Sunday 13 November 2016

Trump Kuasai Minggu Yang Tidak Menentu



Sepanjang minggu lalu, hangat diperkatakan tentang kejayaan mengejut taikun hartanah terkemuka Amerika Syarikat, Donald J Trump. Beliau berjaya menewaskan calon pilihan ramai dari parti Demokrat, Hillary Clinton walaupun sepanjang 19 bulan berkempen, Trump agak ketinggalan kepada Hillary.

Kemenangan Trump ini secara tiba-tiba telah menyebabkan banyak polemik baru timbul serta mencetuskan pelbagai kebimbangan tentang masa depan Amerika dibawah pentadbiran Trump. Sepanjang kempen Trump, beliau dilabel sebagai bakal pemimpin yang berfikiran radikal dan cukup memusuhi umat Islam dan golongan pendatang di Amerika.

Justeru, tidak hairanlah sebaik sahaja Trump diumumkan sebagai pemenang, beberapa negeri di Amerika telah menyaksikan kebanjiran tunjuk perasaan yang membantah kemenangan Trump. Malah, California, sebuah negeri yang mempunyai keupayaan ekonomi ke 10 terbesar di dunia, turut mempertimbangkan cadangan untuk berpisah dengan Amerika.

Impak dari kemenangan Trump ini bukan sedikit. Pasaran saham Amerika dilaporkan melonjak mendadak pada keesokan harinya. Malah, sehari selepas Trump sah menduduki Rumah Putih, 20 Januari nanti, kesemua pasaran matawang di seluruh dunia mencatatkan kejatuhan mendadak dan antara yang paling terkesan adalah Ringgit Malaysia.

Menurut pemerhati ekonomi, Malaysia adalah negara ke 4 paling terjejas matawangnya akibat kemenangan Trump. Ringgit Malaysia diniagakan pada kadar RM 4.72 berbanding USD $1 Dolar Amerika semasa pasaran dibuka, sehari selepas kemenangan Trump. Namun pada penutup, Ringgit Malaysia mencatatkan peningkatan kepada RM 4.57 berbanding USD $1 Dolar.

Menurut pakar ekonomi lagi, keadaan Ringgit dijangka akan kembali semula mengukuh sebaik sahaja pasaran dunia boleh menerima Trump sebagai Presiden Baru Amerika. Malah, dijangkakan, minggu ini akan menyaksikan keadaan kembali normal bagi kesemua matawang utama dunia dengan Trump juga telah mengumumkan, tidak akan berlaku sebarang perubahan drastik dalam pentadbirannya.

Minggu ini juga menyaksikan, buat pertama kalinya, Pakatan Harapan mengadakan sidang konvensyen mereka sendiri. Sebelum ini, pakatan pembangkang berkenaan sentiasa gagal melaksanakan konvensyen mereka sendiri berikutan berlainan idealogi dan agenda parti masing-masing.

Namun, untuk menampakkan mereka kuat, dibantu pula dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mereka dilihat berusaha untuk menjadi satu entiti dan bukan lagi berjuang mengikut idealogi parti masing-masing.

No comments:

Post a Comment