Tuesday, 16 February 2016

Kedah Agih 24,000 Tiket Percuma


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) bermurah hati memberikan sebanyak 24,000 tiket percuma kepada penyokong dan pemi­nat bola sepak di negeri berkenaan bagi menyaksikan pertemuan Liga Super 2016 antara Kedah dengan Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (gambar kecil) berkata, hadiah percuma itu merupakan tanda ucapan terima kasih kerajaan negeri dan KFA terhadap sokongan tidak berbelah bahagi penyokong kepada skuad Helang Merah itu yang berjaya mencatatkan kejayaan memberangsangkan musim lalu.
Menurutnya, ia juga sebagai pembakar semangat buat para penyokong dan peminat memandangkan ia merupakan perlawanan pertama Helang Merah di gelanggang sendiri musim ini dalam saingan Liga Super.


“Sebanyak 18,000 tiket akan diedarkan secara percuma bermula pukul 10 pagi di kaunter-kaunter tiket di pekarangan Stadium Darul Aman.
“Bakinya pula akan diperuntukkan kepada 30 ahli gabungan KFA di setiap daerah serta penyokong Terengganu,” kata Syed Unan pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.
Tambah Syed Unan, selain pemberian tiket percuma itu, KFA turut memutuskan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan seperti musim lalu biarpun kos pengurusan pasukan semakin meningkat selepas layak ke saingan Liga Super musim ini.
“Adalah menjadi harapan KFA supaya penyokong dan peminat terus memberi sokongan kepada pasukan kita se­perti mana yang ditunjukkan pada musim lalu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Unan memberitahu, KFA­ akan mengadakan Mesyua­rat Agung Khas dalam tempoh terdekat untuk memilih dan me­lantik presiden baharu berikutan kekosongan jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan baru-baru ini.
“Kita akan buat mesyua­rat Jawatankuasa Eksekutif dahulu, mungkin dalam minggu ini sebelum Mesyuarat Agung Khas diadakan.
“Kemungkinan besar awal bulan Mac ini kita akan melantik presiden baharu. Bagaimanapun, bagi jawatan Jawatankuasa Eksekutif KFA tiada perubahan setakat ini kerana lantikan dibuat sehingga 2018,” ujarnya.
Mengulas mengenai penarikan diri penajaan syarikat kosmetik, D’Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D’Herbs) sebelum ini, Syed Unan berkata, ia sekadar rundingan biasa sahaja.
“Belum ada sebarang keputusan dibuat ketika itu kerana ia sekadar rundingan biasa sahaja.Lagipun rundingan itu dibawa oleh orang te­ngah,” katanya.

No comments:

Post a Comment