Anugerah Golden Globes ke-74 yang berlangsung di The Beverly Hilton, California, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan debut cemerlang Emma Stone apabila merangkul trofi sulung pada acara berprestij tersebut bagi kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik (Muzikal atau Komedi) selepas dua kali dicalonkan sebelum ini.
Tambah manis lagi, filem lakonannya, La La Land mendominasi enam anugerah utama lain iaitu Lakon Layar Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Asal Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Terbaik - Muzikal atau Komedi dan Aktor Terbaik - Filem Muzikal atau Komedi (Ryan Gosling).

Selepas dua kali gagal merangkul trofi pada dua penganjuran terdahulu menerusi filem Easy A (2011) dan Birdman (2015), Stone, 28, akhirnya berjaya menamatkan kemarau tersebut dengan bergaya.
“Terima kasih kepada keluarga, peminat dan mereka-mereka yang selalu bermimpi. Filem ini adalah ditujukan buat sesiapa yang gemar bermimpi. Orang-orang seperti anda adalah sangat kreatif.
“Harapan dan kreativiti adalah antara dua perkara terpenting dalam dunia. Buat orang kreatif yang pernah dinafikan secara metafora atau fizikal dan pelakon yang gagal pada permulaan, adakalanya mengalah merupakan jawapan terbaik.

Menariknya, saat menerima pengiktirafan tersebut, bekas teman lelakinya, Andrew Garfield turut memberikan standing ovation (tepukan sambil berdiri) buat Stone menandakan bahawa dia sememangnya layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Dalam pada itu, pasangan Stone dalam La La Land, Ryan Rosling tidak terkecuali menjadi tumpuan apabila mendedikasikan kemenangan dalam kategori Aktor Terbaik - Filem Muzikal/Komedi buat isterinya, Eva Mendes yang disifatkan sangat romantis.
“Ketika saya menjalani penggambaran filem ini, isteri saya (Mendes) sedang membesarkan anak pertama kami dan mengandung anak kedua. Pada masa yang sama, dia turut membantu abangnya yang menderita penyakit kanser. Kalau bukan dia yang banyak berkorban, rasanya bukan saya yang akan berada di atas pentas ini. Terima kasih, sayang,” ujar Gosling lantas mendapat tepukan gemuruh penonton yang hadir.
Dikendalikan pelawak dan pengacara tersohor, Jimmy Fallon, drama arahan sutradara profilik, Barry Jenkins berjudul Moonlight turut cemerlang apabila diangkat sebagai Drama Terbaik.
Politik

Seperti acara anugerah American Music Awards yang berlangsung pada November lalu usai Trump diangkat sebagai pemimpin, pentas Golden Globes turut dijadikan platform meluahkan kekecewaan terhadap senario politik negara Uncle Sam tersebut.
Bukan sahaja lelucon Fallon yang bertindak sebagai pengacara majlis kadangkala menyentuh isu politik, aktres terkemuka, Meryl Streep turut mengambil peluang berucap panjang lebar saat menerima trofi.
Bintang Florence Foster Jenkins itu membidas kenyataan Trump tempoh hari yang melabelkan ‘orang filem’ sebagai terlalu liberal. “Orang itu duduk di kerusi paling dihormati dalam negara tetapi dia memperlekeh fizikal seorang wartawan yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).
“Apabila melihat kejadian sebegitu, saya sangat sedih kerana ia bukan berlaku dalam filem, sebaliknya dalam kehidupan sebenar. “Dia (Trump) adalah orang berpengaruh dan apabila berbuat demikian, orang lain akan mudah terikut,” getusnya saat menyudahkan ucapan apabila menerima Anugerah Khas, Cecil B. DeMille.
Minggu lalu, Trump dikecam akhbar The New York Times kerana tindakannya mengejek seorang wartawan yang cacat fizikal di dalam satu perhimpunan. Trump dikatakan mengejek Sere Kovaleski yang mempunyai penyakit Arthogryposis (masalah tulang belakang) pada perhimpunan yang berlangsung di South Carolina dengan membuat gaya aksi tangan cacat.

“Untuk semua yang ada dalam dewan ini, tidak kira dari China hingga ke Arab dan Eropah, filem tidak meletakkan sebarang sempadan,” ujar pelakon berasal dari Perancis itu mendalam.
0 comments:
Post a Comment