Friday, 27 August 2021

PAHAT SENTIASA BERBUNYI...

Syukur Alhamdullillah akhirnya segala teka teki berhubung siapakah yang akan dilantik sebagai Menteri dalam kabinet Keluarga Malaysia di akhirnya terjawab.

Benar, sukar untuk memuaskan hati semua pihak terutama mereka yang menyokong UMNO. Namun dari apa yang dilihat, secara amnya, kabinet baru ini mempunyai keseimbangan yang agak ketara berbanding mengutamakan sebilangan parti dan individu.

Ajaibnya, sejak selesai pengumuman Menteri Kabinet yang baru, muncullah pahat pahat yang menyuarakan ketidak puasan hati masing masing. Ada yang mendakwa individu berkenaan tidak layak, kabinet refurbished dan macam macam lagi. Akan tetapi, tidak pula pahat pahat ini menyuarakan cadangan mereka siapa yang mereka fikirkan layak.

Baginilah. Terutama sekali, senarai kabinet ini telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda. Selepas diperkenankan oleh Baginda, barulah boleh diumumkan senarai nama Menteri yang bakal mengangkat sumpah setia dan simpan rahsia pada Isnin hadapan pada jam 2.30 petang.

Kedua pula, senarai nama ini tertakluk kepada pecahan parti yang membentuk gabungan kerajaan. Sudah tentu, dalam senarai ini, PPBM dan UMNO BN adalah paling dominan di dalam kerajaan. Ini diikuti dengan GPS dan PAS yang membentuk 31 orang Menteri Kabinet. Berikut merupakan pecahan Menteri Menteri berkenaan mangikut parti.

UMNO BN 11 (termasuk Perdana Menteri)
PPBM 10
GPS 4 
PAS 3 
MCA 1 
MIC 1 
PBS 1 
Senator 1

Total = 31 Menteri

Jika ada yang menyuarakan, sepatutnya kebanyakan posisi Menteri diisi oleh UMNO dan BN, ianya pendapat yang silap sama sekali. Perlu ditegaskan, kerajaan ini tidak dapat berdiri sekiranya tidak mendapat sokongan dari rakan rakan parti sekutu. Mereka tidak pernah bergabung dibawah satu payung melainkan mempunyai kesepakatan untuk menolak sebarang kemungkinan Pakatan Harapan berkuasa semula.

Benar, Dato' Sri Ismail Sabri dari UMNO BN mengetuai kerajaan namun, itu bukan tiket untuk beliau meletakkan kesemua majoriti pemimpin UMNO BN selaku Menteri. Andai jadi begitu, sudah tentu rakan sekutu akan berkecil hati dan memungkinkan arah sokongan mereka beralih kepada Pakatan Harapan. Adakah anda mahu berkerajaankan Pakatan Harapan semula?

Terakhir, kita wajar mengucapkan syukur dengan apa yang ada hari ini. Bayangkan kerajaan yang dibentuk ini mendapat sokongan PKR, DAP, PAN, PEJUANG, WARISAN dan MUDA.

Sudah tentu Perdana Menteri perlu memikirkan di mana kedudukan yang sesuai untuk Tun Dr Mahathir, Maszlee Malik, Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Datuk Seri Shafie Apdal, Syed Saddiq dan lain lain pemimpin. Bukankah itu boleh digelarkan sebagai Pakatan Harapan version 2.0?
Justeru, sudah sudahlah menjadi pahat yang akan berbunyi selepas rumah siap. Perdana Menteri sudah memberi jaminan bahawa setiap Menteri dan Kementerian akan di nilai setiap 100 hari untuk melohat samada mereka mendapat KPi yang diingini atau tidak. Andai tidak memenuhi kreteria, tidak mustahil mereka ini bakal digantikan secepat mungkin.

Ini bukan masa untuk terus bertelagah. Ini adalah masa untuk bekerjasama dalam memerangi serangan Covid 19. Paling utama, sekarang adalah masa membina semula Malaysia setelah hampir hancur angkara tangan tangan yang memberi undi dan majoriti yang salah serta serangan Covid 19. Inilah kerajaan Keluarga Malaysia, bukan kerajaan mengikut kehendak sendiri.

Thursday, 26 August 2021

KISAH DISEBALIK CERITA MENGERIKAN

Sejak lebih sebulan yang lalu, kita kerap disajikan dengan angka angka yang menakutkan kita. Angka yang dimaksudkan adalah angka jangkitan baru pesakit Covid 19 yang mana hari ini telah merekodkan satu lagi rekod baru apabila seramai 24,599 orang adalah pesakit baru Covid 19.

Tidak dinafikan angka angka ini amat membimbangkan. Jika dihitung secara total, lebih 1.6 juta orang rakyat negara ini telah dijangkiti virus ini sejak ianya dikesan di Malaysia pada penghujung Februari 2020 dengan 14,818 orang telah meninggal dunia.

Persoalannya, perlukah kita panik dan terus menerus bimbang akan keselamatan diri kita?

Secara amnya, ya kita wajib bimbangkan keselamatan diri kita. Namun untuk berasa sentiasa panik, rasanya tidak perlu.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah penerima vaksin dos pertama telah mencapai angka 80.3 peratus. Manakala untuk dos kedua pula, seramai 59.1 peratus telah lengkap di suntik vaksin. Sasaran awal kerajaan adalah mencapai imuniti berkelompok (menerima suntikan lengkap) adalah 80 peratus menjelang Disember tahun ini.

Dari angka ini, Malaysia sebenarnya sedang berada di laluan yang betul untuk merealisasikan sasaran berkenaan. Tambahan pula, seramai 97 peratus dari jangkitan baru ini berada di kategori 1 dan 2 yang mana ianya disifatkan belum berada di tahap yang amat serius sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

Persoalan paling besar hari ini adalah, kenapa angka jangkitan baru masih lagi tinggi walaupun jumlah penerima vaksin sudah melebihi angka kritikal? Apakah penyumbang kepada peningkatan ini?

Ramai dikalangan rakyat menunding jari kepada kerajaan yang dikatakan gagal menangani jangkitan baru Covid 19. Namun, andai wujud dakwaan sedemikian, sebenarnya, tidak ada mana mana kerajaan mampu menahan jangkitan baru Covid 19.

Sebelum ini Brunei berbangga tidak ada kes baru jangkitan selama lebih 400 hari. Namun terkini, lebih 200 orang telah dijangkiti virus ini.

Andai mendakwa vaksin yang diberikan tidak berfungsi dengan baik, ketahuilah bahawa seluruh dunia juga sedang menggunakan vaksin yang sama. Cuma yang membezakan, bekalan vaksin mereka dipelbagaikan. Ini termasuklah vaksin Modena, Johnson & Johnsons dan macam macam lagi jenama vaksin yang sudah memasuki pasaran antarabangsa. 

Rasanya, kita semua menyedari bahawa hari ini kita berhadapan dengan mutasi varian Covid 19. Kita bukan berhadapan dengan varian asal yang dikesan di Wuhan. Kita berhdapan dengan mutasi varian yang dikenali sebagai varian delta dan paling mengerikan, varian Lambda.

Untuk rekod, Varian Delta dikatakan ganas dan boleh menyangkiti mangsa hanya dalam tempoh 15 saat. Ianya mampu di lawan oleh vaksin yang diterima kita hari ini. Namun bagi varian Lambda, varian ini jauh lebih ganas dan mampu melawan vaksin dan sekaligus menyukarkan petugas kesihatan memberikan rawatan yang sepatutnya kepada seseorang pesakit.

Masalahnya, vaksin yang ada pada hari ini dicipta berpandukan kepada jangkitan awal Covid 19, bukan pelbagai varian yang ada pada hari ini. Ianya memang menyukarkan mana mana negara mengekang jangkitan baru hari ini yang disifatkan sebagai gelombang keempat serangan virus ini di dunia.

Maka disinilah perlunya kita perlu kekal mengikuti setiap SOP yang telah digariskan oleh kerajaan. Benar, ianya memang amat merimaskan namun, setiap SOP yang digariskan hari ini berasaskan kepada apa yang telah digariskan oleh World Health Organization (WHO) dan telah diterima pakai oleh semuna negara di dunia.

Saringan demi saringan akan diteruskan bagi membuat pengesanan awal jangkitan ini supaya tidak menjangkiti orang lain. Ini juga antara penyebab kes kes baru jangkitan sentiasa tinggi. Oleh yang demikian, perlu ditegaskan, kita tidak boleh alpa dan mengambil mudah kebersihan kendiri. 

Kegagalan mengamalkan kebersihan kendiri bakal memudah dan mendedahkan kita kepada jangkitan baru Covid 19 yang sentiasa berevolusi dan berpecah kepada pelbagai jenis varian yang lain.




KABINET KELUARGA MALAYSIA

Ketika ini, seluruh rakyat sedang menunggu siapakah yang bakal dilantik sebagai Menteri Kabinet untuk mentadbir negara sehingga habis penggal ke 14 ini.

Sejak sebelum Dato' Sri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke 9, rata rata pengamal media sosial dan pemerhati politik meramalkan pelbagai nama yang mungkin akan diangkat sebagai Menteri.

Tidak kurang juga wujud pelbagai andaian kononnya pelbagai nama akan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Walhal, beliau belum pun menjalankan tugas rasmi.

Dalam hal ini, apa yang menarik untuk disaksikan adalah, adakah kabinet yang bakal dibentuk ini akan merealisasikan hasrat rakyat untuk melihat para Menteri ini akan menjalankan tugas seperti yang diharapkan.

Ini kerana, dua kerajaan yang dibentuk sebelum ini lebih banyak mengecewakan harapan rakyat berbanding memenuhi aspirasi rakyat. Jika ada yang perform sekalipun, jumlahnya tidak sampai 10 orang.

Ditambah dengan keadaan dalam negara yang begitu meruncing akibat pandemik Covid 19, sudah tentu harapan besar diletakkan di bahu Dato' Sri Ismail Sabri untuk memastikan para Menteri yang dilantik mampu berkhidmat untuk rakyat dan mampu menjana semula ekonomi negara yang boleh dikatakan berada pada tahap paling kritikal sejak 1998.

Langkah awal beliau bertemu dengan tiga orang pemimpin utama pembangkang jelas menampakkan iltizam beliau untuk memastikan kerajaan yang beliau ketuai hari ini mampu bergerak seiring sesuai dengan titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mahu nasib rakyat dibela tanpa mengira apa jua fahaman politik.

Tambahan pula, sesuai dengan ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri, beliau mahu membina sebuah keluarga besar yang beliau gelarkan KELUARGA MALAYSIA diwujudkan. Sudah tentu, ketua ketua yang dilantik wajib mendukung aspirasi beliau bagi menjadi ketua ketua bagi sebuah KELUARGA MALAYSIA yang bersatu padu.