My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 22 February 2016

    Adenium Obesum Ceriakan Suasana




    POKOK hiasan Adenium obesum mempunyai ceritanya yang tersendiri bagi masyarakat Cina. Mereka sangat menyanjungi pokok ini dan percaya ia dapat mengundang atau membawa tuah (ong) masuk ke dalam kediaman, pejabat atau premis lain. 

    Ia juga dikatakan boleh memberi keceriaan terutama pada hari perayaan seperti Tahun Baru Cina. Ini disebabkan bunganya yang berwarna merah muda pekat dan cantik itu merupakan warna tema bagi perayaan tersebut yang bersimbolkan kegembiraan dan keceriaan.

    Adenium obesum tergolong dalam keluarga tumbuhan Apocynaceae. Ia dikatakan berasal daripada negara di Afrika Timur dan Selatan Arab. Nama gelarannya ialah desert rose atau ros padang pasir mungkin kerana bunganya berbentuk seperti bunga ros tetapi boleh tumbuh subur dalam medium tanaman yang kurang air.

    Nama tempatannya pula ialah pokok Kemboja Cina. Terdapat dua jenis iaitu asli dan kacukan. Pokok asli biasanya berbunga merah muda pekat dengan sedikit warna keputihan pada kelopaknya. Pokok kacukan pula berbunga dengan kelopaknya dalam beberapa warna dan corak yang menarik seperti merah pekat, putih kekuningan (Adenium obesum ‘Alba’) dan merah muda.

    Ia sebenarnya adalah sejenis pokok sukulen iaitu mempunyai batang yang dipenuhi dengan tisu yang mengandungi banyak air. Disebabkan itu, ia senang dijaga kerana tidak memerlukan siraman air sekerap pokok hiasan lain.

    Batangnya berbentuk besar di bahagian bawah dan tirus serta kecil di atas dan berdaun di hujungnya. Bunganya berbentuk seperti corong dan mempunyai lima kelopak. Daunnya pula berbentuk seperti sudu, bersinar di bahagian atas dan di bahagian bawahnya pula berwarna hijau pucat.

    Pembiakan

    Ia mudah dibiakkan menggunakan biji benih daripada buahnya yang masak dan juga keratan batang. Pokok ini sesuai ditanam dalam medium tanaman yang air senang mengalir keluar. Campuran tanah yang disyorkan ialah tanah untuk pokok berpasu ditambah sedikit bahagian pasir sungai iaitu dalam campuran 3:2:2 (tanah peroi:bahan organik:pasir sungai) bagi memudahkan air mengalir keluar dan mengelakkannya bertakung.

    Penjagaan

    1. Siram sekali sehari pada hari panas. Pastikan medium tanamannya kering dahulu sebelum menyiramnya semula. Siram apabila perlu sahaja pada hari hujan.

    2. Dedahkannya kepada cahaya matahari yang banyak agar ia hidup subur dan berbunga.

    3. Baja organik seperti najis ayam adalah terbaik untuk pokok ini, namun baja kimia juga boleh digunakan. Gunakan baja berwarna hijau untuk pertumbuhan pokok yang sihat, baja berwarna merah pula adalah untuk pembungaan yang banyak. Terdapat juga baja yang dibuat khas untuk pokok ini.

    Idea pameran

    1. Ia sesuai ditanam sebagai pokok spesimen kesayangan dalam pasu cantik yang bermotifkan lukisan atau tulisan Cina.

    2. Ia juga sesuai digubah menjadi pokok bonsai. Pokok yang ditanam menggunakan biji mempunyai bentuk batang yang membesar di bawah dan kecil di atas itu memang sesuai dan cantik untuk dijadikan pokok bonsai. Pokok yang ditanam menggunakan kaedah keratan batang tidak mempunyai bentuk batang seperti tersebut di atas.

    Tip

    1. Jangan biarkan air siraman bertakung dalam medium tanamannya kerana ini boleh mengakibatkan akarnya mudah reput dan pokok mati secara tiba tiba.

    2. Batang pokoknya boleh dikacukkan atau dikahwin antara satu dengan yang lain dalam genusnya untuk menghasilkan sepohon pokok berbunga pelbagai warna.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Adenium Obesum Ceriakan Suasana Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top