Tuesday, 18 July 2023

MENANG PERCUMA?




Sekitar Jam 3 pagi tadi, disaat ramai orang sedang lena tidur, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor di tahan di sebuah hotel di ibu negara atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan. 

Ini gara gara kata-katanya di sebuah ceramah politik di Selayang baru baru ini yang seolah olah mempertikaikan kebijaksanaan Paduka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah melantik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Penahanan ini pantas menarik perhatian ramai kerana ianya dilakukan sekitar jam 3 pagi yang mana ramai mempersoalkan, apa keperluan menahan beliau seperti seorang penjenayah tegar atau pengganas mahupun seperti seorang penyeludup atau pengedar dadah. 

Ramai yang berasakan, beliau tidak ada masalah untuk hadir di mana mana balai polis berdekatan bagi memudahkan urusan pendakwaan terhadap beliau. Malah waran tangkapan dan waran yang mengkehendakkan beliau hadir ke mahkamah juga boleh diserahkan secara terbuka. Ramai yakin beliau tidak akan membantah.

Namun, apa yang berlaku awal pagi tadi sudah tent akan dipolitikkan oleh semua pihak. Benar, beliau agak celupar bila mempersoalkan hak seseorang Sultan melantik Menteri Besar bagi mewakili Baginda dalam urusan sesebuah negeri. Akan tetapi, menjelang Pilihan Raya enam buah negeri yang akan berlangsung kurang 3 bulan lagi, apa yang telah berlaku awal pagi tadi seolah olah memudahkan gerak kerja kempen PN.

Saya pernah menulis tentang kesanggupan Sanusi menjadi punching bag PN. Walaupun ucapan beliau di Selayang tempoh hari datang dari keseronokan beliau berucap, namun perlu diingat, beliau juga turut sedar sebarang implikasi yang akan menimpa diri beliau. Beliau juga sudah tentu tahu sebarang tindakan yang diambil terhadapnya secara tidak langsung akan memberikan political milage kepada PN disaat rakyat sedang mula mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan kerajaan hari ini mentadbir negara.

Lihat bagaimana hampir kesemua pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menghentam beliau secara konsisten. Ini ditambah pula dengan komen Lim Guan Eng yang seolah olah mengugut rakyat Pulau Pinang terutama bukan Islam yang kononnya, andai PAS berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri kelak, semua tokong akan dirobohkan. Ini jelas satu kenyataan berusur ugutan yang menyentuh sensitiviti 3R yang kerap dilaungkan oleh kerajaan.

Itu belum lagi ugutan menghalang hak kebebasan bersuara oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di dalam satu video livenya yang menyatakan secara jelas, komen komen negatif yang beliau terima bakal mendapat impak segera seperti kehadiran kereta peronda polis di hadapan rumah. 

Semua ini menyumbang kepada memudahkan urusan gerak kerja PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri nanti. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan, ianya seolah oleh memberi "kemenangan percuma" kepada PN.

Bukankah lebih elok andai pihak berkuasa menjemput beliau di hotel penginapannya pagi ini dan membawanya ke mahkamah andai waran berkenaan sudah diserahkan sehari lebih awal. Tindakan agresif ini bukan sahaja menyebabkan pihak PN mula memainkan sentimen kerajaan kejam dan menindas, malah rakyat mula melihat ianya seperti satu tindakan melemahkan lawan.

Dapat difahami, 5 orang pegawai istana turut membuat laporan polis. Saya tidak ada masalah tentang itu. sudah mulut beliau pun agak celupar, sudah tentu akan ada impak disebalik keceluparan beliau. Cuma tindakan penahanan beliau sahaja dikhuatiri akan memberi impak yang teramat buruk kepada kerajaan.

Perlu difahami, senyap seorang Sanusi, akan muncul lebih ramai Sanusi yang akan menghentam kerajaan. Di saat Pilihan Raya Negeri semakin hampir, apa sahaja tindakan akan mudah menjadi tumpuan dan dijadikan modal politik oleh mana mana pihak. 

Sunday, 16 July 2023

"HANTU" SANUSI




Senario politik negara hari ini memang agak melucukan. Ada sahaja watak baru muncul bagi menghiasi dan mewarnai politik negara dengan pelbagai kenyataan mahupun tindak tanduk yang mencuit hati. Hari ini, nama Menteru Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor kerap kali disebut oleh semua pihak samada dari pemerhati politik sehingga pemimpin atasan.

Ada yang melabelkan beliau sebagai pemimpin kasar. Ada yang menggelarkannya sebagai pemimpin "loqlaq". Ada yang menganggap beliau sebagai hero. Ada yang menganggap beliau sebagai attention seeker. Walau apa pun tanggapan ramai terhadapnya, beliau kekal dengan cara beliau sendiri dan tidak peduli apa kata orang. 

Apa yang menarik untuk diperkatakan, dengan karektor beliau yang agak kasar di pentas ceramah politik, ianya jelas berjaya menarik perhatian semua lawan politiknya dan lawan Perikatan Nasional (PN) dengan menumpukan serangan politik hanya kepadanya.

Ini sekaligus berjaya membebas dan melepaskan kesemua pemimpin tertinggi PN bagi meneruskan agenda politik masing masing. Malah, tindakan beliau yang rela menjadi punching bag demi memastikan PN mampu bergerak dengan lebih tersusun merupakan salah satu seni politik yang tidak ramai mampu untuk dilakukan oleh pemimpin generasi hari ini.

Hari ini, apa sahaja ulasannya akan menarik perhatian para pemimpin lawan. Malah, hampir kesemua mereka siap sedia menunggu apa pula ulasannya hari ini demi memastikan mereka mempunyai modal politik untuk di bicarakan dihadapan para penyokong masing masing.

Sebelum ini, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu adalah salah seorang pemimpin yang sanggup menjadi punching bag lawannya demi memastikan pemimpin sekutu beliau bebas merencanakan gerak kerja politik. Kali ini seni ini diwarisi oleh Sanusi yang mana agak menarik untuk dilihat, kedua duanya datang dari asas politik PAS.

Itulah yang dinamakan "hantu politik". Apa sahaja kenyataan yang keluar dari mulut beliau akan menghantui lawan politiknya. Seni politik ini sudah lama tidak di praktikkan di pentas tertinggi. Hari ini, kita saksikan "hantu" Sanusi membayangi gerak kerja politik lawannya sehingga apa sahaja yang keluar dari mulutnya akan menjadi bahan politik lawan. 

UMNO YANG "BUNUH" DIRI SENDIRI




Agak menarik untuk diperkatakan apabila wujud dakwaan menayatakan, tindakan memboikot UMNO BN pada Pilihan Raya Negeri melibatkan enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh dua bulan ini sebagai satu tindakan membunuh survival UMNO BN.

Nampaknya, pihak pihak ini langsung tidak belajar apa yang telah berlaku sebelum ini di mana keadaan goyah dan lemahnya UMNO BN hari ini disumbangkan oleh UMNO itu sendiri. Kenapa? Mari kita mengimbau sedikit sejarah bagaimana UMNO BN semakin lemah akibat pemecatan pemimpin yang ada diantaranya bertindak bangkit menentang UMNO itu sendiri.

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tidak sah kiranya andai meninggalkan sosok tubuh Perdana Menteri ke 10 ini. Pada 1998, beliau dipecat dari UMNO atas salah laku yang beliau lakukan. Perlu diakui, sepanjang 20 tahun penglibatannya di dalam UMNO, beliau adalah pemimpin yang dilihat sebagai pemimpin pelapis UMNO. Justeru tidak hairanlah beliau berjaya mengumpul pengikutnya tersendiri dikalangan pemimpin muda UMNO pada ketika itu seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaik beliau dipecat, UMNO benar benar berada dalam keadaan yang amat goyah. Ramai dikalangan pemimpin UMNO termasuk pemimpin muda UMNO bertindak meninggalkan parti sehingga tertubuhnya Parti Adil yang kita kenali sebagai Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Inilah bibit perpecahan dan pengkhianatan parti paling besar berlaku sepanjang tertubuhnya UMNO sejak 1946. Sehinggakan MCA dan MIC memainkan peranan yang amat besar menyelamatkan UMNO dari berkubur pada tahun 1999.

2. Tun Dr Mahathir Mohamad

Beliau adalah Presiden UMNO paling lama berkhidmat. Sebaik meletakkan jawatan pada 2003, beliau menyerahkan tampuk kuasa pada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hanya beberapa tahun kekal menyokong UMNO BN, beliau bertindak meninggalkan UMNO kerana tidak sehaluan dengan Tun Abdullah.

Akibatnya, pengikut tegar Tun M juga bertindak meninggalkan parti. Cuma keadaan itu tidak seteruk sewaktu beliau meninggalkan UMNO pada 2016. Ini kerana pada ketika itu, beliau tidak menubuhkan apa apa parti bagi melawan UMNO. Pada 2016, sewaktu beliau meninggalkan UMNO, lebih ramai ahli UMNO keluar dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mana akhirnya, PPBM berjaya menumbangkan UMNO pada PRU ke 14.

3. Tan Sri Muhyiddin Yasin

Beliau adalah mantan Timbalan Presiden UMNO. Beliau dipecat dari UMNO hanya kerana tidak berpuas hati dengan penerangan melibatkan 1MDB di mana beliau adalah antara pelopor penubuhan PPBM bersama sama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pemergian beliau sekali lagi menarik keluar ahli UMNO sehingga menyebabkan kedudukan UMNO benar benar goyah. Ini dibuktikan pada 2018 di mana beliau menggunakan pengaruhnya untuk bekerjasama dengan Tun M, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu membentuk satu pakatan bagi menumbangkan BN pada PRU ke 14.

4. Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Beliau adalah pelopor kepada penubuhan PPBM. Pada ketika beliau dipecat, beliau telah diturunkan dari jawatan Menteri Besar Kedah yang mana beliau adalah antara pemimpin muda UMNO yang berpotensi untuk diketengahkan. Walaupun impak pemecatannya tidak dirasai di peringkat pusat, namun di Kedah, impak pemecatannya memang dirasai. 

5. Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Tan Sri Annuar Musa, Tun Faisal dan beberapa yang lain.

Nama nama ini cukup besar di dalam UMNO. Walaupun ada yang menidakkan pengaruh mereka, hakikatnya, mereka antara nama nama senior di dalam UMNO. Sudah tentu mereka berjaya menghimpunkan pengikut mereka sendiri yang mana pemergian mereka samada di pecat atau digantung keahlian pasti akan membangkitkan kemarahan para pengikut mereka.

Hari ini, setelah apa yang dilakukan UMNO terhadap pemimpin ini, keadaan UMNO semakin hari semakin lemah. Malah, ini adalah punca kenapa UMNO boleh dianggap membunuh diri mereka sendiri.

Benar, UMNO mempunyai perlembagaannya sendiri. Ada diantara pemecaatan ini memang perlu dilakukan demi menjaga intergriti UMNO. Namun ada pemecatan dan penggantungan ahli ini langsung tidak boleh diterima akal.

Alasan yang diberikan adalah tindakan mereka mengkhianati parti. Walhal, kelemahan UMNO hari ini disumbangkan sendiri oleh tindak tanduk Presiden dan orang orangnya. 

Sudah acapkali di ingatkan bahawa UMNO pasti akan lebih sukar untuk bangkit lagi sekiranya menolak sama sekali demokrasi yang menjadi asas tunjang kekuatan UMNO sebelum ini. Dengan menunda pemilihan serta menafikan hak ahli untuk bertanding semua jawatan tertinggi parti, UMNO dilihat sebagai parti yang menolak sama sekali suburnya demokrasi.

Malah, tindakan diktator Presiden sendiri yang menyingkirkan pesaingnya demi memastikan tampuk kuasa kekal miliknya seorang menambah lagi kelemahan UMNO. Ini belum lagi memperkatakan tindakan flip flop Presiden sendiri yang mana di depan ahli menafikan sebarang kerjasama namun memastikan wujud kerjasama dan kesepakatan erat beliaudemi meraih kuasa sendiri dengan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Ramai dikalangan ahli bawahan UMNO sebenarnya lebih selesa untuk melihat UMNO menjadi pembangkang berintergriti. Bina semula kekuatan UMNO dari bawah dan kembali kepada asas penubuhan UMNO. 

Benar, sukar untuk menjadi pembangkang. Namun dengan hanya 26 kerusi yang dimiliki, UMNO wajar bermuhasabah diri bukan mengejar kuasa. Hanya dengan cara itu, ahli akan jauh lebih setia dan lebih komited membangunkan semula UMNO dari bersekongkol dengan musuh politik sejak sekian lama sehingga sanggup mengenepikan Muafakat Ummah yang di usahakan oleh Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak.  

Thursday, 13 July 2023

ANTARA LOGIK DAN GILA




Beberapa hari lepas, Jabatan Komunikasi dan Komuniti ada menerbitkan sebuah poster yang memaparkan cadangan perbelanjaan sebulan bersandarkan kepada harga barangan yang mereka sendiri senaraikan.

Menariknya, sebaik poster berkenaan diterbitkan, ianya mendapat kecaman orang ramai. Manakan tidak, anggaran perbelanjaan yang diunjurkan adalah RM 391 sebulan dengan harga ayam dianggarkan RM 18.80 sekilo dengan dicadangkan dua ekor ayam setiap bulan untuk satu keluarga. Paling mencuri tumpuan adalah harga gas yang dianggarkan bernilai RM 19.90 setong. Walaupun gas berkenaan memang wujud, tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak kerana di pasaran hari ini, harga setong gas adalah RM 29.

Jika mahu menyenaraikan apa yang telah disenaraikan oleh pereka grafik Jabatan Komunikasi dan Komuniti ini, ianya jelas sama sekali langsung tidak masuk akal.

Manakan tidak, apa yang disenaraikan itu langsung tidak masuk akal. Bagaimana boleh diterima akal kerana senarai itu langsung tidak memasukkan deretan rempah, garam, gula dan sebagainya. Itu juga adalah senarai barangan keperluan dapur. 

Lebih gila lagi, bagaimana pula jika sesebuah keluarga itu mempunyai anak yang ramai? Adakah setiap ahli keluarga hanya makan secubit atau sejemput hanya bagi mengalas perut agar tidak lapar? 

Sepatutnya, sebuah jabatan penerangan seperti JKOM ini perlu menerangkan bagaimana mahu membantu rakyat dalam berbelanja disaat harga barang keperluan semakin lama semakin naik.

Mungkin JKOM wajar menghubungi deretan pasaraya besar bagi membandingkan harga harga keperluan asas sebelum melakukan hebahan harga barangan yang berpatutan serta tidak menekan rakyat. Disamping itu JKOM juga berperanan dalam memastikan hebahan harga siling barangan asas supaya rakyat tidak tertipu dengan kenaikan mendadak harga barang hari ini.

Usah salahkan rakyat bila rakyat sendiri mencemuh apa yang cuba dihebahkan oleh JKOM ini. Kalian sendiri yang cari hal bukan rakyat yang sengaja bangkit melawan. Jangan terlalu syok sendiri dengan kuasa sehingga tergamak mempermainkan keperluan rakyat.