Ketika pihak berkuasa Indonesia giat memburu anggota militan Negara Islam (IS) susulan serangan di Jakarta pada bulan lalu, satu kumpulan radikal tempatan dengan sejarah lebih ganas dikesan kembali aktif.
Jemaah Islamiah (JI) dipercayai hampir berkubur selepas operasi pihak berkuasa berjaya membunuh dan menangkap beratus-ratus pengikut dan pemimpinnya. Kumpulan yang mempunyai rangkaian di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia, Filipina dan Thailand itu terkenal dengan beberapa siri serangan bom terhadap kepentingan Barat pada awal 2000.
Pada 2002, beberapa anggota JI melancarkan serangan bom di Bali menyebabkan lebih 200 mangsa yang kebanyakannya pelancong asing terbunuh.
Bagaimanapun, satu temu bual Reuters dengan dua anggota yang masih aktif dan seorang bekas pengikutnya mendapati kumpulan itu kembali bergerak semula dengan merekrut anggota baru, menambahkan dana serta menghantar anggotanya mendapat latihan di Syria.
Seorang bekas anggota JI, Nasir Abas berkata, kumpulan itu kini berada di tahap persediaan.
“Mereka tidak melakukan sebarang operasi, tetapi merekrut anggota baru, meningkatkan pengetahuan, pendidikan, rangkaian dan kewangan.
“Saya tidak memandang rendah keupayaan mereka,” katanya.
Penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Jakarta, Sidney Jones percaya, JI kini mempunyai anggota hampir 2,000 orang iaitu hampir sama ketika serangan di Bali dilancarkan.
“Beberapa anggota JI yang ditahan baru-baru ini didapati menyimpan sejumlah senjata api,” katanya.
Pihak berkuasa juga percaya, JI yang mempunyai latihan yang lengkap, tersusun dan sumber kewangan besar, lebih memberi ancaman berbanding IS. Nasir memberitahu, JI masih mempunyai beberapa ketua yang menerima latihan di Afghanistan pada 1980-an.
“Mereka ini (ketua) kembali dengan pengalaman bertempur dan kemahiran membuat bom,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment