Bermula minggu lalu hingga pertengahan bulan depan, institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini rancak menerima kehadiran siswa baru. Kebanyakannya lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), asasi, matrikulasi dan diploma yang akan mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.
Begitu juga dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih mengikuti program asasi di beberapa Universiti Awam (UA) dan Kolej Matrikulasi. Kehadiran siswa baru yang sebahagian besarnya pertama kali menyambung pengajian ke IPT pasti mengundang pelbagai emosi dan keterujaan terutama ketika membuat persiapan masuk ke kampus.

Lebih-lebih lagi keperluan atau barangan itu boleh ditangguhkan seketika berdasarkan kepentingannya. Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nasrul Hakim Ahmad berkata, tidak salah jika siswa baru mahu melakukan persiapan memasuki kampus tapi biarlah berpada-pada dan mengikut turutan kepentingannya.
Menurutnya, kejayaan memasuki IPT tentunya menjadi kebanggaan ibu bapa, namun siswa juga perlu bertoleransi dengan kemampuan yang boleh disediakan oleh orang tua mereka. “Saya tidak nafikan ada siswa sangat teruja dan mahu membuat persiapan terbaik. Sikap ini tidak salah kerana ini satu fasa baru dalam kehidupan mereka untuk bergelar warga kampus.
“Tetapi janganlah sampai membebankan ibu bapa biarpun mereka tidak kisah mengeluarkan belanja besar demi keselesaan anak,” katanya. Beliau berkata, selain membuat persiapan berbentuk material, paling penting bagi siswa baru ialah melihat senarai keperluan dikehendaki seperti dicatatkan dalam borang tawaran.
"Utamakan keperluan penting kerana ada benda lain mungkin boleh ditangguhkan. “Dalam borang tawaran sudah ada senarai yang mesti disedia dan diserahkan siswa pada hari pendaftaran dan ia mesti dilakukan mengikut prosedur.

“Ini keperluan penting yang mesti didahulukan siswa kerana ia prosedur kemasukan ke universiti. Tapi ada segelintir siswa buat endah tidak endah dengan keperluan itu, sebaliknya menumpukan pada persiapan lain seperti komputer riba, pakaian, buku dan sebagainya.
“Keperluan itu boleh ditangguhkan seketika dan tidak perlu disediakan secara tergesa-gesa hingga membebankan ibu bapa untuk menyediakannya secara serentak,” katanya. Beliau berkata, barang yang kurang penting boleh disediakan secara berdikit-dikit atau selepas minggu suai kenal berakhir.
“Tidak perlu beli atau membawa semuanya pada hari pendaftaran kerana sepanjang tempoh seminggu, siswa baru sibuk dengan minggu suai kenal. “Pengaturan jadual kelas atau tenaga pengajar juga pastinya akan mengambil masa,” katanya.
Sementara itu, Felo Kolej Harun Aminurashid Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Sasigaran Moneyam berkata, siswa baru perlu bijak membuat perancangan dengan meletakkan keutamaan pada perkara penting terlebih dulu. Menurutnya, terlalu mengikut kata hati menyebabkan ada permintaan mereka membebankan ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan.
“Nilai tahap kemampuan keluarga dan jangan memaksa jika ibu bapa tak mampu. Tak salah memakai pakaian sedia ada atau membawa keperluan paling asas kerana datang ke IPT tujuan utamanya untuk belajar. Lihat aspek keutamaan dulu terutama yuran kemasukan. Jika yang penting sudah selesai, barulah buat persiapan lain pula,” katanya.

“Perlu diingat, IPT bukan tempat untuk bergaya. Apa yang utama siswa perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi sesi pembelajaran. Datang ke bilik kuliah tak perlu pakaian jenama terkenal atau membawa barangan mewah. Kejayaan sebenar ialah menamatkan pengajian, sekali gus menggenggam ijazah,” katanya.
No comments:
Post a Comment