Sunday, 22 December 2019

BERHENTILAH MENIKAM SESAMA SENDIRI



Tidak ada angin dan ribut, secara tiba-tiba suhu Cameron Highlands yang dingin kembali hangat. Semuanya gara-gara hentaman pedas Ketua Pemuda MIC Pahang, Karthikesan Murugiah yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pahang yang telah meminta peneroka di tanah sekitar Sungai Ichat, Sungai Tiang dan Sungai Bertam mengosongkan tanah berkenaan.

Daripada kritikan ini, muncul kembali kisah lama yang mana MIC seolah-olah menuntut kembali kerusi Parlimen Cameron Highlands yang kini disandang oleh Ramli Dato' Mohd Nor. Alasannya, kerusi berkenaan di pinjamkan yang mana kerusi itu adalah kerusi tradisi milik MIC. Persoalannya, masih wujudkan istilah kerusi tradisi ini disaat Barisan Nasional kini berada di kerusi pembangkang?

Sebenarnya, agak tertarik untuk mengulas kenyataan dari Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, V Gunalan hari ini. Ingin ditanya, perlukah kenyataan seumpama ini dikeluarkan di saat penerimaan rakyat terhadap BN telah kembali? Adakah beliau merasakan, dengan menghentam seorang yang telah dipilih secara sah pada 26 Januari lalu, ianya akan membantu kemenangan BN di masa hadapan terutama pada Pilihan Raya Umum ke 15?

Secara amnya, Barisan Nasional hari ini telah mengaplikasikan cara baru. Sudah tiada lagi istilah kerusi tradisi atau kerusi hak milik kekal mana-mana parti dalam gabungan Barisan Nasional terutama ketika kita sedang menambah mekar Muafakat Nasional.

Mengambil kira kekalahan BN semasa PRU ke 14 yang lalu, istilah kerusi tradisi ini adalah antara penyumbang kepada kekalahan BN. Ada beberapa Parlimen yang sudah jelak dengan istilah ini. Ada beberapa Parlimen yang mahu kerusi ini ditandingi oleh parti lain bukannya parti yang sama yang langsung tidak membawa apa-apa perubahan ketara di sesebuah Parlimen berkenaan.

Sama juga dalam kes ini. Walaupun mungkin wujud konsesus yang menyatakan kemungkinan MIC memberi "pinjam" kerusi ini kepada UMNO, namun satu perkara yang perlu difahami oleh semua pihak termauk MIC, kekalnya kerusi Parlimen Cameron Highlands milik BN hari ini adalah kerana usaha bersatu padu memastikan kemenangan calon.

Rakyat tidak peduli samada kerusi ini dipinjamkan atau tidak. Rakyat tidak peduli samada kerusi ini kerusi tradisi ataupun tidak. Apa yang rakyat peduli adalah kemampuan seseorang calon itu berkhidmat kepada rakyat. Malah sehingga artikel ini dikeluarkan, majoriti rakyat Cameron Highlands sendiri cukup berpuas hati dengan perkhidmatan Ahli Parlimen sedia ada. Kenapa perlu dipersoalkan kemampuannya sedangkan baik MIC mahupun YB Ramli, kedua-duanya menjulang panji yang sama iaitu BN?

Menyentuh mengenai perjumpaan rahsia yang disebut oleh Gunalan, seperti yang telah diberitahu sebelum ini, kehadiran YB Ramli adalah bertujuan untuk memastikan permohonan projek peringkat Persekutuan berjaya di perolehi. Rasanya, Presiden UMNO dan Pengerusi BN sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerangan keadaan sebenar.

Apa jua perbincangan di dalam perjumpaan berkenaan, tidak ada siapa yang tahu. Lagipun, kehadiran YB Ramli ke perjumpaan itu bukanlah berlangsung satu dengan satu. Ianya dihadiri kira-kira 17 orang Ahli Parlimen yang lain. Andai Gunalan sendiri menjadi Ahli Parlimen sekarang di saat Pakatan Harapan menguasai kerajaan, beliau juga mungkin terpaksa melakukan perkara yang sama seperti YB Ramli demi membantu rakyat.

Isunya sekarang adalah kritikan Karthikesan terhadap kerajaan negeri Pahang yang telah meminta 60 pekebun mengosongkan tanah berkenaan. Jika dirujuk kepada kenyataan media YB Ramli semalam, penerokaan tanah di tiga kawasan ini secara jelasnya telah mencemarkan ketiga-tiga sungai ini.

Malah tindakan ini diambil oleh kerajaan negeri Pahang setelah mendapat titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah meninjau sendiri pencemaran yang berlaku di ketiga-tiga sungai berkenaan. Dalam hal ini, siapa kerajaan Pahang untuk ingkar pada titah Paduka Sultan yang merupakan Paduka Sultan Pahang pada ketika ini?

Andai wujud persoalan, kenapa tiada pelan tindakan alternatif bagi membantu para pekebun ini, ianya satu dakwaan yang amat dangkal. Tidak ada sebab dan halangan untuk kesemua pekebun yang terjejas membuat permohonan baru yang mana, rasanya kerajaan negeri Pahang tidak akan sesekali menginaya mana-mana rakyatnya. Sudah tentu, permohonan mereka akan di pertimbangkan.

Menyentuh mengenai pencapaian, dari apa yang dilihat, dengan kekangan kewangan dari kerajaan Persekutuan, projek-projek pembangunan yang di bawa banyak bergantung kepada Unit Perancangan Ekonomi kerajaan pusat. Itulah sebab kenapa beliau terpaksa menebalkan muka bertemu dengan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali untuk memohon menyegerakan kelulusan projek yang telah di pohon. Beliau bukan pergi untuk melobi dan merancang untuk melompat parti.

Pembangunan di Parlimen Cameron Highlands lebih berpusat kepada golongan sasar terutama rakyat yang memerlukan. Bantuan khusus ada disediakan walaupun beliau dikhabarkan terpaksa berjimat sehabis daya berikutan kekangan bantuan terus dari kerajaan pusat. Andai Gunalan tidak percaya, beliau boleh sahaja ke Cameron Highlands dan menyaksikan sendiri pembangunan mikro yang telah beliau lakukan sepanjang 11 bulan menjadi Wakil Rakyat di parlimen Cameron Highlands.

Rasanya, MIC tidak perlu terlalu galak berpolitik sehinggakan apa sahaja kenyataan dari MIC perlu diterbitkan dari portal bebas Thesentral.com. Isunya hari ini, apa yang boleh dilakukan MIC untuk bersama-sama membantu atas nama Muafakat Nasional dalam memajukan Cameron Highlands. Bukan memilih untuk menghentam semberono sehingga membolehkan Pakatan Harapan mendapat isu mudah.

Usah di lupa, di DUN Tanah Rata ianya kekal milik DAP, parti yang menjadi komponen pemerintah hari ini. Andai MIC terlalu ralit memainkan isu yang tidak sepatutnya dan memilih menyerang kepimpinan yang ada pada hari ini, bukankah rentak mereka sama seperti Pakatan Harapan hari ini? Apalah guna MIC mengangkat tangan bersama UMNO, PAS dan MCA sekiranya istilah Muafakat Nasional itu sendiri gagal difahami oleh Ketua Penerangannya sendiri?

Tidak perlu dipertikaikan kemenangan penyandang hari ini kerana kemenangannya adalah solid dengan majoriti lebih dari 3000 undi, bukannya sekitar 500 ke 600 undi sahaja. Beliau menerima mandat dari rakyat samada dari Orang Asli mahupun penduduk Cameron Highlands sendiri. Paling utama, kemenangannya juga turut mendapat sokongan kuat dari sekutu baru BN iaitu PAS. Siapa MIC untuk menidakkan fakta ini?

Gunalan dan beberapa pemimpin MIC perlu bertenang dan melihat senario asas sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana. Apa yang mereka lakukan sejak 48 jam yang lalu langsung tidak membantu kekuatan BN selain dari membawa rebah. Tidak ada istilah kerusi tradisi di sini. Semuanya berpusat dari, siapa yang mampu memberikan perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

Saturday, 21 December 2019

KISAH NAJIB, AZILAH, ALTANTUYA DAN SUMPAH LAKNAT


Jumaat lalu, buat kali ketiga, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melafazkan sumpah laknat yang sama mengenai isu yang sama serta individu yang sama. Semuanya kerana seorang wanita Monggolia, Altantuya Shaaribuu yang telah dibunuh dengan kejam, kira-kira 13 tahun yang lalu.

Kali pertama beliau melafazkan sumpah berkenaan adalah di sebuah masjid di Ijok, Selangor pada 2007. Kemudian, beliau mengulangi sumpah yang sama di sebuah masjid di Guar Perahu Pulau Pinang dan kali ketiga, dilafazkan di Masjid Kampung Baru.

Ironinya, boleh dikatakan kes ini bermula apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan telah memaksa Datuk Zulkifli Nordin yang pada ketika itu merupakan peguam bela bagi Anwar untuk mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib dalam kes pembunuhan ini. (rujuk video yang disertakan).

Malah, menurut video berkenaan, Datuk Zulkifli turut mendakwa, Anwar telah memaksanya mencari jalan untuk mengaitkan sama Datin Seri Rosmah dalam kes ini. Namun begitu, beliau enggan melakukannya kerana ini merupakan satu tuduhan yang amat berat.

Menurut beliau lagi, tidak ada dakwaan yang dibuat oleh dua tertuduh (pada ketika itu), Sirul dan Azilah yang boleh mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib dalam hal ini. Malah, Azilah sendiri berkata pada Datuk Zulkifli, "Demi Allah, Datuk Najib tidak terlibat dalam pembunuhan ini. Malah, beliau tidak tahu menahupun siapa Altantuya. Semua ini boleh didengari menerusi video berdurasi 2 minit yang disertakan dalam artikel ini.

Justeru, apabila Azilah boleh membuat Kenyataan Bersumpah yang mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib dengan kes ini, sudah tentu ianya mengundang bahan jenaka yang berpanjangan. Manakan tidak, jika kita baca keseluruhan pengakuan bersumpah Azilah, banduan yang sedang menunggu hari penggantungan dirinya, ianya menunjukkan banyak perkara yang meragukan.

Sebagai contoh, adakah logik arahan membunuh berkenaan dikeluarkan dengan upah sebanyak RM 300? Adakah logik mereka menerima arahan terus dari Datuk Seri Mohd Najib sedangkan pada ketika kes berkenaan berlaku, mereka berdua adalah pegawai pengiring bagi Tun Abdullah Ahmad Badawi?

Jika mahu dihuraikan satu persatu, memang cukup banyak perkara yang tidak masuk akal. Cukup sekadar kiranya kita menyoroti satu lagi sumpah laknat yang dilafazkan oleh Sirul Azhar pada 31 Januari 2016. Dalam sumpah berkenaan, Sirul menegaskan bahawa Datuk Seri Mohd Najib tidak terlibat langsung dengan kes pembunuhan ini.

Jika kita lihat, sudah ada 4 sumpah laknat telah berlangsung sepanjang kes ini berlangsung sehingga tamat. Jika diikutkan, kes ini sudah menemui titk penamatnya apabila dua individu yang bertanggungjawab membunuh Altantuya telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Akan tetapi, demi kelangsungan politik, kes ini terus disensasikan oleh pihak-pihak berkepentingan demi kelangsungan politik.

Jika ada yang mempersoalkan, bolehkan banduan akhir seperti Azilah ini mengeluarkan kenyataan bersumpah? Untuk soalan ini, dia berhak melakukan perkara ini kerana haknya sebagai seorang manusia. Namun, apa yang perlu dirungkai adalah, siapa yang menyediakan teks Akuan Bersumpah ini kerana ianya dilihat cukup lucu dan tidak masuk akal.

Juga, jika ada yang mempersoalkan, adakah sumpah laknat yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib di tiga buah masjid ini sah atau tidak, bagi soalan ini, kesemua yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib adalah sah menurut landas dan hukum hakam Islam.

Menurut sedikit kajian silang, sumpah laknat atau dalam istilah sebenarnya, Muhabalah dibenarkan di dalam Islam sekiranya berlaku perbalahan demi membukti pihak mana yang berbohong. Ianya boleh dianggap sebagai penyerahan diri kepada Allah dan berdoa supaya Allah menunjukkan kebenarannya.

Ianya bukan baru berlaku di negara ini kerana Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah melakukan perkara yang sama terhadap wakil Najran bagi membuktikan kebenaran. Hal ini berlaku kerana penduduk Najran enggan memperakui Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Justeru, lafaz sumpah ini telah dilakukan bagi membuktikan kebenaran Rasullullah terhadap penduduk Najran.

Dalam keadaan sekarang, apa lagi pilihan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib? Beliau mungkin terpaksa berhadapan sekali lagi dengan siri perbicaraan panjang berhubung kes pembunuhan Altantuya. Namun dari satu segi, untuk mengelakkan dirinya dari terus difitnah, Sumpah Laknat adalah pilihan terakhir yang beliau ada pada waktu ini untuk meembersihkan namanya.

Secara terus terang, kesihan melihat Altantuya diperlakukan sedemikian. Sudahlah nyawanya diragut tanpa kerelaannya, selepas kematiannya juga turut disensasikan sebagai bahan politik bagi menjatuhkan seseorang. Benarlah bak kata seseorang, andai Altantuya masih hidup, betapa duka hatinya melihat kesnya terus diperkotak katikkan di negara ini.


KL SUMMIT ATAU KL SEKELUMIT?



Tidak seperti 2014 semasa Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kali pertama persidangan Kuala Lumpur Summit (KL Summit) yang menghimpunkan keseua 54 buah negara Islam, persidangan kali ini boleh dianggap dicemari dengan kemungkinan boikot oleh hampir kesemua negara Islam yang menganggotai OIC.

Memang agak mengejutkan disebalik imej Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat lantang menghentam pendudukan Israel di Tebing Barat dan Gaza, seruan untuk KL Summit ini dipandang sepi oleh kuasa-kuasa besar dunia Islam seperti Arab Saudi.

Namun, andai di fahami keadaan sebenar hari ini, pertelingkahan yang wujud antara Kuala Lumpur dan Riyadh ini sebenarnya sudah memasuki fasa yang membimbangkan. Semuanya bermula sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke 14 lalu yang menyaksikan Tun M sendiri dengan lantang mempertikaikan banyak perkara berhubung hubungan baik Datuk Seri Mohd Najib dengan King Salman.

Malah, di peringkat hubungan diplomatik, Arab Saudi sudah beberapa kali dilihat tersinggung dengan kenyataan Tun M. Tidak hairanlah apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, Arab Saudi dilihat cuba mengasingkan diri dari berhubung secara terus dengan Putrajaya.

Keadaan dilihat semakin tidak menentu apabila ada berita melaporkan, Arab Saudi berkemungkinan tidak lagi menambah koata bilangan jemaah Haji dari Malaysia. Lebih teruk lagi, tahun lalu, menerusi laporan media Arab Saudi, Menteri yang menjaga hal ehwal umat Islam, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa seolah-olah dipinggirkan oleh Arab Saudi semasa penerangan pra musim Haji tahun lalu.

Itu adalah sedikit sorotan bagaimana hubungan baik antara Malaysia dengan Arab Saudi sebelum ini bertukar menjadi keruh akibat kesilapan pentadbiran negara sendiri. Justeru, tidak hairanlah jika Arab Saudi menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menarik seberapa ramai penyokongnya memulaukan KL Summit.

Mungkin rasanya hanya Tun M sahaja tidak tahu bahawa Arab Saudi adalah penyumbang derma terbesar untuk lebih separuh daripada negara OIC termasuk Pakistan dan Indonesia. Pendapat ini bersandarkan kepada kenyataan Tun M sendiri yang berbunyi ;

"Hanya Arab gila sahaja yang hendak memberi derma sebanyak itu kepada seorang pemimpin".

Secara amnya, kedudukan Arab Saudi amat dipandang tinggi oleh seluruh negara Islam di seluruh dunia. Bagi menjaga prestij dan keutuhan anggota OIC sendiri, Arab Saudi perlu melakukan sesuatu sebelum keutuhan OIC ini dipecahkan dengan gerakan atau apa jua persidangan yang boleh menghancurkan OIC.

Ditambah pula dengan kenyataan dangkal dari Menteri Luar, Saifuddin  Abdullah yang mempersoalkan tindakan Arab Saudi enggan mengiktiraf dan mendesak kesemua negara Islam memboikot KL Summit kali ini menambah rencah ketegangan hubungan dua hala yang pernah bersahabat baik ini.

Kesimpulannya, jika bersandarkan kepada apa yang berlaku di KL Summit kali ini, sudah dapat di bayangkan bagaimana keadaannya apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa tahun hadapan. Untuk rekod, Malaysia bakal menganjurkan Persidangan APEC yang dijangka bakal dilangsungkan pada November tahun hadapan.

Mungkin pada ketika itu, andai Pakatan Harapan masih berkuasa, usah terkejut andai persidangan dwi tahunan ini turut di boikot oleh negara pemain ekonomi utama dunia. Malah, jangan terkejut sekiranya Kuala Lumpur turut menerima nasib yang sama seperti Chile.

Jadi, tidak keterlaluan andai menyatakan, KL Summit yang sepatutnya segah namanya, hari ini telah dipermainkan di media sosial sebagai KL Sekelumit.

Sunday, 15 December 2019

APEC 2020 : BERSEDIAKAH MALAYSIA?




Memasuki tahun 2020 diibaratkan seperti melangkah ke satu tahun yang tidak dipastikan keadaan sebenarnya. Jika sebelum-sebelum ini, kita boleh menjangkakan pelbagai kemajuan dan inisiatif dapat ditingkatkan, namun menjelang tahun yang amat dinantikan oleh rakyat Malaysia, segala-galanya nampak kelam.

Tahun hadapan, boleh dikatakan cukup penting buat negara kerana pada tahun 2020, Malaysia dijangka bakal menganjurkan persidangan Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC). Sebelum ini, persidangan yang dijadualkan berlangsung di Chile terpaksa di batalkan kerana berlaku ketidak tentuan politik di negara berkenaan dan Malaysia di pilih menganjurkannya pada bulan November tahun hadapan bagi menggantikan Chile.

Persoalannya, bersediakah Malaysia menganjurkan persidangan yang menghimpunkan negara-negara yang ekonominya begitu pesat membangun? Adakah Malaysia sudah cukup stabil bagi memastikan insiden pengguguran Chile selaku tuan rumah persidangan antarabangsa ini tidak berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah negara?

Harus diakui, Malaysia pernah menganjurkan pelbagai persidangan antarabangsa seperti OIC, CHOGM, NAM dan sebagainya. Kesemua persidangan ini dilangsungkan dalam keadaan yang cukup aman dan teratur tanpa ada insiden yang memalukan negara.

Namun keadaan semasa negara menampakkan sesuatu yng diluar jangka. Secara amnya, kerajaan Malaysia secara zahirnya nampak teratur dan tersusun. Namun jika kita lihat secara mendalam, banyak ketidak tentuan politik dan pentadbiran berlaku sehingga adakalanya menimbulkan kecelaruan politik yang cukup serius.

Manakan tidak, di blok kerajaan sendiri sudah mempunyai dua kem yang mana Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai blok-blok masing-masing. Malah, banyak kenyataan mengenai dasar kerajaan dan dasar ekonomi negara juga dilihat bercanggah antara satu sama lain.

Tidak cukup dengan itu, walaupun Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan namun dalam aspek pengurusan akenomi negara hari ini boleh disifatkan sebagai gagal. Ekonomi negara sedang berada pada fasa menguncup. Timbul pula persoalan, adakah layak Malaysia menganjurkan APEC 2020 bagi menggantikan Chile?

Untuk rekod, antara punca Santiago, Chile digugurkan dari menjadi tuan rumah persidangan ini adalah berlaku ketidak stabilan politik di negara berkenaan. Malah, hasil daripada ketidak tentuan ini telah menyebabkan ekonomi Chile sendiri berada pada fasa yang membimbangkan.

Walaupun secara amnya Malaysia dilihat bersedia menganjurkan persidangan yang tema "Mengoptimumkan potensi insan kearah masa depan perkongsian kemakmuran", namun dari apa yang dipaparkan oleh pentabiran Malaysia itu sendiri, ianya jelas berlawanan dengan tema yang cuba diketengahkan oleh negara.

Persoalannya, adakah Malaysia sudah cukup bersedia menganjurkan persidangan kuasa-kuasa ekonomi Asia Pasifik kali ini? Untuk berlaku adil, segala kemelut dalaman kerajaan mungkin boleh di tutup atau diselesaikan pada peringkat dasr. Namun usah dilupa, sebuah gunung berapi hanya akan meletup setelah dasar gunung berkenaan tidak mampu menahan letupan larva dari dasar gunung itu sendiri.


TAHUN 2020 DARI NEGARA MAJU KEPADA NEGARA KUCAR KACIR



Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut tahun 2020. tahun yang mana amat dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini. Manakan tidak, bagi generasi X, sejak di bangku sekolah lagi, kita dimomokkan dengan imej Negara Maju. Malah, imej kereta dan keretapi terbang juga kerap dibayangkan oleh generasi ini.

Sebenarnya, Wawasan 2020 ini diasaskan pada Rancangan Malaysia Ke Enam yang menyasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Ianya diasaskan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri (Tun) Mahathir Mohamad dan ianya telah tersemat rapi di setiap benak dan sanubari setiap seorang rakyat Malaysia.

Segalanya nampak lancar dan tersusun walaupun negara berhadapan dengan tiga kali kemelesetan ekonomi global dan beberapa insiden kekacauan politik. Tun M sendiri telah merangka pelan pembangunan strategik jangka panjang bagi merealisasikan impian ini.

Langkah yang sama turut diambil oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ianya semakin pesat dilaksanakan semasa era pentadbiran Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah, semasa era kemuncak pentadbiran beliau, KDNK negara diunjurkan pada 5.2% hingga 5.5% menjelang pertengahan tahun 2019.

Namun, manusia hanya merancang tetapi tuhan menentukannya. Sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, segala-galanya nampak kelam. Daripada sebuah pengurusan ekonomi yang mendapat pengiktirafan kelas A oleh beberapa badan pemerhati ekonomi dunia, hari ini Malaysia telah mengambil 2 hingga 3 langkah kebelakang.

Malah, KDNK negara yang pernah diunjurkan pada tahap terbaik, hari ini telah kurang 1 mata. Ianya bersandar kepada laporan tahunan Bank Negara Malaysia yang menjangkakan KDNK negara berada sekitar 4.5% menjelang suku pertama tahun hadapan.

Malah, prestasi Ringgit, pendapatan per kapita rakyat dan graf ekonomi semasa Malaysia juga menunjukkan penurunan yang agak drastik. Ini bukanlah satu petanda baik buat negara di saat kita sedang berusaha membina sebuah negara yang maju dan makmur.

Mari kita lihat satu contoh jelas bagaimana kekacauan politik telah mengganggu gugat perancangan jangka panjang ekonomi sesebuah negara. Negara yang dimaksudkan adalah Libya yang pernah ditadbir oleh Allahyarham Muamar Gaddafi satu ketika dahulu.

Tidak seperti jiran tetangganya yang lain, Libya merupakan sebuah negara Utara Afrika yang sedang menikmati perkembangan ekonomi yang positif setelah Gaddafi sendiri mengubah dasar tutup pintu negara berkenaan.

Setiap seorang rakyatnya menerima laba hasil daripada kekayaan negara itu sendiri. Akan tetapi, kehancuran Libya bermula setelah rakyatnya sendiri enggan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Mereka termakan hasutan dan fitnah yang mendakwa Gaddafi berpoya-poya dengan wang negara sehingga menyaksikan mereka bangkit memberontak.

Pemberotakan mereka ini mungkin boleh dikaitkan dengan Arab Spring yang pada ketika itu menyaksikan Tunisa dan Syria terjebak dalam kekacauan yang cukup panjang. Akan tetapi, pemberontakan rakyat Libya itu sendiri telah menyaksikan struktur ekonomi yang kukuh telah dihancurkan.

Malah, hampir seluruh negara juga lumpuh serta hancur akibat tangan-tangan rakyatnya sendiri. Akhirnya, Libya sebuah negara paling pesat membangun di Utara Afrika, hancur menyembah bumi. Hari ini, rakyatnya sendiri amat menyesali perbuatan mereka dan ada yang menyatakan, tidak akan mungkin mereka dapat menyaksikan semula Libya diera Allahyarham Muamar Gaddafi.

Bukankah situasi yang berlaku di Libya ini hampir sama dengan apa yang berlaku di negara ini? Cuma yang membezakan adalah, belum ada rakyat Malaysia yang bangkit di jalanan dan memberontak secara kasar bagi menumbangkan rejim Pakatan Harapan hari ini.

Angan-angan dan impian rakyat untuk menikmati kemajuan dan kemakmuran ekonomi menjelang 2020 nampaknya hanya tinggal angan-angan yang tidak berkesudahan. Negara hari ini sedang berada pada tahap yang amat membimbangkan samada dari segi pembangunan ekonomi mahupun kemakmuran masyarakat.

Tidak keterlaluan kiranya andai menyatakan, kerajaan hari ini perlu melakukan sesuatu yang cukup drastik dan melupakan pelbagai kerenah politik yang amat memualkan rakyat. Tidak kiralah apa jua latar belakang politik dalaman Pakatan Harapan, negara ini perlu kembali kelandasan sebenar ekonomi kerana rakyat amat mengharapkan kekuatan ekonomi sebelum ini dapat dipulihkan pada kadar segera.

Hanya berbaki kira-kira 15 hari sahaja lagi menjelang 2020, lakukanlah sesuatu yang mampu mengembalikan maruah negara di persada antarabangsa. Cara berpolitik kuno dan sentiasa berpolitik tidak kira waktu ternyata telah menjahanamkan potensi negara dan sekaligus menyebabkan kehidupan rakyat semakin sengsara.