Tuesday 15 November 2016

Nilai Tahap Keselamatan Bas Ekspress





Semalam, pemandu bas ekspress yang terlibat dalam kemalangan di Terowong Menora, Julai lalu telah didakwa di Mahkamah Khas Trafik di Ipoh.

Tertuduh, Kadershah Sabaruddin, 51, didakwa memandu bas berpendaftaran BLB 6936 dengan tidak cermat dan berhati-hati ketika berada di atas jalan raya hingga membahayakan nyawa orang lain di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora di sini, pada jam 2.45 petang 10 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan denda antara RM4,000 hingga RM10,000 dan boleh juga dipenjara sehingga 12 bulan.

Melihat akan insiden ini, ramai yang tertanya-tanya, adakah wujud piawaian khas tentang tahap keselamatan penyelia bas ekspress yang beroperasi hari ini. Ramai yang menzahirkan kebimbangan akan kemungkinan bakal berulangnya kemalangan yang boleh disifatkan sebagai agak mengerikan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai "pusara jalanraya" di negara ini.

Menyentuh akan hal ini, pihak SPAD yang dihubungi semalam menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat menjatuhkan hukuman keatas pengangkutan awam yang disediakan di negara ini. Menurut SPAD, walaupun terdapat kebimbangan orang ramai tentang perkara ini, namun hakikat sebenarnya, ia masih belum mencapai tahap yang membimbangkan.

Ini kerana, pihak SPAD sentiasa memantau dan kerap melakukan operasi dengan kerjasama pihak PDRM dan JPJ bagi memastikan mutu perkhidmatan serta keselamatan pengguna sentiasa diberi keutamaan.

Ini dibuktikan dengan beberapa langkah SPAD yang mengenakan syarat ketat penyelenggaraan serta tahap keselamatan penumpang yang tidak akan boleh di kompromi. SPAD sentiasa memastikan penilaian tahap keselamatan bas ekspress mahupun bas persiaran berada dalam keadaan terbaik.

Ianya hasil daripada kerjasama semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan bas bagi memastikan tahap keberkesanan dan fizikal bas berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik. Apa yang berlaku pada Julai lalu berpunca daripada kelalaian pihak penyedia perkhidmatan bas berkenaan bagi memastikan keadaan bas berkenaan berada dalam keadaan terbaik.

Sepanjang tempoh perayaan berkenaan, hanya insiden ini sahaja yang berlaku. Justeru adalah tidak adil untuk meletakkan ketidak percayaan orang ramai terhadap kesemua penyedia perkhidmatan bas yang lain. Pihak SPAD juga sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi bersepadu bagi memastikan insiden seumpama ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment