My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 5 September 2016

    Peningkatan RM 3 Bilion Perolehan


    Malayan Banking Bhd (Maybank) berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran RM13 bilion untuk diagihkan kepada portfolio kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, tahun ini. 

    Agihan itu meningkat sebanyak RM3 bilion tahun ini daripada sekitar RM10 bilion tahun lalu dengan pertumbuhan sebanyak 30 peratus berikutan industri PKS yang berkembang cergas dari tahun ke tahun.

    Ketua Perkhidmatan Komuniti Kewangan Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, setakat Ogos lalu, kumpulannya mencatatkan sekitar RM12.7 bilion agihan kepada PKS dan optimis dapat mencapai angka yang disasarkan itu pada akhir tahun ini. Beliau berkata, penambahan agihan dana itu berikutan permintaan tinggi pembiayaan untuk perniagaan oleh PKS dan kecekapan pembayaran balik oleh golongan berkenaan.

    “Kami juga komited untuk mempercepatkan tempoh agihan dana pembiayaan kepada PKS dari lima hari waktu bekerja ketika ini kepada dua hari waktu bekerja bagi memudahkan golongan berkenaan menerima pembiayaan daripada pihak kami,” katanya selepas majlis menandatangani Skim Jaminan Kewangan Portfolio (PG) dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Jumaat lalu.

    Pada majlis itu, kedua-dua pihak bersetuju menyediakan pembiayaan PG sebanyak RM1.5 bilion dan ia adalah kerjasama ketiga dilaksanakan sejak 2013. Perjanjian itu paling besar disediakan oleh institusi kewangan di negara ini yang dikhaskan untuk membantu pemain industri PKS tempatan. 

    Malah, perjanjian jaminan portfolio baru itu dijangka dapat menyokong lebih 3,000 PKS dalam pelbagai industri yang memerlukan pembiayaan tanpa cagaran. Hamirullah berkata, dengan kerjasama itu, Maybank kekal menjadi institusi kewangan terbesar yang menyumbang kepada PG di Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.2 bilion setakat ini.

    Katanya, di bawah skim itu, PKS boleh memohon sama ada kemudahan pembiayaan Islam atau konvensional daripada Maybank dan jumlah pembiayaan ditawarkan sekurang-kurangnya RM50,000 sehingga RM1.5 juta dengan tempoh pembayaran tetap sehingga tujuh tahun.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Peningkatan RM 3 Bilion Perolehan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top