Hobi mampu memberikan kepuasan dan terapi menghilangkan tekanan serta keletihan kepada peminatnya. Melalui hobi juga kita dapat berjumpa dengan rakan baru, bertukar idea dan berkongsi maklumat penting terutama jika anda seorang pengumpul barangan tertentu yang sukar ditemui.
Bagi juruteknik elektrik, Ramli Md Nor, dia bukan hanya bergelar penyokong tegar sukan bola sepak dalam dan luar negara, malah turut berminat mengumpul barangan yang berkaitan dengan pasukan yang digemari. Ayah kepada tiga orang anak berusia 41 tahun ini akui minatnya untuk mengumpul barangan berkaitan pasukan bola sepak timbul selepas melihat kreativiti pembuatnya.

“Saya mula mengumpul logo bertampal pada Disember 2014. Kemudian, diikuti dengan pin atau lencana pada Mac 2015 manakala mafla pada penghujung tahun sama. Dianggarkan kira-kira 200 ke 300 mafla, 200 pin atau lencana dan 100 patches berjaya dikumpulkan buat masa sekarang.
“Kebanyakan barangan ini saya beli secara tempahan awal jika ada rakan yang menjual. Tidak ketinggalan, ada juga barangan yang dihadiahkan atau melakukan sistem pertukaran dengan rakan pengumpul lain,” katanya.
Jelasnya, harga barang paling mahal yang pernah dibeli ialah logo bertampal (RM80), mafla (RM350) dan pin (RM100). Sejujurnya, dia berasa sangat puas dan bangga kerana berjaya memiliki barangan yang diinginkan apatah lagi selepas berusaha mencari agak lama. Kos yang dikeluarkan untuk memiliki semua barangan yang diimpikan itu kira-kira RM10,000 hingga RM15,000.

“Bagi saya, setiap orang ada pandangan dan hobi mereka sendiri. Saya tidak boleh menyalahkan mereka jika ada yang menganggap hobi saya ini satu pembaziran,” katanya.
Jelasnya, melalui hobinya itu dia dapat bertemu rakan baru dan berkongsi minat yang sama di samping mendapatkan maklumat penting mengenai koleksi edisi terhad yang harus dimiliki.
0 comments:
Post a Comment