Sunday, 3 March 2019

Lelaki Bertopeng, Berparang Samun Suami Isteri



SUAMI isteri melalui detik mencemaskan apabila diikat dengan tuala dan kabel periuk nasi oleh tiga penjenayah dalam kejadian samun di rumah mereka di Jalan Selaling Tondong, Bau, semalam. Ketika kejadian 3.20 pagi itu, pasangan terbabit yang berada di bilik tidur didatangi tiga lelaki yang memecah masuk rumah mereka. 

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa manakala dua lagi menggeledah almari pakaian sebelum mengambil barang berharga termasuk wang tunai.

“Ketiga-tiga lelaki yang berpakaian hitam, bertopeng dan memegang parang kemudian melarikan dengan mangsa kerugian kira-kira RM3,000. Antara barang yang diambil suspek adalah dua cincin, seutas rantai leher, loket, gelang tangan, jam tangan dan wang tunai RM460,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasangan terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Bot Karam: SAR Masuk Hari Ketiga



Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini disambung semula hari ini, selepas ditangguhkan pukul 6 petang semalam. 

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandaka, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi, melibatkan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika dan dipecahkan kepada lapan sektor.

Operasi yang di sertai APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah Laut 2 Sandakan, Pasukan Polis Marin Sandakan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan kekuatan 111 orang itu digerakkan bagi mencari empat lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian 6 petang pada Khamis lalu.

Mangsa yang masih hilang ialah dua lelaki masing-masing berumur 40 dan 27 tahun dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur lapan dan satu tahun.

Dalam kejadian itu bot membawa seorang tekong dan 10 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora.

Lima mangsa diselamatkan bot tempur TLDM yang melihat mereka berpaut pada bot yang terbalik sebelum mayat kanak-kanak lelaki ditemui empat jam kemudian. Semalam, mayat seorang wanita dipercayai mangsa bot yang sama, ditemui nelayan pada pukul 12.44 tengah hari.

Nak Pinjam RM5,000, Rugi RM72,999



SEORANG lelaki sanggup membayar sehingga RM72,999 bagi mendapatkan pinjaman yang hanya berjumlah RM5,000 sebelum menyedari dirinya ditipu satu sindiket. Mangsa berusia 39 tahun itu dikatakan membuat sebanyak 47 kali transaksi untuk memasukkan wang berkenaan dalam 14 akaun sejak Mei tahun lalu sehingga kelmarin untuk pelbagai bayaran diminta suspek. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula Mei tahun lalu apabila mangsa melayari laman Facebook dan tertarik dengan iklan pinjaman wang. 

“Mangsa yang tidak bekerja itu mengisi maklumat diperlukan sebelum dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Miss Kriss dari Syarikat EZ Enterprise Moneylender. Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran yang dianggarkan RM72,999 membabitkan 47 transaksi ke dalam 14 akaun. “Namun sehingga kini, mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang jurujual lelaki berusia 32 tahun di sini berputih mata apabila kerugian RM7,653 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud di FB, bulan lalu.

“Mangsa berurusan dengan tiga suspek memperkenalkan diri sebagai Jeff, Raymond dan Vivivan dan hasil perbincangan dia setuju membuat pinjaman sebanyak RM25,000 namun perlu membuat pelbagai bayaran insuran, cukai serta denda bayaran lewat.

“Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak RM7,653 ke dalam tiga akaun berbeza melalui empat transaksi bermula Jumaat lalu sehingga semalam sebelum ingin membatalkan permohonan pinjaman,” katanya. 

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta membuat bayaran pembatalan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman namun dia enggan dan meminta balik bayaran sudah diserahkannya kepada sindiket berkenaan. 

“Namun sindiket berkenaan enggan dan mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bertumbuk Kerana Koleh



Pelanggan di beberapa rangkaian kedai kopi Starbucks di China dilaporkan bergaduh kerana berebut untuk membeli satu koleh edisi terhad. 

Beberapa rakaman video yang tular di Internet menunjukkan pelanggan bertengkar dan bergaduh di beberapa rangkaian kedai itu untuk membeli koleh dengan bentuk kaki kucing.

Koleh berwarna merah jambu sebahagian koleksi Tahun Baru Cina Starbucks itu mula dijual di kedai berkenaan dan di dalam talian sejak Selasa lalu dengan harga 199 yuan (RM121).

National Business Daily melaporkan, ramai pelanggan beratur berjam-jam sebelum kedai itu dibuka pada Selasa lalu untuk membeli koleh berkenaan. Satu gambar menunjukkan seorang pelanggan bermalam dan berkhemah di depan sebuah kedai berkenaan menunggu ia dibuka.

Global Times yang memetik seorang pekerja Starbucks di Beijing sebagai berkata, kedai yang kecil hanya diberi empat atau lima koleh berkenaan manakala premis yang lebih besar mendapat hingga lapan koleh.

Koleh itu kemudiannya dijual di Internet dengan harga mencecah 1,800 yuan (RM1,094), hampir sembilan kali ganda daripada harga asal. Sementara itu, polis China memberi amaran, pelanggan yang bergaduh berebut koleh itu boleh didakwa mencetuskan kekacauan di tempat awam dan dihukum penjara 10 hari.

Magis Solskjaer



OLE Gunnar Solskjaer berkata, dia “yakin” pasukannya mampu bangkit dalam Liga Juara-Juara di Paris Saint-Germain minggu ini selepas kemenangan dramatik 3-2 mengatasi Southampton malam tadi. 

Jaringan Romelu Lukaku minit ke-89 di Old Trafford, yang juga jaringan keempatnya dalam dua perlawanan, membawa United kembali ke kedudukan empat teratas mengatasi Arsenal, yang seri berdepan Tottenham. Pasukan Solskjaer mensasarkan untuk menukar defisit 2-0 pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di PSG, awal pagi Khamis ini. 

“Bilik persalinan ceria, mereka gembira, tidak sabar menunggu Rabu,” kata warga Norway itu. “Kami akan bermain menentang satu daripada pasukan terbaik Eropah dengan pemain kualiti terhebat, tetapi siapa yang tahu? Ini pernah berlaku sebelum ini, terlalu banyak kebangkitan hebat.

“Liga Juara-Juara sudah memberikan beberapa kebangkitan hebat, contohnya PSG berdepan Barcelona. Kami perlu melakukannya jauh dari laman sendiri, tapi kami ada lapan perlawanan berturut-turut menang di tempat lawan.

“Kami yakin walaupun jauh dari laman sendiri dan jika kami dalam perlawanan berbaki 20 atau 30 minit, siapa yang tahu?”

Mentor Solskjaer, Alex Ferguson terkenal dengan kemenangan saat akhir ketika zaman keemasan yang turut disertai pemangku pengurus United ketika ini, yang menjaringkan gol kemenangan pada tamat permainan final Liga Juara-Juara 1999 berdepan Bayern Munich.

Dan pengendali dari Norway itu tampak mahu mengembalikan semangat era Ferguson selepas United meraih tiga mata berharga ketika bertemu pasukan di tangga tercorot, Southampton.

“Ia seolah-olah sama seperti dulu,” kata Solskjaer, yang mana pasukannya kini mendahului Arsenal dengan perbezaan satu mata dalam buruan slot Liga Juara-Juara, dengan Chelsea lima di belakang dengan kurang dua perlawanan.

“Saya sudah menjadi sebahagian daripadanya banyak kali. Kami bercakap mengenainya pada separuh masa pertama dan saya kata dapatkan bola dalam kotak penalti dan banyak menyerang kerana Stretford End akan menyukarkan kamu.

“Saya tidak mahu mengganggu Andreas (Pereira) dan Romelu, kerana mereka adalah pemain dengan penyudah hebat, tetapi semangat hanyalah sebahagian daripada sejarah kelab ini. Banyak yang sudah kami lakukan sebelum ini.”

Setiap Hari Rasa Makin Sihat



Sebaik berita kesihatannya mendapat liputan media, nama pelakon dan pelawak terkenal Ebby Yus kembali menjadi perhatian. Ternyata, figura seni berbakat besar ini begitu disenangi ramai dan banyak doa dititipkan peminat agar kesihatannya pulih. 

Selamat pergi dan balik mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah bulan lalu, Ebby, 55, mengakui tahap kesihatannya menunjukkan perubahan. “Alhamdulillah, ada perubahan ke arah lebih sihat. Cuma, sejauh mana tahap sihat itu saya tak boleh nak jelaskan kerana harus menunggu keputusan daripada doktor.

“Temu janji dengan doktor bagi pemeriksaan dan rawatan dijadualkan penghujung Mac nanti. Jadi, selepas bertemu doktor barulah saya tahu sejauh mana kondisi kesihatan sebenar terutama tahap pemulihannya. Setakat ini, Alhamdulillah setiap hari rasa semakin sihat. Bolehlah juga saya berjalan walaupun tidak begitu jauh,” katanya.

Menyentuh mengenai selera makan, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah. “Soal makan, saya mengikut apa yang disarankan doktor. Syukur, selera makan nampaknya tidak terganggu.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan saya. Hanya Allah SWT sahaja dapat membalas semuanya. Saya sangat bersyukur dengan keprihatin ramai terhadap tahap kesihatan saya,” katanya.

Masih hidup membujang pada usia sudah mencecah setengah abad, Ebby berkata, dia reda dengan takdir hidupnya yang masih solo. “Mungkin inilah takdir saya yang sudah diatur Allah SWT yang mana pada usia begini masih lagi membujang.

“Saya tidak pernah kesal dengan takdir ini kerana sentiasa yakin bahawa ada hikmah yang sudah dijanjikan Yang Maha Esa. Bagaimanapun, sebagai manusia biasa selalunya diri terleka. Apapun, yang pasti keluarga memahami dan tidak membiarkan saya sendiri,” katanya.

Menurut pelakon sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut (JKKK) siaran TV3 itu, dia bersyukur adik-beradiknya sentiasa di sisi. “Meskipun, adik-beradik yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri tetapi mereka tidak pernah lupa dan ketepikan saya.

“Jika tidak dapat datang ziarah di rumah, mereka selalu menghubungi saya untuk bertanya khabar,” katanya. Terdahulu, Ebby dilaporkan menghidap masalah buah pinggang dan jantung yang serius hingga menyukarkan dia bekerja.

Kos Sara Hidup Punca Jenayah Meningkat



Desakan hidup dan faktor kewangan dikatakan antara punca penglibatan segelintir rakyat Malaysia dalam gejala jenayah seperti keldai dadah, meragut dan merompak. Memang tidak dinafikan ada penjenayah tersebut melakukannya atas desakan hidup seperti kelaparan, ketiadaan wang atau masalah hutang. 

Namun, terdapat juga segelintir individu yang melakukan perbuatan itu untuk mengaut keuntungan dengan cara yang mudah dan cepat. Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, kajian empirikal menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif dan negatif antara jurang pendapatan serta kadar jenayah.

“Sebab itulah isu berkaitan kos sara hidup dan jurang pendapatan hari ini perlu diberi perhatian berikutan hubung kaitnya dengan kadar jenayah. Kebanyakan yang melakukan jenayah bawahan adalah disebabkan mahu meneruskan hidup secara selesa dan tindakan yang diambil dianggap jalan cepat,” katanya.

Sebelum ini, media kerap melaporkan, desakan hidup dan faktor kewangan antara faktor yang menyebabkan penglibatan segelintir rakyat Malaysia sebagai keldai dadah menunjukkan peningkatan pada tahun lalu.

Ia didedahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali yang menyatakan trend tersebut semakin membimbangkan. Berdasarkan rekod, seramai 425 orang rakyat Malaysia ditahan di 19 buah negara atas kesalahan menjadi keldai dadah sejak 2013 hingga Oktober tahun lalu.

Inflasi

Pada 17 Januari lalu, media turut melaporkan, dua kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia adalah antara lapan individu yang ditahan di Australia atas dakwaan menyeludup dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai AS$20 juta (RM59 juta).

Dalam pada itu, Afzanizam menambah, faktor inflasi juga memainkan peranan penting dalam peningkatan dan pengurangan kadar jenayah. “Oleh itu, langkah pencegahan sememangnya langkah yang perlu sentiasa diperkasa dan diberi perhatian. Antaranya adalah pendidikan kewangan supaya setiap individu mampu untuk mentadbir kewangan peribadi mereka dengan baik.

Ujarnya lagi, ia termasuklah menggalakkan individu untuk membuat tabungan serta melabur dalam instrumen pelaburan yang sesuai dengan tahap toleransi risiko mereka. Menurut Afazanizam, simpanan bagi setiap individu adalah amat penting berikutan faktor inflasi yang sentiasa akan menghakis simpanan yang tidak dilaburkan.

Sementara itu, Pakar sosiologi, Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berkata, kekurangan didikan agama juga mendorong seseorang itu melakukan jenayah akibat desakan kewangan.

“Jika kawalan agama dalam diri lemah, ia akan mempengaruhi seseorang melakukan kegiatan jenayah, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai peluang. Sebenarnya nilai moral dalam diri merupakan penentu untuk melakukan jenayah. Pengetahuan sahaja tidak mencukupi tapi ia mesti selaras dengan keimanan,” tuturnya.