Monday, 27 May 2019

Apa Fungsi Sebenar Majlis Penasihat Kerajaan?



Pada 12 Mei 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan satu Majlis Penasihat Kerajaan yang fungsinya adalah untuk melicinkan pentadbiran kerajaan dengan memberikan nasihat yang difikirkan perlu. Di samping itu, majlis berkenaan juga turut berfungsi dalam mengurus tadbir serta mempertingkatkan ekonomi negara.

Majlis ini dianggotai oleh Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Bilionair Malaysia, Tan Sri Robert Kuok, Ahli Ekonomi, Dr JomoKwame Sundaram dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican.

Melihat kepada senarai nama berkenaan, sudah tentu, kita menjangkakan hasil nasihat serta kepakaran mereka mampu untuk memberikan nasihat yang bernas serta melonjakkan ekonomi Malaysia ketahap yang lebih baik dari sebelumnya. Namun, selepas 11 bulan ditubuhkan, bolehlah dikatakan dalam bahasa kasarnya, kesemua mereka ini hanya makan gaji buta.

Sepanjang 11 bulan ini, boleh dikatakan, tidak ada satu pun nasihat mereka didengari oleh kerajaan. Sebagai contoh, Tun Daim pernah memberikan nasihat untuk berhenti dari terus menyalahkan kerajaan BN sebelum ini. Namun, dalam setiap sidang media, baik Perdana Menteri mahupun menteri kabinet, cara paling mudah untuk melepaskan diri adalah dengan menyalahkan BN.

Satu lagi kenyataan yang sehingga kini menjadi tandatanya adalah, aa sudah jadi dengan kenyataan Tan Sri Zeti yang menyatakan, permansuhan tol di seluruh Malaysia akan diumumkan pada minggu hadapan. Pengumuman dan kenyataan ini dibuat pada 17 Mei 2018 dan sehingga kini, sudah berpuluh kali minggu hadapan, bayang dia pun ghaib entah kemana.

Menyentuh mengenai ekonomi, kelima-lima mereka boleh diiktiraf sebagai pakar dalam bidang ekonomi. Namun, apa yang disaksikan sepanjang 11 bulan ini, ekonomi Malaysia jatuh merudum. Ringgit mengalami penurunan. Indeks KLSE turut mengalami kejatuhan paling memalukan dalam tempoh 20 tahun. Hutang Negara terus meningkat dan kedudukan KDNK serta kadar inflasi menampakkan Malaysia sedang menuju kehancuran.

Khidmat nasihat apa yang diberikan sehingga Ringgit sudah mencecah RM 4.20 untuk 1USD? Kepakaran ekonomi apa sehingga indeks KLSE mengalami kejatuhan berterusan sehingga mengakibatkan kerugian RM 2.85 bilion dalam tempoh setahun? Kehebatan apakah yang ditampilkan sehingga kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya sekitar 4.5 peratus berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Dunia semasa BN memerintah?

Bukankah perkembangan semasa Malaysia ini menampakkan kelima-lima mereka ini hanya makan gaji buta dan sebenarnya mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya fungsi mereka? Jika nasihat pun kerajaan tidak mahu ikut, kepakaran ekonomi mereka pun dipersenda oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, rasanya kelima-lima mereka ini lebih baik hilang sahaja dari radar pentadbiran kerajaan.

Tiada guna memegang title Badan Penasihat Kerajaan dan Ekonomi Negara jika apa yang mereka buat langsung tidak dipedulikan. Rakyat tetap memerhati dengan penuh minat, sehingga bila mereka semua ini mahu kekal menjadi "badut-badut" kerajaan kononnya menerima pakai apa sahaja nasihat yang diberikan oleh mereka.

Dalam bahasa kasarnya, berhentilah makan gaji buta kerana rasanya, pakcik makcik luar bandar yang duduk melepak di kedai kopi di pekan-pekan atau di simpang-simpang kampung pun boleh memberi pendapat bernas mereka mengenai ekonomi semasa Malaysia yang semakin hari semakin menuju kearah gaung.

Andai Adib Boleh Bangun Semula...


Sejujurnya, tidak pernah pihak editor mengira, sudah hari keberapa inkues kematian Allahyarham Adib sudah berlangsung. Bukan mahu mempersoalkan sesi inkues yang sedang berlangsung, tetapi secara jujurnya, penubuhan inkues ini hanyalah membuang masa dan seolah-olah mahu mengalih perhatian rakyat yang ingin tahu apa sebenarnya berlaku pada malam kejadian di Kuil Seri Maha Mariamman.

Sejak dari awal lagi, pihak pembangkang mempersoalkan penubuhan inkues ini. Manakan tidak, beberapa hari selepas Allahyarham Adib di belasah dengan teruk, pihak PDRM telah berjaya memberkas 4 orang suspek yang dikatakan terlibat dalam kejadian berkenaan. Namun, beberapa hari kemudian, kesemua suspek di bebaskan dengan jaminan pihak polis.

Kemudian, apabila Allahyarham Adib sah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang teruk, secara tiba-tiba Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan penubuhan inkues khas untuk menyiasat punca kematian Allahyarham Adib. Seperti dijangka, penubuhan inkues ini mendapat bantahan dari pembangkang dan majoriti rakyat Malaysia.

Masing-masing mula mempersoalkan, apa tujuan sebenar penubuhan inkues ini sedangkan 4 orang suspek yang ditahan sebelum ini, langsung tidak dipanggil. Malah keterangan saksi dan pakar perubatan mengenai kecederaan yang dialami oleh Allahyarham Adib juga agak meragukan.

Sehinggakan ada dua orang pakar yang menjadi saksi dalam inkues ini telah membuat laporan polis. Mereka mendakwa, terdapat beberapa individu telah memaksa mereka memberi keterangan yang bercanggah sama sekali dengan apa yang mereka sendiri saksikan.

Lebih teruk lagi, pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat dan peguamnya, Syazlin Mansor telah menarik diri dari meneruskan inkues ini. Di katakan, penarikan diri Syazlin berpunca dari satu arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.

Dalam satu ulasan yang dibuat Zuraidah sebentar tadi, dia memaklumkan bahawa, kehadiran Peguam Negara sudah cukup untuk membela pasukan Bomba dan Penyelamat. Namun, kenyataan ini pantas mengundang rasa tidak puas hati bagi keluarga Allahyarham Adib. Mereka mempersoalkan, kenapa perlu mengeluarkan arahan sedemikian sedangkan proses inkues masih berlangsung.

Inilah sandiwara yang sedang berlaku yang berselindung di sebalik istilah Rule of Law. Begitu banyak persoalan yang masih bermain di fikiran ramai orang yang mana tidak ada satu pun jawapan dapat diberikan.

Apa yang agak melucukan adalah, andai benar Allahyarham Adib mendapat kecederaan serius pada organ dalamannya akibat dilanggar oleh trak atau van EMERS milik Pasukan Bomba dan Penyelamat seperti yang didakwa oleh seorang pakar, kenapa pihak polis pantas menahan 4 orang suspek yang dikatakan membunuh Allahyarham Adib?

Pada ketika kita mungkin sedang bergembira mahu menyambut kehadiran 1 Syawal kali ini, setiap seorang anggota keluarga Allahyarham Adib masih belum mampu bangkit dari rasa kehilangan seorang anak yang amat bertanggungjawab. Mereka masih bersedih.

Ditambah pula dengan pembelaan kematian anak mereka masih menimbulkan tandatanya, adakah kematian Allahyarham Adib mendapat pembelaan sewajarnya? Adakah kelak, hasil daripada inkues ini, kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada punggung van EMERS atau pintu van berkenaan?

Andai inilah jawapan kepada kematian individu yang tidak berdosa yang berada di salah tempat dan salah waktu berkenaan, usah terkejut andai rakyat akan menyatakan satu kenyataan yang amat pahit untuk ditelan oleh setiap seorang pemimpin Pakatan Harapan. Perkataan berkenaan adalah, "UNDANG-UNDANG TELAH MATI DI NEGARA INI".

Pada ketika dan saat inilah, ramai daripada kita terbayang, andai Allahyarham Adib mampu bangun semula dari persemadiannya, apa yang Allahyarham lakukan? Adakah Allahyarham akan tersenyum girang melihat cara mereka yang masih hidup ini memperjuangkan kematiannya?

Al Fatihah buatmu Allahyarham Muhammad Adib

Mazlan Aliman Wajib Bertanggungjawab Atas Penipuan Dan Penginayaan Kepada Warga Felda



Siapa yang masih ingat akan kata-kata, "sebaik Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke 14 ini, semua hutang para peneroka akan dihapuskan sama sekali. Malah, elaun sara hidup tuan-tuan dan puan-puan akan dinaikkan"? Bukankah ini ayat Mazlan Aliman, bekas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

Walaupun tidak keseleruhan warga peneroka Felda mempercayai kata-katanya, sebahagian yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk memeritah penggal inilah yang menyebabkan pelbagai kesengsaraan warga Felda yang selama 9 tahun berturut-turut di bawah pentadbiran Datuk Seri Haji Mohd Najib, kehidupan mereka amat tenang dan mewah.

Jika dahulu harga sawit boleh mencecah hingga RM 380 se tan metrik, hari ini untuk cecah angka RM 270 se tan matrik begitu susah. Di tambah bebanan hutang yang meningkat serta kos sara hidup yang semakin tinggi, apalah daya warga Felda meneruskan kehidupan seharian seperti biasa dengan hanya gaji tidak sampai RM 500?

Perkara ini seolah-olah langsung tidak diendahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Apa yang mereka tahu hanyalah menuduh Datuk Seri Mohd Najib menggunakan wang Felda untuk kelangsungan politik. Malah, Datuk Seri Azmin Ali sendiri seolah-olah lepas tangan apabila mendakwa, nasib peneroka hari ini disebabkan keborosan kerajaan BN sebelum ini.

Andai betullah kerajaan BN ini boros, ingin ditanyakan kepada Azmin dan semua menteri terlibat terutama Mazlan Aliman, bagaimana sejak 2009 hingga 2017, Datuk Seri Haji Mohd Najib dan kerajaan BN mampu membayar bonus tahunan serta menaikkan elaun sara hidup para peneroka Felda?

Bagaimana saban tahun sejak 2009 hingga 2017, kerajaan BN tidak pernah walau sekalipun tidak memasukkan insentif khas buat warga Felda dalam setiap pembentangan bajet tahunan? Paling utama, bagaimana kerajaan BN mampu lebih terbuka dalam menguruskan hutang warga Felda tanpa perlu menekan mereka membayar setiap bulan tanpa gagal?

Hari ini, hanya tinggal kira-kira 8 hari sahaja lagi Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang. Langsung tiada sebarang usaha mahupun inisiatif dari kerajaan memberikan sedikit saguhati buat para peneroka Felda. Malah, dalam satu sidang media hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyatakan tidak tahu menahu mengenai bonus atau insentif Hari Raya buat warga Felda.

Apakah, para peneroka ini bukan warga negara Malaysia sehingga mereka dilayan seperti ini? Mana perginya Mazlan Aliman, hero yang kononnya memperjuangkan nasib warga Felda sejak sekian lama? Kenapa hari ini menikus tidak mengaum seperti sebelum PRU 14?

Jika dahulu, kerajaan BN tidak perlu mendengar sebarang rayuan dari para peneroka Felda untuk membayar bonus dan insentif, hari ini, Mazlan Aliman, ANAK dan warga Felda sendiri terpaksa menjadi pengemis merayu untuk diberikan bonus tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri. Jelas sekali, mereka sudah merempat dan mengemis di atas tanah sendiri.

Untuk kesemua ini, hanya seorang manusia yang sepatutnya tampil bersekemuka dengan semua Warga Felda dan memohon maaf atas penipuannya selama ini. Orang berkenaan adalah Mazlan Aliman.

Sejak Bila Lim Kit Siang Berani?



Beberapa hari lalu, seperti yang dijangkakan, Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang telah menarik diri dari sesi debat yang di jangka bakal menemukannya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Walaupun 24 jam sebelumnya, dia telah bersetuju termasuk memberi tajuk debat, memilih moderator dan tempat, namun, dia menarik diri atas alasan, enggan sesi debat berkenaan dijadikan modal menimbulkan sebarang ketegangan antara kaum di negara ini.

Maka gegak gempitalah seluruh Malaysia apabila Lim Kit Siang yang selama ini begitu "mengambil berat" tentang hal ehwal Datuk Seri Haji Mohd Najib sehingga digelar Menteri Hal Ehwal Najib (MENHEN), bertindak pengecut hanya dengan menggunakan alasan yang dikira amat klise dan modal melarikan diri.

Persoalannya, sejak bila MENHEN ini berani? Sejarah telah menunjukkan bahawa dia tidak pernah berani menonjol seorang diri sekiranya tidak ada sesiapa yang berada di belakangnya. Lihat sahaja bagaimana dia digelar bayang-bayang Lee Kuan Yew sewaktu bekas Presiden Singapura berkenaan berkempen untuk dirinya di serata Tanah Melayu.

Kemana sahaja Kuan Yew pergi, dia mesti ada. Sehinggalah Kuan Yew bertindak menarik Singapura keluar dari Malaysia, Kit Siang masih kekal membayangi Kuan Yew untuk survival politiknya.

Satu lagi contoh jelas yang menunjukkan Kit Siang tidak berani menonjol berseorangan adalah semasa tragedi 13 Mei 1969. Bermula kemenangannya di Kota Melaka pada 11 Mei, dia berarak di jalanan bersama-sama penyokong DAP yang setia dengannya. Apabila keadaan semakin tegang, dia hilang entah kemana. Siap bagi alasan ke Sabah lagi.

Semasa penubuhan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, dia berselindung di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila Pakatan Harapan ditubuhkan, dia sekali lagi bersembunyi di belakang Tun Dr Mahathir Mohamad. Apabila rakyat menghentam, kedua-dua pemimpin Melayu ini yang akan kena tempiasnya dahulu, bukan dirinya.

Tidak cukup dengan itu, apabila rakyat di Gelang Patah bising mencarinya, dia hanya menghantar ADUN nya sahaja untuk meredakan keadaan. Dia sekali lagi ghaib entah kemana. Rakyat di Gelang Patah hanya boleh melihatnya di RTM menerusi sorotan Persidangan Parlimen. Itu pun jika dia hadir pada sidang berkenaan. Jika tidak, tatap sahajalah gambarnya.

Jadi, apabila Lim Kit Siang menarik diri dari sesi debat, ianya bukanlah satu perkara yang mengejutkan dan sememangnya sudah di jangka. Jika tidak, mana mungkin orang tua-tua kita dahulu telah memanggil dia sebagai pengecut sejak 1969 lagi. Episod kali ini hanya ulangan sahaja yang menunjukkan dia tidak pernah berani berhadapan dengan sebarang kenyataan dan kebenaran.

Wednesday, 22 May 2019

Masih Rindu Zaman Tun Lagi Ke?



Mungkin kita masih ingat lagi antara slogan yang kerap digunakan oleh para penyokong Pakatan Harapan termasuk segelintir mereka yang menyokong Barisan Nasional kononnya mahu memerli Tun Dr Mahathir Mohamad adalah hashtag Rindu Zaman Tun dari sebelum PRU 14 hingga selepas PRU 14.

Sehinggakan ada yang membuat perbandingan kehidupan sewaktu era Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dahulu dengan era pentadbiran Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kata mereka, dahulu RM 50 boleh penuh satu troley. Malah, harga minyak petrol pun murah tidak seperti pada era sekarang.

Atas alasan gila inilah selain daripada termakan hasutan fitnah Pakatan Harapan, mereka meruntuhkan sebuah kerajaan yang selama ini membela nasib rakyat. Maka termakbullah hashtag Rindu Zaman Tun yang mana beliau kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Setahun berlalu, jangan katakan RM 50 boleh penuh satu troley, harga runcit petrol pun tidak berganjak dari RM 2.08 seliter bagi RON95. Nasib lebih buruk buat pengguna RON97 apabila harga runcit minyak berkenaan sentiasa mencatatkan kenaikan. Jika turun pun dalam 1 sen hingga 3 sen. Selebihnya, naik yang agak tinggi.

Sebenarnya, mereka yang mengungkap Rindu Zaman Tun ini kebanyakannya masih dalam bentuk cecair dan tidak pernah dirancang pun untuk dilahirkan. Kesemua mereka ini masih berhingus sewaktu kegawatan ekonomi teruk melanda Malaysia sebanyak dua kali sekitar 1987/1988 dan 1997/1998. Kesemua mereka sedang sibuk menyusun tin, baling selipar, main pondok-pondok dan main guli. Paling hebat pun main perang-perang ala filem Combat.

Hari ini, disebabkan terpengaruh dengan dakyah kononnya beliaulah arkitek terhebat pembangunan Malaysia, segala kesenangan yang dikecapi sebelum ini semakin terhakis. Tidak dapat dinafikan, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri keempat, beliau mampu membangunkan negara. Tetapi perlu diingat, bukan dari kotak pemikiran beliau seorang sahaja mampu merubah landskap Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian.

Keupayaan beliau membangunkan negara banyak dibantu oleh deretan menteri dan para pemikir yang rata-ratanya dahulu adalah penyokong kuat BN. Mereka inilah yang merangka pembangunan ekonomi negara yang mana tugas beliau sebagai Perdana Menteri adalah meluluskan dan mengarahkan bahagian-bahagian tertentu melaksanakannya.

Sebagai contoh, sewaktu kegawatan ekonomi teruk melanda negara sekitar 1997/1998, menurut buku Doktor In The House, beliau sendiri agak panik melihat serangan bertubi-tubi terhadap ekonomi dan matawang Malaysia. Pada ketika itu, beliau berada di Argentina dan telah mengadakan beberapa mesyuarat tertutup bagi membincangkan bagaimana mahu mengatasi masalah serangan matawang yang menyaksikan krisis ekonomi melanda negara.

Manurut buku berkenaan, tidak ada kata putus dapat di capai sehinggalah beliau terpaksa memanggil Tan Sri Nor Mohd Yakcop untuk terbang ke Argentina dalam tempoh 24 jam bagi mencari jalan menyelamatkan ekonomi Malaysia. Ini bukti jelas menunjukkan bahawa, beliau bukan seorang arkitek yang mampu membangunkan ekonomi Malaysia.

Tidak dinafikan, beliau adalah seorang yang cukup licik berpolitik sehingga pernah digelar "Top Dog" oleh Allahyarham Zainuddin Maidin satu ketika dahulu. Namun dari segi perlaksanaan pembangunan ekonomi, beliau bukanlah yang terbaik jika tidak dibantu oleh mereka yang mahir dalam mengurus tadbir pembangunan ekonomi negara.

Malangnya hari ini, kabinet Pakatan Harapan yang diketuainya dibarisi oleh mereka yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak tahu bekerja. Sepatutnya, beliau tidak perlu runsing untuk memutar belitkan keadaan ekonomi semasa Malaysia sekiranya Menteri Kewangan hari ini, Lim Guan Eng benar-benar mahi dalam mengendalikan ekonomi.

Namun, tidak ada walau satu pun yang mampu dibanggakan sepanjang Guan Eng menguasai Kementerian Kewangan. Mungkin baginya, sebaik sahaja punch card, kenyataan medianya wajib menyebut kononnya berlaku penyelewengan 1MDB, SRC International ataupun nama Datuk Seri Haji Mohd Najib. Jika tidak disebut sehari, maka tidak sahlah kerjanya.

Langsung tidak ada pembentangan keberkesanan ekonomi, pelan jangka panjang dan pendek ekonomi Malaysia, mengembalikan keyakinan pelabur asing dan memastikan kedudukan ekonomi Malaysia kembali kukuh.

Apa yang melucukan, baru-baru ini beliau ada mengumumkan kadar pelaburan asing (FDI) Malaysia meningkat dengan begtu baik. Hakikatnya, 60 peratus daripada peningkatan ini disumbangkan dari penjualan deretan aset milik kerajaan kepada pihak asing. Bukannya pelaburan baru asing seperti yang diutamakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jika diimbas sejenak, kedudukan ekonomi Malaysia mungkin bakal berhadapan dengan krisis yang teruk menjelang suku kedua atau ketiga tahun 2020. Malah, tidak keterlaluan untuk disebutkan, Malaysia mungkin mengikut jejak langkah Greece yang seluruh dunia ketahui sebagai sebuah negara yang muflis menjelang tahun 2023.

Semua ini mungkin berlaku sekiranya tidak ada tindakan drastik untuk mengubah landskap ekonomi Malaysia dari terus merudum. Tidak ada walau satu media pun berani melaporkan bahawa indeks KLSE mengalami kerugian berterusan mencecah angka RM 2.86 bilion. Kira-kira 585 ribu orang hari ini sedang menganggur dan kenaikan inflasi ekonomi semakin membimbangkan.

Inilah yang dinamakan Malaysia Baru. Masih ada lagi yang Rindu Zaman Tun lagi ke?

Nasib Melayu Sama Seperti Bangsa Scotland Era William Wallace


Acapkali kita cuba menafikan kebenaran yang telah ditunjukkan oleh sejarah. Dalam segenap aspek, sejarah sebenarnya telah mengajar kita akan sesuatu perkara yang kita sendiri tidak dapat jangka pada masa akan datang. Lihat sahaja beberapa contoh seperti pertelagahan Datuk Laksamana Hang Tuah dan Hang Jebat, kejatuhan Empayar Melaka dan sebagainya.

Kesemua liputan sejarah ini sebenarnya mempunyai signifkannya yang tersendiri. Sehinggakan, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri telah mengukir sesuatu yang tidak terjangkau di kotak fikiran manusia sezamannya. Seolah-olah Nostrademus, Allahyarham merangka sesebuah filem karyanya yang hari ini cukup relevan dengan apa yang berlaku pada tika dan saat ini.

Salah satu contoh sejarah yang boleh kita anggap hampir kena dengan nasib kaum Melayu di Malaysia hari ini adalah sejarah bagaimana penduduk di Edinburgh, Glasgow dan sekitarnya berada di bawah pentadbiran Edward "The Longshank" seperti mana yang tercatat dalam liputan sejarah mahupun telah difilemkan oleh Mel Gibson dalam filem bertajuk, Braveheart.

Sejak dari hari pertama Scotland diasaskan pada 43 hingga 410 masihi, Scotland tidak pernah mengecapi kemerdekaannya sendiri. Negara ini ditadbir oleh Empayar Rome yang mana negara ini dikenali sebagai negara Brittannia yang mengandungi England, Scotland, Ireland dan Wales yang membentuk United Kingdom pada hari ini.

Sehinggalah kebangkitan Andrew Moray dan Sir William Wallace, tidak pernah walau satu hari pun, mana-mana ketumbukan tentera Scotland mampu menumbangkan kekuatan tentera milik England. Apa yang mampu dilakukan oleh para pejuang kemerdekaan Scotland adalah, melancarkan serangan ala gerila yang memaksa England menubuhkan deretan kem kem di sepanjang tanah jajahan mereka di Scotland.

Pada ketika itu, rakyat Scotland tidak mampu untuk mengangkat muka. Hasil tanaman mereka dikenakan cukai yang tidak masuk akal. Apa sahaja harta yang mereka miliki perlu di kongsi dan ada diantaranya terpaksa diserahkan kepada Gebenor-Gabenor England yang berselerakan di tanah Scotland.

Sehinggakan, setiap seorang wanita Scotland yang berkahwin dengan mana-mana lelaki Scotland, perlu menyerahkan malam pertama mereka kepada Gabenor-Gabenor atau "Land Lord" England atas alasan, Scotland dipenuhi oleh bangsa Scotish yang pengotor, pencuri dan rebel. Dari segi kebudayaan, semuanya perlu mendapat kebenaran dari pihak Istana England terlebih dahulu.

Itu belum lagi menyentuh tentang penguasa Scotland yang diwarisi oleh keturunan The Bruce. Bayangkan, tanah asal milik Scotish, namun segala perkara perlu mendapat keizinan dari pihak yang menjajah. Malah, hak pribumi sendiri dinafikan oleh pemerintah England yang merasakan, Scotland adalah hak milik kelompok Di Raja England.

Sehinggalah kebangkitan Muray dan Wallace, barulah pihak penguasa England menyedari bahawa bangsa Scotish bukanlah satu bangsa yang boleh diinjak sesuka hati mereka. Namun, kebangkitan Wallace akhirnya ditamatkan dengan penuh tragis akibat pengkhianatan  dari bangsa Scotish itu sendiri.

Ini sejarah serba ringkas apa yang berlaku di Scotland diera pemberotakan Sir William Wallace terhadap England. Apa relevannya pemberontakan ini terhadap bangsa Melayu hari ini?

Sejak 10 Mei 2018, di saat ada diantara anak Melayu meraikan kekalahan UMNO dan BN di tangan Pakatan Harapan, tidak ramai yang menyedari bahawa survival bangsa Melayu itu sendiri sudah berada di dalam mulut Harimau. Ya, mereka mungkin gembira kerana mungkin Pakatan Harapan akan menunaikan janji dengan memansuhkan hutang PTPTN, GST, hutang warga Felda dan sebagainya.

Hari ini, setelah setahun memerintah, tidak ada walau satu janji pun mereka laksanakan, Apa yang ada hari ini adalah sedikit demi sedikit hak istimewa kaum Melayu Bumiputera cuba diragut. Dari segi penggunaan Bahasa Melayu, pendidikan, koata matikulasi, hak agama Islam di dalam perundangan, hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera sehinggalah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu juga sedang giat diancam dan mahu dimusnahkan secara perlahan-lahan.

Lihat sahaja bagaimana Peguam Negara memanipulasikan maklumat mengenai Statute Rome yang boleh menyebabkan Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong boleh dibicarakan dan dihukum andai melakukan sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang. Begitu juga dengan usaha mahu meratifikasikan ICERD yang boleh mengancam hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera.

Itu belum lagi mengambil kira beberapa tindakan biadab mereka yang dahulunya hanya diberikan taraf warganegara atas belas ehsan namun hari ini berlagak seperti tuan besar atas tanah orang lain. Sehingga ada beberapa kes, kesucian bulan Ramadhan itu sendiri telah menyebabkan mereka berasa kurang senang sehingga ada yang berani melakukan provokasi dengan melemparkan botol-botol arak di hadapan surau di Sri Pantai.

Adakah ini yang dinamakan Malaysia Baru? Adakah ini yang diidamkan oleh kelompok Melayu yang kononnya Melayu Urban yang mahu perubahan sehingga survival bangsa sendiri dipertaruhkan dan di pijak sesuka hati?

Ini bukan lagi berkisar kepada perkauman semata-mata. Selama lebih 60 tahun, Malaysia aman rukun bahagia dengan perkongsian kuasa antara sesama kaum. Namun, disebabkan ketamakan kuasa, ketaksuban kepada idealogi songsang pemimpin dan keinginan yang tidak masuk akal, nasib kaum Melayu dan Bumiputera hari ini mungkin akan menjadi nasib bangsa Scotish yang dijajah dan di jarah England dahulu.

Perlukah kaum Melayu melahirkan seorang Sir William Wallace yang baru? Rasanya tidak perlu. APa yang perlu dilakukan oleh bangsa Melayu dan Bumiputera adalah menjadi seperti pasukan pimpinan Sir William Wallace dan Andew Muray yang bersatu menentang beribu-ribu tentera England dari terus menjarah dan menguasai negara mereka.

Persoalannya, mampukah kaum Melayu dan Bumiputera ini bersatu? tidak ada sesiapa pun mampu menjawabnya dengan tepat. Usaha kearah itu sudah ada, namun berapa lamakah mampu bertahan dan menangkis sebarang pengkhianatan dari dalam seperti yang dilakukan oleh Robert The Bruce dan John de Menteith terhadap Sir William Wallace...