Wednesday, 29 April 2015

SEJARAH RINGKAS KESULTANAN NEGERI PERAK

Negeri Perak mempunyai sejarah Kesultanan yang begitu unik malah sehingga hari ini masih meneruskan tradisi dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka yang di asaskan oleh Parameswara pada tahun 1396. Menurut catatan sejarah, tidak beberapa lama selepas Tun Saban (anak Bendahara Tun Perak, Melaka) meninggalkan Kampar (Sumatera) untuk kembali ke Tanah Melayu, beliau telah membuka sebuah kampung bernama Relap Reli dan menjadi ketua di Belum seterusnya mengangkat adik perempuannya bernama Tun Perabu menjadi Ketua di Temong dengan gelaran Tok Temong.

Ketika itu, Perak di bawah naungan Kesultanan Melaka masih belum beraja. Kebanyakkan penduduknya terdiri daripada pedagang dari Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi. Di antara penduduk-penduduk ini ada seorang perempuan bernama Tok Masuka yang berasal dari Daik memelihara seorang dari Bangsa Temusai bernama Nakhoda Kassim. Beliau telah berwasiat tempat beliau digantikan dengan seorang Raja yang berasal dari anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat Raja-Raja yang turun dari Bukit Si-Gantang tiada terputus di Tanah Melayu.

pedang Cura Si Manjakini
Tun Saban dan Nakhoda Kassim pun berangkat ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis) memohon supaya seorang putera baginda menjadi Sultan Perak. Maka Sultan Mahmud Shah telah meminta putera keduanya Raja Mudzaffar menjadi Sultan Perak pada tahun 1528. Raja Mudzaffar dikurniakan alat kebesaran iaitu sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap yang berlorek perkataan “Sultan Muhammad Shah Dzil Allah Fil-Alam”, nobat dan surat Chiri. Tidak lama kemudian, Raja Mudzaffar belayar bersama isterinya Tun Terang, anak lelaki Raja Mansur dan pengiring termasuk Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong.

Beting Beras Basah, Bagan Datoh
Akhirnya, bahtera yang dinaiki rombongannya tiba di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak berdekatan dengan Bagan Datoh. Dengan takdir Tuhan, bahteranya tersangkut pada beting terbabit. Walaupun pelbagai usaha dilakukan (ada cerita mengatakan beliau membuang segala harta ke dalam laut untuk meringankan kapal), kapal itu tetap tersangkut. Sebalik melihat masalah itu, Raja Mudzaffar terus bertitah:

“Sekongkong tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja Berdaulat
Lepaslah sekalian Malapetaka”

Makam Tok Temong
Kuala Kangsar
Mustika Embun
Selepas seruan itu, ajaibnya bahtera berkenaan terus bergerak. Orang-Orang Besar dan beribu-ribu rakyat negeri Perak yang menyambut Baginda berteriak “Daulat Tuanku” tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak sehingga ke Tanah Abang untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama. Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama Mastika Embun dan telah dijadikan salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan digunakan dalam Istiadat Pertabalan Diraja Perak. Sebagai balasan, Sultan telah mengurniakan sebuah Puan Bujur (bekas sireh) tetapi dikembalikan kerana Tok Temong hanya berkehendakkan satu ikrar janji daripada Sultan iaitu Baginda serta anak cucu hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan Tok Temong serta anak cucu memerintah di sebelah kiri.
Sultan Idris Murshidul 'adzam
Shah


Dari itu, didapati kota-kota istana dan makan Sultan-Sultan Perak di zaman dahulu terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehingga pemerintahan Almarhum Sultan Idris Murshidul ‘adzam Shah yang mula-mula membuat kota istana dan makam disebelah kiri. Tok Temong meninggal di Kampung Temong dan dimakamkan di sana. Sehingga kini makamnya diziarahi tiap-tiap Sultan Perak selepas Baginda ditabalkan.

Bersambung...

JSJM

No comments:

Post a Comment