Ahli Parlimen dan pemimpin ini tidak ikhlas dalam memperjuangkan reformasi kepimpinan negara.

Mungkin bagi Tun Dr Mahathir, usahanya untuk membentuk UMNO 3.0 menerusi lompatan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO ini bakal mengukuhkan PPBM dan kerajaan pimpinannya. Namun tindakan solonya ini menjadikan kedudukannya tidak lagi di hormati oleh rakan-rakannya di dalam Pakatan Harapan.

Memandangkan DAP sendiri yang selama ini dilihat cukup dominan di dalam Pakatan Harapan menyuarakan rasa tidak puas hati, bukan satu perkara yang mengejutkan andai DAP kembali memberi sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama berbelas tahun diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Malah, tindakan Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatannya selaku Naib Presiden PKR menampakkan, PKR sendiri sudah mula hilang sabar dengan kerenah dan kemahuan Tun Dr Mahathir yang mahu mengukuhkan kuasa tanpa mempedulikan pandangan rakan sesama Pakatan Harapan.

Tidak dapat dipastikan samada percaturan politik Tun Dr Mahathir kali ini berjaya ataupun tidak untuk beliau mengekalkan kuasa dan sekali lagi menidakkan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Namun, sekiranya beliau gagal menyejukkan hati DAP, PKR dan PAN dalam masa terdekat, kedudukan beliau pasti akan terancam.

Mungkinkah Kematian Adib Bakal Dapat Pembelaan Sewajarnya?



Sekalung ucapan takziah diucapkan buat keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang akhirnya menemui ajalnya akibat dibelasah semasa kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya bulan lalu. Sesungguhnya kematian Allahyarham amat dirasai dan cukup diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Membicarakan tentang kematian Allahyarham Muhammad Adib ini, pastinya ramai dikalangan rakyat Malaysia memantau dengan penuh minat, apa yang akan berlaku seterusnya setelah 4 orang suspek yang ditahan berikutan kes ini telahpun dibebaskan oleh mahkamah dan atas jaminan pihak polis.

Untuk rekod, pada 10 Disember yang lalu, Majistret Nurshahirah Abd. Salim telah membebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM 2,000 terhadap dua orang suspek yang memukul Allahyarham Muhammad Adib manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan dari pihak polis.

Sebaik sahaja berita sedih pemergian Allahyarham Muhammad Adib tersebar, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam satu kenyataan rasmi semalam memberitahu, kes melibatkan Allahyarham ini telah dipinda dari Seksyen 307 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kearan membunuh.

Pada dasarnya, memang patut kes ini disiasat menerusi Seksyen 302 kerana mangsa yang dipukul sudahpun meninggal dunia. Persoalannya, adakah 4 orang suspek yang telah dibebaskan sebelum ini akan ditahan dan dibicarakan semula? Apa pula tindakan terhadap Setiausaha Badan Bertindak kuil itu, V K Regu yang mendakwa Allahyarham Adib dilanggar oleh jentera bomba sendiri?

Jika kita perhatikan sebelum ini, ada beberapa kes melibatkan beberapa orang dari kaum lain, kecoh dan hangat di perkatakan. Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana kematian bekas setiausaha politik, Teoh Beng Hock yang boleh dikatakan tidak pernah selesai walaupun kerajaan sebelum ini telah menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kematian Beng Hock.

Lebih hebat lagi, deretan peguam hebat yang majoritinya Ahli Majlis Peguam yang condong kearah DAP, tampil membela kes ini dengan menuduh kerajaan sebelum ini sebagai cuai. Mereka seolah-olah langsung tidak boleh menerima laporan perubatan dan hasil siasatan dari Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang merumuskan, Beng Hock menemui ajal akibat membunuh diri.

Satu lagi contoh bagaimana N Surendran begitu bersungguh-sungguh membela kematian S. Balamurugan yang menemui ajal semasa dalam tahanan pihak polis. Walaupun pihak polis sudah mengeluarkan hasil siasatan bagi menyiasat kematian Balamurugan, namun, semua pihak enggan menerima hasil laporan ini.

Sebaliknya, pihak-pihak ini kekal menunding jari kononnya kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu cuai dan pihak polis tidak mengikut prosidur siasatan biasa sehingga menyaksikan tahanan pihak polis menemui ajal.

Perlu diingatkan bahawa kes rusuhan di kuil berkenaan sepatutnya tidak berlaku andai pihak kuil itu sendiri akur dengan perintah mahkamah. Malah rusuhan ini juga tidak berlaku sekiranya kumpulan Melayu yang didakwa menerima upah untuk menghalau kaum India yang bertahan di kuil berkenaan oleh pihak pemaju, tidak bertindak bodoh menerima upah sedemikian.

Paling utama, ketegangan seumpama ini tidak akan timbul sekiranya Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy tidak membawa semula isu ICERD yang menyaksikan kemarahan ramai pihak. Malah, kenyataan dia sebelum itu juga telah menyebabkan hubungan antara kaum di negara ini berada pada tahap yang agak tegang.

Namun, perkara sudah pun berlaku. Hari ini, apa yang diharapkan adalah, kematian yang tidak sepatutnya berlaku ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Muhammad Adib hanya berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Itu sahaja kesalahannya. Selebihnya, Allayarham menjadi mangsa kepada kerakusan dan kemarahan orang yang tidak berakal dan berotak.

Mungkin bagi pihak kerajaan mahupun pihak polis, siasatan menyeluruh perlu diadakan bagi merungkai, apa sebenarnya yang berlaku terhadap Allahyarham Adib supaya kemarahan orang ramai dapat diredakan. Semua pihak mahu tahu keadaan sebenar dan terpulanglah kepada pihak kerajaan dan polis menyelesaikan masalah ini dengan seadil-adilnya.

Suami Isteri Didakwa Miliki 18.7 Gram Dadah



Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memiliki dadah seberat 18.7 gram. Majistret Mohamad Aizat Abd Rahim menetapkan pengurusan kes pada 21 Januari tahun hadapan terhadap Sakam Kandung Salang, 60, dan Kalsum Abduhalim, 55, selepas mengaku tidak bersalah. 

Mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu pada 8 Ogos jam 6 petang di tepi jalan hadapan sebuah kedai tayar, Batu 15, Jalan Tuaran, Inanam di sini.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit salah boleh dikenakan penjara antara dua tahun hingga lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga dan tidak melebihi sembilan.

Sehingga kes selesai, tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Kedua-dua tertuduh bernasib baik setelah laporan kimia diperolehi, berat dadah yang dinyatakan tidak membolehkan mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) akta sama, atas kesalahan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung.

Pendakwaan berkenaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Suzie@Stephanie Kupit, manakala Sakam dan Kalsum tidak diwakili peguam. Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 25 tahun dikenakan denda sebanyak RM4,800 atau penjara 13 bulan, atas kesalahan memiliki dadah seberat 4.19 gram.

Almin Haran dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku salah mengikut Seksyen 12 (2) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya. Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 18 Mac sekitar kawasan Inanam di sini.

Penyelidik Jepun Terjatuh Di Gunung Mulu Selamat



Penyelidik warga Jepun yang tercedera selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu dua hari lepas, berjaya diterbangkan keluar dari Kem 4 oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, Akihiro Noda, 25, yang mengalami kecederaan pada punggung dan retak tulang rusuk, digegaskan ke Hospital Miri sebaik helikopter mendarat di Miri pada pukul 8.40 pagi. 

"Atas faktor keselamatan, kami terpaksa menggunakan win untuk membawa mangsa keluar dari Kem 4 seawal 7.40 pagi ketika keadaan cuaca agak baik dan kurang berawan," katanya.

Menurutnya, usaha mengeluarkan penyelidik berkenaan yang terjatuh ketika mendaki dua hari lalu, terpaksa ditangguhkan semalam kerana cuaca buruk.

Semalam, pihak pentadbiran Taman Negara Mulu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Marudi bagi memaklumkan tentang kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam Sabtu.

Kejadian berlaku ketika Akihiro, mahasiswa Universiti Kyoto, Jepun sedang mendaki gunung berkenaan bersama-sama seorang lagi penyelidik senegara dan tiga porter.

Padah Suka Mengamuk



TINDAKAN seorang lelaki yang gemar mengamuk dan memarahi ahli keluarga sendiri akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis di Kulim, semalam. Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang selepas mengamuk dan mengugut mahu membunuh adik perempuannya di rumah keluarga mereka di Taman Kenari. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, terdahulu dalam kejadian 1.30 petang, suspek secara tiba-tiba menjadi berang dan turut mencederakan dirinya dengan menghantuk kepala ke dinding.

“Bapa suspek sendiri yang membuat laporan polis selepas bimbang dengan keadaan suspek suka mengamuk. Berdasarkan maklumat yang diperoleh tiada perselisihan faham antara suspek dengan ahli keluarganya. Suspek akan bertindak agresif setiap kali mengamuk dan juga mencederakan dirinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan.

Lelaki Gay Dapat Anak Tumpang



Seorang lelaki gay di Singapura, hari ini berjaya mendapatkan hak untuk mengambil seorang anak dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat (AS). Ia diperolehi dalam satu keputusan penting mahkamah di negara konservatif itu. 

Walaupun Singapura adalah sebuah negara makmur dan moden dalam pelbagai aspek, kritikan terhadap golongan homoseksual sering kali dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Perkahwinan gay adalah tidak dibenarkan sama sekali dan seks sesama lelaki masih kekal melanggar undang-undang sejak di bawah zaman kolonial British, meskipun ia jarang dikuatkuasakan di negara itu.

Difahamkan, lelaki yang tidak dipastikan identiti menemui seorang ibu tumpang di AS yang bersetuju mengandungkan anaknya dengan bayaran sebanyak AS$200,000 (RM837,455).

Kaedah ibu tumpang dilarang sekeras-kerasnya di Singapura. Ketika ini, kanak-kanak lelaki itu sudah pun berusia lima tahun. Lelaki berusia 46 tahun ialah seorang doktor patologi yang membawa kanak-kanak itu ke Singapura dan membuat permohonan pengambilan anak secara rasmi dengan harapan kanak-kanak mendapat warganegara Singapura.

Namun, pada penghujung Disember tahun lalu, hakim mahkamah daerah di Singapura menolak permohonannya. Tetapi dia kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang memutuskan untuk memihak kepadanya. 

Peguamnya, Ivan Cheong berkata anak guamnya itu ‘sangat gembira kerana proses panjang pengambilan anak itu berjaya diselesaikan dan kebajikan kanak-kanak itu ditegakkan.

Chelsea Jumpa Malmo, Arsenal Layan Borisov



Bekas juara, Chelsea diundi bertemu Malmo di peringkat 32 terakhir Liga Europa dengan Arsenal sekali lagi diuji juara Belarus, BATE Borisov. Ketika ia menjadi pertemuan sulung di antara Chelsea dan kelab Sweden Malmo, Arsenal dan Borisov pernah bertemu di peringkat kumpulan Liga Europa musim lalu yang menyaksikan Gunners menang besar 6-0 di Emirates. 

Sementara itu, juara lima kali Sevilla yang ketika ini menghuni tangga kedua La Liga bakal berdepan laluan sukar menentang kelab Serie A, Lazio manakala juara 2004, Valencia perlu berdepan juara Scotland, Celtic. Satu lagi kelab Sepanyol, Villarreal, yang ketika ini bergelut di zon penyingkiran La Liga berdepan kelab Portugal, Sporting dan Real Betis menentang kelab Perancis, Rennes.

Inter Milan, salah satu pasukan yang tersingkir ke Liga Europa selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di tangga ketiga akan menentang Rapid Vienna manakala Napoli, yang juga tersingkir daripada kancah elit itu bertemu FC Zurich.

“Kami kecewa dengan penyingkiran dari Liga Juara-Juara tetapi kami bersedia untuk memperoleh kempen yang amat baik di Liga Europa,” kata Naib Presiden Inter, Javier Zanetti.

Gergasi Portugal, Benfica, yang juga naib juara tiga kali saingan kedua Eropah itu akan bertemu kelab Turki, Galatasaray, yang pernah memenangi Piala UEFA pada 2000. Perlawanan pertama dijadualkan pada 12 dan 14 Februari ini manakala aksi timbal balik pada 21 dan 21 Februari.

Terkejut Ada Objek Pelik...



PASANGAN pelakon suami isteri Azwan Kombos, 33, dan Ezzaty Abdullah, 28, mengakui terkejut melihat paparan objek pelik dalam gambar dan video yang diambil ketika sambutan ulang tahun kelahiran puteri sulung mereka, Harum Dalia yang genap setahun pada 6 Disember lalu. 

Ezzaty berkata, gambar dan video yang diambil olehnya dan dimuat naik ke Instagram ini mendapat respon segera seorang peminat yang melihat kewujudan objek pelik ini. “Pada 6 Disember lalu, saya ambil gambar Harum dan masukkan di Instagram story. Kemudian, seorang peminat komen, ada benda di belakang dekat tangga rumah.

“Sebenarnya ketika itu saya hanya berdua dengan Harum dan kami tengah tunggu azan Maghrib sementara nak potong kek Harum. Saya buat video tanya Harum di mana ayahnya. Saya memang suka post video Harum di Instagram Story kerana peminat suka tengok,” katanya ketika mengadakan majlis sambutan setahun Harum Dalia baru-baru ini.

Menurutnya, peminat ini segera memberikan komen mengatakan ada sesuatu ditangga. “Mulanya saya ingat dia main-main dan malas nak melayan. Kemudian Azwan sampai rumah dan saya mula besarkan gambar tadi. Memang saya ternampak satu gambar menyeramkan dan terus ajak Azwan keluar rumah,” katanya.

Azwan pula mencelah, kejadian ini menimbulkan ketakukan terhadap Ezzaty yang kini takut tinggal sendirian. “Ezzaty nak naik tingkat atas untuk tidur pun kena ditemani saya sekarang. Sampaikan saya nak keluar pergi gimnasium pun susah.

“Kami dah merujuk masalah ini kepada tiga ustaz dan insyaAllah rumah kami sedang dipulihkan. Seorang ustaz kata makhluk ini enggan keluar. Tapi dia sudah `pagar rumah kami’ dan minta kami berdoa tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Pasangan ini bagaimanapun keberatan membenarkan gambar ini dikongsi oleh pihak media. Dalam pada itu, Ezzaty mengakui sering membawa Harum ke lokasi kerana anaknya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. 

“Saya pernah beberapa kali bawa Harum pergi set. Dia sudah biasa dengan orang dan kalau saya sedang dalam penggambaran, dia memang tak pernah ganggu. Penggambaran berjalan lancar, Cuma kadang-kadang saya kena berhenti sekejap untuk menyusukan dia. Kadangkala saya pergi kerja dan tinggalkan Harum untuk dijaga oleh Azwan,” katanya.

Sementara itu, berbeza pula buat Azwan apabila enggan membawa Harum sekiranya sedang bekerja. “Saya lebih suka fokus jaga dia di rumah kerana semua kelengkapan cukup tersedia. Tak perlu nak fikir cari barang-barang lagi untuk dia,” katanya.

Azwan dan Ezzaty pernah membawa Harum ke Dubai ketika menjalani penggambaran sebuah drama sebelum ini. “Mula-mula Azwan risau juga. Tapi kerana saya ada, dia okaylah. Ikutkan Azwan, dia memang tak nak bawa kerana semuanya ada di rumah. Saya sebagai ibu memang nak anak ada sentiasa berada di sisi,” katanya.

Perodua Belanja RM39.7b



Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sudah membelanjakan RM39.7 bilion dari 2009 hingga November tahun ini bagi membeli komponen daripada vendor tempatan. 

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata dalam tempoh sama, PERODUA memperuntukkan RM4.3 bilion dalam perbelanjaan modal dengan RM1.4 bilion untuk PERODUA Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB), kemudahan pengilangan tercanggih pengeluar kereta nasional kedua negara.

“Pelbagai pencapaian diraih sejak 2009 hingga November 2018, yang mana penguasaan pasaran PERODUA juga berkembang kepada 38 peratus dari 31.1 peratus.

“Dari segi jualan, PERODUA menjual 209,000 unit setakat November 2018, berbanding setahun penuh ada 2009 iaitu 167,000 unit, selain melepasi jualan tahun lalu iaitu 205,000 unit,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena Majlis Makan Malam Istimewa Bersama PERODUA-Media di sini. 

Aminar Rashid yang akan bersara pada 31 Disember depan adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif paling lama berkhidmat dengan PERODUA. Tempat beliau akan digantikan Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sebelum ini adalah Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd berkuatkuasa 1 Januari ini.

Di bawah kepimpinan Aminar Rashid selama sembilan tahun, PERODUA turut mencatat pencapaian dari segi pendaftaran dengan pertumbuhan sebanyak 23 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pertumbuhan jumlah jualan kenderaan (TIV) iaitu tujuh peratus dalam tempoh sama.

Selain itu, PERODUA turut merekodkan pengeluaran berjumlah 199,000 unit kenderaan setakat November 2018 dari 161,000 unit bagi setahun penuh 2009. Mengulas mengenai penggantinya, Aminar Rashid berkata, sokongan diterima selama ini harus berterusan di bawah kepimpinan Zainal Abidin. 

“Kejayaan yang dikecapi PERODUA tidak akan dicapai dengan usaha seorang saja. Kerja berpasukan adalah kunci utama. Saya berharap semua dapat menyokong Zainal Abidin dalam menerajui PERODUA,” katanya.

Modern Warfare 4 Bakal Terbit?



FRANCAIS permainan berkonsepkan penembak pertama (FPS) Call of Duty dilaporkan sedang membangunkan siri keempat daripada episod ‘Modern Warfare’ dan dijangka akan diterbitkan pada suku pertama tahun depan. 

Ia berikutan beberapa imej di laman web Call of Duty yang mempamerkan harga pra tempahan untuk francais berkenaan sekali gus menguatkan lagi khabar angin bahawa pemaju permainan itu, Infinity Ward sedang berusaha keras untuk mengembalikan semula kegemilangan Modern Warfare. 

Laporan itu mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat permainan francais berkenaan yang lebih gemar berperang secara realistik tanpa menggunakan gajet berteknologi tinggi.

Siri francais itu terhenti selepas Modern Warfare 3 diterbitkan pada 2011 dan menyepi selama lapan tahun sebelum khabar angin berkenaan episod terbaru iaitu Modern Warfare 4 bakal menemui peminatnya tahun depan. 

Francais permainan ini sangat popular suatu masa dulu apabila menjadi fenomena menerusi tiga siri keluarannya dan pemain boleh memainkan watak sebagai salah seorang anggota pasukan elit dan menentang pelbagai organisasi pengganas seluruh dunia.

Penulis yang membesar dengan siri permainan ini beranggapan ia adalah waktu paling sesuai memandangkan perkembangan dunia e-Sport di samping permintaan tinggi untuk genre permainan yang lebih realistik. 

Biarpun dua bulan lalu, francais Call of Duty: Black Ops 4 (COD:BO4) sudah diterbitkan, namun permainan itu lebih berkonsepkan futuristik dan peperangan masa depan.

Kekuatan siri Call of Duty: Modern Warfare (COD:MW) adalah ciri peperangan realistik serta menggunakan perkakasan ketenteraan sebenar daripada raifal tempur jenis Colt M4 Carbine sehingga kepada pengoperasian kapal terbang tempur Lockheed AC-130 Spectre. 

Berdasarkan episod sebelum ini, pemain akan ditawarkan melaksanakan pelbagai misi bersama pasukan elit sesebuah negara dan menghentikan ancaman keganasan daripada organisasi tertentu.

Biarpun jalan cerita dalam mod kempen adalah fiksyen, tetapi pemain boleh merasai pengalaman sebenar sebagai seorang tentera elit dan pelbagai persenjataan terkini. Francais ini juga dikhabarkan turut dilengkapi dengan mod permainan ‘Battle Royale’ yang semakin popular dan menjadi fenomena dalam kalangan penggemar e-Sport.