Sunday, 19 July 2020

UEC Bukan Tiket Lepas Bebas!



Secara tiba-tiba kisah mengenai kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional akan mengiktiraf UEC kembali menjadi sebutan ramai. Semuanya gara-gara dakwaan Dong Zhong yang mendakwa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin bakal memberi pengiktirafan kepada UEC hasil daripada pertemuan yang berlangsung sebelum ini.

Dakwaan ini pantas dinafikan oleh Tan Sri Muhyiddin dan secara tegas menyatakan, kerajaan tidak ada sebab untuk mengiktiraf pemilik sijil UEC diserap masuk kedalam agensi kerajaan tanpa perlu melepasi perperiksaan yang diiktiraf seperti SPM mahupun STPM.

Hal ini sebenarnya sudah lama menjadi sebutan dan pelbagai andaian timbul hasil daripada kenyataan-kenyataan liar seumpama ini. Sebenarnya, perkara ini boleh diselesaikan sekiranya Dong Zhong akur akan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu setiap pemilik sijil UEC perlu mengambil SPM dan STPM sebagai syarat utama untuk diiktiraf memasuki IPTA atau mana-mana agensi kerajaan.

Pada masa yang sama, wujud pula andaian bahawa segala konflik ini sebenarnya wujud akibat kewujudan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan. Secara jujurnya, saya tidak merasakan sekolah-sekolah ini menjadi punca kepada semua ini. Kenyataan ini bersandarkan kepada apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara bagi melindungi hak dan kepentingan orang Melayu di negara ini.

Baiklah, mari saya bawa sebentar apa yang terkandung di dalam Perkara 12, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara 12 ada menyebut dengan jelas tidak ada sebarang dsikriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan ras, agama, keturunan atau tempat lahir bagi menduduki pentadbiran mana-mana institusi pendidikan samada di peringkat pentadbiran atau penerimaan masuk mana-mana murid ke institusi pendidikan.

Dalam Perkara 12.2 ada jelas menyebutkan mana-mana kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi pendidikan bagi pendidikan kanak-kanak dalam kumpulan agama itu sendiri. Dalam Perkara 152 Bahasa Kebangsaan pula ada menyebut, Bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Atas alasan inilah kenapa pihak Dong Zhong perlu akur pada arahan kerajaan yang mana setiap calon-calon lepasan UEC perlu lulus dengan kepujian dama bahasa Kebangsaan.

Namun begitu, dalam Perkara 152 (1)(a) ada jelas menyebut, tidak ada seorang pun dilarang dari menuturkan bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan termasuk belajar atau diajar bahasa berkenaan. Ini sudah tentu dapat menjelaskan kewujudan Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan ini bukan satu kesalahan atau melanggar Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan mereka sah dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mendesak penutupan semua sekolah jenis kebangsaan ini.

Malah, jika kita lihat semula definasi Melayu itu sendiri jelas membawa maksud seseorang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, berbusana Melayu Asli, dan mengamalkan kebudayaan dan adat resam Melayu itu sendiri. Bayangkan andai kaum-kaum lain mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, berbusana Melayu asli dan turut mengamalkan adat resam Melayu. Walaupun mereka dilahirkan sebagai kaum Cina atau India, mereka juga berhak untuk mendakwa diri mereka Melayu setelah segala syarat am KeMelayuan itu sendiri berjaya dipenuhi oleh mereka.

Justeru, biarlah wujud sekolah-sekolah berkenaan kerana setidak-tidaknya identiti KeMelayuan yang kita warisi sejak sekian lama kekal terpelihara oleh anak-anak Melayu itu sendiri. Cuma perlu ditekankan, Dong Zhong tidak boleh mengeluarkan andaian atau meminta sesuatu yang tidak selari dengan Perlembagaan Negara hanya kerana memperjuangkan lepasan sijil UEC.

Saya fikir, tidak ada seorangpun tidak kira apa jua kaum boleh lepas begitu sahaja tanpa perlu mengambil perperiksaan yang diiktiraf oleh kerajaan dan standard pembelajaran negara ini. Tidak ada salahnya untuk mengambil UEC namun mereka juga perlu mempunyai kelulusan dalam SPM atau STPM sebelum boleh diserap masuk kedalam IPTA mahupun bekerja di sektor kerajaan. Tiada sesiapa pun terkecuali.

Untuk sekarang, setidak-tidaknya kita perlu bersyukur yang kerajaan tidak tunduk kepada pengendali Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan ini untuk mengiktiraf UEC. Bayangkan jika kerajaan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP masih menerajui negara. Tidak mustahil UEC diiktiraf sebagai salah satu sijil yang disahkan oleh kerajaan, perkara yang sama sekali melanggar Perkara 152, Perlembagaan Negara.

Menteri Ekonomi Atau Tukang Ramal?



Sejak Januari 2020, seluruh dunia dilanda panik akibat serangan Coronavirus yang bermula dari Pasar Basah Wuhan, China. Sejak itu, virus berkenaan tersebar keseluruh pelusuk dunia yang mengakibatkan rentak perjalanan ekonomi dunia terganggu di segenap aspek. Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan, seluruh dunia seumpama sebuah penjara atau kubu besar akibat serangan musuh yang tidak dapat di lihat dengan mata kasar.

Tidak ada sebuah negara pun di dunia ini berani menjangkakan bila mereka mampu menjalani kehidupan seperti biasa. Negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat sendiri hampir lumpuh akibat serangan Covid 19. Begitu juga dengan Malaysia namun kita bertuah, insiden pertukaran kuasa pada penghujung Februari lepas memberikan kita kelegaan keluar dari sebuah kerajaan yang langsung tidak bertanggungjawab.

Apabila kita menyentuh tentang keadaan ekonomi semasa, sudah tentu Malaysia turut terjejas dengan serangan Covid 19. Banyak perniagaan kecil dan sederhana cukup terjejas malah ada yang sudah gulung tikar setelah kegagalan memasarkan produk keluaran mereka. Lebih terkesan adalah sektor perlancongan dan perindustrian berat.

Manakan tidak, sudahlah mahu mengimport bekalan asas turut mengalami kesukaran akibat pelbagai prosidur ketat dan masih lagi mengalami penutupan sempadan, untuk mengeksport barangan juga mengalami kesukaran kerana hampir seluruh dunia sedang mengalami penyusutan ekonomi yang dahsyat. Tidak banyak negara yang mampu bangkit semula dalam sektor ekonomi setelah pelbagai sektor perniagaan mengalami penyusutan mendadak.

Menariknya, secara tiba-tiba, Menteri Ekonomi, Dato Seri Azmin Ali boleh mengeluarkan jangkaan bahawa ekonomi negara mampu berkembang antara 6 hingga 7 peratus menjelang tahun hadapan. Kenyataan ini pantas menarik perhatian bekas Ketua Setiuasan Perbendaharaan Negara, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar yang melihat angka ini sebagai tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Dakwaan beliau ini ada asasnya kerana sewaktu negara sedang mengalami pertumbuhan ekonomi luar biasa di bawah kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato Seri Mohd Najib, Bank Dunia mengunjurkan Kadar Pertumbuhan Ekonomi Malaysia berada di sekitar 5.4 hingga 5.9 peratus menjelang suku kedua 2019. Akan tetapi, bencana politik yang berlaku pada Mei 2018 menyaksikan jangkaan ini jatuh sehingga ke paras 4 hingga 4.2 peratus.

Dengan segala kerosakan, pinjaman tanpa memberi faedah kepada negara serta lambakan hutang yang mencecah 55 peratus kadar hutang negara, unjuran 6 hingga 7 peratus ini tidak lebih dari sekadar ramalan seorang yang tidak mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara dan dunia.

Saban tahun, Bank Dunia akan menilai kekuatan ekonomi sesebuah negara dan merekalah yang memberi unjuran berkenaan dalam laporan tahunan mereka. Dari sini, para pelabur asing akan mengguna pakai unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia sebagai langkah persediaan untuk membuat pelaburan jangka pendek dan jangka panjang kepada sesebuah negara.

Pada ketika negara masih terkial-kial keluar dari ancaman Covid 19, pada perkiraan pemerhati ekonomi, andai Malaysia mampu mencecah angka 5 peratus menjelang suku kedua tahun hadapan, ianya sudah boleh dianggap sebagai kejayaan. Negara jiran, Singapura sendiri menjangkakan unjuran perkembangan ekonomi mereka tahun hadapan agak mendatar diantara 4.2 hingga 4.5 peratus sahaja.

Disinilah timbul persoalan, dari mana Azmin memperoleh angka 6 hingga 7 peratus unjuran perkembangan ekonomi semasa negara untuk tahun hadapan? sedangkan kita pada era kegemilangan pun hanya mampu diunjurkan pada 5.4 hingga 5.9 peratus, apatah lagi negara baru sahaja melangkah keluar dari dua era kegelapan ekonomi iaitu era hitam pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan dan era serangan musuh ghaib, Covid 19.

Benar, kita memerlukan pelaburan asing dalam skala besar bagi menaikkan semula sektor ekonomi negara. Langkah kerajaan yang menggalakkan rakyat berbelanja barang keluaran dalam negara serta menggalakkan rakyat keluar melancong di dalam negara mampu mencairkan ekonomi dari terus membeku. Setidak tidaknya, ekonomi kita masih mampu diselamatkan oleh rakyatnya sendiri dengan kerjasama kerajaan yang menyalurkan pelbagai bantuan secara one off kepada rakyat.

Namun, langkah tukang ramal tanpa merujuk mereka yang jauh lebih arif terhadap perkembangan ekonomi semasa dunia dilihat bukanlah satu tindakan yang bijak. Beliau sepatutnya sedar, beliau menguruskan ekonomi sebuah negara, bukan lagi menguruskan ekonomi sebuah negeri. Unjuran seperti ini sebenarnya tidak realisitik dan mungkin akan menimbul lebih banyak keraguan buat pelabur asing untuk melabur kedalam negara.

Katakan unjuran ini tepat, bagi para pelabur dan rakyat, sudah tentu kita gembira. Bagaimana pula tidak tepat? Sudah tentu unjuran seperti ini dianggap satu lagi penipuan kerajaan terhadap pelabur asing dan akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap cara pengurusan ekonomi negara.

Kita perlu realistik. Selepas mengharungi dua era gelap, mungkin jauh lebih baik andai angka yang dikeluarkan untuk tahun hadapan jauh lebih rendah. Mungkin pada sekitar 4.7 hingga 5 peratus. Setidak-tidaknya ia masih dalam kemampuan kita mengejarnya. Bukan memberi angka tinggi tetapi tidak mampu digapai. Itu bukan unjuran ekonomi tetapi tidak lebih dari sekadar tukang ramal yang mahu meyakinkan pelanggan sedangkan ramalannya tidak tentu tepat atau tidak.

Mahathir, Spiderman Dan Najib



Untuk kesekian kalinya, TUn Dr Mahathir Mohamad hadir dalam satu program yang dinamakan "Bersatu Blackout", malam semalam. Bukan satu yang aneh hari ini apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini telah terbahagi kepada dua. Apa yang melucukan, dengan masih menggunakan logo Bunga Raya yang sama, cuma warna yang menjadi latar belakang kedua-dua blok ini menampilkan perbezaan.

Bagi blok yang dikuasai oleh Tun M, mereka menggunakan warna hitam tanda bantahan keatas apa yang mereka dakwa pengkhianatan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Bagi Tan Sri Muhyiddin pula, beliau mengetuai blok satu lagi dengan menggunakan warna asal PPBM iaitu merah.

Keadaan ini jika kita lihat dengan kaca mata matang, saling tidak tumpah seperti perperangan antara kanak-kanak. Malah, tidak keterlaluan andai mengaitkan kedua-dua warna PPBM ini seperti filem keluaran Sony Pictures, Spiderman yang menampilkan superhero berkenaan mengenakan suit merah dan hitam. Mungkin sahajalah Tum M berminat melihat aksi Spiderman sehingga memberi ilham untuk mengenakan warna hitam terhadap blok yang diketuainya.

Apa lagi yang di mahukan Tun M? Jawapannya mudah. Hanya kuasa dengan modus operandi yang masih sama. Hancurkan imej musuh politik dan mengambil kesempatan keatas kejatuhan musuhnya. Modus operandi yang sama seperti mana yang beliau lakukan terhadap Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa kebangkitan the Sith Lord beliau pada 2014.

Jika kita masih ingat semasa 2014, beliau galak menyerang Dato Seri Mohd Najib dari segenap penjuru termasuk mempergunakan ahli UMNO yang masih kekal taksub kepadanya untuk mengentam Perdana Menteri keenam berkenaan hanya dengan menggunakan 1MDB. Kali ini modus operandi yang sama turut beliau gunakan.

Beliau menggunakan imejnya selaku Negarawan dengan mencari sokongan dari dalam partinya sendiri yang diperakui sudah berpecah belah demi sokongan politik. Malah, beliau sendiri pasti sedar bahawa sokongan terhadapnya di dalam Pakatan Harapan sendiri sudah lagi tidak relevan. Kini hanya tinggal dua nama iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Shafie Apdal sahaja yang menjadi pertaruhan supremo Pakatan Harapan, DAP.

Keadaan inilah yang menggusarkannya sehingga bertindak mewarna semula PPBM mengikut kehendaknya. Dari kem Tan Sri Muhyiddin, apa yang dilakukan oleh Tun M ini tidak lebih dari sekadar anjing menyalak bukit. Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuainya masih terus berfungsi walaupun mempunyai majoriti yang amat tipis.

Kekuatan Perikatan Nasional jelas dapat dilihat hasil daripada sokongan yang diberikan oleh Barisan Nasional dan PAS. Andai Barisan Nasional memilih untuk tidak lagi bekerjasam dengan blok Tan Sri Muhyiddin dalam PPBM asal, besar kemungkinan kerajaan yang ada pada hari ini akan runtuh. Hal inilah yang menyebabkan Tan Sri Muhyiddin tidak langsung goyah dengan serangan yang dilakukan oleh parti serpihan PPBM yang diketuai oleh Tun M. Malah Tun M sendiri tidak dapat membuktikan sokongan padu yang diperoleh olehnya.

Disinilah Tun M menyedari, salah satu rentak yang perlu dilakukan untuk terus mendapat sokongan dari pentaksubnya adalah dengan terus menerus menjual nama Dato Seri Mohd Najib. Bukan satu perkara yang pelik apabila setiap kali Tun M dapat memegang microphone, nama wajib yang disebutnya adalah Najib. Walaupun beliau berperang dengan Tan Sri Muhyiddin, nama Najib mesti dikaitkan dengan apa jua cara sekalipun bagi mengekalkan sokongan pentaksubnya.

Ini bukan perkara yang menghairankan kerana sejak beliau menyertai politik, beliau tidak pernah mengakui kesalahan dirinya. Baginya, apa jua yang berlaku, jarinya akan cepat menunding kepada orang lain untuk dipersalahkan, walaupun kesilapan berkenaan hasil daripada kesilapan percaturannya sendiri.

Jadi, kekallah nama Dato Seri Mohd Najib menjadi bahan "zikir" Tun M demi mengejar kuasa dan mengejar kedudukan menjadi Perdana Menteri ke 9 usai PRU ke 15 kelak. Walaupun sasarannya adalah Tan Sri Muhyiddn, tetapi lidahnya lagi enak menyebut nama Najib disaat Tun M sendiri membawa PPBM tidak ubah seperti filem Spiderman 3 arah Sam Raimi yang diterbitkan pada 2007.

Saturday, 22 February 2020

Tiga Geng Curi Kereta, Pecah Rumah Ditahan



POLIS berjaya menumpaskan geng pecah rumah dan curi kereta dengan penahanan tiga individu dalam sekatan jalan raya di Jalan Haji Taha, di Kuching, malam tadi. 

Ketua Polis Balai Sentral, Asisten Superintendan Ahmad Abang berkata, ketika melakukan sekatan pada jam 11.30 malam, pihaknya menahan kereta Perodua Kancil berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan, pemandu kenderaan itu enggan berhenti dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Dua lelaki dan seorang perempuan berusia 24 dan 25 tahun berada di dalam kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya menjumpai parang dan perkakas alat pecah rumah ketika pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu dilakukan. “Antara barang yang ditemui dan dirampas ialah dua parang, pembaris besi, pemutar skru termasuk kereta yang digunakan.

“Semakan dilakukan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan curi kereta, pecah rumah dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Katanya, dua suspek lelaki dibawa ke Balai Polis Sentral manakala suspek wanita dibawa ke Balai Polis Satok untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958.

Sita Kapal Tangki, Diesel RM2.4 Juta



PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan sebuah kapal tangki dan menyita 450,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2.4 juta, kelmarin. Kapal itu ditahan kira-kira jam 5 petang oleh PPM Labuan ketika menjalankan tugas Ops Gelora Khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kedudukan Laut Pelabuhan di Labuan. 

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikemudi seorang kepten lelaki berusia 43 tahun bersama enam kru berusia 26 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut kapal itu melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan rekod belian dan jualan diesel berkenaan. Kapal bersama 450,000 liter diesel disita membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

'Pak Guard' Curi Motosikal



PENGAWAL keselamatan ditahan polis selepas didapati menunggang motosikal disyaki dicuri di Jalan Kuala Teriang di Langkawi, kelmarin. Dalam Op Lejang pada 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 50 tahun didapati menunggang motosikal yang dilaporkan hilang di Kampung Kuala Melaka, pada 24 Januari lalu. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, anggotanya terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan di hadapan tapak pembinaan di kawasan Padang Matsirat. 

“Curiga dengan maklumat diberikan polis menahan suspek dan merampas motosikal sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri motosikal itu yang dilaporkan hilang ketika diletak di hadapan rumah pemiliknya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan juga mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi. Suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Tikam Muazin Sebelum Solat



Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki menikam muazin di sebuah masjid di tengah London, semalam. Daily Mail melaporkan pihak berkuasa mengesahkan kejadian berkenaan tiada kaitan dengan serangan pengganas.

Mangsa dikenali sebagai Rafat Maqlas, 69, ditikam pada lehernya ketika mahu menunaikan solat Asar, semalam. Selepas kejadian, warga emas itu dibawa ke hospital dan masih tersenyum ketika dirawat.

Ketua Unit Penguasa Daerah Pentadbiran London tengah Superintendan Helen Harper berkata, siasatan dilakukan untuk menyiasat motif kejadian.

“Kita percaya ia cuma insiden terpencil. Rondaan ditingkatkan di sekitar kawasan masjid untuk keselamatan orang ramai. Saya juga ingin berterima kasih kepada setiap orang dalam masjid yang membantu mengesan suspek sebelum ditahan dan tidak putus-putus memberikan maklumat dalam membantu siasatan pegawai saya. Kecederaan dialami mangsa juga tidak serius,” katanya.

Seorang saksi memberitahu, suspek biasa dilihat di masjid itu dan kali terakhir dilihat enam bulan lalu. Abi Watik, 59, berkata, mangsa menikam sekali di bahu kanan mangsa ketika solat baru dimulakan.

“Suspek pada mulanya dilihat solat di belakang mangsa sebelum menikamnya. “Saya percaya suspek itu memang menunggu detik itu untuk menyerang,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Boris Johnson menzahirkan kedukaan di atas kejadian berkenaan. “Saya sangat sedih mendengar serangan berlaku di masjid tengah London. Ia sungguh mengerikan dan tidak patut berlaku lebih-lebih lagi dalam tempat ibadat. Ingatan tulus ikhlas saya untuk mangsa dan mereka yang terkesan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter.

Pecutan Turbo Azizul



SEJAUH mana basikal yang menyamai nilai sebuah rumah mampu membantu pecutan Azizulhasni Awang menyinar di Kejohanan Dunia sekali gus layak ke Olimpik Tokyo 2020 bakal terjawab minggu depan. 

Basikal bernilai hampir RM400,000 itu diuji sekali lagi di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman Rabu depan apabila selain Azizul, Mohd Shah Firdaus Sahrom juga menggunakan basikal sama. 

Kepantasan basikal berteknologi Britain, Worx WX-R Vorteq itu bagaimanapun sebelum ini digunakan ketika Azizulhasni meraih emas acara keirin di pentas Piala Dunia di New Zealand, Disember lalu.

Namun menurut ketua jurulatih John Beasley, mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan peralatan basikal itu seperti penggunaan gear, hendal dan lain-lain dengan proses penyelidikan dan pembangunan terkini dijalankan sebelum ia diperkenalkan secara rasmi Mac depan untuk membantu misi emas pertama Olimpik Tokyo.

Beasley berkata, Kejohanan Dunia pentas terbaik menguji peralatan dibantu dengan kepakaran, sementara pelumba mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental berhadapan saingan bertaraf dunia.

“Kita bertuah kerana Britain sedia membantu Malaysia menggunakan teknologi mereka. Kita belajar daripada apa yang mereka lakukan pada tiga Olimpik lalu. Itu sebab kita menggunakan jenama dari Britain.

“Apa yang perlu sekarang ini adalah mempersiapkan pelumba dan Azizul serta Shah Firdaus bersedia 100 peratus memberi yang terbaik di Kejohanan Dunia nanti,” katanya. Kata Beasley bukan hanya Malaysia melaburkan wang besar menggunakan peralatan tercanggih, tetapi negara besar lain seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Itali dan Perancis turut melakukan perkara sama.

Vorteq menyatakan peralatan karbon itu dibangunkan menggunakan teknik simulasi komputer CFD dan FEA dan diuji dalam terowong angin pada mesin kelajuan tinggi.

Penggunaan kerangka (frame) kali ini memenuhi kriteria terbaharu ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang membenarkan fork dan seat stay untuk dilebarkan hingga 8 sentimeter yang dikatakan mengurangkan seretan terhadap rim dan tayar.

Jika mengambil kira komponen berkualiti tinggi lain bagi melengkapkan basikal terbabit, sebuah jentera lengkap digunakan The Pocket Rocketman itu boleh mencecah RM250,000 mengikut spesifikasi pengeluar dan mungkin harga itu meningkat berdasarkan penggunaan peralatan sebenar yang digunakan di Tokyo nanti.

Ikatan Kasih Lerai Gementar




GEMENTAR dan selepas itu bertukar gembira. Ini perasaan yang dikongsi pasangan sama cantik sama padan, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson selepas selesai majlis ijab kabul pada malam Khamis lalu. Aiman berkata, di sebalik ketenangan wajahnya, dia sebenarnya berdepan perasaan gemuruh yang cuba disembunyikan dalam menuju proses bernikah. 

“Hati saya berdegup kencang. Sangat-sangat gementar. Ia tak sama langsung seperti ketika berlakon. Saya sebenarnya tak menghafal pun lafaz akad. Cuma beberapa jam sebelum akad nikah, baru saya bersungguh-sungguh mempraktikkannya,” katanya.

Menurutnya, pelbagai dugaan yang dihadapi antaranya membuat sendiri persiapan majlis sehingga dia tidak sempat menghafal lafaz nikah. “Apabila keluar untuk ke tempat acara nikah, baru saya terfikir berkenaan lafaz akadnya. Dapatlah berlatih beberapa kali dan syukur semuanya berjalan lancar,” katanya yang sah bergelar suami Zahirah dengan sekali lafaz.

Seperti orang lain, pasangan ini turut berdepan dugaan ketika bercinta, namun kematangan kedua-duanya berjaya mengelakkan berlaku kejadian buruk yang boleh menggugat perhubungan mereka. 

“Dugaan memang ada. Namun saya lega kerana Zahirah sangat matang menangani situasi. Biarpun ada dugaan dan masalah, cara dia berfikir dan menerimanya sangat tenang,” kata Aiman.

Ditanya berkenaan fasa berbulan madu, Zahirah pula berkata, impian itu terpaksa dipendam seketika kerana kebimbangan terhadap wabak Covid 19. “Mungkin selepas ia berakhir, baru kami berbulan madu.

Lagipun, saya masih sibuk dengan promosi filem Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan pada 12 Mac depan,” katanya. Menurut Aiman, bukan hanya isterinya, tetapi dia juga akan terbabit promosi aktiviti seni dan sibuk menguruskan perniagaan.

Sampuk Zahirah di sebelahnya, mereka bercadang bercuti ke beberapa lokasi menarik seperti Mexico. Mengulas berkenaan anak pula, pasangan ini menyerahkan kepada ketentuan Allah dan bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa.

“Kalau ada rezeki, kami takkan tolak. Kami pun tak rancang untuk lambat dapat anak. Tak manis untuk rancang kerana terlalu rancang sangat nanti mungkin tak dapat langsung. Kalau ada, Alhamdulillah. Kami terima dengan hati gembira,” kata Zahirah. Bercakap mengenai lakonan, pasangan ini akan berfikir mendalam sekiranya ditawarkan berlakon bersama selepas ini.

“Tawaran berlakon memang ada, tapi kami sekarang nak cuba elak dapat cerita yang sedih dan berat. Kami nak berlakon cerita komedi ringan dan gembira. Kami tak nak ‘klise’ seperti drama yang pernah dibintangi sebelum ini. Banyak tawaran yang datang, tapi memandangkan jalan cerita dan karakter sama seperti Curi Curi Cinta, ia terpaksa ditolak,” kata mereka.

TM Jangka Perolehan Rendah



TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menjangkakan pertumbuhan perolehan lebih rendah pada kadar satu angka atau sederhana bagi tahun kewangan 2020 didorong persekitaran ekonomi yang mencabar. Perolehan TM menyusut 3.3 peratus kepada RM11.34 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding RM11.81 bilion pada 2018. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, tahun lalu adalah tempoh transformatif buat TM berikutan penyesuaian dengan dinamik baharu pasaran dan penurunan hasil daripada segmen tradisional.

“Bagaimanapun, perolehan data, pemacu utama kami meningkat 16.9 peratus berikutan permintaan memberangsangkan dalam tempoh 12 bulan lalu daripada RM2.44 bilion pada 2018 kepada RM2.86 bilion bagi 2019.

“TM juga akan memfokus kepada persiapan infrastruktur seterusnya bagi menyokong kes gunaan 5G serta mengorak langkah ke hadapan menempatkan kumpulan sebagai Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi Nasional (NTIP) bagi 5G (InfraCo).

“Kami menjangkakan suku keempat tahun ini, TM akan memperkenalkan pakej produk 5G pastinya yang dapat memberi pelanggan akses liputan lebih baik dan kos langganan lebih rendah,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan kewangan TM 2019 di sini, semalam.

Di sebalik penurunan perolehan, TM mencatat peningkatan perolehan sebelum faedah dan cukai (Ebit) kepada RM1.57 bilion daripada RM64.6 juta tahun sebelumnya berikutan kos operasi lebih rendah.

Selain itu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (Patami) kumpulan turut dilaporkan meningkat empat kali ganda kepada RM632.7 juta bagi tahun kewangan 2019 berbanding RM153.2 juta tahun sebelumnya.

Dari aspek jumlah pelanggan jalur lebar pula, TM merekodkan jumlah bersih pelanggan lebih tinggi bagi jalur lebar tetap suku ke suku iaitu 2.18 juta pelanggan, selari dengan promosi akhir tahun TM. 

“Bagi tahun ini, kami kembali kepada asas dalam memperkukuh teras kami, termasuk mempertingkatkan rangkaian dan IT, proses edaran pasaran serta beralih melangkaui daripada sekadar perkhidmatan sambungan kepada perkhidmatan digital bernilai tambah baharu dan memperluaskan janaan jualan,” katanya

Toyota Corolla Altis MPV Baharu PDRM



GO Auto Sales Sdn Bhd mempamerkan unit prototaip Toyota Corolla Altis yang bakal menjadi kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) baharu bagi menggantikan model Proton Wira dan Waja. 

Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin berkata, syarikat menjangkakan 100 unit pertama akan dihantar kepada PDRM bagi kegunaan APEC 2020 sebagaimana yang dipertontonkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

“Kami sedang menunggu keputusan terakhir Kementerian Kewangan bagi pembekalan kenderaan itu dan tujuan pameran ini adalah sebagai langkah awal untuk mendapat kelulusan segera bagi kesemua 425 unit MPV itu.

“Ini juga adalah tender kedua diperoleh Go Auto yang mana sebelum ini kami sudah berjaya menghantar 200 unit trak pikap Toyota Hilux untuk PDRM lebih awal daripada yang dijadualkan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Setiap unit MPV didatangkan dengan servis percuma selama lima tahun dan dilengkapkan dengan aksesori tambahan khas seperti Sistem Bunyi Lampu Bersepadu (Intergrated Light Sound System) dan Sistem Pengurusan Flit (Fleet Management System), termasuk dilengkapi alat komunikasi radio berfrekuensi tinggi.

Go Auto terbabit secara aktif dalam tender terbuka kerajaan dan swasta ketika ini dan ia adalah sebahagian cabang perniagaan (business diversification) dan fokus utama kepada ‘Special Vehicle’. Mereka juga adalah pengedar rasmi kenderaan jenama Haval dan Borgward yang menumpukan jualan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di negara ini.

“Saingan dalam industri automotif masa kini memerlukan Go Auto bergerak lebih agresif dan kreatif supaya kekal berdaya saing di pasaran,” katanya.

Tuesday, 18 February 2020

Tabung Haji Di "Gangbang"




Sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu, kerap kali penulis memberi amaran bahawa andai Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, antara tumpuan utama mereka adalah menjarah setiap sudut Tabung Haji yang mana 100 peratus menguruskan hal ehwal kewangan umat Islam dan Melayu secara amnya.

Ianya bukan satu rahsia kerana di Malaysia, Tabung Haji adalah satu satunya entiti kewangan yang menguruskan hal ehwal Haji dan Umrah selain menjadi pusat simpanan wang bagi umat Islam dan Melayu selain dari produk Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti ASB, ASN dan sebagainya.

Hari ini, telahan penulis semakin hari semakin menjadi kenyataan. Seperti satu peluang membalas dendam, antara sasaran utama kerajaan hari ini adalah menjarah setiap satu aset yang dimiliki oleh Tabung Haji. Lihat sahaja bagaimana deretan Tabung Haji Plantation (TH Plantations) yang telah dijual secara berkala oleh kerajaan terutama Kementerian Kewangan.

Terbaru, pemilikan Tabung Haji Property terhadap 4 buah hotel yang sebelum ini menjadi transit bagi jemaah dan keluarga para jemaah haji, telah dijual. Apa yang melucukan, menerusi kenyataan Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, ke empat empat hotel berkenaan bukan dijual, cuma hanya dipindah milik sahaja.

Timbul persoalan, bolehkah pemindahan hak milik berlaku dari TH Property kepada UJ Property tanpa melibatkan sebarang transaksi dan penjualan? Ini bukan harta pusaka yang boleh diwarisi atau dipindah milik semudah itu sahaja. Ini melibatkan pertukaran pemilikan hak milik hotel hotel berkenaan.

Apa implikasi yang berlaku sebaik sahaja segala aset aset milik Tabung Haji ini bertukar tangan dan di jarah semahu hati oleh tangan-tangan yang tidak mahu lagi melihat Tabung Haji menerajui sistem kewangan Islam dan Melayu di negara ini? Tidaklah sebesar mana cuma ianya melibatkan kemasyalatan Umat Islam dan peluang mengerjakan Rukun Isam kelima.

Mari kita kembali ke zaman dimana Tabung Haji ditubuhkan. Pada 30 September 1963, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan oleh kerajaan hasil ilham Almarhum Tun Abdul Abdul Razak. Tujuan penubuhan LUTH ini tidak lain dan tidak bukan untuk menguruskan perjalanan dan urusan Jemaah Haji negara yang diletakkan di bawah satu pengurusan sahaja yang dikawal selia oleh kerajaan.

Bermula dari sebuah bangunan dengan aset kewangan dijana oleh kerajaan, Tabung Haji menjadi platform buat seluruh umat Islam di negara ini menguruskan urusan Haji dan Umrah negara sehingga ianya mendapat pengiktirafan dunia terutama dari pihak Istana Arab Saudi. Tabung Haji disifatkan sebagai agensi yang paling cemerlang dalam menguruskan kewangan dan perjalanan jemaah haji sesebuah negara.

Pada masa yang sama, Tabung Haji sedar, mereka tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Dari sinilah Tabung Haji mula membina aset-aset mereka seperti membeli tanah-tanah perladangan yang ditanam dengan Kelapa Sawit samada di Malaysia mahupun di luar negara. Tabung Haji juga terlibat dalam membeli beberapa aset hartanah seperti yang kita ketahui, Tabung Haji turut melabur dalam projek pembinaan Tun Razak Exchange (TRX).

Tabung Haji juga mula mengembangkan perniagaannya dengan menceburi bidang perlancongan menerusi penubuhan TH Travel and Tours. Tidak terhenti di situ, Tabung Haji turut menubuhkan Yayasan TH yang mana menerusi Yayasan ini menaja beribu ribu murid yang kurang berkemampuan termasuk menguruskan sumbangan dari pihak luar.

Semua ini dilakukan TH demi mahu berdikari dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan. Hasil daripada kejayaan menceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan, selain daripada bantuan khusus kerajaan untuk jemaah haji, menerusi TH, jemaah haji Malaysia menikmati kadar potongan untuk mengejakan haji sehingga 55 peratus.

Secara amnya, jumlah keseluruhan yang perlu dikeluarkan oleh para jemaah Haji adalah antara RM 19,450 hingga RM 21,000. Namun atas keprihatinan kerajaan dan kemampuan Tabung Haji, setiap seorang Jemaah Haji Malaysia hanya perlu membayar RM 9,950 sahaja. Selebihnya, segala kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan Tabung Haji itu sendiri.

Hari ini, setelah segala aset telah digadai dan dilelong atau dalam bahasa kasarnya di "gangbang" oleh kerajaan Pakatan Harapan, apa yang dibimbangi sekarang adalah, kos mengerjakan haji sudah tentu akan meningkat. Ada kemungkinan menjelang 3 tahun lagi, setiap seorang jemaah haji perlu membayar penuh kos mengerjakan haji setelah Tabung haji tidak lagi mampu menampung kos jemaah haji negara.

Manakan tidak, dengan segala aset sudah semakin susut, segala pendapatan syarikat juga semakin mengecil,mana mungkin Tabung Haji mampu menguruskan perjalanan ibadat haji seperti biasa dan seperti sebelum ini? Dengan perbelanjaan setiap tahun banyak disalurkan menerusi Kementerian Kewangan, masa depan jemaah haji akan datang nampaknya semakin hari semakin kelam.

Hari ini, untuk mengerjaka Umrah juga semakin meningkat. Ditambah dengan hubungan keruh antara Kuala Lumpur dan Riyadh, tidak mustahil andai situasi ini berterusan, lama kelamaan, jemaah haji negara akan menghadapi kesukaran.

Dalam konteks yang lebih besar, setelah selesai urusan penjarahan aset Tabung Haji dilakukan oleh tangan-tangan hitam yang mahu keupayaan kewangan Islam di negara ini dilumpuhkan, apa lagi yang mampu dibanggakan oleh umat Islam dan Melayu di negara ini setelah Tabung Haji, KWSP, MARA dan beberapa entiti perniagaan Melayu Islam di musnahkan?

Lama kelamaan, Melayu akan merempat di tanahair sendiri dan Islam akan terus dibangsatkan oleh umatnya sendiri yang menyokong rejim pemusnahan Islam dan Melayu itu sendiri.

Maut Ditikam Pembonceng Motosikal



SEORANG lelaki maut selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam oleh suspek yang membonceng motosikalnya di kawasan kedai di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, Fasa 2, Kuching, awal pagi hari ini. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, mangsa berusia 37 tahun ditemui terbaring di hadapan kedai di kawasan perumahan itu pada 3.40 pagi. Beliau berkata, orang awam yang menyedari lelaki terbabit parah kemudian memaklumkan kejadian kepada polis.

“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di pekarangan tempat letak kereta IPK itu, hari ini.

Sebanyak 35 kenderaan iaitu lapan Mitsubishi Outlander, 21 pikap Toyota Hilux dan enam lori Hino diagihkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada majlis itu.

Ramli berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai terbabit jelas menunjukkan mangsa ditikam oleh suspek yang membonceng motosikalnya. Beliau berkata, rakaman itu menunjukkan suspek menyelak bajunya sebelum mengeluarkan sesuatu dan terus menikam mangsa beberapa kali sebaik sahaja mereka meninggalkan kedai berkenaan.

“Sebelum kejadian itu difahamkan mangsa dan suspek minum bersama di kedai berkenaan. Beberapa saksi di tempat kejadian memaklumkan, selesai minum, mereka menaiki motosikal untuk ke MJC Bandar Baru Batu Kawa.

“Difahamkan, mangsa dan suspek saling mengenali dan mereka dikatakan berselisih faham kerana suspek menuduh mangsa memecahkan cermin keretanya sebelum ini,” katanya. Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti suspek dan yakin dapat mengesannya dalam masa terdekat. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siti Nadiah Hilang Sejak Sabtu Lalu



SEORANG remaja perempuan yang pendiam dan tidak suka bergaul dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu. Siti Nadiah Mohd Zulben, 16, dari Kampung Unta, Lahad Datu dilaporkan hilang dari rumah pada 10 pagi. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ibu remaja berkenaan berusia 33 tahun membuat laporan polis selepas mendapati anaknya tiada di dalam bilik. Beliau berkata, remaja terbabit tidak membawa telefon bimbit bersamanya dan keluarga remaja itu sudah berusaha mencari, namun gagal menemuinya.

“Remaja itu dilaporkan tidak mempunyai teman lelaki, dia seorang yang pendiam, tidak bergaul dan tidak memiliki ramai rakan. Menurut ibunya, remaja itu hanya mempunyai seorang rakan iaitu jiran mereka dan rakan anaknya itu turut tidak mengetahui keberadaan Siti Nadiah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, hasil siasatan mendapati remaja itu tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun kerana tidak mampu. Beliau berkata, remaja itu disyaki lari dari rumah dipercayai selepas dimarahi ibunya disebabkan sesuatu perkara. Justeru, katanya, orang ramai yang melihat remaja perempuan itu diharapkan tampil menghubungi balai polis berdekatan.

Lelaki Serang Polis Cedera Ditembak



TUKANG kebun warga Myanmar cedera di perut dan belakang badan selepas ditembak polis ketika cuba menyerang dua anggota berkenaan dengan cangkul di Kampung Baru Sungai Serai di Padang Besar, semalam. 

Bagaimanapun, sebelum itu, suspek berusia 30-an terbabit sudah mencederakan rakan sekerjanya yang juga warga Thailand dengan senjata berkenaan sehingga parah di kepala sebelum penduduk setempat bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhammad Halim Yatim, berkata, dalam kejadian 7.30 malam itu, pihaknya menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki cedera dan terbaring di atas jalan selepas terbabit dalam pergaduhan.

“Setibanya dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) di lokasi, mereka mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri sebelum suspek bertindak cuba menyerang anggota polis dengan cangkul.

“Malah, sebelum itu dia merosakkan kenderaan polis pada bahagian hadapan dan bumbung kereta sehingga memaksa anggota melepaskan beberapa das tembakan sebagai langkah pertahankan diri berikutan suspek secara tiba-tiba meluru ke arah anggota dengan cangkul,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Halim berkata, suspek dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi mendapatkan rawatan. “Kita akan mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek hari ini dan siasatan lanjut dijalankan untuk mencari punca kejadian” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 307, 326 Dan 427 Kanun Keseksaan.

Thailand Tak Bagi Masuk!



Thailand menyekat kemasukan penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang bukan warga negaranya, berkuat kuasa hari ini. South China Morning Post melaporkan, sekatan itu adalah langkah susulan yang diambil selepas Malaysia mengesahkan wanita yang juga bekas penumpang kapal itu positif kororonavirus baharu (Covid-19). 

Langkah itu juga diambil berikutan pertambahan satu lagi individu dijangkiti wabak berkenaan yang menjadikan 35 kes dilaporkan di Thailand, setakat hari ini.

“Kes terbaru itu membabitkan seorang warga China berumur 60 tahun yang ada kaitan dengan sembilan ahli keluarga lain yang kesemuanya kini dijangkiti wabak berkenaan,” kata Setiausaha Kementerian Kesihatan Thailand, Sukhum Kanchanapimai.

Difahamkan, terdapat 21 penumpang warga negara Thailand di dalam kapal persiaran MS Westerdam itu. Pihak berkuasa kesihatan Thailand mengesahkan kesemua mereka dikuarantin selepas memasuki negara berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa semua penumpang kapal berkenaan dibenarkan mendarat selepas pemeriksaan rambang mendapati mereka negatif (Covid-19). Bagaimanapun, seorang daripadanya kemudian disahkan positif selepas tiba dci Malaysia dengan penerbangan sewa khas.

United Makin hampir Empat Teratas



DUA jaringan menerusi tandukan Anthony Martial dan Harry Maguire membantu Manchester United menang 2-0 di Chelsea awal pagi tadi sekali gus mencerahkan kembali harapan menghuni kelompok empat teratas Liga Perdana.

Dalam perlawanan di Stamford Bridge, skuad Ole Gunnar Solskjaer lebih banyak mencipta peluang manakala Chelsea yang prestasi mereka di tempat sendiri kurang menyerlah gagal menghasilkan gol walaupun mempunyai beberapa peluang terbaik.

Tandukan ‘terbang’ Anthony Martial sejurus sebelum rehat hasil hantaran Aaron Wan-Bissaka meletakkan pelawat di depan dan kemenangan itu yang pertama buat United dalam empat perlawanan terakhir Liga Perdana.

Pemain pertahanan, Harry Maguire menggandakan jaringan pada minit ke-66 selepas mengatasi halangan Antonio Rudiger dan menanduk masuk sepakan sudut pemain baharu United dari Portugal, Bruno Fernandes.

Chelsea tidak bernasib baik apabila dua jaringan mereka dibatalkan VAR. Kurt Zouma menjaringkan gol pada minit ke-54 hasil sepakan sudut tetapi tidak disahkan selepas berlaku kekasaran terlebih dahulu.

Tandukan pemain gantian, Olivier Giroud pada minit ke-77 turut dibatalkan selepas hanya sedikit offsaid. Kekalahan itu meninggalkan Chelsea di tangga keempat, satu mata di depan Tottenham Hotspur kendalian bekas jurulatih mereka, Jose Mourinho. Chelsea akan menerima kunjungan Spurs, Ahad ini. United pula melonjak di tangga ketujuh, tiga mata di belakang Chelsea.

Ashraf Sinclair Meninggal Dunia



PELAKON Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Menerusi portal berita Indonesia Kompas.com, berita pemergian suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL disahkan Doddy yang juga pengurus BCL. “Betul (meninggal dunia). Serangan jantung. Pagi tadi,” kata Doddy menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita.

Difahamkan Ashraf menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 pagi tadi. Ashraf dilahirkan di London pada 18 September 1979. Abang kepada model jelita Aishah Sinclair itu mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada 2005.

Ashraf kemudian berkahwin dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta. Ashraf meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

e-dompet Warga IPT



BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi kewangan, KiplePay Sdn Bhd (KiplePay) bagi penyediaan platform pembayaran elektronik buat warga institusi pengajian tinggi (IPT) dikenali sebagai KipleUNI. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, menerusi usaha sama itu, KipleUNI akan bertindak sebagai e-dompet yang boleh dimanfaatkan warga universiti baik untuk tujuan pembelian persendirian mahupun berkaitan pendidikan dengan pedagang yang mengambil bahagian di dalam dan di sekitar kampus.

Katanya, KipleUNI membolehkan pautan terus kad debit Bank Islam pada aplikasi itu yang secara tidak langsung memudahkan pengurusan kewangan penuntut yang menerima pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui akaun Bank Islam.

“Sejak tahun lalu, KipleUNI sudah mula digunakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan anggaran 70 peratus daripada kira-kira 20,000 penuntut sudah pun memuat turun aplikasi ini.

“Selain untuk pembelian makanan dan barangan peribadi lain, KipleUNI juga boleh digunakan untuk pembayaran tertentu membabitkan perpustakaan misalnya malah kakitangan dan pensyarah IPT juga boleh menggunakan KipleUNI mengikut keperluan masing-masing.

“Kita sedang di peringkat akhir perbincangan dengan tiga lagi universiti awam iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan menjangka persetujuan dicapai pada separuh pertama tahun ini.

“Kami juga sudah mengemukakan cadangan mewujudkan platform ini kepada universiti awam lain dan masih menunggu maklum balas mereka selain tidak menolak kerjasama dengan IPT swasta yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KipleUNI bersama Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di sini, semalam.

Jelas beliau lagi, pihaknya melihat potensi untuk memberi manfaat e-dompet itu bukan saja kepada kira-kira 680,000 penuntut universiti awam di lebih 200,000 fakulti seluruh negara, malah lebih daripada itu apabila ciri-ciri pada KipleUNI ditambah kelak.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan berkaitan, Mohd Muazzam berkata, pihaknya sudah menubuhkan unit dalaman dikenali sebagai Pusat Pengalaman Digital (CDX) awal tahun ini sebagai persediaan terhadap rangka kerja bank digital yang akan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Jelas beliau, unit terbabit akan memberi tumpuan kepada penghasilan produk khusus berpandukan garis panduan BNM itu terutamanya agenda inklusif yang menyasar golongan kurang mendapat liputan khidmat kewangan.

“CDX adalah unit khas yang mempunyai pasukan dan peruntukan tersendiri di mana ia berperanan menghasilkan penyelesaian berpandukan garis panduan bank digital BNM. CDX akan menggunakan lesen Bank Islam sedia ada untuk perkara ini namun menghasilkan produk yang mengikut garis panduan berkenaan.

“Buat masa ini, unit ini masih di peringkat inkubasi namun kita berharap dapat menyediakan sesuatu buat pengguna menjelang 2021,” katanya.

Pengajaran Dalam Pemergian Abam Bocey



MINGGU lalu, berita pemergian seorang anak seni, Abam Bocey memenuhi ruang media massa termasuk paling rancak dalam media sosial. Pemergian Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan dirasai segenap anggota masyarakat meskipun oleh mereka yang tidak mengambil perhatian terhadapnya sebelum ini. 

Sejumlah besar jemaah yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat jenazah untuknya memberi petunjuk tentang kematiannya yang dirahmati Allah SWT. Dalam media sosial, dikhabarkan banyak kebaikan dilakukan oleh arwah sama ada secara terang mahupun tersembunyi.

Beliau sering menghulurkan bantuan kepada anak yatim serta mengeluarkan belanja persekolahan untuk insan yang memerlukan. Selain itu, kebaikan yang dapat disaksikan juga oleh semua ialah apabila beliau seorang anak yang sangat mentaati ibunya. Lihatlah rakaman beberapa video yang tersebar dalam media sosial tentang cara arwah menyantuni ibunya.

Sememangnya Islam menggesa setiap umatnya memberikan layanan terbaik kepada kedua-dua orang tua terutama si ibu yang melahir dan membesarkan anaknya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah…” Surah al-Ahqaf (ayat 15)

Rasulullah SAW juga menjelaskan kepentingan menyantuni ibu bapa pada tahap terbaik menerusi sabdanya: “Celaka, sekali lagi celaka dan sekali lagi celaka orang yang berpeluang bersama kedua-dua orang tuanya ketika berusia lanjut, salah satunya atau kedua-duanya, tetapi (dengan peluang itu) dia tidak masuk syurga.”

Hadis Riwayat Muslim Semua ini perlu menjadi ingatan setiap anak yang masih mempunyai peluang menyantuni kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Perintah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW agar menyantuni kedua ibu bapa pasti mempunyai kelebihan yang besar.

Hayatilah kisah arwah Abam Bocey yang sentiasa bersama ibunya, memberi kemudahan sebaik-baiknya untuk ibu, menjaga hati ibu serta taat hatta dalam memilih suri hati untuk dijadikan isterinya. Semua perbuatan baik itu dizahirkan sendiri oleh ibunya dengan ungkapan yang cukup bermakna: “Dia anak yang baik.”

Sebenarnya tidak mudah menjadi anak yang sentiasa mendahulukan ibu dalam semua perkara. Adakalanya hasrat si anak tidak sama dengan kehendak si ibu. Bagaimanapun, cara untuk menyantuni ibu bagi mencari titik pertemuan dalam hal kehidupan perlu diusahakan setiap insan bernama anak.

Pendek kata, pilihan ibu itulah yang sebenarnya terbaik untuk si anak. Selain ibu bapa, adik-beradik juga kelompok insan yang perlu diberi perhatian. Islam sangat mementingkan hubungan silaturahim yang merujuk kepada hubungan darah kekeluargaan.

Al-Imam al-Nawawi menjelaskan maksud silaturahim dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim: “Menghubungkan silaturahim bermaksud melakukan kebaikan (ihsan) kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya.”

Seperti yang dinyatakan oleh arwah Abam Bocey sendiri yang beliau mengutamakan keluarga khususnya adik-beradiknya sendiri. Beliau tidak pernah berkira dengan adik-beradik sendiri sehinggakan turut membiayai majlis perkahwinan adik-adiknya.

Nasihat beliau yang tersebar dalam media sosial juga agar setiap orang sentiasa membantu ahli keluarga kerana wujudnya golongan gelandangan sebagai contoh adalah kesan daripada perbuatan adik-beradik yang tidak menghulurkan bantuan. Inilah antara perkara yang boleh dipelajari daripada seorang insan yang dimuliakan oleh Allah SWT pada hari pemergiannya meninggalkan dunia ini.

Ia perlu diinsafi, dihayati dan dicontohi agar kita juga mendapat kemuliaan daripada Allah SWT atas perbuatan mengutamakan ahli keluarga daripada kalangan ibu bapa dan adik-beradik. Sabda Rasulullah SAWbermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya , maka sambunglah tali silaturrahim.” (Muttafaq’alaih)

Sunday, 16 February 2020

Individu Disyaki Covid-19 Di Sarawak Meningkat



JUMLAH kumulatif Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) bagi jangkitan koronavirus (Covid-19) di Sarawak kini mencecah 91 orang yang direkodkan sejak 10 Januari lalu hingga hari ini. Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, peningkatan itu berikutan enam kes PUI baharu direkodkan hari ini. 

Katanya, lima daripada kes PUI baharu itu direkodkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, manakala satu lagi di Hospital Sibu. “Daripada 91 kes PUI itu, 70 membabitkan rakyat Malaysia, 18 warga China manakala Thailand, Indonesia dan Kanada masing-masing satu kes. 

“Sebanyak 79 sampel yang sudah menjalani ujian makmal didapati negatif, manakala 12 lagi masih menunggu keputusan ujian,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri mengulangi peringatan kepada orang ramai yang mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas dalam masa 14 hari selepas kembali dari China supaya mendapatkan rawatan segera. Mereka juga harus memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan sebelum ini.

12 Rumah Musnah Terbakar



SEBANYAK 12 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Inabah Kamal, Semporna, malam tadi. Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Rary Binjie berkata, lima jentera dengan 31 anggota dikerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 8.02 malam.

“Bantuan digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak serta Tawau untuk memadamkan api dalam kawasan berkeluasan dua ekar. “Operasi memadamkan kebakaran menggunakan tiga aliran dan sumber air diperoleh daripada pili bomba dan air terbuka berhampiran lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rary berkata, di peringkat awal operasi, pihaknya menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran akibat tekanan air rendah di pili bomba serta kedudukan rumah begitu rapat antara satu sama lain. Operasi tamat kira-kira 12 tengah malam. Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Pemandu Mabuk Langgar Kereta Polis



KERETA peronda polis dilanggar sebuah kereta yang dipercayai dipandu individu mabuk di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, di Petaling Jaya, hari ini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan di lokasi berkenaan pada 4.02 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi tiga minit kemudian, anggota mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta berada di tengah jalan dalam keadaan rosak teruk dan tidak boleh bergerak.

“Anggota berpangkat koperal berkenaan kemudian meletakkan kereta peronda polis dipandunya di belakang kenderaan kemalangan (tengah jalan) dan memasang lampu biru serta lampu kecemasan selain membantu kawalan lalu lintas.

“Bagaimanapun, sebuah kereta Nissan tiba-tiba datang dari arah belakang lalu merempuh kereta peronda polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan berkenaan. “Pemandu kereta Nissan berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lebih 1,600 Maut Akibat Covid-19



Beijing: Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19) di China melepasi 1,600 hari ini apabila 139 lagi disahkan meninggal dunia di wilayah Hubei. 

Dalam laporan harian terkini, suruhanjaya kesihatan wilayah turut memaklumkan penemuan 1,843 kes baharu, iaitu penurunan berbanding semalam.

Sekurang-kurangnya 1,662 orang maut akibat wabak berkenaan, manakala lebih 68,000 dijangkiti dan kebanyakan kematian berlaku di Hubei. Wilayah itu mencatatkan lebih 14,000 kes sehari sepanjang minggu ini.

Mane Kembali Julang Liverpool



JARINGAN lewat Sadio Mane membolehkan Liverpool menang tipis 1-0 ke atas Norwich City di Carrow Road dan terus menjarakkan kedudukan di puncak Liga Perdana kepada 25 mata. 

Norwich yang terperosok di dasar liga terbukti sukar ditewaskan buat skuad Juergen Klopp dalam cuaca berangin tetapi Mane yang baharu pulih kecederaan masuk sebagai pemain gantian selepas satu jam perlawanan berlangsung merembat gol kemenangan dalam kotak penalti pada minit ke-78. 

Penampilan awal pagi tadi yang pertama sejak dia mengalami kecederaan ketika Liverpool menang di Wolverhampton Wanderers pada 23 Januari. Norwich kental bertahan dan hampir dua kali mendahului pelawat tetapi Liverpool yang memburu gelaran pertama liga dalam tempoh 30 tahun tidak berputus asa cuba merobek kubu tuan rumah.

Kemenangan itu yang ke-34 daripada 35 aksi liga terakhir mereka dan kejayaan 17 kali berturut-turut. Norwich yang meraih peluang terbaik menerusi percubaan Alexander Tettey namun terkena tiang kekal dengan tujuh mata di belakang Aston Villa yang menduduki tangga ke-17.

Villa akan menerima kunjungan Tottenham Hotspur malam ini. Norwich gigih mencari gol penyamaan dan rembatan Teemu Pukki terus ke dakapan Alisson pada minit ke-89.

Orang Baik, Dibalas Baik



GENAP seminggu pemergian Allahyarham Abam Bocey, namun hampir setiap hari kisah mengenainya menjadi paparan media. Begitu juga dalam kalangan sahabat baik Abam iaitu Fad dan Achey, satu persatu perkongsian dimuat naik di laman sosial mereka yang bercerita mengenai pengalaman bersama.

Titisan air mata yang mengalir cukup menggambarkan perasaan dilalui sekali gus membuktikan betapa utuhnya persahabatan mereka sejak membentuk Bocey. Namun, seperkara yang menarik perhatian adalah keperibadian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan yang terus meniti di bibir ramai orang.

Baik dalam kalangan keluarga, rakan artis, media mahupun peminat. Malah, sepanjang karier Abam tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi atau terpalit isu pergaduhan. Personalitinya yang pendiam membuatkan dia mengambil sikap amembuat hal sendiri. Di pentas lawak pula, Abam selesa menjadi diri sendiri.

Kata dan cakap apa saja mengenai dirinya termasuk fizikal diri, dia okey dan tersenyum saja. Tidak pernah sekali pun dia merajuk hati atau terasa kerana menganggap semua itu gurauan semata-mata. Kita selalu dengar, orang baik pasti dibalas baik. Abam adalah orangnya. Ia berlaku depan mata kita hari ini.

Sejak berita pemergian Abam dilaporkan sehingga sekarang, rumah Abam tidak berhenti diziarahi orang ramai. Begitu juga dengan pusara arwah. Rezeki buat Abam juga apabila ribuan jemaah memberi penghormatan terakhir untuknya pada solat jenazah di Masjid Gombak Utara. Jumlah itu dikatakan jauh lebih ramai daripada jemaah solat Jumaat di masjid berkenaan.

Begitu juga ketika jenazah dikebumikan apabila berebut-rebut sahabat mahu turun ke liang lahad untuk menguruskan jenazah. Semua itu bukti betapa baiknya arwah sepanjang hayatnya dengan rakan. Itu belum lagi ketika perjalanan arwah dibawa ke tanah perkuburan yang diiringi pasukan bermotor hingga mengakibatkan kesesakan jalan.

Kalau diikutkan, semua itu tidak mempunyai kaitan atau pertalian darah dengan Abam. Tapi, disebabkan kebaikan yang ada pada arwah, itu balasan untuknya biarpun sudah tiada. Paling menarik perhatian juga apabila seorang wanita memberitahu Abam menampung persekolahan anaknya selama ini.

Dalam diam, Abam melakukan kebaikan tanpa perlu menghebohkan kepada umum. Diceritakan penjaga kubur, wanita itu mengakui dia dan anak banyak menerima sumbangan daripada arwah, malah Abam yang menyekolahkan anak dan menampung keluarganya.

Muncul pula, stokis peralatan sauna, Hamidah Husin yang berkongsi kebaikan Abam yang menolak menerima bayaran selepas Abam mempromosikan di Instagram. Jawapan diberikan Abam ketika itu adalah rezeki bersama daripada Allah. Ternyata pada pengakhiran hayatnya, Allah datangkan rezeki yang berlipat kali ganda untuk Abam atas kebaikan dilalukan.

Terdetik seketika, siapa lagi yang dibantu arwah sepanjang hayatnya? Semoga segala kebaikan arwah menjadi pedoman buat semua. Percayalah, perbuatan yang baik tetap dibalas baik. Kalau bukan semasa hayat, tapi di akhirat kelak. Semoga roh Abam ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin...al-Fatihah.

Chernobyl Versi China



MINGGU lalu saya sempat menghabiskan siri mini berjudul Chernobyl yang berkisar mengenai letupan reaktor nuklear di Loji Janakuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine pada 1986. Melalui siri berkenaan yang pastinya diolah serba sedikit mengikut kesesuaian jalan cerita tanpa menukar fakta kejadian, saya dibawa menelusuri keadaan yang berlaku sebelum, ketika dan selepas letupan reaktor itu terjadi. 

Jika diikutkan siri berkenaan, watak yang diberi nama Anatoly Dyatylov individu yang mengetuai Reaktor 4 digambarkan sebagai ketua yang degil dan tidak mendengar pandangan kakitangan bawahan.

Dia mengarahkan penyelia shif malam, Aleksandr Akimov untuk menjalankan ujian bersama kakitangan baharu, Viktor Proskuryakov yang tidak pernah mengendalikan sebarang ujian untuk mengikut arahan yang tertulis pada buku manual.

Apabila berlaku sesuatu yang dirasakan tidak kena, Akimov memberikan pandangan bahawa keadaan tidak selamat dan ujian itu perlu dihentikan namun Dyatlov berdegil dan menyatakan pengalamannya selama 25 tahun dalam bidang berkenaan menjadikannya lebih mengetahui bila keadaan yang digelar bahaya.

Bertindak mengikut arahan, mereka meneruskan ujian berkenaan sehinggalah letupan berlaku. Kejadian itu sampai ke pengetahuan pengarah loji berkenaan, Viktor Bryukhanov, dan ketua jurutera, Nikolai Fomin yang menyangka letupan hidrogen menyebabkan kebocoran bekas air tercemar. 

Namun seorang kakitangan loji berkenaan ternampak cebisan grafit yang menandakan keadaan sebenarnya adalah lebih serius dan ia bukan kebakaran biasa. Mereka seterusnya mendapatkan khidmat nasihat Valery Legasov, seorang ahli fizik nuklear.

Berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya, Legasov memberikan pandangan mengenai risiko terdedah kepada radiasi dan cara mengawal kebakaran yang belum terpadam. Selain itu terdapat juga risiko pencemaran di seluruh Chernobyl dan daerah sekitarnya sekiranya mereka gagal menghalang pengaliran keluar air yang sudah dicemari radiasi.

Untuk mengekang itu daripada berlaku, banyak pihak perlu berkorban dan pengorbanan itu bukan sekadar tenaga sebaliknya membabitkan nyawa dan kesihatan diri kerana ‘berurusan’ dengan radiasi bukan perkara kecil. Apa yang berlaku di Chernobyl secara tidak langsung menggambarkan keadaan di Wuhan ketika ini.

Wabak koronavirus baharu (Covid-19) tidak menunjukkan tanda untuk bertenang. Angka kematian terus meningkat dan jumlah individu yang dijangkiti juga semakin tinggi. Media juga melaporkan terdapat kakitangan perubatan yang turut dijangkiti wabak berkenaan, malah ada yang sudah meninggal dunia.

Mendiang Dr Li Wenliang adalah antara kakitangan perubatan yang berdepan dengan wabak ini lebih awal dan cuba memberi amaran mengenainya. Namun, dia ditahan polis yang menyifatkannya sebagai ‘mencetuskan panik dan menyebar maklumat palsu’.

Saluran penyiaran rasmi China, CCTV melaporkan China memecat dua pegawai kanan kesihatan di Hubei yang menjadi wilayah paling terjejas akibat penularan wabak itu. Ia berpunca daripada cara pihak berkuasa tempatan mengendalikan wabak berkenaan.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas pihak terbabit menerima tekanan susulan kematian seorang doktor yang memberi amaran awal berhubung bahaya virus berkenaan. Menurut laporan agensi berita Xinhua, pemimpin utama Parti Komunis di Hubei turut dipecat kerana didakwa gagal mengendalikan situasi berkenaan.

Berdasarkan laporan South China Morning Post, Pensyarah Sains Politik di Universiti Chicago, Dali Yang berkata, krisis yang sedang dihadapi republik berkenaan dianggap sebagai Chernobyl China, yang mana kesannya mungkin dilihat selama bertahun-tahun selain ada kaitan dengan pengurusan krisis yang tidak cekap.

Malah, Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang mendedahkan yang dia tidak boleh berkongsi maklumat berkaitan wabak berkenaan lebih awal kerana perlu mendapat kelulusan daripada pegawai lebih kanan, yang seterusnya menjadikan berita berkaitan wabak itu lambat sampai ke pengetahuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kesan Chernobyl versi Ukraine dilihat dari aspek pendedahan radiasi yang mengakibatkan maut, pencemaran alam selain risiko penyakit dalam jangka panjang seperti kanser. Chernobyl versi China mungkin meninggalkan kesan sedikit berbeza, namun tetap menyakitkan.

Harga minyak dunia terjejas, aktiviti pengeluaran dihentikan seketika, sektor pelancongan terus perlahan, malah penduduk China kini bimbang kehilangan kerja kerana perlu mematuhi arahan kuarantin.

Lebih memilukan, mereka yang berwajah Asia – walaupun bukan warganegara China atau pernah menjejakkan kaki ke Wuhan kini berdepan sentimen perkauman. Mereka dianggap pembawa virus dan perlu dijauhi. Malah, ada yang dihalau dari kediaman kerana tuan rumah mengesyaki si penyewa pembawa virus. 

Seluruh dunia kini terus berdoa dan menanti penuh pengharapan agar wabak Covid-19 ini dapat ditangani secara telus dan profesional. Memetik dialog Legasov dalam siri Chernobyl ini: “Bahaya sebenar adalah jika kita mendengar banyak penipuan, maka kita tidak lagi mengenali kebenaran sama sekali.”

Friday, 17 January 2020

PRK Kimanis: Keputusan Penuh Dijangka 10 Malam



KEPUTUSAN penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam esok. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga akan membawakan perkembangan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran mengundi.

"Di jangka keputusan dapat diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam tetapi kita akan siarkan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran dan borang 14 ditandatangani semua pihak yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Program Semakan Isi Peti Undi dan Agihan Peralatan Mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort hari ini. Azhar berkata, jumlah petugas SPR yang akan bertugas esok seramai 650 orang. 

"Seramai 29,618 pengundi akan menunaikan tanggungjawab itu di 68 saluran mengundi membabitkan sebanyak 19 pusat mengundi. Kita akan membuka pusat pengundi lebih awal iaitu pada 7.30 pagi esok," katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta pengundi dapat keluar lebih awal dan tidak berlengah untuk mengundi. "Saya juga menyeru kepada penyokong supaya berhenti untuk berkempen pada 12 tengah malam ini dan tidak dibenarkan memakai baju logo parti dan gambar calon dalam kawasan 100 meter dari pusat mengundi.

"Begitu juga acara kempen patut dihentikan pada 12 tengah malam ini...bukan sahaja di kawasan ini tetapi di media sosial," katanya.

Menurutnya, penyokong kedua-dua parti yang bertanding diminta supaya tidak membuat sebarang provokasi antara satu sama lain. "Saya percaya rakyat Sabah tidak berbuat demikian kerana mereka lebih matang dan harap perkara ini tidak berlaku," katanya.

Tumpas Aktiviti Seludup Arak



BATALION 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenis bernilai RM256,860 di sebuah premis di Bukar-Sadong, Serian, kelmarin. 

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rosdi Inai berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penjaga premis. “Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung penemuan barang itu dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak 970 krek minuman keras pelbagai jenis turut ditemui yang mana 842 kotak disembunyikan di dalam premis dan 128 kotak di dalam van yang diletakkan di belakang premis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Beliau berkata, operasi dijalankan oleh enam pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA pada 12 tengah hari, atas risikan dan maklumat yang diperoleh.

“Hasil maklumat, barangan itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan.

“Tangkapan dan rampasan diserah kepada IPD Serian untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.