Friday, 2 September 2016

MyBAS Ipoh Akhirnya Telah Beroperasi Sepenuhnya




Setelah sekian lama, penantian warga Bandaraya Ipoh, Perak untuk menikmati perkhidmatan bas yang lebih tersusun dan sistematik, akhirnya telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Ini berikutan perlaksanaan secara penuh perkhidmatan myBAS Ipoh Fasa kedua pada 1 September lalu dimana jumlah laluan ditambah daripada 6 untuk fasa pertama kepada 19 untuk fasa kedua.

Dengan mencakupi jarak perjalanan sejauh 314km, ianya menawarkan perkhidmatan bas yang lebih bersepadu dan jaringan bas yang lebih menyeluruh. Semua ini hasil daripada program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) yang dirangka oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD).

Untuk rekod, fasa pertama myBAS Ipoh telah dilancarkan pada bulan Jun yang lalu yang telah memperkenalkan 6 laluan baru dimana menurut perangkaan yang dikeluarkan sehingga Julai lalu, ianya telah memberi kemudahan kepada kira-kira 47,147 orang pengguna.

Bandaraya Ipoh merupakan Ibu negeri ketiga yang telah menerima manfaat daripada peruntukan kerajaan untuk program MyBAS selepas Kangar di Perlis dan Seremban, Negeri Sembilan. Dengan memperuntukkan RM 100 juta, program myBAS akan turut dilaburkan bagi perlaksanaan seterusnya iaitu di Johor Bahru dan Kuala Terengganu untuk memberi perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat.

Sebenarnya, program SBST ini telah diperkenalkan pada Ogos 2015 dengan bertujuan menambah baik serta meningkatkan standard perkhidmatan dengan membenarkan mereka menumpukan perhatian kepada penyediaan perkhidmatan perjalanan yang terbaik tanpa perlu bergantung kepada kutipan tambang.

Sebagai perintis, perkhidmatan Greater Kuala Lumpur diperkenalkan dan ianya jelas telah memberi perkhidmatan yang cukup baik bagi menampung keperluan warga ibu kota. Bertitik tolak dari sinilah, kerajaan menerusi SPAD komited untuk menyediakan jaringan bas yang yang lebih berkualiti kerana menyedari, mood perkhidmatan bas henti-henti masih menjadi pilihan dikalangan pengguna.

Sebagai langkah penambah baikan, SPAD turut meletakkan KPI pada perkhidmatan bas seperti ini supaya ianya mencapai ketepatan masa, kobolehpercayaan, spesifikasi kenderaan, keselamatan dan kepercayaan pengguna. Pihak pengendali harus mencapai KPI berkenaan atau mereka berhadapan dengan tindakan penalti jika mereka gagal menepati sasaran yang telah ditetapkan oleh SPAD.

Dalam masa yang sama, pihak SPAD bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam merancang untuk menambah baik mutu perkhidmatan myBAS dengan mengambil kira masa perjalanan, kesaling hubungan, bilangan penumpang dan rangkaian laluan bas. Semua ini adalah untuk memastikan manfaat kepada perkhidmatan ini dapat dinikmati oleh rakyat.  

No comments:

Post a Comment