Friday, 17 January 2020

PRK Kimanis: Keputusan Penuh Dijangka 10 Malam



KEPUTUSAN penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam esok. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga akan membawakan perkembangan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran mengundi.

"Di jangka keputusan dapat diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam tetapi kita akan siarkan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran dan borang 14 ditandatangani semua pihak yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Program Semakan Isi Peti Undi dan Agihan Peralatan Mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort hari ini. Azhar berkata, jumlah petugas SPR yang akan bertugas esok seramai 650 orang. 

"Seramai 29,618 pengundi akan menunaikan tanggungjawab itu di 68 saluran mengundi membabitkan sebanyak 19 pusat mengundi. Kita akan membuka pusat pengundi lebih awal iaitu pada 7.30 pagi esok," katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta pengundi dapat keluar lebih awal dan tidak berlengah untuk mengundi. "Saya juga menyeru kepada penyokong supaya berhenti untuk berkempen pada 12 tengah malam ini dan tidak dibenarkan memakai baju logo parti dan gambar calon dalam kawasan 100 meter dari pusat mengundi.

"Begitu juga acara kempen patut dihentikan pada 12 tengah malam ini...bukan sahaja di kawasan ini tetapi di media sosial," katanya.

Menurutnya, penyokong kedua-dua parti yang bertanding diminta supaya tidak membuat sebarang provokasi antara satu sama lain. "Saya percaya rakyat Sabah tidak berbuat demikian kerana mereka lebih matang dan harap perkara ini tidak berlaku," katanya.

Tumpas Aktiviti Seludup Arak



BATALION 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenis bernilai RM256,860 di sebuah premis di Bukar-Sadong, Serian, kelmarin. 

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rosdi Inai berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penjaga premis. “Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung penemuan barang itu dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak 970 krek minuman keras pelbagai jenis turut ditemui yang mana 842 kotak disembunyikan di dalam premis dan 128 kotak di dalam van yang diletakkan di belakang premis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Beliau berkata, operasi dijalankan oleh enam pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA pada 12 tengah hari, atas risikan dan maklumat yang diperoleh.

“Hasil maklumat, barangan itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan.

“Tangkapan dan rampasan diserah kepada IPD Serian untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

'Datuk' Tawar Kerja Sebelum Rogol



Tawar pekerjaan dengan gaji lumayan pada gadis bawah umur sebelum merogol mereka. Itu helah lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' yang menggunakan aplikasi penstriman video untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, helah lelaki itu terbongkar selepas dia ditahan polis di rumahnya di Kajang kira-kira 2 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelajar sekolah berusia 14 tahun yang memaklumkan dirogol lelaki terbabit di rumah kedai di Bandar Baru Bangi, kelmarin.

"Mangsa memaklumkan dia mengenali suspek pada awal Januari lalu melalui aplikasi 'Bigo Live' dan memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk.’ Sejak itu, mangsa sering berhubung dengan suspek melalui aplikasi itu dan lelaki berkenaan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pembantu peribadi," katanya dalam kenyataan di Bangi, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, bertindak atas maklumat siasatan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di rumahnya di Kajang kira-kira 2 petang tadi.

"Kami percaya suspek terbabit dengan beberapa kes rogol lain dengan menggunakan modus operandi sama iaitu memerangkap mangsa melalui tawaran kerja sebagai pembantu sambilan dengan gaji lumayan.

"Setakat ini, kami turut menerima satu lagi laporan berkaitan kes rogol membabitkan modus operandi sama pada 13 Januari lalu. Kami menggesa mana-mana pihak yang turut menjadi mangsa rogol suspek supaya tampil dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu atau mana-mana kejadian yang membabitkan modus operandi sama diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 0192299906 atau hubungi balai polis berhampiran.

Sampai Terburai Perut



Seorang lelaki maut selepas ditikam oleh penghuni sebuah rumah dengan pedang samurai hingga terburai perut. Mahkamah di Bristol diberitahu, Jonathan Roper cuba memasuki rumah milik David Harris di Somerset. 

Ia bagi mendapatkan semula wang dan telefon bimbit yang dikatakan diambil oleh lelaki itu, pada 23 Mac lalu. Ketika kejadian, Harris, 26, dikatakan menghunus pedang sepanjang satu meter menerusi pintu sehingga menusuk Roper.

Senjata itu menusuk ke dalam perut Roper, 34, hingga menyebabkan kerosakan organ dan arteri. Mahkamah diberitahu ketika kejadian, sehari sebelum kejadian, dua remaja pergi ke rumah Harris untuk membeli ganja.

Apabila tiba, seorang daripadanya ditarik masuk sebelum telefon bimbit miliknya diambil. Berang dengan insiden itu, lima individu iaitu ahli keluarga Roper datang ke rumah untuk bersemuka dengan lelaki itu.

Mereka cuba memecah ‘masuk’ hingga menyebabkan Harris menghunus pedang melalui pintu sehingga terkena Roper. Mangsa kemudian mati dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan berhampiran dengan lokasi kejadian.

Harris tidak mengaku salah mencederakan dan membunuh mangsa. Pendakwa, Anna Vigars berkata, Harris tidak memberi amaran kepada orang di luar rumah yang datang untuk menyerangnya.

“Ini insiden yang paling teruk hingga mengakibatkan kematian seorang lelaki,” katanya. Kes itu kini masih dibicarakan.

Liverpool Mahu Atasi United



LIVERPOOL boleh melebarkan jarak dengan Manchester United kepada 30 mata jika menang perlawanan membabitkan dua kelab paling berjaya di England itu pada aksi di Anfield, awal pagi Isnin ini. 

Skuad kendalian Jurgen Klopp semakin menghampiri pemburuan penantian 30 tahun untuk menang gelaran liga ketika mereka mendahului 14 mata di depan juara bertahan, Manchester City dan satu perlawanan dalam tangan.

United jauh ketinggalan 13 mata di belakang, selain bermain lebih satu perlawanan berbanding pencabar itu dan perlu menamatkan musim dengan baik untuk mengelak gagal layak ke Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun adalah pasukan tunggal berjaya memperlahankan perjalanan Liverpool untuk meraih gelaran Liga Perdana.

Keputusan seri 1-1 kedua-dua pasukan pada Oktober lalu adalah satu-satunya perlawanan juara Eropah itu mencicirkan mata musim ini. Mereka kini mencipta rekod lima liga utama Eropah dengan 20 kemenangan daripada 21 perlawanan awal.

“Pasukan kami memiliki minda kemenangan. Kami sentiasa fikirkan perlawanan seterusnya, kami tidak terlalu jauh melihat ke depan,” kata penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, yang hanya melepaskan satu gol dalam 10 perlawanan terakhir.

"Kami fokus kepada apa yang kami dicapai ketika itu dan kami melakukan segalanya yang mungkin untuk memastikan kami meninggalkan padang dengan kemenangan dan ini menyumbang kepada keputusan yang baik pada musim ini."

Penjaga gol nombor satu dari Brazil itu yakin akan meraih satu lagi keputusan tanpa bolos awal pagi Isnin ini.

Ketika penjaring terbanyak United, Marcus Rashford diragui akan bermain selepas tidak mampu bertahan selepas 15 minit dimasukkan selaku pemain gantian pada separuh masa kedua ketika menang 1-0 menentang Wolves pada Piala FA, awal pagi semalam .

67 Filem, 32 Kategori Dalam FFM31



PENGANJURAN Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada 18 April ini menyaksikan 67 filem bakal berentap menerusi 32 kategori yang dipertandingkan. 

Mengangkat tema Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan, persaingan akan membabitkan 35 filem berbahasa Malaysia, Mandarin & Kantonis (15), Tamil (12), animasi (4), dan satu filem untuk lain-lain bahasa.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac, berkata, majlis perasmian FFM31 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 April depan, jam 9 malam.

"Ia turut akan disiarkan secara langsung di RTM. Selain itu, Encore Melaka dipilih untuk malam kemuncak FFM31 yang akan berlangsung pada 18 April depan jam 9 malam dan disiarkan secara langsung di Astro.

"Ini adalah pertama kali penganjuran FFM diadakan di Melaka. Sebelum ini FFM pernah berlangsung di negeri-negeri lain," katanya.

Menurut Hans, Finas mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka bagi menjayakan acara berprestij itu. "Hajat kali ini besar dimana kami ingin melakukan sesuatu yang berbeza. Seperti yang dketahui, banyak filem berjaya pecah panggung tahun lalu.

"Ramai penggiat industri kreatif berjaya ke peringkat antarabangsa, filem Malaysia turut membolosi pencalonan di Academy Awards tahun ini," katanya pada sidang media FFM31 di Finas, Hulu Klang, hari ini.

Hans berkata, Finas menyasarkan lebih banyak filem tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa tahun ini. "Nak cakap dan kritik senang, tapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara. Kami memerlukan sokongan semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni," katanya.

Sebanyak empat kategori iaitu Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital terbaik diperkenalkan semula di FFM31.

Manakala, kategori Tatarias Terbaik pula pertama kali diwujudkan dalam FFM31. Antara filem hebat yang bakal dipertandingkan pada FFM31 kali ini adalah Misteri Dilaila, Bikers Kental 2, Warkah, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan dan Pusaka.

Finas juga bakal mengundang dua juri luar untuk penjurian bersama juri tempatan tetapi enggan mendedahkan butirannya lebih lanjut buat masa ini.

Semua Pilihan Dalam 1 'Kotak'



Bagi meneruskan lebih banyak #khabarbaik, unifi menerusi produknya unifi Home menawarkan unifi Plus Box iaitu set Android 4K yang pertama oleh unifi. 

Melalui set ini, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan hiburan digital unifi termasuk saluran strim, video atas permintaan (VOD) dan kandungan interaktif.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menonton kandungan penstriman over-the-top (OTT) dengan hanya memuat turun aplikasi kegemaran mereka dari Google Play Store.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, tujuan utama pihaknya memperkenalkan produk berkenaan untuk menyatukan semua pilihan dalam satu ‘kotak’.

“Dibangunkan dengan sistem operasi Android TV 9.0 Pie, pengguna dapat menikmati akses ke Google Play Store dengan suite lengkap aplikasi yang dimuat turun di Malaysia.

“Ia membolehkan pengguna menggunakan satu Set-top Box (STB) untuk menonton strim digital unifi dan perkhidmatan interaktif yang mengandungi lebih 80 saluran,” katanya.

Unifi Plus Box dengan pakej Ultimate Pack ditawarkan untuk pelanggan unifi Home 30Mbps dan 100Mbps manakala pelanggan baharu unifi Home 300Mbps dengan Ultimate Pack akan mendapat akses ke lima akaun unifi playTV.

Pakej unifi Home 300Mbps dengan Ultimate Pack ditawarkan pada harga promosi RM199 sebulan manakala pelanggan baharu unifi Home 30Mbps (RM149) dan 100Mbps (RM189) dengan akses untuk dua peranti.

Tiga Model Premium Honda



BOON Siew Honda (BSH) memperkenalkan tiga model premium motosikal berkuasa tinggi jenama Honda ke dalam pasaran tempatan. Model-model itu ialah Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, Honda GL1800 Gold Wing serta Honda CRF1100L Africa Twin dan CFR1100L Africa Twin Adventure Sports.

Ketua Pegawai Ekeskutif dan Pengarah Urusan BSH Keiichi Yasuda berkata model-model ini adalah yang pertama dilancarkan untuk pasaran Asia dan Oceania untuk tahun 2020.

“Barisan motosikal ini dijangka bakal mengukuhkan pasaran motosikal berkuasa tinggi Honda di negara ini yang sesuai untuk pelbagai jenis perjalanan dan gaya tunggangan,” katanya ketika pelancaran pagi tadi.

Motosikal ‘supersport’ CBR1000RR-R Fireblade SP dijana enjin 1,000 cc empat silinder sebaris yang direka dan dibangunkan melalui teknologi HRC dalam perlumbaan MotoGP dijual pada harga RM198,800.

Honda GL1800 Gold Wing adalah jentera jelajah premium dengan enjin 1,800 cc enam silinder sebaris dengan pelbagai ciri terbaharu termasuk empat mod tunggangan dijual pada harga RM208,800.

Motosikal ‘adventure’ Honda CRF1100L Africa Twin dan Africa Twin Adventure Sports dengan pilihan kotak gear manual dan automatik dijual pada harga daripada RM98,888 hingga RM117,888.

Ia akan mula memasuki pasaran pada suku tahun kedua tahun ini di kesemua rangkaian pusat Honda Big Wing di seluruh negara.

Thursday, 16 January 2020

BERI ATAU BELI?



Kelmarin, Kementerian Kewangan menerusi menterinya, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian RM 30 kepada kira-kira 15 juta rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM 100 ribu setahun.

Pemberian ini dikatakan adalah salah satu pakej rangsangan ekonomi rakyat yang akan di masukkan kedalam akan e-Wallet penerima. Ianya juga dikatakan bantuan one off kerajaan bagi membantu rakyat seuai seperti pengumuman Bajet 2020 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu.

Apa yang menarik adalah reaksi daripada netizen di media sosial samada di Facebok mahupun di mana-mana akaun laman sosial milik mereka. Rata-rata mempersoalkan, adakah cukup RM 30 ini untuk perbelanjaan setahun? Paling utama, pemberian menerusi e-Wallet ini juga turut menimbulkan 1001 persoalan, adakah ianya selamat?

Rata-rata netizen menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan maklumat peribadi mereka yang dilihat akan mudah terdedah. Malah ada dakwaan menyatakan, kerajaan memberi RM 30 untuk 15 juta penerima tetapi mengaut ratusan juta keuntungan andai maklumat peribadi penerima dijual kepasaran gelap atau pada syarikat-syarikat swasta yang berkepentingan.

Berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dahulu, bantuan kewangan berkenaan disalurkan terus ke akaun penerima tanpa perlu mengemukakan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan mahupun nombor telefon.

Kali ini, ceritanya berbeza. Disaat rakyat sendiri memang mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam segenap aspek, perkara-perkara sedemikian memang ada asasnya. Tambahan pula antara syarat yang terkandung semasa penerima membuat permohonan bantuan berkenaan juga tercatat, penerima bersetuju untuk memberikan maklumat peribadi.

Ianya seolah-olah, pemberian RM 30 berkenaan seperti membeli maklumat peribadi dan hasil daripada pembelian berkenaan, ianya boleh dijual pada harga yang tinggi.

Sejujurnya, sukar untuk mengiyakan dakwaan sebegini kerana tidak ada satu bukti pun yang boleh menjurus kearah tuduhan liar seperti ini. Namun, sebagai rakyat Malaysia, kita berhak tahu bahawa kita dilindungi oleh Akta Maklumat Peribadi yang mana sebarang salah laku dan kebocoran maklumat peribadi, ianya jelas telah melanggar akta berkenaan walaupun kita bersetuju dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Bagi penulis secara peribadi, bukan itu persoalan pokok yang ingin dipersoalkan. Apa yang ingin dipersoalkan adalah, adakah RM 30 itu relevan dengan keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia yang rata-rata mempersoakan, kenaikan kos sara hidup yang melambung tinggi.

Ditambah pula dengan kekurangan peluang pekerjaan, keadaan semasa ekonomi negara yang dianggap tenat serta tiada tindakan komprehensif kerajaan dalam memperbetulkan pelbagai masalah dalam negara, pemberian RM 30 ini hanyalah sekadar melepas batuk di tangga.

Usah ingat maruah rakyat hanya serendah RM 30. Jika dahulu, disaat kerajaan BN ditohmah dengan pelbagai perkara, kebajikan rakyat kekal diutamakan menerusi pemberian BR1M yang bernilai RM 1,200. Hari ini, jumlah berkenan susut sebanyak RM 1,170 seperti yang diterima sebelumnya.

Adakah pihak kerajaan fikir, dengan RM 30, kehidupan rakyat akan bertambah baik? Adakah kerajaan fikir, dengan pemberian sekecil ini mampu menampung pelbagai perkara dan masalah yang dihadapi oleh para nelayan, pekebun, penoreh dan peneroka?

Ianya tidak lebih dari sekadar 30 sen sahaja kepada rakyat jika dibandingkan dengan kadar harga barangan hari ini. Cukup-cukuplah berpolitik dan menyalahkan kerajaan terdahulu. Setidak tidaknya, kerajaan terdahulu tahu juga memberi bantuan empat angka berbanding bantuan hari ini sebanyak 2 angka dan juka dibahagikan mengikut hari, rakyat hanya memperolehi hanya 8 sen sahaja dari kerajaan.

Ini seumpama menghina rakyat dan seharusnya kerajaan tidak melakukan perkara demikian andai benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

PRK Kimanis: Polis Terima 22 Laporan



POLIS menerima sebanyak 22 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sepanjang tempoh 12 hari berkempen sehingga semalam. 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, daripada jumlah itu sembilan laporan diterima di Balai Polis Bongawan, Papar manakala 13 lagi dibuat di Balai Polis Membakut, Beaufort.

Menurutnya, sebanyak 201 permit untuk mengadakan ceramah juga sudah dipohon membabitkan 95 di Beaufort manakala 106 di Papar. "Setakat ini, tiada insiden yang tidak diingini berlaku namun polis terus meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

"Jika sebelum ini seramai 792 pegawai dan anggota ditugaskan ketika proses penamaan calon tetapi persediaan untuk pengundian akan ditingkatkan membabitkan seramai 859 keanggotaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini. Omar berkata, penambahan keanggotaan itu untuk membuat rondaan dan mencegah sebarang perbuatan yang cuba menimbulkan kekacauan hingga mengganggu gugat keselamatan orang ramai.

"Saya lihat banyak isu sensitif yang boleh menimbulkan provokasi ketika berkempen. Keadaan itu menyebabkan perlunya penambahan bilangan keanggotaan untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Oleh itu, saya menyeru pihak yang berkempen supaya tidak menimbulkan isu yang boleh mengundang perasaan kebencian," katanya.

Sarawak Rancang Wujud Bank Digital



SARAWAK merancang mewujudkan bank digital dan akan memohon lesen itu daripada Kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai menyahut seruan dan inisiatif Malaysia untuk mengeluarkan lesen bank digital. 

“Kalau boleh, kerajaan negeri mahu mendapatkan lesen itu kerana sudah mempunyai e-Dompet sendiri iaitu Sarawak Pay.

“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang untuk memberi kita lesen ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hub Inovasi KCGC yang ditubuhkan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI) di Kuching semalam.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan nergeri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan negeri Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Sebastian Ting.

Abang Johari berkata, Sarawak Pay kini juga bekerjasama dengan e-Dompet global iaitu Union Pay di China. Menurutnya, ia sekali gus membolehkan transaksi Sarawak Pay menembusi pasaran China dan juga Eropah. 

“Bermakna sekarang transaksi Sarawak Pay boleh digunakan di mana sahaja dalam Union Pay, khususnya di China dan Eropah,” katanya.

Majikan Miang Cabul Pekerja



LELAKI Pakistan ditahan polis selepas dipercayai mencabul pekerja wanitanya, Isnin lalu. Dia yang berusia 30-an ditahan di hadapan butik pakaian di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu kira-kira 10 malam Selasa lalu. 

Terdahulu sumber berkata, suspek mengajak mangsa yang juga pembantu kedai untuk keluar makan di pada 2 petang Isnin.

Katanya, mangsa berusia 20-an yang tidak mengesyaki apa-apa hanya mengikut suspek dan mereka menaiki Perodua Myvi dipandu lelaki itu ke restoran makanan segera di Batu Buruk.

“Suspek hanya membungkus makanan dan memandu keluar ke rumah sewanya di Pulau Kambing.

“Ketika dalam perjalanan, suspek didakwa memegang dan menggosok paha mangsa menyebabkan wanita itu ketakutan. Apabila tiba di rumah, suspek mengajak mangsa masuk, namun ditolaknya.

“Lelaki itu kemudian didakwa membawa mangsa ke parkir di Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan mencabul tanpa kerelaan,” katanya dihubungi, hari ini.

Kata sumber itu, mangsa ketakutan beberapa kali menepis tangan suspek dan mendesak untuk pulang, namun suspek bertindak lebih agresif. “Wanita itu hanya dihantar pulang kira-kira 4 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek. Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Virus Baharu Sudah Tersebar Ke Jepun



Jepun mengesahkan jangkitan virus baharu coronavirus dari China. Kementerian Kesihatan Jepun berkata, ia dikesan pada pesakit lelaki berusia 30-an dari Kanagawa, dekat sini. 

Lelaki terbabit dikatakan dihjangkiti selepas pulang dari Wuhan di tengah China, lokasi penularan wabak pneumonia berpunca daripada virus berkenaan. Sehubungan itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan peringatan kesihatan untuk mengembara ke Wuhan.

Antaranya, warga AS diminta supaya tidak bersentuhan dengan binatang, berada di pasar dan berdekatan dengan produk haiwan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penularan wabak baharu itu.

Virus coronavirus meliputi virus yang menyebabkan selesema sehingga kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Virus sama juga menyebabkan masalah kesihatan lebih serius seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

United Mara Ke Pusingan Keempat Piala FA



JUAN Mata memastikan Manchester United mara ke pusingan keempat Piala FA menerusi gol kemenangan pada minit ke-67 sekali gus mengatasi Wolverhampton Wanderers, 1-0 dalam perlawanan semula, di Old Trafford awal pagi ini. 

Mata menerima hantaran Anthony Martial dan tenang menolak bola mengatasi penjaga gol, John Ruddy untuk gol tunggal perlawanan. Sekali pun lawan yang juga dari Liga Perdana itu yang terlebih dahulu memperoleh jaringan pada minit ke-10 tetapi dinafikan oleh VAR.

Perlawanan pertama di Molineux berakhir dengan kedua-dua pasukan dalam kelompok 32 terakhir Liga Europa seri tanpa jaringan dengan United gagal mendapat sebarang cubaan tepat ke gol.

Sambutan United bagaimanapun terhenti kerana kecederaan dialami penyerang utama mereka, Marcus Rashford yang masuk selaku pemain simpanan pada babak kedua.

Rashford hanya sempat bermain kurang 15 minit sebelum dikeluarkan kerana kecederaan. "Ia mendatangkan kesan, tetapi kamu harus melepaskan mereka kadang kala," kata pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

Kecederaan itu menjadi tanda tanya pada aksi penyerang England berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada Ahad ini.

"Ia kelihatan seperti dia terbabit perlanggaran di sana dan dia tidak dapat berlari, jadi mari kita uji dia untuk beberapa hari lagi. Harap, dia akan kembali OK pada Ahad, saya tidak tahu," kata Solskjaer.

Dalam satu lagi perlawanan semula, Cardiff City menewaskan pasukan bergelut Liga Dua Inggeris, Carlisle United 4-3 dalam perlawanan yang menghiburkan untuk pertembungan juara liga dua Inggeris berdepan Reading di pusingan ke empat.

United dijangka berdepan sama ada seteru Liga Perdana , Watford yang juga naib juara tahun lalu atau pasukan Liga Satu Inggeris, Tranmere Rovers.

Seniman Bantu Puteri Balqis



PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang dalam proses untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat pelakon Puteri Balqis, 13, akibat kepayahan hidup dilalui. 

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu keluarga Puteri Balqis melalui projek Perumahan Seni Harapan.

"Saya difahamkan sebelum ini dia dan ibunya tinggal di Klang dengan kadar sewa RM1,000 yang dianggap mahal dan kemudian mereka berpindah ke Setia Alam dengan kadar sewa RM400.

"Mengambil kira soal kebajikan dan masalah yang dihadapi Puteri Balqis, Seniman dan Finas sedang dalam usaha untuk mendapatkan rumah PPR buat keluarga Puteri Balqis supaya urusan sewa beli rumah terbabit tidak membebankan mereka.

"Saya difahamkan sewa beli rumah PPR hanyalah sekitar RM250 sebulan. Saya kira ia tidak terlalu membebankan keluarga itu jika pihak kami berjaya mendapatkannya.

"Bagaimanapun, proses untuk mendapatkan rumah terbabit perlu mengambil masa kerana dokumen lengkap perlu disediakan. Malah Seniman juga kini menerima lebih 50 permohonan daripada penggiat seni yang memohon Perumahan Seni Harapan bagi mendapatkan rumah PPR ini," katanya.

Menurut Zed, pihaknya turut menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Seniman tak pernah menghulurkan bantuan atau 'lepas tangan' terhadap masalah yang dihadapi Puteri Balqis, sebaliknya ibunya yang memohon supaya bantuan yang dihulurkan tidak dikongsikan kepada umum sebelum ini.

"Seniman pernah beberapa kali membantu Puteri Balqis selepas mendapat tahu kepayahan hidupnya. Kisah dia dalam program Bersamamu baru-baru ini juga adalah daripada cadangan Seniman.

"Sebenarnya banyak bantuan sudah kami berikan kepada Puteri Balqis dan ibunya, cuma ibunya yang minta kami tidak menghebahkan perkara ini,” katanya,

Menurut Zed, keluarga Puteri perlu memastikan kebajikan pelakon cilik itu terjaga. “Bantuan yang kita salurkan bukan datang selalu. Jadi, tidak boleh terlalu bergantung kepada kami semata-mata. Pihak kami pun bergantung dengan sumbangan orang ramai, syarikat korporat dan ahli-ahli Seniman," katanya.

Sementara itu, Seniman juga bekerjasama dengan Astro melalui program My Buskers bagi membantu anak seni di mana Puteri Balqis turut menjadi artis undangan.

“Melalui program itu, kita undang artis popular untuk membuat persembahan dengan diiringi pemain muzik jalanan. Sumbangan yang diperoleh menerusi jualan cenderahati diserahkan kepada artis terbabit,” katanya sambil menambah Puteri bakal menerima lebih RM3,000 apabila muncul dalam salah satu episod program berkenaan.

Difahamkan, saluran Astro Prima akan menayangkan program itu tidak lama lagi dan wang itu bakal disalurkan tidak lama lagi.

Tok Pa Kini Di TERAJU



KEMENTERIAN Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

“Bersesuaian dengan peranan TERAJU sebagai agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dengan kepimpinan baharu ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh TERAJU dapat meningkatkan daya saing Bumiputera sekaligus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.
“Selain daripada sudut ekonomi, TERAJU mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini. 

Mustapa atau mesra dipanggil Tok Pa berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2009-2018), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Mendaki Gua Damai



TAMAN Ekstrem Gua Damai, antara destinasi popular yang terdapat di pinggir ibu kota menawarkan keunikan dan pengalaman menarik bagi pencinta sukan lasak serta ekstrem. 

Terletak di Batu Caves, Selangor ia juga menjadi tumpuan pelancong terutama yang teruja menyaksikan perayaan Thaipusam. Ternyata, Taman Ekstrem Gua Damai ini memberi sisi berbeza kepada pengunjung.

Memiliki keluasan kira-kira dua hektar, tidak mustahil Gua Damai ini sangat popular bagi sukan eksplorasi gua. Lebih unik, ia memiliki lima gua berbeza yang menawarkan cabaran berlainan seperti Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree.

Selain itu, Gua Damai juga sering menjadi pilihan utama bagi penggemar sukan lasak, mendaki batu (rock climbing) kerana ia memiliki lebih 100 laluan yang mencabar namun selamat.

Berdasarkan faktor berkenaan, program Rock Conquest Varsity 2019 anjuran Kelab Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia (KRESMA) menjadikan Gua Damai sebagai lokasi utama.

Pengarah programnya, Muhammad Harrith Noor Hisham berkata, penganjuran aktiviti ini memasuki tahun keenam bertujuan mempromosikan sukan ekstrem dalam kalangan mahasiswa.

“Program ini adalah aktiviti tahunan KRESMA dan sering dianjurkan setiap Oktober. Selainingin memperkenalkan sukan ini, objektif penganjuran program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa selaku pihak penganjur dengan kerjasama Pusat Sukan UiTM.

“Sukan mendaki batu ini juga bertindak sebagai jambatan antara UiTM dengan institusi pengajian tinggi lain untuk mewujudkan satu hubungan rapat dan kerjasama antara satu sama lain.

“Lebih menarik, kami memilih lokasi Gua Damai sebagai lokasi yang sememangnya terkenal dengan keunikan batunya,” kata mahasiswa berusia 25 tahun ini ketika ditemui.

Menurut Muhammad Harrith, sukan lasak mendaki batu dapat menarik perhatian masyarakat sama ada tempatan mahupun asing apabila ia mampu memperkenalkan destinasi pelancongan menarik yang berdekatan. Katanya, sukan ekstrem ini sememangnya popular di luar dan mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Bakal diterima sebagai satu daripada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik tahun ini, justeru Muhammad Harrith menyifatkan platform disediakan KRESMA mampu melonjakkan lagi sukan ini.

Katanya lagi, sukan ini berkait rapat dengan gaya hidup sihat kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dan bukan sekadar hobi. Pernah mewakili UiTM ke Singapura, Indonesia dan China, dia juga tidak menafikan sukan ini berisiko umpamanya terdedah kepada kecederaan sekiranya tidak berhati-hati.

Mengulas mengenai pemilihan Gua Damai, mahasiswa ini berkata laluan mendaki batu di lokasi ini sesuai dengan pelbagai tahap pendaki sama ada amatur atau profesional.

Sempena penganjuran program ini, sebanyak 21 laluan mendaki dengan ketinggian antara 10 hingga 25 meter. Terletak berdekatan dengan ibu kota, Gua Damai dilengkapi pelbagai kemudahan dan fasiliti diperlukan.

Bagi memastikan keselamatan terjamin, Muhammad Harrith mengakui mereka bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, bomba, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Majlis Daerah Selayang.

Sementara itu, peserta Ateeqah Hamidah Mohd Johar, 21, mengakui pertama kali mencuba sukan lasak ini kerana ingin melakukan kelainan. “Saya kini berada dalam tahun akhir, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang berbeza sebagai satu pengalaman menarik sebelum meninggalkan universiti.

“Tidak dinafikan permulaannya saya berasa takut dan bimbang akan tercedera. Namun dengan sokongan rakan dan pengajar membuatkan saya lebih yakin.

“Bagi saya, sukan ini sangat menarik dan saya berharap dapat melakukannya pada masa akan datang dengan lebih aktif,” katanya ketika ditemui.

Program ini disertai 100 pelajar merangkumi lelaki dan perempuan mewakili enam institusi pengajian tinggi tempatan termasuk UiTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Consist College.

Wednesday, 15 January 2020

HARIMAU LAUK GARUDA


Sudah menjadi satu mitos terkenal di Nusantara, dahulu kala, menurut penceritaan yang diperturunkan, terdapat pertembungan antara seekor harimau jantan dan seekor burung garuda. Pertembungan hebat ini akhirnya dimenangi oleh sang harimau yang akhirnya menjadi Raja di seluruh Nusantara.

Itu kisah mitos yang berlaku di tengah-tengah benua Nusantara ini. Hari ini, pertembungannya masih berlaku cuma yang membezakan, harimau berkenaan menjadi Malaysia dan Garuda adalah Indonesia.

Katakan sahaja apa jenis pertembungan, pastinya pertembungan sengit akan berlaku sekiranya Malaysia bertemu Indonesia. Baik dalam acara sukan, geoekonomi, geopolitik malah pernah tercatat dalam sejarah, Malaysia pernah berhadapan dengan Indonesia sewaktu konfrontasi meletus.

Kali ini, memasuki era 2020, pertembungan masih berlaku dan kali ini menerusi pertembungan geoekonomi. Jika selama ini, Malaysia sentiasa di hadapan dalam sektor ekonomi, kali ini ceritanya sudah berubah.

Jika dahulu, garuda terpaksa akur dengan kehebatan harimau sehingga cedera teruk kepaknya, kali ini, harimau berkenaan sudah terlalu tua untuk bertarung lagi. Indonesia berjaya keluar dari level kelas kedua yang diletakkan keatasnya apabila hari ini menjadi teraju kedua termaju dalam sektor ekonomi di Asia Tenggara, tempat yang sama pernah diduduki Malaysia selama 9 tahun sebelum ini.

Dengan kemudahan ekonomi, kadar cukai yang berpatutan serta sokongan kuat dari kerajaan, Indonesia hari ini menjadi pilihan pelabur antarabangsa yang mencari satu tapak yang kukuh serta stabil di Asia Tenggara. Ditambah pula dengan kemampuan Presiden Jokowi menyelesaikan permasalahan dalaman politiknya, Indonesia telah keluar menjadi playmaker ekonomi.

Buktinya? Lihat bagaimana keyakinan yang ditunjukkan oleh Putera Muhammad Zayed Al Nahyan, Putera kesayangan UAE yang baru-baru ini telah memetrai perjanjian pelaburan besar yang melibatkan 11 perjanjian perdagangan dengan angka sebanyak RM 93.5 bilion.

Malah, menerusi beberapa laporan dari Indonesia, besar kemungkinan modul 1MDB yang dijadikan bahan momokan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu juga mungkin bakal diwujudkan. Modul operasi dan pengawalan IPP serta memajukan sektor hartanah juga dikatakan mirip seperti 1MDB.

Tidak terhenti setakat itu, banyak dewan pelaburan luar negara juga menjadikan Indonesia sebagai lubuk pelaburan terbaru atas beberapa faktor yang dahulunya milik Malaysia. Faktor berkenaan adalah

1. Tenaga kerja yang murah
2. Dasar kerajaan yang mesra pelabur asing
3. Jaminan keselamatan pelaburan
4. Kadar cukai yang mesra pelabur
5. Kekuatan dan kestabilan politik

Sejujurnya, penulis tumpang gembira dengan pencapaian Indonesia hari ini. Namun disebalik senyuman ini, terus berubah menjadi terlalu sedih melihat keadaan semasa Malaysia. Apa lagi yang boleh dibanggakan setelah kestabilan ekonomi Malaysia berada di tangga keenam Asia Tenggara?

Apa lagi yang boleh dibanggakan setelah Malaysia mencatatkan penurunan perolehan negara serta kemampuan daya saing ekonomi, satu-satunya negara yang mencatatkan penurunan di Asia Tenggara malah tidak keterlaluan, di seluruh benua Asia.

Malaysia kehilangan begitu banyak pelabur berpotensi yang selama ini menjadi antara penyumbang terbesar pendapatan negara. Malaysia kehilangan kestabilan politik apabila kerajaan sendiri begitu sibuk betelagah sesama sendiri samada dari segi pengurusan negara sehinggalah kepada siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

Malaysia kehilangan kepercayaan dunia luar dari sektor keselamatan pelaburan. Terima kasih kepada SPRM yang bertindak seperti murid tadika apabila mendedahkan perbualan telefon yang sepatutnya dirahsiakan antara bekas Perdana Menteri dan orang kedua paling berkuasa di UAE serta ke7 paling berpengaruh di Asia Barat.

Apa lagi yang tinggal pada Malaysia setelah diuruskan oleh mereka yang boleh dianggap terlalu benak menguruskan negara seperti Pakatan Harapan? Kita kehilangan penguasaan ekonomi, kehilangan begitu banyak pelabur, kehilangan deretan aset negara, kehilangan penjagaan keselamatan dan paling teruk, kehilangan kuasa dalam menguruskan kewangan dan ekonomi sendiri.

Jika dahulu, rakyat Malaysia mungkin boleh mendada jika berjalan-jalan di Bogor, Bali, Palembang mahupun Sulawesi. Hari ini, usahkan mahu mengangkat muka, mahu mengaku diri dari Malaysia juga mungkin ada yang sudah malu. Terima kasih Pakatan Harapan sehingga meletakkan ekonomi Malaysia ketahap paling hina sejak kita mengecapi kemerdekaan.

Tahniah Indonesia kerana kalian berjaya menunjukkan  kepada Malaysia, walaupun Indonesia agak jauh ketinggalan pada Malaysia, hari ini, berkat kebijaksanaan rakyatnya memilih kerajaan yang stabil, seluruh negara menikmati keuntungannya.  Mungkin tidak lama lagi, ada rakyat Malaysia yang sanggup menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka, mencari peluang pekerjaan sama sepert yang berlaku sebelum ini terhadap Indonesia.

Apa yang pasti, Harimau tua telah tewas teruk di baham Sang Garuda. Mujur sang Garuda masih mempunyai belas membiarkan Harimau tua ini masih bernyawa untuk melihat sendiri, Sang Garuda terbang tinggi mengejek Harimau Tua yang lemah tidak bermaya.