Melihat reka letak dan kreativiti landskap yang dihasilkan di persekitaran rumah ini, tiada siapa menyangka ia hasil idea dan kreativiti seorang nenek berusia 76 tahun. Tabik kepada Alfiah Alias, 76, yang membuktikan seni taman bukan hanya dunia orang muda, malah warga emas sepertinya juga boleh melakukannya jika ada peluang.

Setiap pagi beliau menjadikan aktiviti penyelenggaraan di taman sebagai mengisi masa senggang . Bagi Alfiah, kegiatan ini juga dapat menyihatkan badan dan pengubat kesunyian ketika tinggal seorang diri.
“Mak cik meminati seni landskap dan tanaman pokok hiasan rumah sejak menjadi peneroka di sini. Anak mak cik seramai tujuh orang dan semuanya tinggal di luar kawasan menyebabkan mak cik banyak menghabis masa di rumah,” katanya yang kematian suami sejak 35 tahun lalu.
Binaan landskap bermula di tepi jalan laman hadapan rumahnya yang ditanam dengan pokok nanas hutan berwarna kehijauan dan kekuningan. Disusuli dengan tanaman pokok dalam pasu yang diletakkan bongkah batu berterabur di permukaan tanah menjadikan laman itu kelihatan menarik.

“Bagi membangkitkan suasana kehijauan sepanjang kaki lima depan laman rumah itu, mak cik menanam pokok jenjarum, bintang tiga dan gabungan pokok berwarna merah serta putih selain pokok renek supaya tampak berseri.
“Di sebelah kanan laman rumah ini ada gazebo konkrit yang dihiasi pokok berpagar dan pokok kesinai untuk mengubah bentuk seperti bonsai berupaya membangkitkan suasana kehijauan,” katanya.
Sekeliling benteng gazebo konkrit itu pula dihiasi dengan deretan pelbagai jenis pokok kaktus yang ditanam dalam pasu kecil. Pada bahagian sisi kediaman pula, Alfiah memilih untuk menyusun bata merah disusuli tanaman berpasu dan beranting tinggi serta berdaun panjang hingga bahagian garaj meletakkan kenderaan.
Di sebelah kiri garaj pula beliau memilih menanam pokok renek yang daun merimbun dalam pasu berwarna kekuningan. Disambung pula dengan deretan pokok bonsai menyebabkan beliau kadangkala menghabiskan masa hingga tengah hari untuk menguruskan laman rumah itu.

Bagi membangkitkan keceriaan di bahagian depan rumah pula, beliau memilih tanaman berpasu kecil dan bunga kering sebagai penghias di sudut pintu rumahnya.
0 comments:
Post a Comment