SAAT berita kematian pelakon dan pengacara Ary Malik beredar dalam kalangan warga industri seni tepat pada pukul 71.7 malam di Hospital Ampang, Kuala Lumpur tanggal 28 Februari lalu, senyuman manis dan kesungguhannya ketika muncul dalam program MasterChef Selebriti Malaysia pantas menyelinap di fikiran.
Tiba-tiba detik jam seperti terhenti. Terasa betapa pantasnya masa berputar, dalam sekelip mata tawa canda dan celoteh pemilik nama sebenar Nurita Maliha Aryanee Malik, 46, kini tinggal kenangan. Dalam keriuhan kisah dunia hiburan, Allahyarham memilih untuk berdiam dan terus berjuang menentang penyakit kanser ovari yang dideritai sejak awal tahun lalu tanpa hebahan media.

Allahyarham pernah menjalani pembedahan membuang ovari di Hospital Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sekitar Mei tahun lalu diikuti dengan rawatan kemoterapi. Namun, selepas segala usaha dan 10 hari terlantar di Hospital Ampang sejak 18 Februari lalu, Allahyarham dijemput Ilahi.
Biarpun reda selepas melihat isteri bertarung nyawa di depan mata, separuh jiwanya pergi apabila Allahyarham menutup mata buat selama-lamanya. “Saya kehilangan sesuatu yang besar dalam hidup kerana arwah merupakan isteri penyayang dan disayangi ramai. Saya banyak belajar tentang kehidupan ketika bersamanya.
“Anak-anak masih bersedih dan terkejut, mereka sudah mula rindu dan berasa kosong ketika memandikan jenazah arwah,” tutur Sha Bromo sambil mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah yang diterima mereka sekeluarga.
Mengimbas sisi kerjayanya, nama Allahyarham mula mewangi selepas membintangi drama bersiri berjudul Kolej sekitar lewat 1990-an dan Cinta Tsunami (2004) arahan pelakon terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud.
Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik (2003). Kali terakhir Ary muncul di kaca televisyen adalah pada Ogos tahun lalu menerusi drama arahan suaminya, Menanti Awan menerusi TV2.
Menyorot siapa Ary di sebalik kasih sayang, doa dan ucapan takziah yang dikirimkan para karyawan dan peminat di laman sosial buatnya, Fauziah atau dikenali sebagai Ogy turut memohon maaf kerana tidak sempat menziarah sepanjang Allahyarham sewaktu berada hospital.
“Saya tidak akan lupa pengalaman bertegang urat dengan pihak stesen televisyen semata-mata mahukan arwah membintangi drama Cinta Tsunami. Naluri saya sebagai pengarah kuat mengatakan arwah akan memberikan yang terbaik untuk watak tersebut dan jangkaan itu sememangnya benar.
“Arwah seorang pelakon yang profesional dan saya sangat sedih dengan berita ini. Saya reda Allah lebih menyayanginya,” kata Ogy. Sementara itu, pelakon Sharifah Shahora yang bekerjasama dengan Allahyarham dalam program MasterChef Selebriti Malaysia turut merasai kehilangan sahabatnya itu.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga meninggalkan suami dan tiga orang anak iaitu, Nur Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun.
Jenazah Allahyarham disempurnakan di Masjid Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur sekitar pukul 8.30 malam kelmarin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Gombak, Selangor pada pukul 12.40 tengah malam.
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment