Penerbit filem David Teo, memohon maaf di atas kenyataan yang dianggap memalukan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan seluruh kaum keluarganya. David, 51, berkata, bukan saja ahli keluarga Allahyarham malah seluruh penggiat seni tanah air juga tersinggung dengan isu itu.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar sekarang di media. Tidak terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina P Ramlee dan karya-karya beliau. Namun, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya keluarga arwah dan seluruh penggiat seni tanah air yang tersinggung dengan isu yang sedang hangat diperkatakan ini," katanya.

"Saya sebagai penerbit sangat mengagumi karya beliau yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. P Ramlee tiada galang ganti sebagai insan seni yang serba boleh," katanya.
Sementara itu, Presiden Seniman Zed Zaidi mahu penerbit itu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kenyataan dikeluarkan. "Niat dia untuk melahirkan artis jutawan adalah baik, tetapi caranya menyampaikan contoh ikon itu salah. Malah dia memberikan gambaran negatif terhadap arwah.
"Kata-kata David membuatkan banyak pihak marah dan menyelar tindakannya. Disebabkan itu, saya mewakili Seniman dan seluruh penggiat seni menggesa dia memohon maaf secara terbuka. Bukan saja kepada ahli keluarga P Ramlee, tetapi juga kepada seniman dan seniwati veteran negara yang masih ada," katanya.

"Kalau betul kenyataan itu disalah tafsir, sila tunjukkan bukti. Pada saya, tak kira dari konteks apa sekalipun, dia tak patut menghina seniman agung negara. Sebolehnya buat kajian dahulu berkenaan kehidupan arwah. Bila masa dia merempat?
"Mungkin dia tak kaya harta, tetapi bukan papa kedana. Arwah juga tak sayang duit dan bukan jenis mengejar kemewahan. Sebaliknya dia kaya dengan karya dan seni yang mekar sehingga sekarang," katanya. Mellisa turut menegaskan, P Ramlee adalah seniman dan bukannya ahli perniagaan yang sekadar ingin mengaut keuntungan.
0 comments:
Post a Comment