Ketika ini, seluruh rakyat sedang menunggu siapakah yang bakal dilantik sebagai Menteri Kabinet untuk mentadbir negara sehingga habis penggal ke 14 ini.
Sejak sebelum Dato' Sri Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke 9, rata rata pengamal media sosial dan pemerhati politik meramalkan pelbagai nama yang mungkin akan diangkat sebagai Menteri.
Tidak kurang juga wujud pelbagai andaian kononnya pelbagai nama akan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Walhal, beliau belum pun menjalankan tugas rasmi.
Dalam hal ini, apa yang menarik untuk disaksikan adalah, adakah kabinet yang bakal dibentuk ini akan merealisasikan hasrat rakyat untuk melihat para Menteri ini akan menjalankan tugas seperti yang diharapkan.
Ini kerana, dua kerajaan yang dibentuk sebelum ini lebih banyak mengecewakan harapan rakyat berbanding memenuhi aspirasi rakyat. Jika ada yang perform sekalipun, jumlahnya tidak sampai 10 orang.
Ditambah dengan keadaan dalam negara yang begitu meruncing akibat pandemik Covid 19, sudah tentu harapan besar diletakkan di bahu Dato' Sri Ismail Sabri untuk memastikan para Menteri yang dilantik mampu berkhidmat untuk rakyat dan mampu menjana semula ekonomi negara yang boleh dikatakan berada pada tahap paling kritikal sejak 1998.
Langkah awal beliau bertemu dengan tiga orang pemimpin utama pembangkang jelas menampakkan iltizam beliau untuk memastikan kerajaan yang beliau ketuai hari ini mampu bergerak seiring sesuai dengan titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mahu nasib rakyat dibela tanpa mengira apa jua fahaman politik.
Tambahan pula, sesuai dengan ucapan sulung beliau selaku Perdana Menteri, beliau mahu membina sebuah keluarga besar yang beliau gelarkan KELUARGA MALAYSIA diwujudkan. Sudah tentu, ketua ketua yang dilantik wajib mendukung aspirasi beliau bagi menjadi ketua ketua bagi sebuah KELUARGA MALAYSIA yang bersatu padu.
0 comments:
Post a Comment